Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awekku Minah Latah
Awekku Minah Latah
Aida Adia
3/7/2015 23:35:15
33,022
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5

ZAIMmencampakkan beg komputer ribanya ke atas sofa. Dia merebahkan dirinya di atas sofa panjang di ruang tamu kondo sewaannya itu. Penat fizikal dan mental dek mengharungi kesesakan lalu lintas semasa pulang ke rumahnya dari Leboh Ampang ke Bukit Antarabangsa masih lagi terasa.

Jaraknya tidaklah sejauh mana, namun dek kesesakan jalan raya, perjalanan pulang ke rumah mengambil masa hampir dua jam. Gila! Patutlah orang-orang KL ni ramai yang sakit jiwa. Hari-hari meredah jammed. Hari-hari hidup menyumpah orang! Gerutu hati kecil Zaim.

Zaim seakan-akan terbuai dan hampir melelapkan matanya dek selesa berada di ruang tamunya yang sejuk berhawa dingin serta harum semerbak dengan bau-bauan lilin wangi serta bunga-bunga kering yang juga berbau wangi.

Aroma ruang tamu itu seakan-akan membawa Zaim berada di spa kecantikan. Apatah lagi ruang yang nyaman itu diiringi dengan muzik tiupan saksofon Kenny G dari CD yang dibuka Zaim sebaik dia memasuki kondonya itu. Sungguh mengasyikkan!

Zaim memandang jam dindingnya. Cepatnya masa berlalu. Sudah pukul 9.00 malam. Masa terbuang begitu sahaja di dalam kereta. Detik hati kecil Zaim.

Dia memandang malas sekitar ruang tamu rumahnya itu. Susun atur dan hiasan di dalam kondonya itu semuanya bercirikan moden. Warna tema kondonya itu hitam dan putih.

Terasa lemah ingin bangun dan seterusnya mandi untuk menyegarkan diri. Dalam rasa malas dan lemah itu, digagahkan juga dirinya untuk bangun. Dia perlu bersiap. Malam ini dia ada temu janji.

Teringatkan nama seseorang di dalam fikirannya, Zaim terus bangun. Matanya segar kembali. Dia terus menuju ke bilik mandi di dalam bilik utamanya.

Memasuki ruang bilik mandinya, memang terasa seperti berada di dalam bilik air di hotel-hotel lima bintang. Gaya dan susun atur bilik mandinya memang ada cita rasa tersendiri. Di meja kecil bercermin yang terletak di sudut tepi bilik mandi itu, tersusun pelbagai jenis barang-barang penjagaan diri untuk lelaki di situ.

Sememangnya Zaim memang amat cerewet tentang hal-hal penjagaan dirinya. Dia amatmengambil berat soal rerambut pada tubuhnya. Rambut perlu dipotong kemas. Dia mencukur, malah wax rerambut pada wajah mahupun di bahagian lainnya. Menyakitkan? Apa dia kisah, yang penting hasilnya memuaskan.

Cuttingjuga merupakan antara kriteria utama yang dititikberatkan Zaim kerana dia ingin sentiasa kelihatan segar, kemas dan stylo setiap masa. Malah, dia juga sentiasa kelihatan bergaya ke tempat kerja.

Hidupnya juga dirasakan tidak lengkap tanpa pemakaian minyak wangi yang berjenama dan berkualiti. Selalunya minyak wangi yang dirasakan bersesuaian dengan personalitinya menjadi pilihan.

Pernah Akmal memerlinya suatu hari.

“Zaim, kalau kau sembunyi macam mana pun kat office ni, kami semua boleh cari kau tahu tak?”

“Macam mana tu?” tanya Zaim lurus.

“Yalah, bau badan kau yang semerbak tu, kau dari dalam lif kat ground floor lagi, aku di tingkat 10 dah boleh tahu kau nak masuk office, kau tahu tak?” sambut Akmal sambil ketawa besar.

Zaim sedikit pun tidak ambil hati dengan gurauan Akmal. Dia sudah kenal perangai Akmal yang selalu lepas cakap, namun Zaim tahu hati Akmal baik dan jujur. Pernah suatu hari Akmal menegur cara dan gaya penampilannya.

“Kau ni, nak kata lelaki maskulin, tak jugak. Nak kata lelaki K-Pop, iya jugak. Hmm... apa ya nak aku kategorikan kau ni. Mat jambu kot. Bersiap dan bergaya mengalahkan perempuan. Segala mak bapak produk kecantikan dan penjagaan diri kau ada. Hadoi, naik lemas pulak aku menengoknya!” kata Akmal selamba.

“Apa yang kau kisah? Ada aku mintak duit kau ke nak beli benda-benda tu semua? Lagipun, inilah aku. Aku dah memang terbiasa dengan cara hidup begini. Sejak kecik lagi aku dah didedahkan dengan benda-benda begini. Bagi aku, ia tak salah,” jawab Zaim.

“Salah tu tidaklah, tapi jangan berlebih-lebihan. Kalau kau sedar diri dan pandai bergaul dengan kawan yang sesuai, insya-ALLAH, selamatlah kau. Cuma, aku tak berkenan dengan pergaulan kau tu. Kawan-kawan kau!” tegur Akmal.

“Kenapa dengan kawan-kawan aku?” tanya Zaim.

“Yalah, kawan-kawan kau tu semuanya yang auw-auw. Jangan esok-esok kau ikut terjebak dengan cara kehidupan mereka tu, sudahlah,” jawab Akmal, melahirkan kebimbangannya.

“Insya-ALLAH, Akmal. Thanks sebab mengingatkan aku. Setakat ni, aku masih boleh membezakan yang mana dosa yang mana tidak. Dan aku jugak bukan orangnya yang mudah terpengaruh dengan desakan kawan-kawan mahupun keadaan sekeliling,” kata Zaim tegas.

Zaim amat menghargai segala nasihat dan keprihatinan sahabatnya itu. Zaim benar-benar terharu akan nasihat Akmal kepadanya.

Selama ini, tidak ramai yang memberi nasihat mahupun menegurnya dengan baik. Mengejek dan mempersendakannya, itu adalah fenomena biasa yang diterima Zaim. Zaim sudah lali dengan semua ini. Oleh kerana itulah, Zaim lebih suka mengasingkan diri dan melayan kepalanya sendiri.

Alunan lagu Mariah Carey, We Belong Together, dari telefon bimbitnya membuatkan Zaim terkejut, seterusnya menyedarkannya daripada renungan yang panjang. Dia memandang jam digital kecil pada dinding bilik mandinya.

Sudah hampir setengah jam dia mengelamun rupanya. Segera dia mengambil telefon bimbitnya dan menjawab.

“Ya, aku kat rumah lagi ni. Okey, setengah jam lagi aku sampai. Jumpa kat sana!” kata Zaim seraya menutup talian telefon bimbitnya.

Zaim mengambil pencuci muka lantas mencuci mukanya sebagaimana rutin hariannya sebelum dan selepas pulang dari bekerja. Selesai mencuci dia mengambil toner muka lantas ditepuk-tepuk di pipi dan seluruh mukanya. Dibelek wajahnya berulang kali. Dia tersenyum melihat wajahnya sendiri.

Teringat dia ketika bersekolah dahulu. Dia sentiasa mendapat pujian daripada guru-guru dan rakan-rakan perempuannya tentang kemulusan dan kegebuan wajah yang dimilikinya.

“Im, macam mana kau jaga muka kau tu ya? Halus dan licin. Tak ada satu jerawat pun. Kau tengok muka aku ni, penuh! Dah macam permukaan bulan!” Roshida, teman baiknya sewaktu di tingkatan lima bertanya.

“Tak adalah nak jaga mana pun. Memang kulit muka aku macam ni kot,” jawab Zaim tersenyum.

“Iya ke? Ke, kau ada amalkan apa-apa rahsia petua penjagaan diri. Takkan tak nak share dengan aku? Kongsilah sikit rahsia kau tu!” giat Roshida.

Dia seperti tidak percaya, wajah Zaim selicin dan segebu itu tanpa memakai apa-apa produk penjagaan diri. Bertambah lagi kemusykilannya bila memikirkan, bagaimana seorang lelaki dapat menjaga wajah sebagus itu jika dibandingkan dengan dirinya, seorang perempuan.

Zaim tersenyum memanjang sambil memikirkan jawapannya kepada Roshida tadi. Sedangkan hakikatnya, setiap malam dia sentiasa memupuk dan memaskerwajahnya dengan tepung beras, madu dan tomato yang ditumbuk untuk dijadikan masker. Malah, kakak kesayangannya, Kak Saleha, sentiasa menjadikan dirinya sebagai model untuk produk kecantikan yang dipakai dan dijual sendiri oleh kakaknya itu.

Zaim tidak pernah merasa kesunyian mahupun terpinggir walaupun kedua-dua ibu bapanya, Haji Ahmad dan Hajah Sriwanie, hanya merupakan ibu bapa angkatnya sahaja. Malah, kedua-dua kakaknya, Kak Zaiton dan Kak Saleha, juga merupakan anak angkat kepada Haji Ahmad dan Hajah Sriwanie.

Walaupun mereka bertiga, masing-masing adalah anak angkat daripada keluarga yang berlainan, namun kasih sayang yang mereka terima daripada kedua-dua orang tua angkatnya itu tidak berbelah bahagi. Mereka berdua menganggap ketiga-tiga mereka seperti anak sendiri.

Zaim bukan tidak kenal dengan ibu bapa kandungnya. Malah, Zaim sebenarnya mempunyai adik-beradik kandung yang ramai. Keluarga kandung Zaim memang kenal rapat dengan Haji Ahmad dan Hajah Sriwanie. Kedua-dua keluarga itu berasal dari Jawa Barat, Indonesia.

Kedua-dua pasangan suami isteri itu yang telah mendapat kerakyatan penuh warganegara Malaysia telah lama menetap di Kampung Paya Rumput, Melaka. Haji Ahmad memang terkenal di Kampung Paya Rumput itu. Selain menjadi imam di kampung itu, dia juga merupakan pengamal perubatan tradisional secara islamik di situ.

Ketika kedua-dua pasangan suami isteri itu ingin mengambil Zaim sebagai anak angkat mereka, mereka juga telah mempunyai dua orang anak angkat perempuan yang diambil daripada dua buah keluarga yang berlainan.

Jenuh juga Hajah Sriwanie ingin menerangkan tentang asal usul Zaim dengan harapan Zaim tidak berkecil hati. Yang paling ditakuti Hajah Sriwanie ialah Zaim akan lari daripada keluarganya itu dan pergi kepada keluarga kandung Zaim. Namun, reaksi pertama Zaim ketika mendapat tahu hal itu yang pada ketika itu dia hanyalah berumur tujuh tahun adalah biasa-biasa sahaja.

Malah, dalam hati Zaim sebenarnya lebih kepada bersyukur kerana dia dan kakak-kakaknya itu mendapat sepenuh kasih sayang daripada mereka berdua. Zaim juga menganggap keluarga yang dia ada sekarang ini adalah unik bila melihat kasih sayang yang terjalin antara mereka begitu erat walaupun masing-masing memang tiada pertalian darah langsung.

Walaupun Haji Ahmad merupakan ayah yang garang lagi tegas, namun sedikit pun tidak melunturkan hati Zaim daripada berpaling kasih kepada keluarga kandungnya. Begitu juga dengan Hajah Sriwanie yang berperawakan lembut serta memahami.

Zaim pula tidak pernah terlintas di hatinya ingin kembali semula kepada keluarga kandungnya itu. Hanya pada hari raya sahaja, Zaim akan mengunjungi keluarga kandungnya.

“Marilah Im, tinggal bersama kami. Kesian kat adik-beradik Im yang nak kenal sangat dengan Im. Tiap kali Im lama tak balik sini, semua adik-beradik tanya kenapa Im tak balik. Im tak sayangkan kami semua ke?”

Terngiang-ngiang pertanyaan ibu kandungnya dahulu.

Kalau ditanya soalan itu dahulu, kini dan akan datang, Zaim tetap akan menjawab dengan caranya.

“Mak, dalam hidup Im, Im hanya kenal Ibu Sri, Ayah Haji Ahmad, Kak Zaiton dan Kak Saleha. Im membesar depan mereka. Hidup mati Im hanya untuk mereka. Mak tetap orang yang melahirkan Im, tak ada siapa yang boleh menafikannya. Tapi, Im minta maaf, mak dan famili di sini adalah orang luar dalam kehidupan Im. Itu hakikatnya!”

Itu jawapan muktamad Zaim dan selepas itu tiada lagi pertanyaan-pertanyaan daripada ibu kandungnya mahupun adik-beradik kandung Zaim yang lain. Sekali-sekala, Zaim tetap mengunjungi mereka dan mereka masih melayan Zaim sebagai sebahagian daripada mereka.

Zaim sedar tentang keterbukaan mereka menerima dirinya. Namun, Zaim tidak tahu mengapa dia merasakan dirinya sukar untuk bersikap terbuka seperti mereka. Zaim lebih selesa tinggal bersama keluarga angkatnya.

Zaim sedar, kemiskinan yang dilaluinya dengan keluarga angkatnya itu, namun tidak pula Zaim mengeluh mahupun memberontak. Sebaliknya, dia pernah berjanji dengan dirinya bahawa dia akan belajar sehingga berjaya dan akan mengubah nasib keluarganya itu.

Malangnya, ibu bapa angkat Zaim tidak sempat untuk menikmati kesenangan dan kemewahan yang Zaim perolehi kini. Zaim agak terkilan kerana tidak sempat untuk membalas segala jasa dan pengorbanan ibu bapa angkatnya itu dalam membesarkannya.

Kak Zaitonnya pula, sejak berkahwin dengan Roslan yang berasal dari Sabah dan bekerja sebagai askar dan kemudiannya mengikut suaminya menetap di Sabah, tidak pernah lagi berhubung dengannya. Mungkin dia lebih selesa melalui fasa kehidupan baru bersama suaminya di Sabah.

Kini, Zaim menganggap hanya Kak Saleha sahaja keluarganya yang tinggal walau pada hakikatnya keluarga kandungnya masih ada dan sentiasa mengalu-alukan kepulangannya ke pangkuan mereka.

Bagi Zaim, Kak Saleha merupakan saudaranya dunia dan akhirat. Kak Salehalah orangnya yang bertanggungjawab membesarkannya setelah ibu bapa angkatnya meninggal dunia. Kak Salehalah orangnya yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan Zaim berjaya melanjutkan pelajarannya sehingga ke peringkat tertinggi.

Zaim benar-benar terhutang budi dan nyawa pada Kak Saleha. Untuk itu, walau payah sekalipun dugaan yang diterima, Zaim tetap kuatkan semangat. Di hatinya ingin terus berjaya sehingga dapat memberi kesenangan hidup pada Kak Salehanya itu.

Bagi Zaim, tanpa Kak Saleha, semangatnya untuk terus berjaya tidak sekuat mana pun. Maka tidak hairanlah, jiwa Zaim sentiasa dekat dan lebih memahami tentang perempuan. Hidupnya dikelilingi dengan kaum perempuan. Malah, dia lebih gemar berkawan dengan perempuan daripada lelaki. Kawan-kawan lelakinya tidak ramai.

Mungkin rezekinya di dalam akademik agak menyerlah. Selepas mendapat keputusan yang cemerlang di dalam SPM, Zaim terus melanjutkan pelajarannya di dalam bidang perakaunan di UiTM.

Tiba-tiba Zaim tersentak. Dia teringatkan temu janjinya bersama rakan sekampungnya, Dollah. Antara sedar dengan tidak, rupanya dia sudah dua jam di dalam bilik air, melayan anganannya.

“Ya ALLAH, jauhnya aku melayang!” kata Zaim pada dirinya sendiri.

Dia menggeleng beberapa kali. Tanpa berlengah, dia segera bersiap. Tidak mahu kawannya itu menunggu lama. Namun, rutin tetap rutin, sebelum dia menutup pintu untuk keluar, sempat lagi dia melirik wajah dan tubuhnya di cermin besar yang memenuhi sepertiga ruang tamunya itu.

Setelah memastikan penampilannya memuaskan, dia akhirnya menutup pintu kondonya itu lalu berlalu pergi.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.