Home Novel Keluarga Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Azilah Wahab
26/8/2014 18:34:32
80,678
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 12

BAB 12


“JOM bang, kita keluar.” Marissa Norhanis mengajak.

“Keluar? Ke mana?”soal Zafran.

“Ke mana-mana ajelah. Main boling ke, karaoke ke? Jalan-jalan kat Plaza Angsana ke, JB City Square ke…” cadang Marissa Norhanis.

“Alahhh sayang. Abang penatlah. Abang baru aje balik kerja, sayang dah ajak keluar.”

“Dah tu, I bosan lah duduk terkurung dalam rumah ni. Dah berapa lama tak keluar tengok matahari. Esok, masa abang keluar kerja, I nak keluar pusing-pusing bandar. Biar balik sampai petang. Biar puas hati I,” kata Marissa Norhanis pura-pura merajuk di perbaringan itu. Ketika itu, mereka suami isteri sedang menonton televisyen di ruang tamu.

“Ermmmm…janganlah macam tu sayang.” Zafran memujuk lembut.

“Itu tak boleh. Ini tak boleh. Habis apa yang bolehnya?” ungkit Marissa Norhanis. Semenjak dia menjadi isteri Zafran, lelaki itu tidak pernah membenarkan dia keluar sendirian. Akhirnya, dia terkurung di rumah macam burung dalam sangkar. Tak dibenarkan lepas bebas.

‘Huhhhh, bosan betullah!’ Marissa Norhanis merungut dalam hati.

“Bukan tak boleh. Tapi sayang tunggulah abang free sikit. Ya? Abang sibuk sangat sehari dua ni. Nak selesai hal bisnes abang lagi.”

You always busy, darling!Kalau macam tu baik I keluar bekerja. Duduk rumah pun boring,” gumam Marissa Norhanis menahan geram.

“Eh, nak kerja kat mana pulak? Duk rumah aje lah. Uruskan hal rumah ni. Tunggu abang balik dan sambut suami depan pintu.”

“Abang keluar kerja jam berapa? Balik jam berapa? I boring tau tak?” luah Marissa Norhanis berterus terang.

“Ermmm, I’m very sorry, sayang. Tapi please, faham keadaan abang. Bisnes abang ada masalah sehari dua ni. Kalau semua settle,kita pergi bercuti ya?” Zafran membalas tenang akan permintaan isterinya. Tangan Marissa Norhanis diramasnya lembut.

“Dari hari tu lagi asyik cakap bisnes ada masalah. Seriuskah masalahnya?” tanya Marissa Norhanis dengan penuh minat. Perkataan bercuti tidak lagi disebutnya.

Zafran melepaskan nafas berat seraya berkata, “Bermasalah sikit aje sayang. Tapi masih under control. You don’t have to worry, okey?”

“Itulah…I tak pernah pun diajak ke tempat kerja abang. Manalah tahu, kalau-kalau abang perlukan pertolongan, I boleh bantu.”

“Tak apalah. Selagi abang boleh settlekan masalah ni sendiri, sayang usah khuatir. Sayang duduk rumah je. Kalau ada keperluan dapur tak cukup, bagitahu aje. Biar abang suruh budak abang belikan. Abang balik kerja, abang nak sayang masakkan untuk abang. Sambut abang balik dengan senyum manis. Wajah mesti selalu berseri-seri, wangi dan paling penting seksi menggoda,” kata Zafran. Dia mencuit dagu isterinya.

“Eh, ke situ pulak abang ni!”

“Ermmm…kalau tak cakap, biasanya orang tak tahu. Kat luar bukan main cantik bergaya, berbedak, berlipstik merah menyala, tapi kat rumah, dengan suami asyik bau sambal belacan. Bau udang, ikan dan sotong. Dah bau macam lecak kat pasar ikan pulak. Eeeii…yerk! Abang memang tak boleh bau-bau semacam ni!” cerita Zafran berterus terang.

“Abang…I macam tu kah?” soal Marissa Norhanis apabila terasa Zafran bercerita tentang dirinya.

Oh, no… no! Abang tak maksudkan sayang. Tu isteri orang lain. Sayang abang memang terbaik!” puji Zafran lalu mencium pipi Marissa Norhanis.

“Ermmm, ya ke ni bang?” soal Marissa Norhanis manja.

“Betullah. Janji sayang sentiasa menjaga penampilan diri dan sentiasa buat abang berasa tergoda. Seorang isteri harus sentiasa menggoda suaminya. Ini penting agar suaminya tidak sesekali berasa tergoda dengan mana-mana wanita di luar. Tau? Jangan tak sampai setahun berkahwin, sayang abang dah bertukar imej. Jadi mak nenek, tok kebayan dan seangkatan dengannya. Risau abang tau.” Zafran berterus terang. Perkataan mak nenek dan tok kebayan membuatkan Marissa Norhanis tergelak kecil.

“Paling penting, sayang kena jaga kecantikan tubuh badan. Perut tak mahu berlipat-lipat. Berlemak situ sini. Abang nak sayang maintain macam sekarang. Barulah mengancam,” puji Zafran sambil mendakap kejap tubuh isterinya.

“Abang, kalau I tak sempurna di mata abang, tegurlah. In sha ALLAH, mana yang terkurang tu, akan cuba dibaiki. Ya, bang?” Lunak merdu Marissa Norhanis berbicara.

“Terima kasih isteri abang kerana positif menerima teguran.”

“In sha ALLAH…janji abang pun sebagai seorang suami kenalah menegur isterinya secara berhemahkan?”

“Tentu sekali, sayang. Bijak isteri abang. Dah lah cantik, bijak pulak tu. Ni yang buat abang sayang sangat-sangat ni,” puji Zafran. Hati Marissa Norhanis kembang setaman mendengar pujian daripada lelaki yang dicintainya.

“Oh ya, semua barang dapur masih cukupkah? Kalau dah habis, abang nak mintak budak belikan.”

“Eh, tak usah susahkan orang lain bang! I boleh ke pasar sendiri beli barang.”

Kata-kata Marissa Norhanis membuatkan Zafran mengeluh kecil.

“Susah sangatkan nak dengar cakap abang. Kalau jadi macam-macam, macam mana? Sayang bukannya biasa tempat ni.”

“Daripada tak biasalah lama-lama jadi biasa bang. Tempat baru, memanglah kena explore!” Nada suara Marissa Norhanis kedengaran merajuk.

“Abang harap sayang faham. Nanti abang punya waktu, abang akan tunjukkan kat mana pasaraya, kat mana hospital, kat mana balai polis, kat mana balai bomba, kat mana…”

“Ermmm…dah la bang. Bosan!” Marissa Norhanis merajuk.

“Sayang…”

“Abang, believe me okey? I dah ada lesen memandu. Malah dulu, I dah punya kereta. Bukan nak merayap ke mana pun, nak tengok keadaan bandar JB aje lah.”

“Masalahnya, buat masa sekarang, dah tinggal satu aje kereta abang…”

“Satu je? Eh, bukan dulu ada dua tiga kan?” Terkejut Marissa Norhanis dengan kata-kata Zafran. Sepanjang Marissa Norhanis mengenali Zafran, lelaki itu seringkali bertukar dua tiga buah kereta setiap kali mereka keluar bersama.

“Dulu ya, sekarang tidak lagi.”

“Kenapa?”

“Sebab satu dah masuk bengkel. Satu lagi kawan abang pinjam gi Kedah.”

“Huhhh…untuk isteri sendiri tak ada. Kawan pinjam sampai ke Kedah, ada pulak?” ungkit Marissa Norhanis.

“Sayang…”

“Dah dua bulan lebih duk terkurung kat rumah ni. Bosanlah, bosan!” Marissa Norhanis bangkit dari ruang tamu itu sebelum masuk ke dalam bilik.

Zafran hanya menggeleng kepala melayani sikap isterinya. Dia membuntuti langkah isterinya di dalam bilik.

“Abang tengok karikatur komik sayang cantik-cantik belaka. Buatlah komik bersiri. Isi masa kat rumah. Nanti boleh cuba hantar kat publisher. Mana tahu dia orang berminat nak cetak.” Zafran memberi buah fikiran.

“Dah…tak mahu cakap apa-apa dah pasal karikatur komik segala bagai. I nak tidur.” Jawapan orang merajuk sambil menarik selimut.

“Pulak…” komen Zafran ringkas seraya merebahkan tubuh di sisi isterinya.



“TENGKU FIDA tak ada? Dia ke mana?” tanya Zafran dengan nada meninggi.

Seketika, Zafran bersoal jawab lagi dengan seseorang yang dihubunginya. Marissa Norhanis buat tak endah. Sekejap tadi, dia menelinga perbualan Zafran. Sekejap kemudian, dia ke dapur semula menyediakan juadah makan tengahari mereka suami isteri. Tidak berminat untuk dia mendengar suaminya bercakap di telefon apatah lagi nada suara Zafran asyik membentak.

“Wah, masak apa hari ni sayang?! Macam best aje baunya?” Zafran tiba-tiba datang dari belakang dan memeluk bahu Marissa Norhanis. Pinggang isterinya dirangkul erat.

“Ermmm…kalau tak sedap, tegur secara berhemah ya,” balas Marissa Norhanis akan kata-kata suaminya. Zafran cuba memesrainya lantaran sejak malam tadi, Marissa Norhanis merajuk panjang. Pagi tadi pun, Zafran bersarapan tanpa ditemani Marissa Norhanis.

Zafran menghadiahi sebuah ciuman di pipi isterinya itu. Marissa Norhanis yang masih bersisa perasaan merajuk, tergamam sekejap. Emosi rajuknya mulai lenyap. Ternyata lelaki berusia lewat 30- an itu, begitu pandai mencairkan perasaan marah rajuknya.

“Alah sayang…sedap ke tak sedap, sayang dah usaha memasak untuk kita. Abang telan aje. Terima kasih. Nampak menyelerakan. Ayuh, temankan abang. Laparlah!” Zafran menarik tangan Marissa Norhanis.

Mereka duduk bersebelahan di kerusi, di meja makan itu. Zafran meringankan tulang, menceduk nasi ke ke pinggan isterinya. Lauk pauk juga disudu ke pinggan Marissa Norhanis. Zafran memanjainya. Mahu mengambil hati lah katakan. Kalau tak memujuk, rajuk isterinya itu semakin panjang pula.

Sikap Zafran persis layanan yang selalu diterimanya daripada Halim. Sememangnya, sesekali Marissa Norhanis kepingin dilayani sedemikian.

“Kakak, makanlah. Kenapa termenung lagi? Nak ayah suapkan?” Wajah Halim menyinggah di benaknya.

“Ehem, ehem…dah besar kan? Takkan nak makan bersuap lagi. Manjalah sangat,” komen Hakim selamba.

“Ayah, ada orang jeles.” Marissa Norhanis mencebik bibir ke arah Hakim.

Dia berasa menang sendiri apabila Halim menyuap nasi goreng Cina ke mulutnya. Halim dan Raudah Maryam saling berpandangan. Mereka berbalas senyuman apabila Hakim langsung tidak terusik dengan kata-kata kakak kembarnya itu.

“Heii, sayang! Kenapa termenung lagi? Nak abang suapkan?” Suara Zafran berserta sentuhan di pipinya melenyapkan kenangan semalam.

Arghhh, betapa payahnya untuk aku memadamkan setiap kenangan bersama kalian. Hati Marissa Norhanis berbisik sayu.

“Nganga!” arah Zafran. Marissa Norhanis masih tak bereaksi.

“Ngangalah sayang. Abang nak suapkan ni!” pinta Zafran lagi.

Sudu berisi nasi dan lauk pauk sudah berada dekat dengan mulut Marissa Norhanis. Zafran menunggu dengan sabar isterinya menganga mulut.

“Terima kasih, abang.” Marissa Norhanis menjawab senang kala rezeki ALLAH hari itu sudah masuk ke mulutnya. Sememangnya, layanan Zafran adakalanya membuatkan dia rasa dimanjai dan dihargai.

“Makin lama, semakin sedap sayang masak,” puji Zafran.

Marissa Norhanis tersenyum bangga. Perasaan bahagia menjalari setiap ruang hati menerima kata-kata itu. Air tangannya kena dengan selera Zafran. Walaupun tidak cekap memasak, tetapi Marissa Norhanis rajin membantu ibunya. Raudah Maryam rajin memasak menu yang sihat ini.

“Abang memang suka daging masak halia ni. Sayur campur dan sambal kicap. Sayang ni memang tahu-tahu aje favorite abang.”

“Sayang taulah kegemaran abang. Habis, kalau kat kedai, abang selalu order menu ni, kan?” jawab Marissa Norhanis lagi. Kini, giliran dia pula menyudu lauk pauk ke pinggan suaminya.

“Ermmm, lepas-lepas ni, abang nak rasa lauk pauk yang pelbagai pulak. Boleh? Western ke? Lebanon ke? Turki styleke? Boleh?”

“Alamak, bukan main demandlagi abang. Setakat western tahulah sejenis dua. Tapi menu Lebanon dan Turki tu reti makan je. Buat tak reti!”

“Ermmm, okey. Buat nasi arab, nasi bukhari, sayang tau?” soal Zafran lagi.

“Oh, menu macam tu kena call ibu lah tanya! Ibu memang expert masak nasi arab. Tapi I tak tahu sangat sukatannya!” Ayat-ayat itu meluncur laju dari bibir Marissa Norhanis. Zafran yang sedang enak mengunyah makanan terhenti. Sebenarnya dia terkejut apabila Marissa Norhanis menyebut perkataan ibu.

“Ermm…sayang dah call ibu, ya?” soal Zafran lembut dan berhati-hati. Zafran khuatir soalannya itu akan menyentuh sensitiviti Marissa Norhanis. Tetapi, daripada nada Marissa Norhanis bercerita, seolah-olah isterinya pernah menelefon Raudah Maryam.

Marissa Norhanis juga terkesima. Entah bagaimana, perkataan ibu melantun keluar dari bibirnya. Sejak beberapa bulan mendirikan rumah tangga, belum pernah sekalipun dia menghubungi keluarganya. Mereka juga tidak pernah menghubunginya. Mana mungkin mereka dapat menghubunginya kerana sim kad lamanya sudah dibuang. Telefonnya kini bertukar sim kad baru, nombor baru.

Hari ini, secara spontan pula perkataan ibu disebutnya. Mungkinkah kerana semasa menyediakan menu ini tadi, dia terkenang-kenangkan Raudah Maryam? Atau sebab dia teringat-ingatkan wanita itu dan kenangan bersama di dapur rumah mereka.

Sayang, are you okey?” soal Zafran apabila dilihatnya Marissa Norhanis termenung lagi.

“Eh…I’am okey, abang!” Marissa Norhanis menjawab tenang. Berpura-pura tenang.

“Sayang dah cuba call ibu dan ayah?” soal Zafran lagi. Perasaan ingin tahunya membuak-buak.

“Belum, bang. Nantilah,” jawab Marissa Norhanis seraya menyudu lauk pauk.

Dia terus-terusan berlagak tenang di sebelah Zafran. Dia tidak mahu Zafran perasan akan jiwanya yang kian merusuh. Perasaan hiba mulai bertali temali. Rasa sedih, kecewa dan rindu kian merayapi ke segenap kapilari tubuhnya. Seluruh jiwa raganya berbaur emosi.

“Sayang… tak salah kan sebagai seorang anak, sayang merendah diri. Cuba-cubalah telefon ibu dan ayah, tanya khabar mereka. Manalah tahu, pintu hati mereka terbuka untuk memaafkan sayang. Juga untuk mereka menerima abang seadanya. Kan?” Kata-kata Zafran itu membuatkan Marissa Norhanis bangun dan menapak ke singki. Perasaan sebak tiba-tiba datang. Di situ, air matanya jatuh berderai.



MALAMyang sunyi itu, Marissa Norhanis kegelisahan. Zafran di sebelahnya sudah tidur pulas. Entah kenapa, saat itu jiwanya diserang satu perasaan misteri. Wajah ibu, ayah dan Hakim silih berganti di skrin mindanya. Sudah lebih dua bulan berlalu, dia tidak pernah cuba menghubungi mereka. Tidak pernah membalas mesej Raudah Maryam mahupun Hakim di facebook dan email. Marissa Norhanis keraskan hati meskipun perasaan rindunya terhadap mereka membuak-buak.

Bukan kerana tidak mahu mendengar suara mereka, tetapi takut perasaan sedih dan kecewanya bertandang lagi. Dia tidak sanggup mendengar caci cerca, maki hamun daripada Halim lagi. Cukuplah hatinya terhiris pilu dengan kata-kata ayahnya itu tempoh hari. Cukuplah kalau dia dituduh anak derhaka. Cukuplah kalau dia dihalau hanya kerana memateri janji dengan lelaki yang dicintainya. Kalau dia menelefon mereka dan hanya kata-kata nista menjadi halwa telinganya, untuk apa dia berbuat demikian? Sekadar membunuh perasaan bahagia yang sedang disemainya bersama Zafran.

Syukurlah Ya ALLAH, lelaki bergelar suami ini begitu baik menjaganya. Marissa Norhanis berasa benar-benar dihargai. Bulan madu mereka merakamkan saat indah yang bukan sedikit. Lega dan bahagia hatinya. Marissa Norhanis yakin, Zafran boleh menjaga dan melindunginya seperti mana ayah dan ibu menjaga dia selama ini.

“Ayah, ibu… kakak janji akan kotakan janji-janji kakak untuk sambung belajar dan masuk u. Percayalah satu hari nanti, kakak akan buktikan yang kakak akan menjadi orang yang berjaya meskipun sudah bergelar seorang isteri. Biarpun permohonan masuk u sudah berakhir dan kakak tidak mengisi borang itu, namun in sha ALLAH, semester akan datang kakak cuba berbuat demikian.

Percayalah pada kakak. Kakak lakukan semua ini kerana ALLAH Taala. Percayalah juga, sesungguhnya saat ini, kakak sangat bahagia bersama suami tercinta. Kakak akan buktikan yang keputusan kakak tidak pernah silap. Kakak akan buktikan yang kakak juga boleh berjaya dan menjadi orang terhormat macam ibu dan ayah.” Marissa Norhanis bermonolog. Daerah hatinya dirasakan sepi sekali. Meskipun sekitar kawasan perumahan itu masih kedengaran bunyi bising kenderaan di jalan raya.

Jam sudah menunjukkan pukul dua pagi. Marissa Norhanis bangkit dari perbaringan. Dia ke bilik air mengambil wuduk. Beberapa minit kemudian, Marissa Norhanis membentangkan sejadah. Malam kian larut, dia ingin bersujud lama. Saat ini, dia ingin bercinta sepenuh hati dengan Al-Khalid. Dia mahu meluahkan segala lara di hatinya kepada Sang Pencipta. Kekasih Agungnya itu tidak pernah tidur walau sesaat untuk mendengar keluh kesah hamba-hambaNYA.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.