Home Novel Keluarga Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Azilah Wahab
26/8/2014 18:34:32
35,099
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 7

BAB 7


PANTAI DESARU, JOHOR.


CUACA TENGAHARI itu redup sekali. Zafran dan Marissa Norhanis berkejar-kejaran di pantai nan indah itu. Ombak kecil yang mendakap tubuh pantai, turut singgah di kaki mereka.

“Tunggu sayang. Tunggulah…” teriak Zafran. Marissa Norhanis buat tak endah. Dia terus berlari-lari anak. Tubuh Zafran semakin ditinggalkan.

“Cepatlah bang. Takkan berlari sikit dah cungap,” laung Marissa Norhanis dari jauh. Barulah disedarinya yang suaminya telah ditinggalkan di belakang. Mahu saja dia tergelak melihat suaminya yang menunduk badan. Gaya rukuk gitu, menahan lelah di tubuh.

“Aisyyy! Ni mesti tak rajin joging ni!” laung Marissa Norhanis lagi, melawan kebisingan suasana pantai. Dia tersengih melihat Zafran menapak perlahan mendekati tubuhnya.

“Cepatlah abang, darling, sayang…” panggil Marissa Norhanis manja. Tubuhnya masih lagi berlari gaya setempat. Menunggu Zafran mendekati tubuhnya. Zafran berjalan malas.

“Kuatnya sayang. Berlari macam kuda. Berdesup tinggalkan abang kat belakang,” komen Zafran setelah hampir sampai ke tubuh isterinya itu.

“Laaaa…laju ke? Biasa aje lah bang. Tu bukan gaya lari pecut 100 meter lagi. Kalau tak, memang sampai ke hujung nun hah!” jawab Marissa Norhanis bercekak pinggang.

Kemudian, dia membengkokkan tubuhnya ke sisi kiri. Tangan kanannya diletakkan di atas kepala, mengikut gaya tubuh, condong ke kiri. Sepuluh saat kemudian, dia mengulangi perkara yang sama di sisi kanan pula.

Marissa Norhanis kemudiannya membuat senaman regangan paha. Kedua belah tangannya memegang kepala lutut belah sementara paha kanannya itu diangkat hingga ke paras perut. 10 saat menahan kedudukan itu, dia melepaskannya. Dia mengulangi hal yang sama di kaki kiri pula.

“Kaki abang macam nak cramp lah sayang. Urutkan…” rengek Zafran manja. Dia sudah melabuhkan punggung di pasiran pantai.

“Itulah… siapa tak suruh buat streching. Nak lari ke, nak joging ke, kena streching dulu. Biar regang semua otot-otot kita. Pemanasan badan penting.” Marissa Norhanis berpesan sambil melututkan badan dekat Zafran.

“Manja…”sambungnya lagi. Betis dan paha Zafran diluruskan. Dia mengurut-urut bahagian urat yang kejang itu.

“Adoiii!” jerit Zafran. Berkerut-kerut mukanya menahan sakit diurut.

“Slow-slow lah sayang. Sakit…” adu Zafran. Dia menarik kakinya, tidak mahu diurut lagi. Kepalanya tergeleng-geleng.

“Alahai abang ni, cramp sikit pun dah menjerit! Mengalahkan budak TADIKA,” komen Marissa Norhanis tergelak.

“Tak kena kat you sayang. Banyaklah cakap, eiiii!” Zafran menjawab geram. Sempat juga dia membenamkan hidungnya yang mancung ke pipi Marissa Norhanis. Dibiarkan Zafran lama-lama di situ. Marissa Norhanis pula tidak menolak lagak manja suaminya.

“Badan bukan main nampak gagah. Lengan berotot segala bagai mengalahkan atlet bina badan. Tapi lari sikit dah kejang otot. I nasihatkan you ambik makanan kesihatan. Biar kuat dan bertenaga.” Marissa Norhanis menyambung lagi. Tangannya masih mengurut-ngurut betis suaminya.

“Sayang ni memang banyak cakap aje kan?” komen Zafran. Namun benaknya laju memikirkan makanan kesihatan yang disyorkan isterinya itu. Biar kuat dan bertenaga?

‘Eh, aku tak cukup kuat dan bertenagakah? Mencabar nampak? Aisyyyy tak boleh jadi ni.’Zafran bercakap dalam hati.

“I berterus teranglah bang. Salah ke?” jawab Marissa Norhanis membuatkan Zafran merenung wajah isterinya dalam-dalam.

Tangannya pantas memegang tangan Marissa Norhanis. Urutan Marissa Norhanis terhenti kala Zafran meramas-ramas lembut tangan isterinya itu. Zafran mengingsut tubuh agar lebih dekat dengan tubuh Marissa Norhanis. Dia menarik manja tubuh Marissa Norhanis ke dada bidangnya. Marissa Norhanis sekadar membiarkan.

“Terima kasih sayang. Kaki abang dah tak sakit dah,” tutur Zafran lembut. Sebenarnya, kaki Zafran bukan kejang pun. Saja dia buat alasan. Dia malas nak berlari mengejar isterinya itu.

“Iya? Eh, cepatlah pulak okey nya?” tanya Marissa Norhanis tidak percaya.
“Ha ah, sebab sayang yang mengurutnya.” Zafran membalas lunak. Kemudian, dia mengucup dahi isterinya lama-lama.

“Hihihihi. Iyalah tu. Jom kita jalan-jalan lagi bang.” Marissa Norhanis mengajak. Dia mahu bangun. Namun pelukan kejap tubuh Zafran bagai tidak mengizinkan untuk dia bangkit dari situ.

“Abang bahagia dapat bersamamu sayang.” Zafran mengatur ayat seraya melagakan hidungnya ke hidung Marissa Norhanis. Marissa Norhanis tersenyum puas. Kata-kata itu menghadirkan perasaannya indah dalam jiwanya.

“I pun bahagia dapat bersama mu abang. Terima kasih sangat-sangat. I harap kasih sayang kita, cinta yang terbina ini, kekal abadi hingga ke syurga. Sama-samalah kita jaga dan siramkan ia setiap hari. Jangan pernah biarkan cinta ini layu dek waktu. Ya, bang?”

“Ya, sayang. Takkanlah abang nak biarkan kasih sayang yang terbina ini layu begitu saja. Walhal begitu banyak ujian yang telah kita lalui. Bukan senang untuk kita mengecapi bahagia seperti sekarang.”

“You benar-benar sayangkan I ke, bang?” tanya Marissa Norhanis. Matanya menatap lama sebening mata Zafran.

“Sayang abang terhadapmu, tak mampu nak diceritakan dengan kata-kata. Cuma abang berjanji dengan diri sendiri untuk menjaga, melindungi dan memberikan kasih dan cinta semampu yang boleh. Abang cuba untuk tidak mengabaikan sayang. Abang berusaha agar dapat menggembirakan sayang. Abang mahu menjadi tempat untuk sayang menyandar bahu. Percayalah akan ketulusan hati abang terhadapmu.”

“Terima kasih abang kerana menerima diri ini seadanya. I juga akan cuba menyerahkan seluruh jiwa raga dan hati ini kepadamu,” balas Marissa Norhanis senang seraya melentokkan kepalanya ke bahu Zafran.

“Sayang…lihatlah lautan yang terbentang luas ini. Tahukah sayang, seluas mana cinta abang padamu? Ia lebih luas daripada lautan ini. Tahukah sayang sedalam mana cintaku padamu? Ia pasti lebih dalam daripada Laut Cina Selatan ni.” Zafran mengatur bait-bait kata-kata.

“Oh, really abang?!”Marissa Norhanis buat muka terkejut.

“Ha ahlah. Kenapa? Tak percaya eh? Kalau tak percaya, sayang ukurlah sendiri.” Zafran menjawab.

“Nak ukur kedalaman laut? Laut Cina Selatan ni? Hihiihi, nak ukur dengan apa bang? Echo sounder?” soal Marissa Norhanis tergelak-gelak.

“Ukurlah dengan echo sounder atau dengan apa sekalipun. Kemudian, bandingkan kasih sayang abang padamu. Kasih dan cintamu pada abang. Lihatlah, cinta siapa lagi dalam. Abang atau sayang.”Zafran bersuara serius.

“Hihihii…seriusnya muka abang. Daripada duk main ukur-ukur benda tu semua, baiklah kita ukur benda lain bang. Ada jugak faedahnya.” Marissa Norhanis tergelak-gelak lagi.

“Hahhh, ukur benda lain? Ukur apa tu sayang?” soal Zafran membulatkan bebola mata. Pandangannya menyorot ke wajah Marissa Norhanis yang berair mata gelakkannya. Zafran tersenyum lebar.

“Hurmmm…yum…yumm..”sambung Zafran lagi dengan muka gatal.

“Abangggg…jangan!Jangan!” teriak Marissa Norhanis apabila dengan spontan Zafran mencepong tubuhnya. Terkial-kial Marissa Norhanis mahu turun.

“Abangggg!” jerit Marissa Norhanis lagi. Zafran langsung tidak mempedulikan teriakan itu. Malah kali ini, giliran Zafran pula tergelak-gelak.

“Orang cakap serius, dia main-main pulak. Echo sound segala bagai keluar ya?” komen Zafran geram.

“Eh, betullah bang! Kalau nak ukur kedalaman laut memang guna echo sound.”Marissa Norhanis masih mempertahankan hujah meskipun kakinya terkial-kial mahu turun dari cepongan suaminya.

“Tak kira! Tak kira!” Zafran tergelak-gelak dapat mengenakan isterinya.

“Abang tu metafora sangat….”

“Habis tu takkan sayang nak suruh abang ucap benda yang sama. Lapan huruf, tiga patah perkataan tetapi satu makna. I love you. Abang mahu sayang tahu makna cinta kita lebih daripada tu.”

“Ya, I tahu bang. Cuma abang tu bermetafora sangat. Geli hati I. Kenapa abang tak cakap saja cinta abang setinggi bintang di langit. Barulah I tak tahu nama alat nak ukur ketinggian bintang di langit.” Marissa Norhanis mengusik lagi. Dia tergelak lagi sambil merangkul leher suaminya itu. Zafran kian geram.

“Ohhh, nak ukur tinggi bintang di langit ya?! Baik, kita ukur sekarang.” Zafran berteriak girang.

“Abanggggg!” teriak Marissa Norhanis lagi. Terkejut dia dengan tindakan luar jangka Zafran.

“Yeayyyy!” Zafran menceburkan tubuhnya ke dalam air laut. Marissa Norhanis yang masih dalam cepongannya turut basah kuyup.

“YOU ARE so beatiful dear!” bisik Zafran berkali-kali. Dia mengelus lembut rambut Marissa Norhanis yang lebat dan hitam bak arang itu. Marissa Norhanis masih lena dalam comforter yang tebal.

Abang boleh jatuh cinta berkali-kali melihat wajahmu sayang. Matamu yang indah mempersona seakan magnet yang menarik diriku untuk jatuh cinta padamu. Kulitmu mulus. Sungguh, betapa sempurnanya dirimu di mata abang. Kau terlalu cantik Marissa. Jelita! Segalanya tentang dirimu serba indah. Abang harap, sayang akan terus menjaga kecantikan diri agar tidak pudar dek waktu.

Sungguh, abang berasa begitu tergoda setiap kali bersamamu. Sayang sebagai seorang isteri, memang pandai menggoda abang sebagai suami. Abang suka! Sehinggakan abang teringin meluangkan lebih masa untuk kita bersama. Abang sayang sangat-sangat kat sayang.

Hihihi…Zafran tergelak melayan perasaan sendiri. Merenungi susuk tubuh Marissa Norhanis membuatkan dia menghela nafas panjang. Entah kenapa malam itu, saat Marissa Norhanis sudah dibuai mimpi indah, matanya sukar dilelapkan. Dia masih rindukan belaian. Dia masih kepingin sentuhan isterinya yang sah itu. Tetapi dia tidak sampai hati pula mengejutkan Marissa Norhanis yang keletihan itu. Sudahnya, dia menelan liur berkali-kali.

Bahu Marissa Norhanis yang berpijama itu sedikit terdedah. Diramas-ramas lembut bahagian itu. Marissa Norhanis terkalih badan. Perlakuan Zafran sedikit mengganggu lenanya.

“Sayang…sayang,” panggil Zafran namun isterinya itu langsung tidak bergerak. Zafran mengheret nafas berat. Rasa keinginan tidak dipenuhi. Dia berasa sedikit kecewa.

“Sayang…sayang,” Tangan Zafran menggoncang lembut bahu Marissa Norhanis. Cuba bersabar melihat keadaan Marissa Norhanis. Dia merenungi nafas tenang isterinya. Zafran tidak tahu samada dia kecewa dengan perasaan sendiri atau dia kasihan mahu mengejutkan lena isterinya itu.

“Sayang…ooo, sayang. Baru sekejap abang mandi, sayang dah tidur lena gaya macam ni? Tak baik tau…sayang tidur mendahului abang.” Zafran bermonolog.

“Ooo…sayang. Bangunlah. Abang rindu nak bersama sayang ni,” bisik Zafran lagi berkali-kali.

“Baiklah. Sayang tidurlah kalau dah penat. Abang pun nak tidur ni.” Zafran sengaja mengatur ayat itu ke telinga Marissa Norhanis. Macamlah isterinya tu dengar.

Meladeni sifat sendiri, Zafran tersenyum panjang. Bersama isterinya itu, jiwa Zafran berasa kembali muda. Rasa sepuluh tahun lebih mudah daripada usianya. Pelbagai hormon positif merembes laju dari segenap tubuhnya. Hormon endorphin yang membuatkan jiwanya sentiasa gembira dan tenang.

Hormon phenylethamine membuatkan dia rasa sentiasa bahagia dan ghairah bercinta. Orang sedang berbulan madu katakan. Lebih-lebih lagi apabila Zafran makan supplement tu. Makan tanpa pengetahuan isterinya.

‘Dah sayang cakap abang tak cukup kuat dan bertenaga kan? Sekarang ni abang cukup bertenaga, sayang pulak tidur pulas. Alahai…tapi, okey! Tidak mengapa. Hari ni pun, abang rasa gembira sangat-sangat. Ternyata sayang mampu membuatkan hidup abang macam dalam taman-taman syurga. Eh!

Kenapa agaknya abang asyik bersayang-ayang aje?! Ermmm… entahlah. Mungkin sebab abang senang menuturkannya. Sebab abang sayangkan sayang. Walaupun orang lain bosan mendengar abang menyebut perkataan sayang berkali-kali, abang peduli apa. Dah memang abang suka panggil sayang abang, sayang. Biar orang lain jemu mendengarnya, tapi abang tak pernah bosan menyebut. Sungguh, sayang abang pada sayang bukan hanya terbit dari mulut. Tetapi luhur dari hati. Beruntungnya abang memiliki dirimu.

Terima kasih sayang untuk segala pengorbanan yang telah sayang lakukan. Sukar untuk abang percaya, sayang sanggup lalui semuanya demi cinta kita. Abang berjanji, abang akan jaga sayang baik-baik. Abang janji sayang…abang janji. Cuma abang harap sayang bersabarlah sebab keadaan ekonomi kita tak berapa kuat buat masa ini. Kehidupan abang dah tak mewah macam dulu dah. Abang takut tak mampu nak bahagiakan sayang dengan keperluan material.’

Aduiiii, duit! Duit! Duit! Masalah dunia hari ni memang disebabkan duit kan?

Zafran menghela nafas berat. Dia teringatkan Syaja’ah. Beberapa bulan lepas dia bergaduh dengan wanita itu. Hatinya panas kerana Syaja’ah menyekat duit belanjanya. Menarik keistimewaan demi keistimewaan yang pernah diberikan padanya. Syaja’ah sangat berkira. Terlalu berkira membuatkan dia benar-benar rasa disisihkan wanita itu. Haknya dinafikan. Dinafikan sama sekali!
Zafran teringat pula pada Zurin. Sungguh, bersama Zurin segala hormon endorphin dan phenylethamine di tubuhnya terasa kering kontang. Keseronokan bersama wanita itu hilang. Kegembiraan tidak pernah lagi wujud. Malah, saban hari dia stress. Stress negatif yang menyebabkan distress. Distress penyebab kemurungan. Zurin dan Syaja’ah, kedua-duanya bikin hidup aku huru hara kebelakangan ini. Memang bikin aku distress giler!

‘Maka, demi menggembirakan perasaan sendiri, baiklah aku bercinta-cintaan dengan isteriku yang jelita dan manja ini. Berasmaradana hingga ke bulan bintang, hingga ke pelangi indah. Biarlah aku mencari jalan keluar daripada ditimpa kemurungan yang entah apa-apa.

Please, ya! I’m not puppet any more! I ada kehendak sendiri. I berhak memilih jalan hidup sendiri. I tak suka dipaksa. Tak suka. Jadi maaflah kalau aku dah membuatkan kau orang rasa kecewa. Dulu pun, aku pernah rasa kecewa juga. Kecewa dengan kau orang!

Huhhh!! Kenapa pulak malam ni aku tak boleh tidur? Imsomnia kah? Aikkk, sejak bila pulak aku ada penyakit ni? Takkan selepas berkahwin dengan Marissa kut? Bilik ni pun panas semacam. Suhu air cond dah 18 darjah, takkan panas lagi kut?’

Zafran bangun. Tubuhnya berdiri menghadap mulut penghawa dingin, yang berkedudukan kurang lebih dua meter dari kepalanya.

‘Okey saja hawanya, sejuk. Tapi kenapa pulak badan aku ni rasa panas semacam? Darah pun mengalir bukan main laju lagi. Oooo… penangan kopi itu kah? Atau sebab supplementitu kah? Ermmm…

Zafran mundar mandir di dalam bilik itu. Dia teringatkan telefon bimbitnya. Lantas, telefon yang diletaknya di atas meja segera dicapai. Mak aihhh! 15 miss called daripada Fida? Biar betul. Segera dia menyemak masa panggilan telefon itu masuk. Sejak jam tiga petang.

‘Macam mana aku boleh tak perasan ni? Oh, aku tukar silent modetengahari tadi! Patutlah. Pukul tiga petang? Ermmm…mujur lah silent mode. Jam tiga petang tu, aku tengah ehem ehem dengan Marissa. Kalau kantoi dengan Si Fida ni, mahu dunia akan khiamat. Tapi sebab apa pulak dia call? Urgent kah? Hari ni berapa hari bulan? Dia called dari mana?

Dah balik Malaysia ke? Nak call semula ke tak nak call? Kalau call, dia suruh datang sekarang jumpa dia, macam mana? Kalau dia tanya aku kat mana, aku nak jawab apa? Nak bohong ke, terus terang aje? Arggghhh..ada baiknya kau abaikan saja perihal Tengku Fida tu, Zafran. Lebih baik kau luangkan masa sepenuhnya bersama isteri kau tu. Bulan madu sepuas-puas hati kau.’

Zafran memujuk hati sendiri seraya merebahkan kembali badannya ke sisi Marissa Norhanis.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.