NISAH menyandarkan basikalnya di tepi pokok rambutan sebaik
sampai di rumah. Setelah itu dia berjalan laju memasuki rumah melalui pintu
dapur.
“Hah! Ada pulak abang balik! Selalu tengah hari tak balik
rumah,” tegurnya pada Akif yang sedang makan di meja makan.
“Abang bawa mak pergi klinik,” jawab Akif sambil membasuh
tangan. Nisah meletakkan bekas plastik yang mengandungi kek di hadapan Akif.
“Makan kek durian ni! Kak Ros buatkan untuk abang! Nanti
abang telefonlah dia, ucap terima kasih,” kata Nisah cuba mengajar abangnya.
“Kenapa pulak Ros buatkan abang kek setiap hari! Lama-lama
nanti abang jadi mabuk.”
“Haah! Kalau abang dah mabuk cinta tak payahlah Nisah
susah-susah nak berbasa-basi dengan Kak Ros tu! Nisah dah penat jadi orang
perantara dan tukang makan kek!” sampuk Nisah sambil duduk di depan Akif.
“Pulak! Bila abang ada sebut mabuk cinta! Nisah jangan
nak main-main dengan perkataan cinta ni! Esok kirim salam pada Ros, beritahu
dia, abang dah ada kekasih hati! Faham?”kata Akif sambil melebarkan bibirnya.
“Tak payahlah membazir duit buat kek untuk abang
tiap-tiap hari,” ujar Akif lagi.
“Kasihanlah pada Kak Ros,” balas Nisah sambil mencedok
nasi ke dalam pinggannya.
“Tapi abang tipu! Abang mana ada kekasih hati! Nisah
tengok abang asyik sibuk di pasar mini tu aje! Kalau ada kekasih pun, mahu
makan hati! Abang ni tak ada masa langsung untuk layan buah hati,” komen Nisah
pula.
“Asyik bekerja aje tak berhenti,”omelnya lagi.
“Sebab kasihanlah kena berterus terang dengan dia! Tak
baik mainkan perasaan orang, tau tak?”soal Akif sambil menarik hidung Nisah dan
menggoyang-goyangkannya berkali.
“Yang Nisah ni, kalau ia pun janganlah nak hala-halakan
abang dengan gadis yang wayarnya dah hampir putus tu,” kata Akif sambil ketawa.
Dia sebenarnya bersimpati dengan gadis itu. Dengan nasib
yang telah menimpanya. Ujian dan dugaan berat yang pernah melanda hidupnya, telah
mencalarkan jiwa Rosnani sehingga dia menjadi nanar kadang-kadang.
“Ala, sampai hati abang kata Kak Ros tu begitu. Dia jadi
begitu sebab tunangnya kahwin dengan orang lain. Kalau abang terima dia, wayarnya
yang hampir putus tu, eloklah balik. Entah-entah sama kuatnya dengan tali yang
mengikat kerbau kat bendang tu,” sampuk Nisah sambil ketawa gelihati.
Akif terdiam. Sebenarnya gadis itu menjadi sewel bukan
sahaja kerana tunangan berkahwin dengan orang lain, namun biarlah hal itu
menjadi rahsia dirinya.
“Nisah! Sudahlah! Jangan bersembang lagi. Cepat makan! Pergi
mandi, solat,” arah Akif.
“Ala, tak sempatlah nak solat, bang,” jawab Nisah sambil
melihat jam tangannya dan menyuap nasi ke mulut.
“Nisah qadalah waktu solat maghrib nanti,” katanya lagi
sambil mengunyah nasi yang sedang memenuhi mulutnya.
“Amboi!” marah Akif sambil merenung adiknya yang sedang
makan tergesa-gesa.
“Jangan nak mengada-ngada, Nisah! Tak mahu solat pulak! Tu,
rezeki yang TUHAN bagi kepada Nisah, takkan tak tahu nak berterima kasih kepada-NYA?”leter
Akif dengan suara kuat. Nisah tersedak-sedak sewaktu mendengar leteran abangnya
itu.
“Urusan dunia Nisah terkejar-kejar, urusan dengan TUHAN
Nisah nak tangguh-tangguh pulak,” tukas Akif. Menasihati adik bongsunya itu.
“Kalau dari muda ni Nisah tak latih hati Nisah untuk
mengutamakan ALLAH melebihi segala-galanya, esok-esok bila semakin dewasa, semakin
sibuk, semakin berjaya langsung Nisah lupakan TUHAN,”sambung Akif lagi.
“Ala... abang ni, selalu aje nak membebel. Nisah cakap
main-main pun abang dah beri ceramah berjela! Nisah tahulah tanggungjawab Nisah
sebagai orang Islam, bang,”jawab Nisah seolah-olah merajuk.
“Jangan menjawab!”Akif menjeling.
“Huh!” rengus Nisah. Wajahnya dimasamkan
sejenak tanda protes.
“Makan tu elok-eloklah, Nisah.Nanti
tercekik! Langsung tak payah pergi sekolah, kena ke hospital pulak,”leter Akif
lagi dengan nada lirih. Nisah pun sudah menghabiskan nasinya di dalam pinggan.
“Cepat-cepat pergi mandi dan solat! Abang hantarkan Nisah
ke sekolah. Dah lambat, kan?”soal Akif sambil melihat jam di dinding. Nisah mengangguk-angguk.
“Tau tak apa,” katanya.
Hati yang merajuk kerana dileteri terpujuk kembali. Dia minum
air cepat-cepat setelah itu berlari naik ke biliknya.
“Tengok tu! Anak dara apalah ni, pinggan makan sendiri
pun malas nak cuci. Ditinggalnya atas meja begitu aje. Nisah... Nisah,” rungut
Akif. Dia membuka bekas plastik yang dibawa oleh Nisah tadi. Akif mengambil
sepotong kek, menghalakan ke hidungnya dan mengembalikan semula ke dalam
bekasnya.
‘Ros... Ros... buat apalah susah-susah nak buat kek ni hari-hari
dan hantar ke rumah ni, hmm...”keluh Akif sambil meraba telefon bimbit dalam
poket seluarnya.
“Helo,assalamualaikumRos, Abang Akif ni,”kata Akif sebaik
sahaja Rosnani menjawab panggilan telefonnya.
“Abang dah makan ke kek yang Ros buat?”tanya Rosnani
dengan perasaan teruja. Kembang hatinya kerana menerima panggilan daripada
pemuda yang namanya telah disemadikan di sukma.
“Kenapa Ros susah-susah buatkan kek untuk abang setiap
hari? Ros,mulai hari ini jangan buatkan kek untuk abang lagi, abang...”
Belum pun sempat Akif menghabiskan bicaranya Rosnani telah
mematikan talian telefonnya tanpa pamitan. Akif termangu-mangu.
SEJAK tadi, Rosnanimundar-mandir di ruangan dapur rumahnya. Gelisahnya
bukan main. Semua kerja yang dibuat seolah-olah tidak kena. Sekejap dia berdiri.
Sekejap dia duduk di atas anak tangga.
“Hai! Ros! Telur tak mahu keluar ke?” soal emaknya yang
sejak tadi asyik memerhatikan telatah anak daranya itu yang gelisah bagaikan
ayam hendak bertelur. Mak Timah yang sedang menyiang pucuk paku di meja makan
tidak melepas pandangannya daripada Rosnani yang agak pelik pada hari itu.
“Telur apanya, mak?”soal Rosnani semula. Dia bangun dan
mengintai ke luar tingkap. Rawan hatinya kerana seharian tidak melihat wajah
tampan pujaan hati.
“Intai siapa pulak tu Ros?”soal Mak Timah lagi sambil
menjeling tajam.
“Apa ni mak? Semua yang Ros buat mak perhati? Apa yang
tak kena?”tanya Rosnani sambil memuncungkan bibirnya.
“Memang semuanya tak kena! Yang kau gelisah macam ayam
nak bertelur, terintai-intai macam pencuri sejak tadi, apa masalahnya?”Mencerlung
mata Mak Timah melihat Rosnani yang menjeling kepadanya.
“Hari ni tak buat kek ke? Dah habis resipi dalam simpanan
kamu?”sindir Mak Timah. Pelik juga hatinya kerana Rosnani seolah-olah melupakan
kegemarannya sejak azali pada hari itu. Kegemaran mencuba resipi kek.
“Atau dah tak ada orang sudi nak makan?”sindirnya pula. Bibirnya
menyungging senyuman melihat bibir Rosnani sudah mencebir.
“Kenapa mak ni? Sengaja nak rabakkan hati orang pulak! Kek
yang Ros buat tu sedaplah mak! Semua orang suka makan.Tapi hari ini Ros tak ada
mood nak buat kek! Sakit hati!” jawab
Rosnani sambil memuncungkan bibirnya sekali lagi.
“Hai! Lain macam bunyinya tu Ros! Siapa yang cubit hati
kamu? Bergaduh dengan buah hati pengarang jantung kamu ke? Atau dia dah campak
semua kek yang kamu bagi pada dia setiap hari tudalam reban ayam?”sindir Mak
Timah.
‘Lagi-lagi mak ni menyakitkan hati aku,’ marah Rosnani di
dalam hati. ‘Mak tak tahu ke yang aku sedang gila cempera hendak menawan hati sidia
tu, tapi sampai sekarang tak dapat-dapat lagi?’ Fikiran Rosnani bersoal jawab.
“Hah! Melengung pulak! Mari sini tolong mak siang pucuk
paku ni! Biar hati yang sakit cepat baik,”ajak Mak Timah. Rosnani menyonsong
kepada emaknya terus duduk di bangku di hadapan emaknya itu.
“Mak,nanti orang nak pergi kerja,” kata Rosnani dengan
wajah tanpa emosi. Mukanya menunduk sambil tangannya sibuk mematah-matahkan
pucuk paku di hadapannya. Pucuk paku yang sudah pendek-pendek
dicampak-campaknya ke dalam besen plastik yang berada di hadapannya. Fikirnya, kalau
berjauhan dari kampung itu mungkin teruna pujaan hati akan merinduinya. Pada
waktu itu barulah tahu hati didatangi cinta ataupun tidak. Barulah si dia
tercari-cari.
“Nak pergi kerja di mana?”tanya Mak Timah sambil bangun
mengambil kelapa yang sudah dimesin oleh suaminya tadi. Mak Timah membiarkan
Rosnani menyiang pucuk paku, manakala dia terus memerah santan.
“Prai,” jawab Rosnani singkat.
“Kamu nak kerja kilang?”soal Mak Timah.
Rosnani tidak menjawab. Sudah lama kawan-kawan sekampung
yang bekerja kilang di Prai mengajaknya mengikut mereka.
“Apa salahnya Ros nak kerja kilang, mak! Nak jadi cikgu, pergi
temuduga tak pernah lepas,” rungut Rosnani.
“Tak usah pergi. Nanti mak dan ayah sunyi, kalau kamu tak
ada kat rumah ni,” beritahu Mak Timah.
“Alah! Orang duduk di kampung ni bukan boleh dapat
apa-apa pun,” ungkap Rosnani sambil bangun dan menghantar besen pucuk paku yang
sudah habis disiang ke dalam singki. Mendengar kata-kata Rosnani itu, Mak Timah
melambakkan tawanya
“Berapa lamanya kau tahan menangungg rindunya, Ros. Jangan-jangan
waktu pagi kau pergi, tak sempat sampai ke petang kau dah balik ke rumah,” sindir
Mak Timah. Mak Timah faham sangat dengan perangai anak gadisnya itu yang seolah-olah
mabuk cinta.
Selepas tunangannya ditangkap khalwat dengan gadis lain
dan menikahi gadis itu, Mak Timah lihat perangai anak gadisnya sudah berubah. Mula-mula
Rosnani asyik duduk termenung dan menangis sepanjang hari. Lama-lama Mak Timah
perasan sangat yang anak gadisnya itu macam suka sangat kepada anak Pak Shukri
dan Mak Esah yang berjiran selang tiga buah dari rumah mereka.
“Mak tu suka teka yang bukan-bukan! Tak ada siapa pun
yang orang nak rindukan! Menyampah adalah,” balas Rosnani lalu mengambil santan
yang sudah siap diperah oleh emaknya dan dimasukkan ke dalam periuk.
Rasa sakit hatinya kepada Akif masih tersisa. Dia rasa
dirinya tidak dihargai. Penat-penat dia membuat kek namun Akif tergamak memberi
amaran kepadanya pula. Tergores benar perasaannya. Lantaran itu dia tidak mahu
melayan lelaki itu bercakap di telefon semalam, sedangkan keinginan hatinya
mahukan yang sebaliknya.
“Assalamualaikum..”
Kedengaran suara memberi salam. Mak Timah dan Rosnani
menoleh ke pintu serentak sambil menjawab salam. Berderau darah Rosnani. Meruap
darahnya sehingga ke kepala apabila melihat siapa yang datang. Perasaan gemuruhnya
tiba-tiba bertandang. Dadanya berdebar-debar. Hatinya jadi tidak keruan.
“MakTimah, ada buah nangka ni! Mak suruh saya hantarkan,”
beritahu Akif sambil menghulurkan sebuah beg plastik besar kepada tangan Mak
Timah yang menyambutnya.
“Terima kasih, Akif! Buat susah-susah aje,” jawab Mak
Timah sambil tersenyum. Akif membalas senyuman itu dengan memaniskan wajahnya. Rosnani
memandang Akif tanpa secebis senyuman di bibirnya.
“Hai Ros, tak nak pelawa abang masuk ke?”gurau Akif
kepada Rosnani yang berpura-pura tidak melihatnya. Mempamerkan wajah poyo. Dia
tahu gadis itu sedang merajuk dengannya.
Mungkin Rosnani menganggap dia tidak mahu menghargai kek
pemberiannya. Permintaannya semalam sudah mengecilkan hati anak gadis itu. Dan
dia berasa bersalah kerana telah mencalarkan hati anak gadis Mak Timah. Mak Timah dan keluarganya yang telah dianggap sebagai
saudaranya sendiri.
“Masuklah, bang! Bukannya abang tak biasa datang ke rumah
ni,” jawab Rosnani. Wajah yang muram tadi berubah ceria dengan perlahan. Mak
Timah turut mendesak Akif yang masih tercegat di muka pintu.
“Duduklah, abang! Ros bancuhkan abang air,” pelawa
Rosnani pula. Dia mula bergerak di ruangan dapur macam lipas kudung. Mengambil
itu dan ini. Rosnani menundukkan mukanya apabila bertemu pandangan dengan
emaknya. Mak Timah yang herot bibirnya menguntumkan senyuman memerli.
“Ros,kek durian semalam ada lagi?”soal Akif spontan
sambil ketawa.
“Kek?Abang nak makan kek yang Ros buat? Ada... ada!” jawab
Rosnani dengan suara teruja. Hatinya ternganga lapang. Cintanya berkembang mekar.
Tambahan pula apabila Akif memandangnya dengan senyuman.
“Hari ini abang tak
pergi kerja ke?”tanya Rosnani manja sambil menghidangkan teh dan kek untuk
santapan pemuda itu. Mak Timah pula sibuk menghidangkan emping,bakisarapan pagi
tadi.
“Jemput makan Akif,” pelawa Mak Timah
sambil merapatkan lagi piring-piring hidangan kepada pemuda itu. Akif yang
sudah sebati dengan keluarganya. Perhubungan rapat mereka dengan Akif serta
keluarganya melebihi dari saudara sedarah sedaging sendiri.
“Hari ini abang tak kerja ke?”tanya
Rosnani kembali kerana persoalannya tadi belum dijawab oleh Akif.
“Akif ni ada bisnes sendiri, Ros! Bukannya
dia terikat dengan waktu kerja. Nak masuk kerja pukul 8.00 balik kerja pukul 5.00
petang,” jawab Mak Timah bagi pihak Akif yang tersenyum meleret.
“Bila-bila masa aje dia boleh pergi
kerja! Tak ada siapa yang nak marah,” sambung Mak Timah lagi.
“Kerja sendiri pun
kena ada jadual kerja jugak, Mak Timah! Kalau tidak bungkuslah bisnes saya. Hee...
hee...” jawab Akif sambil ketawa.
“Pintu pasar mini tu
aje yang saya buka pada pukul 9.30 pagi! Tapi saya kena masuk kerja lebih awal
daripada itu! Kebiasaannya 8.30 pagi saya memang dah ada di dalam pasar mini tu!
Menyusun barang-barang, membersihkan apa yang patut. Memeriksa barang-barang
yang akan saya jual. Manalah tahu ada plastik-plastik pembalutnya koyak ke? Kotak-kotak
atau tin-tin yang dah kemek ke! Maklumlah, pasar mini tu tempat orang ramai
keluar masuk untuk beli barang-barang. Kadangkala ada jenis manusia yang tak bertanggungjawab
Mak Timah! Mereka nak tengok isi dalam kotak, dibukanya salah satu kotak yang
ada disitu, setelah itu mereka tinggalkan. Jika jadi membeli, mereka ambil
kotak yang baru! Kotak yang dah dibuka mereka biarkan,” cerita Akif.
“Hal-hal yang begitu saya kena beri
perhatian! Supaya tidak timbul kompelin atau aduan daripada pelanggan! Kalau
pelanggan mendapati saya menjual barang-barang yang tidak ada kualiti pasti
mereka akan lari ke kedai lain! Hmm... lama-lama habis pelanggan saya Mak Timah,”
terang Akif.
“Ada yang berperangai
begitu, Akif?”soal Mak Timah seolah-olah terkejut. Akif mengangguk.
“Betul, Mak Timah! Tetapi sejak saya
pasang CCTV di pasar mini tu, dah berkuranganlah sikit masalah sebegitu,” terang
Akif lalu mencapai cawan teh dan mencicip airnya perlahan.
“Sedap tak teh yang
Ros buat, bang?”tanya Rosnani tiba-tiba sebaik melihat Akif habis meneguk
tehnya senafas sahaja. Akif menyeringai kepadanya.
“Semua sedap, Ros! Air teh yang Ros buat
sedap! Kek durian pun sedap! Emping yang Mak Timah buat pun sedap! Alhamdulillah,”
puji Akif untuk mengambil hati kedua-dua orang wanita itu. Hati Rosnani kembang
mekar bagaikan bunga raya yang sedang berbunga dan menghiasi halamannya.
“Ros bekalkan abang, nak
tak?”tanya Rosnani sambil melentok-lentokkan kepalanya.
“Tak apalah Ros, tak payah susah-susah! Perut
abang dah kenyang ni,” jawab Akif bersungguh-sungguh.
Dia sudah bangun dari kerusi untuk
beredar dari rumah itu. Dia mahu cepat-cepat sampai ke pasar mininya. Mungkin
Dayana akan datang ke pasar mininya pada hari itu.
Sudah seminggu dia menunggu gadis itu
datang, namun Dayana tidak kunjung tiba. Akif bimbang kalau-kalau Dayana datang
ke pasar mininya pada hari itu, dia pula tidak ada di sana. Dayana sudah
berjanji akan datang ke pasar mininya untuk menghantar kerepek yang dipesan
minggu lalu.
“Abang tak sudi ke? Sekejap
aje Ros sediakan! Abang tunggulah. Tiga minit aje,”pujuk Rosnani.
“Tunggulah sekejap Akif! Nanti Akif
boleh panjangkan sedekah Ros tu kepada budak-budak pekerja Akif di pasar mini
tu! Ros, bekalkan emping untuk Akif sekali! Banyak mak buat tadi,”sampuk Mak
Timah. Akif yang serba salah akhirnya terpaku di muka pintu.
“Nah bang! Dah siap
pun,”kata Rosnani lalu menghulurkan beg yang terisi bekas-bekas plastik kepada
Akif.
“Laa... Ros banyaknya ni! Flask tu isi
apa pulak?”tanya Akif sambil menyambut beg.
“Dalam flask ada teh panas! Panas-panas
baru sedap abang nak minum,”jawab Rosnani dengan senyuman manja. Dia terus
berdiri rapat-rapat dengan pemuda itu. Aduhai... bahagianya rasa. Mak Timah
mula menjeling tajam.
“Kau ajak aje Ros kerja di pasar mini tu, Akif! Jadi tukang
bancuh teh,” perli Mak Timah sambil menjeling kepada anak gadisnya yang nampak
tidak keruan pula apabila berdiri di sisi pemuda itu.
“Ha...ha... takut saya tak terbayar
gajinya, Mak Timah!” seloroh Akif pula lalu bergerak menuju ke keretanya.
Rosnani terus mengekori pemuda itu. Saat
itu hatinya seolah-olah sedang dimahkotai oleh mutiara cinta yang bergemerlapan
sinarnya. Apatah lagi saat Akif melambai-lambaikan tangan kepadanya sebelum dia
pergi, gadis itu merasakan yang cinta pemuda itu sudah menjadi miliknya.
“Jadi kau nak pergi kerja di Prai tu, Ros?”tanya
Mak Timah tiba-tiba sambil mengherotkan bibirnya.
“Tak... tak jadi mak,”jawab Rosnani
sambil melarikan pandangan daripada emaknya kerana dia tahu bibir emaknya
sedang mengukir senyuman memerli.