Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awekku Minah Latah
Awekku Minah Latah
Aida Adia
3/7/2015 23:35:15
90,354
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 18

DATO’ Zack menutup talian telefon bimbitnya.

“Hmm... merajuklah tu!” keluhnya perlahan.

Tidak sempat dia menjelaskan secara terpeinci akan alasannya, Ziezie telah pun mematikan talian. Dia menyimpan telefon bimbitnya ke dalam poket kemejanya semula.

Masih lagi menunggu si isteri yang sedang bersiap. Sudah berpuluh kali Dato’ Zack melihat jam di tangannya. Dalam masa yang sama, masih berasa bersalah kepada Ziezie kerana tidak dapat berjumpa Ziezie seperti yang dijanjikan pada saat akhir dan terpaksa juga memberi alasan yang agak lari sedikit daripada cerita asalnya.

“Dato’, kita nak gerak pukul berapa ni? Bukan apa, saya takut nanti nak meredah jammed. Kita yang lewat sampai nanti.” Tiba-tiba Wan Safwan yang lebih mesra dipanggil Awe, pemandu peribadi Dato’ Zack, muncul.

Awe yang berasal dari Kelantan, sudah pun berkahwin dan mempunyai lima orang anak. Isterinya, Sapiah, juga bekerja sebagai pembantu rumah untuk keluarga Dato’ Zack. Mereka sekeluarga tinggal di rumah teres pekerja yang telah disediakan Dato’ Zack yang terletak di belakang banglo Dato’ Zack sekeluarga.

“Hmm... tunggu ajelah. Datin kamu tu dok bersiap dari tadi tak sudah-sudah. Tak usahlah kamu risau. Datin kata tadi semuanya dia dah uruskan. Kita cuma datang aje,” jawab Dato’ Zack dalam nada malas dan bosan.

Awe tersengih-sengih melihat reaksi bosnya itu.

“Okeylah kalau macam tu, saya tunggu di luar ajelah. Dah sedia nanti, Dato’ panggil saya ya,” kata Awe.

“Hmm... yalah, nanti saya panggil,” jawab Dato’ Zack.

Awe kemudiannya terus berlalu dari situ. Dato’ Zack kembali mengeluh. Memang pada permulaannya Dato’ Zack sudah pun berkemas-kemas menyimpan pakaiannya ke dalam beg. Hatinya berbunga riang kerana setelah berbulan-bulan lamanya dia tidak berjumpa Ziezie, inilah harinya dia akan menghabiskan masa bersama dengan Ziezie.

“Eh, yang, you nak pergi mana pulak bersiap-siap ni? Kenapa I tak tahu pulak ni?”

Tiba-tiba Datin Kay menyergah.

“Ha, you! I ada meeting tergemparlah kat Langkawi. Sorry for the late notice,” jawab Dato’ Zack sambil tergesa-gesa mengemaskan pakaiannya.

Lagi cepat dia bersiap, lagi bagus. Malas dia mahu bersoal jawab dengan isterinya itu.

Tiba-tiba Datin Kay merampas baju yang dipegang Dato’ Zack dengan kasar. Pakaian yang sudah dikemas masuk ke dalam beg habis dipunggah keluar oleh Datin Kay.

“Eh, apa yang you buat ni, Kay!” tegur Dato’ Zack.

“You tahu tak hari ini hari apa?” tanya Datin Kay sambil merenung tajam suaminya.

Dato’ Zack terdiam. Di dalam kepala memikir, hari apa pulak hari ini? Hari Sabtulah, kan!

“You dah lupa ke, hari ini our wedding anniversary kita! Yang ke-20!” sambung Datin Kay keras.

Dato’ Zack terdiam. Alamak! Habis! Macam mana aku boleh lupa pulak ni! Gerutu hati kecil Dato Zack.

“I tak kira, I dah plan surprise party for our anniversary malam ni at Vistana Hotel. I dah jemput semua kawan-kawan kita kat parti kita tu. Kalau you tak ada malam ni... get ready for my turn. Lepas ni, kalau ada any formal function or any events, you jangan marah I pulak kalau I tiba-tiba tak join you!” gertak Datin Kay, walau lembut tutur katanya, namun amat berbisa pada pendengaran Dato’ Zaim.

Datin Kay terus berlalu dari situ sambil tersenyum sinis meninggalkan Dato’ Zack terkulat-kulat di situ.

“Ah, parah! Kalau dia buat perangai, aku jugak yang teruk nanti! Tahun ni, aku baru nak bertanding. Pihak lawan memang tunggu aje peluang ni. Hisy, rosak program aku!” keluh Dato’ Zack sambil mengemas semula pakaian yang berterabur di atas katil, masuk semula ke dalam almari.

Di dalam kepala sempat lagi memikirkan alasan apa untuk diberitahu kepada Ziezie.

“Hisy, leceh betul!” rungutnya dalam hati.

“Ni nak makan malam ke, nak masuk pertandingan ratu ni?” keluhnya lagi.

Sekali-sekala dia melirik matanya ke arah tangga yang menghubungkan ruang tamu tingkat bawah dengan bilik di tingkat atas. Masih tiada lagi tanda-tanda isterinya sudah bersiap dan turun ke bawah.

“Hmm...” Terdengar lagi keluhan Dato’ Zack.

Kali ini dengusan yang agak kuat dan panjang bernada bosan. Memang Dato’ Zack bukan orangnya yang gemar menunggu. Di dalam dunia pekerjaan dan juga perniagaannya, menunggu adalah merupakan satu kepantangan bagi dirinya. Semua pekerjanya faham dengan semua prinsipnya itu. Cuma isterinya sahaja yang tidak reti-reti ingin memahaminya dan juga mungkin boleh dikategorikan sebagai tidak menghormati prinsipnya.

“Kalau dengan Ziezie, dia tak pernah menghampakan aku walau dalam apa jua keadaan sekalipun,” keluh Dato’ Zack sendirian.

Umum mengetahui bahawa Dato’ Zack memang terkenal sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya, juga terkenal sebagai family manyang digilai oleh gadis-gadis di luar sana sehingga ada yang sanggup mahupun rela dijadikan isteri nombor dua, tiga mahupun empat kepada Dato’ Zack.

Hakikatnya, di sebalik sifat lelakinya yang boleh dikategorikan sebagai lelaki maco idaman Malaya dan contoh suami mithali idaman para isteri, tersembunyi satu rahsia skandal buat dirinya yang bergelar suami kepada Datin Kay itu.

Dato’ Zack akui bahawa dia sukar membuang perasaannya itu yang lebih tertarik kepada isteri orang. Dia berkahwin dengan Datin Kay pun atas dasar ingin membalas jasa baik keluarga Datin Kay yang merupakan orang yang banyak membantunya sehingga dia menjadi orang yang disegani kini. Keluarga Datin Kay merupakan orang kaya dan antara yang sangat berpengaruh di Malaysia ini.

Sebelum mengenali Ziezie, Dato’ Zack pernah mempunyai hubungan sulit dengan isteri seorang doktor. Selama dua tahun mereka menjalinkan hubungan sulit itu tanpa pengetahuan pasangan masing-masing. Bagi Dato’ Zack, tujuannya hanya sekadar suka-suka dan melayan nafsu haramnya, tetapi tidak pernah terfikir untuk menjalin hubungan yang halal atas alasan masih sayangkan keluarganya.

Dato’ Zack mengenali Ziezie setahun yang lepas semasa mereka dipertemukan dalam majlis makan malam korporat yang dianjurkan oleh pihak bank di tempat Dato’ Zack bekerja. Setakat ini Dato’ Zack melayan Ziezie seadanya lantaran faham Ziezie sebenarnya juga hidup kesunyian kerana suaminya terlalu sibuk dengan urusan perniagaan.

Dalam masa yang sama, dia masih berperanan sebagai seorang suami dan bapa kepada Adriana dan Andy sebaiknya. Menggunakan tiket kesibukannya sebagai usahawan berjaya yang sentiasa sibuk menguruskan dan memperluaskan empayar perniagaannya, peluang begitulah yang Dato’ Zack gunakan untuk bertemu dan menghabiskan masa bersama Ziezie.

Walaupun masa yang ada amat terhad dan eksklusif, namun Dato’ Zack amat bijak mengatur perancangan agar hubungannya dengan Ziezie tidak diketahui keluarganya mahupun pihak musuh perniagaannya.

Atas alasan bahawa dia hanyalah seorang manusia biasa, sejauh mana dia mengawal perasaan dan nafsu, dia tetap akan melakukannya dan dalam masa yang sama akan cuba menyimpan rahsianya itu sebaik mungkin daripada diketahui oleh isteri dan anak-anaknya.

“Ah, kalau aku dah jemu dengan dia, aku blahlah! Pandai buat, pandai simpanlah!” Dato’ Zack berkata-kata sendirian di situ.

Langsung tidak menyedari bahawa isterinya, Datin Kay sudah ada di depan mata!

“Eh, apa you ni? Siang-siang hari pun sempat nak mengigau!” tegur Datin Kay.

Bukan main terkejut Dato’ Zack bila dilihatnya Datin Kay tiba-tiba sahaja berada di depan matanya.

Alamak! Apa yang aku cakapkan tadi ha? Dato’ Zack mula menggelabah. Hatinya mula risau. Takut kantoi sebenarnya Dato’ ni!

“Eh, bila you turun? Dah lama?” tanya Dato’ Zack, mengawal rasa terkejut dan gugup bila melihat isterinya itu tiba-tiba sahaja sudah terpacak di depannya walaupun kedengarannya seperti soalan bodoh yang ditanyakan.

“Hisy, you mengigaulah tuh. Takkan you tak sedar I dah lama turun tadi,” jawab Datin Kay sambil tangannya lincah memupuk bedak ke atas mukanya. Tak sudah lagi bermekap!

Haih, selamat! Nasib baik tak kantoi! Kang tak pasal-pasal aku masuk wad ICU sebab sakit jantung pulak nanti! Ujar Dato’ Zack dalam hati sambil mengurut dadanya perlahan-lahan.

“Eh, jomlah! Kita dah lambat ni. Nanti tetamu kita tertanya-tanya pulak,” kata Datin Kay seraya terus menyimpan mekapnya ke dalam beg tangannya.

“Eh, I dah lama ready dah ni. Cuma tunggu you yang lama sangat bersiap!” jawab Dato’ Zack sambil terus bangun daripada duduknya.

Sorry! Anyway, you jangan risaulah. I dah suruh PA you, Maira, uruskan semuanya,” balas Datin Kay sambil tersenyum.

“Oh, you dah kowtim dengan PA I ya. Hmm... dahlah, jom kita gerak sekarang,” kata Dato’ Zack.

Dalam masa yang sama, Dato’ Zack mengucapkan syukur kerana isterinya tidak bertanya lanjut tentang alasan meeting tergempar di Langkawi itu. Takut juga dia jika isterinya akan bertanyakan PAnya nanti. Sedangkan Maira memang tidak tahu mengenai meeting ini mahupun tentang hubungannya dengan Ziezie.

MEREKA tiba di Hotel Vistana tepat pada jam 8.00 malam. Ramai juga tetamu yang terdiri daripada rakan-rakan rapat Dato’ Zack dan juga Datin Kay, rakan-rakan perniagaan Dato’ Zack yang menghadiri majlis sambutan ulang tahun perkahwinan mereka berdua.

Dato’ Zack menarik nafas panjang. Rupanya isterinya telah merancang sebegini rapi untuk majlis sambutan ulang tahun perkahwinan mereka. Hatinya menjadi lebih teruja apabila melihat para tetamu yang datang semuanya terdiri daripada kenalan yang banyak menyokong penglibatan terbarunya ke dalam dunia politik.

Untuk semua ini, Dato’ Zack amat berasa bersyukur atas idea bijak isterinya dan segala pengurusan yang rapi yang diatur oleh PAnya. Dengan pertemuan begini, semuanya ini secara tidak langsung akan membantu mempromosikan nama Dato’ Zack di mata umum.

Dalam pada itu, sempat juga Dato’ Zack memandang sekeliling mencari kelibat PAnya, Maira. Baru dia perasan, Maira sedang berbincang sesuatu dengan pengacara majlis di sudut dewan makan hotel itu. Dato’ Zack pasti isterinya telah mengaturkan sesuatu untuk majlis mereka ini.

Bertemakan elegant, tidak dinafikan walaupun majlis ulang tahun perkahwinan pasangan ini dijalankan di dalam suasana yang sederhana, tetapi ia tetap meriah. Lebih-lebih lagi, rata-rata tetamu hadir mengikut tema yang ditetapkan.

Sebaik pasangan yang diraikan tiba di pentas utama di hadapan para tetamu, tiba-tiba lampu ditutup. Lampu sportlight menyala dan terus menghala ke arah Dato’ Zack dan Datin Kay. Semua mata tertumpu ke arah pasangan yang diraikan yang berada di atas pentas utama.

Datin Kay sememangnya seorang yang anggun dan bijak berfesyen, sesuai dengan usianya yang sudah memasuki usia pertengahan 40-an. Datin Kay begitu bergaya dengan gaun malam yang labuh mengikut bentuk badan berwarna hitam yang mempunyai ropol-ropol di bahagian dadanya. Gaun hitam yang mempunyai sedikit corak abstrak berwarna silver dan sedikit bling-bling bertaburan di atas corak abstrak itu memang menyerlahkan lagi keanggunan Datin Kay.

Begitu juga dengan Dato’ Zack yang tidak kurang hebat juga. Bertuksedo hitam dengan baju kemeja bahagian dalam berwarna silver. Ditambah dengan gaya ala-ala Romeo, di mana butang baju kemeja silvernya itu dibiarkan terbuka hingga menampakkan sedikit bulu dadanya.

Walaupun umur Dato’ Zack sudah memasuki usia 50-an, namun dia masih lagi kelihatan segak bergaya dan hebat, membuatkan ramai wanita di luar sana menahan perasaan bila mendapat tahu Dato’ Zack sentiasa mewar-warkan kepada media bahawa dia adalah seorang yang sangat setia kepada seorang isteri. Hmm... Setialah sangat!

Tiba-tiba, terdengar alunan muzik dan kemudiannya muncul penyanyi Anuar Zain dan terus berdiri di tengah-tengah antara Dato’ Zack dan Datin Kay. Kemunculan Anuar Zain yang dianggap surprise itu mendapat tepukan yang gemuruh daripada para hadirin. Anuar Zain menyanyikan lagu popularnya iaitu Keabadian Cinta. Mendengar alunan suara yang dibawa oleh penyanyi terkenal itu memang benar-benar membuaikan perasaan sesiapa sahaja.

“Diucapkan selamat ulang tahun perkahwinan buat pasangan bahagia ini iaitu Dato’ Zack dan Datin Kay. Harapan kami semua agar perkahwinan Dato’ dan Datin kekal hingga ke akhir hayat. Semoga berbahagia selalu,” ujar Anuar Zain sebaik selesai mengalunkan lagunya.

Serentak itu semua hadirin bertepuk tangan dan dalam masa yang sama seorang pekerja hotel datang membawa sebuah troli yang mana di atasnya tersergam indah sebiji kek yang agak besar berbentuk dua hati yang melekat di antara satu sama lain. Kek hati yang berwarna pink dan mempunyai hiasan bunga-bunga ros merah segar, sangat cantik dan mendapat tumpuan para hadirin.

Pengacara majlis meminta Dato’ Zack dan Datin Kay memotong kek. Mereka berdua kelihatan sangat gembira. Selesai upacara memotong kek, sekali lagi pengacara majlis meminta para hadirin diam seketika kerana dia akan mengumumkan suatu perkara yang penting. Mendengar kata-kata daripada pengacara majlis itu, semua hadirin senyap seketika dan menumpukan perhatian kepada pengacara majlis.

Dalam masa yang sama, Dato’ Zack juga berdebar-debar, apakah pengumuman yang bakal diberitahu nanti? Ah, jangan yang macam-macam sudah! Getus hati kecilnya, masih berprasangka buruk kepada isterinya.

Cepat-cepat dia kembali sedar daripada prasangkanya kerana memikirkan dirinya sendiri yang patut malu kerana tidak mahu mengambil tahu langsung tentang tarikh perkahwinan mereka. Sehingga membiarkan isterinya yang menguruskan sendiri majlis mereka ini.

“Hadirin sekalian, sempena sambutan majlis ulang tahun perkahwinan Dato’ Zack dan Datin Kay ini, our sweet couple ini telah bermurah hati mendermakan wang tunai sebanyak RM30,000.00 kepada Masjid Al-Azim di Kampung Setia Kasih bagi tujuan penambahbaikkan masjid itu. Untuk makluman, Kampung Setia Kasih adalah salah satu kawasan dalam mukim atau kawasan yang bakal Dato’ Zack naungi sekiranya beliau menang dalam pertandingan pilihan raya DUN pada penghujung tahun ini. Kita beri tepukan kepada pasangan ini. Moga-moga di atas kemurahan hati pasangan ini akan dibalas dengan rezeki yang melimpah ruah.” Pengacara majlis mengumumkan.

Serentak itu, tepukan gemuruh memenuhi ruang dewan makan Hotel Vistana itu. Dato’ Zack memandang Datin Kay dengan perasaan terharu. Tidak menyangka isterinya sebijak itu mengatur strategi dengan menggunakan majlis malam ini sebagai tiket dia melobi untuk dia bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.

Sepantas itu juga, Dato’ Zack mencium pipi isterinya sambil berbisik di telinga, “You are brilliant! Thank you so much! I owe you one!”

Datin Kay juga membalas ciuman suaminya sambil turut berbisik di telinga suaminya, “You welcome. Thanks for attending this event.”

Mereka berdua saling berbalas senyuman dalam pengertian masing-masing.

Mereka berdua kemudiannya turun dari pentas utama dan sama-sama menyertai para jemputan sambil berbual mesra melayani mereka.

“Wah, Dato’! Tahniah! It’s a brilliant strategy Dato’! Congrats!” ucap Dato’ Amir sambil berjabat tangan dengan Dato’ Zack.

Dato’ Zack hanya ketawa senang.

You are welcome! Well, semua ni adalah harapan dan niat my wife. Tak salahkan kalau kita bersedekah kepada mereka yang memerlukan,” kata Dato’ Zack sambil tersenyum.

Pandangannya tertumpu kepada Datin Kay yang sedang sibuk berbual dengan teman-temannya di meja sebelah.

“Lepas ni, our Dato’ Zack confirm menang peringkat bahagian. And then,boleh bertanding peringkat parlimen pulak. Wah, kalau ada rezeki, esok-esok boleh jadi MB!” giat Dato’ Steven Chia.

Semua Dato’- Dato’ yang berada di dalam kumpulan itu ketawa besar.

Dato’ Zack hanya ketawa. Hatinya amat puas dan gembira. Namum, dalam masa yang sama dia juga perlu berhati-hati kerana di dalam dunia politik, konsepnya adalah sama juga seperti di dalam dunia perniagaan kerana di mana-mana pun situasi, pasti ada juga terselit gunting dalam lipatan. Ada sahaja musuh yang ingin melihat dia jatuh.

Dalam ketawa riang dan ucapan tahniah, Dato’ Zack percaya tidak semua mereka adalah ikhlas menyokongnya. Pasti ada antara mereka mempunyai agenda tersendiri. Begitulah lumrah kehidupan!

Dalam waktu yang sama, Dato’ Zack mula memikirkan tentang hubungannya dengan Ziezie. Dia tidak mahu reputasinya yang semakin naik ini terjejas dengan skandal hubungannya dengan Ziezie. Dato’ Zack mempunyai harapan yang tinggi dalam politik yang baru diceburinya itu. Dia mempunyai impian yang besar untuk empayar perniagaannya.

Namun, dalam masa yang sama, dia tidak mahu Zaim pengurus auditnya, satu-satunya orang yang telah mengetahui tentang dirinya memanjangkan cerita mengenainya. Dia perlu bertindak sebelum Zaim bertindak lebih bijak daripadanya.

Zaim merupakan satu ancaman untuk dirinya yang tidak boleh dipandang ringan. Dato’ Zack sedar Zaim mempunyai ramai kawan-kawan yang berpengaruh. Jika Zaim membocorkan skandalnya itu, maka akan terbongkarlah segala-galanya. Zaim perlu dihapuskan!

It’s time now to end-up all this! I don’t want to lose this opportunity just because of him. No way! Keras suara hati Dato’ Zack memuktamadkan keputusannya.

Kalau dah banyak duit, segala-galanya boleh diatur. Membuat dan mengubah keputusan umpama memilih tempat makan yang digemari. Kalau tak suka, boleh cari kedai makan lain. Namun, bila nakkan sesuatu walau payah sekalipun, sanggup lakukan apa saja cara, asalkan apa yang dihajati terlaksana.

Besar sungguh kuasa duit ni. Dan manusia, sanggup menggadaikan maruah dan menjadi hamba duit demi mengejar nikmat dunia yang tidak pasti bahagianya. Masya-ALLAH.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.