MEMANG benarlah hidup ini bagaikan sebuah titian yang perlu dilalui
oleh setiap insan di dunia ini. Oleh itu merentaslah di titian yang teguh yang
dibina dari kayu-kayu keimanan yang kukuh. Jika tidak, tertewaslah hati untuk
menempuhi segala ujian dengan berlapang dada.
Subhanallah. ALLAHUAKBAR. Astaghfirullahalazim. Ya ALLAH,rintih hati
Dayana. Peristiwa yang baru dialaminya sebentar tadi benar-benar menguji
kesabarannya. Tidak pernah dia dimaki hamun dan dipukul di khalayak ramai
begitu. Perasaan Dayana benar-benar keliru. Sungguh dia tidak menduga gadis
yang dikenalinya sebagai Rosnani itu benar-benar mencintai Akif. ‘Cinta gila’ nya
itu telah menyebabkan akalnya menjadi buta dan tidak sedar apa yang
dilakukannya. Lantaran amukan cintanya itu, gadis itu telah memalukan dirinya
sendiri dan orang lain.
Dayana berasa amat malu dengan peristiwa tadi dan tidak dapat lagi
mengawal kesedihannya. Dia memandu kereta untuk balik ke rumah dengan derai
airmata.Terperanjat besar
Mak Bedah apabila melihat Dayana terkocoh-kocoh keluar dari kereta Kelisanya
sambil menangis. Pipi anak kesayangannya berdarah.
“Kenapa ni, Yana?”spontan bibirnya bertanya. Terasa
sayang melihat pipi gebu dan licin Dayana tercedera bagai dicakar.
“Terkena dawai, mak!”Itulah jawapan kepada emaknya supaya
emaknya tidak menyoal selidik. Dayana menekap pipinya dengan tisu. Airmata yang
mengalir di pipi segera disekanya dengan telapak tangan.
“Macam mana pula boleh terkena dawai?”soal Mak Bedah
seolah-olah curiga dengan jawapan yang diberikan oleh anaknya tadi.
“Alah, dah nak terkena nak buat macam mana! Terima
sajalah. Kecil sangat ujian yang ALLAH bagi ni..Itupun mak nak risau,” jawab
Dayana sambil ketawa. Kelaraan jiwa serta-merta terusir dengan perhatian yang
ditunjukkan oleh emaknya.
“Cepat letak ubat. Kalau tidak, berparut muka tu nanti,”suruh
emaknya sambil merenung sayang. Dayana terus melarikan diri ke bilik. Sampai
sahaja ke dalam bilik dia terus menangis sepuas-puasnya. Perasaannya semakin
keliru. Dia bertapa di dalam biliknya sehingga waktu Maghrib.
Tidak dapat dielakkan fikirannya terus melayang kepada
peristiwa petang tadi.
‘Buat apa kau rampas kekasih aku! Kau tak
tahu malu ke?Akif aku punya! Kenapa kau menggatal nakkan dia jugak! Kau tak
tahu ke yang aku cinta pada dia! Dia pun cinta kepada aku!
Suara Rosnani terus terngiang-ngiang di telinga dan
berbekam di hatinya. Perasaan Dayana terus berkecamuk. Jiwanya yang semakin
resah terus menghimpit perasaan. Kesedihan yang disembunyikan semenjak tengah hari
tadi berderai juga melalui airmata. Suara marah Rosnani terus terngiang-ngiang
di telinganya.
‘Diam! Perempuan tak malu! Perampas!’.
Kata-kata itu yang terlontar dari bibir Rosnani
benar-benar mencarik hatinya. Dia berasa terlalu hina. Lebih hina daripada anjing
kurap yang selalu menggeledah longgokan sampah di pasar Parit Buntar. Dayana menangis
sepuas hatinya. Perasaannya terus buntu dan keliru. Kebuntuan dan kekeliruan
itu tidak mungkin terleraikan
dengan begitu sahaja. Dia inginkan penjelasan daripada Akif. Bayangan Akif
serta Rosnani terus menari-nari dipelupuk matanya.
‘Apakah yang telah terjadi sebenarnya? Akif, Yana tak
faham! Mengapa Ros marah-marah dan menuduh Yana yang bukan-bukan? Sedangkan
kita tidak ada perhubungan apa-apa pun,’rintih hati Dayana. ‘Yana pun belum
memberi jawapan kepada permintaan Akif tempoh hari,’ bicaranya sendiri.
Dayana tidak menyangka gara-gara Nisah memperkenalkannya
sebagai tunangan Akif kepada Rosnani, dia diserang oleh gadis itu. Deringan
telefon bimbit berulang kali minta dilayani. Tidak sempat menjawab panggilan
telefon terdengar laungan emaknya dari luar pintu bilik.
“Yana! Keluarlah dari bilik tu. Tengok siapa yang datang
ni,” panggil Mak Bedah dengan suara kuat.
“Siapa mak?”soal
Dayana sambil menjengukkan mukanya di pintu bilik. Dadanya dipalu debaran tidak
semena-mena.
“Adalah... cepat
keluar! Pakai tudung,” pesan Mak Bedah lalu meninggalkan Dayana. Selepas
berdandan seadanya, Dayana pun keluar dari bilik dan menuju ke anjung rumahnya.
“Ha! Itu pun, Yana! Kau orang berbuallah! Pakcik ke dapur,
tolong mak cik kau apa yang patut,” kata Pak Yusof sambil beredar dari ruang
tamu.
“Assalamualaikum...”sapa pemuda yang bersama dengan Pak
Yusof sebentar tadi sambil melontarkan senyuman mesra kepada Dayana. Berderau
darah Dayana apabila melihat tetamu yang sedang menunggunya.
“Ikhwan... waalaikumussalam! Bila balik? Tak cerita pada
Yana pun?”soal Dayana bertubi lalu duduk di hadapan Ikhwan. Mata mereka saling
bertatapan beberapa ketika. Dayana terharu dengan kunjungan pemuda itu. Saat
hati dilanda badai resah dan dikepung duka, senyuman dan wajah redup pemuda itu
melegakan perasaannya.
“Ikhwan sampai pagi tadi,”jawab Ikhwan. Matanya terus
menjilat ke wajah Dayana. Wajah tanpa sebarang alat solek itu padat dengan
keindahan yang tersendiri.
“Pipi Yana kena apa?”soal Ikhwan sambil merenung wajah
gadis yang sedang dirindui itu.
“Kenapa menangis?”tanya Ikhwan lagi apabila melihat mata
Dayana yang masih basah. Dayana ketawa kecil sambil melarikan pandangan.
“Taklah! Yana baru selesai solat maghrib.”Dayana memberi
alasan sambil bibirnya mengukir senyuman. Cepat-cepat jarinya mengesat matanya
yang basah.
“Pipi tu?”soal Ikhwan sekali lagi. Matanya terus merayapi
ke pipi gadis itu.
“Hmm, terkena dawai! Alah, sikit aje. Esok lusa baiklah,”
jawab Dayana selamba. Dia meraba-raba kesan cakaran kuku Rosnani tadi. Kepiluan
yang mewarnai hatinya, cuba dihakis.
“Ikhwan cuti berapa lama ni? Wah! Nampak sihat dan ceria
ya! Mesti seronok duduk kat sana,” ujar Dayana mesra. Mengalih perbualan
berkenaan dengan kecederaan di pipinya. Tidak diduganya Ikhwan akan datang
mengunjunginya pada malam itu. Di saat hatinya melara.
“Ikhwan cuti empat bulan. Di sana sedang musim sejuk,” beritahu
Ikhwan sambil meleretkan senyuman.
“Dah lama Ikhwan tak balik, kan?”tanya Dayana riang. Ikhwan
mengangguk dan sempat senyum kepada Dayana yang sedang merenung kepadanya.
“Hmm... dah lama jugak! Dua tahun rasanya. Rindu dah
berkepul-kepul di dalam jiwa,” katanya lagi sambil mengusap-ngusap dadanya. Dayana
yang melihat telatahnya menyeringai seketika.
“Alhamdulillah! Tahun ni terbuka pula pintu hati Ikhwan
nak balik kampung,”ujar Ikhwan.
“Balik ni pun cadangnya nak uruskan hal kita,” beritahunya
dengan ramah. Senyuman tidak lekang menghiasi bibirnya.
“Hal kita? Hal apa?”soal Dayana lembut dan lambat-lambat.
Matanya merenung ke wajah Ikhwan. Pada saat itu dadanya dipalu debaran. Jiwanya
dilanda keresahan.
“Hmm...Yana tadi Ikhwan dah mintak kebenaran daripada Pak
Yusof untuk bawa Yana makan malam di luar. Nanti kita boleh berbincang,” beritahu
Ikhwan. Pertanyaan Dayana tadi terbiar tanpa jawapan. Matanya terus menatap
wajah gadis yang tidak pernah lekang daripada ingatannya itu.
“Oh ya? Kalau begitu, Ikhwan tunggu sekejap. Yana pergi
tukar baju,” beritahu Dayana sambil tersenyum lebar.
“Tapi kita selesaikan solat Isyak dulu, boleh?”tanya
Dayana pula. Secara kebetulan azan Isyak pun sedang berkumandang. Ikhwan
mengangguk.
“Ikhwan pun nak tumpang solat di sini,” beritahu Ikhwan
lalu bangun.
“Okey! Bilik air ada di bawah kat dapur. Lepas ambil air
sembahyang nanti, Ikhwan naik ke sini semula. Yana sediakan sejadahnya,” beritahu
Dayana lembut sambil mengukirkan senyuman manis.
“Baik,” jawab Ikhwan ringkas. Layanan baik dan mesra yang
ditunjukkan oleh gadis itu semakin menambat hatinya.
Dayana meninggalkan Ikhwan dan menuju ke biliknya. Dia sempat
mencapai telefon bimbitnya yang secara kebetulan baru berhenti deringannya. Enam
panggilan tidak dijawab. Mesej itu terpamer diskrin telefonnya. Dayana memicit
butang ditengah telefon bimbitnya. Nama pemanggil terpamer. AKIF.
BINTANG-BINTANG bertaburan dilangit yang luas terbentang bagaikan butiran
permata berlian di atas baldu hitam. Aduhai, indahnya panorama malam ciptaan
TUHAN. Bayu malam terus berhembus lembut membelai daun-daun dengan sentuhan
kasih sayang bagai membujuk. Lupakanlah kehangatan memeritkan, yang meratah dan
mengeringkanseluruh lembaran tubuh mereka siang tadi.
Restoran tepi laut yang dipilih oleh Ikhwan sebagai
lokasi untuk makan malam dengan Dayana nampak sesak dengan pengunjungnya. Mereka
berbual sambil menjamu selera. Macam-macam hal yang menjadi isu. Dari nostalgia
manis sewaktu zaman persekolahan hinggalah pengalaman-pengalaman yang ditempuhi
oleh Ikhwan sewaktu duduk merantau di negara orang. Perbualan mesra yang
diselangi gelak ketawa sesekali seolah-olah semakin merapatkan hati mereka.
Apabila dirasakan yang gadis itu sudah bersedia untuk
membicarakan soal hati dan perasaan mereka, barulah Ikhwan berterus terang
tentang hasrat hatinya.
“Yana kena ikut Ikhwan balik ke sana?”tanya Dayana sambil
menatap wajah pemuda yang sedang duduk berhadapan dengannya. Ikhwan merenungnya
kembali sambil tersenyum dan akhirnya ketawa ringan.
“Yalah, Yana... bila kita dah bernikah, dah jadi suami
isteri Yana kenalah ikut Ikhwan. Takkan Yana nak tinggal kat sini pulak,” jawab
Ikhwan perlahan. Dayana menundukkan mukanya beberapa ketika. Tidak diduganya
yang perhubungannya dengan Ikhwan akan pergi sejauh itu.
“Dah lama sangat Ikhwan menanggung rindu seorang diri,” sambung
Ikhwan lagi dengan suara bergetar. Sudah lama dia menyimpan impian untuk
sentiasa dekat dengan gadis itu bagai laut dan pantai. Laut dan pantai yang
tidak mungkin terpisahkan. Sentiasa berdakapan.
“Habis tu kita nak terus bernikah begitu aje ke?”tanya
Dayana bersahaja. Tindakan Ikhwan yang terus melamar dirinya itu sebagai
sesuatu perkara yang janggal pula.
“Kenapa, Yana?”soal Ikhwan kembali. Pertanyaan daripada
gadis itu seolah tidak bersetuju dengan rancangannya. Bagaikan menolak cintanya.
Penolakan itu pasti menghumban hatinya ke lembah kecewa yang tidak diketahui
dalamnya.
“Selain daripada Ikhwan, Yana ada seseorang yang lebih
istimewa ke? Maksud Ikhwan, teman lelaki? Maaf Ikhwan bertanya,” balas Ikhwan
sambil terus menatap mata gadis itu. Dayana menguis-nguis nasi di dalam pinggannya.
Sewaktu dia menundukkan wajahnya begitu, sepasang matanya yang berbulu lebat
dan lurus tampak begitu indah dan mengasyikkan.
“AlaIkhwan ni! Berlainan pula maksudnya! Yang Yana
maksudkan, takkan kerja nikah kahwin ni kita nak uruskan berdua aje. Tidak
melibatkan keluarga,”jelas Dayana lembut sambil ketawa dan merenung ke wajah Ikhwan
dengan mata yang bersinar.
“Oh! Maaf, sayang...Ikhwan tersilap tafsir ungkapan Yana
tadi! Jangan risau Yana! Mestilah keluarga kita yang uruskan soal pernikahan tu!
Perbincangan kita malam ini sebabIkhwan nak pastikan sama ada hati Yana, memang
milik Ikhwan atau ada orang lain! Insya-ALLAH, kalau kita sudah bersatu hati, satu
matlamat dan impian, Ikhwan akan hantar rombongan meminang Yana dengan kadar
segera,” jelasIkhwan, panjang lebar.
“Yana setuju tak dengan cadangan dan rancangan Ikhwan
tadi?”Sekali lagi wajah Dayana ditatapi. “Yana akan terimaIkhwan tak?”soalnya dengan
harapan yang melebar seluas angkasa yang terbentang di atas kepala mereka.
“Insya-ALLAH, kalau dah memang TUHAN ciptakan Ikhwan
untuk Yana...”jawab Dayana perlahan sambil merenung bintang-bintang di langit. Seluruh
dirinya telah diserahkan kepada ALLAH. Apa juga ketentuan-Nya, dia akan
menerimanya dengan pasrah. Apatah lagi pada saat itu hanya Ikhwan yang paling
dekat berada di sisi hatinya. Mungkin lelaki itu yang akan menjadi jodohnya,bisik
Dayana di dalam hati. Wajah Akif yang menjelma di lembaran kenangan, dilontarkannya
jauh-jauh apabila mengenangkan peristiwa pada tengah hari tadi.
‘Biarlah Akif menjadi milik Rosnani yang begitu
mencintainya,’pujuk hati Dayana sambil mengeluh perlahan. “Terima kasih, sayang.
Dah lama kita bersama, Yana. Dari kecil lagi. Semoga TUHAN berkati dan redai
hasrat dan impian kita,” ungkap Ikhwan sambil merenung ke dalam mata Dayana. Gadis
itu telah sebati dengan dirinya. Bagaikan darah yang mengalir di dalam tubuhnya.
“Insya-ALLAH,” jawab Dayana.