Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awekku Minah Latah
Awekku Minah Latah
Aida Adia
3/7/2015 23:35:15
90,668
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 14

ZAIM, betul ni, kau tak nak keluar makan?” tanya Akmal.

Akmal sudah membuka pintu bilik hotel di mana mereka berdua menginap untuk seminggu di situ. Rutin tugas seorang juruaudit yang memerlukan kerja di luar daerah. Kali ini mereka berdua ditugaskan untuk membuat kerja-kerja audit di cawangan Melaka pula.

Sudah tiga hari mereka berdua menginap di Hotel Equatorial Melaka itu. Entah mengapa malam ini Zaim terasa malas mahu keluar.

“Wei, kau nak keluar ke tak nak?” Akmal bertanya lagi.

Zaim terkejut. Dia masih lagi berbaring-baring di katil bujang bersebelahan katil bujang Akmal.

“Hmm... aku malaslah nak keluar. Kau keluarlah!” jawab Zaim dalam nada yang malas.

“Hai, biasanya kau yang tak sempat-sempat nak keluar. Apa hal pulak malam ni?” tegur Akmal.

“Hmm... tak ada apalah, malas aje,” jawab Zaim.

“Okeylah, aku keluar dulu. Apa-apa kau nak kirim nanti, kau rogerlah aku ya,” kata Akmal.

Orait!” jawab Zaim ringkas.

Akmal terus keluar dan menutup pintu. Hairan juga Akmal. Biasanya, Zaimlah orang yang selalu mengajak dia keluar. Keluar makanlah, pergi clublah, jalan-jalan pusing bandarlah dan macam-macam lagi.

Akmal tahu, Zaim ramai kawan. Ke mana sahaja cawangan negeri di merata Malaysia ini dia pergi, pasti Zaim akan menghubungi kawan-kawannya itu. Dan Akmal pula lebih suka memerap di dalam bilik hotel. Layan Skype dengan anak-anak dan isterinya lagi bagus.

Namun, malam ini bila dia beria-ia ingin ronda-ronda pusing Bandar Melaka, Zaim pula tidak mahu ikut. Entah angin apa yang dok kat kepala otak dia agaknya! Rungut Akmal.

Oleh kerana dia telah berjanji dengan Danial Tan, pengurus cawangan bank di Melaka itu, yang dia akan menyertai makan malam bersama di gerai ikan bakar di Umbai, maka Akmal teruskan seperti yang dirancang walau tanpa Zaim. Lagipun, memang dia sudah lama teringin makan ikan bakar di Melaka.

Sementara itu, Zaim di dalam bilik hotel sedang resah berbaring di katilnya. Mengiring salah. Menelentang tidak selesa. Meniarap pun begitu. Sudahnya, dia bangun dan terus menyelak langsir di tingkap. Dari tingkap balkoni hotel itu, Zaim memandang ke luar tingkap. Menikmati suasana malam yang hening itu.

Lokasi hotel empat bintang itu yang terletak di tengah-tengah Bandar Melaka serta berdekatan dengan tempat-tempat lawatan bersejarah yang menarik di Melaka memang sangat sesuai untuk menarik lebih ramai pengunjung untuk menginap di hotel itu. Apatah lagi, kebetulan bilik yang Zaim menginap itu betul-betul menghadap laut lepas. Tenangnya melihat keindahan laut lepas pada waktu malam. Dari jauh ternampak lampu-lampu dari kapal-kapal yang sedang berlabuh. Sangat mengujakan!

Inilah peluangnya Zaim ingin menenangkan hatinya dan berehat setelah seharian berhempas pulas bekerja. Siapa kata kerja juruaudit ini mudah dan untung? Orang menganggap mudah kerana sering melihat juruaudit meminta itu meminta ini daripada mereka-mereka yang terlibat. Memberi komen dan kritikan jika didapati ada yang tidak memuaskan atau barangkali ada yang tidak patuh kepada terma-terma yang telah ditetapkan oleh sesebuah syarikat. Seterusnya memberi penilaian atas segala yang telah diaudit. Mudah ke kerja begitu?

Untungnya pada pandangan orang lain bila juruaudit akan keluar merata daerah dan negeri bagi tugasan audit. Mungkin ya, banyak berjalan, luas pandangan! Selama lima tahun Zaim bekerja sebagai juruaudit, memang banyak pengalaman yang dilalui dan dipelajarinya. Zaim sendiri tidak tahu mengapa pekerja-pekerja amat tidak suka bila juruaudit seperti dirinya dan rakan-rakan setugasnya datang ke tempat mereka. Barangkali mereka tidak suka kerja mereka dinilai dan dipersoalkan.

Bagi Zaim, jika semua pekerja memberi kerjasama kepada juruaudit, maka semua kerja mereka akan terus berjalan lancar tanpa gangguan daripada juruaudit yang kadangkala banyak soal dan banyak songeh.

Namun, Zaim tahu, tidak ramai yang peka dan faham tugas-tugas sebenar juruaudit ini. Pernah juga seorang staf bertanyakan Zaim tugas-tugas seorang juruaudit.

“Kenapa? You minat nak kerja sebagai auditor ke?” tanya Zaim balik.

“Tak adalah. Macam adventure pulak I tengok you all ni. I’m sure this job is really interesting!” jawab Rashid, staf dari cawangan Johor itu.

Well, it’s depends. Tapi, kalau you nak tahu, antara tugas-tugas seorang auditor ini ialah menyelaras penemuan audit dan mengendalikan audit susulan jika diarahkan. Membuat analisa dan laporan dan jugak membuat catatan audit sepanjang mengendalikan audit,” jawab Zaim.

“Huh, payah jugak tu!” kata Rashid.

“Ha, tu belum lagi peringkat keseluruhan. Seperti menguruskan audit bermula dari peringkat perancangan, perlaksanaan, pemantauan, pembentangan mesyuarat penutup, analisa, pelaporan hingga pembentangan dalam board meeting,” sambung Zaim.

Rashid sudah terdiam. Tidak menyangka tugas-tugas sebagai seorang juruaudit penuh dengan penelitian yang bukan boleh diambil sambil lewa. Bagi Zaim, biar orang mengatakan tugas sebagai seorang juruaudit sangat bosan, tidak adventure, tidak lasak dan lebih sesuai kepada wanita, tetapi baginya tugas-tugas sebeginilah yang banyak memberinya cabaran dan pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana.

“Pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana? Hmm...” Zaim mengeluh panjang.

Entah apa yang difikirkan Zaim saat ini. Sejak tadi lagi asyik mengeluh. Fikirannya sedang berserabut.

“Hmm...” Zaim mengeluh lagi.

Entah mengapa hatinya seperti tidak tenteram. Terasa debaran jantungnya berdegup kencang. Sejak kebelakangan ini, dia merasakan dirinya bagai ada sesuatu yang tidak kena. Sesuatu yang perlu dihambat keluar pergi dan dibuang jauh-jauh.

Zaim tahu selama ini semua orang memandang serong pada dirinya. Mungkin ketika ini ramai yang beranggapan dirinya menjalani kehidupan songsang kerana rakan-rakannya kebanyakannya terdiri daripada mereka yang sebegitu.

Ditambah pula dirinya yang berpenampilan ala-ala Mat Jambu. Pastinya bukan sedikit orang mengata tentang dirinya. Namun, Zaim tahu siapa dirinya. Sehingga ke hari ini, walaupun dia lebih gemar bercampur dengan rakan-rakan nyah, dia masih lagi tahu membezakan halal dan haram. Zaim masih kekal bertahan tidak terpengaruh dengan kehidupan songsang mereka biarpun ada juga antara rakan-rakan daripada golongan itu cuba mempengaruhinya.

Namun, naluri lembut itu tetap ada dalam dirinya. Sudah berpuluh tahun dia hidup dan membesar atas didikan tangan seorang wanita. Zaim lebih banyak memahami perasaan wanita, namun dalam masa yang sama perasaannya sebagai lelaki tetap wujud. Zaim sedar dia masih lagi ada keinginan untuk bercinta dengan seorang yang bergelar perempuan, namun setakat hari ini, hatinya bagaikan dipaku oleh sejarah silam yang mempatrikan terus hatinya untuk bercinta dengan mana-mana perempuan.

Lukanya walau sudah berparut, tetapi ngilunya tetap ada. Bagi Zaim, mungkin belum masanya lagi hatinya terbuka untuk rasa dicintai dan mencintai. Zaim lebih senang jadi begini. Namun, dalam masa yang sama, Zaim tidak tahu bagaimana mahu membuang tanggapan buruk dan serong masyarakat terhadap dirinya.

Pernah dia terdengar suatu perbualan rakan-rakan sepejabatnya tentang dirinya ketika di dalam tandas. Mungkin rakan-rakan sepejabatnya tidak menyedari bahawa dia berada di dalam salah satu bilik di dalam tandas pejabatnya tempoh hari.

“Eh, Man, kau rasa Zaim tu gayke?”

Terdengar Azuan bertanya kepada Azman. Mereka sedang berborak di singki di dalam tandas.

“Kau rasa? Kau tengoklah penampilan dia. Gaya dia yang macam Mat Jambu tu. Kawan-kawan dia yang kebanyakannya semuanya nyah! Kalau dia straight macam kita ni, dia takkan bercampur dengan orang-orang macam tu,” jawab Azman.

Zaim mematikan diri seketika di dalam tandas itu. Cuba memfokuskan perbualan rakan sepejabatnya itu.

“Aku tengok dia kadang-kadang normal aje. Cuma yalah, lelaki metroseksual macam Zaim tu susah orang nak agak dia tu lelaki macam mana,” kata Azuan.

“Yang kau beria-ia ni kenapa? Ke kau dah tangkap cintan dengan Mat Jambu tu?” tanya Azman selamba sambil ketawa geli hati.

“Hisy, kau ni! Gila kau! I’m straight okay! Saja aje aku tanya sebab kau yang lebih lama kenal Zaim tu daripada aku. Aku baru join bank ni dua tahun. Sedangkan kau dah bertahun-tahun kenal dia dari department sebelum ni,” balas Azuan agak marah.

“Alah, relakslah. Itu pun nak sensitif! Memang aku kenal dia dah lama. Tapi aku ni, malas nak ambil tahu hal dia tu. Lagipun, kitakan ada lifemasing-masing. Aktiviti dia selepas habis waktu kerja, hanya dia aje yang tahu. Cuma, selalu jugaklah aku terserempak dia join grup nyah tu. Sejauh mana aktiviti dia selepas itu, aku tak tahu!” jawab Azman.

“Yalah, sendiri punya kubur, sendiri jawablah kan!” kata Azuan penuh makna sebelum mereka melangkah keluar dari tandas itu.

Zaim masih terdiam di situ. Genggaman tangannya kejap, menahan rasa geram dan marah. Terasa ingin dilayangkan sahaja penumbuk itu ke muka kedua-duanya. Begitu mudah orang terus menghukum dirinya hanya kerana dia berpenampilan begitu. Entah berapa ramai lagi orang-orang di sekelilingnya yang berfikiran seperti mereka berdua itu.

Zaim tersedar. Kali ini dia memandang sekeliling. Dirinya masih berbaring di atas katil di dalam bilik Hotel Equatarian Melaka. Dia menarik nafas panjang dan cuba melelapkan mata.

“Wei, kau belum tidur lagi?”

Tiba-tiba suara Akmal menerjah ke gegendang telinga Zaim.

Entah bila pula Akmal membuka pintu bilik dan masuk ke dalam, Zaim tidak perasan. Yang pastinya sergahan Akmal yang tiba-tiba itu membuatkan Zaim terkejut sehingga dia terlompat dan jatuh dari katil.

Akmal ketawa berdekah-dekah.

“Aku terkejutkan kau ke? Masya-ALLAH, aku ingat kau sedar aku masuk tadi!” kata Akmal dalam sisa tawanya.

“Aduh, sakit pinggang aku, kau tahu tak? Lain kali bagilah salam dulu ke. Ini main terjah macam hantu. Memang hantu betullah kau ni!” marah Zaim sambil menggosok-gosok pinggangnya yang terasa sakit akibat jatuh tadi.

Akmal masih lagi ketawa.

“Kau tu yang melayang entah ke mana. Marahkan aku pulak! Ni, makan sate ni. Ini aje yang aku dapat tapaukan untuk kau. Ajak makan tak nak! Makanlah. Ada teh tarik sekali dalam tu,” kata Akmal sambil menghulurkan bungkusan sate dan teh tarik kepada Zaim.

Zaim tersengih. Untuk ini dia berterima kasih kepada Akmal kerana memahaminya kerana pada saat ini perutnya benar-benar terasa lapar. Padan muka! Jual mahal sangat. Kononnya tak laparlah, tak ada moodlah.

Thanks, bro! Kau tahu aje aku tengah lapar, kan!” kata Zaim.

Of courselah! Dari petang tadi aku tengok kau tak minum petang. Malam pun kononnya kata dah kenyang. Ha, kalau aku tak tapau untuk kau, confirm tengah malam nanti roommate aku ni admit kat hospital. Tak pasal-pasal, tidur aku terganggu. Sebelum terjadi apa-apa, baiklah aku buat apa yang patut!” jawab Akmal dalam nada gurau.

Zaim ketawa. Dalam ramai-ramai kawannya itu, hanya Akmal sahaja yang boleh sesuka hati mengutuknya terang-terangan dan Zaim pula memang kalah setiap kali ditegur atau dikutuk Akmal.

Bagi Zaim, walaupun kata-kata Akmal memang pedas lagi menghiris, namun Zaim tahu setiap apa yang dikatakan Akmal itu adalah benar. Dan Zaim amat menghormati Akmal sebagai sahabatnya.
Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.