Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awekku Minah Latah
Awekku Minah Latah
Aida Adia
3/7/2015 23:35:15
33,021
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 20

SITIMusliha berjalan mundar-mandir di dalam biliknya. Hatinya menjadi tidak keruan sejak mendapat pesanan ringkas pagi tadi. Fikirannya menjadi buntu apakah yang patut dia buat. Sejak menerima pesanan ringkas itu tadi, Siti Musliha masih berkira-kira, patutkah dia pergi atau tidak.

Sudah berpuluh kali dia membaca pesanan ringkas di telefon bimbitnya itu. Walau dia sendiri sudah hafal bait-bait ayat di dalam pesanan ringkas itu, namun dibacanya berulang kali.

I will arrive at KLIA. At 10.30am! Hope to see you there! Can’t wait to see your beautiful face closelyJ.

Ayat-ayat itulah yang diulang bacanya sejak dari tadi tanpa jemu. Siti Musliha melihat jam loceng kecil yang terletak di atas almari usang di dalam biliknya itu.

“Sudah pukul 9.30 pagi! Nak jumpa macam mana kalau waktu begini? KLIA tu bukannya dekat!” rungut Siti Musliha seorang diri.

“Liha! Liha! Apa kau buat berkurung kat dalam bilik tu? Keluarlah. Tolong mak masak ni ha!”

Terdengar jeritan Mak Odah dari dapur.

“Dahlah tak bekerja, nak menolong aku kat dapur ni jangan haraplah! Kau nak jadi anak dara apa ni, Liha oii!” Mak Odah sudah memulakan mukadimmah ceramah paginya.

Mendengarkan emaknya sudah ada tanda-tanda mahu memanjangkan lagi ceramahnya itu, cepat-cepat Siti Musliha membuka pintu bilik lantas keluar menuju ke dapur. Jika dibiarkan, harus satu kampung tahu bahawa dialah anak dara kampung itu yang malas bekerja, malas menolong emaknya di dapur dan segala macam skil malas yang dia ada berbanding anak dara-anak dara lain di kampung itu.

Di dalam bab ini, Siti Musliha faham benar sikap emaknya itu yang tidak kisah apa orang lain kata tentang keluarga mereka. Bukan Siti Musliha tidak tahu, semua orang di kampung itu mengata tentang keluarganya. Tentang panas baran ayahnya terhadap isteri dan anak-anaknya. Tentang Abdul Muaz yang pembengis dan kaki gaduh. Tentang Abdul Muin yang terlibat dengan dadah dan tentang Siti Mariam yang sibuk diperkatakan orang dahulu, seorang lesbian.

Walaupun kini Siti Mariam sudah berubah, tetapi saki-baki cerita tentang adiknya itu masih diperkatakan orang lagi. Siti Musliha pasti, kini mungkin ada antara jiran-jirannya sibuk menjaja cerita tentang dirinya seorang anak dara yang pemalas dan tidak bekerja.

Hanya kakaknya, Siti Maisara, yang selalu mendapat pujian daripada jiran-jirannya. Siti Maisara sentiasa disenangi oleh semua penduduk di kampungnya itu. Siti Musliha juga tidak peduli apa orang lain kata tentang keluarganya. Memang dia sendiri akui semua cakap-cakap orang kampung tentang keluarganya itu adalah benar. Hendak menafikan apa lagi. Kebenaran sudah di depan mata. Terimalah seadanya!

“Ha, tu tak sudah lagi termenung tu! Apa nak jadi kau ni, Liha! Ya ALLAH!” Sergah Mak Odah dari pintu dapur.

Dia baru sahaja selesai menyidai kain di jemuran. Mak Odah memegang dadanya. Sakit rasa dadanya bila melihat anak daranya yang seorang ini masih tercegat tanpa berbuat apa-apa di singki dapur. Dalam hatinya terfikir, kalaulah ada Siti Maisara, dia tidak akan susah-susah begini di dapur. Segala urusan dapur akan dibereskan segera oleh Siti Maisara. Mak Odah hanya duduk berehat atau paling tidak pun hanya menyapu di halaman rumah.

Mengenangkan itu Mak Odah mengeluh panjang. Cepat-cepat dia sedar, setiap anak ada berbeza perwatakan dan pembawaannya masing-masing walaupun dilahirkan daripada rahim yang sama. Sekali lagi Mak Odah mengeluh. Akur dan reda atas ketentuan-NYA.

“Apa lagi yang kau tercegat kat situ? Pergilah masak nasi. Goreng sayur tu. Ikan tu buat sambal. Mana tahu, kot tiba-tiba ayah kau balik, nak makan. Bukan kau tak faham perangai baran ayah kau bila dia dah lapar. Silap-silap, dengan kau sekali dibahamnya!”

Pedas leteran Mak Odah kali ini. Sakit mata dan ngilu dadanya melihat sikap malas anak daranya itu.

“Alah, tak ada maknanya ayah nak balik mak! Dah tiga bulan dia tak balik! Entah-entah dah kahwin lain!” balas Siti Musliha geram.

“Apa? Kau jangan nak cakap yang bukan-bukan pasal ayah kau tu. Walau teruk mana sekalipun dia, dia tu tetap ayah kau. Wali kau masa kau nak kahwin nanti!” marah Mak Odah.

“Yalah, yalah... Liha tahulah nak buat apa mak. Mak tu, janganlah asyik dok membebel aje. Sakit telingalah, bising!” rungut Siti Musliha, malas mahu memanjangkan pertelingkahan dengan emaknya.

Dia sudah mencapai periuk nasi. Di dalamnya sudah diisi beras dua pot. Lincah tangannya membuka paip air di singki untuk membasuh beras. Namun, jelas terlihat tindakan memberontaknya bila setiap apa yang dilakukannya dibalas dengan hentakan periuk nasi di singki.

Mak Odah menggeleng sambil beristighfar dengan kelakuan anaknya itu.

“Ooo... sakit telinga kau aje yang kau tahu eh! Habis, aku ni? Tak sakit hati tengok perangai kau tu?” marah Mak Odah.

Siti Musliha diam, namun terdengar decitan dan rengusan kasar dari mulutnya itu. Tidak sanggup melihat sikap biadab anak daranya itu, Mak Odah segera menghilangkan diri masuk ke biliknya. Dari segi luarannya, Mak Odah memang kelihatan garang apatah lagi bila mendengar lontaran suaranya memarahi anak-anaknya. Namun, itu sahaja yang paling tinggi yang boleh Mak Odah lakukan. Untuk memukul mahpun merotan, bukan cara Mak Odah.

Mak Odah menjadi tidak sampai hati untuk memukul anak-anaknya. Dia tahu bagaimana rasa sakitnya bila dipukul kerana melalui pengalamannya sendiri dipukul orang tuanya semasa kecil dan sehingga kini dipukul pula oleh suaminya yang panas baran.

Sementara itu, Siti Musliha yang sedang membasuh beras itu terkejut bila tiba-tiba telefon bimbitnya yang berada di dalam poket seluarnya berbunyi sambil bergetar meminta diangkat. Diseluknya poket seluar lantas dikeluarkan telefon bimbitnya itu. Cepat-cepat dijawab panggilan itu, takut emaknya bising bila mendengar bunyi nada dering telefon bimbitnya itu.

“Hello. Eh, hi Henry! Welcome to Malaysia,” ucap Siti Musliha dalam nada yang tertahan, takut didengari Mak Odah.

Namun begitu, nada suaranya benar-benar gembira bila dapat bercakap dengan pemanggil di sana.

“Sorry? Oh, okay, okay, pass it to me, please!” Terdengar suara Siti Musliha sedikit mengendur dan wajahnya sedikit bingung.

Siti Musliha terus bersabar dan kelihatan agak khusyuk mendengar sesuatu penerangan yang disampaikan oleh pemanggil di sana. Sekejap-sekejap dia terangguk-angguk, seolah-olah faham apa yang diterangkan walaupun si pemanggil itu tidak nampak pun apa yang dilakukannya itu. Sekejap dia mengeluh.

“Di mana saya nak dapatkan jumlah wang sebanyak itu dalam masa terdekat ni? Saya bukan orang kaya pun. Kerja pun belum!” kata Siti Musliha.

“Memang saya kenal dia, tapi cuma di Facebook aje. Inilah pertama kali dia datang Malaysia nak jumpa saya,” jawab Siti Musliha.

“Iya, saya belum bekerja lagi! Awak faham tak? Apa? Sampai esok? Tak boleh bagi masa lama sikit ke? Nanti saya ikhtiarkan. Okey, esok saya telefon!”

Serius benar nampaknya perbualan Siti Musliha tadi. Siti Musliha segera menyimpan telefon bimbitnya lantas menyambung semula kerjanya yang tertangguh tadi.

“Astaghfirullah al-azim. Belum sudah-sudah lagi kerja kau ni, Liha? Membasuh beras sampai berjam-jam!” sergah Mak Odah yang tiba-tiba muncul ke ruang dapur itu.

Nasib baik bukan Siti Maisara. Kalau dia, harus air basuhan beras bakal disimbah ke muka Mak Odah dek terkejutnya mendengar sergahan daripada Mak Odah itu.

Siti Musliha tidak menjawab walau sepatah pun kata-kata Mak Odah itu. Laju sahaja dia mengelap periuk yang berisi beras yang sudah dibasuh itu dengan kain buruk yang kering lantas diletakkan periuk itu semula ke tempat asalnya, lalu terus menekan butang cook di periuk nasi elektrik itu.

Sepantas itu juga, Siti Musliha mengambil kacang panjang yang berada di atas meja lalu dikerat-keratnya sederhana pendek. Selesai bab kacang panjang, laju pula tangannya mengupas bawang-bawang. Mak Odah hanya memerhatikan sahaja perilaku anak gadisnya itu tanpa suara.

Melihat anak gadisnya begitu tekun menyiapkan bahan-bahan untuk memasak, Mak Odah terus meninggalkannya keseorangan di dapur. Lebih baik dia menyapu daun-daun kering yang bersepah di halaman rumah. Naik rimas pula memandangnya.

Namun, lain pula sebenarnya yang berlaku kepada Siti Musliha. Hakikatnya, Siti Musliha sedang ligat memikirkan jalan penyelesaian yang perlu diambil untuk masalah yang sedang dialaminya sekarang. Fikirannya buntu. Kepada siapa perlu dia adukan untuk menyelesaikan masalahnya ini.

“Takkanlah aku nak beritahu mak! Huh, jangan cari pasal. Silap-silap aku dikerat 14 nanti dek mak!” Siti Musliha berkata sendirian.

“Hmm... nak beritahu Kak Sara ke tidak eh? Agak-agak Kak Sara marah tak aku?” soal Siti Musliha kepada dirinya.

Dalam dia leka memikirkan jalan penyelesaiannya sendiri, tanpa disedari Siti Musliha terhiris jarinya dengan pisau yang sedang digunakan itu.

“Aduh! Argh!” jerit Siti Musliha tanpa menyangka bahawa jeritannya itu sebenarnya telah menarik perhatian Mak Odah.

Memang sahlah jeritannya kuat sehingga Mak Odah berlari masuk ke ruang dapur untuk mendapatkan anaknya itu.

“Ha, apa kena ni? Apa kena ni? Apasal jari kau berdarah tu? Kau potong apa? Ya ALLAH, macam mana kau potong bawang ni? Pergi singki! Jirus jari yang luka tu dengan air cepat!” Kecoh mulut Mak Odah melihat keadaan Siti Musliha.

Bising mulutnya mengarah Siti Musliha itu ini.

Ha, ambil kau! Tak pasal-pasal, jari kau dah luka. Nasib baik tak terpotong jari tu. Tulah bahananya buat pelan tanpa restu. Itu baru pelan aje tu! Belum lagi nak melaksanakannya! Hati Siti Musliha berkata-kata seolah-olah mengejek dirinya sendiri.

“Yalah, yalah... Nanti aku beritahu Kak Saralah, mintak advice dia!” Siti Musliha bermonolog di situ.

Yes!Bagus! Itulah yang sebaik-baiknya. Jangan kau tambah pening kepala emak tu lagi. Cukuplah sudah emak nak melayan kerenah ayah dan abang-abang kau tu! Sekali lagi hati Siti Musliha berkata-kata.

Siti Musliha memandang Mak Odah yang sedang memasak sayur di dapur.

“Eh, bila masa pulak aku hand over kerja memasak kat mak ni?” tanya Siti Musliha.

Dia masih lagi terkial-kial membalut luka di jarinya dengan plaster.

Dalam masa setengah jam, Mak Odah telah selesai membereskan segala urusan memasak. Nasi siap ditanak dan tiga jenis lauk untuk hidangan tengah hari mereka sekeluarga, siap dimasak. Mak Odah memang cekap memasak dan menyiapkan segalanya dalam masa yang singkat. Terasa serba tidak kena pula bila melihat emaknya sungguh pantas dan cekap membuat kerja sedangkan dia sendiri masih terkial-kial membersihkan lukanya.

“Mak,” panggil Siti Musliha perlahan dan teragak-agak.

Mak Odah baru sahaja selesai membasuh pinggan mangkuk di singki. Mak Odah menoleh ke belakang. Siti Musliha memandang emaknya dengan takut-takut.

“Kenapa?” tanya Mak Odah, ringkas.

“Err... Liha nak keluar kejap lepas makan nanti boleh tak, mak?” tanya Siti Musliha.

“Kau nak ke mana?”

“Tadi kawan Liha call. Dia kata, kat tempat dia bekerja tu perlukan seorang kerani. Ni, Liha nak jumpa dialah ni. Nak bincang sikit. Kalau nasib baik, lepas bincang nanti, kalau boss dia setuju dengan kelayakan yang Liha ada, bolehlah dapat kerja tu nanti. Boleh tak, mak?” terang Siti Musliha sekali gus meminta kebenaran daripada Mak Odah.

Terdengar suara Mak Odah mengeluh. Hatinya berbelah bahagi mahu membenarkan Siti Musliha pergi.

“Kat mana tempat kerja kawan kau tu?” tanya Mak Odah.

“Err... kat KL mak!” jawab Siti Musliha.

“Jauhnya! Dekat-dekat Klang ni tak ada ke? Kenapa nak jugak bekerja kat KL tu? Cukuplah setakat Kak Sara kau aje yang kerja kat KL tu. Itupun kau tengok sendiri betapa letihnya dia berulang-alik pergi kerja hari-hari. Lepas ni, kalau kau dapat kerja kat KL tu, tinggallah anak perempuan mak sorang aje si Mariam tu. Nak harapkan anak-anak lelaki, memang payahlah,” leter Mak Odah.

“Alah, mak ni. Orang bukan pergi mana pun. Pergi kerjalah mak. Lagipun, semua anak perempuan mak nanti, bila dah berkahwin, dah tentu akan ikut suami masing-masing. Sampai bila orang nak duduk rumah? Mak jugak yang bising bila orang tak cari kerja. Ha, kan peluang ni, mak,” pujuk Siti Musliha.

Mak Odah terdiam. Dalam diam dia juga turut mengakui kata-kata Siti Musliha itu. Dia sepatutnya tidak menghalang anaknya itu pergi mencari pekerjaan.

Hmm... aku ni bila dia ada kat rumah ni, aku bising! Bila dia nak cari kerja, pun aku bising! Kesian pulak aku tengok Liha ni. Mak Odah berfikir dalam hati.

“Suka hati kaulah Liha. Pergilah cari kerja tu.” Akhirnya Mak Odah menyatakan persetujuannya walau dengan separuh hati.

Mendengarkan persetujuan telah diberi oleh Mak Odah, Siti Musliha terlompat kegembiraan, namun cepat-cepat dia cuba mengawal keterujaannya itu di depan Mak Odah. Dalam masa yang sama, terasa bersalah kerana membohongi emaknya. Ternyata Siti Musliha sedang merancang satu misi tanpa pengetahuan sesiapa pun.

Previous: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.