MALAM telah pun ke penghujungnya apabila fajar
menyinsing dengan sinarnya yang halus dan lembut. Sehari lagi, hari yang baru, muncul
pada alam ini. Hari semalam telahpun jadi kenangan yang tidak mungkin akan
berulang, namun tetap terakam di dalam ingatan.
Hampirlenguh jejari Akif menekan butang-butang di telefon
bimbitnya. Akhirnya hatinya dimamah kecewa. Dayana gagal dihubungi. Semalaman
dia tidak lena tidur kerana mengenangkan gadis itu. Dayana yang diserang oleh
Rosnani secara tiba-tiba. Pasti Dayana berkecil hati dan terasa malu. Rosnani
pula terlibat dengan kemalangan jalanraya, tidak berapa saat setelah insiden
itu. Kini, nama kedua-dua orang gadis itu kejar mengejar di dalam hatinya, lantas
melontarkan dirinya ke jurang keresahan dan kegelisahan yang merimaskan.
“Awalnya Akif bersiap pagi ni?”tegur Mak Esah apabila
susuk tubuh anak bujangnya itu muncul di dapur. Akif sudah berpakaian kemas. Baju
kemeja lengan pendek warna biru berjalur halus dan berseluar hitam.
“Mak!Akif nak pergi tengok Ros, mak!”beritahu Akif dengan
tergesa-gesa sambil meneguk Nescafe yang dihidangkan oleh emaknya.
“Pagi lagi ni! Baru 7.30. Akif tak pergi berniaga ke?”soal
Mak Esah.
“Akif kena pergi awal pagi, mak. Hospital Taiping tu jauh.
Lagipun kalau tengah hari nanti susah nak dapat tempat parkir,” jelas Akif.
“Pasar Mini tu biarlah Ali jaga sekejap. Akif dan
beritahu pada dia, mak.”
Mi goreng yang disediakan oleh emaknya hanya dimakan dua
sudu sahaja. Patah seleranya mengenangkan nasib Rosnani dan peristiwa tengah hari
semalam.
“Kenapa hantar Ros ke hospital Taiping pulak! Hospital Pulau Pinang, bukankah
lebih dekat?”tanya Mak Esah seolah terkejut dengan cerita anaknya itu. Semalam
Akif tiba di rumah hampir 1.00 pagi dan hanya sempat memberitahunya tentang
kemalanganyang menimpa gadis itu.
“Tak tahulah, mak! Apa masalahnya. Semua tu pihak
hospital yang uruskan! Bukannya ikut kehendak kita! Agaknya mereka dah
berhubung dengan pihak Hospital Pulau Pinang dulu. Mungkin bilik ICU di Penang
dah penuh dengan pesakit, lalu mereka hantar Ros ke Taiping,” terang Akif
mengikut justifikasinya.
“Kalau begitu, mak pun nak ikut! Ayah pun sama,”beritahu Mak Esah. Berita
malang tentang Rosnani memanggil rasa sedihnya juga.
“Akif nak pergi sekarang,mak! Kita bawa Mak Timah dan Pak
Kulub sekali,” cadang Akif. Rosnani dan keluarganya adalah jiran mereka. Kini
keluarga itu ditimpa musibah. Mak Timah dan Pak Kulub mesti dilanda kesedihan
kerana kejadian malang yang menimpa mereka.
Rosnani, selepas mengamuk-ngamuk di hadapan pasar mininya
tengah hari semalam, terlibat pula dengan kemalangan. Motosikal yang dipecutnya
telah berlanggar dengan sebuah lori di persimpangan berhampiran pasar mininya. Kini,
Rosnani masih di wad hospital dan masih belum sedarkan diri.
“Yalah. Eloklah tu.Mereka pun tak ada siapa lagi yang nak
diharapkan. Anak-anak yang lain semua dah merantau jauh,” setuju Mak Esah
dengan cadangan anak sulungnya itu. Bukannya dia hendak memuji, Akif anaknya
memang selalu mengambil berat kepada jiran-jiran mereka.
“Cepat mak dan ayah bersiap, cepat kita boleh bertolak,” ujar
Akif sambil bangun dari kerusi. Dia meraba telefon bimbit di dalam kocek
seluarnya untuk menghubungi emak dan ayah Rosnani. Hati Akif berasa rungsing
kerana bimbangkan Rosnani. Dia memejamkan matanya cuba melenyapkan bayangan
tubuh Rosnani yang
dilihatnya semalam. Tubuh yang terguling di atas jalanraya. Rosnani yang
tidak bertopi keledar terhempas kepalanya di atas aspal jalan. Darah merah
kehitaman membasahi tudungnya.
LANGIT kelihatan mendung di angkasa. Matahari seolah-olah bersembunyi dan
menyepikan dirinya sejak pagi tadi. Cuaca kelihatan muram bagaikan hati
setengah-setengah penghuni di dunia. Nisah yang sedari tadi asyik mengelamun di
jendela menggaru-garu dagunya. Setelahitu tangannya berpindah ke atas kepala
pula. Dia berasa sunyi. Ayah, emak dan Abang Akifnya pagi-pagi lagi sudah
keluar dari rumah. Abang keduanya, Rais masih lagi bergulung di dalam selimut
di dalam biliknya. Rais, baru balik semalam. Katanya cuti semester sudah
bermula.
“Huah!!! Berangan aje anak dara ni!”sergah Rais secara
tiba-tiba.
Nisah terkejut dan menjegilkan matanya kepada Rais. Tangannya
laju menepuk abangnya itu. Selepas itu matanya singgah ke rambut Rais yang
kusut masai.
“Angah ni, kalau ada di rumah aje, mesti nak kacau Nisah!”kata
Nisah sambil menjeling. Rais hanya menyengih lalu membetulkan ikatan kain
pelikatnya.
“Eleh! Usik sikit pun dah marah! Nisah ni cuba ubah
perangai sikit! Awak tu perempuan. Mana boleh garang-garang, nanti tak laku
tahu tak?”usik Rais lagi.
“Nisah tengah sedih-sedih, angah nak menyakat pulak!”
kata Nisah sambil menangis.
“Pulak! Nanti banjir kat sini! Sedih pasal apa?”soal Rais
lalu duduk di sebelah adik bongsunya itu. “Mak dan ayah pergimana? Senyap aje?”soal
Rais lagi.
“Mak pergi hospital,”beritahu Nisah. Rasa sebak mulai
memukul pantai hatinya.
“Pergi hospital buat apa? Tengok siapa?”soal Rais.
Matanya merenung Nisah. Adiknya yang sudah
mencebir-cebirkan bibirnya. “Kak Ros...”jawab Nisah dengan tangisannya yang
semakin kuat. Dia mengesat hingus yang mula meleleh dari hidungnya dengan
belakang tapak tangannya. Rais yang melihat, genyi.
“Ros? Rosnani?”soal Rais pula sambil cuba mengingatkan
wajah perempuan itu. Nisah mengangguk.
“Kenapa? Dia terjun dalam tali air ke?”tanya Rais dengan
penuh minat. Yang dia tahu gadis yang bernama Rosnani itu otaknya mereng kerana
kecewa cinta.
“Bukan terjun dalam tali air,” nafi Nisah.
“Dia dilanggar lori! Selepas mengamuk di depan pasar mini
Abang Akif,” cerita Nisah pula.
“Kenapa pulak dia mengamuk?”soal Rais semakin teruja. Setahunya
Rosnani itu seorang yang lemah lembut walaupun sewel sesekali.
“Dia nakkan Abang Akif! Dia dah jadi gila bayang,”cerita
Nisah sambil tersedu. “Nisah beritahu dia, Abang Akif dah bertunang! Sebab
itulah agaknya dia pergi mengamuk pada Abang Akif.”Nisah berhenti bercerita
kerana melayani sedu sedannya.
“Sekarang ni Nisah rasa bersalah sangat. Kalau tak kerana
mulut Nisah, takkan jadi perkara begini! Semalam, lepas Kak Ros kemalangan, Abang
Akif balik ke rumah saja terus marah Nisah,” cerita Nisah sambil teresak.
“Nisah bersalah jugak kepada Kak Yana! Sebab tak
pasal-pasal mengheret dia dalam permasalahan. Sedangkan dia tak tahu apa-apa
pun,” sambungnya lagi.
“Kak Yana tu siapa pulak?”soal Rais. Dia semakin keliru
dengan cerita adiknya itu. Baru dua tiga bulan tidak balik ke kampung bermacam
hal pulak yang berlaku.
“Kak Yana tu... entah! Agaknya girlfriend Abang Akif. Atau Abang Akif baru nak bercinta dengan dia
agaknya. Nisah tak tahu. Tapi kelmarin Abang Akif bawa mak dan Nisah pergi
melawat Kak Yana di wad. Secara kebetulan dia dah discharged.Kami terus hantar dia balik. Kalau bukan teman
istimewaAbang Akif takkan Abang Akif nak pergi melawat dan menghantarnya sampai
ke rumah,” cerita Nisah dengan panjang lebar dan bersungguh-sungguh.
“Nisah pandai buat teori sendiri ya. Abang Akif tu dengan
semua orang dia baik. Semua orang dia nak tolong,” balas Rais pula. Dia faham
sangat dengan sikap abangnya itu. Orang yang selalu melakukan kebaikan akan
disukai ALLAH. Kata-kata itulah yang selalu diulang-ulang oleh abangnya untuk
menasihatinya dan Nisah.
“Seterusnya?”tanya Rais ingin mengetahui cerita
selanjutnya.
“Waktu nak balik dari hospitallah kami bertembung dengan
Kak Ros. Waktu itulah Nisah beritahu dia Abang Akif dah bertunang. Dan kenalkan
Kak Yana sebagai tunang Abang Akif. Tak sangka pulak Kak Ros boleh jadi begitu.
Sekarang ni Nisah rasa rungsing sangat,” rengek Nisah pula.
“Alah! Kenapa pulak Nisah nak fikir yang bukan-bukan. Ros
tu memang otaknya dah tak betul,” pujuk Rais. Tidak tergamak pula Rais untuk
memarahi Nisah pada waktu itu apabila melihat airmuka Nisah yang sugul.
“Tapi kasihanlah juga kepada dia. Abang nak ke hospital
tengok dia,” kata Rais lalu bangun dari sofa.
“Kak Ros cedera teruk tak?”sempat lagi dia menyoal.
“Entah, kata Abang Akif, kepalanya retak!”beritahu Nisah
sambil menangis.
“Retak? Parah tu,” komen Rais spontan.
Rosnani mungkin tak tertolongkan lagi.