Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awekku Minah Latah
Awekku Minah Latah
Aida Adia
3/7/2015 23:35:15
33,044
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 8

SARA!

Laungan Mak Odah terdengar nyaring dan lebih kuat daripada biasa pada awal-awal pagi begitu. Lontaran vokalnya yang sememangnya semua orang tidak boleh lawan itu memecah keheningan pagi yang dingin lagi damai itu.

“Apa ajelah mak ni pagi-pagi buta!” rungut Siti Maisara dari dalam bilik.

Dia masih lagi membelek wajah dan tubuhnya di cermin retak di almari buruknya itu. Baju kurung cotton berbunga kecil warna biru dan bertanahkan warna putih sangat sesuai buat Siti Maisara. Tudung pula jenis kain bawal kosong warna biru gelap. Nampak cute dan comel!

“Weh, kak! Kau nak kerja kat tadika ke, kau nak kerja kat bank ni?” tegur Siti Mariam sambil tersengih.

Mereka lima beradik hanya berselang jarak dua tiga tahun sahaja kecuali Abdul Muaz dan Abdul Muin berjarak hanya selang setahun. Abdul Muaz berumur 25 tahun, Abdul Muin pula 24 tahun, Siti Maisara, 22 tahun, Siti Musliha, 20 tahun dan Siti Mariam, 17 tahun.

Mendengar komen daripada adiknya itu, Siti Maisara segera membelek tubuhnya sekali lagi di cermin. Dari atas ke bawah, kemudian berpusing perlahan-lahan melihat arcanya di cermin. Apa yang tidak kena dengan pakaian aku? Tanya Siti Maisara.

“Apasal pulak? Okey apa!” jawab Siti Maisara sambil menjeling adiknya itu.

“Yalah, kak, dah macam cikgu-cikgu pulak dah. Tak sesuailah nak pakai macam tu kat ofis korporat kat KL tu,” komen Siti Mariam.

Mariam yang sudah siap berpakaian baju sekolah itu segera menghampiri kakaknya itu.

“Buang ajelah beg patung Angry Bird kau tu, kak! Lemas dah aku tengoknya. Tak ada gaya korporat langsung!” komen Siti Mariam.

“Ah, peduli apa aku! Janji aku pakai baju! Aku nak bekerja, bukan nak jadi model tayang-tayang baju kat orang!” rengus Siti Maisara.

“Tapi, kak, beg akak tu...”

“Beg aku ni kau suruh aku buang? Oh, tidak! Nilah beg yang banyak berjasa kat aku selama ni kau tahu tak!” beritahu Siti Maisara sambil merengus lagi.

Makin dilayan adiknya itu, makin banyak pula komen dan kritikan daripada adiknya.

“Sara! Ya ALLAH! Pekak ke kau ni?” jerit Mak Odah dari dapur.

Rasanya, sudah berbelas kali dia memanggil nama anaknya itu. Namun, Siti Maisara masih belum lagi keluar dari biliknya.

“Ya, mak. Tak payahlah nak menjerit-jerit pagi-pagi buta ni! Tension tahu tak!” ujar Siti Maisara sebaik muncul di hadapan emaknya.

Dia segera menarik kerusi untuk duduk di meja makan. Begitu juga Siti Mariam. Malas mahu memanjangkan bebelan emaknya pada pagi yang tenang itu.

“Apa yang kau dok menelek lagi kat depan cermin tu? Kau ingat Kolumpo tu dekat-dekat sini aje? Nanti kau ketinggalan kereta api nanti macam mana? Dahlah hari ni hari pertama kau bekerja. Nanti tak pasal-pasal...” Mak Odah sudah mula memulakan ceramah pagi. Namun, dipotong cepat-cepat oleh Siti Maisara.

“Mak, sudah-sudahlah. Okey, orang nak pergi dah ni.”

Siti Maisara sudah pun bangun dan terus menuju ke arah Mak Odah, lantas mencium tangan emaknya.

Mak Odah tidak terkata apa. Dia menghantar Siti Maisara ke pintu hadapan. Siti Mariam sudah pun bangun dari meja makan dan bersiap sedia untuk ke sekolah. Abdul Muaz dan Abdul Muin masih berlingkar di atas katil di dalam bilik. Mereka berdua bekerja syif malam. Pulangnya pukul 2.00 pagi. Memang payahlah mahu mengejut mereka berdua!

“Wei, Mariam, cepatlah! Aku dah lambat ni!” jerit Siti Maisara.

Sudah beberapa kali dia melihat jam tangannya. Dia menunggu Siti Mariam keluar dari rumah. Risau benar dia kerana takut sampai lewat ke pejabat. Sudahlah hari ini adalah hari pertama dia bekerja sedangkan dia sendiri tidak pasti berapa lama dia perlu mengambil masa semasa perjalanan di dalam Komuter nanti.

“Okey, okey, siap dah ni!” jawab Siti Mariam.

Di tangannya sudah memegang kunci motor. Sempat dia mencium tangan emaknya sebelum keluar tadi.

Siti Mariam terus menghidupkan enjin motor Honda lama kepunyaan ayahnya itu. Dia perlu menghantar kakaknya ke stesen Komuter dahulu sebelum terus ke sekolah.

Siti Mariam menuntut di dalam tingkatan lima di sekolah menengah yang berhampiran stesen Komuter itu. Siti Mariam akan menduduki peperiksaan SPMnya tahun ini.

“Mak, orang pergi dulu eh!” laung Siti Maisara.

Mak Odah yang masuk ke dalam rumah sebentar tadi kembali keluar.

“Okey, baik-baik kerja tu. Jangan kau cari pasal pulak kat pejabat tu,” pesan Mak Odah sambil melambai-lambai kepada anak-anaknya.

“Cepatlah wei! Aku dah lambat ni.” Siti Maisara meninggikan suaranya, menggesa adiknya melajukan kelajuan motornya itu.

“Apa kau ingat motor ‘beram’ ayah ni motor racing!” sanggah Siti Mariam.

Motor ‘beram’ adalah panggilan mereka adik-beradik kepada motor ayah mereka itu kerana bunyi enjin motornya yang menderam-deram bagaikan laju sahaja bunyinya, tetapi hakikatnya, ia hanya boleh dibawa 50 km/j sahaja!

“Tak pasal-pasal nanti tayar motor ni tercabut, baru kau tahu. Dahlah motor ni selalu aje semput!” sambung Siti Mariam lagi.

Siti Maisara terdiam. Lemas dia dengan kelajuan motor yang dibawa Siti Mariam. Sempat ke tidak aku sampai ke stesen Komuter ni dengan kelajuan 50 km/j ni? Siti Maisara tertanya-tanya sendiri.

Akhirnya, selepas 20 minit, Siti Maisara dan Siti Mariam, tiba di Stesen Komuter Padang Jawa. Sekali lagi Siti Maisara melihat jam tangannya. Dalam masa yang sama, Siti Mariam juga melihat jam tangannya.

“Baru pukul 6.45 pagi! Alamak, kecohlah kau ni kak. Sempatlah kau sampai KL sebelum pukul 9.00 pagi nanti. Okeylah, orang pergi dulu. Good Luck!” kata Siti Mariam sambil merungut-rungut dalam bahasanya sendiri. Kemudian, terus berlalu dari situ

Siti Maisara tersengih mendengar rungutan adiknya itu. Dia perlu menaiki Komuter dalam pukul 7.00 pagi. Siti Maisara berkira-kira, dari Stesen Padang Jawa ke Stesen Kuala Lumpur, mengambil masa lebih kurang satu jam dua puluh lima minit. Jika tiada halangan, dia akan tiba di Stesen Kuala Lumpur dalam pukul 8.30 pagi. Kemudian, dari situ, dia perlu berjalan kaki lebih kurang 10 minit untuk sampai ke pejabatnya yang terletak di Lebuh Ampang. Kiranya sedang elok sajalah dia akan tiba di pejabat.

Siti Maisara mempercepatkan langkah kakinya, mencelah di sebalik kumpulan orang ramai dan memasuki barisan yang agak panjang sedikit untuk membeli tiket di kaunter. Bukan tidak boleh beli tiket dari mesin tiket, tetapi pagi itu dilihatnya ketiga-tiga mesin tiket rosak.

Mahu atau tidak, terpaksalah Siti Maisara beratur dalam barisan yang panjang itu untuk membeli tiket di kaunter. Dalam hatinya tidak putus-putus berdoa agar dia sempat dapat membeli tiket dan sempat juga menaiki Komuter yang dijadualkan akan bertolak pada pukul 7.00 pagi itu.

Sedang dia beratur di barisan panjang itu, tiba-tiba seorang lelaki yang agak berumur dalam lingkungan 50-an masuk barisan dan terus memotong barisan betul-betul di hadapannya. Menyirap darah Siti Maisara dengan gelagat lelaki itu. Orang sibuk beratur, dia senang-senang nak potong que! Rungut Siti Maisara geram.

“Assalamualaikum, pak cik,” tegur Siti Maisara dengan lembut walau di hati suhu barannya semakin meningkat.

Lelaki itu tidak menjawab salamnya, cuma memandang Siti Maisara sekilas dan terus buat tidak peduli.

“Err... Pak cik, nak tanya sikitlah, masa pak cik sekolah dulu, pernah tak pak cik belajar subjek sivik ke, subjek pengetahuan agama Islam ke...?” tanya Siti Maisara dengan selambanya, namun masih dalam nada yang lembut dan perlahan.

Mendengar soalan selamba daripada Siti Maisara, lelaki itu mula naik angin, tetapi bila mengenangkan Siti Maisara bertanya dengan baik dan lembut, dia mula tenang.

“Apasal pulak?” tanya lelaki itu dengan sombongnya.

“Tak adalah, saya dok fikir, pak cik yang dah berumur, lagi banyak pengalaman ni, takkan saya yang muda lagi jelita ni nak ajar pak cik etika beratur. Budak tadika pun boleh beratur dengan sabar dan ikut peraturan. Semua orang nak pergi kerja, pak cik. Bukan pak cik sorang aje yang nak cepat. Saya ni lagilah nak cepat!”

Siti Maisara yang sudah mula nak memulakan kuliah paginya itu terhenti di situ bila lelaki itu sambil merengus dengan kasar terus berlalu dari situ. Sempat pula dia menjeling Siti Maisara dengan rasa tidak puas hati. Benganglah tuh!

Siti Maisara yang masih selamba itu tersenyum, memandang lelaki itu pergi.

Beberapa ketika menunggu, akhirnya giliran Siti Maisara pun tiba. Setelah membayar tiket perjalanan, cepat-cepat dia berlari menuju ke platform laluan ke Kuala Lumpur. Tidak dihiraukannya yang dia sedang memakai baju kurung. Lupa seketika kesopanannya dalam berbaju kurung itu.

Siti Maisara sempat menaiki Komuter melalui koc di belakang sekali. Ini bermakna koc yang Siti Maisara naiki adalah koc umum, koc untuk lelaki dan perempuan.

“Ah, tak kisahlah, janji dapat duduk!” kata Siti Maisara sendirian.

Siti Maisara menarik nafas lega kerana masih ada banyak lagi kerusi kosong di dalam koc itu. Siti Maisara memilih untuk duduk di sebelah tingkap. Oleh kerana suasana yang agak tenang, dingin dan keadaan di luar masih samar-samar, mudah sahaja Siti Maisara terlelap di situ.

Siti Maisara tersedar daripada tidurnya bila Komuter itu berhenti di Stesen Batu Tiga, di mana penumpang sudah mula ramai menaiki Komuter. Keadaan di dalam koc mula semakin sesak dengan penumpang.

Di sebelah Siti Maisara duduk seorang lelaki muda, mungkin dalam lingkungan usia 30-an. Dari dia mula naik di Stesen Batu Tiga tadi, Siti Maisara mula rasa tidak selesa duduk di sebelah lelaki itu. Lelaki itu duduk agak rapat dengan Siti Maisara. Puas dia menjarakkan tubuhnya daripada lelaki itu. Sehingga dia sendiri pun agak tersepit ke sebelah tingkap.

Namun, lelaki itu buat muka poyo sahaja. Baru Siti Maisara ingin menegur lelaki itu agar menjarakkan sedikit tubuhnya ke tepi, lelaki itu sudah pun terlelap. Siti Maisara berkira-kira ingin mengejutkan lelaki itu, tetapi niatnya terhenti bila lelaki itu tidur dalam dengkuran yang amat kuat!

“Mak ai, dah macam tidur kat rumah dia pulak!” rungut Siti Maisara.

Ketenangan Siti Maisara mula terganggu. Bukan setakat bunyi serombong kapal yang memekakkan telinganya, tetapi yang lebih membuatkan Siti Maisara bengang bila lelaki itu dengan selesanya melentokkan kepalanya di bahu Siti Maisara.

Ini sudah lebih! Gerutu hati Siti Maisara.

“Encik! Encik!” kejut Siti Maisara.

Dia menggoyang-goyangkan tangan lelaki itu, tetapi tiada respons. Makin kuat dengkurannya adalah! Barangkali, lelaki itu berasa selesa melentokkan kepalanya di bahu Siti Maisara.

“Hisy, kau ingat, bahu aku ni bantal!” Siti Maisara mula naik angin.

Siti Maisara menunjal kepala lelaki itu ke sebelah. Namun, sesaat kemudian, kepala lelaki itu terlentok lagi di bahunya.

“Encik! Encik! Dah sampai!” Siti Maisara meninggikan suaranya sambil menggegar-gegarkan tubuh lelaki itu kuat-kuat.

Lelaki itu dalam refleksi yang terperanjat terus terjaga. Namun, tanpa sedar air liurnya meleleh dan terkena bahu Siti Maisara. Siti Maisara yang sememangnya terkejut dengan insiden itu terus menolak kepala lelaki itu dengan kasar sehingga lelaki itu yang sememangnya sedang mamai terus jatuh tergolek dari kerusi.

“Wei, agak-agaklah sikit kalau nak tidur pun! Kalau mengantuk sangat, balik rumahlah! Janganlah nak menyusahkan orang lain pulak!” marah Siti Maisara dengan suara yang kuat.

Bengang betul dia dengan lelaki itu.

Siti Maisara sudah berdiri. Dia mencari-cari tisu di dalam beg sandang Angry Birdnya. Penumpang yang berada di koc itu semua terdiam dan terkedu melihat insiden yang tidak disangka itu. Terkejut sebenarnya dengan kelantangan suara Siti Maisara memarahi lelaki yang tergolek dari kerusi itu. Sekali dengar, jeritan Siti Maisara tadi ada ala-ala Mak Odah sedang memarahi anak-anaknya. Yalah kan, kuah nak tumpah ke mana lagi, ya tak!

Dalam mamai itu, dengan rasa malu lelaki itu meminta maaf.

Sorrylah, cik! Saya tak sedar. Maafkan saya!” Itu sahaja yang mampu dikatakannya.

Hendak kata apa lagi. Melihat kebengisan Siti Maisara itu, nak cakap lebih-lebih nanti, silap-silap dia dihumban keluar dari Komuter itu. Lelaki itu tahu yang Siti Maisara memang betul-betul marahkan dirinya.

Siti Maisara pun tidak menunjukkan apa-apa respons bila dia bercakap. Siti Maisara sibuk mengelap bahunya dengan tisu yang telah dibasahkannya dengan air suam yang disimpannya di dalam botol yang diletakkan di dalam beg sandangnya itu. Penumpang yang lain ada yang masih memandang lelaki itu dan ada yang mula buat hal sendiri.

Lelaki itu dengan payahnya cuba bangun. Komuter sedang berhenti di Stesen Angkasapuri. Dia memandang sekilas Siti Maisara yang masih sibuk merungut-rungut sambil membersihkan baju kurungnya yang telah basah di bahagian bahu dan lengannya.

“Kesian cik ni. Tak pasal-pasal baju dia terkena air liur basi aku!” kata lelaki itu perlahan.

APALAH nasib aku hari pertama bekerja ni,” keluh Siti Maisara.

Dia sudah bersiap sedia untuk turun kerana hanya ada dua lagi stesen yang bakal dia tempuh. Harap-harap, bajunya di bahagian bahu dan lengan yang basah itu cepat kering dan tidak meninggalkan kesan dek kerana dia menyental terlalu kuat dengan tisu basah tadi. Nasib baik kain baju kurung yang dipakainya itu adalah dari jenis yang ringan dan tidak perlu digosok. Kalau tidak, sudah pasti akan nampak kesan tompokan di bahunya itu.

Jika diingat kembali insiden itu, pasti dia akan terasa loya dan geli-geleman. Memang Siti Maisara tidak boleh terima langsung dengan apa yang telah berlaku kepadanya sebentar tadi.

Tidak mahu moodnya terganggu di hari pertama dia bekerja, Siti Maisara menarik nafas panjang-panjang dan terus melangkah keluar dari Komuter itu dengan senyuman yang paling manis.

Memang begitulah sikap Siti Maisara, tidak suka merumitkan keadaan. Apa yang telah berlaku walau ia satu tragedi mahupun sesuatu yang menyedihkan, dia malas mahu mengingatinya semula.

“Buat semak kepala otak aku aje!”

Begitulah yang selalu dikatakan pada dirinya sendiri.

Dari Stesen Kuala Lumpur, Siti Maisara perlu berjalan kaki untuk sampai ke Lebuh Ampang. Dia perlu melalui laluan Pasar Seni sebelum tiba ke Lebuh Ampang. Memang ramai yang melalui laluan itu pagi-pagi begini.

“Baru pukul 8.30 pagi. Alhamdulillah, sempat lagi ni,” kata Siti Maisara.

Siti Maisara menikmati suasana di sekelilingnya. Ramai peniaga-peniaga sementara yang menjual kuih-muih dan pelbagai hidangan sarapan pagi di pekarangan dan di tepi jalan berhadapan Pasar Seni itu.

“Nasib baik aku dah bersarapan tadi!”

Orang ramai masih lagi berpusu-pusu di tepi jalan dan masing-masing dalam langkah yang laju menuju ke pejabat masing-masing. Melepasi sahaja pekarangan Pasar Seni, Siti Maisara tersenyum sendiri.

“Tak sangka, dulu masa nak pergi Pasar Seni, siap kena tunggu rombongan sekolah, baru dapat pergi sini. Sekarang, aku akan lalu kawasan ini tiap-tiap hari!” kata Siti Maisara sambil tertawa kecil.

Dari jauh, Siti Maisara sudah nampak bangunan tinggi berwarna keemasan yang tersergam gah di tengah-tengah kota metropolitan itu. Di situlah tempatnya mencari rezeki. Kakinya semakin laju mengatur langkah.

Sewaktu dia memasuki lif, jam sudah menunjukkan pukul 8.40 pagi.

“Huh, sempat jugak aku sampai office sebelum pukul 8.45 pagi!” Siti Maisara tersenyum sendirian sambil menarik nafas lega.

Sampai di tingkat 20, Siti Maisara keluar dari lif. Tiba di ruang legar tingkat 20 itu, terkial-kial dia mencari papan tanda, unit yang ingin dituju. Mencari-cari nama unit Corporate Audit Department. Di dinding di sebelah pintu lif, terdapat tiga papan tanda kecil berserta penunjuk arah ke mana hala unit yang berkenaan.

“Ha, dah jumpa! Sebelah kanan rupanya!” Siti Maisara terjerit kecil dek kerana teruja bila bertemu dengan unit yang ingin dituju.

Siti Maisara membelok ke kanan. Pintu unit berkenaan tertutup. Puas dipulas tombol pintu besar hitam itu, tetapi pintu itu tidak boleh dibuka. Diketuk-ketuknya pintu itu.

“Helo!” jerit Siti Maisara.

“Eh, nak bagi salam ke? Apasal pintu ni payah nak buka ni?” Siti Maisara terkial-kial di situ.

Mencari-cari idea bagaimana ingin membuka pintu itu.

Dalam dia sedang mengetuk-ngetuk pintu, tiba-tiba pintu terbuka sendiri, tetapi tiada orang yang membukanya. Siti Maisara hairan. Dia menjenguk ke dalam. Suasana sunyi sepi di situ. Tiada seorang manusia pun di situ.

“Eh, ajaib ni. Siapa yang tolong bukakkan pintu pejabat ni ya? Dah macam pejabat hantulah pulak!”

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.