Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 16 - PDSS
Bab 16

SEJAMBAK
bunga ros merah berada di tangan Alex. Ianya sebanyak 12 kuntum dan dibungkus cantik. Sahabat baik Alex, Hendry sebelum ini pernah menyatakan bahawa bunga ros merah yang mempunyai 12 kuntum menunjukkan seseorang lelaki itu telah jatuh cinta dengan seorang gadis.

Awal pagi lagi Alex telah bersiap-siap untuk bertemu dengan Rania di guesthouse. Walaupun malam tadi dia tidur agak lewat kerana asyik memikirkan tentang Rania.

Hampir jam 8.00 pagi, Alex sudah terpacak di lobi guesthouse untuk menunggu Rania yang dicintai. Hari ini dia perlu berkomunikasi dan menyusun ayat dengan sebaik mungkin supaya tidak membuatkan gadis itu didesak atau tersinggung.

Alex ada strategi tersendiri. Dia segera melabuhkan punggung di sofa yang disediakan oleh pihak guesthouse. Hiasan di ruang lobi sungguh ringkas sesuai dengan imej guesthouse tersebut.

Mata Alex sekejap-kejap memandang ke arah tangga sebaik sahaja mendengar bunyi tapak kasut atau suara mereka yang turun dari tingkat atas. Banyak mata yang mencuri pandang ke arah Alex yang setia bersama sejambak bunga ros merah. Sungguh romantik! Mungkin mereka berfikir, siapalah gadis yang bertuah menerima jambangan bunga ros daripada seorang lelaki handsome dan gentleman.

Sedang asyik Alex membelek majalah hiburan yang disediakan di situ, telinganya terdengar suara wanita. Alex segera menoleh ke arah suara itu. Muncul 3 orang gadis yang bertudung sedang menuruni anak tangga dengan langkah berhati-hati.

“Kita minum air kopi dulu, kemudian kita keluar aja.” ujar Tuti memberi cadangan. Beg sandangnya diletakkan di lantai.

“Sipp. Aku sejuk banget, yuk minum air panas.” balas Vina dengan mengosok-gosokkan kedua tangannya.

“Aku mahu air kopi.” Femil mula melabuhkan punggungnya di sebelah Tuti.

“Iya, biar aku yang ambilkan.” Vina menawarkan diri untuk membantu.

“Al-Quran Rania gi mana? Kita mahu letakkan di receptionist?” Vina bersuara, tiba-tiba dia teringat akan al-quran mini Rania yang tertinggal di sisi katilnya pagi ini.

“Loh, aku lupa terus hal itu.” balas Femil menepuk dahinya. Tuti hanya mendiamkan diri.

“Aku ada cadangan. Itu pun kalau teman yang lain setuju sama aku.” ujar Vina dengan penuh bersemangat.

“Apa cadangannya? Ayuh, kasi tahu sama aku loh.” Femil tidak sabar untuk mengetahuinya.

“Aku mahu tinggalkan di receptionist. Rania masih belum check-out. Pasti dia akan ke sini semula untuk mengambil barang-barangnya.”

“Aku setuju cadanganmu.” balas Tuti sambil menganggukkan kepalanya. Femil turut menganggukkan kepala.

“Ya, kalau semua udah setuju kita tinggalkan al-quran ini lantas tulis sedikit pesanan untuk Rania.” Vina membuat keputusan muktamad bagi menyelesaikan masalah teman sebilik mereka.

“Ayuh dong, segera minum nanti lambat untuk shopping.” Vina terus bingkas bangun daripada sofa.

Sebaik sahaja Vina menuju ke kaunter receptionist, matanya tepat terpandang sesusuk tubuh lelaki yang dikenali. Tangannya menyiku Femil yang agak kelam-kabut membetulkan tudung kepalanya.

“Ada apa?” soal Femil hairan dengan tingkahlaku Vina.

“Lihat di depan. Itukan Alex, kawan Rania.” Vina separuh berbisik kepada Femil. Dia cuba mengingatkan Femil. Berkerut dahi Femil melihat ke arah lelaki Korea yang segak memakai kot hitam panjang.

“Iya, seperti aku pernah melihatnya. Tapi di mana ya?” soal Femil kembali.

Vina menepuk bahu temannya dengan sedikit kuat.

“Itu lelaki Korea yang pernah menghantar Rania di guesthouse kelmarin. Aduh, lambat benar mikirinnya!” tempelak Vina.

Tuti hanya memerhatikan Alex dengan seribu persoalan.

“Aah, benar dong.” Femil mengiyakan seolah-olah sudah mendapat kembali ingatannya tentang lelaki Korea itu.

“Lelaki itu telah beri Rania hadiah jam tangan yang cantik!” ujar Vina separuh berbisik.

“Ya, mantap sekali! Lihat dia bawa bunga ros untuk Rania. Aduh, asik! Romantik dan ganteng lelaki Korea.” Vina mula berangan. Dia sangat teruja melihat lelaki yang membawa bunga ros untuk pasangannya. Lelaki idaman hati!

“Vina, hentikan lamunanmu. Siapa nama lelaki itu?” soal Femil yang agak blur di pagi hari.

“Alex, namanya. Sesuai dengan orangnya. Aduh, ganteng banget!” ujar Vina teruja terus bila berbicara tentang Alex.

“Udah, cepat dong. Kata mahu segera shopping tapi masih lagi di sini.” ujar Tuti yang mula bersuara setelah mendengar perbualan temannya.

“Wah, assik banget Rania dapat bunga ros! Aku cemburu ni..” ujar Vina perlahan.

Femil dan Tuti turut memandang ke arah Alex dengan senyuman.

“Kita beri aja pada Alex. Mungkin dia sudah berjanji mahu ketemu sama Rania di sini.” Vina menukar cadangannya.

“Bagus juga cadangan itu. Beri aja pada Alex, biar dia uruskan.” Tuti turut setuju dengan cadangan Vina.

“Aku beri aja padanya.” Vina segera menuju ke arah Alex yang turut terdengar nama Rania di sebut-sebut oleh kumpulan wanita ini.

Excuse me, Rania just left her al-quran. Please give to her. Thank you.” ujar Vina dengan senyuman tidak lekang dari bibirnya.

Sumpah! Ganteng banget lelaki yang bernama Alex ini. Sangat beruntung Rania berkawan dengannya. Pasti ada sesuatu antara mereka. Vina sempat membuat andaian sendiri.

Okay, thank you.” balas Alex dengan penuh tanda tanya.

Beg kertas yang berisi al-quran diambil daripada tangan Vina. Setelah kelibat 3 gadis itu hilang daripada pandangan matanya, Alex duduk semula di sofa yang disediakan. Matanya tidak lepas melihat beg kertas yang ditinggalkan sebentar tadi kepadanya.

Alex sempat membuat andaian sendiri, Rania sudah keluar dari guesthouse seawal pagi dan dia akan kembali semula ke guesthouse. Ke mana Rania menghilang pagi ni?

Majalah diletakkan semula ditempat asal. Alex menarik nafas dalam-dalam. Hatinya mula berbunga-bunga seolah-olah matahari memancarkan cahaya ke bumi. Harapan yang cerah. Alex tidak sabar untuk bertemu dengan Rania!

Sementara itu, Rania sudah separuh berjalan di laluan course 1. Dia berhenti seketika, kaki kanannya dipegang perlahan. Rania mendengus perlahan. Terasa sakit di belakang pelepat kaki kanannya. Badannya mula berasa panas.

Rania mula keletihan, tanpa berlengah punggungnya dilabuhkan di sebuah kerusi yang ada di situ. Aah, lega sungguh dapat duduk. Tekak Rania sangat haus, tangannya mencari sesuatu daripada beg sandangnya. Akhirnya banana milk berada di tangan, segera dimasukkan straw lalu diminum dengan penuh nikmat. Dia tersenyum semula, kini Rania memperolehi semula tenaga yang hilang.

“Kenapa kamu suka banana milk?” soal Alex.

“Sebab di Malaysia tiada. Hahaha.” jawab Rania dengan gelak besar. Matanya berair.

Rania termangu sendirian. Banana milk segera diletakkan dipehanya. Dia tertunduk perlahan. Perbualan dia bersama Alex semasa di Pulau Nami tiba-tiba muncul di memorinya. Rania mendongak semula dan matanya memandang terus ke sungai yang mengalirkan air yang sungguh jernih. Namun, tidak sejernih hatinya yang serabut memikirkan Alex, Yoonah dan baby. Mengapa mereka bertiga ini muncul dalam aktiviti mengembara aku.

Kalau masa boleh diputarkan, mahu sahaja aku tidak mahu berjumpa dan mengenali mereka. Rania ingin sekali mahu menjerit bagi melepaskan perasaannya, namun dia menahan diri daripada berbuat demikian. Tempat itu tidak sesuai untuk menjerit. Mata Rania kuyu memerhatikan orang yang berjalan di situ.

Hari semakin cerah, walaupun cuacanya nampak seperti panas namun angin dan suhu tetap sejuk bagi Rania. Hampir 2 jam dia berada di situ melayan perasaan sakit hati dengan berita gembira bagi Yoonah. Rania baru sahaja mahu merawat hatinya yang sakit, namun pagi ini segalanya bertambah sakit!

Kruk… kruk… kruk…

Rania memandang ke kiri dan ke kanan. Automatik tanggannya memegang perut dengan kedua belah tangan.

“Perut ni saja buat hal. Aku masih lagi sedih tapi sudah masa untuk makan.” desis Rania perlahan.

“Mahu makan apa?” soalan itu muncul di minda sedarnya.

“Hanya beberapa jam sahaja lagi aku akan meninggalkan kota metropolitan Seoul, aku perlu memanfaatkan masa ini dengan menikmati masakan asli orang Korea.” Rania pantas membuat perancangan untuk dirinya.

Tiba-tiba Rania teringat sebuah blog yang mencadangkan merasai ikan bakar gaya orang Korea. Tanpa berlengah lagi, kaki Rania laju melangkah menuju kawasan Myeongdong, tidak jauh dari sungai Cheonggyecheon. Tangan Rania tangkas mencapai beg sandang lalu segera disandangkan. Dia bingkas bangun dan melangkah menuju ke sana.

Selepas hampir 30 minit mencari kedai yang dimaksudkan akhirnya Rania menjumpainya. Kedai tersebut agak tersorok daripada jalan utama. Rania tersenyum lebar. Hajatnya tercapai dan sempat lagi untuk makan masakan Korea sebelum terbang ke bumi Malaysia.

Aroma ikan bakar dapat dihidu sebaik sahaja Rania tiba di deretan kedai ikan bakar. Sebelum masuk kedai, mata Rania melilau melihat ikan-ikan pelbagai saiz sedang dibakar. Semuanya nampak menyelerakan.

Seketika kemudian,

“Saya mahu seafood set.” ujar Rania sambil menunjukkan menu yang mahu dipesan kepada seorang ahjumma yang kelihatan sudah berumur namun masih cergas. Ahjumma itu mengangguk kepala dan tersenyum mesra. Bau ikan bakar membuatkan perutnya semakin berkeroncong minta segera diisi.

Tidak sampai 20 minit, ahjumma kembali semula bersama set menu yang dipesan. Ada semangkuk kecil nasi putih, kimchi, sayur taugeh segar, seekor ikan bakar dan sotong yang dimasak ala-ala sambal. Air teh tanpa gula turut dihidangkan bersama.

Siksa haseyo (Selamat menikmati makanan),” ujar ahjumma yang peramah dan murah dengan senyuman.

Kamsa hamnida.” balas Rania dengan menundukkan sedikit kepalanya.

Tanpa melihat ke kiri dan ke kanan, Rania segera mengambil copstik dan mula menikmati hidangan di depan mata tanpa berfikir perkara lain. Dia tekun mengunyah sotong segar yang dimasak sambal, benar-benar memenuhi citarasanya.

Ikan bakar tersebut dibelah dua, dibuang kepala dan tulang ikan. Hanya isi ikan bakar yang dihidangkan. Sebuah mangkuk kecil yang berisi sos yang berwarna hitam turut disertakan. Sos itu mempunyai rasa masin dan sedikit pedas sesuai untuk dicecah bersama ikan bakar yang tawar.

“Erk! Alhamdulillah.” Rania tersandar di kerusi.

Kaki Rania tidak lagi lenguh setelah berehat selama 40 minit di kedai makan itu. Majoriti pengunjung di situ adalah rakyat tempatan. Hanya dia seorang sahaja warga asing yang muncul di kedai ikan bakar yang mempunyai 2 tingkat.

Tut… tut… tut…

Tiba-tiba bunyi pesanan ringkas daripada Zaidah masuk ke dalam peti pesanan. Rania segera membuka lalu dibaca pesanan tersebut.

Assalam Rania. Boleh tolong aku tak? Kau masih ada lagi di Myeongdong kan?. Aku tiba-tiba teringin mahu makan candy halal yang dijual di situ. Kau tolong carikan boleh tak? Terima kasih kawan baikku dunia dan akhirat. Tak sabar mahu jumpa di KL. :)

Rania mengelengkan kepala membaca pesanan ringkas tersebut. Tahu-tahu saja aku masih lagi berada di Myeongdong. Seperti ada CCTV dari Kuala Lumpur nampak semua pergerakan aku di sini.

Syukur, semalam aku terperasan seorang lelaki Korea yang pandai berbahasa Melayu menjual candy tu. Kalau tak, Zaidah akan berputih mata. Dalam waktu yang terhad ini, Rania terpaksa mendahulukan masa untuk perjalanan ke airport. Rania mahu berada awal di airport bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

Usai membeli candy tersebut, Rania bergegas semula ke guesthouse. Di tangannya menggenggam erat sebuah beg plastik yang berisi 10 paket candy pelbagai perisa seperti coklat dan strawberi.

Rania turut membeli candy yang dibungkus rapi untuk keluarga dan rakan-rakan bagi merasai sendiri kuih tradisional rakyat Korea. Dia melihat sendiri candy yang berinti kacang ini disalut dengan gula. Candy ini juga dikenali sebagai tae-rae.

Pemuda Korea yang menjual candy tadi pandai mengambil hati pelanggan dengan menguasai bahasa Melayu dan peramah orangnya. Rania sempat mengambil gambar pemuda tersebut yang sibuk menunjukkan cara-cara candy tersebut dibuat. Ianya satu pengalaman baru yang sangat menarik!.

Langkah kaki Rania semakin panjang setelah melihat jam tangannya menunjukkan ke angka 2 petang. Dia perlu segera ke guesthouse semula untuk mengambil barang-barangnya yang ditinggalkan.

Sebaik sahaja Rania menjejakkan kaki di lobi guesthouse, jantungnya berdegup kuat seperti gunung berapi yang mengeluarkan lava panas. Alex berada di sini! Rania segera berjalan tanpa memandang ke arah Alex. Kononnya tidak perasankan Alex yang leka dengan telefon pintarnya.

Kamsa hamnida, bye bye.” ucap Rania sambil tersenyum kepada staf lelaki yang bertugas di situ. Rania membawa beg tariknya dengan cermat menuju pintu keluar.

Mata Alex terus menangkap kelibat Rania yang sudah berlalu di depannya. Dia hampir tidak perasaan kerna sibuk membalas email daripada rakannya.

Alex bingkas bangun. Dia turut mencapai jambangan bunga ros dan beg kertas yang diberikan oleh 3 gadis tadi.

“Rania!!” jerit Alex.

Kaki Rania laju menuju ke stesen subway. Mendengar namanya dipanggil orang, langkah Rania semakin panjang.

“Rania tunggu!!” jerit Alex lagi.

Dia berlari ke arah Rania yang semakin maju ke hadapan.

Rania hanya memekakkan telinganya. Dia sudah mula rimas dengan gangguan Alex yang asyik mengekorinya.

“Rania!!!” tiba-tiba lengan Rania dipegang erat oleh Alex.

Mata Rania terbeliak besar. Jantungnya berdebar kencang. Akhirnya Alex dapat juga bertemu dengan Rania pada hari terakhir di bandar moden, Seoul.

“Kenapa ni Alex!!!” teriak Rania.

“Lepaskan tangan saya, sakit!” kata Rania dengan wajah yang merah.

Sorry!” ucap Alex. Dia segera melepaskan genggamannya.

Ianya diluar kawalan Alex berbuat begitu. Rania hanya menjeling tajam ke arah Alex. Jelingan maut itu sungguh menakutkan Alex! Seolah-olah dia sudah membuat satu kesalahan besar seperti membunuh orang.

Rania hanya meneruskan perjalanan setelah Alex melepaskan genggaman tangannya. Wajahnya mencuka masam. Orang yang lalu di situ mencuri-curi pandang insiden pasangan muda ini. Ada yang tersenyum dan ada yang mengelengkan kepala.

“Rania, kenapa marah sangat ni? Apa yang saya sudah buat!” ujar Alex cemas.

Dia berjalan seiringan dengan Rania. Mendengar kalimah itu, Rania pantas menoleh ke wajah putih Alex. Dia berhenti berjalan.

“Saya marah sebab kamu asyik mengekori saya. Semalam lagi saya sudah kata, tidak perlu hantar saya ke airport! Kamu ni degillah!” Rania terus menyemburkan rasa ketidakpuasan hatinya.

“Takkanlah disebabkan perkara kecil seperti itu kamu menjadi marah. Cuba beritahu saya, apa sebenarnya yang berlaku.”

Alex cuba mengorek rahsia sebenar yang membuatkan Rania menjadi marah apabila bertemu dengan dirinya. Bagaikan anjing dan kucing bertemu. Saling bermusuhan!

“Saya mahu cepat ke airport. Malas saya mahu bercakap dengan kamu. Faham!”

Hati Rania memberontak sakan mahu memberitahu perkara sebenar bahawa dirinya amat membenci Alex.

“Rania, cuba pandang muka saya. Beritahu saya apa sebenarnya yang kamu tidak puas hati dengan saya.” rayu Alex namun Rania hanya memekakkan telinga. Langsung tiada reaksi.

Melihat itu Alex mula tidak betah berdiri.

“Kamu sangat berbeza hari ini. Ini bukan Rania yang saya kenali 4 hari lalu.” ujar Alex tanpa menghiraukan banyak mata yang memandang mereka berdua.

“Saya tetap akan menemani kamu ke airport. Mari saya bawakan beg. Kamu ambil bunga ros ni.” ujar Alex dengan tegas.

Rania tergamam diperlakukan begitu. Banyak mata yang memandang mereka. Rania sungguh berasa tidak selesa, kerana orang di sekeliling memerhatikan dan seolah-olah menyuruhnya mengambil bunga yang diberikan oleh Alex.

Dia mengetap bibir. Hatinya panas bila Alex menghulurkan jambangan bunga ros merah di khalayak ramai. Dengan rasa teragak-agak, Rania mengambil jambangan bunga itu dengan perlahan.

Alex hanya tersenyum puas sebaik sahaja Rania terpaksa menerima jambangan bunga ros. Rania menebalkan muka dan badannya mula berasa panas yang amat. Wajah Alex langsung tidak dipandang.

“Kawan kamu tinggalkan pesanan untuk kamu. Katanya ada barang yang tertinggal di bilik. Ini dia.” Alex terus menghulurkan beg kertas.

Rania menoleh semula dan memandang beg kertas tersebut dengan tanda tanya dalam fikirannya. Barang tertinggal? Rasanya semua barang aku sudah packing dan bawa sekali masa check-out tadi.

Dengan perlahan, Rania menerima beg kertas itu lalu segera dilihat isi kandungannya. Ya ALLAH, al-quran mini aku! jerit Rania dalam hatinya.

Macam mana aku boleh cuai meninggalkan barang yang paling berharga dalam hidupku. Rania segera memeluk beg kertas itu dengan penuh rasa syukur. Alex hanya memerhatikan dengan ekor matanya perlakuan gadis Melayu yang masih marah akan dirinya.

“Kamu masih sempat ke airport. Tidak perlu terburu-buru untuk ke sana.” ujar Alex sempat memberi nasihat kepada Rania bagi mengurangkan rasa tertekan.

Rania hanya mendiamkan diri. Alex akur dengan situasi itu. Rania masih marah lagi kepada dirinya. Batin Alex mahu sahaja memeluk Rania bagi menghilangkan rasa rindunya, namun dia masih boleh menahan. Nasib aku hari ini! Alex mendengus lemah. Jarinya digenggam kuat.

Previous: Bab 15 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez