Home Cerpen Keluarga Bila Isteriku Gila Memancing
Bila Isteriku Gila Memancing
Aida Adia
10/4/2014 14:21:41
3,574
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

  Aisya meletakkan telefon bimbitnya di atas meja makan dengan hati yang membungkam. Baru sebentar tadi suaminya Sharul menelefonnya memberitahu bahawa dia akan pulang lewat malam ini.

“Haii.. rajin pulak laki aku balik lewat sekarang ni..! Sabtu dan Ahad pun rajin benar dia ada kerja luar..! Rasanya..tak ada pulak dia bagitau aku yang dia terlibat dengan apa-apa projek kat office dia tuhh.. Ke.. ada projek lain yang dia tak bagitau aku??” Aisya berkata sendirian di ruang dapur rumahnya itu.

“Laaa…Mama ni..! Nape cakap sorang-sorang kat dapur ni? Mama okey ke?” Tiba-tiba Zarul, anak bujangnya yang berumur 19 tahun datang menyergah. Aisya yang kebetulan ketika itu sedang memegang beberapa biji pinggan untuk disusun di atas meja makan terperanjat dengan sergahan anaknya yang tiba-tiba. Nasib baik tak dilepaskannya pinggan-pinggan itu ke lantai kerana terkejut!

“Kamu ni Zarul.. Lain kali bagilah salam dulu nak menegur Mama! Main sergah aje! Nasib baik Mama tak ada penyakit jantung tau!” Leter Aisya. Zarul hanya tersengih.

“Mama..Ayah tak balik lagi ke Ma?” Tiba-tiba Zaira anak gadis suntinya yang berumur 15 tahun pula bertanya.

Aisya diam. Dia masih meneruskan kerja-kerja mencuci pinggannya di singki. Tidaklah banyak mana pun tetapi setiap pinggan yang dicuci itu dicucinya berulang-ulang kali seolah-olah sukar benar kotoran di pinggan itu hendak ditanggalkan!

Zaira dan Zarul berpandangan sesama sendiri. “Apasal Mama tu?” Bisik Zaira menanyakan abangnya. Zarul hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

“Ayah banyak kerja kot, Ma! Hmm… jap lagi Ayah baliklah tuh..!” Kata Zarul dalam masa yang sama cuba memujuk Mamanya yang sedang masam mencuka itu.

Tiba-tiba Aisya berpaling mengadap anak-anaknya yang sedang duduk di meja makan. “Err… Ayah pernah tak bagitau korang yang Ayah ada terlibat dengan mana-mana projek kat ofis dia? Musykil pulak Mama.. memanjang Sabtu dan Ahad, Ayah korang asyik kerja jer..!” Tanya Aisya ingin tahu.

“Hmm.. tak ada plak Ma! Ala… Mama jangan risaulah.. Ayah memang banyak kerja tu.. Dek banyak kerjalah tu mungkin Ayah tak sempat nak bagitau Mama..” Balas Zarul.

“Hmm.. ye laa tuhh.. ke.. korang ada buat pakatan dengan Ayah korang..taknak bagitau Mama!” Tanya

Aisya dengan wajah curiganya.

“Isshhh.. Mama ni.. Mana ada! Apalah Mama ni..fikir yang bukan-bukan pasal Ayah!” Sahut si adik pula mempertahankan ayah mereka.

“Hmm.. ye laa.. Mama Tanya jer.. Korang ni bukannya boleh percaya sangat..! Kalau dengan Ayah korang, ada ajer pakatan rahsia yang korang rancang. Bukan nak ajak Mama sekali!” Kata Aisya sedikit nada merajuk.

 

Dia meneruskan semula kerja mencuci pinggannya itu. Perlakuannya itu disambut dengan ketawa gelihati oleh anak-anaknya. “Mama..Mama!..” Zarul menggelengkan kepala melihat Mamanya begitu.

****************************************

Sharul memakirkan keretanya di tapak meletak kereta di kawasan lapang itu. Terdapat dua tiga buah kereta diparkir di kawasan itu. Dia memandang jam di tangan. Sudah pukul 9.00 malam. “Chantekkk!!” Katanya sambil tersenyum.

Sharul yang hanya berseluar jeans dan memakai T-Shirt hitam itu keluar dari kereta Honda Civic hitamnya dan terus ke belakang kereta. Membuka bonet kereta dan mengeluarkan barang-barang yang ingin dibawanya. Beberapa batang joran, sebuah bekas kecil yang bertutup yang berisi umpan untuk memancing dan beg kecil yang mengandungi perkakas atau alatan memancing seperi mata kail, tali pancing dan sebagainya.

Pintu gerbang Kolam Memancing Ah Kaw yang meriah dengan lampu-lampu berwarna-warni menyambut kedatangan Sharul di malam yang dingin itu.

“Abang nak pergi mana ni malam-malam minggu ni?” Teringat bagaimana sibuknya isterinya Aisya bertanya dirinya yang sedang bersiap-siap ingin keluar selesai solat Isyak tadi.

“Errr.. Abang ada hal jap Yang! Nak bincang pasal projek kat ofis tu..” Jawab Sharul.

“Aiii.. takkan nak bincang pasal kerja malam-malam minggu ni? Kan waktu bersama keluarga sekarang ni kan? Hal kerja, tak boleh nak bincang kat ofis, waktu bekerja ke?” Tanya Aisya sedikit berang.

“Tak sempatlah Yang! Ala… awak duduklah kat rumah ngan anak-anak. Tak lama, dalam 3 jam jer.. Pastu Abang balik lah..!” Jawab Sharul. Dia sudah membuka pintu rumah untuk keluar.

“Betul ke Abang nak bincang pasal kerja ni? Ke… ada projek lain ni..??” Tanya Aisya lagi tidak puas hati.

“Isshh… awak ni.. Tak ada masa lah saya nak memikir projek lain.. Projek ni lagi bagus dan berbaloi! Ehh… dah laa.. Abang pergi dulu. Jap lagi Abang balik. Assalammualaikum..!” Jawab Sharul sambil tergesa-gesa memasuki kereta dan terus memandu pergi dengan segera.

Hmmm… Sharul mengeluh. “Maafkan Abang Aisya.. Bukan Abang tak nak berterus-terang. Cuma.. belum masanya lagi!” Keluh Sharul sendirian di situ sambil melangkah masuk ke Kolam Memancing Ah Kaw itu dengan semangat memancing yang berkobar-kobar.

Sudah tiga bulan dia jatuh cinta dengan hobi barunya itu. Asal ada waktu terluang dan habis waktu bekerja, dia pasti akan menyinggah di Kolam Memancing Ah Kaw ini. Semuanya ini gara-gara “hasutan” dari rakan baiknya Ajak sehingga dia terjebak dengan “cinta” barunya itu!

Bak kata Ajak, rakan baiknya itu; “Aku… kalau tak dapat memancing walau seharipun dalam seminggu, memang confirm aku tak dapat tidur lena, mandi tak basah, makan pun tak kenyang! Kau tau tak?”

“Hehehhe.. kau ni..dah kronik sangat tuhh!” Komen Sharul sambil tersengih.

“Haa.. kau tak tau penangan orang yang dah tangkap cintan dengan memancing ni! Feeldia berbeza dari feel bercinta dengan pompuan kau tau..! Esok-esok..kalau kau pun dah masuk macam level aku nihh.. barulah kau akan faham feel yang aku rasa!” Kata Ajak.

Sharul tersenyum. Sememangnya, ada juga benarnya kata-kata Ajak itu. Dan kini, dia sudah merasakan “feel” yang Ajak katakan itu! Entah mengapa, bilamana fikirannya berserabut dengan pelbagai masalah kerja, rumahtangga dan peribadi, di kolam memancing inilah tempat dia “meluah rasa”selain mengajar dirinya agar bersabar dan tenang menghadapi segala persoalan yang sukar.

Banyak perkara yang Sharul pelajari bila bergaul dan berkawan dengan rakan-rakan baru pemancingnya ini. Pernah dia mendengar satu ungkapan lain menyebut; "Seseorang pemancing belum dianggap sebagai pemancing yang tegar jika isterinya tak marah kepadanya kerana pergi memancing."!

 

Bagi Sharul, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan. Tidak curang kepada isterinya Aisya dan tidak mempermainkan mana-mana hati dan perasaan wanita lain. Sharul menganggap memancing merupakan satu terapi diri selain sebagai hobi yang kadangkala membawa keuntungan.

Manakan tidak, jika dia memperolehi seekor dua ikan Siakap mahupun Jenahak, sekurang-kurangnya dia sudah dapat menjimatkan perbelanjaan dapur untuk seminggu. Jika Aisya asyik komplen yang dia selalu membawa balik ikan yang sama sahaja, maka Sharul mempunyai pilihan dengan menjualkan hasil tangkapannya kepada rakan-rakan pemancing yang lain mahupun kepada tokeh kolam pancing itu sendiri.

Cuma satu sahaja.. setiap kali dia membawa ikan hasil tangkapannya itu, Sharul lebih gemar memberi alasan bahawa dia membelinya dari rakan-rakan pejabat. Sharul masih tidak pasti adakah iserinya itu dapat menerima hobi barunya itu? Untuk itu, Sharul mengambil keputusan agar merahsiakan dahulu tentang hobi barunya itu daripada pengetahuan isterinya itu buat sementara waktu sehingga suatu ketika yang diizinkan.

Melangkah masuk sahaja ke persekitaran kolam itu, dari jauh Sharul sudah terpandangkan Ajak dan beberapa orang teman yang lain sedang duduk memancing di posisi atau “port” masing-masing. Sharul melambaikan tangannya ke arah mereka.

“Sorrylah geng.. lewat sikit hari ni..” Kata Sharul sambil meletakkan rod-rod yang dibawanya di sebelah kerusi yang diduduki Ajak. Ajak hanya tersengih.

 

Sharul mula melabuhkan pancingnya dengan berumpankan udang kecil segar dan dia mula menghitung nasib. Detik demi detik ditunggu namun seakan tiada satu umpan pun diragut oleh si ikan sedangkan teman-teman yang lain sibuk menaikkan hasil pancingan masing-masing. Bertambah geram lagi bila Ajak sengaja menyanyi-nyanyi lagi “Si ikan Kaloi” di hadapannya sambil menanyangkan hasil tangkapannya.

 

Sharul menukar port bersebelahan sangkar dengan harapan dapat menaikkan tangkapan. Geram pula melihat Fazli yang lebih dikenali dengan nama “Sifu” itu berjaya menaikkan Jenahak seberat 2 kilogram. Siapa boleh tahan!

 

Sejam kemudian akhirnya rod Sharul disentap Jenahak seberat 2 kilogram juga! Ikan yang agak agresif ini memberi aksi yang menarik, melarikan umpan ke kawasan kayu dan sangkar dalam usaha melepaskan diri. Akhirnya usaha itu memakan diri kerana Jenahak tersebut melekat di jala sangkar.

 

Sharul cuba untuk menaikkan Jenahak tersebut tetapi agak sukar memandangkan keadaan yang kurang cahaya dan agak gelap. Akhirnya tali pancing dipotong bagi memudahkan Jenahak didaratkan. Itu alternatifnya dari tidak berputih mata!

 

Kali ini giliran Sharul pula bernyanyi-nyanyi lagu “Si ikan Kaloi” di hadapan Ajak kerana ikan tangkapannya lebih besar dan berat dibandingkan dengan Ajak. Lagu “Si Ikan Kaloi” itu merupakan “lagu rasmi” di kalangan geng-geng pancing mereka yang telah Berjaya mendapatkan hasil tangkapan!

 

Ajak dan rakan-rakan yang lain tertawa sporting. Pulangnya Sharul ke rumah dengan satu kepuasan yang tidak terkata dan tidak dapat ingin diluahkan dengan kata-kata. Rasanya inilah kali pertama sejak dia mula mengenali hobi memancing ini, ikan tangkapannya adalah yang paling berat dan besar yang diperolehinya. Sebelum ini, jika dia pergi memancing kolam, dia hanya mendapat seekor dua ikan yang sederhana besar. Malah tidak dapat seekor ikan selama 3 jam memancing pun ada!

 

Namun itu semua tidak pernah melunturkan semangatnya malah sentiasa berusaha untuk mempelajari skil-skil dari teman-teman senior yang lebih berpengalaman dalam dunia memancing. Itulah uniknya semangat yang ada kepada sesiapa yang gila memancing!

********************************************

Aisya bangun perlahan-lahan dari tidurnya. Suaminya Sharul di sebelah sedang tidur lena. Bunyi kuat dengkuran Sharul meyakinkan lagi hati Aisya bahawa suaminya itu memang keletihan yang amat sangat.

 

Aisya memandang jam kecil di meja kecil di sebelah katil. Sudah pukul 3.00 pagi! “Huh bagus! Inilah masanya..! Harap-harap dia tak sedar!” Kata Aisya di dalam hati. Dengan terjingkit-jingkit dan tanpa meninggalkan sebarang bunyi, Aisya keluar dari bilik tidurnya itu.

 

Perlahan-lahan dia menuruni tangga menunju ke ruang tamu di tingkat bawah. Semapt juga dikerlingnya bilik-bilik anak-anaknya. Semua pintu bilik bertutup. Doa Aisya agar tiada seorang pun dari anak-anaknya yang terbangun awal-awal pagi begitu.

 

Tiba di ruang tamu, dengan perlahan juga Aisya membuka pintu besar rumah dan terus keluar. Sempat lagi dia memerhatikan kawasan sekitar luar rumah yang sunyi dan dingin itu. Rumah jiran-jiran yang berdekatan juga diperhatikan. Sempat pula dia memikirkan jika tiba-tiba ada pula jiran yang keluar rumah ketika itu. Pasti mengundang pelbagai persoalan dari mereka mengapa Aisya seorang diri keluar rumah bagaikan pencuri!

 

Sudah lama Aisya nantikan saat dan peluang ini. Dia perlu cari jawapannya sendiri atas setiap perubahan suaminya sejak tiga bulan lalu. Bukan tidak percaya kepada suaminya tetapi Aisya merasa sedikit curiga melihat perilaku suaminya yang seolah-olah menyembunyikan sesuatu darinya. Dia perlu mencari jawapan dan menyiasat sendiri.

 

Perlahan-lahan Aisya menghampiri kereta suaminya Honda Civic hitam. Dia perhatikan dengan teliti kesemua pintu kereta suaminya itu. “Laa…pintu kereta pun laki aku lupa nak kunci! Letih sangatlah tuhh..!” Kata Aisya perlahan. “Ehh.. bagus juga tak berkunci.. Inilah peluangnya!” Aisya sudah tertawa perlahan seorang diri di situ.

 

Tak ubah seperti pencuri kereta, Aisya dengan perlahan-lahan membuka pintu kereta dan terus masuk ke dalam kereta. Dia menyelongkar barang-barang yang berada di dalam dashboard kereta suaminya itu. “Hmmm… takde apa pun kat sini... ! Surah Yassin, tali leher.. dan semua barang-barang dia aje ni..!” Rungut Aisya sendirian.

 

Tidak puas hati lagi, dia memeriksa bahagian bawah kerusi kereta. Mencari-cari sesuatu kalau-kalau suaminya ada menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya. “Manalah tahu..kot-kot ada tercicir gincu ke.. sapu tangan atau tisu perempuan lain ke…” Bebel Aisya sendirian di dalam kereta itu.

Aisya kemudiannya keluar dan terus membuka boot kereta di bahagian belakang. Demi terbukanya pintu boot itu, Aisya agak terkejut melihat barang-barang di dalam boot kereta suaminya itu.

 

“Banyaknya barang-barang pancing!! Sejak bila pulak laki aku minat memancing ni? Tapi… kenapa dia nak sorok minat baru dia ni kat aku? Kenapa mesti nak berahsia?? Patutlah selama ni..rajin bawak balik ikan-ikan. Tapi.. dia cakap, Ajak yang selalu jual ikan hasil pancingnya itu kat kawan-kawan ofis. Hmmm… nape dia nak sembunyikan perkara sebenar kat aku ni??” Aisya membebel-bebel sendirian.

Dengan berhati-hati, dia menutup pintu boot kereta suaminya itu. Perlahan-lahan dia memasuki rumah dengan seribu satu persoalan yang bermain di kepalanya.

 

************************************************************

Pagi minggu yang cerah dan nyaman. Walaupun matahari sudah semakin meninggi di atas kepala namun suasana di kolam memancing itu masih lagi terasa sejuk dan nyaman kerana kawasan sekelilingnya dikelilingi oleh pokok-pokok getah yang merimbun. Terasa amat mendamaikan.

 

Pagi-pagi lagi Sharul dan geng-geng pancingnya sudah berada di Kolam Memancing Ah Kaw itu. Kepada Aisya, Sharul memberitahu dia ada “meeting tergempar” di pejabat. Reaksi dari Aisya sememangnya mengundang kehairanan di hati Sharul. Aisya tidak lagi banyak bertanya ke mana dia mahu pergi seperti sebelum ini. Ini bukan kali pertama Aisya memberi respon yang sedemikian. Malah, sejak lebih sebulan yang lalu.

 

Sharul pula yang tertanya-tanya dengan sikap isterinya itu. “Aisya dah tahu ke yang aku selalu pergi memancing?” Tanya Sharul di dalam hati. “Dia marah kat aku ke? Merajuk kot? Tapi… aku tengok dia layan aku macam biasa jer..” Sharul bermonolog sendirian di situ.

 

“Weeii.. kau apahal plak termenung ni?” Sergah Ajak di belakang Sharul. Sharul tersedar dan tersengih memandang Ajak. “Tak baik termenung kat depan kolam rezeki ni Bro!..” Tegur Ajak. “Orait..Orait!” Hanya itu sahaja jawapan Sharul. Ajak yang faham dengan apa yang dialami oleh Sharul hanya tersenyum dan beredar mencari port yang sesuai untuk memancing.

 

Sharul juga bangun mencari port yang sesuai. Kali ini dia duduk di port yang dikatakan "Port Jenahak" dimana ia menjadi sarang atau laluan spesis tersebut memandangkan ramai pemancing yang berjaya menarik Jenahak disitu. Setelah semua peralatan siap di pasang maka umpan mula dilabuhkan.

 

Setelah hampir 45 minit, Sharul sudah mula menyuarakan keresahan lantaran belum ada rengutan dari sang ikan. Ajak pula sudah ke hulu ke hilir mencari port terbaik. Agak lama menunggu keadaan mula menjadi tegang. Entah mengapa, Sharul mula naik angin. Kehampaan jelas terpancar di wajah Sharul, skillnya seakan tidak menjadi pada pagi itu.

 

Di seberang kolam sana, terdengar bunyi riuh dan tepukan dari beberapa orang geng pancing. “Apahal tu Ajak?” Tanya Sharul bila dilihatnya Ajak baru sahaja kembali dari menjenguk kumpulan yang riuh tadi.

 

“Hehhe.. kau jangan tak caya Rul.. ada awek mana ntah..terror giler memancing!” Cerita Ajak.

 

“Ha?? Awek? Terror sangat ke?” Tanya Sharul sambil ketawa sinis. “Jom lah kita gi tengok. Dasyat giler beb..! First time aku nengok pompuan terror memancing. Silap-silap, kita pun boleh kalah dengan dia!” Kata Ajak.

 

“Isshh.. kau pergi lah sorang. Aku tunggu sini jer laa..” Jawab Sharul malas. “Hmm… kau tunggulah jer laa kat sini.. Agak-agak kau rasa bosan jap lagi.. kau gi sana ehh..!” Beritahu Ajak sambil terus berlalu ke arah kumpulan tadi.

 

Sharul berdiri sambil memerhatikan jorannya yang “diam” kaku tidak terusik dek sang ikan. “Mana pulak ikan-ikan ni semua ehh? Mogok lapar ke apa?” Rungut Sharul sendirian di situ.

 

Terdengar lagi keriuhan umpama pesta di seberang kolam sana. Sharul memandang ke arah kumpulan itu. Kelihatan ramai geng-geng pancing yang sedang mengelilingi si pemancing perempuan yang dikatakan Ajak itu. “Ke… semua ikan-ikan dah kena tarik ke sebelah sana tu? Tak boleh jadi ni..! Macam menarik jer cerita si Ajak tuh.. Aku pun nak tengok gak terror mana awek yang si Ajak ceritakan tuhh..!” Kata Sharul sendirian lagi.

 

Akhirnya, dia pun terus menuju ke seberang kolam untuk menyertai Ajak. Dari jauh, Sharul sudah terlihat seorang perempuan bertudung yang berseluar jeans dan berT-Shirt lengan panjang sedang berdiri memegang jorannya, mengadap kolam dengan tenang. Oleh kerana perempuan itu memakai topi besar, maka wajahnya terlindung di balik topi besar itu. Sharul lebih selesa memerhati dari jauh sahaja.

 

Selang beberapa minit kemudiannya, kelihatan joran perempuan itu disentap dengan agak kasar, desingan drag seakan menunjukkan lawan jorannya bukan calang-calang ikan. Akhirnya Jenahak besar berjaya ditewaskan. Sharul begitu kagum bila melihat cara perempuan itu menangani Jenahak yang agresif itu dengan tenang dan tidak panic.

 

“Perempuan ni mesti dah banyak pengalaman. Tengok cara dia pun macam dah pro je!” Tiba-tiba Ajak bersuara di sebelah. Sharul mengangguk setuju dengan kata-kata Ajak itu. Tengahari itu, agak banyak juga Jenahak dan Siakap yang didaratkan oleh perempuan itu. Sedangkan Sharul dan Ajak, tiada seekor ikan pun yang mengena.

 

“Hari ini memang bukan rezeki kita!” Kata Sharul perlahan kepada Ajak. Ajak cuma tersengih.  Memandangkan waktu memancing telah hampir tamat maka Sharul dan Ajak pun mula bersiap sedia untuk pulang.

 

Ketika Sharul ke kaunter untuk membayar caj, dia tersepak sebuah baldi yang berisi beberapa ekor ikan yang berada betul-betul di hadapan pintu kaunter. Dalam Sharul cuba untuk mengalihkan baldi itu, tiba-tiba perempuan yang menjadi “hero pancing di kolam” tadi muncul.

 

“Sorry…Sorry…! Saya basuh tangan tadi..!” Kata perempuan itu. Masih memakai topi besar dan cuba mengangkat baldi berisi ikan itu dari menghalang laluan Sharul. Namun mendengar suara perempuan itu membuatkan hati Sharul tidak keruan.

 

Dengan penuh teruja dan tanpa berfikir panjang, Sharul terus menarik topi besar yang menutup kepala perempuan yang bertudung itu. Perempuan itu yang terkejut dengan tindakan Sharul memandang ke atas. Mereka berpandangan mata.

 

“Aisya??!!” Sharul terkejut dan terasa bagaikan mahu pitam di situ juga!

 

**************************************************

“Zarul!! Zara!! Abang..!! Cepatlaa…Kita dah lambat ni..!” Jerit Aisya dari luar rumah. “Okey..okey…!” Jawab Sharul dari dalam rumah.

 

“Haa.. cepat! Cepat… ! Mama kamu dah bising dah tuh!” Gesa Sharul kepada dua orang anaknya di muka pintu rumah mereka. Zarul dan Zara segera keluar. Sharul mengunci pintu. Di dalam kereta, Aisya sudah duduk menunggu di kerusi sebelah pemandu.

 

“Lambatnya Abang ni…!” Rungut Aisya.

“Ye laa.. Puan Aisya.. Takkan lari kolam pancing tuhh..!” Balas Sharul sambil tersenyum memandang isterinya.

“Ehh… barang-barang semua dah siapkan?” Tanya Sharul.

“Sudah Encik Sharul. Tunggu Encik Sharul saje ni..!” Jawab Aisya sambil menjeling manja ke arah suaminya.

"Sabar Mama.. Kitaorang tau Mama dah tak sabar nak tunjuk skil kat kolam.. hehehe… don’t worry, we all support Mama!” Kata Zarul pula dan disambut gelak tawa mereka anak-beranak.

Sharul tersenyum lebar sambil tenang memandu kereta menuju ke destinasi yang dituju. Siapa sangka, kehidupannya kini jauh lebih bahagia dan ceria sejak insiden di Kolam Memancing Ah Kaw dua bulan lepas.

 

Kejadian itu benar-benar telah mencabar ego Sharul sebagai seorang suami. Sharul benar-benar marah dengan apa yang telah dilakukan oleh Aisya. Berhari-hari juga Sharul tidak pulang ke rumah kerana sakit hati dengan sikap isterinya itu. Sharul telah menyewa bilik di hotel tumpangan yang berdekatan dengan pejabatnya. Beberapa kali Aisya cuba menghubunginya di telefon bimbit dan di pejabat untuk menjelaskan perkara sebenar tetapi tidak dilayan oleh Sharul.

 

Namun begitu, Sharul ada juga memikirkan adakah tindakannya sendiri kepada Aisya adalah rasional? Sedangkan dialah puncanya semua perkara ini berlaku. Jika dia pada awal-awal lagi sudah berterus-terang kepada Aisya tentang minatnya pada hobi memancing, mungkin semua ini tidak akan berlaku. Tindakannya yang menyembunyikan perkara sebenar telah mengundang rasa curiga Aisya kepadanya.

 

“Aku tak nampak salahnya tindakan isteri kau tu Rul! Sama saje..kalau kau letakkan diri kau di tempat dia. Mungkin kau juga akan buat perkara yang sama. Lagipun, dia bukan “balas” dengan buat perkara-perkara yang tak senonoh.. macam cari jantan lain ke apa..Aku pasti, dia ada alasan tersendiri mengapa dia buat macam tu.. Pergilah balik dan bincang baik-baik!” Nasihat Sifu Fazli bila Sharul merujuk masalahnya.

 

“Isteri kau tu baik Sharul..Dia tak ada niat lain tu.. Janganlah kau risau.. Aku Cuma risaukan kau tu aje! Kau sebenarnya tak boleh terima kenyataan yang isteri kau tu jauh lebih terror memancing dari kau! Betul tak??” Tanya Sifu Fazli sambil ketawa. Sharul sudah terdiam.Lama dia memikirkan tentang kata-kata Sifu Fazli itu. Betul lah agaknya kot!

 

Akhirnya, Sharul pulang juga ke rumah. Itupun Zarul anaknya yang menyuruh dia balik kerana risaukan Mamanya yang selalu sedih dankelihatan tidak berapa sihat.

 

Aisya mengakui bahawa dia menyimpan curiga terhadap Sharul dengan sikap yang ditunjukkan oleh Sharul sejak beberapa bulan kebelakangan ini.Curiga Aisya terpadam bila Aisya mendapat tahu bahawa Sharul sebenarnya gian memancing namun masih tertanya-tanya mengapa Sharul merahsiakan aktiviti Sharul dari pengetahuannya.

 

Aisya dalam diam telah senyap-senyap ke kolam memancing dengan ditemani oleh anak bujangnya Zarul dan mempelajari segala teknik-teknik memancing dari Sifu Fazli yang sememangnya sentiasa berada di kolam memancing itu.

 

Kepada Sifu Fazli dia telah menjelaskan niatnya untuk belajar memancing agar suatu hari nanti, dia boleh pergi memancing bersama dengan suaminya. Bagi Aisya, jika sekadar seorang isteri yang hanya menemani suaminya tanpa mengetahui serba sedikit tentang selok-belok memancing pasti akan merasa bosan menemani suaminya. Untuk itu, Aisya sanggup belajar dan mendalami serba-sedikit tentang ilmu memancing hanya untuk membuatkan suaminya gembira!

“Jadi.. awak kenallah dengan Sifu Fazli?” Tanya Sharul.

 

“Ya… dialah yang banyak mengajar Aisya skill memancing ni. Sifu dah Aisya anggap macam ayah Aisya dah. Abang janganlah marah dia. Lagipun sepanjang Aisya mengenali Sifu, Aisya bukan berdua-duaan dengan Sifu. Tu haa.. anak bujang Abang pun terpaksa berkorban ponteng kolej semata-mata nak menemani Mamanya! Dan.. Sifu jugak tidak pernah sekalipun bertanya mahupun menyiasat siapa nama suami Aisya dan apa masalah Aisya. Dia Cuma Tanya Aisya…apakah niat Aisya nak belajar memancing ni..!” Terang Aisya. Sharul terdiam lagi. Teringat kata-kata nasihat Sifu Fazli kepadanya tempohari.

“Abang mintak maaf Yang..! Abang yang bersalah. Kalau Abang tak sembunyikan perkara ni, taklah Aisya curiga kat Abang macam tu sekali. Betul tak? Abang… hargai apa yang Aisya dah buat untuk Abang.. Terima kasih sayang!” Kata Sharul.

“Tapi… Abang hairan lah… Bila masa Aisya pergi ke kolam memancing tu?” Tanya Sharul. Perkara ini sudah lama ingin ditanyakan kepada isterinya.

Aisya ketawa. “Aisya pergi ke kolam tu setiap pagi Isnin dan Jumaat sebab hari Isnin, adalah hari permulaan bekerja. Jadi, mestilah Abang sibuk kat ofis dan takde masa nak ke kolam. Hari Jumaat pulak sebab.. biasanya Abang akan selalu ada kat ofis sebelum gi solat Jumaat. Lepas tu.. Abang tentu dah hilang ke kolam kan? So… morning was the best alternative!” Terang Aisya sambil tersenyum

Sharul ketawa sambil menepuk-nepuk bahu Aisya mesra. “Bijak isteri Abang ni! Bukan setakat bijak menjaga rumahtangga.. bijak dan terror habis di kolam pancing! Abang pun kalah! Bertuahnya Abang rasa!...” Kata Sharul bangga.

Sharul menarik nafas panjang. Tumpuannya kepada pemanduannya walau separuh fikirannya melayang mengingati kisah lalu. Dia melirik ke arah isterinya di sebelah. Aisya kelihatan sedang memikirkan sesuatu. “Dah sampai kolam pancing ke tu?” Tegur Sharul.

Aisya yang sedang termenung terkejut ditegur begitu oleh suaminya. Dia tersenyum ke arah suaminya. Hati Aisya bahagia. Kini, tiada apa yang perlu dbimbangkan. Kesabarannya terbayar. Bukan sahaja dia dapat “kembalikan” suaminya semula, malah Aisya kini memiliki segala-galanya..!

Masa terisi dengan aktiviti baru bersama-sama keluarga. Semua orang tidak terkecuali. Ianya bagaikan aktiviti keluarga. Setiap dua minggu sekali, mereka sekeluarga akan memancing di kolam memancing namun yang pastinya, tidak lagi di Kolam Memancing Ah Kaw! Bila anak-anak menanya mengapa tidak mahu lagi ke sana, Sharul akan menjawab “Semua ikan-ikan kat kolam tu dah kenal Mama korang! So.. dorang dah tak nak makan lagi umpan kita!”

Aisya hanya tersengih gelihati mendengar jawapan dari suaminya. Yang pastinya, Sharul merasa malu bila Ajak dapat tahu bahawa “awek yang terror memancing” tempohari adalah isterinya!

 

*************


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.