Home Novel Keluarga Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Azilah Wahab
26/8/2014 18:34:32
80,684
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 11

BAB 11


HAKIM berasa sungguh hairan. Kenapa Marissa Norhanis langsung tidak membalas mesej di email yahoonya? Kenapa dan Kenapa? Sudah lebih lima email dikirimkannya sejak hari pertama kembarnya itu keluar dari rumah mereka. Adakah kakak sengaja mengabaikan emailnya? Akaun facebook dan akaun tagged Marissa Norhanis juga tidak dikemas kini. Jadi harus bagaimana untuk Hakim menjejaki di koordinat mana Marissa Norhanis berada saat ini?

Atau kakaknya itu tinggal di kawasan yang tak ada line internet? Haprak betullah kakak ni? Duk kat kawasan jin bertendang ke? Duk kat kawasan kampung mana ni? Adoiii!

“Sakitnya jiwa aku kenangkan kakak ni. Perangai memang mengalahkan budak kecik yang merajuk. Dah kahwin, buatlah cara dah kahwin. Matanglah sikit. Eiiii…” Hakim membebel dalam monolognya. Tangannya laju menekan punat-punat di keyboard laptop.

Hakim rindu nak baca status Marissa Norhanis di facebook. Dia rindu nak tengok gambar-gambar mahupun video yang dibuat Marissa Norhanis di tagged. Rindu, rindu yang teramat sangat.

Sejak akaun facebook yang diperkenalkan oleh Mark Zuckerberg pada Oktober 2003 dengan pengenalan awal facemash dan semakin meluas penggunaannya sekitar tahun 2004 di Universiti Harvard, mereka turut menggunakan perisian teknologi tersebut. Di Malaysia, facebook mula terkenal sekitar 2006-2007. Pada mulanya, mereka sangat teruja menggunakan my friendsterdan my space, tetapi kini tidak lagi. Hanya tagged dan facebook diguna mereka. Seisi rumah turut mempunyai akaun facebook.

Meskipun Marissa Norhanis tinggal di asrama, dia masih menggunakan perisian itu di makmal komputer di sekolahnya sekiranya berkelapangan. Marissa Norhanis memang jenis suka berkongsi apa saja aktiviti hariannya di sekolah. Aktiviti di dalam dan di luar asrama. Dia suka mengambil gambar bersama kawan-kawan dan gurunya. Malah, dia juga mempunyai blog yang sendiri.

Di blog itu, pernah juga Marissa Norhanis berkongsi akan bakatnya dengan kawan-kawan. Dia mula berjinak-jinak melukis kartun dan membuat komik. Bakat Marissa menarik perhatian kawan-kawan. Ternyata, blognya punya pengikut tersendiri. Lebih tiga ratus followers.

Tetapi, seingat Hakim, Marissa Norhanis tidak pernah sekalipun berkongsi perihal belahan hatinya kepada mereka. Tidak pernah sekalipun, kembarnya itu bercerita tentang Zafran. Tidak pernah, seingat Hakim. Juga, Marissa Norhanis tidak pernah berkongsi akan kisah cintanya dengan sesiapa di facebook, blog mahupun tagged. Bab itu, ternyata, Marissa Norhanis pandai berahsia.

Kakak… kakak. Sungguh. Kim rindu untuk meluangkan lebih masa bersama kakak. Menghabiskan waktu melihat Marissa Norhanis melukis adalah saat yang selalu ditunggu-tunggu Hakim. Marissa Norhanis telah dianugerahkan ALLAH bakat melukis. Namun, bakat itu hanya terserlah sekiranya Marissa Norhanis punyai mood untuk berbuat demikian. Sesekali kembarnya itu melukis, hasilnya memang umphhhh! Sesiapa saja yang melihatnya pasti ternganga besar.

Hakim merenungi gambar lukisan di dalam bingkai, di atas kepala katilnya. Gambar itu dilukis Marissa Norhanis khas buat Hakim yang memakai jersi pasukan Selangor. Gambar Hakim bersama pemain bola sepak kebanggaannya, iaitu Safiq Rahim. Petang itu, Hakim pulang ke rumah dan menunjukkan beberapa keping gambar yang diambilnya bersama Safiq Rahim. Juga gambar-gambarnya bersama pasukan bola sepak Selangor. Kerana keterujaan dan rasa tidak percaya, Marissa Norhanis melompat kegembiraan.

Dia menghabiskan masa semalaman, melakarkan wajah Hakim bersama pemain handalan itu. Bukan Hakim saja, malah Marissa Norhanis sangat meminati pemain yang punya kaki berbisa itu. Gambar dari kamera Hakim itu turut disimpan di dalam komputer Marissa Norhanis dan dicetak. Marissa Norhanis turut menulis status dan memuat naik gambar Hakim dan Safiq Rahim di facebook.

My twin, Hakim and my favorite football player, Safiq Rahim. Both of guys, are very hemsem. Ermmm…

Status Marissa Norhanis menerima hampir 200 like, dalam masa setengah jam ditulis. Tidak cukup di facebook, Marissa Norhanis memuat naik gambar itu di tagged pula.

“Alahhh, kenapalah kau saja yang boleh bergambar dengan dia Kim? Kakak pun nak juga!” kata Marissa Norhanis bernada cemburu.

Terus-terang dia bercakap begitu di depan Halim dan Raudah Maryam. Mereka hanya tergelak mendengar kata-kata itu. Seisi keluarga memang meminati bola sepak. Sebab itulah, apabila Hakim melibatkan diri dalam dunia bola sepak, seisi keluarga menyokong minat anaknya itu.

Cuma, Halim tidak gemar membawa isteri dan anaknya ke padang bola untuk menyaksikan perlawanan. Sesak dan panas. Dia lebih suka menonton di rumah saja. Lebih santai dan tak perlu berasak-asak dengan penonton yang berbagai karenah. Apatah lagi terpaksa berjalan jauh semata-mata mencari tempat parkir kereta.

“Itulah ayah. Kakak ajak tengok kat padang, selalu tak boleh. Paling tidak, boleh bergambar dengan Safiq Rahim.”

“Okeylah kakak. Nanti satu hari ya,” pujuk Halim lembut.

“Okey, janji!” kata Marissa Norhanis manja. Dia memeluk lengan Halim erat-erat.

Hakim terkenangkan Marissa Norhanis. Sungguh, kenangan demi kenangan berlumba-lumba datang ke benaknya membuatkan perasaan rindunya menyala-nyala. Bahagia sangatkah kakak dengan lelaki pilihan kakak sehingga melupakan kami semua? Kalau pun ayah dan ibu tidak merestui perkahwinan kakak, mengapa hubungan kita adik beradik pun kakak abaikan? Kakak pun nak putuskan hubungan dengan Kim ke? Kim tak halang kakak berkahwin. Cuma Kim berasa terkilan sebab kakak menyepi langsung tiada khabar berita.

Hakim menarik nafas berat. Dia cuba membuka akaun facebook nya dan melewati ke wall Marissa Norhanis. Sah, tiada sebarang status. Tiada sebarang kemas kini dilakukan Marissa Norhanis sejak dua bulan yang lalu. Yang kelihatan meriah ialah post-post yang dihantar kawan-kawan kakaknya itu. Kegembiraan dan keterujaan mereka yang menghabiskan masa selepas peperiksaan SPM.

Ada yang buat kerja part time. Ada juga yang duduk di rumah, makan minum goyang kaki. Hakim membaca status kawan-kawan di wall facebook kakaknya itu. Setelah berlama-lama di situ, Hakim kemudiannya membuka email yang pernah dihantar kepada Marissa Norhanis sebelum-sebelum ini. Setiap email itu dihantar pada tarikh berbeza.

Email pertama

Hai, my dear Princess.

How are you? Harap kakak sihat dan sentiasa dalam lindungan ALLAH selalu hendakNYA. Kakak kat mana? Harap kakak happydengan kehidupan baru bersama suami yang dicintai. Kim doakan kebahagiaan kakak. Kim juga doakan kebahagiaan keluarga kita kembali bersatu menjadi sebuah sebuah keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah. Harap kakak balas mesej Kim ya. Dah banyak kali try call tapi tak dapat. Kenapa kakak tak aktifkan telefon? Kakak tak mahu bercakap dengan Kim dah ke? Kakak tak mahu jumpa Kim lagi ke? Salam sayang…

Email kedua

Hai, my dear princess. Assalamualaikum.

Kakak, please call me. Kebisuan kakak membuatkan alam ni menjadi sepi. Ibu dan ayah juga langsung tidak ceria. Dia orang nampak sedih aje sejak akak tinggalkan rumah ni. Walaupun ayah tu marahkan kakak, tapi dia masih tanya khabar kakak pada ibu. Percayalah. Call me please. Plese call us agar kami tahu keadaanmu.

Email ketiga

Hai, my dear princess. Assalamualaikum.

Today is our birthday. Remember? You never forget it, right? But now, I really missing your voice, to hear your wish. Sungguh, Kim rindu nak dengar suara manja kakak wish birthday kat Kim. Nak hadiah :)

Email keempat

Hai, my dear princess. Assalamualaikum. Kakak, Kim tengah sedih sangat ni…Tahukah kakak yang…

Hakim teringat-ingat lagi saat dia menulis email-email itu kepada kakaknya. Dia mahu Marissa Norhanis tahu, biarpun ayah pernah menghalau Marissa Norhanis dari rumah itu, namun Hakim bersikap terbuka menerima Zafran sebagai suami kakaknya. Biarpun Raudah Maryam tidak bersetuju dengan keputusan itu, namun Marissa Norhanis harus diberi peluang demi memperbetulkan kesilapan.

Ya Rabbul Izzati, lindungilah kami sekeluarga. Cantumkanlah hati-hati kami untuk terus bersatu memelihara kebahagiaan ini. Lembutkanlah hati ayah dan ibu untuk menerima kakak. Bukakanlah hati kakak untuk merendah diri, memohon ampun maaf daripada ibu ayah sekali lagi. Moga apabila kemarahan dan rasa kecewa itu sudah reda, mereka sedia menerima kakak kembali. Bantulah kami Ya ALLAH. Bantulah kami mengikat kembali tali siratulrahim yang terlerai ini. Amin.

Kakak, dengarlah bisikan hati Kim. Runtuhkan egomu kakak dan kembalilah ke rumah ini. Kim yakin, ayah kan menerima mu kembali. Baliklah. Kim…rindu nak dengar suara kakak yang serak-serak basah tu. Kim rindu nak berkaroks dengan kakak. Kita nyanyi lagu duet eh? Lagu Kumpulan May, Cintamu Mekar di Hati . Moga cinta kakak tidak pernah hilang terhadap kami meskipun kakak dah temui cinta daripada lelaki bernama Zafran.

Hakim menyandar tubuhnya lesu di kerusi. Sungguh, tiada istilah yang boleh digambarkan betapa perasaan rindu yang tak terbendung di jiwa membuatkan dia penasaran. Hari-hari terakhir Marissa Norhanis di rumah itu, dia sering terdengar-dengar Marissa Norhanis mengalunkan lagu cinta dan rindu. Petanda orang bercinta yang tidak diketahui Hakim. Mandi sambil menyanyi. Mengemas pun menyanyi malah masuk dapur pun menyanyi. Pendek kata, lagu Aku Cinta Padamu nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza tu tidak lekang dari bibir kembarnya itu.

Oh, kakak…

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.