Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awekku Minah Latah
Awekku Minah Latah
Aida Adia
3/7/2015 23:35:15
67,712
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 15

SITIMaisara membuntangkan matanya beberapa kali. Memainkan bebola matanya dari kiri ke kanan. Kemudian dari atas ke bawah. Terasa pedih. Diulang-ulang beberapa kali untuk menahan matanya daripada tertutup.

Sebelum ini, sudah beberapa kali dia berjalan ke hulu ke hilir menerokai ruang pejabatnya itu. Tidak hanya berjalan-jalan, sudah dua muk kopi pekat dia teguk, hasilnya masih sama. Siti Maisara merasa sangat mengantuk kali ini.

Kerja-kerja dokumentasi masih lagi berlambak ingin disiapkan. Laporan-laporan daripada kesemua juruaudit perlu dicetak dan dibinding. Kesemuanya sudah ada deadline yang perlu dicapai.

Siti Maisara mengeluh. Teringat dia akan perbualannya dengan bis bossnya, Mr. Sean Lionel, setengah jam yang lalu. Ketika itu Zaim tiada di pejabat kerana menghadiri mesyuarat antara unit-unit lain. Manakala Akmal dan kumpulan juruaudit yang lain bertugas di luar daerah di Kedah.

Mr. Sean Lionel yang masih berada di luar daerah atas urusan audit di Sarawak telah menghubunginya bertanyakan sama ada laporan audit di cawangan Sabah telah disiapkan atau belum. Entah bagaimana, dek terlalu mengantuk, Siti Maisara sempat lagi tertidur sambil memegang ganggang telefon. Bukan setakat tertidur, dia boleh lagi berdengkur.

Apa lagi, Mr. Sean Lionel yang masih di talian sempat juga mendengar dengkuran Siti Maisara itu.

“Helo, Sara! Are you there? Helo! Sara, what happen to you? Are you sleeping?” tanya Mr. Sean Lionel di talian sana.

Mungkin kerana suara Mr. Sean Lionel agak kuat, Siti Maisara terjaga. Apa lagi, menggelabahlah jadinya.

Ops, so... so... sorry boss! Yes. I understand. I understand.” Terkial-kial Siti Maisarah ingin menjawab.

Terdengar suara Mr. Sean Lionel ketawa di hujung talian.

You must be exhausted! Poor you dear. Did Zaim gives you more works? Did he gives you stress?” soal Mr. Sean Lionel yang prihatin lagi memahami itu.

Hai, bertuah badan dapat bos mat salih yang gentleman ni.

“Err... no... no boss! I’m okay. Just feel sleepy,” jawab Siti Maisara perlahan.

Orait. Take care. Can you ask Zaim to return my call, please!”

Okay boss. I’ll let him know,” jawab Siti Maisara.

Terasa lega di hatinya bila big boss sendiri menunjukkan keprihatinannya kepada pekerja sepertinya. Siti Maisara rasa terharu. Namun, itu tidak cukup membantunya daripada berasa segar semula. Sebaliknya rasa mengantuknya itu semakin menjadi-jadi.

Nampaknya, segala usahanya tidak berjaya. Matanya degil tidak mahu terbuka. Semakin layu dan mengecil dan akhirnya terus tertutup. Siti Maisara terlelap dalam posisi dirinya yang masih duduk sambil tangan kirinya masih memegang tetikus dan tangan kanannya berada di papan kekunci.

“Sara! You dah siapkan ke laporan yang I nak tadi?”

Tiba-tiba Zaim muncul dan terus bertanya Siti Maisara. Zaim yang masih tidak perasan Siti Maisara tertidur itu meletakkan sebuah fail yang dibawanya tadi di atas mejanya.

“Eh, apa hal senyap aje minah ni? Pekak ke apa?” Zaim tertanya-tanya sendiri.

Dari mejanya dia memandang Siti Maisara yang dilihatnya sedang khusyuk menaip sesuatu di komputer.

“Cik Sara oi... You dengar tak ni? Repot dah siap ke?” tanya Zaim lagi.

Kali ini sengaja ditinggikan suaranya. Masih tidak ada respons!

“Amboi, melampaulah ni. Baru lapan bulan kerja dah tunjuk lagak. Aku tanya buat tak reti pulak dia ni,” rungut Zaim.

Tidak puas hati dengan respons Siti Maisara, Zaim bangun dan terus menuju ke meja Siti Maisara. Zaim memerhatikan Siti Maisara yang masih duduk tegak bak patung cendana di situ. Zaim melihat papan skrin di komputer. Sudah! Hanya huruf A sahaja penuh tertera di skrin komputer itu.

“La, tidur rupanya. Memang tak boleh harap langsung!” rungut Zaim.

Tiba-tiba, timbul idea nakal di kepalanya. Zaim lantas terus mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya, lalu terus mengambil gambar Siti Maisara yang sedang tidur itu dari pelbagai sudut. Setelah berpuas hati, disimpannya semula telefon bimbitnya ke dalam kocek seluar.

Kesian Siti Maisara! Dah sah-sah minah ni keletihan dan mengantuk yang amat sangat sehinggakan Zaim mengambil gambarnya pun dia tidak sedar.

“Helo, Cik Sara oii! Bangunlah, matahari dah nak tinggi kat kepala tu. Anak dara apa ni tidur siang-siang buta. Kau nak buat tahi mata, pergi balik rumah!” ujar Zaim sedikit berbisik di telinga Siti Maisara. Eh, bukan berbisik, tetapi menjerit di telinga Siti Maisara.

Demi terdengar suara jeritan yang kedengaran dekat di telinganya, Siti Maisara terpisat-pisat bangun. Namun, memang salah oranglah kan, dah minah latah, apa lagi, Siti Maisara yang dalam keadaan mamai itu terlompat bangun lantas menyuakan tetikus yang dipegangnya itu terus masuk ke dalam mulut Zaim.

“Ha, mak! Orang dah bangun dah ni. Ha, meh makan. Eh, meh sarapan. Ha, makan, makan,” latah Siti Maisara sambil tangannya terus-terusan menyumbat masuk tetikus itu ke dalam mulut Zaim.

“Uhuk! Uhuk! Uhuk! Oii! Oii!”

Dalam keadaan mulut yang tersumbat, Zaim menjerit dan meronta. Namun, dalam masa yang sama, dia sempat menolak Siti Maisara sekuat hatinya sehingga Siti Maisara terduduk di kerusinya. Siti Maisara tersedar.

“Ya ALLAH! Sorry, Encik Zaim. Saya ingatkan suara memetir tadi tu, mak saya. Sorry sangat-sangat. Saya tertidur tadi!”

Dalam keadaan terkejut dan gabra, Siti Maisara memohon maaf. Dilihat muka Zaim merah padam menahan marah.

“You ingat pejabat ni, pejabat mak bapak you eh? Main suka hati nak tidur. Ha, esok-esok bawa tilam dengan bantal sekali!” marah Zaim.

Merah padam wajah gebu Zaim bila marah. Siti Maisara tunduk membisu memandang lantai. Dia sendiri tidak tahu mahu memberi alasan apa. Mengapa dia mengantuk sangat hari itu. Sememangnya Siti Maisara ada hal peribadi yang menyebabkan dia mengantuk sangat, tetapi takkan pula dia ingin memberi alasan itu kepada Zaim. Ini soal peribadi dan hal ehwal keluarganya. Siti Maisara berpendapat, Zaim tidak perlu tahu hal peribadinya.

Ini semua pasal Mariam! Hmm... Keluh Siti Maisara dalam hati.

Siti Maisara terimbau semula kejadian malam tadi.

“Sara, adik kau dah lari. Adik kau dah lari!”

Kepulangan Siti Maisara dari kerja disambut oleh laporan mengejut daripada Mak Odah. Dalam rasa terkejut, sempat lagi Siti Maisara berfikir adiknya yang mana satu yang lari dari rumah? Siti Musliha atau Siti Mariam?

“Mak, sabar, sabar... adik yang mana? Musliha ke Mariam?” Siti Maisara cuba menenangkan emaknya.

Siti Maisara juga turut duduk di pangkin di sebelah emaknya. Mak Odah kelihatan bingung dan wajahnya teramat risau.

“Kau ni pun satu, macamlah adik kau tu ramai sangat! Yang selalu balik lambat, buat hal, siapa? Mariamlah!” marah Mak Odah.

“Hisy, macam mana mak boleh terfikir yang Mariam lari dari rumah pulak? Mak ni suka fikir yang bukan-bukan. Mariam tu kan rajin buat study group dengan kawan-kawan dia. Ha, mak dah tanya Balqish, kawan Mariam tu? Bukan ke Mariam selalu lepak kat rumah Balqish.” Siti Maisara bertanya semula emaknya.

“Mariam tak balik dari tengah hari tadi. Biasa dia call dulu kalau dia balik lewat. Liha dah pergi ke rumah Balqish tadi. Balqish cakap selama ni dia tak pernah buat study group pun dengan kawan-kawan dia. Dia study sendiri aje. Mariam pun jarang datang rumah dia. Balqish kata, Mariam tak berapa rapat dengan dia pun,” cerita Mak Odah.

Hatinya teramat risau.

Mendengar cerita Mak Odah, hati Siti Maisara mula risau. Tiba-tiba dia menyesal sendiri kerana terlalu percayakan segala alasan yang diberikan Siti Mariam setiap kali dia pulang lewat ke rumah. Sebagai seorang kakak dan satu-satunya harapan emaknya, Siti Maisara sepatutnya menyelidik atau menyiasat sendiri aktiviti Siti Mariam selama ini. Lebih bengang lagi, dia sendiri pun tidak berapa kenal sangat siapakah Balqish itu.

Daripada apa yang diceritakan Mak Odah tadi, dia percaya, Balqish tentu menyembunyikan perkara sebenar tentang Siti Mariam daripada pengetahuan Siti Musliha yang datang bertanyakan di mana Siti Mariam petang tadi.

“Eh, Liha mana mak?” tanya Siti Maisara apabila dilihatnya hanya emaknya sahaja berada di situ.

Jangan ditanyalah di mana ayahnya. Kalau tak sampai waktu Isyak hingga menjengah waktu Solat Tahjud, jangan haraplah ayahnya ada di rumah. Ke mana dan apa yang ayahnya lakukan, Siti Maisara sendiri tidak tahu. Malah, sudah lama dia tidak ingin ambil tahu.

Begitu juga dengan abang-abangnya. Abdul Muaz sudah tentu balik lewat. Abang keduanya pula, Abdul Muin, sejak kejadian malam itu, memang benar-benar menghilangkan diri dan keluar dari rumah itu. Mengamuk sakan Pak Musa kerana salah seorang anak kesayangannya sudah pergi meninggalkannya. Habis Mak Odah dan anak-anak perempuannya dituduh penyebab mengapa Abdul Muin meninggalkan rumah.

Maka, Siti Maisara amat faham mengapa emaknya berharap sangat dia dapat mencari adiknya, Siti Mariam kerana kalau diberitakan pada Pak Musa, memang sah-sahlah dapat perli percuma daripada Pak Musa. Silap-silap, semuanya yang berlaku ini adalah salah Mak Odah juga.

“Liha kat dapur. Memasak. Mak tak larat nak masak hari ini. Seharian dok fikirkan pasal Mariam. Kalau tak masak nanti mengamuk pulak orang tua Musa tu,” jawab Mak Odah separuh mengadu.

Terasa sayu di hati Siti Maisara.

“Tak apalah, mak. Mari masuk dalam. Tak usah risau-risau. Nanti tak pasal-pasal, mak pulak yang sakit. Lepas Isyak kejap lagi, orang ajak Liha ke rumah Balqish semula. Biar orang tanya Balqish sendiri,” pujuk Siti Maisara.

Mak Odah terdiam dan akhirnya termakan pujuk juga hatinya menerima kata-kata anaknya itu. Mak Odah bangun sambil dipapah masuk oleh Siti Maisara ke dalam rumah.

Malam itu, usai Solat Maghrib, Siti Maisara meminta Siti Musliha membawanya ke rumah Balqish. Mereka berdua hanya menunggang motosikal sahaja ke rumah Balqish. Rupanya untuk sampai ke rumah Balqish, hanya mengambil masa 10 minit perjalanan sahaja dengan menunggang motosikal.

“Eh, Balqish ni bukan asal dari kampung sini, kan? Dia baru pindah ke sini ke? Kenapa akak tak kenal dia ek?” tanya Siti Maisara.

“Baru awal tahun ni. Bapak dia pencen askar. Buat rumah kat sini. Masa dia pindah sini, kau belajar kat UiTM. Mana kau nak kenal dia, kak,” jawab Siti Musliha.

“Oh, patutlah.” Siti Maisara menggeleng-geleng.

Setibanya mereka di rumah Balqish, Siti Musliha memberi salam. Tidak sampai beberapa saat, Balqish muncul. Orangnya rendah sahaja, berkulit hitam manis. Terkejut juga dia bila menerima kunjungan Siti Maisara dan Siti Musliha, lebih-lebih lagi bila melihat Siti Musliha buat kali kedua datang ke rumahnya. Mujurlah, kedua-dua ibu bapa Balqish keluar kerana menghadiri majlis kenduri saudaranya. Balqish hanya ditemani adik lelakinya, Badrul, yang berusia 13 tahun.

“Err... ini kakak Kak Liha dan Mariam. Kenalkan, Kak Sara.” Siti Musliha memperkenalkan kakaknya kepada Balqish.

“Err... Balqish, minta maaflah kami ganggu Balqish malam-malam gini. Kami nak mintak tolong daripada Balqish. Mintak tolong sangat-sangat,” rayu Siti Maisara.

“Tolong apa kak?” tanya Balqish.

Dia pula yang berasa cemas melihat cara Siti Maisara merayu meminta pertolongan agak semacam.

“Akak tahu Balqish tahu pasal Mariam, kan? Balqish satu kelas dengan Mariam, kan? Mesti Balqish tahu apa yang terjadi. Tolonglah kami, Balqish. Tolong beritahu ke mana Mariam tu. Akak bukan apa, akak kesian tengok mak akak sedih macam tu. Dia tu bukannya sihat sangat. Tolonglah Balqish,” rayu Siti Maisara lagi.

Balqish terdiam. Dia seperti berfikir. Perlukah dia memberitahu perkara sebenar? Bagaimana dengan ikrar dan janji-janjinya itu? Balqish serba salah.

“Balqish, kalau Mariam tu ada buat niaya kat Balqish, akak akan pastikan dia mendapat hukuman setimpal daripada segala perbuatannya. Akak cuma nak tahu perkara yang sebenar dan di mana Mariam sekarang ni. Itu aje,” pujuk Siti Maisara lembut.

Balqish mengeluh. Dia memandang Siti Maisara dan Siti Musliha silih berganti.

“Sebenarnya... Mariam...” Balqish masih takut-takut ingin berterus terang.

Siti Maisara, kalau bab-bab begini memang tak boleh sabar.

“Cerita ajelah Balqish. Tak perlu nak sembunyikan.” Pantas sahaja Siti Maisara menyuruh Balqish meneruskan kata-katanya itu.

Siti Musliha sempat menjeling kakaknya. Faham benar dia dengan sikap gelojoh kakaknya itu.

“Emm... kat mana saya nak mulakan dulu ya. Okey, dulu saya dengan Mariam memang kawan rapat. Tapi, sejak tiga bulan lepas, kami kerap sangat berselisih faham. Ini semua sejak Mariam kenal Roy.” Balqish memulakan ceritanya.

“Ha? Roy mana pulak ni? Budak lelaki kelas kau orang ke?” tanya Siti Maisara.

Balqish menggeleng.

“Habis tu? Dari kelas lain atau sekolah lain?” tanya Siti Musliha pula.

Walaupun Siti Musliha bersekolah di dalam tingkatan enam atas, tetapi dia tidak bersekolah di sekolah yang sama dengan adiknya, Siti Mariam.

“Tak. Dia dari sekolah yang sama, cuma kelas aje yang berbeza. Masalahnya, Roy tu...”

“Masalahnya apa?” tanya Siti Musliha, tidak sabar.

“Roy tu pengkid kak! Nama sebenar dia, Rohaya. Dia orang berdua tu memang pasangan lesbian kak! Mariam benar-benar berubah perwatakannya sejak mengenali Roy. Kalau cakap dengan saya pun, selalu marah-marah!” kata Balqish sedikit sayu bila mengenangkan kawan rapatnya bersikap begitu sejak mengenali Roy si pengkid itu.

“Apa? Betul ke apa yang kau cakap kan ni, Balqish? Mana kau tahu? Kau ada bukti?” tanya Siti Maisara pula.

“Kak, saya sendiri kena warning dengan Roy tu. Siap ugut-ugut saya lagi. Dia bagi amaran jangan rapat lagi dengan Mariam. Dia siap beritahu pasal saya rapat dengan Mariamlah, dia susah nak usyar Mariam tu!” jawab Balqish.

“Habis, takkan kau senyap gitu aje? Dah ada bukti, takkan tak repot kat cikgu ke, pengetua ke,” kata Siti Maisara.

Dalam masa yang sama terasa geli-geleman mendengar cerita Balqish. Mariam, Mariam... apa nak jadi dengan kau ni dik!

“Kak, Roy tu ada geng dia sendiri. Kalau saya macam-macam, kat luar sekolah pun dia boleh settlekan saya, kak. Saya tak nak mak bapak saya tahu yang saya terlibat dengan perkara-perkara begini. Lagipun, SPM dah tak lama lagi ni. Saya nak lulus exam, kak. Bukan nak cari pasal!” balas Balqish.

So,kau tahu tak kat mana Mariam sekarang?” tanya Siti Musliha pula.

Dia pun sudah terasa semacam bila mendengar cerita Balqish.

Mendengar soalan daripada Siti Musliha itu, Balqish terdiam. Dia memandang kedua-dua wajah kakak Siti Mariam itu. Kasihan pula melihat mereka. Balqish nekad akan mendedahkan segala-galanya malam ini.

“Kak, sebenarnya si Roy tu dah lama berhenti sekolah. Tak tahu pulak apa dia buat lepas berhenti sekolah tu. Tapi, lepas habis sekolah, mesti dia ada terpacak kat gate sekolah tunggu Mariam. Biasanya, Mariam akan ikut dia balik sama dan lepak-lepak kat bilik sewa Roy tu. Dengar khabarnya, dia sewa bilik kat tingkat atas rumah kedai kat pekan kita tu,” cerita Balqish dengan panjang lebar.

Siti Maisara dan Siti Musliha, masing-masing tayang muka berfikir.

“Alah, kak, atas Restoran Hup Hin Chanlah, kak. Kat mana lagi yang ada bilik sewa kat pekan ni.”

“Oh, kat situ?” tanya Siti Maisara, sedikit kuat suaranya.

Balqish hanya mengangguk.

Siti Maisara memandang Siti Musliha.

“Macam mana? Jom kita ke sana!” ajak Siti Maisara.

“Hmm... ada berani ke?” tanya Siti Musliha pula.

“Helo, sekarang bukan masanya nak tanya ada berani ke atau apa-apa. Meh kita kasi Roy tu berambus daripada hidup adik kita! Aku tak kira, apa nak jadi, jadilah!” sanggah Siti Maisara.

Marah betul dia dengan perangai adiknya Siti Mariam itu.

“Balqish, terima kasih ya kerana sudi menerangkan semuanya kepada kami. Terima kasih banyak-banyak. Err... nampaknya, kami pergi dululah. Terima kasih sekali lagi.” Siti Maisara bangun dan terus bersalaman dengan Balqish. Begitu juga Siti Musliha.

“Sama-sama kak. Hati-hati ya.. Si Roy tu ada ramai geng,” pesan Balqish.

Mereka berdua hanya menggangguk. Kedua-duanya berlalu pergi dengan menungang motor.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.