Home Novel Keluarga Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Azilah Wahab
26/8/2014 18:34:32
36,159
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 14

BAB 14


MARISSA NORHANIS menekan punat-punat di badan telefon rumahnya. Dia menanti dengan sabar panggilannya berangkat. Sekali lagi dia mendail. Tidak juga berangkat. Berkali-kali dia membuat panggilan, akhirnya dia tersandar bosan di sofa.

“Takkan dah keluar kut? Pagi-pagi macam ni? Pergi bercutikah?” tebak Marissa Norhanis sendiri. Sambil menatap jam tangan, dia mencongak-congak waktu di London ketika ini. Sekarang sudah pukul lima petang, bermakna di sana sekitar jam 9 pagi.

Adakah aku yang terawal menelefon kala penghuni rumah Sarah masih lena diulit mimpi? Marissa Norhanis mengeluh.

Dia terkenang-kenangkan Sarah. Kesunyian menantikan kehadiran Zafran pulang ke rumah petang itu membuatkan dia berasa perlukan seseorang untuk diajak berbual. Sangkanya, Zafran akan pulang awal hari ini. Tetapi panggilan yang diterima suaminya sebentar tadi membuatkan Marissa Norhanis mengeluh panjang. Sehari dua ini, Zafran asyik sibuk dan pulang lewat malam. Alasannya, masih sama. Bisnesnya bermasalah. Masih belum selesai.

Di rumah itu, Marissa Norhanis berasa bosan. Sejak pagi, dia terperap di dalam bilik. Habis membaca novel, dia membaca majalah. Habis membaca majalah, dia menonton tv. Bosan menonton tv, dia melayari internet. Apabila kebosanan dah mencecah ke langit, dia membuat sketchdan cerita komik. Sebenarnya, dah banyak cerita disiapkan.

Penat melukis, dia masuk dapur pula. Memasak. Usai memasak, dia menonton lagi sementara menunggu kepulangan Zafran. Begitulah rutin hariannya. Hujung minggu pun cuma beberapa kali saja mereka keluar berjalan-jalan. Selama mereka bergelar suami isteri dan tinggal di Johor Bharu, Zafran cuma pernah mengajaknya ke Desaru, Air Terjun Kota Tinggi dan ke Singapura.

Marissa Norhanis menarik nafas bosan. Entah mengapa, sehari dua ini, dia berasa jiwanya sunyi. Kesibukan Zafran ternyata membataskan hubungan mereka.

“Abang tak izinkan sayang keluar seorang diri. JB ni bukan ramai pun orang baik. Yang ramainya orang jahat. Kalau jadi apa-apa kat sayang, siapa susah. Abang juga, kan? Kalau sayang nak berjalan, tunggu saja abang free. Kita berjalanlah ke mana saja sayang nak pergi. Kalau nak gi panjat Gunung Ledang kat Muar, jumpa nenek kebayan pun abang sanggup temankan. Okey?” Zafran berlawak. Marissa Norhanis sekadar mengetap bibir geram. Ketika itu, Marissa Norhanis meminta izin keluar seorang diri kerana tahap kebosanannya sudah tidak dapat dihuraikan dengan kata-kata.

“Macam ikan sekor-sekor dalam akuarium pulak. Dahlah tak ada kawan, tak boleh lepas bebas pulak tu. Aisyyy…kalaulah abang tinggalkan kereta, sekarang juga aku akan memandu keluar! Izin tak izin, kemudian cerita. Nasiblah, stesen teksi bas jauh nak keluar berjalan dari kawasan ni. Kalau tidak, boleh juga window shopping.” Marissa Norhanis bermonolog separuh membebel.

Perasaan sunyinya kian terasa. Hendak rasanya dia bersiar-siar di sekitar bandar Johor Bahru. Pernah sekali saja Zafran mengajaknya ke Shopping Kompleks Plaza Pelangi. Di situ, Marissa Norhanis menghabiskan duitnya. Dia membeli pelbagai jenis pakaian, kasut dan beg. Sudah menjadi tabiat Marissa Norhanis yang suka berbelanja.

Zafran pula menghadiahinya sebuah radio bersempena hari lahir Marissa Norhanis yang ke 18.

“Tabiat DJ radio yang tak reti berhenti bercakap, melainkan saat iklan, saat lagu diputarkan dan saat waktu azan dilaungkan. Lain-lain waktu, bercakaplah banyak mana pun nak bercakap. Kalau sayang rasa bosan sangat kat rumah tak ada teman bercakap, sayang bercakap aje dengan DJ radio,” usik Zafran. Usikannya itu berbalas cubitan Marissa Norhanis di pinggangnya.

Di Hat Yai hari tu pun, Marissa Norhanis telah membelanjakan sebanyak 2000 bath. Membeli pakaian dan pelbagai jenis aksesori. Kebiasaannya, pada hujung bulan, setiap kali dapat gaji, Raudah Maryam akan mengajaknya ke Sogo mahupun Jusco. Biasalah perempuan, berhabis duit membeli kasut dan beg tangan. Juga segala keperluan kecantikan. Kalau tak membeli barang pun, ke shopping kompleks sekadar mencuci mata melihat pakaian, kasut dan beg tangan adalah satu terapi bagi kaum Hawa.

Marissa Norhanis mencongak-congak sendiri. Duit dalam akaun bsn nya masih banyak. Lebih RM 5 ribu duit Malaysia. Duit yang dimasukkan Halim ke akaunnya saban bulan. Sejak dia masih kecil lagi. Duit itulah juga digunakan Marissa Norhanis untuk berbelanja sepanjang dia berada di asrama.

Ketika berada di asrama dulu, Sarah selalu menemaninya keluar berbelanja. Gadis itu jauh lebih mewah hidupnya. Namun ada waktu-waktunya, Sarah menjadi seorang yang sangat berkira dan teliti dalam pengurusan kewangan. Ada waktu-waktunya, Sarah langsung tidak berkira lebih-lebih lagi bab makan. Gadis itu berhati budiman, selalu belanja kawan-kawannya makan.

Marissa Norhanis teringat lagi. Beberapa bulan sebelum SPM bermula, hubungan dia dan Sarah serta kawan-kawan seasrama dengannya menjadi kurang baik. Semuanya kerana kebanyakan mereka meminggirkannya. Kesilapan yang dibuat Marissa Norhanis kerana jatuh cinta dan bercinta di bangku sekolah. Kononnya, dia dipulaukan kerana melanggar prinsip seorang pelajar sekolah.

“Sarah, Sarah…rindu sangat sama kamu. Kalaulah kau ada sekarang ni, bolehlah kita keluar berjalan-jalan, “ bisik hati Marissa Norhanis senang.

Sesekali, dia membelek-belek buku telefon yang mencatatkan nombor telefon Sarah. Nombor telefon itu baru saja diperolehinya semasa menyemak private mesej di akaun facebook nya. Sarah menitipkan nombor telefonnya di situ.

Terbayang-bayang wajah sahabat baiknya itu sejak dua tahun yang lalu. Dia mengenali Sarah, ketika mereka sama-sama mendaftar masuk ke sekolah berasrama penuh. Sarah benar-benar seorang sahabat yang baik dan prihatin. Malah sangat berhemah menegurnya. Sikap Sarah tidak seperti Emelia dan beberapa orang yang lain yang selalu memerli sinis dirinya. Mereka terlalu berterus terang tidak sukakan Marissa Norhanis yang sesuka hati keluar berdating sewaktu belajar.

‘Arghhh, pedulikan mereka! Yang penting, buat masa ni, aku sangat bahagia dengan suamiku. Aku yakin keputusan ini tepat.’

Marissa Norhanis teringat akan satu ketika itu.

“Aku yakin keputusan ini tepat,Sarah!” tegas Marissa Norhanis.

“Kalau dah demikian tekadmu, aku tidak mampu berkata apa-apa lagi Marissa. Aku cuma mampu berdoa agar urusan pernikahan kalian berjalan sempurna. Aku juga berdoa agar keluarga akan menerima baik keputusan kau ini. Sampai Siam nanti, telefonlah ibu ayah. Ceritakan pada mereka yang kau dan Zafran akan bernikah. Jangan biarkan kau buat dia orang berteka-teki ke mana kau pergi,” nasihat Sarah.

Kepala Marissa Norhanis terangguk-angguk.

“Jaga diri baik-baik Marissa. I will miss you.” Mereka berdakapan erat, di hari terakhir pertemuan mereka di KLIA. Ketika itu, Sarah akan berangkat ke London manakala Marissa Norhanis dan Zafran akan ke Thailand.

“Assalamualaikum.” Suara orang memberi salam kedengaran berulang-ulang, menerobos masuk ke cuping telinga Marissa Norhanis. Raut wajah Sarah tiba-tiba terpadam dari kotak fikiran. Dia menjawab salam tenang sambil cepat-cepat memakai tudung.

“Ya?” tanya Marissa Norhanis sebaik saja terpandangkan seorang pemuda di depan pintu pagar rumahnya. Di kiri kanan tangan pemuda itu mencibit beg plastik.

“Puan Marissa, ada hantaran. Pesanan daripada Encik Zafran.” Pemuda itu memberitahu.

“Ooo…” Marissa Norhanis bereaksi faham lalu mencapai kunci pintu pagar. Dia berjalan mendekati tubuh pemuda itu.

“Tak apa, puan. Tak usah buka pintu pagar. Saya hantar di sini saja.”

“Baiklah,” jawab Marissa Norhanis ringkas. Melalui celahan pagar, barang bertukar tangan.

“Encik Zafran pesan lagi…dia pulang lambat sikit malam ni. Dia tak bagi puan keluar ke mana-mana. Tunggu saja dia balik.” Pemuda itu nampak lurus bersuara.

Marissa Norhanis mengangguk lagi. Hatinya berbisik hairan, ‘Tadi dah telefon pesan balik lambat, tak diizinkan keluar. Sekarang, pesan lagi. Apa hal abang ni?’

Sesekali, Marissa Norhanis berasa hairan dengan sikap Zafran.

“Bukan apalah sayang. Abang risaukan sayang tu. Bukan sebab lain abang tak bagi keluar. Sebab takut dengan orang jahat.”

“Abang ni terlalu takutlah. Mind set abang tu kena ubah. Nak takut apa, I bukan buat jahat pun. Orang yang sentiasa takut tu sebenarnya dia takut dengan bayang-bayang sendiri. Nak-nak abang ada buat jahat kut,” jawab Marissa Norhanis mempertahankan pendirian.

“Terpulanglah sayang nak fikir apa. Tapi satu hari nanti, sayang akan faham apa yang abang maksudkan.”

“Puan, kalau tak ada apa-apa, saya balik dulu.” Pemuda yang berada di luar pagar itu meminta izin. Dia sudah pun berada di atas motosikal dan menghidupkan enjin.

Marissa Norhanis cepat-cepat mengangguk dan mengucapkan terima kasih. Tidak lama kemudian, pemuda itu pun memecut motosikalnya.

Marissa Norhanis berjalan tenang, menuju masuk ke dalam rumah. Suasana petang itu agak sunyi. Rumahnya berada agak hujung dari kawasan laluan utama di Taman Pelangi itu. Pintu rumah jiran di kiri kanan rumahnya, berkunci rapat. Di kawasan itu juga, tiada suara riuh rendah budak-budak.

Ketika mahu menapak masuk ke dalam rumah, sebuah kereta berhenti betul-betul di depan pagar rumahnya. Marissa Norhanis berkerut-kerut dahi, cuba mengecam kereta yang pernah dilihatnya sebelum ini. Tetapi apabila akalnya mentafsirkan kereta itu milik Carmen, Marissa Norhanis cepat-cepat mengunci pintu gelongsor. Sempat jua dia mendengar Carmen menjerit-jerit memanggil namanya. Marissa Norhanis pura-pura tidak mendengar meskipun di luar rumah, suara Carmen tidak berhenti-henti melaung namanya.

“ITULAH, abang dah cakap tak nak dengar. Kan dia dah datang, cari sayang.”

“Adoiii…abang tahu tak? Kat setengah jam juga dia duk panggil nama I. Sabar benar dia menunggu lama dalam kereta. Hujan-hujan lagi. Kesian pulak I tengok dia. Abang balik ni, baru sejam lebih kereta dia pergi.” Marissa Norhanis menjelaskan. Zafran hanya menggeleng-geleng.

“ Dia tak dapat abang, dia nakkan sayang…”

“Ermmmm…”

“Abang semakin risau,” sambung Zafran lagi, mengeluh berat.

“Macam mana ni bang?” tanya Marissa Norhanis risau.

“ Macam mana apa?”

“Abang, betulkah Carmen macam tu? Naluri I tak rasa begitu. Akal pun rasa sangsi. Dia nampak macam orang baik-baik saja.”

“Amboi, bukan main lagi! Belum apa-apa lagi, sayang dah memuji-muji Carmen. Ni buat abang cemburu giler ni!”

“Ek eleh, cemburu ke bendanya bang?”

“Kan abang dah cakap, Carmen tu… dia pandai ambik hati orang. Pandai berbicara. Abang tak mahu sayang terpesona dengan kebaikan palsu dia. Hati manusia kita tak boleh scan, tengok mana yang baik mana yang jahat.”

“Ehem ehem…ya lah abang. So sekarang ni, kalau esok-esok dia datang lagi?”

“Ermmm…” Tiba-tiba Zafran mengeluh berat. Zafran menyandar tubuhnya lesu di sofa itu. Badan dan kepala otaknya letih benar hari ini.

Sekarang dia berdepan dengan masalah yang berat. Balik rumah, Marissa Norhanis pula sibuk bercerita perihal Carmen. Kalau ikutkan, Zafran sebenarnya langsung tidak berasa tergugat dengan kehadiran Carmen. Apalah sangat masalah Carmen kalau nak dibandingkan dengan masalah yang sedang dihadapinya.

Sumber kewangannya kritikal. Dia bakal berdepan dengan masalah. Semuanya gara-gara Syaja’ah dan Tengku Fida. Mereka berdua telah menarik semua keistimewaan yang pernah menjadi miliknya. Selama ini, hidupnya mewah kerana mereka. Tapi hari ini…Arghhhhh!

“Tapi macam mana pulak ya Carmen tahu yang kita tinggal kat sini?” soal Marissa Norhanis. Benaknya masih tidak lepas berfikir tentang Carmen.

Carmen! Carmen! Carmen!

“Aisyyy!! Dulu dia tu selalu sangat duk ke hulu ke hilir kejar abang. Mestilah dia tahu rumah abang ni. Orang macam Carmen tu, kalau dia kata nak, memang dia akan usaha dapat jugak. Lagi dia tak puaskan nafsu sendiri, lagi tu lah. Sayang kena hati-hati dengan perempuan tu tau. Dia tu dah tak berapa nak waras dah. Gila!”

“Tapi betul ke ni bang?” tanya Marissa Norhanis curiga.

“Dah , jangan duk bercakap pasal dia lagi. Abang rasa loya tekak pulak. Ada baiknya kita bercakap pasal kita. Cakap pasal perempuan tu seposen pun tak untung.” Intonasi suara Zafran agak meninggi.

“Ermmmm…okey,” balas Marissa Norhanis ringkas.

“Sayang, dengar abang nak cerita ni baik-baik.” Wajah Zafran serius. Marissa Norhanis hanya memerhati raut wajah suaminya tanpa menyampuk. Wajah Zafran yang punya iras pelakon kacak Yusof Haslam semasa muda, ditenungnya lama-lama.

“Sehari dua ni, bisnes abang sudah tidak boleh diselamatkan lagi. Dah lingkup.” Zafran bernada tenang.

What? Betulkah ni abang?” tanya Marissa Norhanis terkejut. Air mukanya berubah sama sekali.

“Abang tidak punya sebab untuk berbohong.” Zafran mengeluh berat. Marissa Norhanis juga turut mengeluh panjang.

“Tapi…macam mana boleh jadi macam tu pulak?” soal Marissa Norhanis.

“Dalam hidup ini, kita jangan terlalu berharapkan kejujuran orang lain terhadap kita. Ada waktu-waktunya, kita tidak tidak sedar yang kawan baik sendiri pun boleh menikam belakang kita. Semua orang nak ambik kesempatan. Semua orang nak hidup senang lenang. Tak mahu hidup susah. Tetapi apabila kebaikan dibalas dengan keburukan, abang berasa sangat kecewa.”

“Apa maksud abang. I tak mengerti…” Marissa Norhanis berasa mahu menangis melihat wajah sedih Zafran. Tidak pernah sekalipun, selama ini dia mengenali Zafran, wajah suaminya itu nampak sedih dan kecewa yang teramat sangat.

“Frankly speak! Berterus terang saja, bang. What up?” desak Marissa Norhanis. Zafran terdiam dalam larutnya yang panjang. Berkali-kali Marissa Norhanis mendesaknya. Akhirnya, Zafran pun berterus terang.

“Sebenarnya, rakan kongsi abang dah larikan duit. Dia gelapkan duit bisnes kami.” Di akhir ayat, Zafran merengus kasar. Marissa Norhanis tergamam.

“Kawan yang mana?” soal Marissa Norhanis lurus meskipun selama dia menjadi isteri Zafran, tidak seorang pun dia mengenali mana-mana kawan Zafran. Lokasi bisnes suaminya pun tidak diketahui di mana.

“Kereta Honda abang pun dilarikannya…” sambung Zafran lagi.

“Astargfirullah hal azim…” Marissa Norhanis beristigfar panjang sebelum memeluk tubuh suaminya yang tunduk menekur lantai. Ekpressi wajah Zafran menggariskan betapa luka di hati begitu dalam.

“Sayang…kita bakal berdepan dengan kesulitan selepas ni,” luah Zafran. Marissa Norhanis terkedu.

“Sayang, adakah sayang bersedia untuk mengharungi kesulitan ini bersama abang?” soal Zafran sebak. Marissa Norhanis menelan liur kering di tekak. Pertanyaan Zafran itu membuatkan perasaannya tersentuh pilu.

“Abang sudah tidak punya apa-apa lagi. Setelah apa yang berlaku, kita tidak boleh tinggal di sini lagi. Abang terpaksa sewa tempat lain yang mungkin…rumahnya jauh lebih kecik, dan buat sayang rasa tak selesa. Terpulanglah pada sayang, mahu terus bersama abang atau pulang saja ke pangkuan keluarga sayang.” Suara Zafran perlahan dan tersekat-sekat.

Mendengar ayat-ayat Zafran, tanpa sedar Marissa Norhanis menangis.

“Di mana lagi tempat seorang isteri kalau bukan di sisi suaminya, abang? Cintailah isterimu ini pada masa susah dan senang abang. I pun bukan mencintai abang saat hidup abang senang lenang saja. Mungkin perubahan yang kita alami nanti menjadikan hubungan suami isteri kita lebih erat. In sha ALLAH, yakin dan percayalah, I sudah berjanji pada diri untuk melalui setiap kesenangan dan kepayahan bersama,” pujuk Marissa Norhanis membuatkan wajah sedih Zafran sedikit ceria.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.