Home Novel Keluarga Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Azilah Wahab
26/8/2014 18:34:32
35,095
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 10

BAB 10


SKRIN LAPTOP dipandang lama-lama. Tiba-tiba, hatinya bagai tertusuk sembilu halus. Tajam menikam. Hatinya pedih. Pedih yang teramat sangat. Sebak dan pilu berdesup datang, membuatkan emosi jadi tidak tertahan. Perasaan rawan kian membelit segenap jiwa. Tanpa sedar, air mata hangat mengalir deras di pipi.

“Ibu, ayah, Kim, apa khabar kalian? Apa khabar semua orang-orang kesayanganku? Ya ALLAH, jagakan mereka Ya ALLAH. Jagakan mereka walau di mana pun mereka berada dan apa pun situasi mereka saat ini. Ya ALLAH, betapa rasa rindu ini benar-benar mencengkam jiwa, namun kenapa hati ini masih menolak untuk menghubungi sekalian mereka. Ampuni kakak ibu, ayah. Ampunilah hambaMU ini Ya ALLAH. Hati Marissa Norhanis berbisik kesal.

Sebenarnya, secara tidak sengaja fail gambar-gambar itu dibuka. Niatnya tadi, Marissa Norhanis mahu membuka gambar-gambar yang terakam antara dia dan Zafran ketika di Songkhla, juga ketika bercuti di Desaru. Dia mahu membuat video kenang-kenangan. Alang-alang dia duduk sesaja di rumah tanpa melakukan apa-apa kerja. Nak keluar tak diizinkan Zafran. Nak bekerja lagilah Zafran tak benarkan.

Demi mengisi masa senggangnya, Marissa Norhanis mahu membuat kejutan untuk Zafran. Dia mahu Zafran melihat hasil kreativitinya. Sudah beberapa buah lagu dipilihnya untuk dimasukkan ke dalam projek movie maker. Dah memang hobinya, suka membuat video sejak dulu lagi. Semua video-video kenangan semasa di sekolah dan bersama keluarga dijadikan koleksi peribadi.

Namun niatnya terbantut. Hajatnya tertangguh melihat wajah-wajah di skrin laptop itu. Marissa Norhanis terus menekan punat klik di setiap satu gambar yang terpampang di depan mata. Gambar ayah, ibu, gambar dia dan Hakim ketika bercuti di tepi air terjun, Sungai Congkak. Gambar mereka sekeluarga makan-makan bekalan yang disiapkan ibu. Ada jagung rebus, nasi goreng, keropok dan kekacang. Di tepi air terjun itu juga, mereka membakar ayam.

Mengimbas saat-saat itu, awal-awal pagi lagi mereka sekeluarga keluar ke Sungai Congkak. Dan yang paling teruja tentulah Marissa Norhanis.

“Dah siap semua ke Maryam?” Suara Halim menyapa telinga Marissa Norhanis yang sibuk membantu Raudah Maryam menyiapkan bekalan.

“Hampir selesai abang. Tikar dan bekalan mandian semua dah masuk dalam bonet ya?” soal Raudah Maryam. Dia mencuci tangan di singki setelah mengelap dapur. Segala urusan di dapur selesai.

“Sudah. Kakak? Semua okey?” tanya Halim.

“Ermmm…beres ayah. Rasanya semua dah complete. Mangkuk tingkat, air mineral, tupperware jagung, periuk ayam berbeku, pisau, pengepit, sudu, senduk, pinggan, mangkuk, gelas…” Marissa Norhanis berkira-kira semua barang di atas mejanya. Raudah Maryam turut menyemak barang-barang yang disebut anak gadisnya.

“Okey, kalau dah complete, meh Kim tolong sumbat dalam bonet.” Hakim mampir di dapur itu dan meringankan tulang.

Dia mencapai periuk berisi ayam berbeku yang diperap juga mangkuk tingkat. Halim pula mencapai botol mineral dan beg plastik berisi sudu dan senduk. Buah tembikai juga dikeleknya.

“Tempat nak bakar ayam dah bawakke ayah?” tanya Marissa Norhanis seraya membuntuti langkah ayahnya. Beberapa bekas untuk mengisi ayam berbeku turut dibawa. Raudah Maryam juga menyaingi langkah mereka.

“Dah, semua beres. Tapi mesti final check sebelum bertolak. Nanti, jangan ada yang tertinggal pulak.” Halim mengingatkan.

“Rasanya semua ok. Tak ada yang tertinggal pun,” kata Raudah Maryam dan Marissa Norhanis mengangguk bersetuju. Pagi yang hening itu, mereka memulakan perjalanan dari Setiawangsa ke Sungai Congkak yang terletak di Hulu Langat, Selangor.

Keterujaan Marissa Norhanis berganda-ganda memikirkan sudah lama mereka sekeluarga tidak mandi manda dan berkelah di tepi air terjun. Apatah lagi, cuti akhir tahun akan berakhir. Tidak lama lagi, sesi persekolahan akan bermula. Dia akan mendaftar masuk ke asrama penuh di Klang.

Perkelahan kali ini sudah lama dinantinya, apatah lagi kesibukan Raudah Maryam dan Halim atas tuntutan kerja. Malah, dia gembira kerana rajuknya sudah tidak bersisa lagi. Satu waktu itu, dia merajuk kerana kesibukan Raudah Maryam menyebabkan rancangan percutian mereka sekeluarga ke Disneyland terbatal.

Suara nyanyian di telefon bimbitnya, membuatkan layar ingatan Marissa Norhanis akan kisah lalu tiba-tiba terganggu. Terkedu dia sekejap mahu menjawab telefon itu sedangkan di minda, masih melekat wajah orang-orang kesayangannya. Moodnya tidak ada untuk dia menjawab panggilan telefon daripada Zafran. Dibiarkan saja telefon itu terus menyanyi dan menyanyi panjang. Penat menyanyi, akhirnya telefon itu berhenti sendiri.

Marissa Norhanis terus mengklik dan mengklik lagi setiap gambar dari dalam fail itu. Dia tersenyum sendiri melihat gambar-gambar itu. Gambar dia dengan mulut muncung sedepa. Wajahnya mencuka kerana merajuk dengan Hakim. Oh, Kim…rindunya kakak padamu. Sekalipun Hakim terlalu suka mengusiknya, menyakatnya, namun Hakim jualah teman paling rapat sejak kecil. Dia selalu terhibur dengan sikap kembarnya itu.

Cuma sejak tinggal di asrama, hubungan mereka menjadi tidak serapat dulu. Hakim pula terlalu sibuk dengan pasukan bola sepaknya. Peranan Hakim sebagai kapten pasukan memerlukan komitmen yang tinggi. Marissa Norhanis tahu yang adiknya itu berpotensi dalam sukan bola sepak sejak Hakim mewakili sekolah, daerah dan negeri. Hakim berpotensi tinggi untuk terpilih dalam skuad kebangsaan seperti mana yang diidam-idamkannya sejak dulu lagi. All the best Kim.Kakak doakan kejayaan Kim dari jauh, ya?

Maafkan kakak kerana tidak membalas mesej di yahoo mahupun facebook. Bukan mesej daripada Kim saja, tapi daripada ibu juga. Maafkan kakak kerana perlukan sedikit masa untuk memberi ruang kepada diri sendiri. Apa yang kakak lakukan demi sebuah ketenangan untuk meneruskan kehidupan ini.

Kakak berterima kasih akan perhatian ibu dan Kim, tapi kakak tidak boleh pulang ke rumah itu. Ayah telah mengharamkan kakak ke sana. Ayah sudah mengharamkan kakak menyebut nama ayah lagi. Jadi, apakah pilihan yang akak punya sekarang ini? Tipulah kalau kakak tak rindukan kalian. In sha ALLAH, tiba masanya kita kan bertemu. Kala itu, kakak berjanji pada diri sendiri untuk menjadi orang yang berjaya sebelum bertemu ayah. Bisik Marissa Norhanis penuh emosi.

Bunyi mesej masuk membuatkan perhatian Marissa Norhanis ke skrin lap top terganggu.

Dia mencapai telefon dan membuka peti mesej itu.

Sayang, tengah buat apa tu? Abang call tak angkat pulak. Abang nak bagitahu ni. Abang ada hal penting nak kena settle. It about bisnes. Abang akan ke Kedah sekejap lagi. Mungkin, esok lusa abang akan balik. Maaf, tak sempat nak jumpa sayang. Okey, take care. Luv u.

Mesej diterimanya daripada Zafran. Ke Kedah? Bisnes? Marissa Norhanis melepas nafas berat sebelum membalas ringkas mesej tersebut.

Baik abang. Jaga diri baik-baik. Luv u too!

Tidak pernah lagi sejak mereka bergelar suami isteri dia ditinggalkan sendirian di rumah itu. Tapi mulai hari ini, dia harus belajar melaluinya. Sebenarnya, Marissa Norhanis sudah terbiasa dengan kehidupan hari-hari lalu yang sering ditinggalkan sendirian. Hari minggunya banyak dihabiskan di rumah. Jarang-jarang dia keluar bersama kawan-kawan kerana sejak kecil dia tidak diizinkan keluar tanpa alasan yang kuat.

Berada di menengah rendah, Halim dan Raudah Maryam begitu menjaga pergaulannya. Tidak diizinkan dia keluar bergaul dan melepak sesuka hati. Tidak seperti kebanyakan anak-anak orang lain. Hujung minggu boleh saja berlepak-lepakan bersama kawan-kawan ke mana-mana. Berkaraoke, berboling atau ke mana saja. Ini tak, kalau nak keluar pun dengan Hakim, atau bersama ibu dan ayahnya.

Andai kata cuti sekolah panjang, saat Raudah Maryam dan Halim keluar bertugas di luar kawasan dan begitu juga Hakim yang perlu menjalani latihan bola sepak di situ sini, kesunyian berada sendirian di rumah sangat terasa. Sebab itulah, selepas keputusan PMR diperolehinya, Marissa Norhanis membuat keputusan tinggal di asrama. Dia merajuk dengan seisi ahli rumahnya.

Dia terasa hati kerana tidak mendapat perhatian mereka. Dia berasa sunyi setiap kali bersendirian di rumah itu. Tapi rajuknya tidak pernah disedari Raudah Maryam mahupun Halim. Alasannya untuk tinggal di asrama, ialah untuk berdikari. Tetapi sebenarnya dia mahu bawa diri. Ternyata, alasan itu, di terima baik Halim dan Raudah Maryam.

Marissa Norhanis terus menatap gambar-gambar itu. Selesai dari fail itu, dia membuka fail yang berisi gambar-gambar yang lain pula. Sememangnya, di dalam koleksi ‘picture’, terdapat beribu-ribu gambar yang dimuat turun di situ. Gambar keluarga dan kawan-kawan yang terkumpul sejak beberapa tahun yang lalu. Sejak dia menerima laptop itu daripada Halim. Hadiah memperolehi keputusan cemerlang dalam PMR. Raudah Maryam pula menghadiahkannya sebuah kamera. Sudah menjadi kebiasaannya, dua benda penting ini akan dibawa Marissa Norhanis ke mana-mana.

Ibu, ayah, miss u all much much. Kim…kalaulah dapat kita ulang kembali saat-saat indah bersama. Kalaulah kita dapat makan-makan, meluangkan masa bersama, solat jemaah, bermain boling, berkaraoke…arghhh! Rindunya semua tu. Sungguh, kakak sangat sayangkan kalian lebih daripada apa pun. Percayalah! Kakak sangat sayangkan keluarga kita.

Marissa Norhanis merintih hiba. Jiwanya sendu. Hatinya sayu. Tapi kenapa harus ada satu perasaan yang menghalang untuk dia menghubungi mereka? Kenapa? Diakah yang ego? Atau merajukkan dia kerana cintanya tak direstui? Atau mungkinkah dia khuatir hati sendiri akan terluka lagi dengan caci cerca Halim?

‘Telefon mereka, Marissa. Telefonlah. Dah lebih dua bulan semua tu berlalu. Jangan pernah berputus asa untuk berkata maaf. Mengalahlah. Kau anak. Mereka, ibu ayah kau. Mengalahlah, merendah dirilah. In sha ALLAH, mana tahu, hati mereka kan lembut untuk menerima kau kembali. Semuanya dengan izin ALLAH. Mana tahu kan, Zafran diterima baik untuk menjadi menantu mereka?’ Akalnya memujuk.

‘Tidak! Tidak! Aku tidak akan menghubungi mereka. Aku tidak akan kembali ke rumah itu selagi aku tidak berjaya membuktikan yang aku boleh berjaya. Aku juga boleh masuk universiti dengan status seorang isteri. Aku akan buktikan yang aku boleh menggenggam ijazah dan berjaya menjadi orang profesional seperti mereka.’ Hatinya pula menolak.

“Kami saling menyintai ibu. Kakak yakin dan percaya dengan Zafran. Kami sudah ambil keputusan untuk hidup bersama. Izinkan kakak bernikah dengan Zafran ya, bu?”

“Ermmm…tapi kakak, takkan secepat ni? Ibu dan ayah tak kenal pun lagi Zafran. Bawalah dia berjumpa dengan kami. Kita bawa berbincang. Tangguhkan dulu niat kakak tu…”

“Tapi bu, kenapa kena tangguh pulak?”

“Kakak…kakak masih terlalu muda sayang. Keputusan SPM baru aje keluar. Apa, kakak dah tak mahu sambung cita-cita kakak nak jadi seorang peguam?”

“ Ibu…orang yang dah berkahwin tak boleh sambung belajar ke?” usul Marissa Norhanis. Suaranya agak menekan.

“Kakak janji, bu. Kakak akan sambung belajar lepas kahwin nanti. Abang Zafran pun tak menghalang. Dia faham malah menyokong cita-cita kakak.” Marissa Norhanis bersuara yakin.

“Kerja apa Zafran tu?”soal Raudah Maryam.

“Bisnes!”

“Tapi, apakah kakak sanggup memikul beban tanggung jawab sebagai seorang isteri pada usia semuda ini?” soal Raudah Maryam dengan nada tegas. Seketika, Marissa Norhanis terdiam.

“Kakak, nak jadi seorang isteri memanglah mudah. Hanya sekali lafaz, kakak boleh menjadi isteri kepada Zafran tu. Tetapi beban tanggung jawab seorang isteri sangat besar. Banyak perkara yang perlu kakak fikirkan. Kakak baru dapat result SPM. Keputusan kakak cemerlang. 10 A1. Takkan tak nak futher study? Masuk u? Kakak belum bekerja, belum ada sumber kewangan sendiri. Nak bina rumahtangga, faktor ekonomi pun kena ambik kira juga.”

“Memang kakak nak futher study bu. Kakak dah fikir semua tu. Tolong izinkan kami bernikah bu. Abang Zafran lelaki yang baik.”

“Tapi takkan semuda ini? Apa, kakak tak boleh tunggu ke sampai habis belajar? Lagipun ibu tak kenal pun lagi Zafran tu!” bantah Raudah Maryam.

‘Ibu, fahamilah kami yang sedang bercinta ni. Dugaan bercinta sangat besar. Kakak tak mahu terlajak, melakukan yang bukan-bukan. Kakak tak nak terlanjur. Kakak sayangkan Zafran. Kakak cintakan dia! Kami saling mencintai.’

“Zafran? Kakak nak bernikah dengan Zafran? ” Satu suara garau menyampuk perbualan mereka. Halim tiba-tiba hadir di ruang dapur itu.

Marissa Norhanis tersentak. Kedatangan Halim langsung tidak disedarinya. Dalam pahit payau, lidahnya bagai terkejang melihat wajah Halim. Jelas air muka ayahnya nampak terkejut.

“Siapa Zafran?” soal Halim dengan nada tegas.

“Ayah…ermmm…kakak dah janji dengan Abang Zafran untuk bernikah selesai saja dapat resultSPM. Kakak rasa sekarang ialah waktu yang sesuai untuk kami mendirikan rumah tangga. Sebelum masuk u,” kata Marissa Norhanis takut-takut.

Pun begitu, adalah lebih baik dia berterus terang meskipun pergerakan kata-katanya tersekat-sekat. Alang-alang Halim dah bertanya. Halim dan Raudah Maryam saling berpandangan.

“Kakak! Kakak cakap apa ni?” tanya Halim lagi cuba memahami buah butir yang terucap dari seulas bibir milik Marissa Norhanis. Terpinga-pinga dan tidak percaya Halim apabila anak gadisnya berbicara soal nikah kahwin.

“Ayah, izinkan kakak ya…”

“Suruh Zafran tu jumpa ayah dulu!” Suara yang terlantun keluar dari bibir tebal Halim bernada tinggi. Antara terkejut dan tidak percaya, dia merenung dalam-dalam wajah Marissa Norhanis.

Keputusan yang dibuat Halim selepas Zafran bertemunya, Halim meminta mereka agar menangguhkan pernikahan itu sehingga Marissa Norhanis habis belajar. Namun kerana kemaruk cinta halal, sebab perasaan kasih yang membuak-buak, akhirnya Marissa Norhanis akur dengan cadangan Zafran. Cinta dan kasih mereka disatukan di Songkhla, Thailand.

Ya ALLAH, salah diriku kah dengan keputusan ini? Salah kami kah hanya kerana tidak mahu terlanjur berdosa? KAU Maha Tahu Ya Rabbi. Kami tidak pernah berzina. Tidak pernah sekalipun di sepanjang usia percintaan kami. Lantaran takutkan perkara itu berlaku, maka keputusan ini tega sekali kami putuskan.

Marissa Norhanis mengelap titis air mata yang berderai laju. Sungguh, tanpa rela, dia menangis. Perasaan rindu, kasih dan sayangnya terhadap mereka tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Tetapi mengapa mereka tidak mengerti akan makna cinta dia dan Zafran? Mengapa?

Marissa Norhanis mengklik ikon x, untuk memangkah setiap gambar-gambar yang terpampang di skrin laptop. Meladeni wajah-wajah orang kesayangannya, mengimbas kenangan lalu bersama mereka, cukup menyeksa jiwa batin sendiri. Dia tersenggut-senggut menahan tangisan sebelum berlari ke bilik air dan menghamburkan segala perasaannya di singki.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.