Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awekku Minah Latah
Awekku Minah Latah
Aida Adia
3/7/2015 23:35:15
33,045
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 12

SITI Maisara segera mengeluarkan telefon bimbitnya. Kebiasaannya dia akan menelefon emaknya atau adiknya, Siti Musliha, untuk menjemputnya di Stesen Komuter Padang Jawa itu. Tidak sampai 10 minit menunggu, adiknya tiba dengan menaiki motosikal.

“Kau kenapa kak? Teruk sangat ke kerja kat ofis tu?” tanya Siti Musliha bila melihatkan wajah kakaknya yang masam mencuka.

Macam teruk benar kerja akak aku ni! Detik hati kecil Siti Musliha.

Timbul pula perasaan simpati kepada kakaknya itu. Dahulu, sewaktu kakaknya bekerja di kampung ini, tidaklah seteruk itu wajah kakaknya. Kakaknya sentiasa ceria sahaja walaupun dia tahu, gaji kakaknya tidaklah seberapa sangat.

“Hmm... stres!” Ringkas sahaja jawapan Siti Maisara. Dia benar-benar rasa letih.

“Kalau macam nilah gayanya kau kerja, kak, baik kau resign aje. Hari-hari stres, hari-hari sakit hati, buat apa? Cari aje kerja lain, yang boleh buat kau happy!” nasihat Siti Musliha.

“Amboi! Kau jangan nak jadi mak pulak. Jom balik. Aku lapar dah ni!” marah Siti Maisara sambil terus naik motor, membonceng belakang Siti Musliha.

Siti Musliha hanya tersengih sahaja.

Sebaik mereka tiba di halaman rumah, kelihatan Pak Musa sedang duduk bersandar di sebatang pokok mangga bersebelahan pangkin kecil. Kelihatan asap rokok berkepul-kepul keluar dari hidungnya. Tidak dihiraukannya kepulangan Siti Maisara. Leka melayan perasaan sambil menghisap rokok.

“Sara!” panggil Pak Musa saat Siti Maisara mahu masuk ke dalam rumah.

Siti Maisara berpaling. Wajahnya tidak berperasaan, namun dalam hatinya tertanya-tanya apa yang ayahnya inginkan kerana ayahnya itu memang jarang sekali ingin bercakap-cakap dengan anak-anak perempuannya.

“Ya, ayah!” jawab Siti Maisara malas sambil berjalan perlahan mendekati ayahnya itu.

Pak Musa memandang sekilas anaknya itu, kemudian leka semula dengan asap rokoknya. Barangkali ingin menyusun ayat, Pak Musa mula berdeham.

“Kau dah tiga bulan kerja kat bank tu, kan?” tanya Pak Musa.

Siti Maisara hanya mengangguk.

“Jadi, dah confirmlah ni?” tanya Pak Musa lagi.

Siti Maisara mengangguk juga.

“Dah bolehlah buat pinjaman, kan?” Pak Musa bertanya lagi, namun pertanyaan itu mengundang rasa pelik di hati Siti Maisara.

Dia dapat menghidu sesuatu yang tidak enak yang bakal diutarakan oleh ayahnya itu.

“Kenapa?” tanya Siti Maisara pula.

“Bolehlah kau buat pinjaman. Aku perlukan duit. Nak bayar hutang. Rantai mak kau yang dicagar kat kedai pajak pun tak ambil lagi. Dah lama dah tak bayar bunganya. Entah-entah dah terjual. Hutang-hutang yang lain lagi.” Pak Musa mula menyenaraikan hutang-hutangnya.

“Berapa yang ayah nak?” tanya Siti Maisara.

Pak Musa terdiam. Dia mencongak-congak sendiri.

“Err... dalam RM20,000!” jawab Pak Musa.

Siti Maisara tercengang.

“Banyaknya! Hutang apa yang banyak sangat ayah nak bayar tu? Orang sendiri pun tak tahu berapa yang orang layak pinjam. Lagipun, orang baru tiga bulan kerja, takkan dah nak buat pinjaman pulak! Pinjaman PTPTN pun orang baru mula buat pembayaran balik,” jawab Siti Maisara dalam nada yang agak tinggi.

Siti Maisara bukan mahu berkurang ajar dengan orang tua, tetapi memang begitulah didikan yang diterima daripada kedua-dua ibu bapanya. Mereka adik-beradik tidak pernah dididik dengan cara yang lemah lembut mahupun bersopan santun. Mereka membesar dan menerima didikan dengan cara yang kasar dan keras.

Lebih-lebih lagi Pak Musa yang garang dan tidak pernah menunjukkan sayangnya kepada anak-anak perempuan. Bercakap dengan anak-anak amatlah jarang sekali. Kalau ada peluang untuk bercakap pastinya diakhiri dengan tengkingan dan makian daripadanya.

Makanya, cara Siti Maisara bercakap dengan Pak Musa tadi memang tidak boleh dipersalahkan. Ditambah dengan keletihan seharian bekerja, tekanan dan bebanan kerja yang diterima dan sekarang ini pula diminta sesuatu yang tidak masuk akal.

Sudahlah selama ini, ayahnya langsung tidak pernah mahu mengambil tahu persekolahan dan perbelanjaan yang ditanggungnya sendiri dan kini dengan mudahnya pula ayahnya meminta-minta dan mengarahkan sesuatu yang sememangnya mendatangkan kemarahan di hati Siti Maisara.

“Eh, sekarang kau dah nak berlagaklah ya. Dah tak boleh nak tolong mak bapak sendiri pulak! Kalau kau kerja kat tempat macam tu sampai dah tak boleh nak tolong mak bapak sendiri, baik kau tak payah kerja! Kerja kat tadika tu lagi bagus!” tengking Pak Musa dengan suara yang tinggi.

Pak Musa tiba-tiba naik angin. Bengang rasa hatinya bila permintaannya ditolak mentah-mentah oleh anaknya itu. Tidak pula menyangka Siti Maisara akan berkata begitu kerana sangkanya Siti Maisara akan akur dengan segala arahannya seperti sebelum-sebelum ini.

“Eh, ayahnya! Apa yang bising-bising maghrib-maghrib begini? Kalau ya pun nak berborak ke, berbincang ke, kat dalam rumahlah! Awak tak malu ke kat jiran-jiran?” bebel Mak Odah yang tiba-tiba muncul dari dalam rumah.

“Kau nasihatkan anak kau tu! Jangan jadi Tanggang, lupa diri, lupa mak bapak. Bapak sendiri nak mintak tolong pun berkira!” rungut Pak Musa.

Dia terus bangun sambil menyarungkan seliparnya. Terus dia mengambil motor yang berada di sebelah pangkin kecil itu lantas dihidupkan enjinnya. Tanpa menoleh, Pak Musa terus berlalu.

“Oi, ayahnya! Nak ke mana pulak tu? Tak solat dulu ke?” laung Mak Odah.

Namun, Pak Musa pergi begitu sahaja tanpa menoleh ke belakang.

Siti Maisara terus masuk ke biliknya. Dia menghempaskan badannya ke katil. Bengang dengan sikap ayahnya itu, sudahnya selera makannya juga turut mati. Banyak kali Mak Odah memanggilnya makan, namun Siti Maisara hanya berdiam diri dan lebih suka memerapkan diri di dalam bilik.

Bebelan Mak Odah yang berpanjangan di luar bilik kerana Siti Maisara tidak makan lauk yang dimasaknya juga tidak dihiraukan Siti Maisara. Hatinya sakit dengan sikap ayahnya tadi.

Bukan kali ini sahaja, malah sudah lama dia memendam perasaan dengan sikap ayahnya itu. Ayahnya memang sengaja ingin menyakiti hatinya. Sudahlah selama ini segala perbelanjaan Siti Maisara untuk belajar adalah hasil daripada wang gaji yang diperolehinya daripada bekerja sambilan. Nasib baik dia menerima pinjaman daripada PTPTN, dapatlah dia meneruskan pembelajarannya di UiTM walaupun dia tahu habis sahaja pengajiannya nanti, dia perlu membayar balik pinjaman itu kepada kerajaan.

Selama ini Pak Musa tidak pernah langsung mengambil tahu hal Siti Maisara. Jika ada pun, sekadar bertanya ala kadar kepada Mak Odah, bukan bertanya terus atau setidak-tidaknya mengambil tahu perihal anak-anak perempuannya itu. Siti Maisara sentiasa merasakan yang dia hanya ada emak sahaja walaupun hakikatnya seorang lelaki bergelar bapa sentiasa ada di depan matanya.

Yang membuatkan Siti Maisara bengang dan rasa marah ialah bila dengan mudahnya Pak Musa meminta dia membuat pinjaman di bank hanya semata-mata untuk membayar hutang Pak Musa. Siti Maisara memang tidak boleh menerima permintaan itu.

“Apa sajalah kau duduk memerap kat dalam bilik ni!” Suara memetir Mak Odah yang tiba-tiba kedengaran itu membuatkan Siti Maisara terkejut lantas terlompat terjun dari katil.

“Opocot, mak kau! Terjun katil!” latah Siti Maisara.

“Hisy! Mak ni! Terperanjat orang tau!” rungut Siti Maisara. Wajahnya masam mencuka.

Mak Odah yang bagaikan tidak berperasaan itu selamba duduk di atas katil bersebelahan Siti Maisara.

“Apa yang kau rajukkan sangat kat ayah kau tu? Memang kau dah tahu perangai dia macam tu kan. Pedulikan ajelah! Yang kau nak tersentap bagai ni, apasal? Apa yang kau dapat?” tanya Mak Odah dengan suara yang tinggi.

Siti Maisara yang masih tidak hilang daripada rasa terkejutnya itu menjuihkan bibirnya.

“Sudah, mari makan! Siapa yang nak makan lauk-lauk tu? Membazir ajelah,” pujuk Mak Odah dengan caranya tersendiri.

Walaupun caranya tegas dan kasar, namun tetap terselit rasa keprihatinan seorang ibu.

“Alah, bukan ke ramai penghuni kat dalam rumah ni. Tak ada maknanya orang boleh habiskan lauk-lauk tu!” kata Siti Maisara dalam nada rajuknya itu.

“Amboi, lupa dirilah tu! Selama ni, bukan ada orang lain dalam rumah ni yang tukang habiskan lauk-lauk yang mak masak kalau bukan kau. Yang lain-lain dah kenyang, dah makan,” kata Mak Odah selamba.

“Alah, orang tak ada moodlah nak makan, mak. Lauk-pauk tu, bagi aje cik itik dan cik ayam makan. Kan bagus, dapat pahala,” jawab Siti Maisara acuh tak acuh.

“Ha, dapat pahalalah sangat! Ha, yang ni apa hal pulak ni? Dari tadi dok ke hulu ke hilir dengan handphone. Makannya pun tidak. Kerja apatah lagi. Kau makanlah handphone tu, senang, kenyang,” leter Mak Odah sekali gus memarahi Siti Musliha yang tiba-tiba memasuki bilik itu sambil sibuk menaip mesej.

Siti Musliha yang sedang menaip mesej di telefon bimbitnya itu segera menoleh ke arah emak dan kakaknya sambil tersengih. Tidak dihiraukannya bebelan emaknya itu. Dia lantas duduk di sebelah Siti Maisara.

“Alah, relakslah kak. Apa yang kau nak sedih-sedih ni? Buat tak reti aje apa yang ayah cakap tadi,” pujuk Siti Musliha.

“Kau apa tahu! Kau rasa apa yang aku rasakan selama ni? Kau faham apa yang aku alami sejak kecik? Kau tak rasa semua tu. Si Muaz dan Muin pun tak pernah nak ambil tahu semua ni. Aku yang rasa sakitnya, kau tahu tak?” Siti Musliha meluahkan rasa sakit hatinya.

Merah padam mukanya menahan geram dan marah.

Siti Musliha terdiam, memberi peluang kepada kakaknya meluahkan apa yang terpendam. Bukan Siti Musliha tidak tahu semua itu. Selama ini memang dia dan adik-beradik perempuannya amat tidak berpuas hati dengan sikap ayah mereka.

Siti Musliha sendiri tidak tahu mengapa ayah mereka suka membeza-bezakan kasih sayang anak-anak. Kalau ditanya kepada emaknya, emaknya akan menjawab sambil lewa sahaja.

“Entahlah, dah memang begitu perangai ayah kau!”

Pada Siti Musliha, dia tidak menyalahkan emaknya kerana emaknya sendiri pun teruk dibelasah ayah mereka setiap kali berlakunya pertengkaran antara mereka berdua. Atas sifat ketaatan seorang isteri, Mak Odah hanya berdiam diri dan takut untuk melawan suaminya.

Bukan juga Siti Musliha tidak nampak apa yang dilalui oleh kakaknya itu. Terpaksa bekerja untuk mencari duit bagi memenuhi keperluan mereka adik-beradik. Hendak mengharapkan kedua-dua abangnya, memang tidak boleh diharap langsung! Pernah Siti Musliha menyuarakan keinginannya untuk turut sama bekerja sambilan bagi membantu bebanan kakaknya, tetapi ditentang keras oleh Siti Maisara.

“Biar aku sorang aje yang bekerja. Tahulah aku macam mana nak jaga diri dan sesuaikan masa aku belajar dan bekerja. Kau dan Mariam, tumpukan terus pada pelajaran. Tak payah nak susah-susah fikirkan hal ni,” kata Siti Maisara suatu waktu dahulu.

Namun, lain pula yang Siti Musliha fikirkan. Selepas mendapat keputusan yang agak baik dalam peperiksaan SPMnya, dia seperti tidak ada hati lagi ingin melanjutkan pelajarannya sama ada belajar di dalam tingkatan enam atau di kolej-kolej yang terpilih.

Siti Musliha lebih senang bekerja sahaja. Perancangannya, jika ada rezeki, selepas dia mendapat kerja di mana-mana, mungkin dia boleh sahaja belajar sambil bekerja. Namun, itu hanya perancangannya sahaja kerana sehingga kini Siti Musliha hanya menghabiskan masanya duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa sehingga mendatangkan kemarahan pada emaknya itu.

“Dahlah, Sara. Pedulikan ayah kau tu. Dahlah, mak nak kemaskan meja makan tu. Kau tak nak makan tak apalah. Dah, pergi rehat,” kata Mak Odah dalam nada suara yang lemah sambil terus bangun dan berlalu dari situ.

Tiada siapa yang tahu, sebaik sahaja Mak Odah melangkah keluar dari bilik anak-anak daranya itu, air mata Mak Odah merembes keluar. Hatinya pilu dan hiba. Bukan dia tidak kasihan melihat penderitaan yang dialami Siti Maisara. Bukan dia tidak membantah segala ketidakadilan yang dilakukan suaminya. Namun, dia tidak mempunyai kudrat yang luar biasa yang dapat menahan semua yang berlaku.

Setiap kali dia membantah dan menegur suaminya itu, pasti tubuhnya menjadi korban sepak terajang daripada suaminya. Tubuhnya bagaikan bola di mata Pak Musa. Pak Musa akan sesuka hati menendang, menampar atau apa saja yang sempat dilakukan. Sungguhpun secara luaran Mak Odah nampak garang dan berani dek suaranya yang suka memetir-metir itu, tetapi hakikatnya, Mak Odah langsung tiada keberanian untuk melawan suaminya sendiri.

Didikan yang diterima daripada kedua-dua orang tuanya dahulu amat menebal dalam dirinya dan janjinya kepada mereka supaya taat kepada suami sangat dipegangnya sehingga kini.

“Mak doakan kau orang adik-beradik selamat dunia akhirat, nak,” luah Mak Odah dalam tangisan yang tertahan.

MARIAMmana? Dah pukul berapa ni tak balik-balik lagi?” tanya Siti Maisara kepada Siti Musliha.

Dalam keadaan sedih begitu, tanggungjawabnya sebagai kakak yang prihatin tidak dilupakan.

Memang begitulah watak sebenar Siti Maisara bila di rumah. Tiada siapa yang menyangka, di luar Siti Maisara seorang yang aktif, periang, kelakar dan suka menceriakan semua orang. Walaupun kasar dan berkelakuan seperti lelaki, tetapi dia seorang yang baik hati. Namun, bila di rumah, Siti Maisara seorang yang serius, suka memendam perasaan dan pasif. Hanya ALLAH sahaja yang tahu bagaimana dia mengimbangi perbezaan watak yang dibawanya itu.

“Kejap lagi baliklah tu. Dia cakap dia ke rumah Balqish, ada study group,” jawab Siti Musliha.

Dia sudah membaringkan dirinya sambil menyambung semula menaip mesej.

Study group apanya malam-malam macam ni? Aku dulu pun studi jugak. Kat U lagi! Yang nak berstudy group bagai kat rumah orang tu apa hal!” bebel Siti Maisara.

Hilang rasa sedih, timbul pula rasa bimbang dan ragu dengan adik bongsunya itu.

“Yang kau ni, dah tak ada kerja lain? Asyik dok bermesej 24 jam! Banyak duit kau berhantar-hantar mesej ni?”

“Eh, suka hatilah! Bukan orang yang bayar. Dialah yang bayar!” jawab Siti Musliha.

“Dia? Siapa? Mamat mana pulak ni kau bercinta? Kau jangan macam-macam, Liha. Asyik bertukar boyfriend aje. Esok-esok, sekolah entah ke mana, bercinta aje lebih!” nasihat Siti Maisara.

Sebagai kakak, dia sudah lama ingin menasihati adiknya yang seorang ini. Selama ini, dia hanya mendengar rungutan dan aduan daripada emaknya sahaja. Bukan Siti Maisara tidak nampak semuanya, cuma dia tidak ada kesempatan yang sesuai untuk menegur adiknya itu.

“Alah, akak ni, orang berkawan ajelah. Orang tahulah jaga diri. Tak payahlah akak risau. Akak pun dah jadi macam mak sekarang ni. Kuat membebel!” rungut Siti Musliha.

“Sebagai kakak, aku bagi nasihat. Jangan esok-esok, kau dah terkantoi dengan lelaki mana entah, kau jangan nak salahkan aku pulak tak bagi teguran dan nasihat awal-awal!” Siti Maisara mengingatkan adiknya.

“Alah, orang tahulah!” jawab Siti Musliha dengan nada bosan.

Dia terus mematikan talian telefon bimbitnya, lantas terus tidur sambil mengiring, membelakangkan kakaknya. Sempat pula dia menutup mukanya dengan bantal kecil.

Siti Maisara hanya menggeleng melihat sikap adiknya itu. Tiba-tiba, masuk Siti Mariam ke dalam bilik sambil tersengih-sengih. Nak kontrol ayulah tu, takut dimarahi oleh si kakak yang sedang panas hati!

“Ha, baru nak balik! Kenapa tak tidur aje kat rumah Balqish tu?” tegur Siti Maisara.

Sorrylah, kak! Lewat sikit. Mak Balqish tahan Mariam suruh makan malam kat rumah dia,” jawab Siti Mariam.

Siti Maisara hanya diam sambil mengeluh. Dia sendiri belum mandi sejak balik dari kerja tadi dek melayan rasa marahnya pada ayahnya tadi. Baru kini dia terasa letih yang teramat. Dicapai tualanya lalu terus menuju ke bilik mandi tanpa menghiraukan Siti Mariam yang sedang memerhatikannya dengan rasa bersalah.

Ketika Siti Maisara menuju ke bilik air, dia terserempak dengan abang sulungnya Abdul Muaz.

“Kau baru balik ke Sara?” tegur Abdul Muaz.

“Haah,” jawab Siti Maisara pendek.

Sebenarnya, lebih kepada rasa terkejut kerana inilah kali pertama sejak dia bekerja di bank itu, abangnya menegurnya. Selama ini, abangnya itu buat endah tak endah sahaja akan dirinya dan juga kepada adik-adiknya yang lain. Hubungan mereka adik-beradik pun tidak berapa erat sangat. Baik Abdul Muin, mahupun Abdul Muaz, mereka banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan di luar. Jika ada pun mereka di rumah, hanyalah untuk tidur sahaja.
Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.