Desiran angin dari sawah begitu mendamaikan. Rosnani masih duduk termenung di muka
pintu dangau di bawah pokok mempelam. Dangau yang didirikan oleh ayahnya di tengah
sawah yang luas terbentang tempat dia mencari ketenangan jika dijenguk
kerunsingan. Matanya merenung pokok-pokok padi yang bergoyang-goyang ditiup angin
petang. Nun jauh di sana, gunung-ganang nampak berbalam dan kebiruan
digandingkan dengan kehijauan pohon padi, menghasilkan lukisan alam yang amat indah.
Namun kedamaian petang itu tidak mampu memujuk hatinya. Perasaannya
benar-benar terhimpit. Masuk hari ini, sudah seminggu dia tidak berselera makan.
Tekaknya terasa perit. Nasi yang ditelan pun bagaikan gumpalan pasir yang
memasuki kerongkongnya. Rosnani terus mengesat airmata yang mengalir dipipinya.
Entah mengapa hidupnya sering dirundung nestapa. Satu demi satu peristiwa yang
dialami merobek hatinya.
Setahun yang lalu, tunangnya Razif telah menikahi gadis
lain. Berhari-hari dia bermenung di dangau itu melayani tangisannya. Puas dia
menghamburkan airmata kerana tertewas dengan impiannya yang telah hancur. Fikiran
Rosnani terus melayang memutar kenangan.
“Ros! Mengapa bersedih? Frust menonggeng
ke? Kasihan, tunangan dirampas orang.”Suara Karim, kutu kampung tiba-tiba
menjengah ditelinganya sewaktu dia sedang duduk termenung menangisi nasib diri.
Karim, anak bujang tua yang selalu mengganggunya. Benci. Betapa dia membenci
lelaki itu.
“Apa masalah Abang
Karim kalau tunang Ros dirampas orang?”soalnya dengan kasar sambil mengesat
airmata yang tertumpah di pipi. Khayalannya telah diganggu.
Matanya mencerlung merenung Karim yang memandangnya
sambil menggosok-gosok dagu dan bermain-main mata dengannya. Gatal! Miang! Getus
hatinya. Kebenciannya kepada Karim semakin meruap.
“Itulah...Abang Karim pinang Ros cara
baik, Ros tolak. Ros nak kahwin dengan Razif jugak,” kata Karim sambil memintal
daun rokok. Karim semakin menghampirinya yang duduk di muka pintu dangau itu. Mungkin
Karim cuba melindungkan dirinya dari air hujan yang mulai turun.
“Kahwin dengan abanglah, Ros,”pujuk Karim
sambil duduk rapat disebelahnya. Dia menjauhkan dirinya.
“Eh! Kenapa abang
ni? Tak reti bahasa ke? Ros tak suka! Benci! Semua keluarga Ros tak suka pada
abang! Kalau abang terus ganggu Ros, Ros akan adukan pada Abang Kamarul!”ugutnya pula. Nafasnya mula deras. Matanya merenung langit yang mendung. Hujan
semakin lebat.
“Eleh! Ros ni kalau marah-marah begini, bertambah
manis pulak,” kata Karim sambil mencuit dagunya sekali lagi. Kali ini Karim
sempat mencubit pipinya. Biadap! Maki Rosnani di dalam hati.
“Kita kahwin ya...”pujuk
Karim lagi tanpa mempedulikan kemarahannya.“Kalau Ros nak, esok jugak kita
boleh bernikah!”kata Karim sambil mencubit dagunya sekali lagi. Dia menepis
tangan Karim dengan kasar.
“Tak payahlah! Biar tak kahwin sampai
mati daripada berkahwin dengan abang! Ros tak rela tubuh badan Ros abang sentuh!
Ros benci!”balasnya dengan suara kuat dan marah. Dia bingkas bangun dan cuba
menjauhkan dirinya daripada Karim. Dia bangun dari muka pintu dan masuk ke
dalam dangau. Cadangnya ingin melarikan diri daripada lelaki itu melalui pintu
belakang dangau. Namun, tanpa diduga lelaki itu terus menerpa ke arahnya. Dia
jatuh terlentang di atas lantai dangau. Karim terus menerkamnya dengan perasaan
geram dan menghimpit tubuhnya di lantai.
“Tolong!!!”jeritnya sekuat hati dengan
perasaan cemas.
“Lepaskan aku setan!!!
Tolong!!”jeritnya lagi dengan suara lebih kuat mengatasi derau air hujan yang
semakin lebat.
Mungkin perasaan Karim seolah-olah
tersula apabila dia memanggilnya ‘setan’. Hati Karim semakin terbakar dengan
nafsu lalu Karim menyentap kain yang dipakai dan menarik baju yang membalut
tubuhnya. Tidak sampai seminit tubuhnya sudah bogang. Dia terus menjerit- jerit
meminta tolong.
“Oh, kau tak rela tubuh badan kau aku
sentuh, ya?”tempik Karim sambil menghimpitnya. Dia terus menjerit serta
menyepak dan menerajang tubuh Karim.
“Tak ada siapa yang nak dengar jeritan kau,
Ros! Dah senja-senja begini. Hujan lebat! Dangau ni di tengah bendang!”kata
Karim dengan suara kuat, terus mengasak tubuhnya ke tepi dinding sambil melumat
bibirnya. Rontaannya yang kuat dan berusaha bermatian untuk melepaskan dirinya
semakin menyemarakkan keinginan Karim untuk meratah tubuhnya.
“Abang Karim!”Jeritan suara penuh
kemarahan dari belakang Karim menyebabkan lelaki durjana itu terkejut lalu
melepaskan tubuhnya dari gomolan. Tidak sempat menoleh tubuh Karim terpelanting
kerana diterajang.
Dia terus menyambar kain baju yang
bergelimpangan di atas lantai dangau untuk menutupi tubuhnya yang tidak lagi
berpakaian sambil tersedu. Dia malu. Teramat malu. Tambahan pula apabila
melihat pemuda yang tiba-tiba muncul di dalam dangau itu yang telah
menyelamatkan dia daripada menjadi
mangsa nafsu Karim.Akif merenung marah kepada Karim.
“Akif! Tolong abang! Jangan ceritakan hal
ini kepada sesiapa!”rayu Karim kepada Akif dengan suara tergagap.
“Kenapa Abang Karim berkelakuan keji
begini?Abang ni lelaki, sepatutnya melindungi dan membimbing kaum hawa yang
lemah! Tapi abang hendak membuat onar pulak”marah Akif dengan suara kuat.
“Abang hendak
memiliki orang lain dengan cara terkutuk. Perbuatan abang ini dimurkai oleh
TUHAN. Abang berperangai macam haiwan!”tempik Akif dengan kemarahan berterusan.
“Ros! Abang mintak maaf,”rayu Karim pula.
Mata Karim merenung kepadanya. Dia yang masih kelihatan tidak keruan dan
bernafas deras. Apabila dia tidak mempedulikannya pandangan mata Karim beralih
kepada Akif pula.
“Akif suruh Ros maafkan abang,” kata
Karim, masih merayu.
“Itu saya tak tahu. Terpulang kepada Ros.
Saya akan bawa dia ke balai polis,” kata Akif tegas.
“Tolonglah, Akif. Jangan
adukan pada polis! Abang tak sempat buat apa-apa pun!”rayu Karim lagi sambil
mencium lutut Akif. Akif tidak mempedulikannya.
“Tak sempat berbuat apa-apa!?”tanya Akif
dengan kuat. Bulat matanya merenung Karim yang masih kelihatan menggelabah.
“Abang dah perkosa
dia! Saya tetap akan bawa Ros buat laporan kepada pihak polis!”jelas Akif tegas.
“Ros! Cepat pakai baju tu!”suruh Akif
kepadanya tanpa merenungnya. Dia yang masih menggeletar dan terperosok di
dinding dangau menangis ketakutan.Pandangan Akifterlontar ke luar dangau. Melihat
titisan hujan yang semakin lebat. Mungkin melihat air hujan itu lebih baik
baginya dan akan mendatangkan pahala daripada melihat dirinya yang hampir seluruh
auratnya telah terdedah. Karim, selepas memakai pakaiannya semula terus terjun
dari dangau. Akif pun sama. Akif menunggunya di tangga dangau dan menghantarnya
pulang
selepas itu. Dia tidak tahu bagaimana
tiba-tiba Akif muncul dan sempat menyelamatkannya. Kalau tidak ranaplah
kesuciannya di tangan Karim.Tekanya,mungkin pada waktu itu Akif sedang
melihat-lihat bendangnya yang tanahnya bersempadan dengan bendang yang dimiliki
oleh keluarganya. Lantaran itu Akif telah mendengar jeritannya yang kuat.
Setelah peristiwa itu, Karim terus menghilangkan dirinya
dari kampung. Akif sehingga hari ini tidak pernah membuka mulut untuk
bertanyakan hal itu kepadanya. Sehingga saat itu tiada siapa pun tahu peristiwa
hitam yang telah melanda dirinya. Walau dipujuk Akif supaya membuat laporan polis, dia menolak. Dia malu. Akif
pun tidak mendesak lagi.
Sejak hari itu dia mula mencintai Akif di dalam diam. Dia
rasa terhutang budi dan maruah. Dia ingin membalas budi lelaki itu dengan
mengabadikan dirinya, menyerahkan seluruh cintanya kepada Akif. Walaupun Akif
pemuda yang disegani di kampung itu, namun perwatakannya yang sederhana itu
begitu mengikat hatinya. Akif tidak pernah mengungkapkan kata-kata cinta. Itulah
yang menyebabkan jiwanya semakin melara. Gelora cintanya telah memakan jiwa dan
memamah fikiran. Sehingga dia menjadi sasau. Dia tahu orang kampung telah
melabelnya sebagai ‘mereng’ atau ‘Ros tiga suku’. Mendengar berita pertunangan
Akif menyebabkan dia semakin rungsing dan resah.
‘Sampai hati Abang Akif bertunang dengan orang lain. Tak
cantik ke Ros ni? Kenapalah nasib aku malang sangat? Lelaki yang aku cintai
selalu dirampas oleh perempuan lain! Dulu Razif tunang aku berkahwin dengan
orang lain kerana ditangkap basah, aku tidak kisah sangat. Tapi, aku tak akan
biarkan Abang Akif menjadi milik gadis lain! Aku nakkan dia jugak! Kalau tidak,
aku lebih rela mati daripada melihat lelaki yang aku cintai bersanding dengan
orang lain! Aku akan pergi berjumpa dengan Abang Akif sekarang juga!Aku tak
peduli!’ Rosnani terus bercakap-cakap sendiri.
Keputusan telah dibuat, lalu dia tergesa-gesa bangun dari
pangkin dan berjalan deras-deras menuju ke rumah.
“Hai Ros! Kelam kelibut ni kenapa?” soal emaknya dengan
suara kuat, apabila melihat langkah kaki Rosnani panjang-panjang. Rosnani tidak
menjawab.
“Yang kamu menangis berhari-hari kenapa? Dah tak buat kek
lagi? Dah habis resipi dalam kepala otak kamu ke?”sindir Mak Timah dengan suara
nyaring.
“Mak ni! Jangan nak sindir-sindir Ros,” jawab Rosnani
seolah-olah merajuk. Dia menghentak-hentak kakinya dan meninggalkan Mak Timah
seorang diri. Selang sepuluh minit Rosnani muncul sekali lagi di depan emaknya.
“Nak ke mana ni? Bercantik-cantik?”soal Mak Timah. Matanya
merenung ke wajah Rosnani yang sudah berdandan sakan.
“Mak, bagi Ros duit sikit! Ros nak pergi pekan!”kata
Rosnani sambil menadah tangan kepada emaknya. “Hisy! Hari-hari duit! Ingat mak
cap duit? Nak beli apa? Barang-barang di dapur semua abah kau dah belikan
semalam. Bahan-bahan kau nak buat kek pun melambak lagi di dalam almari tu,” leter
Mak Timah. Walaupun bibirnya membebel tangannya mencapai juga beg duit yang
tersorok di belakang balang menyimpan gula.
“Mak ni, tiap hari membebel pada Ros. Nanti kalau Ros
mati, baru mak menyesal,”rungut Rosnani seolah-olah berjauh hati. Tangannya
menyambut not RM50 yang dihulurkan oleh emaknya.
“Macam mana tak membebel, Ros. Satu kampung dah tau yang
kamu tu gila bayang pada si Akif anak Shukri tu. Tiap hari orang nampak kamu
kirim kek melalui Nisah. Ros,jagalah diri sikit! Jangan memalukan diri sendiri!
Ni kamu nak pergi pekan, kamu nak kemana? Kamu nak mengintai Akif di pasar
mini dia? Tak puas kamu skodeng dia tiap pagi waktu dia keluar pergi kerja?”soal
Mak Timah.
“Makk!Mana Ros pernah intai dia! Ros belum gila lagi mak!
Bila masanya yang mak nampak Ros skodeng Abang Akif?” soal Rosnani kembali.
“Eleh! Mata mak ni belum buta lagi, Ros. Setiap kali
lepas subuh kau duduk termenung di atas tangga depan rumah tu nak buat apa, kalau
bukan mengintai Akif lalu. Lepas aje lori atau kereta yang dipandu Akif tu lalu,
pandai pulak kau masuk dalam rumah.Bukan skodeng ke tu?”soal Mak Timah.
“Malaslah nak layan, mak. Ros nak pergi dah ni! Assalamualaikum,”
kata Rosnani.
“Topi keledar pakai!”jerit Mak Timah sambil menghulurkan
topi keledar yang ditinggalkan oleh Rosnani di atas meja.