Home Novel Keluarga Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Azilah Wahab
26/8/2014 18:34:32
35,088
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 16

RAUDAH MARYAM memandu mengikut kata hati. Sudah empat hari dia dan Hakim ke Selatan Tanah Air, tetapi arah tujunya kabur. Benaknya hanya memikirkan Marissa Norhanis. Dia berharap akan segera bertemu puteri kesayangannya itu. Pun begitu, Raudah Maryam tidak tahu sama ada usahanya berbaloi atau semuanya sia-sia belaka. Apatah lagi di daerah Pontian ini jarang-jarang diterokainya.

Sudahlah Negeri Johor ni sangat luas. Keluasannya mencecah 18,985 kilometer persegi. Jadi, di koordinat mana rumah anak menantunya berada? Benarkah mereka berada di Johor? Kalau benar di Johor, di daerah mana? Di Pontian atau lain-lain di lapan buah daerah di negeri paling Selatan, peta Semenanjung Malaysia ini?

Raudah Maryam menghela nafas berat. Adakah ALLAH akan memberi laluan mudah untuk dia bertemu Marissa Norhanis? Sekalipun bukan untuk mengajak anaknya pulang ke rumah kerana larangan Halim, Raudah Maryam tidak kisah berjumpa di mana-mana. Bukan untuk jangka masa yang panjang, sejam dua pun memadai demi meleraikan perasaan rindu yang sarat di dada.

Kalau boleh, Raudah Maryam ingin memberitahu anaknya yang dia sudah buka pintu kemaafan. Tak kisahlah siapa suami anaknya. Bagaimana mereka mengikat cinta, dia harus menerima hakikat yang Zafran sudah menjadi menantunya. Asal saja Marissa Norhanis bahagia dengan keputusannya, Raudah Maryam reda dengan apa yang berlaku. Raudah Maryam mahu memujuk anaknya menyambung pelajaran biarpun dia sudah bersuami. Raudah Maryam akan menanggung semua pembiayaan pembelajaran Marissa Norhanis nanti.

“Ibu, kita nak ke mana lagi?” soal Hakim. Kini, giliran dia pula yang berada di kerusi pemandu. Melihat wajah letih dan hampa ibunya, perasaan Hakim tersayat.

Beberapa hari sebelum mereka bertolak ke Johor Bharu, Hakim sudah puas menggeledah bilik Marissa Norhanis. Dia mahu mencari klu, demi menjejak kakak kembar dan abang iparnya itu. Tetapi tiada sebarang petunjuk yang ditemui mereka.

“Entahlah, Kim. Ibu pun tak tahu lagi.”

“Susah juga ya, cari tanpa arah tuju ni...”

“Tapi kalau tak salah ibu, macam pernah dengar Zafran kata yang dia berasal dari Kampung Tengah,” kata Raudah Maryam kala fikirannya teringa kata-kata Zafran sewaktu datang ke rumahnya tempoh hari.

“Kampung Tengah, Pontian? Pontian Kecil ke Pontian Besar, bu?” tanya Hakim keliru.

“Entahlah ya, Kim. Ibu pun tak pasti pasal tu.” Jawapan Raudah Maryam tidak banyak membantu.

“Kita pusing-pusing dulu, bu. Jumpa pam minyak nanti, kita tanya orang kat sana. Manalah tau senang kita cari Kampung Tengah,” cadang Hakim.

Raudah Maryam mengangguk bersetuju dengan cadangan anak lelakinya itu.

“Kita buat iklan kat surat khabar nak tak ibu? Iklan supaya kakak balik rumah?”

“Hisy... tak usahlah, Kim. Makin mengamuk sakan ayah kamu karang. Jiran-jiran kita pun, tak tentu lagi semua tahu hal kakak. Nanti, orang yang tak tahu menjadi tahu. Makin malu jadinya,” tolak Raudah Maryam akan cadangan anaknya.

Hakim tidak berkata apa-apa. Namun, dia bersetuju dengan buah fikiran ibunya.


RAUDAH MARYAM baring kepenatan. Di sebelahnya, Halim sudah pun tidur pulas. Raudah Maryam mengiringkan tubuh, memerhatikan wajah suaminya dalam bias cahaya lampu bilik air yang sengaja dipasang.

Hatinya sayu. Entah kenapa, merenungi seraut wajah itu, Raudah Maryam berasa hendak menangis. Wajah suaminya itu nampak cengkung dan kurang berseri sehari dua ini. Betapa ketegangan yang dihadapi Halim lewat kebelakangan ini berpunca daripada sikap anak perempuan mereka. Raudah Maryam tahu, tekanan di tempat kerja kerana umpat keji orang lain menyebabkan wajah suaminya sentiasa mencuka.

Ketika Raudah Maryam dan Hakim mahu bertolak ke Selatan Tanah Air, wajah suaminya itu menggambarkan kekecewaan yang amat sangat. Dia mengerti, suaminya tidak bersetuju dengan usahanya mahu mencari Marissa Norhanis. Saat dia menghulurkan salam, Halim acuh tidak acuh menyambut salamnya.

“Jumpa ke anak perempuan kesayangan awak tu?” perli Halim petang tadi. Ketika itu, Raudah Maryam sedang menyediakan juadah makan malam. Halim baru saja pulang dari pejabat.

“Tak jumpa, bang. Tak tahu nak cari kat mana dah,” balas Raudah Maryam berterus terang. Selepas lima hari berada di Johor, pagi tadi dia bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Sekitar tengah hari, dia sampai di rumah. Ketika itu, Halim ke tempat kerja seperti biasa.

“Hmm... berialah sangat.” Halim bersuara sinis sambil meletakkan bungkusan berisi makanan.

Raudah Maryam tersentap. Tidak mahu membalas jawab. Sebenarnya, dia malas mahu bertekak lagi dengan suaminya semata-mata kerana Marissa Norhanis. Dia sudah penat. Terlalu penat fizikal mental melalui fasa perubahan hidup mereka yang semakin sulit sekarang ini.

“Abang beli makanan siap sebab ingatkan awak belum balik lagi. Tolong panaskan,” kata Halim separuh mengarah sebelum beredar ke bilik tidur.

Namun, suasana makan malam mereka hambar sekali. Halim tidak lagi bertanyakan usaha Raudah Maryam dan Hakim. Di meja makan, Halim lebih senang bercerita tentang urusan perpindahan mereka tidak lama lagi.

“Bulan depan?” soal Raudah Maryam tidak percaya.

“Terpulanglah. Awak nak ikut ke tak nak ikut. Keputusan abang dah tak berganjak lagi.”

“Rumah ni, ayah?” tanya Hakim terkejut.

“Kalau jadi pindah, ayah nak jual rumah ni!” tegas Halim.

“Jual, bang?” tanya Raudah Maryam, mahukan kepastian. Matanya memandang tepat ke wajah Halim yang serius.

“Ya, rumah ni kan rumah abang!” tegas Halim.

Kata-kata suaminya itu membuatkan perasaan Raudah Maryam tersentap. Memang pemilik rumah ini, atas nama Halim. Raudah Maryam tidak punya hak untuk menghalang suaminya menjual rumah itu. Tetapi, sebagai seorang isteri, dia berhak untuk menegur tindakan Halim.

Namun dalam keadaan sekarang, Raudah Maryam tiada kuasa untuk bertekak. Bukan isu siapa menang atau kalah, tetapi adakala Halim menggunakan kedudukannya sebagai seorang suami dan bersikap diktator seperti majistret.

Memang kadang-kadang sikap Halim tidak ubah seperti sikap mendiang ayahnya yang dipanggil apai. Sama saja. Ada waktunya, kedua-duanya bersikap penyayang dan suka memanjainya. Tetapi pada lain waktu, sikap mereka boleh bertukar menjadi seorang yang berbeza wataknya. Bersikap pembengis dan berkuasa veto.

Suami dan ayahnya. Kenapa tiba-tiba Raudah Maryam dijelmakan dengan bayang wajah lelaki bernama ayah?

“Indai, apai...” Perkataan itu tiba-tiba terlontar dari bibirnya. Sudah bertahun-tahun dia tidak menyebut panggilan itu. Raudah Maryam, merupakan mualaf berketurunan Iban. Bagi masyarakat Iban di Sarawak, Indai, panggilan seorang anak terhadap ibu manakala apai panggilan terhadap ayah.

“Keluar nuan ari tuk. Aku enda ngasoh nuan pulai kituk agik. Nuan udah nukar pengarap ketegal ka jadi enggau lelaki laut. (“Kau boleh berambus dari sini! Aku tak izinkan kau balik ke sini lagi. Kau telah memilih jalan untuk menukar agama semata-mata mahu menikahi lelaki Melayu.”) bentak Jenang. Kemarahannya tiba-tiba saja berapi. Mahu saja dilempangnya wajah Stella Isabell.

“Aku masuk Islam laban nerima petunjuk ukai laban ka jadi enggau lelaki laut.” (Saya menukar agama Islam kerana mendapat hidayah ALLAH. Bukan semata-mata kerana mahu bernikah dengan lelaki Muslim.”)

“Aku kecewa enggau nuan Stella... aku kecewa. Anang pulai ka rumah tuk agik nuan, aku enggai purih aku nukar agama.” (Aku kecewa banyak dengan kamu, Stella. Aku kecewa. Jangan kau balik lagi ke rumah ini. Aku tak suka, keturunan aku menukar agama!”) Wajah Jenang menyinga. Amarahnya membuak-buak.

“Aku minta ampun apai, nadai penanggul aku terus begulai enggau kitak taja pan aku udah masuk Islam.” (“Ayah, maafkan saya. Bukan menjadi halangan seorang anak yang menukar agama untuk terus menjalinkan hubungan dengan ibu dan ayahnya yang berlainan agama.”) rayu Stella Isabell.

“Pergi! Pergi! Pergi!” Jenang memegang erat bahu Stella Isabell yang masih duduk di antara dua sujud, di sejadah itu. Dia mahu mengheret keluar anak gadisnya itu dari rumah panjang mereka.

“Nama hal capuh tuk?” (“Kenapa bising-bising macam ni?”) soal Umang, emak Stella Isabell yang tiba-tiba muncul.

“Stella nama hal nuan ngena garik baka tuk?” (“Kamu buat apa ni, Stella? Berpakaian macam ni?”) soal Umang lagi dengan muka terkejut.

Stella Isabell terpinga-pinga menyedari dirinya masih dalam telekung sembahyang. Dia sudah kantoi bersolat di rumahnya. Selama pulang bercuti di kampung, hari ke tiga di sini, semua rahsianya sudah terbongkar.

“Indai, Stella udah masuk Islam. Stella udah diberi petunjuk ari ALLAH.” (“Mak, Stella sudah memeluk agama Islam. Stella mendapat hidayah ALLAH.”)

Kata-kata daripada Stella itu membuatkan Umang terduduk.

“Indai enda nyangka nuan udah muai pengarap ka di kemeran kitai ngelama tuk.” (“Emak tak sangka, kamu mengkhianati agama yang kita anuti selama ini.)” Suara Umang tersekat-sekat menahan perasaan kecewa.

“Stella ka indai enggau apai pun sama masuk islam.” (Stella mahu ajak mak dan ayah memeluk agama Islam.”) Stella cuba memujuk emak dan ayahnya.

“Aku bunuh nuan legik, Stella! Aku bunuh!” (“Aku bunuh kamu Stella, aku bunuh kamu!”) teriak Jenang macam orang kena histeria. Dia kemudiannya berlari ke ruang dapur mahu mengambil pisau.

“Anang Jenang, anang!” (“Jangan bang, jangan!”) Umang terkejut besar melihat di tangan Jenang sebilah pisau. Pisau siang daging. Jenang macam orang hilang akal mahu menetak tubuh Stella Isabell.

“Anang Jenang, anang! Bunuh aku dulu Jenang, sebedau nuan munuh stella.” (“Jangan bang, jangan! Bunuh aku dulu bang, sebelum kau bunuh Stella!”) jerit Umang merayu-rayu. Dia cuba menghalang suaminya daripada menetak tubuh Stella Isabell.

Umang sedaya upaya berusaha menghalang Jenang daripada bertindak yang bukan-bukan terhadap anak gadisnya.

“Keluar nuan ari tuk, Stella. Anang pulai kituk agik sampai kami mati jemah ila.” (Kamu pergi dari sini, Stella. Jangan kau pulang biarpun pada hari kematian kami!)” Jenang beramaran keras.

Stella Isabell tidak mampu berkata apa-apa apabila Jenang sudah pun mengangkut keluar beg pakaiannya ke muka pintu. Dia sudah tidak mampu untuk memujuk ayahnya lagi. Kemarahan Jenang menjulang-julang. Benarlah kata orang, apabila sudah tidak mampu mengawal perasaan marah, seseorang itu boleh hilang akal dan kawalan.

“Keluar meh ari tuk... anang pulai agik ti enggai meda apai nuan jadi pembunuh.” (“Pergilah dari sini dan jangan pernah kembali jika tidak mahu melihat ayah kamu menjadi seorang pembunuh.)”

Kata-kata Umang mencincang lumat perasaan Stella Isabell. Dia terpempan hebat. Tanpa sedar, Stella Isabell turut menangis.

Jenang sudah pun berdesup lari ke Langkau Umai (pondok di tepi huma) meskipun puas Stella Isabell berteriak, memohon kemaafan daripada ayahnya. Stella Isabell faham perangai ayahnya. Jenang biasa akan ke sana mencari ketenangan sekiranya bermasalah. Umang pula sudah bertangisan panjang.

“Keluar meh sebedau apai nuan pulai. Indai enggai meda utai enda manah nyadi legik.” (“Pergilah, sebelum ayahmu pulang. Emak tidak mahu sesuatu yang lebih buruk berlaku,)” rayu Umang dalam sedu-sedan yang masih menyesak dada.

Petang yang redup itu, Stella Isabell keluar dari rumahnya dan pulang ke Semenanjung. Sepanjang perjalanan, matanya bengkak mengenangkan dia dibuang keluarga. Bukan semata-mata kerana mahu menikahi Halim, tetapi ALLAH telah memberikannya cahaya Islam. Stella Isabell menukar agamanya yang terdahulu Kristian kepada Islam setahun sebelum mengenali suaminya sekarang. Nama Stella Isabell bertukar kepada Raudah Maryam.

Raudah Maryam bangkit dari perbaringan. Air mata kian bertitisan lebat. Selepas kejadian itu, dia tidak pernah lagi pulang ke rumahnya di Tuai Rumah Serit, Titikah, di Daerah Sri Aman itu. Sepuluh tahun kemudian, pernah sekali, Raudah Maryam bertemu Magreth, kawan sekampungnya. Ketika itu, dia dihantar bertugas di Kuching. Magreth menjelaskan yang emak dan ayahnya sudah lama meninggal dunia kerana demam panas.

Mendengar khabar Magreth, Raudah Maryam pulang ke kampung halamannya tanpa pengetahuan Halim. Lantaran Raudah Maryam anak tunggal dan tidak punya sesiapa lagi, dia ke sana semata-mata mahu menziarahi kubur orang tuanya. Pergi dan pulangnya ke kampung itu tidak disedari sesiapa kerana imej dirinya yang jauh berubah. Tiada sesiapa pun mengecamnya.

“Aku lelengau ka kitak semua” (“Aku benar-benar merindui kalian!”) bisik Raudah Maryam penuh sendu.

“Aku minta ampun indai, apai.” (“Maafkanlah aku emak, ayah.” ) Esak tangis sudah bermula kala wajah-wajah ibu dan ayah terbayang-bayang di ruang mata.

Raudah Maryam cepat-cepat keluar dari bilik itu. Dia tidak mahu kenangan-kenangan lalu yang mengusik kalbu membuatkan dia mengongoi panjang sehingga Halim menyedari tangisannya. Banyak persoalan yang perlu dijawab nanti.

Di dalam bilik tamu, Raudah Maryam melepaskan perasaan. Tekanan di dadanya kian memberat.

“Ya ALLAH, berikan aku kekuatan melalui ujian-MU dengan tabah dan sabar. Aku tahu, aku pernah melukakan hati mereka. Tetapi tika itu, aku sedang berjuang ke jalan-MU. Aku mahu mendapat rahmat dan hidayah-MU. Tanpa rela, aku telah memutuskan hubungan kekeluargaan kami. Kasih sayangku terhadap mereka selama ini tiada lagi demi mencari erti kasih sayang-MU yang sebenar. Akukah yang bersalah, Ya ALLAH? Akukah yang berdosa?”

Raudah Maryam menangis lagi. Kebelakangan ini, ALLAH telah memberikan peringatan kepadanya. Tindakan Marissa Norhanis mengingatkan dia akan tindakannya satu ketika dulu. Benarkah dia berdepan dengan hukuman TUHAN walhal tika itu, dia sedang berjuang ke jalan ALLAH?

Seperti mana Marissa Norhanis, Raudah Maryam terpaksa akui kehebatan yang pernah dirasainya bersama Halim dulu. Cinta remaja yang tak pernah kenal sempadan dan benua. Cinta tak kenal warna kulit, keturunan dan agama. Marissa Norhanis sedang membuktikan kepada dunia betapa hebatnya cinta dia terhadap Zafran.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.