AKIF meraup wajahnya berkali setelah usai membaca surah Yasiin di atas
pusara Rosnani. Haruman bunga kemboja yang menghiasi pusara di sebelah pusara
Rosnani menerjah hidungnya. ‘Ya ALLAH, tempatkanlah rohnya dalam kalangan
orang-orang beriman,’doanya di dalam hati.
Tanah pusara direnungnya dengan penuh keinsafan. Itulah tanah
yang akan memusnahkan jasad manusia di dalam benamannya. Sementara menunggu
hari kebangkitan dan pengiringan manusia ke hadapan Rabbul Alamin dan saatnya
ditiupkan sangkakala. Seluruh penghuni kubur berada di bawah tanah. Tidak ada
sesuatu pun yang mengetahui nasib mereka, kecuali Dzat yang Maha Mengetahui
hal-hal yang tersembunyi.
Akif bertafakur agak lama dengan perasaan galau. Sampai
ketikanya nanti, entah bagaimana cara matinya. Hati kecilnya terfikir sejenak. Salah
satu bentuk keadilan ALLAH adalah, seorang hamba meninggal dengan cara sesuai
dengan kebiasaan semasa hidupnya.
Orang yang menyibukkan diri selama hidupnya dengan zikir,
solat, sedekahdan puasa biasanya akan meninggal dengan husnul khatimah. Manakala
hamba ALLAH yang ingkar dan melakukan yang sebaliknya pula akan mati dalam
keadaan su’ul khatimah. Justeru kerana perbezaan itulah orang-orang soleh
selalu bersiap-siap menghadapi kematian dan berusaha sebaik-baik mungkin, menggunakan
setiap nafas yang ia hirup dan waktu yang dimiliki menjadi bekal menghadapi
kematian dan dapat mengangkat darjatnya di sisi ALLAH.
‘Ya ALLAH, golongkanlah aku, ibu bapaku, saudara maraku, para
sahabatku di dalam golongan para solihin. Condongkanlah hati kami untuk berjihad,
mengamal makruf dan menjauhi mungkar. Matikanlah kami di dalam keadaan husnul
khatimah.’ Tak tersedar bibirnya menitip doa sambil matanya menoleh kepada Mak
Timah yang baru selesai menutup buku Surah Yasiin.
“Jom, Mak Timah, kita balik. Esok-esok kita datang lagi,”kata
Akif kepada Mak Timah yang bersama dengannya melawat pusara Rosnani.
“Yalah, Akif. Terima kasihlah kerana sudi menumpangkan Mak
Timah,” jawab Mak Timah.
Tadi sewaktu dia berjalan kaki menuju ke tanah wakaf itu,
dia bertembung dengan Akif. Pemuda itu yang secara kebetulan ingin singgah
menziarahi kubur Rosnani sebelum pergi ke pasar mininya, menumpangkannya. Akif
menghantar Mak Timah sehingga ke halaman rumahnya. Dia keluar dari kereta untuk
membukakan pintu buat wanita itu.
“Akif ni! Tak payah susah-susah turun, bukakan pintu
kereta untuk Mak Timah pulak,” kata Mak Timah. Akif hanya ketawa kecil sambil
menyeluk saku seluarnya.
“Mak Timah, saya tak tahu nak bantu Mak Timah macam mana,”
balas Akif sambil menyumbat sesuatu di dalam genggaman tangan orang tua itu.
“Ya ALLAH, apa lagi ni Akif?”tanya Mak Timah sambil
membuka genggaman tangannya.
“Duit lagi? Akif dah banyak sangat yang Akif bagi kepada
Mak Timah! Nanti marah pulak mak kamu! Kelmarin perbelanjaan urusan jenazah
daripada hospital sehinggalah jenazah masuk ke liang lahad, semua Akif dah
tanggung! Nak buat apa Akif buat semua itu?”tanya Mak Timahdengan perasaan
terharu.
“Tak banyak mana pun. Rezeki daripadaALLAH. Kita
kongsikan bersama,” jawab Akif dengan lembut dan tenang. Apa salahnya
menghulurkan bantuan kepada orang yang sedang ditimpa musibah. Mudah-mudahan
dengan bantuannya itu dapat menggembirakan sedikit hati wanita itu yang sudah
dianggapnya macam ibu sendiri. Lagipun, bukankah segala amalan sedekah jariah
itu akan menjadi bekalannya di hari akhirat nanti?
“Akif...”Terusik hati Mak Timah dengan kebaikan hati
pemuda itu. Patutlah anak gadisnya terlalu mengharap dan mendambakan cinta
pemuda itu sehingga menjadi gila bayang. Akif memang seorang pemuda yang
terlalu baik di matanya.
“Mak Timah gunalah untuk buat majlis tahlil ke. Saya dah
anggap Ros macam adik saya. Mak Timah macam ibu saya jugak! Saya bersimpati
dengan Ros. Saya...”
Bicara Akif terputus di situ. Dia sebak mengenangkan
nasib Rosnani yang memilukan. Terbayang dimatanya peristiwa malang yang menimpa
gadis itu gara-gara perangai syaitan Karim. Rahsia peristiwa itu akan
disimpannya sampai mati. Sebagaimana Rosnani menyembunyikannya walaupun
batinnya terseksa.
“Mak Timah, saya beredar dulu. Pasar mini tu kalau hari Ahad
macam ni, ramai orang,” beritahu Akif sambil tersenyum. Dengan perlahan dia
menggerakkan keretanya melalui jalan kecil yang merintangi sawah yang luas
terbentang. Urusannya dengan Rosnani sudahpun usai, kini dia harus bertemu
dengan Dayana. Dia harus memberi penjelasan kepada gadis itu. Akif menekan butang-butang
di telefon bimbitnya ‘Nombor yang anda dail tiada lagi di dalam perkhidmatan.’
‘Alah, dia tukar nombor telefon pulak!’keluh Akif. Bibirnya
tersenyum pahit.
Haluan kereta dihalanya ke jalan yang akan membawanya ke
rumah gadis itu. Matahari terus menyinari alam, sewaktu kereta yang dipandu
Akif memasuki lorong masuk menuju ke rumah Dayana. Dia membuka skrin tingkap
kereta untuk menikmati udara segar dari sawah yang luas terbentang. Pemandangan
di kiri kanan jalan yang dipenuhi oleh petak-petak sawah yang padinya sedang
subur dan menghijau menenangkan hatinya yang sugul dua tiga hari ini.
“Harap-harap Yana ada di rumah.”Akif berbicara sendiri
sambil bibirnya mengukir senyuman.
Dari jauh lagi dia sudah dapat melihat rumah gadis itu
yang dikelilingi oleh sawah padi. Rumah kayu berwarna kuning air dengan halaman
rumahnya dipenuhi oleh tanaman bunga kertas dan pelbagai bunga lagi nampak
berseri. Akif memperlahankan pemanduannya sebaik sahaja sampai di jalan
berhadapan rumah gadis itu. Matanya melihat empat buah kereta yang sedang
diparkirkan. ‘Nampaknya rumah itu sedang dihadiri tetamu,’kata hati kecilnya. Akif
terus memerhati dari jauh. Seorang demi seorang keluar dari kereta dengan
membawa dulang hantaran dan terus naik ke rumah gadis itu.
‘Alamak! Aku datang pada masa yang tidak
tepat!,’rungutnya. Hatinya terbenam hampa. Menyakitkan!