Mentari sudah memudarkan cahayanya sedikit demi sedikit. Silauannya semakin
meredup. Langit yang membiru pun telah diselubungi awan gemawan. Masa yang
terus beredar berabad lamanya. TUHANlah yang telah menghadiahkan kita masa yang
singkat di bumi ini.
Waktu menunjukkan hampir 6.00 petang. Sudah berulangkali Akif memerhati kearah tempat parkir kereta
berhadapan dengan pasar mininya. Namun, kereta Kelisa merah masih belum
kelihatan. Sudah seminggu dia berkeadaan begitu. Tidak tahu apa sebabnya. ‘Memang
benarlah penantian itu satu penyiksaan,’kata hati kecilnya pula.
Hampir senja, bibirnya mengukir senyuman sebaik sahaja
melihat kelibat kereta itu sedang menghampiri lorong masuk ke tempat parkir di
hadapan pasar mininya. Hatinya dipagut kecewa kerana melihat pemandu kereta Kelisa
merah bukan sidia yang dinanti.
“AssalamualaikumAkif...”panggil Pak Yusof sebaik sahaja
keluar dari kereta. Dia terus membuka boot
dan mengeluarkan dua buah kotak. Akif datang menghampirinya. Bunga-bunga kecewa
di hatinya bertambah mekar, apabila melihat Pak Yusof datang bersendirian.
“Yana tak dapat
datang! Dia demam. Ada di wad. Doktor syak dia kena denggi,” beritahu Pak Yusof
sebaik sahaja Akif berdiri di sisinya. Terkejut Akif mendengar perkabaran itu.
“Oh ya? Kenapa dia
tak telefon beritahu saya. Saya tertunggu-tunggu jugak. Sebab waktu dia datang
ke sini dua minggu lalu, dia janji nak hantar kerepek ni hari Sabtu minggu
lepas,” beritahu Akif, ramah. Dia mengangkat sebuah kotak dan membawa masuk ke
dalam pasar mininya diiringi Pak Yusof yang juga membawa sebuah kotak. Mendengar
kata-katanya itu Pak Yusof ketawa kecil.
“Yana anak pakcik tu pemalu sikit! Lagipun dia belum
kenal sangat dengan Akif. Tu yang dia segan nak beritahu,” cerita Pak Yusof.
“Oh...” sambut Akif ringkas.
Dia terkenangkan pertengkaran kecil yang ditimbulkan oleh
Dayana pada pertemuan mereka sebelum itu. Keberanian Dayana meluahkan kata-kata
untuk menyuarakan rasa tidak puas hatinya tidak menggambarkan yang dirinya
seorang pemalu.
‘Agaknya dia geram sangat hari tu,’pujuk hatinya pula.
“Pakcik datang ni pun, dia yang desak-desak waktu pakcik
melawat dia di wad semalam. Sampai nangis-nangis dia suruh pakcik hantarkan
kerepek-kerepek ni! Dia kata dia dah janji dengan Akif. Dia rasa malu kalau tak
tunaikan janji,” beritahu Pak Yusof lagi.
“Alah, kalau Yana telefon dan beritahu hal yang sebenar, saya
pergi ambil di rumah pun tak apa, pakcik,” jawab Akif, lembut.
“Kalau saya tak sempat, sayasuruh pekerja saya pergi
ambil,” kata-kata yang terungkap di bibir Akif berhenti seketika kerana dia
mengira jumlah bungkusan kerepek yang dibawa oleh bapa Dayana.
“Yana bila nak discharged?
Doktor ada beritahu pakcik tak?”soal Akif apabila selesai mengira. Pak
Yusof menggeleng.
“Ada 600 bungkuspakcik,”beritahu Akif pula setelah
mengira sekali lagi. “Nanti pakcik suruh Yana tulis invois ya,”pesannya sambil
mencatit sesuatu pada buku kecil yang ditangannya.
“Invois?”tanya Pak Yusof kerana tidak tahu apa yang
dimaksudkan oleh anak muda itu. Baru pertama kali dia mendengar perkataan itu. Pak
Yusof menggaru-garu kepala sejenak. Akif yang melihatnya menyengih lebar.
“Tak apa, pakcik.Nanti saya ajarkan Yana, macam mana nak
buat! Dokumen-dokumen urus niaga ni sangat penting untuk tujuan rekod kita,”jelas
Akif dengan lembut.
“Yalah, Akif. Akif ajarkanlah anak pakcik tu cara-cara
nak uruskan bisnes dengan betul. Kecil atau besar perniagaannya kenalah ikut
cara yang sepatutnya, betul tak?”tanya Pak Yusof.
“Insya-ALLAH, pakcik. Saya akan tunjuk ajarkan Yana.”janji
Akif dengan senyuman yang semakin melebar. Hatinya berasa senang dengan
permintaan bapa gadis itu.
“Pakcik balik dululah, Akif. Nanti kalau ada apa-apa Akif
telefonlah Yana tu, ya,”ujar Pak Yusof sambil membuka pintu keretanya.
“Nak telefon macam mana, pakcik?Nombor telefon Yana saya
tak ada simpan,” terang Akif sambil tersenyum. Dia terasa segan hendak meminta
nombor telefon gadis itu sewaktu mereka bertemu dua minggu yang lalu.
“Yana tak bagi nombor telefonnya kepada Akif?”soal Pak
Yusof, agak terkejut. ‘Nak berniaga macam mana Yana ni, kalau nombor telefon
sendiri pun lokek!’Hati Pak Yusof seolah berbisik.
Akif menjawab soalan itu dengan senyuman sambil mengeleng.
“013...” Spontan sahaja bibir Pak Yusof menyebutkan
nombor telefon bimbit Dayana. Akif terus mengambil telefon bimbit di dalam
kocek seluarnya dan menyimpan nombor telefon gadis itu di dalam direktori
telefon bimbitnya.
“Terima kasih, pak cik,”ucap Akif sambil menutupkan pintu
kereta.
Pak Yusof melambaikan tangannya dan terus beredar dari
situ. Akif menekan butang-butang di telefon bimbitnya dan menghubungi Dayana untuk
bertanya kabar.Suara mesej pesanan yang menjengah gegendang telinga Akif, menghampakannya.
KEESOKANNYA harinya Akif meluangkan masa untuk melawat Dayana di wad. Matahari
bersinar terang sewaktu kereta yang dipandu Akif tiba ke medan parkir Hospital
Parit Buntar. Alhamdulillah, masih banyak tempat parkir yang kosong. Secara
kebetulan sewaktu dia tiba memang sudah sampai masa untuk melawat. Akif pun
cepat-cepat menaiki lif dan menuju ke wad pesakit perempuan.
DAYANA BT MOHD YUSOF. Katil nombor 13.
Mata Akif terpaku pada papan putih yang terlekat di
dinding di luar pintu wad. Setelah itu dia berjalan cepat-cepat memasuki wad
sambil matanya memerhati nombor-nombor di dinding di kepala katil pesakit. Bibirnya
mengukir senyuman sebaik melihat Dayana yang sedang bermenung di atas katilnya
seolah-olah sedang menunggu seseorang.
“Assalamualaikum...”sapanya kepada Dayana. Dayana
tersentak. Dia mendongakkan wajahnya dan melihat wajah Akif. Tidak diduganya
pemuda yang sedang dikenang menjelma di depan matanya.
“Waalaikumusalam,”jawab Dayana singkat menyembunyikan
kekejutannya.
“Yana apa khabar?”soal Akif sambil merenung mesra.
“Akif nak tengok saudara sakit ke?”soal Dayana. Pertanyaan
dari Akif tidak berjawab. Wajahnya sugul. Sebenarnya dia sedang menunggu
kedatangan emak dan ayahnya untuk membawa dia pulang ke rumah.
“Hmm...” jawab Akif ringkas.
Matanya merenung Dayana yang sudah tidak berseragam
hospital.
“Akif melawat siapa?”soal Dayana pula. Suaranya hambar. Matanya
melilau ke sana sini. Cuba mengagak pesakit yang ada kena-mengena dengan pemuda
yang sedang berdiri di sisinya. Akif tersenyum meleret.
“Saya datang memang nak melawat Yana lah,” beritahunya
ramah.
“Yana dah sihat?”tanyanya pula mengulangi pertanyaan yang
belum berjawab.
Dayana mengangguk perlahan. “Alhamdulillah,” jawabnya.
“Kenapa tak beritahu Akif, Yana masuk wad?”soal Akif
lembut.
Dayana sedikit terkejut dengan pertanyaan itu. ‘Apa hal
pulak aku nak beritahu mamat ni yang aku masuk wad? ’soal hati kecilnya. ‘Usia
perkenalan masih terlalu singkat. Belum pun sampai dua bulan. Hati budinya pun
aku belum kenal,’rungut hati Dayana.
“Beritahu? Hmm...” kata Dayana sambil merenung wajah Akif
dan mengerutkan dahinya. Dia ragu-ragu hendak memberi jawapan, bimbang akan
mencalarkan hati pemuda itu.
“Yana...Yana...tak teringat nak beritahu, maaf,”dalihnya,
tergagap-gagap.
Akif tersenyum lagi.Teringat pula dia kepada emak dan
adiknya Nisah yang masih belum nampak batang hidung mereka.
“Akif datang bawa mak dengan adik sekali,” beritahu Akif
pula. Matanya meninjau ke pintu wad. Dayana pun turut sama memerhati ke arah
pintu masuk wad yang kelihatan sibuk dengan pelawat-pelawat keluar masuk. Jantungnya
berdetak laju. Hal itu tidak diduganya sama sekali.
“Itu pun mereka,” kata Akif sambil melambai ke arah
seorang wanita separuh usia dan seorang gadis remaja. Wanita dan gadis yang
dilambai Akif berjalan laju menuju ke arah mereka.
“Yana,ini mak Akif,” perkenal Akif kepada Dayana. Dayana
menghulurkan tangannya kepada emak Akif.
“Nama makcik, Esah,”beritahu emak Akif pula dengan suara
ramah dan tersenyum mesra. Lembut dan sejuk tangan Dayana yang di dalam
genggamannya. Gadis itu mencium tangannya dengan sopan.
“Yang ini adik bongsu Akif,” perkenal Akif lagi.
“Hai,saya Nisah,” beritahu Nisah dengan suara riang. Dia
sempat mencubit lengan Akif dan memberi
isyarat mata kepada abangnya itu.
‘Oh!Agaknya inilah kekasih Abang Akif? Patutlah dia
menolak cinta Kak Ros,’bisik hati Nisah cuba meneka. Matanya merenung kepada
Dayana dengan pandangan nakal.
“Dah sihat ke, Yana?”soal Mak Esah. Matanya yang mencuri
pandang ke wajah gadis itu tidak berkalih agak lama. ‘Macam sepadan aje dengan
Akif,’bisik hatinya sendiri.
“Dah, alhamdulillah, makcik. Hari ini Yana dah discharged! Sedang tunggu ayah datang
ambil bawa balik. Terima kasihmakcik sudi datang. Buat susah-susah aje,” jawab
Dayana, panjang lebar.
Mereka berbual-bual beberapa ketika tentang beberapa
orang pesakit yang berada di wad itu. Dayana terasa segan juga dengan kemesraan
dan keramahan yang ditunjukkan oleh Akif dan keluarga terhadapnya, sedangkan
mereka belum pernah berkenal mesra.
Sambil berbual dengan Akif dan keluarga, hati Dayanadilanda
resah. Sebenanya sudah empat jam dia menunggu ayahnya untuk mengambil dan
membawa dia balik ke rumah tetapi ayahnya belum kunjung tiba. Isyarat mesej
dari telefon bimbit Dayana mengganggu perbualan mereka.
“Maaf makcik, Yana nak jawab SMS,” kata Dayana sambil
mencapai telefon bimbitnya yang diletak di bawah bantal.
Tayar kereta pancit. Ayah tak dapat ambil Yana. Yana
balik sendiri. Naik teksi.
‘Alah, kenapa
ayah tak telefon beritahu dari tadi? Buang masa ajetunggu kat sini berjam!’
rungut hati Dayana. Airmatanya terus merembes sebaik sahaja membaca SMS itu. Wajahnya
bertukarmuram dan sugul.
“Kenapa Yana? Ada
yang tak kena ke? Ayah Yana tak dapat datang, eh?”teka Akif.
Mendengar
pertanyaan daripada Akif, Dayana bertambah sebak. Dia mengangguktanpa bersuara
sambil mengelakkan matanya dari bertemu pandangan dengan mata Akif. Buat malu
sahaja jika pemuda itu perasan yang dia sedang menangis.
“Tak apa, Yana. Saya hantarkan Yana balik. Jom!”tawar
Akif sambil mengambil beg yang diletakkan Dayana di atas katil. Sekali lagi dia
merenung ke wajah Dayana yang mendung.
“Jomlah,” pelawa Akif lagi seolah-olah mendesak.
“Mak,jom kita balik. Kita hantar Yana balik sekali. Ayahnya
tak dapat datang,” ajak Akif kepada emak dan adiknya yang asyik berbual dengan pesakit
di sebelah katil Dayana.
“Tapi...”kata Dayana. Dia serba salah dan berasa segan
untuk menerima budi yang ingin ditaburkan oleh pemuda itu kepadanya.
“Tak menyusahkan Akif ke?”soal Dayana pula kerana masih
ragu untuk menerima pelawaan pemuda itu. Bimbang termakan budi.
“Yana, agama Islam menganjurkan kita supaya suka
melakukan kebaikan. Membantu orang dalam kesusahan akan mendekatkan dirinya
dengan syurga,” kata Akif perlahan. Mungkin untuk pendengaran gadis itu sahaja.
Kata-kata yang diungkapkan oleh Akif buat hati Dayana terusik.
“Tunggu apa lagi, Yana! Jomlah! Jangan segan. Bolehlah
makcik berkenalan dengan mak, ayah dan adik beradik Yana nanti,” kata Mak Esah.
Akhirnya Dayana mengalah. Mahu tak mahu dia terpaksa mengekori Mak Esah dan Nisahserta
berjalan bersama mereka keluar dari wad.
“Adik-beradik Yana berapa orang?”soal Mak Esah sambil
mereka berjalan dari wad menuju ke lif.
“Hmm...Yana anak tunggal, makcik. Sebab yang lain dah
meninggal,” cerita Dayana. Baru sahaja mereka sampai di hadapan lif, muncul
seorang perempuan muda yang berjalan laju ke arah mereka.
“Eh,Nisah!” tegur Rosnani terus bersalam dengan Mak Esah
dan mencium tangan wanita itu. Bibir Mak Esah melukis senyuman melihat gelagat
gadis itu yang mencium tangannya lama-lama.
“Datang ke sini melawat siapa, Ros?”soal Mak Esah sebaik sahaja
Rosnani melepaskan tangannya.
“Dari wad
bersalin! Hmm...kakak saya yang sulung tu bersalin anak nombor tiga,” cerita
Rosnani sambil merenung ke wajah Dayana. Dayana melarik senyuman tipis
kepadanya.
“Makcik pulak? Melawat siapa?”soal Rosnani. Matanya mula
meliar ke sana sini mencari wajah Akif.
“Abang Akif dah turun dulu,” beritahu Nisah spontan
seolah faham dengan kehendak hati Rosnani. “Makcik dan Nisah melawat siapa?”soal
Rosnani lagi.
“Kami melawat hmm... tu...tunangAbang Akif. Inilah tunang
dia! Kenalkan, Kak Yana!”sampuk Nisah dengan tiba-tiba.
Mak Esah yang mendengarnya terkejut besar. Dia mencubit
belakang punggung Nisah dengan perasaan geram. Dayana yang tersentak mendengar
kata-kata Nisah terpaksa menghulurkan tangannya kepada Rosnani. Bibirnya
dilebarkan sambil memaniskan wajahnya.
“Bi...bi... bila Abang Akif bertunang?”soal
Rosnani tergagap-gagap dengan nada kuat dan terkejut. Bibirnya bergetar seolah-olah
ingin menangis.
“Hmm minggu lepas!”Laju sahaja bibir
Nisah menjawabnya sambil menjeling ke wajah emaknya dan Dayana.
Telinga yang mendengar kenyataan itu
terasa amat perit. Airmuka Rosnani serta-merta berubah. Seluruh alam ini
dirasakan telah hancur lebur di hadapan matanya. Keinginan sekeping hati
terdampar di laut lara. Perasaannya
hanyut dikabus duka. Terbang melayang entah ke mana. Hatinya tiba-tiba menjadi
kelam dan kosong hampa segala.
‘Akif bertunang? Oh,tidak!’jerit hati Rosnani
yang sedang menangis.
Tanpa sepatah kata dia terus beredar dari
situ kerana limpahan airmata sedang mengasak-asak tubir matanya. Dayana
kebingungan.
“Kak Yana... err... Nisah mintak maaf,” beritahu Nisah
kepada Dayana dengan tergagap-gagap. Jari Mak Esah terus merayap di belakang
Nisah dan mengutilnya berulang kali.
“Akak tu memang minat gila pada Abang Akif,”jelas Nisah
dengan selamba sambil menarik Dayana memasuki lif yang ternganga bersamanya.
“Tapi Abang Akif tak nak pada dia,” cerita Nisah lagi
tanpa berselindung.
“Kak Yana janganlah marah Nisah,” rengek Nisah sambil
merenung ke wajah Dayana.
“Tak apa, Nisah,”jawab Dayana ringkas walaupun terkejut
dengan kenyataan yang diungkapkan oleh gadis itu. Lif pun berhenti. Mereka terus
melangkah menuju ke kereta Akif yang berada tidak jauh dari situ. Akif sedang
menunggu mereka di sisi keretanya.
“Abang Akif, dah selesai,” kata Nisah dari jauh dengan
tiba-tiba.
“Apa yang selesai?”soal Akif dengan nada hairan.
“Masalah abang dengan Kak Ros,” jawab Nisah kuat lalu
menghumbankan tubuhnya ke dalam kereta.
“Jangan wayar di kepala Kak Ros putus, sudahlah,”sambung
Nisah lagi dan mengekek nakal. Akif tersentak mendengar kata-kata daripada
Nisah. Dia memandang wajah emaknya minta penjelasan.
“Masuklah, Kak Yana,” pelawa Nisah kepada Dayana sambil
menarik tangan gadis itu dengan mesra.
“Yalah! Kak Yana nak masuklah ni,” jawab Dayana dengan
lembut. Mak Esah sempat berbisik kepada Akif memberitahu hal yang telah terjadi
sebentar tadi.
‘Astaghfirullahalazim,hisybudak Nisah ni,’rungut hati
Akif. Dia merenung Nisah yang buat-buat tak faham. Setelah itu pandangan
matanya terlontar pula ke wajah Dayana yang tenang. Gadis itu sedang
menundukkan wajah. Perasaan Akif terus berbaur.