Home Novel Keluarga Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Azilah Wahab
26/8/2014 18:34:32
80,697
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 15

BAB 15


“BETULke ni aunty? Marissa tak pernah telefon selepas hari tu?” soal Sarah tak percaya.

“Ya, Sarah. Tak pernah sekalipun Marissa telefon kami. Ada juga aunty try call hand set dia, tapi nombor lamanya sudah tidak aktif lagi. Pm kat fb senyap sunyi sepi. Bagi email yahoo pun tak berbalas.” Raudah Maryam menjawab lemah. Tersentuh hatinya dengan pertanyaan Sarah itu.

“Oh, macam tu ke?! Jadi, aunty tak tahulah kat mana Marissa sekarang ni?”

“Tak tahu, Sarah. Aunty pun tidak tahu di mana dia sekarang ni. Marissa sedang berbahagia dengan kehidupannya setelah bergelar seorang isteri. Mungkin dia dah lupakan kami.” Suara Raudah Maryam mendatar saja. Ayat-ayat Raudah Maryam membuatkan Sarah mengeluh panjang.

“Ermmm…masa Sarah last jumpa dia, ada tak dia beritahu yang akan tinggal di mana-mana selepas kahwin?”

“Tak ada pulak dia beritahu rancangan nak duduk di mana selepas nikah. Cuma setahu saya, suami Marissa tu orang Pontian, Johor. Ada kemungkinan tak, mereka menetap di Johor sekarang ni?” soal Sarah pula.

Raudah Maryam terdiam memikirkan kata-kata Sarah. Pernah ketika Zafran datang ke rumahnya, lelaki itu memberitahu, dia berasal dari Pontian, Johor.

“Tapi alamat Zafran pun tak tahu. Kampung keluarganya pun tak detail di mana. Setahu aunty, Pontian tu besar juga. Ada Pontian Besar, Pontian Kecil. Kampung bukan sebuah dua. Berpuluh kampung juga gamaknya. Aduh…mana ya nak cari Marissa?”

Aunty serius ke nak cari Marissa? Aunty dah tak marahkan dia?” soal Sarah serba salah. Pun begitu, dia mahukan kepastian tentang penerimaan Raudah Maryam terhadap keputusan Marissa Norhanis.

Raudah Maryam mengheret nafas panjang. Terkedu dia seketika.

“Sedih kecewa, memang ada, tetapi bukankah kemaafan itu lebih baik demi sebuah ketenangan? Marissa harus diberi peluang kedua untuk bersama kami. Kalau Marissa pernah buat silap pun, dia perlu bersama kami untuk ditarbiah agar tidak melakukan lebih banyak kesilapan pada masa akan datang…”

Uncle, macam mana aunty? Masih marahkah?”

“Ermmm…masih berkeras hati. Dia terlalu kecewa dengan apa yang berlaku. Sama-samalah kita doakan ya Sarah. Moga keluarga aunty bercantum kembali. ” Suara Raudah Maryam mendatar.

“Mudah-mudahan, carik-carik bulu ayam. Nanti akan bercantum kembali. Saya doakan aunty akan bertemu Marissa satu hari nanti. In sha ALLAH, saya pun akan berusaha jejak dia melalui pertolongan kawan-kawan. Nanti bila-bila, saya telefon aunty lagi ya.”

“All right, dear. Hope, can hear good news from you soon. Kirim salam mumy dan dady. Take care!”
“You too, aunty!” Mereka menamatkan perbualan itu dengan berbalas salam.

Raudah Maryam meletakkan gagang lesu. Panggilan telefon daripada Sarah memang tak diduga Raudah Maryam. Setakat ni, Sarah saja kawan-kawan yang rapat dengan Marissa Norhanis. Perbualan mereka, merungkai banyak kisah. Rupa-rupanya, di sekolah, ramai pelajar meminggirkan Marissa Norhanis.

Hubungan mereka dingin kerana sikap Marissa Norhanis yang menganggap teguran kawan-kawannya kerana cemburukan hubungannya dengan Zafran. Patutlah, semasa kenduri kesyukuran sempena memperolehi keputusan cemerlang SPM, hanya Sarah seorang saja kawan sekolahnya yang datang. Bukan kerana alasan jauh semata-mata, tetapi kerana hubungan Marissa Norhanis dan kawan-kawannya tidak begitu baik.

Malah, yang lebih mengejutkan Raudah Maryam, sehari sebelum Marissa Norhanis bertolak ke Siam, anaknya itu menumpang tidur di rumah Sarah di Seremban. Cerita Sarah lagi, dia pernah cuba menghalang tindakan Marissa Norhanis daripada menikahi Zafran. Tetapi keputusan Marissa Norhanis tidak berganjak lagi. Sarah tidak boleh banyak membantu kerana pada hari yang sama, pagi-pagi lagi, tiketnya ke London. Sarah kini menetap di sana bersama keluarganya. Hari tu, Sarah pulang ke Malaysia sekejap pun sebab ambil keputusan SPM dan menguruskan permohonan sambung belajarnya. Ketika di Malaysia, Sarah tinggal bersama pembantu rumah dengan dipantau saudara ayahnya.

Menurut Sarah, Marissa tiba di rumahnya sekitar jam 10. Malam sebelum Marissa Norhanis terbang ke Thailand pada keesokan paginya. Terkejut besar Sarah mendengar keputusan teman baiknya itu. Sarah ada menelefon rumah Raudah Maryam sekitar jam 11.30 malam untuk memaklumkan yang Marissa Norhanis bermalam di rumahnya.

Tetapi sayang, menurut Sarah, panggilannya tidak berangkat. Mungkin waktu itu, mereka sudah keluar mencari Marissa Norhanis. Sarah hanya ingat nombor telefon rumah Marissa. Nombor telefon bimbit Raudah Maryam dan Halim tidak diketahuinya. Takkan dia tanyakan dengan Si Marissa pulak. Nak mencuri-curi maklumat dalam telefon Marissa pun tak boleh. Telefon bimbit Marissa setiap masa melekat di telinga. Sepanjang malam, Marissa bergayut dengan Zafran. Orang dah kemaruk nak kahwin katakan!

“Kakak, kakak…di manakah dirimu sayang. Walaupun kakak telah melukai hati ibu, tetapi ibu berharap sangat kakak akan telefon ibu. Tanya khabar kami dan ceritakan di mana kakak berada. Ibu nak sangat jumpa kakak. Ibu rindukan kakak. Ibu janji akan luangkan lebih masa untuk kakak dan keluarga kita.”

“Maryam, termenung aje? Siapa telefon?” soal Halim yang tiba-tiba saja melabuhkan punggung di sisi Raudah Maryam, di sofa itu.

“Eh, abang! Tak ada apalah. Mana saya ada termenung.” Raudah Maryam cuba berlagak biasa.

“Ya lah tu. Eh, siapa telefon tadi?!”

“Ermmm…Sarah. Sarah, kawan sekolah kakak.”

“Sarah? Sarah yang duduk kat London tu kah?” tebak Halim dengan wajah serius. Raudah Maryam mengangguk.

“Apa halnya dia telefon?”

“Saja telefon, tanya khabar kakak dan kita sekeluarga.”

“Habis tu, awak cakap apa?”

“Cakap je lah apa yang berlaku. Cerita je lah apa yang patut saya cerita.”

“Huhhh! Buat malu keluarga saja. Yang awak duk sibuk canang kisah keluarga kita kat orang lain, kenapa?” Nada suara Halim meninggi. Marah nampaknya dia dengan jawapan Raudah Maryam.

“La…cakap apanya?”

“Awak beritahu Sarah kah kakak kahwin lari ke Siam?” Halim bertanya dengan wajah merah padam.

“Abang…abang tahu tak? Sehari sebelum kakak menikah, dia menumpang tidur kat rumah Sarah di Seremban nun hah!” Cerita Raudah Maryam membuatkan Halim terkejut.

“Oooo, jadi Sarah pun berpakat lah ni?” marah Halim.

“Kata Sarah, dia dah cuba callrumah kita, nak maklum yang kakak stay rumah dia. Tapi mungkin masa tu, kita dah keluar cari kakak. Telefon rumah tak berangkat. Kata Sarah, dia memang ada pujuk kakak supaya fikir semula keputusannya. Tapi kakak nekad sangat…”

Halim berlagak tenang mendengar cerita Raudah Maryam sekalipun dadanya tiba-tiba menjadi perit. Entah kenapa, bercakap tentang Marissa Norhanis, emosinya tiba-tiba merusuh. Dari ruang tamu, Halim bergerak ke dapur. Dia mencapai sebutir gelas lantas menuang air masak. Di meja makan, dia membasahkan tekak. Perasaan galaunya sedikit terkawal.

Sikap Halim sedikit sebanyak membuatkan Raudah Maryam tersentap. Dia menapak langkah lesu, merapati tubuh suaminya di meja makan.

“Abang…kita cari kakak, nak?” usul Raudah Maryam lembut.

“Awak ni kenapa Maryam? Dah rindukan sangat anak tak guna tu?” Ayat-ayat Raudah Maryam membuatkan amarah Halim bertandang lagi.

“Walaupun kakak anak tak guna pada pandangan mata abang, dia tetap anak saya dunia akhirat. Saya yang mengandungkan dia, menyusu dan membesarkan dia sampai umur dia dah 18 tahun. Kalau pun dia jadi anak tak guna, kita yang mendidiknya, mengasuhnya. Anak itu kitalah yang mencorakkannya. Apa yang jadi pada keluarga kita, sebenarnya kita yang kena bertanggung jawab bang.” Suara Raudah Maryam kedengaran sebak.

“Tak payah cari-cari dia. Dia pun takkan balik rumah ni dah. Dia dah bahagia dengan lelaki pujaan dia tu. Tapi abang nak tengok, sejauh mana bahagianya dia dengan Zafran. Dia ingat hidup ini mudah, huhhhh!”

“Kalau abang tak nak cari dia, biar saya saja cari dia. Ajak dia balik sini…”

“Terpulanglah nak cari dia ke tak. Tapi jangan harap abang izinkan dia balik rumah ni. Tak akan! Aku tak pernah ada anak macam dia!” bentak Halim.
“Abang!! Tolonglah jangan terlalu turutkan rasa marah tu!” Raudah Maryam cuba memujuk. Tangan Halim cuba digenggamnya kejap. Namun Halim menepis tindakan Raudah Maryam. Suaminya itu mendengus kasar sebelum berlalu masuk ke dalam bilik. Raudah Maryam terpinga-pinga dan berasa begitu hampa sekali.

Hakim yang sejak tadi membaca novel bertajuk Bagaikan Puteri, tulisan Ramlee Awang Mursyid di beranda rumah, menelinga perbualan ibu dan ayahnya. Pun begitu, dia langsung tidak menyampuk. Namun, dia mengerti akan makna sekeping hati seorang ibu yang rindukan kepulangan anaknya. Sebagai kembar kakaknya, Hakim juga merindui saat-saat indah bersama Marissa Norhanis.

Buat masa sekarang, Halim saja yang masih berkeras hati. Ayahnya itu mulai ketara membenci dan mendendami anak sendiri. Pantang sesiapa saja penghuni rumah itu berbicara tentang Marissa Norhanis, pasti ayahnya akan melenting hebat.

Yalah, kalau maruah sendiri sudah tercemar, takkan semudah itu Halim menerima takdirnya? Selama ini, dia seorang majistret yang hebat dan disegani ramai. Hanya kerana sikap anak sendiri, reputasinya jatuh merudum.

“Kim, nanti temankan ibu cari kakak ya.” Suara Raudah Maryam bergema di corong telinga.

Betapa lama Hakim larut dalam fikiran sendiri, barulah dia perasaan yang tubuh Raudah Maryam tercegat di sebelahnya. Hakim memanggungkan kepala, mencari sebening wajah ibunya.

“Temankan ibu ya. Kita cari kakak di Pontian.” Suara Raudah Maryam penuh mengharap. Tangan ibunya itu mendarat di bahunya. Hakim hanya mampu mengangguk bersetuju.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.