Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awekku Minah Latah
Awekku Minah Latah
Aida Adia
3/7/2015 23:35:15
32,657
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 22

MAKOdah baru sahaja selesai memberi salam kirinya usai Solat Zohor apabila terdengar pintu rumah diketuk bertalu-talu. Terkial-kial Mak Odah bangun dan agak panik kerana pintu diketuk agak kuat. Mak Odah tidak pasti mahu membuka kain telekungnya dahulu atau terus membuka pintu.

“Eh, sekejap, sekejap. ALLAH, lutut aku! Nanti!” jerit Mak Odah dari biliknya.

Dalam usianya yang begini, pergerakannya sudah agak terbatas. Hendak bangun pun mengambil masa yang agak lama kerana Mak Odah sudah lama mengalami sakit lutut.

“Hisy, yang orang ni, tak reti ke nak bagi salam dulu! Nak roboh pintu rumah aku dibuatnya!” rungut Mak Odah sambil berjalan perlahan menuju ke pintu.

Sudahnya, Mak Odah tidak jadi menanggalkan kain telekungnya itu. Dia terus menuju ke pintu dan membuka selak pintu dari dalam.

Sebaik Mak Odah membuka pintu rumah, Abdul Muin terus merempuh masuk, melanggar Mak Odah yang berada di tengah pintu tanpa memberi salam. Mak Odah jatuh terduduk dek rempuhan Abdul Muin itu.

“Ya ALLAH! Apa hal kau ni, Muin? Sampai mak pun kau langgar ni?” jerit Mak Odah sambil terkial-kial bangun dari jatuhnya itu.

Abdul Muin yang selamba dan tanpa mempedulikan emaknya itu terus ke dapur.

“Mak lambat sangat bukak pintu! Aku laparlah!” balas Abdul Muin kasar dari arah dapur.

Terdengar bunyi pinggan dan cawan berlaga dan dihentak kuat. Sudah pasti Abdul Muin mengambil sendiri lauk dan nasi untuk dirinya.

“Yang kau ni masuk rumah macam perompak, dah kenapa? Ni dah berapa bulan kau tak menjenguk mak kat sini, tiba-tiba kau muncul ni apa hal? Dah tak ada duitlah tu, kan?” sergah Mak Odah.

Dia duduk di kerusi menghadap Abdul Muin yang sedang makan.

“Ha, pandai pun mak. Macam tahu-tahu aje aku ni balik sebab apa,” balas Abdul Muin dengan selamba.

Dia tersengih sambil menjilat-jilat jarinya. Nasi dan lauk sudah licin di pinggan.

Mak Odah memandang atas bawah anak bujangnya itu. Walau geram dan sakit hati dengan kelakuan biadab anaknya itu, namun nurani keibuannya sayu melihat fizikal anaknya itu. Tubuh Abdul Muin sangat kurus dan berpipi cengkung. Matanya cengkung ke dalam dan tanda lingkar matanya besar kehitaman. Rambutnya panjang ke bahu, kusut-masai. Giginya kuning. Dek kerana badannya yang kurus, tulang-tulang kelihatan menonjol di bahagian dada.

Masya-ALLAH, dulu kaulah satu-satunya anak mak yang comel dan montel. Badan kau berketak-ketak berisi dan bulat. Semua orang geram kat pipi kau yang tembam tu. Kenapa kau jadi begini sekarang? Keluh Mak Odah dalam hati. Hiba Mak Odah melihat fizikal anaknya sekarang.

Mak Odah tahu, Abdul Muin adalah penagih tegar. Sewaktu Abdul Muin masih tinggal di rumah ini, Mak Odah pernah ternampak Abdul Muin sedang menghisap najis itu di dalam biliknya. Terjerit-jerit Mak Odah menyuruh Abdul Muin membuang benda itu, namun apakan daya, sewaktu itu Abdul Muin memang sedang di bawah pengaruh dadah dan sedang khayal terawang-awangan.

Bila Abdul Muin keluar bekerja, Mak Odah mengambil kesempatan menggeledah almari Abdul Muin, tetapi tidak berjumpa apa-apa. Tidak sangka pula, selepas kejadian Abdul Muin cuba memeras ugut Mak Odah meminta wang, Abdul Muin terus keluar dari rumah itu. Dan kini, setelah beberapa bulan, Abdul Muin muncul semula. Mak Odah yakin, Abdul Muin pasti ingin meminta wang daripadanya.

“Mak! Mak! Berangan ke apa orang tua ni!” sergah Abdul Muin.

Dia mengibas-ngibas tangannya di hadapan muka Mak Odah.

Mak Odah terkejut sambil beristighfar. Fikirannya melayang sebentar tadi.

“Kau nak apa ni, Muin?” tanya Mak Odah.

“Hek eleh orang tua ni! Dah tahu, tanya lagi aku kenapa? Ha, apa lagi, bagilah!” ujar Abdul Muin kasar dengan suara yang nyaring.

“Aku mana ada duit, Muin! Bapak kau dah lama tak balik. Duit belanja rumah dan semuanya ditanggung Sara! Mana aku ada duit,” jawab Mak Odah sayu.

“Eh, Sara tu kan kerja bank. Duit dia banyak mak oii! Setakat belanja dapur dan makan kau orang, berapalah sangat. Tak luak gaji dia tu! Mak yang tak reti mintak lebih kat Sara tu,” kata Abdul Muin.

“Kesianlah adik kau tu, Muin. Macam-macam dia nak bayar dan nak tanggung. Keperluan diri dia sendiri pun dia sanggup ketepikan. Yang kau dah bekerja lama kat kilang tu, takkan tak cukup-cukup nak beli benda haram tu sampai nak mintak kat orang lain pulak!” Mak Odah sudah naik angin.

Abdul Muin terdiam. Sudah lama dia tidak bekerja gara-gara dia tertangkap oleh penyelia kilangnya ketika dia sedang khayal melayan benda haram itu di stor kilangnya. Dia juga tidak lagi duduk menyewa kerana dihalau oleh rakan serumahnya akibat tidak membayar duit sewa rumah.

Jadilah dia penganggur terhormat yang melepak di kaki-kaki lima perhentian bas, pasar raya dan kedai-kedai. Untuk mengisi perut, terpaksa dia mencuri dan meragut. Hasilnya bukan untuk dibeli nasi, tetapi benda haram itu yang sudah lama sebati dalam dirinya.

Dia pulang ke rumahnya ini pun kerana tiba-tiba terfikir emaknya pasti ada menyimpan sedikit simpanan. Dia tahu selama ini adiknya, Siti Maisara, yang menanggung segala perbelanjaan rumah. Dia juga tahu ayahnya sudah lama tidak pulang-pulang ke rumah.

Abdul Muin tidak pasti ke mana menghilangnya ayahnya itu. Kali terakhir dia berjumpa ayahnya adalah sewaktu dia meminta wang daripada ayahnya. Selama ini, segala kehendak dan permintaan dirinya dan juga abangnya, Abdul Muaz, pasti akan ditunaikan ayahnya.

Abdul Muin bersyukur kerana mempunyai ayah yang amat menyayangi dirinya dan juga abangnya.

“Kau orang berdua anak lelaki ayah yang paling istimewa dan bertuah. Untuk anak-anak ayah yang ayah sayang, ayah akan tunaikan apa saja permintaan kau orang. Janji, kau orang berdua sayang ayah, ya!”

“Jadi, ayah tak sayanglah Sara, Liha dan Mariam. Betul ke ayah?” tanya Abdul Muaz.

Pertanyaan Abdul Muaz itu membuatkan Pak Musa terdiam. Dia seperti tercari-cari ayat yang sesuai untuk menjawab soalan Abdul Muaz.

“Hisy, kau ni, Muaz! Tak payahlah kau tanya hal lain. Ayah dah bagi pengakuan yang dia sayangkan kita berdua pun dah cukup baik. Banyak soallah kau ni, Muaz!” kata Abdul Muin.

Kata-kata Abdul Muin itu membuatkan Pak Musa ketawa dan Abdul Muaz hanya tergaru-garu kepalanya mencari jawapan sebenar.

“Err... kalau ayah dah kata ayah sayang kami berdua dan sanggup tunaikan permintaan kami, nampaknya memang tepatlah masanya kami datang berjumpa ayah ni!” kata Abdul Muaz sambil tersenyum penuh makna kepada adiknya, Abdul Muin.

Abdul Muin hanya tersengih.

“Kau orang nak apa sebenarnya ni?” tanya Pak Musa.

“Err... sebenarnya kami nak mintak ayah tolong sikit. Kami nak pinjam duit sikit daripada ayah.” Abdul Muin pula bersuara.

“Nak pinjam duit? Berapa? Untuk apa?” tanya Pak Musa, sedikit hairan.

“Err... kalau boleh, Muaz nak 10 ribu ringgit. Nak repair sikit dan ganti spare part motor Muaz yang rosak tu. Kalau ada lebih, Muaz nak bayar sikit hutang-hutang Muaz,” jawab Abdul Muaz.

“Ha, Muin pun nak 10 ribu ringgit jugak. Muin nak gunakan untuk berniaga.” Abdul Muin pula mencelah.

“Mana ayah ada duit sebanyak tu. Muin nak 10 ribu ringgit, Muaz pun nak 10 ribu ringgit. Mana ayah nak cari! Ayah kau ni kerja tukang rumah aje. Nak menyiapkan rumah orang, bukan dapat duit sekali gus. Dia orang bayar berperingkat-peringkat. Kalau kau orang berdua nak sangat, kena tunggulah!” kata Pak Musa ketika Abdul Muin sibuk memaksa ayahnya memberinya duit.

“Alah, ayah, takkan tak ada jalan lain. Muin memang nak pakai duit buat modal berniaga. Sepuluh ribu ringgit bukan banyak ayah. Muin nak bukak gerai burger. Ada untung nanti Muin bayarlah balik kat ayah,” desak Abdul Muin.

“Yalah, yalah... nanti ayah usahakan.” Itu jawapan yang selamat daripada Pak Musa untuk menghentikan desakan si anak.

Sehinggalah malam kejadian yang membuatkan Abdul Muin keluar dari rumah. Dia dapat berjumpa dengan ayahnya setelah beberapa hari kemudian. Seperti yang dijanjikan, ayahnya memberinya sepuluh ribu ringgit.

Alangkah gembiranya hatinya bila ayahnya menunaikan permintaannya itu.

“Jangan kau enjoy sangat guna duit tu. Lepas ni ayah dah tak boleh nak tolong kau lagi dah. Muaz pun ayah tak janji nak tolong lagi.”

Itu kata-kata terakhir daripada Pak Musa. Selepas itu, Abdul Muin tidak mendapat apa-apa khabar berita tentang ayahnya itu. Malah, duit sepuluh ribu yang diberi ayahnya itu pun sudah habis dijolinya sana sini.

Tiba-tiba Abdul Muin terasa seram sejuk. Badannya berpeluh-peluh, tetapi ia mengigil-gigil seperti kesejukan. Abdul Muin tahu, giannya sudah datang. Sudah lama dia tak dapat benda haram itu. Dia memandang sekelilingnya. Mak Odah sudah masuk ke bilik. Barangkali sedang mencari kalau-kalau ada sedikit wang untuk diberikan kepadanya, fikir Abdul Muin.

Namun, hatinya hampa apabila dilihatnya emaknya kembali ke dapur tanpa memakai telekung lagi. Mak Odah sedang menenggek air di dapur. Kepala Abdul Muin terasa berpusing semacam. Terasa bengang dengan sikap emaknya yang buat tidak peduli akan dirinya.

“Mak! Kau ada ke tak duit ni? Berapa puluh kali aku nak tanya ni!” jerit Abdul Muin yang tiba-tiba baran.

Mak Odah yang sedang mengupas kulit pisang untuk digoreng buat santapan anaknya itu terkejut dengan jeritan Abdul Muin.

“La, kan mak cakap, mak tak ada duit tu, Muin. Tak ada!” jawab Mak Odah sambil memandang anaknya yang sedang merenungnya dengan mata yang merah menyala.

Abdul Muin cuba bertenang, tetapi getar dan gigil badannya tidak dapat dikawal. Abdul Muin tahu, giannya ini sudah tidak dapat dikawal lagi. Dipandang emaknya. Terasa emaknya seperti mentertawakannya kerana permintaannya kali ini tidak dapat ditunaikan seperti sebelum ini. Terasa dirinya tidak disayangi lagi.

Tiba-tiba, Abdul Muin terpandangkan sesuatu yang berkilat di leher emaknya. Ketika itu, emaknya sedang sibuk mengupas kulit pisang dan sedang membelakanginya.

Perlahan-lahan, Abdul Muin menghampiri emaknya. Semakin dekat menghampiri, dia tersenyum, emaknya sedang memakai rantai leher. Walaupun kelihatan halus, tapi itu sudah cukup untuk membeli stoknya untuk beberapa hari kalau dijual rantai itu.

Ketika Abdul Muin cuba menarik rantai leher emaknya itu dari belakang, tiba-tiba Mak Odah berpaling ke belakang.

“Eh, apa ni Muin? Kau buat apa kat mak ni?” jerit Mak Odah dalam nada terperanjat.

Abdul Muin yang sudah nekad untuk mendapatkan rantai leher emaknya itu naik angin bila Mak Odah menengkingnya. Apa lagi, segera dia memeluk Mak Odah kejap-kejap dari belakang agar Mak Odah tidak dapat melepaskan dirinya. Targetnya hanya satu, inginkan rantai leher yang dipakai Mak Odah itu.

Mak Odah meronta-ronta dalam pelukan Abdul Muin.

“Ya ALLAH, lepaskan mak, Muin! Lepaskan mak! Kau nak apakan aku ni, Muin!” jerit Mak Odah dalam rontaannya.

“Diamlah, mak! Kalau kau tak jerit-jerit macam ni, taklah susah aku nak bukakan rantai kau ni!” kata Abdul Muin sambil mengetatkan lagi pelukannya.

Dia masih terkial-kial ingin menarik rantai emaknya itu, tetapi disebabkan emaknya meronta-ronta sambil menjerit-jerit, fokusnya tersasar.

“Jangan, Muin. Itulah rantai yang adik kau, Sara bagi kat mak. Hadiah daripada dia, Muin. Jangan, Muin!” jerit Mak Odah sambil menangis.

Dia sangat sayang dengan pemberian Siti Maisara itu kerana itulah satu-satunya barang kemas yang dia ada. Suaminya pun tidak pernah memberinya seutas rantai mahupun sebentuk cincin emas untuknya.

“Diamlah orang tua!” jerit Abdul Muin lantas terus merentap rantai leher Mak Odah.

Akhirnya, rantai leher Mak Odah terputus juga. Abdul Muin ketawa puas hati. Tanpa memandang Mak Odah, Abdul Muin melangkah kaki keluar dari rumahnya itu dengan tergesa-gesa. Sebelum dia tiba di pintu hadapan, terdengar Mak Odah terjerit.

“ALLAH! Muin, to... tolong mak, nak!” jerit Mak Odah.

Abdul Muin tidak jadi melangkah keluar. Dia berpaling ke belakang dan terus menuju ke dapur semula. Mak Odah sudah terduduk sambil memegang dadanya. Abdul Muin menjadi gelabah melihat keadaan emaknya itu.

Mak Odah kelihatan amat sukar untuk bernafas. Mak Odah memandang Abdul Muin sambil memegang dadanya. Suaranya tidak terkeluar, seolah-olah tersekat sesuatu di kerongkong. Daripada pandangan matanya, Abdul Muin tahu emaknya memintanya berbuat sesuatu.

Abdul Muin menjadi tidak tentu arah. Dalam masa yang sama cuba menahan rasa gigil dan seram sejuknya akibat ketagihan. Melihatkan keadaan Mak Odah lemah longlai dan hampir jatuh terjelepok di lantai, Abdul Muin segera mendapatkan emaknya dan membaringkan emaknya di pangkuannya.

“Mak! Mak!” panggil Abdul Muin kuat, mula panik.

Dia sudah menangis.

Mak Odah semakin lemah dan mulutnya seakan-akan mengherot ke kiri. Dalam kepayahan menahan sakit itu, terdengar suaranya menyebut perkataan ALLAH berulang kali walau tidak berapa jelas. Mak Odah memandang Abdul Muin yang sedang menangis teresak-esak dengan pandangan yang lemah. Air mata Mak Odah mengalir deras, namun tiada kata-kata yang keluar dari mulutnya.

“Mak! Ampunkan aku, mak!” ujar Abdul Muin.

Dia memeluk tubuh emaknya yang semakin lemah. Badannya menggigil ketakutan. Mak Odah di dakapannya menarik nafas panjang. Dalam lafaz kalimah ALLAHnya itu dia menghembuskan perlahan-lahan nafasnya sehingga ke penghujungnya. Tangan Mak Odah jatuh longlai dari pelukan kejap Abdul Muin.

Abdul Muin menggocang-goncang tubuh Mak Odah yang kaku sambil menjerit-jerit memanggil emaknya. Namun, hampa. Jasad Mak Odah tanpa roh sudah kaku bisu di situ.

“Ya ALLAH. Abang! Apa dah jadi kat mak ni, bang? Ya ALLAH. Mak! Mak!”

Tiba-tiba Siti Mariam datang menerpa ke arah jasad Mak Odah yang kaku. Dia baru sahaja pulang dari sekolah. Ketika melangkah masuk ke ruang tamu sebentar tadi, dia terdengar suara abangnya menangis. Segera dia menuju ke arah dapur dan terlihat abangnya sedang menangis sambil memeluk tubuh emaknya yang sedang terbaring.

“Ya ALLAH! Apa yang kau dah buat kat mak ni, bang? Kenapa mak, bang? Masya-ALLAH... Mak! Mak!” jerit Siti Mariam berulang kali sambil menangis teresak-esak.

Abdul Muin masih terkaku tanpa suara sambil menggigil ketakutan di situ. Dia memandang emaknya sambil menggeleng-geleng.

“Tak! Tak! Aku tak bunuh mak! Aku tak bunuh mak!” jerit Abdul Muin.

Mendengar jeritan dan tangisan mereka adik-beradik, mungkin telah mengundang rasa curiga pada jiran-jiran yang berdekatan dengan rumah mereka. Pak Akob dan isterinya yang mula-mula memasuki rumah itu terperanjat melihat mereka berdua sedang menangis di dapur.

“Apa ken...”

Pertanyaan Pak Akob tadi terhenti di situ apabila dia terpandangkan tubuh kaku Mak Odah yang sedang terbaring di pangkuan Abdul Muin.

“Ya ALLAH! Odah!” jerit Mak Piah, isteri Pak Akob.

Dia sudah mendahului Pak Akob dan terus meluru ke arah kedua-dua adik-beradik itu.

Pak Akob pula melakukan tidakan pantas dengan memeriksa nadi Mak Odah.

“Innalillahiwainnailaihirajiun,” sebut Pak Akob perlahan sambil menggeleng-geleng.

Pak Akob memandang isterinya. Baru sahaja dia ingin membuka mulut, menyuruh isterinya menelefon polis, tiba-tiba datang beberapa orang jiran dengan reaksi yang sama seperti Pak Akob dan isterinya. Akhirnya, dengan bantuan Mail dan beberapa orang jiran Mak Odah, pihak polis dan ambulans telah berjaya dihubungi. Tidak sampai setengah jam, pihak polis dan ambulans pun tiba.

Urusan pihak polis menjadi lebih mudah apabila Abdul Muin tidak sedikit pun beralih daripada kedudukannya. Dia masih memangku jasad emaknya sambil menangis teresak-esak meratapi jasad emaknya itu.

Hendak menyesal pun tidak berguna. Nyawa emaknya tidak boleh dikembalikan lagi. Akhirnya, pihak polis telah membawa Abdul Muin ke balai polis untuk tujuan siasatan. Sementara itu, jasad Mak Odah juga turut dibawa ke hospital bagi tujuan bedah siasat.

“Mariam, telefon kakak kau sekarang. Sudahlah tu nak. Bawa mengucap banyak-banyak. Jangan nangis lagi. Kesian arwah mak kau. Tak baik meratap hiba begini kat mayat mak,” pujuk Mak Piah sambil mengusap-ngusap belakang Siti Mariam.

Dia juga turut kesal dengan apa yang telah berlaku. Mak Piah tahu, pasti ada berlaku pergaduhan antara Mak Odah dengan anaknya sebelum ini kerana rumah Mak Piah yang berkedudukan hanya selang tiga buah rumah dari rumah Mak Odah, membolehkan dia mendengar suara Mak Odah sayup-sayup terjerit memarahi anaknya itu. Tetapi, dia tidak mensyaki apa-apa kerana faham dengan kebiasaan Mak Odah yang selalu menjerit bila memanggil atau memarahi anak-anaknya.

Untuk ketika itu, masing-masing tertanya-tanya apa yang telah berlaku hingga Mak Odah jadi begitu? Masing-masing membuat andaian sendiri. Tidak sabar menunggu keputusan bedah siasat nanti.

“Tak sangka begini pengakhiran hidup kau, Odah!” keluh Mak Piah perlahan sambil menahan tangis dan hiba.

Siti Mariam mengangkat telefon rumahnya. Dia mendail nombor telefon bimbit kakaknya.

“Kak!” Hanya itu sahaja yang keluar dari mulutnya sebaik sahaja terdengar suara Siti Maisara menjawab panggilannya itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.