SURIA memancarkan sinaran, menerangi alam
semesta. Bunga-bunga mawar yang berkembangan di halaman rumah Mak Bedah seolah
melambai-lambai apabila dibelai angin bayu. Harum bunga melur yang sedang lebat
berbunga dicelah-celah pohonnya yang merimbun di tepi tangga menyamankan udara
pada tengah hari itu. Begitu agungnya kekuasaan TUHAN yang mampu mengadakan apa
sahaja untuk faedah makhluk ciptaan-NYA. Untuk dipandang keindahannya, dihidu
harumannya, bahkan untuk segala-galanya. Semuanya telah disempurnakan oleh DIA.
Beberapa orang tetamu sedang duduk di anjung
rumah itu. Mereka yang baru sahaja datang berbual-bual mesra beberapa ketika. Dulanghantaran sebanyak tujuh dulang bersusun di
atas lantai di ruang tamu rumah Mak Bedah dan Pak Yusof. Sebenarnya mereka
terkejut menerima tetamu yang tidak diundang itu.
“Beginilah, Encik Yusof, Puan Bedah. Kita ringkaskan majlis hari ini. Sekarang
ini saya mewakili pihak lelaki ingin tahu jumlah hantaran yang pihak perempuan
inginkan,” kata Pak Cik Dali yang menjadi jurucakap bagi keluarga lelaki dalam adat
meminang itu.
“Yalah, hantaran tu janganlah sampai tidak mampu ditanggung oleh anak saya. Ikhwan
tu sedang belajar lagi,” sampuk Mak Cik Tijah tiba-tiba.
“Minumlah... soal hantaran tu biar kami suami isteri berbincang dulu,” kata
Mak Bedah berbasa basi. Dia terus menghidangkan minuman dan sedikit juadah
untuk tetamu. Kopi Odan pisang goreng yang masih panas.
“Jemput minum ya!Jangan segan-segan,”pelawa Pak Yusof
dengan ramah. Setelah itu dia mengekori Mak Bedah yang mencuit mengajaknya ke
dapur.
“Saya nak hantaran RM10,000 serba satu,” bisik Mak Bedah di telinga Pak
Yusof.
“Tak boleh kurang satu ringgit pun. Tak ada tawar menawar!”tegasnya.
Dia tidak peduli apa orang lain akan kata. Dayana anaknya dandia berhak
menentukan jumlah hantaran serta maskahwin untuk anak kesayangannya itu.
“Hisy! Awak dah gila ke?”jawab Pak Yusof dengan nada terkejut. Ungkapan yang
terkeluar daripada bibir Mak Bedah tidak diduganya sama sekali. Nampak seolah
isterinya itu sudah berubah sikap. Daripada seorang yang pemurah dan mudah
berunding kepada seorang yang tamak haloba dan tidak boleh dibawa berbincang.
“Nanti orang kata kita nak menjual anak pulak! Tak baik,” nasihat Pak Yusof
tanpa mengetahui niat yang tersembunyi di hati nurani isterinya.
“Awak,Cik Tijah tu sebenarnya tak mahu bermenantukan Yana. Dia
kata anak kita tak sama taraf dengan anaknya, Ikhwan yang berpendidikan tinggi.
Sedang belajar di universiti di luar negara. Tak lama lagi, Ikhwan akan jadi
arkitek. Jadi tak sesuai beristerikan Yana,” cerita Mak Bedah bersungguh-sungguh
sambil membisikkan segala kata-katanya.
“Mana awak tahu?”tanya Pak Yusofdengan perlahansambil merenung wajah
isterinya.
“Saya dengar dia mengumpat Yana di kedai runcit Abu, senja semalam. Saya
dengar sendiri. Dia tak perasan saya ada di situ, sebab sedang seronok mengumpat
anak kita,” sambung Mak Bedah lagi masih berbisik di telinga Pak Yusof.
“Tak apalah kalau begitu. Saya akan beritahu hantaran yang kita mahukan, RM15,000
serba satu,” kata Pak Yusof pula. Mereka beredar kembali ke anjung setelah
bersepakat dan bersatu hati dalam membuat keputusan.
“Apa? Lima belas ribu? Tinggi sangat Cik Bedah! Yana tu, apa
yang dia ada? Sekolah pun setakat SPM aje. Tak bekerja pulak tu. Takkan sampai 15
ribu hantarannya. Kalau 1500 tu saya sangguplah. Itu pun dah kira mahal!”kata
Mak Cik Tijah dengan suara sinis.
“Yana tu kan bekerja sendiri, Cik Tijah!”sanggah Mak Bedah sambil tersenyum
menahan sabar. Wajahnya terpaksa dimanis-maniskan sewaktu mengungkapkan
kata-kata itu sebagai tanda menghormati tetamu yang datang ke rumahnya.
“Alah! Kalau setakat buat kerepek pisang, kerepek ubi, kuih tradisional tu, takkan nak letak hantaran macam artis popular,” sindir
Mak Cik Tijah lagi. Hatinya mula rasa dipanggang.
“Kecil-kecil bisnesnya tu, ada jugak pendapatannya Cik Tijah! Dalam sebulan,
dapat tujuh lapan ratus ringgit,” jelas Mak Bedah lagi dengan suara yang
sengaja diramahkan serta merendah diri.
Mak Cik Tijah mengetap bibirnya dan terkumpal-kumpal tidak
tahu untuk mejawab apa. Sememangnya dia sudah mengetahui tentang bisnes gadis
itu. Kerepek, kuih-kuih tradisional dan kek buatannya sudah terkenal dan
menjadi kegemaran ramai. Dia juga sudah faham sangat dengan cita-cita gadis itu
untuk menjadi usahawan yang berjaya.
“Tak apa, Cik Tijah! Lebih baik Cik Tijah berbincang dulu
dengan Ikhwan. Lepas tu kita berunding lagi,” sampuk Pak Cik Yusof dengan
tenang. Harapannya agar wanita berhati besar itu tidak terkoyak perasaannya
dengan penolakan mereka itu. Mata Mak Cik Tijah memberi isyarat kepada ahli
rombongannya. Wajahnya yang mencuka terpaksa dimanis-maniskan. Sungguh dia
tidak menduga yang Mak Bedah dan Pak Yusof meletak jumlah hantaran semahal itu.
“Kalau begitu kami beredar dululah. Terasa panas pulak
lepas minum kopi O tadi,” kata Mak Cik Tijah sambil berpura-pura senyum.
“Dulang-dulang hantaran ni bawa balik dululah,” sampuk
Mak Bedah pula dengan manis muka. Pak Yusof dan Mak Bedah menghantar rombongan
meminang sehingga ke kereta.
“Dia ingat anak kita tak laku sangat! Geram betul saya
dengan mulut Tijah tu,” kata Mak Bedah sebaik sahaja kereta-kereta tetamu
bergerak meninggalkan halaman rumahnya.
“Ikhwan tu takkan tak mengikut perangai maknya satu hari
nanti!”tukasnya.
Pak Yusof sempat menjeling apabila mendengar kata-kata itu. Nampak benar isterinya itu
sedang marah. Bersungguh-sungguh marahnya.
“Jika dibandingkan Ikhwan anaknya itu, saya lebih berkenan dengan pemuda
yang hantar Yana balik dari hospital tempoh hari. Maknya pun baik. Cepat mesra.
Tak berlagak!”sambungnya lagi. Hatinya memang tidak boleh serasi dengan orang
sombong dan berlagak. Bercakap besar macam dunia ini kepunyaan dia!
“Siapa? Akif?”soal Pak Yusof. Matanya membayangkan wajah
pemuda itu. Agak lama juga dia mengenalinya. Pemuda berperibadi sederhana itu, dia
pun berkenan.
“Siapa lagi...” jawab Mak Bedah sambil tersenyum meleret. Entah mengapa
hatinya begitu terpaut hati dengan perwatakan pemuda itu.
“Bertuah badan kalau dapat bermenantukan Akif tu,”tukas
Pak Yusof sambil meleretkan senyuman.
HEMBUSAN angin petang mengusap wajahnya. Ikhwan yang sedang bermenung di
muka jendela anjung rumah gelisah di dalam penantian. Keresahan terus merajai
sanubari di saat menunggu kepulangan emaknya yang pergi melamar kekasih hati. Bunyi
hon kereta dari halaman rumah, menyebabkan dia segera menerpa muka pintu. Hatinya
berdebar bercampur cemas apabila melihat seorang demi seorang yang keluar dari
kereta membawa balik dulang hantaran. Bagaikan dapat meneka sesuatu yang tidak
elok Ikhwan terus menuruni tangga seolah-olah tidak sabar untuk bertemu dengan
emaknya.
“Padan muka!Pinangan
kau ditolak mentah-mentah!”beritahu Mak Cik Tijah sebaik sahaja sampai ke kaki
tangga. Belum sempat Ikhwan berkata atau bertanya sesuatu pun. Perkhabaran itu
seolah-olah mengapak dan mencincangkan hati anakmuda itu menjadi menjadi
cebisan-cebisan kecil.
“Apa mak? Pinangan ditolak? Mustahil...saya tak percayalah,”kata Ikhwan
dengan nada kecewa. Reaksi emaknya yang membuat muka kering semakin menusuk
hati.
“Betul ke, Ayah Da?”soal Ikhwan kepada Pak Cik Dali yang
dipanggilnya Ayah Da apabila emaknya enggan memberi penjelasan.
“Bukannya ditolak, tetapi mereka suruh berunding dulu tentang hantaran yang
hendak dibawa,” terang Pak Dali.
“Kenapa? tanya Ikhwan sambil mengerutkan wajah. Matanya mengecil sewaktu
melihatwajah Pak Dali dan emaknya.
“Mak kamu tu! Dia ingat Yana tu kambing biri-biri ke? Nak mintak anak dara
orang, hantaran rendah-rendah. Ungkit pasal Yana tak ada kerjalah. Yana hanya ada
SPM sajalah,” cerita Pak Dali dengan suara kuat.
“Langsung tak hormat pada perasaan orang lain. Bercakap
ikut sedap mulut dia aje,” tempelak Pak Dali pula.
“Dah memang Yana tak bekerja, kan? Sekolah pun setakat tingkatan 5 aje. Seluruh
kampung ni dah tahu tentang itu! Takkan hantaran kahwin macam primadona pulak!”tempelak
Mak Cik Tijah sempat lagi menyindir.
“Mak Bedah mintak hantaran berapa?”tanya Ikhwan kepada Pak Dali.
“RM15,000serba satu. Yang mak kamu beritahu kepada Mak
Bedah kamu, seribu lima ratus aje dia sanggup,” cerita Pak Dali lagi.
“Dia ingat Yana tu janda ke?”soal Pak Dali dengan nada
tidak puas hati dan marah.
“Astaghfirullahalazim. Saya dah beritahu pada mak, jangan
tawar-menawar soal hantaran,” kata Ikhwan sambil meraup wajahnya berulangkali
dengan perasaan kesal.
“Saya dah berjanji dengan Yana. Kepulangan saya ini sebab
nak menguruskan hal kami berdua. Saya nak bernikah dengannya dan akan bawa dia
ke sana,” jelas Ikhwan dengan nada kecewa.
“Berapa hantaran pun saya sanggup, sebab saya memang
cintakan dia,”ujarIkhwan sambil menghela nafas dan melepasnya dengan deras.
“Banyak duit kamu!”sanggah Mak Cik Tijah lagi sambil menjegilkan matanya. Ikhwan
hanya menjawab dengan keluhan. Mustahillah dia sanggup berjanji jika tiada
kemampuan.
“Mak kan tahu, di sana Ikhwan bukan pernah buang masa! Kalau tak ada kuliah,
Ikhwan bekerja. Jadi apa yang mak nak risaukan pasal duitnya,”rungut Ikhwan
dengan nada kesal. Tambatan kecewa yang sedang mengikat hatinya begitu
menyakitkan.
“Beginilah, Ikhwan. Nanti kamu berundinglah sekali lagi
dengan mak dan ayah kamu. Kalau ada persetujuan nanti, Ayah Da sanggup pergi
sekali lagi ke rumah Mak Bedah tu, pinangkan Yana untuk kamu,” janji Pak Dali.
“Tak payah nak runding-runding lagi! Tak payah kahwin dengan dia! Apa kamu
ni tak ada maruah ke, Ikhwan? Sudah dihina begitu pun masih terhegeh-hegeh. Macam
kemaruk sangat kepada Yana tu,” tingkah Mak Cik Tijah kasar. Matanya menjeling
geram.
PerasaanIkhwan benar-benar buntu dengan sikap emaknya. Ketenangannya
tiba-tiba lenyap. Kedamaian hatinya seolah terpadam. Hati yang meretak terus
terpatah. Duka pun ternganga.
“Mak Bedah kamu tu tak sedar diri! Dia ingat Yana tu cantik sangat. Tak
kuasa mak nak benarkan kau keluarkan duit berbelas ribu ringgit untuk hantarannya
tu,” kata-kata kesat yang terungkap daripada bibir emaknya seolah menggigit
anak telinganya.
“Kalau kau dah nak beristeri sangat-sangat nanti mak carikan! Yang lebih
cantik dan berpelajaran tinggi, baru sepadan dengan kau,”sambungnya lagi sambil
mengembang kempiskan hidungnya.
“Mak!! Tak baik mak menghina Yana begitu. Tak cantik di mata mak, tetapi
cantik di mata saya dan semua orang yang melihatnya,”balas Ikhwan cuba membela
kekasih hatinya itu.
“Ikhwan! Selagi ada umur mak ni, jangan sesekali kamu ambil Yana menjadi
isteri kamu! Kalau kamu ingkar juga! Derhaka kamu!”