Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 08 - PDSS
FAREED meneliti dokumen ditangannya. Surat tawaran bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat carigali petroleum yang tersohor dalam dan luar negara.

“Kamu berehatlah dulu dalam sebulan dua sebelum bekerja.” ujar Puan Munnah. Dia kesian pada anaknya yang masih kepenatan dan rindunya tidak habis lagi.

“Lama tuh mak, Fareed tidak boleh lama-lama duduk di rumah. Tawaran kerja pun sudah ada. Insya-ALLAH awal bulan ini saya akan mendaftar bekerja di Petronas.” balas Fareed memohon pengertian daripada ibunya.

"Fareed tidak sabar mahu bekerja dan dapat gaji pertama. Nanti kita raikan gaji pertama saya di hotel yang mak suka." pujuk Fareed.

“Iyalah. Rezeki sudah di depan mata tidak boleh ditolak. Bersyukur sangat Fareed sudah dapat kerja tak macam anak Mak Teh lulusan luar negara tapi masih tidak bekerja lagi.” adu Puan Munnah.

“Alhamdulillah mak, Fareed dapat kerja ni. Sebenarnya Fareed sudah interview dengan Petronas di UK lagi. So, tidak buang masa. Lagi pun, Fareed dapat tajaan Petronas dalam melanjutkan pelajaran.”

“Lupa pula yang kamu dapat tajaan Petronas. Nanti kerja elok-elok dan jalankan tanggungjawab. Pasti arwah ayah gembira dengan berita ini.” sayu Puan Munnah bertutur. Matanya mula bergenang air mata. Fareed segera memeluk mak dengan penuh kasih sayang. Dia tahu bahawa maknya amat merindui arwah ayah yang sudah 10 tahun meninggalkan mereka.

“Petang ini kita ke kubur ayah. Sudah 2 tahun saya tidak ke kubur ayah.” cadang Fareed. Puan Munnah mengangguk lemah.

“Mak mahu buat sedikit kenduri kesyukuran dan tahlil hujung minggu ini. Nanti kita boleh jemput Mak Teh datang sekali.”

“Elok sangat buat kenduri tu. Fareed mahu keluar sekejap. Mak mahu kirim apa-apa ke?” soal Fareed lalu meleraikan pelukan tadi.

“Tidak ada apa yang mahu dikirim. Bawa kereta tu elok-elok.” nasihat Puan Munnah.

“Jangan bawa kereta laju-laju, ini Kuala Lumpur.”

“Iyalah mak. Saya keluar sekarang.” tangan Puan Munnah dicium rapi.




TALI kasut diikat rapi. Rania menyandang beg sandang dan menyarung kamera DSLR di lehernya. Jam tangannya menunjukkan jam 7 pagi. Tudung berwarna merah dililit rapi. Bibirnya dicalit sedikit pelembab bibir bagi melindungi bibirnya daripada mengelupas dan kering akibat angin sejuk.

Rania meletakkan kunci bilik di kaunter pertanyaan Kimchee Myeongdong Guesthouse. Sebaik sahaja Rania keluar daripada guesthouse, dia segera mengeluarkan telefon pintarnya. Rania mahu mengetahui stesen subway yang perlu dinaiki untuk menuju ke Pulau Nami.

“Selamat pagi Rania!” suara itu membuatkan Rania tersentak. Wajah itu ditatap seketika.

“Alex!!!” Rania menjerit kecil.

“Tak payah menjerit. Saya masih dengar lagi.” jawab Alex datang menghampiri Rania.

“Kenapa kamu ada di sini?” soal Rania dengan wajah curiga.

“Mahu jumpa kamu.” jawab Alex selamba.

Jantung Rania berdegup kencang seperti mahu keluar. Biar betul telinga ini mendengar kata-kata daripada mulut Alex. Dia tergelak kecil.

“Kenapa kamu gelak?”

“Saya gelak sebab kamu datang pagi-pagi ni semata-mata mahu berjumpa saya.” Rania gelak sakan.

“Apa yang lucunya.” sampuk Alex kehairanan.

“Kamu sudah sarapan?” soal Alex mengalihkan topik perbualan.

“Sudah, saya makan roti yang dibawa daripada Malaysia.” pantas Rania menjawab.

“Oh, saya cadang mahu sarapan bersama kamu.” ujar Alex dengan rasa hampa.

“Mana saya tahu kamu mahu datang jumpa pagi ni.” Rania menghindari rasa bersalah.

“Hari ini kamu mahu ke mana?”

“Pulau Nami.” pendek sahaja jawapan Rania. Suhu 5 darjah celcius membuatkan Rania mengenakan kot baju sejuk. Dia kelihatan anggun dengan penampilan seperti itu. Alex tidak jemu memandang Rania sejak mula datang lagi.

“Bagus tempat tu. Ayuh kita bergerak.” arah Alex kepada Rania yang leka mencari tisu di dalam beg sandangnya yang berwarna hitam.

“Kita?” Rania musykil dengan arahan itu. “Eh, Alex ni tidak ada kerja ke?. Asyik cuti dan datang pagi semata-mata mahu jumpa aku di sini. Apa kena dengan dia ni.” bisik hati Rania.

“Ya, kita. Saya mahu menemani kamu ke Pulau Nami.” Alex berkata dengan penuh rasa yakin. Semenjak berjumpa dengan Rania 2 hari lepas, dia tidak boleh menipu dirinya bahawa dia sentiasa ingin melihat dan bersama dengan Rania.

“Kamu masih bercuti?” soal Rania ingin tahu.

Alex memegang rambutnya yang sedikit perang, “Ya, saya tambah cuti satu hari lagi.” Dia terpaksa berbohong dengan Rania dengan alasan itu. Moga Rania percaya kata-katanya.

“Tapi… kenapa kamu bercuti dan mahu menemani saya!” bentak Rania. Dia berasa tidak seronok kerana Alex mengambil cuti semata-mata mahu menemaninya. Walaupun, jauh di sudut hatinya melonjak gembira kerana Alex ada di sisinya lagi sementara dia masih berada di Seoul.

“Sebenarnya saya datang mahu tuntut hadiah daripada kamu. Boleh tak saya claim hadiah tu dengan menemani kamu ke Pulau Nami?” Dia cuba memberi kata dua kepada Rania akan hasrat hatinya. Hanya itu sahaja alasan yang paling berasas dia menemani Rania.

Mata Rania membulat dan tanpa disedari dia mengigit jarinya di mulut, “Oh, hadiah! Saya hampir lupa. Maafkan saya.” Rania membuat tanda maaf dengan kedua tangannya.

Alex tersenyum menampakkan lesung pipit sebaik sahaja Rania memberi maklum balas itu. Rania terkedu dan mengalihkan pandangannya ke arah lain, senyuman Alex boleh membuatkan jantungnya gugur ke jalan raya. Senyuman yang sungguh memikat hati sesiapa sahaja yang memandangnya!

“Mari saya bawakan kamera kamu. Kita ke stesen subway Myeongdong dan kemudian berhenti di stesen Dongdaemun.” Alex menawarkan diri membantu Rania. Kamera dihulurkan tanpa sebarang suara.

“Kamu peminat drama Winter Sonata?” tiba-tiba Alex memecah kesunyian setelah beberapa minit mereka berjalan.

“Ya, suka nonton drama tu. Pelakonnya pun saya suka.” balas Rania dengan teruja.

“Kamu?” soal Rania ingin mengetahui kesukaan Alex.

“Saya jarang menonton televisyen. Di Korea, banyak sangat drama yang disiarkan.” luah Alex. Dia lebih suka menghabiskan masa lapangnya dengan bermain bola keranjang di kawasan perumahannya.

“Rugilah macam tu. Drama ni sangat popular di Malaysia.” galak Rania bercerita.

“Jauh tak Pulau Nami dari Myeongdong?” Rania bersuara sebaik sahaja mereka tiba di pintu masuk subway dengan menggunakan T-Money. Kad ini seperti Touch n Go di Malaysia. Senang digunakan dan tidak perlu banyak membawa wang tunai di tangan.

“Jauh juga. Kalau daripada peta perjalanan stesen subway ni, selepas berhenti di stesen Dongdaemun, kita perlu berhenti di stesen Wangsimmni, kemudian berhenti di stesen Cheongnyangni.” jelas Alex dengan wajah serius.

“Wah, banyak stesen tu. Bila mahu sampai!” rungut Rania.

“Sebenarnya jika mahu ke Pulau Nami ada banyak pilihan sama ada menggunakan perkhidmatan shuttle bas, kereta, bas, perkhidmatan subway dan perkhidmatan keretapi.” Alex melabuhkan punggungnya di sebelah Rania.

“Oo… bagus juga ada banyak pilihan. Memudahkan pengunjung mahu ke sana. Tak sabarnya mahu sampai ke sana. Dikhabarkan Pulau Nami amat cantik!” komen Rania.

“Pulau Nami cantik dikunjungi semasa musim autumn dan winter kerana di sana banyak pokok-pokok seperti ginko, white pine, white birch, red woods dan chestnut.” Alex memberitahu akan keindahan Pulau Nami. Sebenarnya dia sendiri tidak pernah sampai lagi ke Pulau Nami, namun ingatannya masih kuat sebaik sahaja terbaca itenari Rania di Seoul. Malam tadi sempat dia membuat sedikit rujukan tentang Pulau Nami.

Seketika kemudian, “Kita sudah sampai Pulau Nami?” soal Rania sebaik sahaja mereka keluar daripada stesen subway Cheongnyangni.

Alex mengelengkan kepala. “Belum lagi, kita akan menaiki keretapi ITX untuk ke stesen Gapyeong. Perjalanan mengambil masa 1 jam 42 minit. Keretapi akan berhenti di 20 stesen. Sebenarnya perjalanan keretapi ini dalam 63.4 kilometer. Kamu bersabar ya!” usik Alex membuatkan Rania menjuihkan lidahnya kepada Alex.

“Kita perlu beratur di sini sementara menunggu keretapi tiba.” Rania mengikut kata Alex. Di situ semua orang beratur panjang untuk menggunakan perkhidmatan keretapi ITX. Rania semakin teruja mahu sampai ke Pulau Nami. Wajahnya ceria!

“Hari ini merupakan hari bekerja namun ramai orang yang mahu ke sana.” luah Rania sebaik sahaja melihat semakin ramai orang yang beratur. Dia berasa pelik walaupun hari ini bukan hari hujung minggu namun pengunjung masih ramai.

“Bukan pelancong seperti kamu sahaja yang teruja ke sana, orang Korea pun teruja!” sampuk Alex dengan ketawa besar.

“Selepas Pulau Nami kamu mahu ke mana?”

“Tengok keadaan. Saya jangka sehingga petang. Kalau sempat saya mahu ke Namsan Tower naik kereta kabel.” beritahu Rania.

“Mengapa mereka memandang saya dengan pandangan pelik?” Rania membetulkan lilitan tudungnya yang ditiup angin.

“Mungkin di sini, hanya kamu sahaja yang lain daripada yang lain.”

“Maksud kamu?”

“Kamu memakai tudung kepala dan cantik. Itu yang mereka tertarik untuk melihat.”

“Iyalah tu, pandai kamu membuat persepsi. Keretapi ITX ni macam komuter kalau di Malaysia.” beritahu Rania tanpa di suruh. Di stesen itu dipenuhi dengan lelaki dan wanita Korea yang pelbagai usia. Susah sekali mahu berjumpa dengan orang Korea yang berbadan besar dan gemuk seperti di Malaysia. Rania tertarik melihat ada beberapa kumpulan pengunjung yang memakai topi, membawa beg sandang yang mengandungi tali dan peralatan mendaki bukit.

“Mereka itu mahu ke mana?” soal Rania ingin tahu.

“Mereka mahu mendaki bukit. Orang Korea amat suka aktiviti hiking. Itu sebab mereka menaiki ITX, kerana sepanjang perjalanan ada tempat untuk aktiviti itu. Musim bunga amat sesuai untuk aktiviti luar. Kamu suka aktiviti hiking?”

“Suka lihat orang buat aktiviti hiking, saya sendiri tak suka.” gelak Rania.

“Sekejap lagi keretapi akan tiba. Pegang beg kamu elok-elok.” nasihat Alex.

Setelah mereka mendapat tempat duduk, Rania segera mengeluarkan kamera digital yang dibawa bersama. Dia mahu merakamkan suasana menarik di sepanjang perjalanan ini. Keadaan dalam keretapi ITX amat selesa kepada penumpang.

“Kamu tahu Pulau Nami sebenarnya diambil sempena nama seorang pahlawan muda Korea yang menjadi Jeneral semasa berusia 25 tahun. Makam Jeneral Nami ini masih ada di Pulau Nami. Namun, setelah drama Winter Sonata membuat pengembaraan di situ maka Pulau Nami menjadi popular sehingga sekarang. Drama ini meletup di negara Jepun, Thailand, China, Indonesia dan Malaysia.” jelas Alex yang turut memerhatikan pemandangan di luar.

“Pulau Nami amat sinonim dengan drama Winter Sonata. Saya sukakan watak heronya. Kamu banyak juga tahu tentang Pulau Nami.”

“Bolehlah sikit-sikit. Kawan-kawan saya dari luar negara kata, Pulau Nami antara destinasi wajib jika berada di Seoul.”

Negara Korea masih banyak hutan dan bukit-bukau. Kawasan pendalaman mereka masih lagi terpelihara. Rania melihat dengan kusyuk sehingga tidak menyedari bahawa mereka telah sampai di stesen Gapyeong. Semasa mereka menuruni dengan menggunakan tangga eskulator yang tinggi, Rania tertarik melihat beberapa orang Korea yang membawa mountain bike sekali dengan mereka. Pemandangan yang lain dan tidak ada di Malaysia. Rania segera meminta kamera daripada Alex untuk merakam peristiwa itu.

“Kamu mahu naik teksi atau bas ke jeti Pulau Nami.” soal Alex sambil melihat kiri dan kanan mereka.

“Mana yang senang. Saya ikut sahaja.”

“Kita naik teksi sahaja. Mahu menunggu bas, ramai orang pula.” Alex membuat pilihan.

Tidak sampai 5 minit menaiki teksi mereka sudah sampai di jeti Pulau Nami. Di situ kelihatan banyak bas ekspress dan teksi. Di sebelah kiri mereka ada ZIP-Tower yang mempunyai bungee jump, Alex segera ke kaunter tiket untuk membeli tiket feri.

“Berapa harga tiket?” soal Rania sebaik sahaja Alex menyerahkan tiket kepadanya.

“8000 Won. Ayuh, kita ke sana. Tunggu feri.”

“Ramainya orang. Tidak mustahil dikhabarkan 2,300,000 pengunjung yang datang pada setiap tahun.” bisik hati Rania. Di jeti itu terpampang slogan Welcome to Naminara Republic. Dari kejauhan, nampak feri hampir sampai di jeti.

Mereka segera menaiki feri yang mempunyai 2 tingkat, Rania tersenyum lebar apabila terlihat salah satu bendera yang dikibarkan adalah bendera Malaysia.

“Alex, bantu saya ambil gambar dengan bendera negara saya. Bendera ini mempunyai nama iaitu Jalur Gemilang.” ujar Rania penuh semangat.

“Baik. Berapa lama kamu mahu berada di Pulau Nami?” soal Alex kepada Rania yang teruja melihat keindahan alam semula jadi di sepanjang Sungai Han ke Pulau Nami.

“Keluasan Pulau Nami dalam 5 kilometer atau 460,000 meter per segi. Jadi, saya boleh menjangkakan separuh hari saya di sini.” balas Rania dengan gembira.

Tidak sampai 10 minit, mereka sudah tiba di Pulau Nami. “Selamat datang ke Pulau Nami wahai Puteri Rania!” ucap Alex dengan gaya selamat datang sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki di jeti Pulau Nami.

“Terima kasih wahai Putera Alex!” sambut Rania. Mendengar itu, serentak mereka ketawa girang.

“Kita lihat peta Pulau Nami ni dulu.” ajak Rania setelah melihat beberapa orang asyik melihat peta keseluruhan Pulau Nami yang kelihatan seperti separuh bulan.

“Pulau Nami ni kepunyaan siapa ya?” soalan Rania membuatkan Alex memegang dagunya.

“Kepunyaan ayah saya!” jawab Alex dengan berseloroh. Rania memegang kedua tangannya di pinggang dan bibirnya diketapkan.

“Alex! Kamu main-main ya. Saya serius ni.” Rania memalingkan muka.

“Janganlah serius. Enjoy saja perjalanan ni. Saya pernah terbaca bahawa pengasas Pulau Nami ini adalah Mr. Byeong-do Minn seorang president di Korea First Bank. Beliau kemudian menubuhkan Kyoungchoon Tourism Development Corporation di sini. Tahun 2006, beliau telah meninggal dunia.”

“Mesti beliau seorang pencinta alam semulajadi. Saya sangat suka dengan kehijauan yang penuh ketenangan!” Rania mengambil posisi di tengah lorong pokok metasequoia untuk bergambar kenang-kenangan.

“Wah! Cantiknya pemandangan di sini!” Rania mendepakan tangan sambil memejamkan matanya seketika. Senyumannya tidak lekang dari bibir. Alex hanya memerhatikan Rania yang sungguh gembira dapat ke Pulau Nami yang juga dikenali sebagai Fairytale World dan Song Island.

Sebaik sahaja Rania membuka matanya semula, “Alex, tolong rakamkan video saya di celah-celah pokok metasequoia, saya mahu hantar pada seseorang di Malaysia.” Rania segera beraksi di depan telefon pintarnya, “Hai Zaidah, jangan jelous ya. Aku kini berada di Pulau Nami lokasi popular Winter Sonata. Terasa jadi heroin pulak, cuma heronya tak ada. Tempat ni best sangat dan romantik tau! Okay, Zaidah jumpa lagi. Jaga diri, bye!”

“Kamu mahu hantar kepada siapa video ni?” soal Alex setelah berjaya merakamkan aksi Rania.

“Zaidah, kawan baik saya di Malaysia. Sepatutnya kami datang datang berdua.”

“Comelnya pasangan tu naik basikal!” teriak Rania membuatkan Alex turut memandang. Rania berasa cemburu melihat pasangan itu, dia terfikir alangkah bagusnya dapat honeymoon di situ bersama suami tersayang. Bilalah aku mahu mengakhiri status bujang.

“Kamu mahu naik basikal ke?” pelawa Alex. Rania mengelengkan kepala. Dia mahu menikmati keindahan alam semulajadi, menghirup udara segar, hasil seni seniman, kebudayaan dan kreativi pengiat seni di situ.

“Selain basikal, di sini juga ada disediakan kemudahan seperti electronic bicycle (tryway), namycar, UNICEF Train, sky bike dan elctronic car. Pilih sahaja mana yang kamu suka.”

“Bagus. Nanti kita singgah makan di sebuah restoran halal. Di situ ada nasi goncang, saya mahu cuba!”

Dosirak? Itu nasi putih yang diletakkan bersama telur dan kimchi sahaja.” Alex memberitahu.

Rania berlari anak ke arah sebaris pokok metasequoia. Alex memerhati dengan hati yang girang, alangkah bahagianya andai Rania menjadi miliknya. Pasti dunia ini indah sekali. Adakah ini masa yang sesuai untuk aku meluahkan isi hati kepada Rania?. Alex cuba mengumpulkan kekuatan untuk melakukannya walaupun dia tidak tahu apa yang bakal terjadi.

Previous: Bab 07 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez