Home Cerpen Keluarga Muhasabah Cinta
Muhasabah Cinta
Aida Adia
4/4/2015 22:54:26
2,533
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Azra Aida masih lagi setia menunggu di tiang masjid betul-betul berhadapan dengan pagar besar, selari dan lurus menghala ke pintu masuk bahagian wanita Masjid Nabawi, Madinah. Dalam rasa bimbang dan hati tidak keruan, sempat lagi dia terpana di situ dek terpegun dengan keindahan Masjid Nabawi di waktu malam, dipenuhi lampu-lampu, pemandangan langit yang cantik, ribuan manusia dari pelbagai negara dengan pelbagai gaya dan ragam. “Ya Allah, besar dan cantiknyamasjid ni!. Macam tak percaya aku dah ada kat sini,” Azra Aida memuji di dalam hati.

Teringat Azra Aida akan sabda Rasulullah SAW;"Pahala sembahyang di masjidku ini adalah 1000 kali lebih baik daripada sembahyang di lain-lain masjid selain Masjidilharam"

“MasyaAllah..syukur atas nikmatMu ini ya Allah.. Syukur kerana Kau memilihku sebagai tetamuMu!” hati Azra Aida masih lagi berbicara. Tidak putus-putus melahirkan rasa syukurnya. Dia memandang jam di tangan. Sudah hampir dua jam dia berdiri menunggu di situ. Orang yang dinanti masih tidak Nampak lagi kelibatnya. Kalau ikutkan perjanjian tadi, selepas solat Isyak, dia perlu menunggu di situ.

“Ya Allah..mana Ayah ni?. Takkan dia balik hotel pulak kalau dah buat janji tadi. Kalau tahu menunggu lama macam ni, baik aku iktikaf aje kat dalam masjid. Boleh sambung mengaji,” rungut Azra Aida sendirian di situ. Matanya melilau mencari-cari ayahnya di sebalik beribu-ribu tetamu Alah di situ.

“Tak mungkin Ayah balik sendiri.. Ayah tak cam jalan balik ke hotel. Dia mesti tunggu aku balik sama,” kata Azra Aida sendirian di situ namun di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu betapa risaunya dia akan keselamatan ayahnya itu.

Ayah Azra Aida, Pak Aziz sudah berumur 70 tahun lebih. Seorang pesara tentera yang bekerja sebagai pemandu teksi. Walaupun Pak Aziz masih kelihatan tegap dan sihat namun Azra Aida masih risau kalau-kalau ayahnya itu ditolak oleh Jemaah-jemaah umrah dari Negara lain yang lebih besar fizikalnya dan kasar sikapnya daripada Jemaah Malaysia, terutama Jemaah daripada India, Indonesia dan Bangladeh.

Masih lagi Azra Aida teringat bagaimana sukarnya dia berasak-asak merempuh lautan Jemaah umrah wanita daripada pelbagai Negara itu ketika menziarahi makam Rasulullah s.a.w dan Raudhah. Entah bagaimana dalam berasak-asak itu, laluan Azra Aida begitu mudah tanpa sedikitpun rasa ditolak atau dirempuh oleh Jemaah wanita yang lain. Sedar-sedar, Azra Aida sudah berada di karpet hijau iaitu tapak Raudhah betul-betul di hadapan sekali. Peluang keemasan itu tidak disia-siakan, Azra Aida segera menunaikan solat sunat dua rakaat di ruang terbuka itu. Bersyukurnya dia kerana diberi “peluang” yang terhad itu. Berjurai-jurai airmatanya sewaktu berdoa dalam sujudnya itu.

Azra Aida memandang sekelilingnya. Perkarangan Masjid Nabawi ini sentiasa dikunjungi tetamu. Malah, makin menginjak ke dinihari semakin ramai pula yang bertitikaf di Masjid Rasulullah ini.

Azra Aida dapat merasakan ketenangan dalam beribadah di sini. Dia sendiri tidak pasti mengapa di sini, segala urusan ibadah menjadi mudah bagi dirinya. Solat fardhunya sering tepat pada waktunya. Malah dia sempat lagi mengaji Al-Quran dan bersolat sunat sebanyak mungkin bagi mengisi ruang waktunya.

“Aku bukanlah orang jahat. Aku jenis manusia yang suka membantu orang lain. Akupun macam muslimah lain. Berpakaian menutup aurat dan kurang sangat bersosial dengan lelaki yang bukan muhrim. Tetapi, mengapa aku susah sangat nak ubah diri aku yang malas solat? Aku tahu aku berdosa tapi senang je aku membiarkan waktu solat berlalu tanpa mendirikannya. Aku lebih mementingkan urusan kerjaku yang kadang-kala berlarutan sehingga waktu malam daripada berhenti sebentar mendirikan solat fardhu yang hanya lima ke sepuluh minit sahaja setiap kali mendirikannya!” keluh hati kecil Azra Aida.

Azra Aida menggelengkan kepalanya beberapa kali. Terasa malu pada dirinya sendiri. Benarkah itu aku? Azra Aida tertanya-tanya sendiri. Tanpa sedar dia sudah mengalirkan air matanya.

“Assalammualaikum!” tegur satu suara garau seorang lelaki dari arah kirinya.

Terperanjat Azra Aida dibuatnya lantas segera dia menyeka airmatanya yang jatuh ke pipi. Membetulkan letak tudung labuhnya itu.

“Waalaikumsalam..,” jawab Azra Aida perlahan. Wajahnya ditundukkan ke bawah, cuba mengelak dari bertentang mata dengan pemuda di hadapannya itu. Dari sekilas pandangannya itu, Azra Aida yakin pemuda yang menegurnya itu adalah pemuda Malaysia.

“Err..maaf bertanya, saudari tunggu siapa? Saya rasa, saudari dah agak lama berdiri di sini.. Ada apa-apa yang perlu saya bantu?” tanya pemuda itu.

“Ehh..telo Indon pulak! Dia ni dari Indonesia kot!” sempat lagi Azra Adia bermonolog.

“Err...maaf, saya Ahmad Ziyad Andika, mutawif dari Rayyan Travel Agency, Malaysia. Saudari dari group mana, ya?” tanya Ahmad Ziyad Andika dalam telo Bahasa Indonesianya.

“Saya dari..Raudhah Travel Agency. Pun dari Malaysia. Saya tunggu ayah saya. Dah nak dekat 2 jam ni, ayah saya tak muncul-muncul,” jawab Azra Aida sambal memandang wajah Ahmad Ziyad Andika.

Entah mengapa, berdegup jantungnya seketika apabila memandang wajah Ahmad Ziyad Andika. Segera matanya beralih ke arah lain, takut Ahmad Ziyad Andika menyedari perilakunya itu.

“Ohh.. sudah saya agak saudari tentu ada masalah. Dua jam tu lama jugak tu! Sudahkah saudari cari di tempat-tempat lain yang berdekatan? Mungkin ayah saudari tak berapa cam tempat yang saudari nak tunggu?” tanya Ahmad Ziyad Andika perihatin.

“Sudah.. Dah beberapa kali jugak saya keluar masuk masjid dan merayau sekitar perkarangan masjid ini sampai ke penghujungnya tapi tak berjumpa. Nak balik hotel pun..kesian pulak kalau-kalau ayah saya tiba-tiba muncul,” terang Azra Aida hampir berputus asa.

Ahmad Ziyad Andika kelihatan berfikir sejenak. Wajahnya yang putih kemerahan itu tampak serius. Sejurus kemudian, kelihatan dia mengangkat kedua-dua belah tangannya sambil mulutnya terkumat-kamit berdoa. Sekali lagi Azra Aida memandang lelaki di hadapannya itu dengan pandangan terharu.

“Siapa pulak sebenarnya lelaki ni ya? Dah berjam-jam aku jadi jaga kat sini, tak ada siapa pun yang pedulikan aku. Tiba-tiba dia muncul. Ya Allah, jika Kau hadirkan dia untuk menolong aku di sini, syukur Alhamdulillah.. Mohon Kau ‘pulangkan’ semula ayahku, ya Allah. Tunjukkan ayahku jalan jika dia tersesat, ya Allah! Ampunkan dosa-dosa kami, ya Allah..,” doa Azra Aida di dalam hati. Matanya berkaca menahan tangis. Jauh di sudut hatinya, Azra Aida tahu ayahnya sedang “diuji” oleh Allah..

**********************************

Pak Aziz segera bangun dan berkira-kira untuk meninggalkan masjid sebaik sahaja selesai mengerjakan solat jenazah. Malam ini kesesakan Jemaah masjid agak luar biasa ramainya. Sewaktu berasak-asak menuju ke pintu keluar masjid, beberapa kali Pak Aziz ditolak dan dirempuh oleh Jemaah lelaki yang berfizikal berkali ganda besar dari tubuhnya itu sehingga hampir-hampir Pak Aziz tersungkur di lantai.

Sebagai bekas tentera, semangat “ketenteraannya” masih lagi menebal biarpun usianya sudah masuk dalam katagori warga emas. Kalau sudah sewenang-wenangnya dia dijadikan “punching bag” dek fizikalnya yang kecil itu, sudah pasti barannya tidak dapat dibendung lagi! Tanpa memikirkan kudratnya yang tidak seberapa itu, Pak Aziz turut juga membalas tolakan dan rempuhan itu. Namun yang terjadi, dia sendiri yang terpelanting ke tepi. Mujur juga dia terjatuh di atas tubuh-tubuh sasa lelaki berbangsa Arab!

Sebaik Pak Aziz dapat meloloskan diri keluar dari pintu Masjid Nabawi itu, baru terasa lega di hatinya. Namun dalam masa yang sama dia tidak habis-habis ‘menyumpah’ kumpulan Jemaah yang berbadan besar yang telah menolak dan merempuhnya itu. Sudahlah ketika dia bersujud dalam solat tadi, kepalanya telah dilangkah beberapa kali dan tangannya pula telah dipijak orang. Sakit betul hatinya!

Pak Aziz menyarungkan selipar di kakinya. “Mesti Azra dah lama menunggu aku. Pak Arab hampeh tu laa..!” rungut Pak Aziz dengan perasaan sebal sambil mengorak langkah.

Kira-kira lima belas minit berkeliling sekitar masjid, tiba-tiba Pak Aziz terhenti dan bingung sendiri.

“Eh, mana pulak tiang masjid yang si Azra kata nak tunggu ni? Bukan ke nak sampai ke pagar besar masjid ni tak sampai lima minit je? Mana pulak laluan yang aku masuk mula-mula tadi?” hati Pak Aziz mula tertanya-tanya. Pandangannya jadi keliru. Puas Pak Aziz cuba mengingati laluannya sewaktu masuk ke perkarangan masjid tadi tetapi gagal. Persekitarannya nampak janggal di matanya. Malah Pak Aziz tidak nampak satu pagar pun di sekelilingnya, walhal dia memang sedia maklum bahawa Masjid Nabawi ini mempunyai banyak pagar keluar masuk sekelilingnya.

Pak Aziz menggaru-garu kepalanya, bingung dengan apa yang dilaluinya. Dia cuba bertanya orang ramai yang lalu-lalang di situ tetapi mematikan hasratnya itu kerana tidak tahu untuk bertanya dalam bahasa apa. Hendak menanyakan dengan Bahasa isyaratpun, dia buntu bagaimanakah caranya. Sudahnya dia termenung di situ, terkebil-kebil memerhatikan orang ramai yang lalu-lalang.

“Ayah okay tak? Ingat tak tiang ni? Kat sini je tau Ayah, betul-betul lurus dengan gate besar ni!” terngiang-ngiang pesanan terakhir anaknya Azra Aida sebelum mereka berpisah di antara pintu masuk masjid laluan perempuan dan lelaki.

“Ye laa.. Ayah taulah! Ingat Ayah ni budak-budak! Kan kita dah dua hari di sini. Esok dah nak ke Mekah pula,” bentak Pak Aziz namun dibalas dengan sengihan dan gelengan kepala dari anaknya.

“Rasanya aku sudah berulang-alik kawasan ni dah berpuluh kali. Mana pulak gate besar ni? Kaki aku pun dah naik lenguh ni!” Pak Aziz merungut sendirian sambil duduk bersila di atas lantai kerana keletihan.

Namun sebaik sahaja dia duduk bersila di situ, tiba-tiba ada seorang lelaki menghulurkannya sesuatu. Secara spontan, Pak Aziz menyambutnya lantas membuka bungkusan itu. Rupanya lelaki itu memberinya nasi bungkus. Terus darah Pak Aziz terasa menyirap kerana pasti lelaki itu menyangka dirinya adalah peminta sedekah! Hendak dimaki hamunnya lelaki itu namun apabila dia mendongak ke atas, lelaki itu sudah hilang dari pandangan.

Pak Aziz terkedu di situ. Memikirkan apa sebenarnya yang telah menimpa pada dirinya. Adakah dia sedang diuji Allah ketika ini? Apakah kesalahan dan dosa yang dia telah lakukan sehingga dia tidak nampak laluan pulang? Ini baru di Madinah, sudah berlaku perkara ganjil kepada dirinya. Kalau di Mekah..bagaimana pula? Allah murkakah pada dirinya? Atas dosa apakah itu? Persoalan demi persoalan menerjah ke kotak fikirannya.

Tiba-tiba, satu suara seakan suaranya sendiri bergema; “Aziz, bukankah kau datang ke sini bukan atas kerelaan kau sendiri? Kau sekadar menemani anak perempuan kau selaku mahram kepadanya? Kau tidak pernah sekalipun bersungguh-sungguh mahu mengerjakan umrah!”

Terkedu seketika Pak Aziz di situ. Tidak terkata malah tidak berkutik pun dari tempatnya. “Ubahlah niat kau tu..! Bukan semua orang bernasib baik menjadi tetamu Allah. Mengapa tidak kau manafaatkan peluang yang ada sebelum kau menyesal di kemudian hari?” Soalan terakhir itulah yang membuatkan Pak Aziz terasa jantungnya bagai disentap. Tiba-tiba dia meraung di situ..

“Ya Allah.. ampunkan dosa-dosaku ya Allah! Aku hambaMU yang tidak pernah bersyukur. Aku hambaMU yang selalu takbur. Hinanya aku di mataMU ya Allah. Bagaimana aku dipandang sebagai peminta sedekah di sini, begitu jugalah pandanganku kepada kawan-kawan serta saudara-maraku di Malaysia! Aku manusia sombong, riak dan bongkak, ya Allah. Benarlah kata-kata arwah isteriku bahawa aku manusia yang pentingkan diri sendiri dan tidak pernah menghormati perasaan orang lain. Ya Allah..ampunkan aku!!” raung Pak Aziz bersujud di situ tanpa menghiraukan orang yang lalu-lalang di situ.

Sejurus kemudian, terdengar suara Azra Aida memanggilnya; “Ayah! Ayah! Laa..Ayah kat sini rupanya! Puas Azra tunggu. Ayah tak perasan ke Azra tunggu kat tiang ni? Ayah merayau ke mana?” Soalan demi soalan dari Azra dibalas dengan pandangan bingung oleh Pak Aziz. Dia memandang sekelilingnya. Di hadapannya tegak tiang masjid tempat yang dikatakan oleh anaknya itu. Tidak jauh dari tiang itu, tersergam pagar besar Masjid Nabawi. “MasyaAllah.. rupa-rupanya aku hanya ke hulu-ke hilir di kawasan ini jugak!” keluh Pak Aziz sambal memadang anaknya, Azra. Matanya bertembung pula dengan seorang pemuda kacak berjubah putih sedang berdiri agak jauh di sebelah anaknya, Azra. Namun Pak Aziz tidak mampu untuk berkata apa-apa..

*********************************************************

Pejam celik, pejam celik tempoh masa yang ditetapkan oleh pakej telah pun tiba dan Azra Aida serta Jemaah kumpulannya harus menerima hakikat untuk pulang ke tanah air, meneruskan kehidupan seperti biasa, mencari bekalan untuk dunia yang sementara ini dan akhirat tempat yang abadi. Perasaan sedih dan hiba sewaktu tawaf wida’ tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Airmata Azra Aida mengalir tanpa disedari, semakin lama semakin laju. Dia merenung Kaabah sedalam-dalamnya dan memandang Kaabah sepuas-puasnya.

“Ya Allah, ya Tuhanku, Janganlah dijadikan tawaf dan ziarah hamba ini sebagai kali penghabisan di BaitullahMu. Jika sekiranya ditakdirkan menjadi kali akhir maka hamba pohonkan syurga sebagai gantinya dengan kemurahan Engkau ya Tuhan Yang Amat Pemurah lagi Penyayang,” doa Azra Aida di hadapan Kaabah.

Sewaktu di dalam bas menuju ke Lapangan Terbang Jeddah, masing-masing diam seribu bahasa. Barangkali masih lagi terbawa-bawa rasa sedih semasa tawaf wida’ atau merenung diri, mampukah perubahan diri kekal istiqomah setelah melalui fasa penyucian hati dan jiwa. Begitu juga Azra Aida dan ayahnya yang duduk tenang di bangku belakang.

Bagi Pak Aziz, banyak perkara yang membuatkan dia sedar sepanjang dua minggu sebagai tetamu Allah di situ. Dia berdoa agar dia terus diberi kekuatan agar beristiqomah untuk perubahan dirinya itu. Bagi Azra Aida pula, dia sedar dia terlalu “selesa” dengan nikmat dunia. Hampir tidak sedar diri bahawa dia hanyalah hamba Allah yang tidak punya apa-apa. Dia “lupa” tentang pesanan Rasulullah iaitu; “Ingat lima perkara sebelum lima perkara.” Azra Aida melepaskan keluhan namun berdoa agar Allah tetapkan hati dan imannya.

*******************************************

Penerbangan pulang ke tanahair Azra Aida bersama kumpulan umrahnya adalah dengan pesawat Saudi Air [komersial flight] melalui Lapangan Terbang King Abd Aziz, Jeddah. Kelihatan beberapa rombongan pakej umrah yang lain juga sedang berbaris panjang menunggu giliran untuk “check-in”.

Kebiasaannya, diperuntukkan sekurang-kurangnya kesemua Jemaah umrah perlu berada di lapangan terbang selama enam jam sebelum pesawat berlepas. Di Terminal itu, Azra Aida mengambil tempat di satu sudut yang agak berdekatan dengan kiosk Coffee Bean.

“Ayah, Azra pergi solat dulu lah yea. Ayah rehat sini dulu yea,” kata Azra Aida memohon izin Ayahnya menunaikan solat Jamak Takhir di situ sebelum menaiki kapal terbang. Pak Aziz yang kelihatan keletihan hanya senyum dan mengangguk sahaja. Azra Aida tersenyum sambil membawa telekungnya bersama. Azra Aida sedar Ayahnya sudah banyak berubah sejak kejadian “hilang” di Madinah tempohari. Ayahnya tidak lagi bengis dan panas baran. Malah, semenjak kejadian itu juga, Pak Aziz lebih banyak menghabiskan masanya beritikaf di Masjidil Haram. Memahami situasi Pak Aziz, Azra Aida banyak melakukan aktiviti ibadahnya berseorangan namun atas keizinan Ayahnya juga.

Sewaktu Azra Aida ingin memasuki ruang solat wanita di Terminal itu, Azra Aida seakan terpandang kelibat Ustaz Ahmad Ziyad Andika melintas kawasan itu. “Astagfirullah’hal Azim..!” Azra Aida beristigtifar. Tidak mahu bayangan Ustaz itu muncul di ruang matanya.

Sememangnya dia merasa pelik mengapa di setiap tempat kunjungannya di kota Mekah itu, dia sentiasa terserempak dengan Ustaz yang berwajah putih bersih itu! Di Jabal Nur, Jabal Uhud, Masjid Quba’, Ladang Kurma malah di Jabal Rahmah juga dia terserempak dengan Ustaz itu. Cuma, mereka berlainan bas dan kumpulan sahaja. Mereka sekadar memandang dan tersenyum. Kebetulankah itu? Azra Aida sendiri tidak berani mahu memikirkannya. Namun yang pasti, setiap kali matanya bertembung dengan mata Ustaz itu, jantungnya terus berdegup laju malah adakalanya nafasnya terasa agak sesak menahan debaran.

“Apalah aku ni..entah-entah Ustaz tu laki orang! Aku ni pulak yang terperasan lebih! Memanglah Ustaz tu handsome. Kacukan Arab-Indonesia-Malaysia. Handsome sangat pun, kalau milik orang lain..apa kes! Tak pasal-pasal aku kena tuduh “desperate” plak.. Ya Allah..jauhkanlah aku dari memikirkan yang bukan-bukan,” Azra Aida bermonolog sendiri. Terus dia meloloskan dirinya memasuki ruang solat wanita itu.

Selesai solat, Azra Aida pergi mendapatkan Ayahnya semula. Pak Aziz yang sedang menunggu anaknya itu tersenyum-senyum memandang anaknya. “Ayah..tersenyum-senyum ni kenapa? Ayah dah solat ke?” tanya Azra Aida kehairanan.

“Eh..belum. Kan Ayah tunggu kamu!” jawab Pak Aziz.

“Habis, yang gembira semacam ni, kenapa Ayah?” tanya Azra Aida.

“Errr.. tak ada apalah. Okay, Ayah pergi solat pulak. Kamu tunggu sini yea..,” kata Pak Aziz sambil bangun dari tempat duduknya itu. Azra Aida pula duduk di tempat ayahnya tadi.

“Apa kenalah Ayah tu..!” bebel Azra Aida sambil tersenyum mengenangkan kelakuan Ayahnya tadi. Pasti ada perkara yang melucukan Ayahnya tadi. Bagi Azra Aida, asalkan Ayahnya gembira, dia lega. Selama ini Azra Aida tahu Ayahnya itu kesunyian semenjak kematian ibunya lima tahun lepas akibat kanser payudara.

Azra Aida mengambil keputusan tinggal bersama Ayahnya dan bekerja di daerah yang sama dengan tempat tinggalnya. Walaupun niatnya untuk menjaga Ayahnya namun atas kesibukannya yang bekerja sebagai seorang akauntan di sebuah Bank dan Ayahnya pula sebagai pemandu teksi, masa yang benar-benar mereka berdua dapat bersama ialah pada hari Ahad. Itupun hanya setengah hari sahaja kerana Pak Aziz akan meneruskan kerjanya sebagai pemandu teksi sehingga ke tengah malam.

Begitu juga Azra Aida yang selalu kerja hingga lewat malam. Kadangkala hari Sabtu dan Ahad pun bekerja juga. Azra Aida sangat komited dengan kerjayanya sehingga mengabaikan segala perihal peribadinya termasuk teman hidup. Bukan tidak pernah bercinta tetapi dek komitednya dengan kerja, dia lupa hati orang yang menyayanginya terguris dan terasa terabai.

Azra Aida sendiri mengakui kesilapannya itu. Justeru itu, sewaktu di Jabal Rahmah, dia berdoa jika ada jodohnya, dia mahu Allah temukan dia dengan seorang lelaki yang boleh dia harapkan sebagai “imam dan khalifah” dalam rumahtangganya. Azra Aida tahu, biarpun usianya sudah memasuki 30an dan boleh juga dikatagorikan sebagai “anak dara tua”, Azra Aida pasti Allah ada sebab-sebabnya mengapa jodohnya lambat.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Azra Aida segera mengambil telefonnya yang masih menggunakan simkad Saudi Arabia itu. “Siapa pulak ni?” tanya Azra Aida sendirian. Namun, deringan telefon bimbitnya itu terhenti. Seketika kemudian, terdengar deringan pesanan masuk. Azra Aida membacanya;

Penghantar Pesanan: Assalammualaikum..

Azra Aida: Waalaikumsalam. Siapa ni?

Penghantar Pesanan: Saya, Ustaz Ahmad Ziyad Andika.

Azra Aida terhenti seketika. Ditenungnya lama-lama telefon bimbitnya itu. “Biar betul Ustaz yang hantar message ni!” Azra Aida seakan tidak percaya. Bagai tahu apa yang sedang difikirkan, sekali lagi pesanan masuk:

Ustaz Ahmad Ziyad Andika: Maaf, saya dapatkan nombor Azra daripada Ayah Azra tadi. Tadi, saya telah berjumpa Ayah Azra dan telahpun berterus terang.

Azra Aida: Berterus-terang? Pasal apa ye?

Ustaz Ahmad Ziyad Andika: Err.. jika ada kesudian di hati Azra, saya ingin menyunting Azra sebagai suri hidup saya. Iya, memang kita tidak saling mengenali tapi saya percaya takdir Allah. Mungkin ada sebab Allah “temukan” kita di setiap kebetulan di kota Madinah dan Mekah. Saya percaya Azra sudah temui cinta Allah dan Rasulullah di sini.

Namun, saya percaya.. dalam masa yang sama Allah anugerahkan kita “cinta insani” di bumi yang barakah ini. Saya sudah temui bayangan “tulang rusuk” saya di dalam setiap solat istikharah saya di Masjidil Haram. Pemiliknya adalah gadis bernama Azra Aida binti Abdul Aziz!

Wali sahnya telah saya beritahu, hanya menunggu jawapan si pemiliknya. Saya akan menanti jawapan persetujuan daripada sipemiliknya dengan sabar.

Andai jodoh sudah tertulis untuk kita, izinkan saya menjadi imammu dalam setiap liku perjalanan menuju ke Jannah. Moga ada kebahgiaan untuk kita..Aamiin…

Berderai airmata Azra Aida sehabis membaca pesanan ringkas itu. Perasaannya bercampur baur di kala ini. Itukah jawapannya mengapa degupan jantungnya berdegup laju saat dia terpandang ustaz itu?

Memang benar, dia sudah temi cinta Allah dan Rasulullah di sini. Saat dia merasakan dirinya kosong dan tiada apa-apa, “cinta” itu hadir dalam dirinya. Dia merasakan dirinya sarat dengan rasa cinta pada Allah dan Rasulnya. Nikmat dan Zat yang diperolehi atas rasa cinta itu hanya dirinya sahaja yang tahu. Tiada siapa dapat menggugat rasa kecintaannya itu.

Dan kini… Allah kurniakan rasa cinta insani yang selama ini dia cuba lupakan kerana sedar dia tidak sebagus insan lain memberi cinta dan menghargai cinta. Hatinya kaldu dek ego yang meninggi. Namun, menara keegoannya runtuh dan mudah cair pabila berhadapan dengan sang jejaka dari seberang itu.

“Anak ayah… istikharah lah. Temui jawapan dalam permintaan solatmu itu. Ayah sokong apa sahaja keputusan anak Ayah ni. Moga pertemuan yang penuh berkat ini akan menemui satu jawapan yang menggembirakan. Bagi Ayah, walau tidak sepenuhnya mengenali dia tetapi keperibadiannya sudah menyerlahkan siapa dirinya,” kata Pak Aziz yang tiba-tiba muncul di sebelah Azra Aida sambil tersenyum penuh makna.

“Ya Allah… Rahmati dan Berkatilah dalam setiap perkara yang kulakukan. Iya… di bumiMU yang barakah ini telah kutemui CINTA! Moga ada kebahagiaan menanti dalam setiap keputusan yang kuputuskan..Aamiin…!!” Doa Azra Aida sepenuh hati.

*** TAMAT ***

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.