Home Novel Keluarga Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Azilah Wahab
26/8/2014 18:34:32
35,096
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 1

BAB 1



SETIAWANGSA, 2008

“TAKKANkakak tak cakap apa-apa Maryam?” tanya Halim kepada Raudah Maryam.

“Tak, seingat saya, kakak tak cakap apa-apa pun, bang!” balas Raudah Maryam. Jawapan isterinya itu membuatkan Halim termenung seketika.

“Ke mana pulak budak bertuah ni pergi! Malam –malam macam ni? Tak tahu ke dia boleh buat orang bimbang?” keluh Halim sambil menatap jam tangan. Raudah Maryam sekadar terdiam. Hatinya berasa tidak enak.

“Agak-agak awak, kakak keluar dengan siapa? Keretanya tak dibawa pulak.” Halim bersoal jawab lagi. Raudah Maryam sekadar terdiam. Dia tidak punya jawapan untuk itu.

“Itulah, kakak ada kat rumah, awak tak spent masa betul-betul dengan dia. Masa dia duduk asrama, susah dia duduk asrama. Lepas tu sibuk tanya, kenapa minggu-minggu cikgu tak bagi balik. Sekarang, waktu dia ada kat rumah, awak pula sibuk out station.” Halim membebel.

“Abang… dah saya kena out station, nak buat macam mana? Salah sayakah kalau waktu begini kakak tak balik lagi? Balik semalam, memang saya letih. Sakit kepala. Hari ni pun letih tak hilang lagi. Nasib baik sakit kepala dah kurang sikit lepas makan paracetamol.”

“Itulah awak, sibuk sangat dengan kerja sampai tak ada masa bersama anak…”

“Abang…memang saya mengaku, saya sibuk sehari dua ni dengan komitmen kerja. Memang tak sempat nak berborak panjang dengan dia. Abang pun samalah juga. Kerja, kerja, kerja! So, jangan salahkan saya aje ya?!” jawab Raudah Maryam dengan riak muka tidak senang. Halim asyik menyalahkannya saja walhal Marissa Norhanis itu anak mereka berdua. Bukan anaknya seorang.

‘Lelaki memang macam tu, suka sangat salahkan perempuan,’ bebel Raudah Maryam dalam hati.

“Habis macam mana?” Suara Halim kedengaran meninggi. Perasaannya resah. Bercakap dengan Raudah Maryam bukan mengurangkan keresahan, tetapi mencetuskan bara kemarahan pula.

“Macam mana apa, bang? Kita tunggu aje lah kakak balik.” Raudah Maryam berkerut dahi melihat suaminya yang resah semacam.

“Eh, Maryam! Awak tahu tak sekarang ni dah pukul berapa? Pukul 11, tau? Kalau jadi apa-apa kat kakak macam mana?” balas Halim seraya menggelengkan kepala melihat Raudah Maryam bersikap tenang.

Telan dua biji paracetamol menyebabkan Raudah Maryam sedikit mamai. Bangun tidur setelah terkerlap di sejadah selepas isyak tadi, menyebabkan dia tidak peka dengan waktu. Halim pun langsung tidak mengejutkannya. Mungkin Halim faham dengan keadaan tubuhnya yang kurang sihat.

Sekilas, Raudah Maryam mengerling jam dinding. Oh, memang dah pukul 11!

“Kat luar tu, macam-macam kes berlaku setiap hari. Merompak, menyamun, merogol…” sambung Halim lagi, mahu memanjangkan tazkirah.

“Ishhh, apa yang abang jauh sangat fikir ni?! Boleh tak jangan fikir yang bukan-bukan? In sha ALLAH, kakak baik-baik saja. Taulah dia jaga diri,” balas Raudah Maryam.

“Taulah sangat. Sekarang pandai awak menjawab, kalau jadi apa-apa…”

“Kakak tu pemegang tali pinggang hitam taekwando bang. In sha ALLAH, saya yakin, kakak tahu pertahankan dirinya andai diancam musuh.” Suara Raudah Maryam kedengaran yakin.

“Heiii, awak ni Maryam! Jangan ambik mudah sangat, boleh tak? Abang risau sesuatu yang buruk berlaku pada kakak, itu aje! Kalau orang tu pakai pistol, senapang, pisau, pulak tu menyerang dalam keadaan berkumpulan, agak-agak awak bolehkah kakak…”

“Abang ni buat saya stress la. Dah saya cakap fikir yang baik-baik saja, abang makin jauh fikir dengan pistol senapang segala bagai. Nauzubillahimin zalik semua tu.”

Halim terdiam mendengar kata-kata tegas daripada mulut isterinya. Namun rengusannya panjang.

“Habis, abang dah cuba call kakak?” soal Raudah Maryam.

“Awak ni! Kalau saya dapat call kakak, takkanlah saya jadi panik macam ni!” tukas Halim dengan cadangan isterinya.

Mendengar jawapan suaminya, Raudah Maryam mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Punat-punat di badan telefon itu ditekannya. Sekali, dua kali, dia mengulangi perbuatan yang sama. Telefon lagi dan lagi. Ermmm…memang menghampakan! Telefon Marissa Norhanis hanya bersuarakan voice mail.

‘Oh, memang patut pun laki aku risau semacam! Kakak memang tidak dapat dihubungi,’ balas Raudah Maryam dalam hati. Dia segera meninggalkan tubuh Halim di ruang tamu itu. Raudah Maryam menapak langkah ke bilik anak bujangnya, Hakim.

“Kim, ohhh…Kim!” Raudah Maryam mengejutkan anak terunanya yang sedang tidur pulas.

Malam ini, selepas isyak, Hakim masuk tidur kerana keletihan. Sepanjang hari, dia berlatih bola sepak untuk satu pertandingan tidak lama lagi. Seterusnya untuk pemilihan pemain bagi Skuad Kebangsaan.

“Ibu?” Hakim terbangun. Terkejut dia menyedari Raudah Maryam di sisinya, di katil itu.

“Kenapa bu? Kenapa ibu tak tidur lagi? Tadi ibu kata sakit kepala? Melaratkah? Nak gi hospital?” soal Hakim bertubi-tubi. Sekilas, dia mengerling jam loceng dekat dengan lampu tidur. Tepat pukul 11.05 minit malam. Matanya yang masih kantuk, digenyeh-genyehnya.

“Sakit kepala ibu dah kurang. Ibu duk tengah risau sangat ni,” jelas Raudah Maryam.

“Risau? Risaukan apa pulak bu?”

“Hakim tahu tak kakak ke mana? Ada dia cerita nak pergi mana-mana hari ni?”

“Kakak? Eh, kakak tak ada dalam biliknya ke bu?!” soal Hakim bodoh.

“Budak bertuah ni! Kalau ada, takkanlah ibu risau sampai tahap langit tujuh.” Raudah Maryam menjawab geram. Hakim menggaru kepala mendengar jawapan ibunya. Ternyata, perasaan mengantuk membuatkan dia malas berfikir.

“Ha ah la kan.” Hakim baru perasan logik tak logik akan jawapan yang diberikan kepada Raudah Maryam.

“Kejap ya, bu.” Hakim bangun dan menapak ke biik air. Dia mahu membasuh muka.

BU…oooh bu,” panggil Hakim sebaik saja keluar dari bilik air. Kelibat ibunya sudah tidak kelihatan di siti.

“Mana pulak ibu ni?” Hakim bermonolog.

Di ruang tamu, Raudah Maryam dan Halim sedang berbincang secara serius.

“Ayah, ibu…” Hakim duduk di sofa dan menyertai perbincangan mereka.

“Kakak belum balik?” soal Hakim sekali lagi meskipun perbualan ayah dan ibunya jelas tertangkap di cuping telinga.

“Ha ah. Tengoklah, dah pukul berapa ni?” soal Halim meninggi. Kornea matanya tertujah tajam ke arah jam dinding.

Sudah menjadi peraturan di rumah itu, anak-anak harus pulang ke rumah paling lewat pukul 10 malam. Walau apa pun alasan, dengan siapa keluar melainkan darurat. Tetapi syaratnya, wajib telefon beritahu untuk memastikan keadaan di luar baik-baik saja.

“Telefon tidak, tinggalkan mesej tidak. Kakak ni, buat ayah risau lah!” keluh Halim lagi.

“Bateri hand set habis kut,” duga Hakim.

Buah fikiran Hakim bersambut helaan nafas berat Halim.

“Ada kakak cakap dia pergi mana hari ni? Dengan siapa?” soal Raudah Maryam. Pandangan matanya menangkap tepat ke kornea mata Hakim.

“Masa Kim nak keluar training pagi tadi, Kim tengok kakak duduk bersantai je depan tv. Tak ada pulak dia pesan apa-apa kat Kim. Bila Kim beritahu nak pergi training,dia cakap,okey!”

“Okey?! Dah pukul 11.10 ni. Kalau lima minit lagi kakak tak call, kita keluar cari kakak!” tegas Halim.

“Ermmm…why not, we try call kawan-kawan kakak dulu?” usul Hakim.

“Kawan-kawan kakak? Siapa ya?” soal Halim.

“Ermmm…kawan-kawan sekolah lama dulu ke? Kim tahu juga sorang dua nombor telefon dia orang. Kawan-kawan sekolah baru ni, tak ada pulak contact number dia orang. Tak apa, Kim try call kawan sekolah lama dulu.”

Hakim menghayun langkah laju ke dalam biliknya dan mengambil sebuah buku kecil mengandungi senarai nombor telefon kawan-kawan sekolahnya. Sudah tiga empat orang kawan Marissa Norhanis dihubungi Hakim, namun jawapan mereka amat mengecewakan. Marissa Norhanis tidak ada bersama mereka. Tidak mahu berputus asa, Hakim ke bilik Marissa Norhanis. Dia mencari-cari sebarang klu yang membolehkan dia mencari maklumat berkaitan kawan-kawan di sekolah Marissa Norhanis.

Hakim teringatkan Sarah. Semasa majlis doa selamat bersempena meraikan kejayaan SPM mereka tempoh hari, Sarah turut hadir. Hakim sedia maklum yang Sarah merupakan kawan baik kakak kembarnya selama Marissa Norhanis bersekolah asrama di Klang. Kebiasaannya, Sarah akan bertemu mereka sekeluarga setiap kali mereka menjenguk Marissa Norhanis di asrama.

“Sarah, Sarah, Sarah…” Hakim tidak berhenti-henti menyebut nama Sarah dengan harapan nombor telefon Sarah akan ditemuinya.

Puas sudah Hakim menggeledah sorok meja kakaknya. Begitu juga deretan buku di atas meja Marissa Norhanis. Harapan Hakim, semoga dia akan menemui buku yang mencatat nombor telefon kawan-kawan Marissa Norhanis.

“Yes! Yes! Yes!” Hakim hampir berteriak apabila menemui sebuah autograf.

Autograf itu tidak pernah dilihat Hakim. Mungkin kerana Marissa Norhanis tidak pernah membawanya pulang ke rumah sebelum-sebelum ini. Oleh kerana peperiksaan SPM sudah berakhir, maka semua barang dari asrama diangkut pulang.

Mendengar teriakan Hakim, Halim dan Raudah Maryam menerpa.

“Kenapa?” tanya mereka serentak.

Hakim tidak menjawab kerana asyik membelek satu persatu muka surat di autograf itu. Kebanyakannya, kata-kata semangat daripada kawan-kawan Marissa Norhanis untuk dia berjuang dalam peperiksaan. Ada di antara kawan-kawan Marissa Norhanis meninggalkan biodata diri, ada yang tidak.

“Hah, ni dia. Dah jumpa pun nombor telefon Sarah!” kata Hakim. Dia buru-buru keluar dari bilik itu menuju ke ruang tamu. Raudah Maryam dan Halim hanya membuntuti langkah anaknya.

Mereka menunggu dengan sabar Hakim menekan punat nombor telefon rumah Sarah. Tiada nombot telefon bimbit dititipkan Sarah. Cuma telefon rumahnya. Sesekali, Hakim melepas nafas berat. Sesekali juga, Hakim mengeluh kecewa.

“I don’t think kakak with Sarah now. Sebab seingat ayah, Sarah beritahu dia akan menetap di luar negara selepas SPM. Mumy dan dady nya menetap di sana.” Halim memberi pendapat.

“Ya, ibu pun fikir macam tu juga,” sampuk Raudah Maryam, bersetuju dengan pendapat suaminya.

“Eh, mana ibu dan ayah tahu hal ni?” tanya Hakim berkerut dahi.

“Laaa, ayah kan bersembang panjang dengan Sarah masa dia datang kenduri hari tu,” balas Halim.

“Oooo, macam tu ke?” balas Hakim hampa.

“Kawan-kawan yang lain, siapa lagi ya masa kenduri tu bang?” tanya Raudah Maryam kepada Halim.

“Mana ada dah. Sarah sorang je. Kebanyakan pelajar sekolah tu serata negeri. Dia orang tak datang sebab jauh,” jawab Halim.

“Kim rasa tak sedap hati pulak. Jom lah ibu, ayah. Kita keluar cari kakak. Mana tahu kakak sakit tengah jalan ke? Bas yang kakak naik, pancit ke?” cadang Hakim.

Halim mengangguk bersetuju. Dia gesa-gesa mencapai kunci kereta yang tersangkut di dinding.

“Eh, abang dengan Kim nak cari kakak kat mana?” soal Raudah Maryam tercengang-cengang melihat anak dan suaminya sudah pun melangkah ke luar pintu.

“Kat Jusco kut. Tak pun Sogo,” balas Hakim.

Confirm ke kakak pergi Jusco atau Sogo?” balas Raudah Maryam dengan wajah berkerut-kerut.

“Itu kan tempat-tempat favourite ibu dan kakak menghabiskan duit,” jawab Hakim selamba. Masih sempat mengenakan ibunya. Raudah Maryam mencebik.

“Kalau awak tak nak ikut, awak tunggu aje rumah! Kalau tahu kakak kat mana, memang senanglah nak cari. Aisssh, malam dah ni Maryam oiii!” Suara Halim meninggi. Malas nak membuang masa lagi.

Raudah Maryam berlari mendapatkan tudung di dalam bilik. Kelam kabut dia menyarungkan tudung di kepala. Senget ke, benget ke, dia sudah tak peduli! Yang penting, dia mahu tahu ke mana anak gadisnya pada waktu-waktu sebegini? Selamatkah, sakitkah?

Previous: Sinopsis
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.