Home Novel Keluarga Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Azilah Wahab
26/8/2014 18:34:32
35,100
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 17

"MAKANLAH sikit, Maryam. Jangan turutkan sangat liur awak yang pahit tu,” pujuk Halim. Mangkuk bubur di tangannya diletak di atas meja kopi di bilik itu.

Raudah Maryam menggelengkan kepala.

Halim menyuakan air suam ke mulut isterinya. Raudah Maryam meneguk perlahan. Sedikit sahaja air itu masuk melalui kerongkongnya. Sudahnya, dia menggeleng lemah.

“Awak ada rasa nak makan apa-apa tak? Abang buatkan bubur jagung nak?” soal Halim penuh cakna.

Dalam kelesuan, Raudah Maryam hanya mampu menggelengkan kepala. Mahu bercakap pun, dia sudah tidak larat.

“Kalau begitu, berehatlah.” Halim menyelimuti tubuh Raudah Maryam dengan selimut tebal.

Raudah Maryam memejam mata rapat-rapat, tidak mahu memandang wajah suaminya.

Halim mengheret nafas berat. Melihatkan keadaan Raudah Maryam, perasaannya terusik. Sudah empat hari isterinya terkedang lesu. Ubat yang ditelan isterinya tidak menunjukkan sebarang perubahan positif. Petang tadi, sekali lagi Halim cuba memujuk isterinya pergi ke hospital.

“Mungkin setelah masuk air dalam badan, tubuh awak akan bertenaga.” Halim mencadangkannya.

“Kan dah pergi hospital hari tu. Ubat pun masih ada lagi,” balas Raudah Maryam lemah.

“Hari tu tak masuk air. Demam pun biasa-biasa saja,” sambung Halim. Dia kebingungan memikirkan kesihatan isterinya. ‘Dahlah sakit, degil pulak tu,’ getus hati kecilnya.

Sudah dua hari Halim bercuti demi menjaga isterinya. Sebulan dua ini, reputasi kerja Halim agak merudum. Selain kerap mengambil cuti, fokusnya terhadap kes-kes mahkamah juga kurang diberi perhatian. Ternyata, masalah keluarga yang dihadapinya tika ini memberikan tamparan yang hebat terhadapnya.

“Ibu, macam mana keadaan ibu?” soal Hakim. Dia yang baru saja muncul di bilik itu menerpa mendapatkan Raudah Maryam.

“Macam mana hari ni? Ada berita pasal kakak?” tanya Raudah Maryam tidak sabar. Intonasi suaranya tidak menunjukkan yang badannya terlalu lemah.

Halim berkerut dahi melihat perubahan sikap isterinya.

Dalam keadaan serba salah, Hakim menggeleng. “Maaf, bu... Kim belum terima sebarang berita tentang kakak.”

Jawapan yang diberikan Hakim membuatkan Raudah Maryam teresak tiba-tiba. Kecewanya semakin menjadi-jadi. Semalam dan kelmarin, dia menyemak e-mel yang pernah dihantarnya kepada Marissa Norhanis. Namun, tiada balasan. Raudah Maryam yakin, bukan anaknya itu tidak membaca e-mel itu, tetapi sengaja untuk tidak membalasnya.

“Ibu... ibu janganlah menangis macam ni. Kesihatan ibu kena jaga. Insya- ALLAH, lambat atau cepat kita akan jumpa kakak.”

Tangisan Raudah Maryam semakin lirih. Halim yang sejak tadi tercegat di hujung katil, mula melabuhkan punggung di tilam, dekat dengan kaki isterinya. Perasaannya pilu. Melihatkan keadaan Raudah Maryam, Halim tahu, isterinya itu sedang terseksa menahan kerinduan. Demam isterinya bukan demam panas biasa, tetapi demam psikologi. Jiwa Raudah Maryam terlalu tertekan lantaran menahan beban rindu yang sarat.

“Kakak, kakak kat mana? Kenapa kakak langsung tak telefon ibu. Lupa ke kakak pada ibu?” Raudah Maryam mengongoi panjang.

“Baliklah, kakak. Baliklah. Ibu sanggup terima kakak seadaanya. Ibu tak pernah anggap kakak orang lain. Kakak anak ibu dunia akhirat. Biarlah seluruh dunia bercakap anak ibu jahat, tapi ibu percayakan anak ibu...”

Hakim memeluk erat tubuh ibunya. Dia turut sama menangis melihat air mata Raudah Maryam bagaikan hujan.

“Ibu, bersabar dan berdoalah selepas kita berusaha. Segalanya berlaku dengan izin ALLAH. Hari esok, hari-hari mendatang, segala apa yang berlaku juga dengan izin ALLAH. Andai kata, ALLAH tak izinkan kita bertemu kakak sehari dua ni, mungkin minggu depan. Kalau tak minggu depan, mungkin juga bulan depan atau mungkin tahun depan. Kita yang kerdil ini hanya perlu berserah kepada-NYA dengan yakin.

Ibu, yakin dan percayalah... kalau DIA izinkan kita bertemu kakak, lambat-laun, DIA akan aturkan pertemuan itu. Tapi kalau DIA tak izinkan, maknanya memang tiada rezeki untuk kita bertemu kakak meskipun sehingga menutup mata,” kata Hakim tersekat-sekat. Dia sebak menahan tangis.

Hakim dan Raudah Maryam berpelukan kejap. Halim terkesima. Perasaannya bertambah rusuh. Dadanya terasa sakit dan perit. Halim bangun dan keluar dari bilik itu. Entah kenapa, malam ini, perasaan marah dan kecewa Halim bertukar rasa sayu dan rindu. Melihatkan kesedihan Raudah Maryam dan Hakim, jiwa Halim terkesan. Hatinya bagai dihiris halus.

Bayang wajah manis Marissa Norhanis tiba-tiba menari-nari di depan mata. Anak gadisnya yang lincah itu menghadiahkan sebuah ciuman di pipinya.

“Sayang, ayah...” Tergiang-ngiang di telinga Halim akan ungkapan itu. Lunak manja Marissa Norhanis membisikannya. Kenangan demi kenangan terpapar jelas di layar minda.

“Kakak sayang ibu, sayang ayah, sayang Hakim dan sayang keluarga kita sampai bila-bila.” Suara Marissa Norhanis bergema di setiap sudut ruang rumahnya. Anak manjanya itu memeluk tubuhnya.

Sejak kecil, Marissa Norhanis memang suka bermanja dengan Halim mahupun Raudah Maryam. Kala itu juga, setiap detik manis yang pernah terakam selama ini, berputar ligat. Perasaan egonya tergugah. Kemarahannya terhadap Marissa Norhanis terhakis sedikit demi sedikit. Tanpa rela, pandangan matanya berkaca-kaca.



HALIM memandu kereta tenang. Dari Setiawangsa, dia memandu menuju ke Kampung Dato’ Keramat. Puas berpusing-pusing di situ, dia memecut pacuan empat rodanya ke Kampung Baru. Biarpun jam sudah menunjukkan hampir pukul 11.00 malam, Halim tidak berasa untuk pulang ke rumah. Hati dan jiwanya kosong. Perasaannya sukar dimengertikan. Segalanya terlalu payah untuk diluahkan dengan kata-kata. Mungkinkah angin malam akan membawa pergi segala kecelaruan dalam dirinya?

Halim berpusing-pusing lagi tanpa arah destinasi. Dari Kampung Baru, dia bergerak ke Central Market. Malam ini, dia hanya ingin menjadi pemerhati. Dia ingin menyaksikan gelagat warga kota yang suka berpeleseran kala cahaya lampu neon menyimbahi kegelapan. Sekumpulan anak-anak muda kelihatan memetik gitar di jalanan. Mereka nampak riang.

Ada juga pelukis di jalanan itu. Ramai pejalan kaki tertumpu kepadanya. Lukisannya nampak unik. Sebuah lukisan abstrak yang tidak difahami langsung maknanya oleh Halim. Lukisan abstrak ialah sebuah karya yang kelihatannya tidak berbentuk atau bentuknya tidak jelas. Lukisan ini sukar dimengerti oleh orang lain. Hanya orang yang membuatnya saja atau mereka yang berjiwa seniman mengerti akan makna dari lukisan abstrak tersebut.

Halim juga peminat lukisan. Di dinding rumah mereka, memang banyak lukisan keluarga yang dilukis dengan cat minyak. Semua lukisan itu adalah hasil air tangan Raudah Maryam dan Marissa Norhanis. Anak dan isterinya itu memang berbakat besar. Mereka berdua lebih suka melukis sesuatu objek nyata. Mudah difahami dan tidak berselindung di sebalik warna-warna.

Tidak seperti lukisan abstrak, sukar ditafsirkan maknanya. Begitu susah memahami lukisan abstrak, begitu jualah sukar memahami sikap pelukis sebegini. Pun begitu, Marissa Norhanis dan Raudah Maryam yang tidak suka melukis lukisan abstrak pun ada kalanya, memang sukar difahami jiwa mereka. Jiwa seorang perempuan sukar difahami seorang lelaki. Halim merumus sendiri.

Setelah hampir sejam berada di Central Market, Halim pun beredar dari situ. Dia meneruskan perjalanan sambil menghirup udara kota raya. Seketika, Halim memberhentikan keretanya berhampiran Pasaraya Sogo. Dia teringat-ingat lagi akan saat cemas sewaktu dia dan Hakim mencari Marissa Norhanis. Sampai jam tiga pagi barulah mereka pulang ke rumah. Saat itu, betapa sekeping hati seorang ayah merusuh bukan kepalang. Benaknya kusut memikirkan untung nasib anak gadisnya.

“Arghhh!” Halim merengus kasar. Dia tidak mahu melayani perasaan itu. Kemarahannya masih bersisa. Kekecewaannya tidak bisa terubat dengan begitu mudah.

“Kakak... kakak tahu tak betapa ayah menyayangi kakak lebih dari apa pun! Sanggup kakak buat ayah macam ni?” Halim meluahkan perasaan, persis dia sedang bercakap dengan Marissa Norhanis.

“Seorang ayah akan pertahankan anak dia walau apa pun terjadi. Seorang ayah akan cuba menjaga, membesar dan mendidik anaknya dengan cara terbaik. Seperti mana ayah, cuba menjadikan kakak yang terbaik di kalangan terbaik. Tapi, ayah gagal. Ayah sangat kecewa dengan tindakan kakak. Ayah benar-benar kecewa! Ayah malu dengan semua orang. Kakak dah keterlaluan menconteng arang ke muka kami,” sambung Halim lagi. Nadanya kecewa dan hampa. Dia bercakap seolah-olah Marissa Norhanis ada di sisinya di kerusi penumpang itu.

“Ayah tak tahu di mana kurangnya kasih sayang kami pada kakak sehingga kakak begitu taksub dengan cinta Zafran. Sehingga kakak tergamak lepaskan segalanya demi lelaki itu. Satu hari, apabila kakak sudah punya anak sendiri, kakak akan faham apa yang ayah rasa saat ni,” kata Halim lagi. Lirih.

“Kakak tengok sekarang, ibu sakit sebab kakak. Ibu demam sebab rindukan kakak. Adakah kakak pernah fikirkan hal ni? Tidak adakah sekelumit perasaan rindu kakak terhadap ibu?” Suara Halim tersekat-sekat.

Betapa kala ini, dia larut dalam emosinya. Halim, selama ini seorang lelaki yang gagah, tegas, berprestasi tinggi, tetapi boleh melayan perasaan sedih hanya kerana anak perempuannya.

Halim menghela nafas panjang, mencari kekuatan. Dia berusaha mengusir segala emosi yang berbaur di jiwa. Lantas, stereng kereta dipegangnya kejap-kejap. Destinasinya kali ini, dia mahu menghabiskan masa dengan berjalan-jalan di Pasar Malam Chow Kit. Ada sesuatu yang ingin dicarinya.



RAUDAH MARYAM terbangun daripada lena yang panjang kala hidungnya terbau aroma bubur jagung. Wangi dan memukau selera. Badannya yang letih lesu dirasakan bertenaga.

“Abang...” panggilnya perlahan.

“Oh... abang,” ulangnya lagi sambil mengangkat tubuh. Comforter tebal di tubuhnya segera diketepikan.

Raudah Maryam menarik nafas tenang. Denyut di kepala masih terasa. Tetapi perutnya yang berdendang lagu lapar membuatkan dia tidak ingin berlama-lama di katil itu.

Perlahan-lahan, dia menapak ke muka pintu. Aroma pengat jagung cukup membuatkan seleranya terbuka. Dia mahu ke dapur mengisi perut.

“Eh, Maryam! Awak bangun?” Suara Halim bernada terkejut. Dia cepat-cepat mendapatkan tubuh isterinya. Halim menarik kerusi dan membantu isterinya duduk di kerusi makan.

“Laparlah, bang,” adu Raudah Maryam.

“Awak nak makan nasi? Saya panaskan sup ayam ya?” soal Halim.

“Tak nak makan nasi. Atas dapur tu, bubur jagung ke?” soal Raudah Maryam. Kornea matanya melirik pandang ke arah periuk di atas dapur.

“Ha’ah,” jawab Halim ringkas. Dia segera menutup api dapur setelah masakannya itu siap.

“Semerbak baunya. Dah masak ke? Tak sabar saya nak rasa.” Mendengar kata-kata isterinya, Halim tersenyum senang. Dia mencapai mangkuk dari rak kabinet. Bubur jagung disenduknya buat Raudah Maryam.

“Terima kasih, abang,” ucap Raudah Maryam tulus.

Sementara bubur jagung yang panas berkuap itu beransur dingin, Raudah Maryam bergerak ke singki mencuci muka.

“Mimpi apa, bang... masak bubur jagung pepagi buta ni? Bersahur ke?” soal Raudah Maryam ingin tahu.

Yalah, suaminya memasak sekitar jam empat pagi. Luar kebiasaan. Kalau nak bersahur pun terlalu awal. Mereka biasa bersahur sekitar jam lima pagi. Sengaja melewatkan waktu sahur untuk mendapatkan pahala puasanya.

“Tak ada mimpi apalah. Abang terasa nak makan,” jawab Halim tenang. Dia mencicip kuah bubur jagung dengan hujung sudu.

“Mana beli banyak-banyak ni? Chow Kit ke?” soal Raudah Maryam. Wajahnya nampak terkejut menyedari sebakul jagung segar dekat dengan peti ais.

“Ha’ah,” jawab Halim ringkas melayani isterinya.

“Dah sejuk buburnya. Meh, abang suapkan.”

Raudah Maryam senang menerima layanan suaminya. Sudah lama mereka tidak duduk serapat itu dan makan bersuap- suapan.

“Sedap. Cukup segala lemak, manis dan berkrim.” Raudah Maryam memuji. Suaranya bernada ceria.

Halim gembira melihat perubahan isterinya. Selama beberapa hari Raudah Maryam tidak berselera makan dan moodnya tidak elok saja. Alhamdulillah, hari ini isterinya ceria. Meskipun banyak garis-garis hitam di sekitar mata isterinya itu. Wajah Raudah Maryam juga sembab berbekas tangis. Pun begitu, jauh di sudut hati Halim, dia bersyukur sangat-sangat. Subuh itu, hubungan mereka semakin pulih.

“Lama juga kita tak makan bubur jagung, ya bang? Jagung segar pulak tu,” komen Raudah Maryam.

“Ha’ah lama jugak. Paling last kita buat, masa kenduri doa selamat dia orang dapat result SPM dulu. Oh, lama dah!” kata Halim.

“Yang seronoknya, hari tu kita gotong-royong menyiapkannya, kan? Hmm... tapi semua tu dah tinggal kenangan.” Suara Raudah Maryam kedengaran mendatar.

Halim terkesan mendengar butir bicara isterinya.

“Nak lagi, bang. Sedap ni.” Raudah Maryam bersuara lunak manja, minta perhatian suaminya.

Halim cepat-cepat menyuapkan bubur jagung ke mulut isterinya. Raudah Maryam kelihatan biasa saja. Raut wajahnya tidak menunjukkan perasaan sensitif seperti sebelum ini. Berpura-purakah isterinya atau mungkinkah Raudah Mayam kini sudah berlapang dada dengan segala apa yang berlaku?

Previous: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.