Home Novelet Seram/Misteri ANTOLOGI SERAM NOVELET - AIRPORT (Bandara Angker)
ANTOLOGI SERAM NOVELET - AIRPORT (Bandara Angker)
Aida Adia
31/5/2016 23:42:50
3,369
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 3

JAMmenunjukkan pukul 11.55 pagi, ketika mereka tiba di Adisucipto International Airport. Sebaik sahaja mereka tiba di sana, mereka terpaksa beratur panjang di kaunter imigresen. Disebabkan kawasan Adisucipto International Airport ini kecil sahaja, maka keadaan di situ memang sangat sesak dan merimaskan.

Selepas urusan imigresen selesai, seperti yang dibincangkan Ali Imran dan Ibu Indah sebelum ini, Pak Budi seorang pembantu merangkap tourist guideyang dilantik oleh Ibu Indah akan menemui Ali Imran dan rakan-rakannya di situ.

Sedang Ali Imran tercari-cari kelibat Pak Budi, tiba-tiba mereka didatangi seorang lelaki separuh umur sambil memegang kad besar yang tertulis nama Ali Imran di situ.

“Assalamualaikum.. Maaf, inikah bapak Ali Imran?” tanya lelaki itu dalam telo Jawa yang agak pekat.

“Waalaikumussalam. Ya, saya Ali Imran,” jawab Ali Imran sopan.

“Maaf ya pak. Saya kelewatan. Saya Budi. Panggil saja Pak Budi. Ibu Indah mengutuskan saya berjumpa dengan bapak di sini, terus untuk dibawa ke hotel,” kata Pak Budi sambil bersalaman dengan mereka berempat.

“Oh, tak mengapa. Perkenalkan ini sahabat saya, Sharul, Elmi dan Irwan,” ujar Ali Imran memperkenalkan sahabat-sahabatnya kepada Pak Budi. Masing-masing sibuk bersalaman dengan Pak Budi.

“Udah selesaikah urusannya di kantor Imigresen, pak? Jika sudah, boleh kita terus ke hotel? Barangkali bapak-bapak sekalian capek sekali. Di hotel, boleh saja beristirahat,” tanya Pak Budi.

“Kami sudah selesai urusannya Pak Budi. Bolehlah kita gerak sekarang,” celah Sharul pula.

“Oh ya? Yuk, kita ke mobilnya di sana. Err..bapak-bapak semua tidak banyak bawa beg?” tanya Pak Budi semakin ramah.

“Kami semua bujang, Pak Budi. Ngak perlu bawa banyak beg. Bisa beli saja di sini, kan,” jawab Elmi pula sambil menunjukkan sebuah bagpack yang dibawa masing-masing.

Pak Budi hanya ketawa. Sebaik sahaja mereka keluar dari pintu besar itu, kelihatan sebuah kereta Honda CRV berwarna kelabu diparkir di situ. Cepat-cepat Pak Budi membuka pintu kereta dan mempersilakan keempat-empat sahabat itu menaiki kereta yang bakal dipandunya itu.

“Laa… Pak Budi jugak jadi supirnya?” tanya Sharul dalam nada gurau.

Ketawa Pak Budi mendengarnya.

“Ya, kok Ibu Indah bisa save kosnya!” jawab Pak Budi selamba.

Ali Imran, Sharul, Irwan dan Elmi turut ketawa.

“Bagus Pak Budi ni, multi-tasking orangnya!” puji Elmi pula.

“Bapak-bapak mahu terus ke hotel atau bagaimana?” tanya Pak Budi setelah kereta yang dipandunya meninggalkan kawasan Adisucipto International Airport.

“Err… terus aje ke hotel Pak Budi. Kami mahu istirehat dulu. Nanti petang, kami keluar,” jawab Ali Imran.

“Baik!” jawab Pak Budi sambil tersenyum.

“Yang kau senyap ni kenapa Irwan? Come onlah bro! Kan kita sedang bercuti ni. Simpan aje segala tentang kerja kat ofis tu jauh-jauh. Tak payah nak stress sangatlah!” tegur Sharul apabila dilihatnya Irwan lebih banyak berdiam diri dan termenung.

“Yalah kau ni pun. Kau belum cerita kat kita orang lagi, apa yang kau mimpi kat dalam flight tadi, sampai mengigau panggil nama si Imran ni!” celah Elmi pula.

“Haahlah bro! Kau mimpi apa tadi? Saspens pulak aku bila kau terjerit-jerit panggil nama aku. Malu aku! Semua orang tercari-cari yang mana satu Imran. Famous aku sekejap!” kata Ali Imran sambil ketawa.

“Tak ada apalah. Aku letih sangat kot. Itu sebab aku meracau yang bukan-bukan!” jawab Irwan ringkas.

Perjalanan berkereta hanya mengambil masa selama sepuluh minit sahaja untuk sampai ke Royal Ambarrukmo Yogyakarta Hotel, antara hotel yang terbaik di Jogjakarta itu. Sebaik sahaja tiba di perkarangan hotel itu, Pak Budi terus memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan pintu masuk.

“Okey bapak-bapak semua. Jika mahu berlibur dan jalan-jalan, terus hubungi saya di telfon ya! Nanti saya bawa ke mana sahaja yang diinginkan,” kata Pak Budi.

“Rasanya petang ini, kami mahu bebas jalan-jalan di kawasan berdekatan hotel ini saja, Pak Budi. Pagi esoknya, boleh Pak Budi kembali ke sini, ambil saya untuk bertemu Ibu Indah,” kata Ali Imran.

“Oh, bisa saja! Okey, saya permisi dulu ya. Selamat berlibur!” kata Pak Budi sebelum dia meneruskan pemanduan dan berlalu dari situ.

Pak Budi faham benar dengan jiwa anak muda berempat itu. Justeru itu, dia tidak kisah sangat dengan perancangan anak-anak muda itu. Yang penting, dia telah melaksanakan tugasan hari pertama tetamu majikannya itu.

Setelah Pak Budi pergi, mereka berempat terus masuk ke lobi hotel untuk pendaftaran. Ali Imran sudah dimaklumkan oleh Ibu Indah, mereka hanya perlu terus ke kaunter pendaftaran dan menyebut nama Ibu Indah sahaja.

Seperti yang telah dijangkakan, pihak hotel itu menyambut mereka dengan ramah dan layanan yang sangat memuaskan. Mereka berempat diberi dua bilik di mana mereka berkongsi dua orang dalam satu bilik.

Mendapat bilik Deluxe Merapi View memang sangat mengujakan mereka. Apa tidaknya, dengan keadaan bilik yang luas dan mewah, balkoninya benar-benar mengadap pemandangan gunung berapi yang terkenal itu serta taman-taman yang cantik sekitarnya.

“Mak ai… macam duduk kat istana ni! Mewah dan first class betul hotel ni!” puji Sharul yang duduk sebilik dengan Ali Imran.

Dia sudah berdiri di balkoni yang luas itu sambil menikmati pemandangan indah berlatarbelakangkan Gunung Merapi.

“Eh, kau tak tahu ke, hotel ini antara hotel yang terbaik tau kat Yogjakarta ni. Nama hotel ni pun diambil sempena nama raja dulu yang sangat terkenal di zamannya. Tak silap aku, mereka nak kekalkan ciri-ciri reka bentuk di istana lama dan menggabungkan dengan reka bentuk terkini. Hotel ini pun sangat strategik. Berdekatan dengan tempat-tempat bersejarah seperti Candi, Kraton dan banyak lagilah!” cerita Ali Imran.

“Wah, dah macam tourist guide pulak kau ni! Kau mana tahu cerita-cerita macam ni?” tanya Sharul. Dia sudah terbaring di katil empuk bilik itu.

“Ala… Ibu Indahlah yang cerita kat aku. Siapa lagi,” jawan Ali Imran. Dia juga turut terbaring keletihan di sebelah Sharul.

“Err… kau dah pernah jumpa personallyke Ibu Indah tu? Macam mana orangnya?” tanya Sharul.

Tiba-tiba, Ali Imran ketawa mengekek. Sharul terasa pelik.

“Kau apahal?” tanya Sharul.

“Tak adalah, aku tak pernah jumpa dia pun. Selalu bincang dalam telefon saja. Inilah kali pertama aku nak berjumpa dia, kau tau tak?” kata Ali Imran sambil tersengih.

Geli hati memikirkan bagaimana dia terasa seperti sudah lama mengenali Ibu Indah itu walaupun mereka hanya berbual di dalam telefon sahaja.

“Wei, malam ni kita nak makan apa beb? Kat mana?” tanya Sharul tiba-tiba.

“Hmm… kalau kau orang letih, kita makan aje kat restoran hotel ni. Pastu, kita keluarlah kejap berjalan kaki, ronda-ronda kawasan berdekatan. Amacam?” tanya Ali Imran.

“Hmm… bagus jugak cadangan bapak itu. Aku okey saja. Nanti ya, aku call kawan kita di bilik sebelah. Pastinya mereka berdua capek sekali terutamanya budak yang mengigau di siang hari tadi!” balas Sharul dalam nada gurau.

Apa lagi, bergema bilik mewah itu dengan ledakan ketawa mereka berdua kerana teringat kembali peristiwa Irwan mengigau di dalam tidurnya semasa di dalam kapal terbang tadi.

MALAM itu, mereka berempat makan malam di restoran di dalam hotel itu sahaja. Tidak pasti di manakah tempat yang sesuai untuk makan.

“Itulah, Pak Budi nak bawak kita ronda-ronda sambil makan-makan, kau tak mau! Nak jalan-jalan sendirilah. Orang mudalah. Apalah… penyudahnya, makan kat hotel ni jugak,” ujar Sharul tiba-tiba memulangkan paku buah keras kepada Ali Imran.

Ali Imran tidak mempedulikan dengan kata-kata Sharul. Sebaliknya sibuk menikmati masakan jawa daripada hidangan buffet di restoran itu.

“Kau okey tak Irwan? Senyap saja. Kau sihat ke tak ni? Chilllah sikit bro! Mana ada muka orang bercuti stress semacam macam muka kau ni!” tegur Ali Imran.

Irwan hanya tersenyum. Elmi pula sudah tersengih.

“Aku okey Im, cuma penat saja. Aku…” jawab Irwan ringkas namun kata-katanya terhenti apabila melihat wajah Ali Imran yang tercengang melihat sesuatu di hadapannya.

Ketiga-tiga sahabat itu turut juga melihat apa sebenarnya yang difokuskan Ali Imran sehingga dia berkeadaan begitu.

“Wei, kau tengok siapa ni?” tanya Sharul sambil menyinggung siku Ali Imran yang duduk di sebelahnya.

Ali Imran tersedar sambil terkulat-kulat memandang muka Sharul.

“Err… cuba kau orang tengok waitress yang kat kaunter bayaran tu. Cun beb! Awek-awek kat Jogja ni memang mengancamlah! Rambang mata dibuatnya,” kata Ali Imran sambil tersengih.

“Laa… aku ingat kau tengok siapa tadi. Sempat kau ya! Jangan kau dah sangkut dengan awek Jawa kat sini, sudah!” balas Elmi. Keempat-empat mereka ketawa geli hati.

“Sekadar memuji ciptaan TUHAN. Tak salah, kan?” kata Ali Imran sambil tersenyum penuh makna.

“Yang ada ni pun dah berderet! Nak jugak usha awek Jawa tu! Lantak kaulah Labu! Jangan kau rosakkan anak dara orang sudah!” kata Sharul pula.

“Ala… relaxlah geng! Takkanlah sampai macam tu sekali. Aku tahulah limit aku!” balas Ali Imran.

Sharul hanya mengangkat bahu.

Akhirnya setelah selesai makan, mereka keluar berjalan kaki, ronda-ronda di kota Jogja yang berdekatan dengan kawasan hotel tempat penginapan mereka.

Mereka berempat singgah juga di gerai yang menjual Bakso rusuk. Masing-masing tidak dapat menahan godaan nafsu makan apabila berkunjung ke gerai itu. Walhal masing-masing sudah berjanji tidak mahu menikmati sebarang makanan lagi.

“Hisy, sedap jugak Bakso rusuk ni ya. Original kan dari Solo?” kata Elmi.

“Hai, bukan ke aku dengar tadi ada orang tu janji tak nak makan lagi. Makan angin pun dah cukup!” giat Sharul sambil tersengih.

“Hisy, kau ni! Rugilah makan angin saja. Dah terlanjur ada kat sini, hentam sajalah cukup-cukup!” balas Elmi sambil dibalas dengan deraian ketawa oleh sahabat-sahabatnya itu.

Malam itu, mereka menikmati NitelifeJogja dengan menaiki beca. Harganya hanyalah IDR5000 atau lebih kurang RM2.

Apalagi, bergembira sakanlah keempat-empat anak muda itu mengelilingi kota Jogja yang bersejarah itu!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.