Home Novel Keluarga Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Azilah Wahab
26/8/2014 18:34:32
35,101
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 9

BAB 9


HALIM mengurut dadanya yang sakit. Episod kisah duka yang sesekali datang, ternyata mengganggu benaknya sepanjang hari. Perasaannya tidak lepas. Rasa marahnya terhadap Marissa Norhanis menjadi dendam kesumat. Kerana anak itu, dia menjadi mangsa umpatan. Sakitnya menahan umpat keji itu hanya ALLAH saja yang tahu. Ikutkan hatinya mahu saja dilempang pipi tembam Rosmah. Tetapi Rosmahkah yang bersalah dalam hal ini? Rosmahkah punca masalah mereka sekeluarga?

‘Arghhh, semakin difikir, semakin sakit kepalaku,’ rungut Halim seraya memicit-micit kepalanya yang semakin berat.

“Abang, abang okey ke ni?” soal Raudah Maryam menyedari wajah Halim sedikit pucat.

“Kalau awak tak nak ikut abang, terpulang. Keputusan abang nekad. Abang tetap akan mohon ditukarkan kerja ke daerah lain.”

Lagi-lagi itu yang dipersoal Halim kepada isterinya. Fikir Raudah Maryam, fikiran suaminya kusut sebab memikirkan rancangan untuk berpindah keluar dari daerah itu. Lewat kebelakangan ini, memang jelas Halim tertekan. Seperti mana Raudah Maryam berasa malu dengan sikap Marissa Norhanis, dia yakin Halim juga melalui hal yang sama. Raudah Maryam memang malu untuk berdepan dengan rakan-rakan di pejabatnya. Mereka tahu perihal kehilangan Marissa Norhanis.

Bagaimana huru haranya hidup Raudah Maryam dalam tempoh seminggu Marissa Norhanis hilang tanpa dikesan. Kawan-kawan sepejabat yang mententeramkan perasaannya. Merekalah yang banyak menyokong dan memberi kekuatan kepadanya. Tetapi setelah kisah Marissa Norhanis bernikah lari ke Siam terbongkar, dia berasa malu yang amat sangat. Mukanya dirasakan lebih buruk daripada kain pengelap kaki yang dipijak orang. Tika itu, betapa dia berasa sungguh terhina. Cerita tentang Marissa Norhanis merebak dengan begitu cepat, tanpa diketahui siapakah yang mula-mula menyebarkannya.

Biarpun Raudah Maryam tidak berdepan dengan cemuhan nyata di pejabatnya, namun dia tahu, pasti ada suara-suara sumbang yang bercakap di belakangnya. Pasti ada angin yang menokok tambah cerita, yang memburuk-burukkan mereka sekeluarga. Raudah Maryam cuba bertabah melalui semuanya meskipun imej dan reputasinya sudah tercalar teruk.

“Keputusan abang nekad!” ulang Halim lagi apabila Raudah Maryam terdiam lantaran larut dalam dunianya.

“Bang, saya belum bersedia nak pindah ke mana-mana lagi. Kalau kata, kakak balik dan tengok kita tak ada kat rumah ni macam mana? Kesian kakak, bang.”
“Maryam! Awak ni kenapa, hah?! Kakak! Kakak! Kakak! Tak habis-habis bercakap pasal kakak. Awak tahu tak, abang malu. Malu yang amat sangat. Kat pejabat abang, semua orang bercerita pasal kakak. Naik tuli telinga abang mendengarnya. Awak tahu tahu, kat cafe semalam, abang terkejut besar dengar dia orang bercerita yang anak kesayangan awak tu mengandung anak tak sah taraf. Huhhhh, patutlah dia gesa-gesa benar nak bernikah dengan jantan keparat tu. Nak tutup malu rupanya!”

“Astargfirullah hal azim, abang! Tolong jangan hina anak kita macam tu. Tak mungkin kakak terlanjur sejauh itu. Tak mungkin, bang. Kakak tak mungkin mengandung sebelum bernikah! Semua ni fitnah. Semuanya fitnah yang nak mengeruhkan lagi keadaan. Orang sengaja nak menokok tambah cerita tu. Semuanya nak porak perandakan keluarga bahagia kita aje.”

“Apa yang tak mungkinnya Maryam oiii? Anak awak tu sanggup ke Siam sebab bernikah dengan jantan tu dengan tergesa-gesa, kerana sebab tu lah kut! Maryam, Maryam! Kita sebenarnya masih tak kenal anak kita sendiri. Kita terlalu manjakan sangat kakak sampai dia sanggup conteng arang ke muka kita macam tu saja. Semata-mata nak capai matlamat dia!”

“Sudahlah, bang. Sudah! Saya tak percaya. Semua ni bohong bang. Semua ni bohong! Fitnah belaka. Mereka sengaja mereka cerita sebab nak burukkan lagi nama kakak dan keluarga kita.” Raudah Maryam sudah mengogoi panjang di kerusi itu.

Cerita yang dibawa suaminya itu membuatkan jantung hatinya bagai dicincang lumat. Semangat roh dalam dirinya bagai melayang-layang. Sungguh, dia tidak bermaya untuk memikirkan semua itu lagi. Benaknya tepu. Segalanya kusut.

“Sampai aku jadi semakin benci dengan anak tu. Benci, arghhhh!!” marah Halim lagi sambil menumbuk badan meja makan. Raudah Maryam yang sedang menangis, terperanjat besar dengan emosi luar biasa suaminya.

“Madu yang aku bagi, tuba yang dia balas. Kalau itu jalan yang dia pilih, teruskanlah. Memang dasar anak derhaka! Derhaka!” Halim menjerit lantang.

Tangannya masih tak sudah-sudah menumbuk badan meja makan. Berdebab-debuk bunyinya.
“Abang, buat mengucap bang. Mengucap. Jangan terlalu cepat melatah dengan khabar angin. Kita tak tahu lagi sejauh mana kebenarannya. Naluri saya kuat mengatakan yang kakak tak pernah terlanjur sebelum kahwin.”

“Sudahlah, Maryam! Naluri konon! Tak habis-habis dengan naluri awak tu. Satu perkara yang abang nak beritahu awak, buat masa sekarang, abang jadi percayakan orang lain berbanding anak awak tu. Cukuplah dengan segala tindakan dia yang di luar dugaan. Cukuplah dengan pernikahan dia kat Siam tu tanpa restu kita. Apa, awak tak rasa ke? Sikap kakak tu jelas tak menghormati kita lagi?

Apa lagi yang kita harapkan daripada dia? Dia akan balik kat rumah kita? Nak mohon ampun daripada kita. Huhhhh! Tak mungkin dan tak akan. Sebab dia dah malu. Rahsianya dah terbongkar. Pekungnya dah membisul, bernanah dan berbaur hanyir. Sorok macam mana pun, tetap orang tahu.”

“Astargfirullah hal azim abang. Buat-buatlah mengucap. Kasihan kakak dituduh macam-macam. Pulak tu, bukan daripada orang lain, daripada ayahnya sendiri.”

“Habis tu? Awak nak suruh saya buat apa?”

“ Abang, tolonglah…kita bagi kakak peluang ke dua. Kakak wajar dimaafkan kalau dia tersilap. Kakak tak pernah buat silap macam ni. Dia tak pernah kecewakan kita, kan bang? Apa salahnya kita tunjukkan dia jalan yang benar kalau kata dia tersalah pilih jalan? Kalau kata kita sisihkan dia kerana kesilapan yang dia buat itu, saya takut dia akan terus buat lebih banyak silap.

Buat masa sekarang, kita kena bagi sokongan kat dia. Buruk baik pun kakak, dia tetap darah daging kita. Kalau benar pun kakak mengandung, cucu yang dikandungnya pun, cucu kita.” Raudah Maryam bersuara tersekat-sekat. Sebak dan sesak dadanya.

“Awak jangan buat darah saya mendidih, Maryam! Silap haribulan, muka awak tu saya lempang. Jangan sesekali bercakap pasal cucu dan keturunan!” teriak Halim lantang membuatkan Raudah Maryam mengogoi lagi.

“Maryam, abang tak pernah berasa teruji sebegini teruk seperti mana yang kakak buat terhadap keluarga kita!” Halim bersuara mendatar setelah tangisan Raudah Maryam mulai reda.

“Tapi abang tahu, seorang suami akan diuji kerana isterinya. Begitu juga seorang isteri, akan diuji kerana suaminya. Seorang ayah akan diuji kerana anak-anaknya. Dan seorang anak juga akan menerima ujian kerana ibu dan ayahnya. ALLAH sedang menguji kita, Maryam. Masya ALLAH, sungguh getir ujian-MU ini Ya Rahman, Ya Rahim.” Halim bersuara sebak. Kelopak matanya sudah basah dan bergenangan dengan cecair lisosim. Tanpa rela, dia kalah dalam tangisan.
“Abang, saya mintak maaf banyak-banyak. Saya tak berniat nak menyinggung perasaan abang. Tapi abang tu seorang majisteret. Takkan secepat ini abang menghukum seorang pesalah hanya kerana kita tak pernah mendengar segala alasan-alasan atas sebab yang dilakukannya. Abang ada bukti ke yang sahih ke, kakak mengandung sebelum kahwin?” Dalam sisa sendu, Raudah Maryam berkata-kata. Sesak dan sebak jiwanya mengenangkan tengkingan Halim tadi.

“Arghhhh, sudahlah! Bercakap dengan awak ni buat kepala otak saya semakin peninglah!” Tangisan Halim bertukar ego. Tiba-tiba saja dia beramarah apabila Raudah Maryam membela Marissa Norhanis.

“Abang…saya bukannya menyokong tindakan kakak. Kakak memang bersalah dalam hal ini. Tapi bang, saya merayu… kita bagi kakak peluang ke dua, ya?” rayu Raudah Maryam sambil memeluk belakang tubuh Halim. Air mata semakin berjejehan di pipi.

Please ya bang. Lagipun, mungkin silap kita juga yang terlalu mengatur masa depan kakak. Kita halang dia orang nak bernikah.”

“Bila masa pulakabang halang? Abang mintak tangguhkan saja. Biar kakak habis belajar dulu…”

“Saya tahu bang. Tapi, tempoh empat tahun tu lama sangat bang, untuk orang yang sedang bercinta.” Raudah Maryam bersuara. Nadanya mendatar.

Kesal juga andai difikirkan keputusan yang dibuat mereka. Walhal, Zafran memang ada datang ke rumah mereka. Zafran pernah meminta izin dia dan Halim agar cinta mereka disatukan lebih awal.

Halim tidak membalas akan kata-kata Raudah Maryam. Namun rengusannya panjang.

“Hati saya pun pernah sakit. Pernah kecewa dan terkilan. Marah tak usah cerita. Tapi macam mana-mana pun, kakak tetap anak kita bang, dunia akhirat. Dari sudut lainnya, memanglah kita nampak kakak macam kurang ajar sebab membelakangi kita. Sebab mencemarkan maruah kita dengan keputusannya bernikah di Songkhla tu. Tapi saya tahu, kakak buat macam tu sebab nak buktikan sesuatu agar dia tak dapat lebih perhatian kita. Kakak tu nak halalkan hubungan dia dan Zafran. Saya percaya, kakak tak pernah mengandung sebelum bernikah. Bulan lepas, kakak periodmacam biasa. Selang beberapa hari saja dengan saya.”

Halim terdiam lagi. Seketika, suasana sepi tanpa bicara mereka.

Please ya, bang. Kita bagi kakak peluang ya? Terima dia dan restui sajalah pernikahan mereka. Lepas tu kita pujuk kakak sambung belajar. Sayang result bagus macam tu…”

“Tapi Maryam, kakak tu telefon kita pun tak pernah kan? Selepas dua bulan berlalu, awak masih nak berharap dia pulang ke sini? Kakak tu dah bahagia dengan laki dia. Jadi, kita dah tak diperlukan lagi. Awak saja yang masih terhegeh-hegeh ingatkan dia, sedangkan dia tak tentu lagi ingatkan kita!” Menggigil-gigil tubuh Halim mengeluarkan ayat-ayat itu. Antara sebak dan marah, dia mahu bertenang dalam memberikan pendapat.

“Abang…kalau dia tak telefon kita, apa salahnya kita yang telefon dia bertanya khabar,” cadang Raudah Maryam.

“Sudah, tak payah! Dia dah tak ingat kita sebagai ibu ayahnya. Nak telefon buat apa?” Halim beremosi lagi.

“Abang, abang tak rasa ke kita pun ada buat silap dalam konfliks ni? Kita pun terlalu berkasar dengan dia bang. Abang pun tak mahu bertolak ansur dengan anak sendiri. Malah abang halau dia. Abang haramkan dia jejak kaki kat rumah ni, macam mana dia nak balik lagi?” Lembut suara Raudah Maryam memujuk Halim.

“Sudahlah Maryam, sudah! Jangan awak ungkit hal tu lagi. Jangan kerana budak tu, kita pulak berperang.” Halim merengus panjang melihat wajah sebik isterinya. Pantas, dia berlalu ke bilik tidur. Raudah Maryam terkulat-kulat sendirian di ruang makan itu mengenangkan anak dan suaminya.

Air mata kian menghujan lebat di pipi. Cepat-cepat Raudah Maryam menyapunya dengan hujung lengan baju. Perasaannya masih terlalu sedih mengenangkan Marissa Norhanis. Memang benar, untuk apa lagi mereka bertegang urat kerana Marissa Norhanis. Kelak hubungan mereka suami isteri pula yang berantakan. Silap hari bulan, mereka pula boleh bercerai berai.

Dalam keadaan marah dan tertekan sebegini, baiklah mereka jangan bercakap apa-apa lagi. Benar, memang sukar untuk membuat satu keputusan yang tepat dan adil apabila emosi marah mendahului akal yang tenang.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.