HIDUP tidak boleh
berpandukan perasaan hati yang kadangkala boleh memusnahkan diri sendiri. Perkara
utama harus kita fikirkan ialah menerima sesuatu atau membuat sesuatu dengan
baik berlandaskan kenyataan. Memang rezeki itu ada di mana-mana, datangnya
tanpa diduga, tepat pada masa yang ditentukan oleh-NYA. Namun, setiap manusia
itu mesti berusaha dan bertawakal.
Setelah seminggu
memendam perasaan geram, akhirnya hati Dayana dilunakkan kembali oleh nasihat
ayahnya.HariSabtu itu, mahu
tidak mahu dia terpaksa mengunjungi Pasar Mini Akif sekali lagi setelah didesak
oleh ayah dan emaknya.
“Saya nak jumpa dengan tauke!”Sekali lagi bibirnya
mengulangi permintaan yang sama seperti minggu sebelumnya. Remaja lelaki yang
datang ke rumahnya memberi isyarat mata kepada Dayana.
“Tauke ada kat bilik belakang! Err...pejabat kat belakang,”
beritahu remaja itu lagi. Dia menggaru-garu belakang telinganya sambil merenung
Dayana tanpa berkelip.
“Pejabat?”soal Dayana ragu-ragu. ‘Mustahil kedai yang
macam kapal barang yang sarat dengan muatan ni ada pejabat,’bisik hati Dayana. Apabila
Dayana kelihatan ragu-ragu, remaja lelaki itu mengarahkan tangannya pula.
“Pergilah kak! Di hujung sebelah kiri. Bilik bercermin tu!
Dekat guni beras yang banyak-banyak tu,” beritahu remaja lelaki itu lagi. Dayana
menoleh ke belakang. Mahu tidak mahu, Dayana terpaksa melalui celah rak yang
sarat dengan barang menuju ke bilik yang dikatakan oleh pemuda tadi.
Dayana lihat seorang lelaki muda sedang menundukkan
wajahnya meneliti kertas-kertas dan laptop di atas meja dengan tekun. Kehadiran
Dayana langsung tidak disedari kerana Dayana menolak daun pintu dengan perlahan.
Bilik berhawa dingin itu bersaiz 12’ x 12’ sekadar boleh memuatkan sebuah meja
tulis yang agak besar dan dua buah kerusi. Langsir tebal berwarna biru tua
tersingkap ke tepi dinding.
“Encik,” sapa Dayana sebaik sahaja menghampiri meja. Pemuda
itu mendongak melihat Dayana. Mereka bertentang mata beberapa ketika tanpa
bersuara. Masing-masing terkesima.
“Assalamualaikum...” ucap pemuda itu beberapa saat
selepas itu. Bibirnya menguntum senyuman manis.
Berderau darahnya seketika. Darah Dayana pun terasa
menyirap ke kepala. Hatinya seolah-olah terbakar. Perasaan marahnya meledak
kembali.
“Awak?”soalnya. Tidak rela dia duduk berdepan dengan
lelaki yang telah bersikap biadap terhadapnya. Dayana terus meluru ke pintu.
“Akak! Nanti... nanti dulu! Jangan pergi lagi! Saya nak order kerepek ni!”teriak pemuda itu cuba
menghalang Dayana. Langkah kaki Dayana terhenti di ambang pintu. Dia menoleh dan
merenung pemuda itu.
“Nak order
kerepek?”soalnya kuat. Matanya merenung marah. “Ah,tak mahulah saya berurus
niaga dengan lelaki tak sopan macam awak ni!”tempelaknyalagi dengan nada marah
dan geram. Masih terasa telapak tangan pemuda itu berada di punggungnya. Pipinya
terasa hangat.
“Ramai lagi orang lain yang nak beli kerepek saya!”sambung
Dayana dengan muka masam. Bukan tujuannya untuk bersikap angkuh,namun insiden
kelmarin benar-benar menggugat kesabarannya.
“Tak baik cakap macam tu! Tak kenal maka tak cinta,” kata
pemuda itu sambil menyeringai. Wajah Dayana ditenungnya lama sambil tersenyum
mesra.
“Itu skrip dah lapuklah!”perli Dayana dengan perasaan
geram.“Tak ingin saya nak kenal dengan awak,” sambungnya lagi sambil mengetap
bibir dan menjeling tajam.
Pemuda dihadapannya itu masih berwajah tenang dan
tersenyum lebar. Sikap garang dan keras kepala yang dipamerkan oleh gadis
cantik di depannya itu mencuri tumpuannya. Teringin pula dia hendak menyakat
gadis itu. Sekadar untuk menduganya. Sejauh mana kegarangan yang menyalut hati
dan sekeras mana hatinya.
“Yang itu lagi tak baik! TUHAN menjadikan manusia
bermacam bangsa dan jantina untuk saling kenal mengenal dan berkasih sayang,” sampuk
pemuda itu pula. Kata-kata itu semakin memarakkan lagi perasaan geram di hati
Dayana. Walaupun tidak berniat untuk menafikan pendapat pemuda itu, dia rasa
tersindir.
“Yang itu saya tak nafikan! Tapi apa hak awak nak pegang
punggung saya? Huh!”dengus Dayana. Perasaannya seolah-olah terbakar bila
mengenang kembali insiden kelmarin. Lantas dia terus melontarkan kemarahan yang
terpendam selama ini.
“Saya buat laporan polis, sebab awak cuba mencabul
kehormatan saya, baru padan muka!”kata Dayana lagi dengan nada geram. Mukanya
sengaja dimasamkan. Pemuda itu ketawa seketika. Barulah dia tahu punca
kemarahan gadis cantik di hadapannya itu.
“Astaghfirullahalazim! Akak! Sampai hati akak tuduh saya
macam tu. Saya mintak maaf, kalau perlakuan saya kelmarin kurang sopan. Tapi saya
sedang cuba jaga kehormatan akak! Bukan nak mencabul kehormatan.”
“Apa maksud awak?”pintas Dayana. Matanya dibulatkan
sewaktu menentang mata pemuda itu. “Jeans
yang akak pakai kelmarin, cawatnya pendek sangat! Bila akak terbongkok-bongkok,
tertonggeng-tonggeng dan baju kemeja
yang akak pakai pulak terselak ditiup angin, nampak separuh punggung akak!
Seluar dalam akak yang warna merah jambu tu pun saya dah
nampak! Saya cuba betulkan baju akak sebab nak tutup aurat akak yang tak
sepatutnya menjadi tontonan orang lalu lalang di situ,” jelas pemuda itu dengan
panjang lebar. Dengan jujur dan berterus terang.
“Tak guna kepala bertudung kalau aurat lain terdedah, ternganga.”
Sinis kata-katanya, sekadar menduga gadis itu. Berdesing telinga Dayana yang
mendengarnya.
Penerangan itu menyebabkan kulit wajah Dayana terasa lebih
tebal dan tegang serta panas. Dia terpaku di tempatnya berdiri seketika. Nafasnya
turun naik. Matanya merenung pemuda di hadapannya itu dengan renungan tajam. Pemuda
berwajah bujur itu tersenyum dan menentang matanya. Mereka beradu pandangan
beberapa ketika.
“Awak sengaja ambil kesempatan! Saya tak sukalah!” marah
Dayana lagi. Bibirnya diketap sambil menjeling tajam. Sengaja dikeras-keraskan
hatinya, jika tidak, pasti dia menangis saat itu. Jadi banjir airmata pula di
dalam pasar mini itu.
“Kalau nak ambil kesempatan, dari tadi lagi saya tarik
awak dan tutup pintu bilik ni!” balas pemuda itu. Dia terus mengulum senyuman. Gelihatinya
melihat gadis comel di hadapannya itu bengis dan merenungnya. Renungannya juga
garang bak singa betina ingin menerkam mangsanya. Matanya yang lembut redup
seolah-olah bertukar menjadi mata singa betina yang garang.
“Ali! Bawa air kotak ke sini!” jerit pemuda itu melalui
pintu. Dia terus mendesak Dayana supaya duduk di kerusi yang disediakan.
“Soya ke Abang Akif?”soal Ali pula dan menjerit kembali. Pemuda
yang dipanggil oleh Ali sebagai Abang Akif itu tidak menjawab. Dayana tersentak
apabila mendengar nama itu.
‘Oh! Rupa-rupanya dia Akif, tauke pasar mini ni! Muda
lagi,’bisik hati Dayana. ‘Kacak juga,’pujinya di dalam hati. Matanya merenung
wajah pemuda itu yang kelihatan tenang dan teduh.
Pemuda itu yang masih sibuk dengan mesin pengiranya itu meneruskan kerjanya.
Tidak lama kemudian, Ali muncul di pintu dan menghulurkan empat kotak minuman. Soya
dan Milo.
“Duduklah,” pelawanya sebaik kotak minuman berada di
tangan.Dayana masih enggan.
“Oh ya! Saya Akif, terlupa pulak nak kenalkan diri,” beritahu
pemuda itu. Akif bangun dan mengubah kedudukan bangku yang berada di tepi
dinding ke meja dan mendesak Dayana supaya duduk sekali lagi.
“Duduklah! Kita bincang pasal kerepek akak! Saya setuju
jualkan kerepek-kerepek akak di pasar mini saya yang tak seberapa ni,” beritahu
Akif sambil tersenyum manis dan merendah diri.
“Saya pun dah makan. Rasanya memang sedap, tambahan kalau
dimakan sewaktu menonton televisyen, malam-malam,” beritahu Akif sambil
tersenyum lalu tangannya menghulurkan kotak minuman kepada Dayana. Dayana menyambutnya
perlahan-lahan. Mahu tak mahu,dia terpaksa duduk di bangku yang disediakan oleh
pemuda itu. Kini mereka duduk bertentangan.
“Minumlah... sejukkan hati, sambil tu kita boleh
berbincang! Kerepek yang akak buat ada potensi untuk pasaran yang lebih luas,” puji
Akif sambil tersenyum lebar. Sekali lagi matanya merenung gadis yang sedang
duduk di hadapannya itu. Hari itu Dayana berbaju kurung moden, warna biru turqouise. Akif
terpukau seketika namun cepat-cepat menundukkan wajahnya.
“Kerepek yang akak tertinggal tu, saya dah jualkan. Kenapa
tak mahu terima duitnya? Saya jual ikut harga pada label yang akak tampal pada
bungkusan kerepek tu,” terang Akif lagi.
“Dua tiga hari jual aje dah habis,” beritahunya pula.
Tidak dapat mendustai, hati Dayana rasa gembira apabila
mendengar berita itu. Namun, disebabkan perasaan marahnya kerana insiden tempoh
hari masih segar, dia tidak menunjukkan perasaan gembiranya itu. Dayana cuba
bersikap selamba dan menunjukkan wajah yang selamba juga.
“Akak bisnes kerepek aje ke?”soal Akif lagi sambil
menconteng-conteng kertas. Matanya sempat menjeling Dayana, sekilas.
“Saya buat kuih tradisional jugak, kalau ada tempahan! Secara
kecil-kecilan aje,” terang Dayana dengan suara perlahan dan merendah diri.
Akif ketawa di dalam hati mendengarkan jawapan Dayana
yang perlahan dan lembut itu. Rupa-rupanya gadis itu bukanlah garang sangat. Tidak
berapa minit, perasaan marahnya sudah lenyap. Hilang kekasaran, timbul pula
kelembutannya.
“Kalau akak nak saya jualkan produk keluaran akak di
kedai ni, saya tak keberatan,” tawar Akif dengan wajah berseri. Dia benar-benar
ikhlas ingin membantu gadis comel di hadapannya itu.
Tawaran daripada Akif membuatkan Dayana rasa terharu. Dia
rasa bersalah kepada pemuda itu. Nasib baiklah tapak tangannya tidak melayang
dan hinggap di pipi pemuda itu minggu lalu.
“Macam mana? Setuju dengan tawaran saya?”soal Akif.
Bibir Dayana seakan terkunci. Sukar untuk memberi
jawapan.
“Masih marah ke?”soal Akif lagi apabila dilihatnya Dayana
ragu-ragu untuk menerima tawarannya.
“Tak baik marah-marah! Jangan biar syaitan kuasai akal
kita dan menyaluti iman dengan nafsu marah,” bicara Akif terhenti.
“Bukan begitu,Encik Akif,”jawab Dayana malu-malu. Fikirannya
menerawang mencari jawapan.“Bukan maksud saya ingin memenangkan syaitan. Tapi...”kata-kata
Dayana tersangkut lagi. Kalau dia menerima tawaran itu, mampukah dia
menyediakan bekalan kerepek itu bila mendapat tempahan? Dayana berfikir-fikir
sendiri.
“Saya sungguh-sungguh ni!” tegas Akif lagi.
Matanya merenung ke wajah Dayana yang nampak tenang
kembali. Tidak lagi berona marah seperti tadi.
“Saya suka kalau gadis Melayu yang masih muda macam akak
ni berminat dalam perniagaan begini,” jelas Akif. “Kalau akak nak, saya boleh
tolong pasarkan produk-produk akak tu ke kedai-kedai lain jugak,”beritahunya
lagi.
“Lagipun, kita sesama muslim kena saling bantu-membantu
saudara seagama. Akak tahukan, Islam tu agama ukhwah. Insya-ALLAH, perniagaan
akak boleh berkembang,”ujar Akif dengan ramah. Cuba memberi dorongan.
“Betul ke? Saya mintak maaf sebab bersangka buruk kepada Encik Akif,” kata
Dayana dengan suara perlahan. Perasaan marahnya lenyap. Timbul pula rasa malu
yang menebal.
“Tak apa,perkara kecil aje,” balas Akif dengan nada riang.
“Tapi kalau saya terima tawaran Encik Akif, saya bimbang
tak mampu nak sediakan kerepek-kerepek tu jika permintaannya
banyak sangat,” jawab Dayana lambat-lambat. Matanya mencuri pandang ke wajah
pemuda di hadapannya itu. Kata-katanya itu disambut Akif dengan tawa mesra. Dayana
turut ketawa walaupun malu-malu.
“Takkanlah saya nak pesan sampai satu
kontena! Kita buat sikit-sikit dulu.Pepatah orang tua ada mengatakan,sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Yang
pentingnya istiqamah,” ujar Akif lagi. “Setuju ya?”soalnya lagi sambil merenung
ke wajah Dayana.
Dari pandangan matanya, gadis yang berada
di hadapannya itu mungkin tiga empat tahun lebih muda daripadanya. Sepasang mata lembut dan redup yang dimiliki
gadis itu menawan hatinya. Dayana mengangguk perlahan.
“Hmm...nama akak siapa?”tanya Akif.
“Dayana! Hmm...panggil Yana aje,”jawab Dayana perlahan. Keramahan
dan kemesraan yang dipamerkan oleh pemuda itu meredakan perasaan malunya.
“Oh, jadi... Kerepek
Yana tu mengambil sempena nama Yanalah? Syabas!” sampuk Akif dengan nada
riang. Dayana hanya mampu mengangguk tanda menyetujui tekaan pemuda di
hadapannya itu.
“Hmm...hari ni Yana pakai baju kurung, cantik!”puji Akif.
Dayana tunduk dan tersenyum malu. Hatinya bagai
bergoncang.
Dentingan jam di dinding itu menyebabkan bibir
Rosnani tersenyum lebar. Dia lantas menuju ke dapur. Di matanya terbayang kek
yang telah dibuatnya pagi tadi. Bau aroma kek menyusup ke rongga hidungnya
sebaik sahaja dia mengeluarkan kek yang masih suam itu dari dalam almari. Rosnani
memotong kek sambil bernyanyi kecil. Kek yang dipotong dimasukkannya ke dalam
bekas plastik.
“Bismilahirahmanirahim! Terbukalah selera Abang Akif
untuk menikmati kek yang aku buat. Terbukalah juga pintu hatinya untuk menerima
cintaku. Fuh!”Hembus Rosnani dengan kuat selepas bermantera.
Dia memejamkan matanya dan membayangkan Akif menikmati
kek yang dibuatnya itu dengan penuh selera. Rosnani tersenyum sendiri kerana
mengangankan dia menyuapkan kek itu ke mulut Akif sambil Akif mengusap-ngusap mesra pipinya.
“Ros! Kau dah masak ke belum?”
Tiba-tiba kedengaran suara emaknya melaung dari luar
rumah. Khayalan Rosnani tercantas. Dia menjenguk ke luar tingkap. Bola matanya
terus menyinggahi ke tubuh emaknya yang terbongkok-bongkok di tepi longkang. Emaknya sedang menajak rumput di tepi
longkang itu.
“Nak masak apa pulak? Lauk semalam banyak lagilah, mak,” beritahu
Rosnani dengan suara kuat.
“Hai, takkan nak bagi ayah kau makan lauk semalam? Kek,kau
boleh buat hari-hari. Takkan nak masak lauk berselang hari pulak?”leter Mak
Timah.
“Kau masak sekarang. Sekejap lagi ayah balik dari bendang
dah kebulur nak makan. Lauk pun tak ada kat dapur,” marah Mak Timah.
“Alaa... hari ni mak tolonglah masak. Tak ada maknanya
mak menajak rumput waktu tengah hari buta ni. Tanah tu dah keras,” jawab
Rosnani pula.
“Amboi, dahlah menolong mak jarang sekali!” sindir Mak
Timah sambil bercekak pinggang melihat Rosnani yang masih tersengih di tingkap.
“Dahlah, Ros! Jangan bertekak dengan mak. Pergi masak!” suruh Mak Timah sambil merenung ke wajah
Rosnani.
“Alah, mak ni! Hari ni Ros malas. Ros dadar telur dan
goreng sayur ajelah. Ros nak cepat! Nanti Nisah terlepas,” beritahu Rosnani
lalu menghilangkan diri dari jendela.
Cahaya matahari begitu menyengat. Nisah
mengayuh basikalnya laju-laju supaya segera sampai ke rumah. Dia baru balik
dari sekolah. Hari ini, hari Rabu. Pukul 2.00 petang nanti dia perlu berada di
sekolah semula kerana ada aktiviti ko-kurikulum.
Sampai sahaja di
depan jambatan yang merintangi terusan air berhampiran rumahnya, Nisahmemperlahankan
kayuhan basikalnya. Rosnani, anak Pak Kulup Osman jirannya berselang tiga buah
rumah sudah tersengih dari jauh. Menunggunya di bawah pokok mempelam.
‘Hai, dia tunggu
lagi! Apa aku nak cakap ni? Abang Akif dah tak minat lagi dengan kek coklatnya!’bisik
hati Nisah.‘Tapi nanti, tak
merasalah aku nak makan kek coklat lagi,’bisik hatinya pula. Dia menyeringai
sebaik tiba di hadapan Rosnani.
“Hah!Nisah!” tegur
Rosnani sambil memegang handle basikal Nisah.Nisah terpaksa
memberhentikan basikalnya sambil bernafas deras kerana kepenatan.
“Lajunya Nisah kayuh basikal. Nampak dari jauh macam nak
terbang! Melayang tudung ni! Nasib baik tak tercabut,” kata Rosnani lagi sambil
ketawa kecil.
“Macam dikejar hantu!” sambungnya lagi sambil mengekek
gembira. Apatah lagi apabila melihat Nisah menjelirkan lidahnya macam anjing
yang kehausan sambil termengah-mengah.
“Alah, Kak Ros! Nisah nak cepat ni! Ada apa-apa yang
boleh ditolong? Kalau tak ada, Nisah nak balik. Sebab, lepas ni Nisah nak pergi
sekolah semula,” beritahu Nisah masih mencungap.
“Petang ni ada aktiviti ko-kurikulum, sebab tu Nisah
kayuh basikal laju-laju! Bukannya Nisah dikejar hantu, tapi Nisah yang sedang
mengejar hantu!” sambungnya sambil menyeringai melihat Rosnani ketawa tidak
berhenti.
“Hisy, Nisah ni!” rengus Rosnani. Tak pasal-pasal lengan
Nisah kena tampar kerana kata-kata lucunya itu. Mereka berdua memang mesra
bagaikan adik-beradik.
“Nisah, semalam Abang Akif makan tak kek yang Kak Ros
bagi tu? Dia kata apa?”soal Rosnani dengan wajah teruja. Tawanya masih bertali
dan akhirnya reda. Nisah menggaru-garu dagunya yang ditumbuhi jerawat batu.
“Cepatlah, Nisah! Cerita pada Kak Ros,”desak Rosnani
apabila dilihatnya Nisah tergaru-garu sedari tadi.
“Sedap! Hingga menjilat jari,” jawab Nisah bersuara nakal
sambil ketawa.
“Kak Ros! Kek tu, Nisah yang makan semuanya. Tunggu Abang
Akif, dia lambat balik. Setiap kali Nisah buka peti sejuk, Nisah ambil sepotong,
lama-lama habis! Sedap! Pandai Kak Ros buat kek,”puji Nisah. Matanya merenung
ke wajah Rosnani yang kelihatan kecewa. Gadis itu yang meminati abangnya, Akif.
Bukan sahaja meminati, bahkan mungkin juga telah gila bayang.
“Hari ini ada kek lagi ke?”soal Nisah sambil matanya merenung
ke dalam beg plastik ditangan Rosnani.
“Mestilah ada! Hari ini Kak Ros buat kek durian,”jawab
Rosnani dengan nada ceria. Besar harapan hatinya agar pujaan hatinya menyukai
keknya itu.
“Kek durian, resipi ciptaan Kak Ros,”sambung Rosnani lagi
dengan suara bangga. Dia membetulkan kain baju kurung yang dipakainya kerana
mengembang ditiup angin kencang dari arah bendang.
“Kek durian? Hui!! Sedapnya, Nisah suka,”kata Nisah
dengan teruja.
‘Alamat penuhlah perut aku hari ini dengan kek durian. Kasihan
Kak Ros. Hati Abang Akif itu tidak mudah diikat atau dipegang. Lebih mudah lagi
kalau Kak Ros hendak memegang buah durian yang berceracak duri-durinya itu. Macam
manalah Nisah dapat tolong Kak Ros ni,’rungut Nisah di dalam hati. Dia
memandang wajah Rosnani dengan perasaan simpati.
“Alah, kek ni memang Kak Ros buatkan untuk Abang Akif dan
Nisah,” jawab Rosnani dengan senyuman meleret.
“Haa! Kenalah buat begitu, Kak Ros. Nakkan abang, kenalah
pikat adiknya dulu,” balas Nisah pula sambil ketawa nakal. Bekas plastik yang
dihulurkan oleh Rosnani dimasukkannya ke dalam raga di hadapan basikal.
“Terima kasih, Kak Ros,” kata Nisah sambil menggerakkan
basikalnya dan mengayuh dengan laju semula. Rosnani melambai-lambai dengan
gembira.