Home Novel Keluarga Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Azilah Wahab
26/8/2014 18:34:32
80,892
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 4

BAB 4


MARISSA NORHANISmenelan liur pahit tatkala melihat wajah tenang Halim tiba-tiba berubah. Raudah Maryam yang sedang menuang kopi panas ke dalam cawan di dalam dulang juga terkejut besar. Anak yang menghilang tanpa khabar berita selama seminggu itu tiba-tiba muncul di depan mata.

Marissa Norhanis menapak langkah gugup. Dia menyertai mereka di ruang dapur. Zafran pun turut membuntuti tubuh isterinya.

“Ayah...” Marissa Norhanis memanggil Halim. Halim merenungi tajam wajah Marissa Norhanis. Tiada sepatah perkataan pun keluar dari bibirnya. Dia menahan segala perasaan yang berbaur-baur di lubuk hatinya.

Mata Halim memanah pula ke arah Zafran. Kepala Zafran hanya tertunduk, menekur lantai. Wajah Halim yang menyinga amat menggerunkan Zafran.

“Ayah, ibu …kakak dan Abang Zafran dah bernikah. Kami bernikah di Songkhla,” jelas Marissa Norhanis dengan nada tersekat-sekat. Sesekali matanya memandang ke arah Halim. Sesekali pula ke arah Raudah Maryam.

Wajah Halim yang menyinga bertukar hampa yang amat sangat. Sesekali pandangan matanya tertebar ke wajah Marissa Norhanis. Sesekali pula beralih pula ke wajah Raudah Maryam dan Hakim di dapur itu. Marissa Norhanis jelas, wajah ayah, ibu dan adik kembarnya tergambar perasaan terkejut dan hampa. Ternyata, masing-masing tidak menyangka dengan pengumuman Marissa Norhanis. Halim menahan sebak. Marah, sedih, tercabar dan kecewa mula bergumpal menjadi satu. Tubuhnya menggeletar hebat.

Sebenarnya, petang semalam, Halim sudah dimaklumkan oleh pihak berkuasa yang menyiasat kes kehilangan Marissa Norhanis. Menurut mereka, anak perempuannya itu menaiki pesawat ke Bangkok dan tiket ditempah bersama Zafran. Dia dapat mengagak Marissa Norhanis dan Zafran ke sana untuk bernikah. Halim terkejut besar dan cuba menolak kebenaran itu. Tapi hari ini, kebenaran itu didengarinya daripada mulut Marissa Norhanis sendiri.

‘Allah, Allah…tabahkan hati hambaMU yang lemah dan hina ini.’ Halim berdoa berkali-kali dalam hati.

“Ayah, tolong restui pernikahan kami ya.” Marissa Norhanis memberanikan diri bersuara meskipun jiwanya hampir mati melihat reaksi sekalian mereka.

“Ayah…” Marissa Norhanis merapati tubuh Halim.

Dia cuba memegang tangan Halim seeratnya. Dia ingin memohon maaf dan meluahkan rasa bersalahnya terhadap insan bernama ayah itu. Marissa Norhanis ingin berkongsi rasa bahagia ini bersama insan-insan yang amat disayanginya. Biarpun Halim benar-benar nekad untuk tidak mewalikan pernikahan dengan lelaki pilihannya, itu tak mengapa!

Bagi Marissa Norhanis, biarpun dia dan Zafran bernikah tanpa kehadiran mereka, tapi Marissa Norhanis berharap pernikahan ini membuka ruang di hati ibu dan ayah untuk menerima Zafran seadanya. Baginya, dia sudah melakukan tindakan yang betul di sisi agama.

Tidak salah kan untuk dia menentukan masa depannya sendiri? Berdosakah dia bernikah dengan lelaki itu walhal apa yang dilakukannya adalah untuk menghalalkan hubungan anak cucu Adam dan Hawa? Sedangkan sudah lama dia sendiri khuatir, hubungan tanpa ikatan yang sah akan merosakkan masa depannya. Dia seorang gadis yang sedang dilamun cinta. Dia dan Zafran saling mencintai. Cinta dan anugerah. Semua itu sudah menjadi fitrah insan untuk merasai semua nikmat pemberian ALLAH.

Secara biologinya juga, dia dan Zafran saling tertarik antara satu sama lain. Bak Kutub Utara dan Kutub Selatan pada medan magnet. Masing-masing punya tarikan yang sangat kuat untuk saling melekat. Marissa Norhanis pasti tentang itu. Dia mengerti perasaannya dan juga Zafran. Masing-masing saling berkehendak untuk menzahirkan perasaan mereka dalam bentuk belaian kasih sayang juga. Maka kerana itu, Marissa Norhanis memilih jalan ini adalah demi maruah keluarga. Demi menjauhi mereka dari terjerumus ke lohong maksiat.

Demi ALLAH, itu niatnya.

Tetapi mengapa dia ditentang sebegini teruk? Mengapa dia dipersalahkan? Mengapa dia tidak diberi sokongan dengan segala tindak tanduknya ini? Jiwa mudanya membentak-bentak. Hatinya berdendang pilu. Dirinya berbaur emosi yang kian merusuh. Semuanya menjadi tidak keruan.

“Pergi! Kenapa balik? Pergi ke mana pun kau nak pergi ikut jantan tu, pergi!” tengking Halim tiba-tiba seraya menepis tangan Marissa Norhanis. Ayahnya itu bingkas bangun dan membasuh tangan di singki. Marissa Norhanis buru-buru mengikut langkah Halim. Juraian air mata tiba-tiba menubir laju di pipi.

“Maafkan kakak, ayah…” rayu Marissa Norhanis. Dia berusaha untuk memegang tangan Halim. Namun berkali-kali dia berusaha berbuat demikian, berkali-kali juga Halim menepis kasar perbuatannya.
“Maaf? Maaf untuk apa? Kau tahu tak, betapa selama kau hilang tanpa khabar berita, aku dan ibu kau macam nak mati mencari kau situ sini. Boleh jadi gila kami kat rumah ni fikirkan kau kena culik ke, mati dibunuh ke? Dahlah pergi tanpa khabar berita? Telefon tidak, tinggalkan mesej pun tidak. Ada kau fikir tak semua tu? Ada kau fikir perasaan kami? Ada?!” Halim menengking kuat.

“Ayah, maafkan kakak. Kakak tahu kakak dah buat silap…”

“Kau ingat dengan memaafkan kau, kami akan restui pernikahan kalian? Kau ingat senang-senang je kami boleh lupakan apa yang kau dah buat?” Suara Halim menengking tinggi.

“Ayah, maafkan kakak...”

“Kau dah conteng arang kat muka aku, berhari-hari tak balik sebab nikah dengan jantan keparat ni,sekarang kau nak cakap maaf?!” tengking Halim lagi. Nadanya semakin meninggi.

“Ayah…” rayu Marissa Norhanis.

“Berambus, aku kata berambus!” Bergema seisi dapur itu dengan jeritan Halim.

Rasa kecewa yang mendongkol di hati Halim dilampiaskan dengan jeritan sekuat halilintar. Tangan Halim menolak kuat tubuh Marissa Norhanis. Terpelesok tubuh Marissa Norhanis di lantai, dekat dengan kabinet pinggan mangkuk. Terpempan Marissa Norhanis bukan kepalang dengan sikap kasar Halim. Mana pernah Halim melayaninya sekasar itu.

“Berambus kau! Berambus dari sini!” tempik Halim lagi. Tubuhnya menggigil-gigil menahan marah.

“Ayah…” Marissa Norhanis cepat-cepat bangun dan mendapatkan tubuh Halim.

“Pergi! Aku kata pergi!”

Dam! Dam! Dam! Halim menumbuk badan meja makan sekuat hati. Beberapa kali. Seisi yang ada tersentak melihat kemarahan Halim. Raudah Maryam sudah bergenang air mata. Melihat keadaan suaminya yang sedang melepaskan perasaan marah, sungguh dia sebak. Raudah Maryam tidak kuasa mententeramkan Halim. Biarlah Halim menghamburkan perasaannya terhadap Marissa Norhanis. Biarlah!

Sudah seminggu keadaan Halim nampak tidak terurus. Emosinya sensitif benar. Kes kehilangan anak gadis mereka memberi tamparan hebat kepada Halim dan Raudah Maryam. Kalau Halim berasa marah dan kecewa, Raudah Maryam pun demikian juga. Sungguh, dia terkesan dengan sikap dan keputusan satu-satunya anak perempuan yang mereka ada.

‘Bernikah di Songkhla? Ya ALLAH, tergamak kakak buat semua ni. Sampai hati kakak. Sungguh ibu tak sangka kerana lelaki bernama Zafran, kakak bertindak sejauh ini. Kenapa kakak? Kenapa sanggup memalukan kami?’ Raudah Maryam merintih hiba.

Merenungi sepasang mata Marissa Norhanis yang sedang menghujan lebat, segala apa yang terbuku di dada Raudah Maryam, tidak terluah di bibirnya.

Marissa Norhanis menangis dan menangis. Perasaan sedih dan hiba sudah tidak terkawal lagi melihat kemarahan Halim yang membuak-buak. Ternyata, Halim tak bisa dipujuk.

Sungguh tak disangka Marissa Norhanis , betapa keras hati Halim untuk menerima keputusannya kali ini.

Nampak sangat yang Halim benar-benar bertegas dengan keputusannya. Marissa Norhanis menginsut tubuh, cuba memeluk belakang kaki Halim. Namun dengan kuat, Halim merentap kakinya itu.Tertiarap Marissa Norhanis di lantai. Zafran yang sejak tadi terpempan menyaksikan perbalahan di antara anak dan ayah itu mulai mampir. Dia membantu Marissa Norhanis untuk bangun.

“Ibu…” Marissa Norhanis memanggil dan memandang sayu wajah Raudah Maryam.

Dia berharap benar agar Raudah Maryam akan menyokong perbuatannya, demi meminta maaf daripada Halim. Namun Raudah Maryam hanya membisu dalam genangan air mata yang sedang berjejehan jatuh di birai pipi.

“Ibu, maafkan kakak bu. Maafkan kakak!” Marissa Norhanis menapak lesu, cuba mendekati tubuh Raudah Maryam.

Raudah Maryam sekadar membatukan diri kala Marissa Norhanis cuba memegang tangannya. Ternyata Raudah Maryam sedang menahan segala perasaan sedih dan kecewa yang kian bermaharaja lela di tubuhnya. Tiada patah kata yang meluncur dari bibirnya.

“Sebelum keadaan menjadi lebih buruk, baik kau keluar dari rumah ini. Keluar!” tengking Halim lagi. Perasaan Marissa Norhanis semakin tersentap. Hatinya bagai dilapah-lapah mendengar kata-kata Halim itu.

“Aku kata berambus, berambus! Kau…dan kau, berambus keluar dari rumah aku. Sekarang!”

Terketar-ketar tangan Halim mengurut dadanya yang berombak kuat. Pandangan matanya menikam tajam ke arah Marissa Norhanis sebelum beralih ke Zafran.

“Ayah….” Melihat keadaan Halim seperti kelelahan, Marissa Norhanis menerpa mendapatkan tubuh ayahnya. Semua yang ada di situ terpana. Masing-masing terkaku melihat tubuh Halim yang kian longlai di lantai.

“Aku kata keluar, keluar! Jangan kau balik lagi ke rumah ini. Sampai bila-bila, aku tak izinkan. Pergi, aku kata pergi! Pergi!” Suara Halim semakin kuat dan menekan, di saat Marissa Norhanis memegang bahunya.

Tiba-tiba Halim terbatuk-batuk dalam menahan perasaan marah yang sudah berapi-api di jiwa.

“Pergi, jangan sentuh aku! Jangan sentuh aku!”

Tatkala Marissa Norhanis cuba mengurut dada Halim yang kecungapan, ayahnya itu bertempik lagi. Hakim mendapatkan tubuh Halim.

“Ayah, bawak mengucap ayah. Bawak mengucap. Bersabar, beristigfar,” pujuk Hakim.

“Kim, kau suruh kakak bunuh aje lah ayah. Biar puas hati dia dah malukan ayah. Sekarang, kakak kau dah puas hati dapat bernikah dengan lelaki tu! Memang dasar anak derhaka. Pergi kau dari sini. Pergi, kau bukan anakku! Bukan!” kata Halim lagi. Antara marah dan tangis, Halim kemengahan.

Perasaan Marissa Norhanis kian tersentap. Sekeping hatinya bagai dicincang halus mendengar kata-kata Halim. Sungguh, Marissa Norhanis benar-benar kecewa dan sedih. Kemaafan yang cuba diraihnya gagal sama sekali. Keegoan seorang ayah menyebabkan dia terhukum dengan keadaan.

“Baiklah ayah. Kakak akan pergi.” Suaranya terlontar dalam sendu yang benar-benar menyeksa jiwa.

Marissa Norhanis mendapatkan Raudah Maryam. Tangan ibunya sempat jua disalami. Pipi ibunya itu dicium kiri dan kanan. Raudah Maryam tidak mampu berkata apa-apa tetapi Marissa Norhanis perasaan ibunya itu mengesat lelehan air mata dengan hujung lengan baju.

Melihat adegan sedih ini, Hakim tergamam. Perasaannya sebak. Hakim berasa sangat kasihan melihat keadaan Halim dan Raudah Maryam. Pada masa yang sama, dia turut bersimpati dengan kakak kembarnya itu. Kalau boleh, dia ingin memujuk Marissa Norhanis agar tidak pergi dari situ. Namun segalanya bagai tersekat di kerongkong. Perasaannya mula bercampur baur. Sebak dadanya bukan kepalang.

“Kim, jaga ibu dan ayah baik-baik ya. Maafkan kakak dengan keputusan ini.” Kata-kata Marissa Norhanis terkesan di kalbu.

Lambat-lambat Hakim mengangguk. Sungguh tak disangkanya, keluarga sakinah mereka begitu mudah berantakan. Sungguh tak diduga, Marissa Norhanis yang selama ini seorang anak yang taat dan berprinsip, begitu mudah terpujuk dengan cinta seorang lelaki. Marissa Norhanis berubah sama sekali kerana Zafran.

“Kakak, tolong…jangan pergi dulu.” Suara Hakim tersekat-sekat cuba menahan langkah Marissa Norhanis .

“Kakak, tunggu!” panggil Hakim lagi menyebabkan Marissa Norhanis termati langkah.

“Kim, jangan kau halang langkah kakak kau. Biarkan dia pergi dari rumah ni. Biarkan dia merasa pahit maung jalan yang dia pilih. Biar dia sedar hitam putih, perit jerih kehidupan.” Suara Halim lantang, keras dan menekan. Mata Halim mencerlung merah memandang Hakim. Perasaan marah Halim terhadap Marissa Norhanis berpindah kepada Hakim pula.

“Berambus, aku kata berambus! Jangan pernah lagi kau balik ke sini. Aku haramkan kau jejak kaki ke rumah ni lagi. Anak tak kenang budi. Anak yang memalukan keluarga. Kecik-kecik aku tatang kau baik-baik, dah besar kau pijak-pijak maruah aku. Huhhhh!” Halim bersuara lagi. Tubuhnya kian menggeletar menahan perasaan amarah yang berombak kencang di dada.

“Ayah , janganlah macam ni ayah. Bagilah peluang pada kakak. Ayah terimalah keputusan kakak baik-baik. Kita bincang perkara ni elok-elok.” Hakim memujuk rayu Halim.

“Eh Kim, kau jangan nak bela kakak kau pulak! Kau tahu bahana kakak kau tu? Kau tahu? Ayah menanggung malu Kim. Malu yang amat besar! Ayah seorang majistret tapi gagal membentuk anak sendiri. Anak aku sanggup kahwin lari sebab ikut jantan tak guna tu!” tengking Halim kepada Hakim. Tangan Halim menunding tepat ke wajah Zafran.

“Ayah dah gagal, Kim. Ayah dah gagal!” Suara Halim bertukar lirih.

“Ayah, maafkan kakak ayah. Tolong restui pernikahan kami ayah,” rayu Marissa Norhanis lagi. Dia yang mahu menapak keluar, berpatah ke belakang mahu mendapatkan semula tubuh Halim. Tangan Halim cuba dipegangnya. Namun sepantas itu juga, Halim menepisnya.

“Kau berambus Marissa , berambus! Pergi kau, pergi! Aku tak pernah punya anak derhaka macam kau!” Wajah Halim kian menyinga. Dia mencerlung tepat ke wajah Marissa Norhanis dan Zafran dengan perasaan marah berbaur benci dendam yang bukan sedikit.

“Ayah, bersabarlah. Kita bincang hal ni baik-baik. Kita bagi peluang kat kakak, ya?” Hakim masih tidak berputus asa memujuk Halim. Dia masih berusaha mahu meredakan kemarahan ayahnya.

“Arghhh, sudah Kim, sudah!Tak ada yang nak dibincangkan lagi. Jangan kau pujuk ayah untuk terima kakak lagi. Kau beritahu kakak kau tu, aku tak pernah ada anak macam dia. Jangan pernah datang ke rumah ni lagi. Aku haramkan dia jejak kaki ke sini!” Suara Halim yang menggigil menahan perasaan itu berakhir dengan tangisan.

“Ayah…” Melihat tangisan ayahnya, Marissa Norhanis tidak tertahan. Dia cuba memeluk tubuh ayahnya itu.

“Maafkan kakak, ayah. Maafkan kakak.” Marissa Norhanis merayu dalam tangisan yang panjang.Tangan Halim masih cuba dipegangnya. Namun, sepantas itu juga Halim menepis tangan Marissa Norhanis.

“Pergi! Aku kata pergi! Jangan pernah kembali lagi. Aku tak halal kau panggil aku ayah lagi! Pergi! Baik kau pergi sebelum kau tengok aku mati kerana kau!” Suara tangisan Halim bercampur tempikan semula.

“Ayah..”

“Jangan pernah panggil aku ayah lagi. Jangan ambik walau sesen pun harta benda kat rumah ni. Pergi! Pergi!” Tubuh Marissa Norhanis ditolak kasar. Marissa Norhanis terhenyak di lantai itu.

Zafran menerpa, mendapatkan tubuh isterinya. Bagi Marissa Norhanis, kata-kata Halim dan tindakan kasar ayahnya itu benar-benar menusuk jiwa.Tertikam tepat ke tangkai jantung dan hatinya. Air mata kian lebat berjejehan. Ayahnya sudah tidak mampu dipujuk lagi. Patah kata yang terbit dari mulut Halim cukup menggambarkan perasaan benci yang tak terbendung lagi.

‘Kalau benar ayah sudah tidak mahu mengampuni aku, untuk apa lagi aku merayu begini. Untuk apa lagi aku menunggu di sini andai caci cerca saja yang keluar dari mulut lelaki yang amat ku sayang ini. Sesungguhnya aku tidak pernah menyangka sebegini benci ayah kepadaku hanya kerana cintaku terhadap lelaki bernama Zafran.

Sesungguhnya rasa benci ayah sudah melenyapkan semua rasa kasihnya padaku selama ini. Apakah mungkin tiada lagi bakinya meskipun sekelumit cuma? Maafkan aku ayah. Tiada pernah terniat di hatiku untuk menjadi anak derhaka. Tak pernah ibu, tak pernah ayah.’ Marissa Norhanis bertempik dalam dirinya.

Sentuhan lembut Zafran di bahunya menyedarkan Marissa Norhanis daripada terlalu taksub dengan kesedihannya. Zafran memandang wajah Marissa Norhanis dengan rasa simpati yang melimpah ruah. Pandangan dan anggukan Zafran juga memberi maksud agar mereka pergi saja dari situ. Marissa Norhanis menyambut tangan suaminya. Zafran menggenggam erat tangannya. Marissa Norhanis tahu, Zafran cuba memulihkan semangatnya yang hilang tadi.

Jauh di sudut hati Marissa Norhanis , dia ingin memeluk ibunya saat itu. Namun segalanya bagai terhalang tatkala bercambahnya perasaan marah dan ego di ruang hati. Ego seorang anak terhadap kedua orang tuanya hanya kerana kemaafan yang cuba diraihnya sia-sia belaka. Marissa Norhanis melangkah kaki laju, keluar dari rumah itu.

Zafran hanya menyaingi langkah isterinya. Dia sendiri menjadi kelu dan bisu melihat titis air mata yang tak berhenti-henti di pipi isterinya. Zafran hanya memulakan bicara tatkala mereka sudah berada di dalam perut kereta dan sudah terlalu jauh meninggalkan rumah besar itu.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.