Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 03 - PDSS

KELAM-KABUT semua orang di pejabat Dato Kamil pagi ini. Masing-masing sibuk mencari maklumat akan ketidakhadiran Rania di pejabat.

“Kenapa saya tidak nampak Rania di tempat duduknya?” soal Dato Kamil tegas kepada setiausahanya yang bernama Selina.

“Mungkin Rania lewat sikit datang ke pejabat. Almaklumlah pagi ini hujan lebat di ibu negara.” balas Selina dengan tenang. Wajah Dato Kamil ditatap dengan berhati-hati, dalam masa yang sama fikirannya memikirkan kelibat Rania yang tidak ada di pejabat.

“Baru hujan bukannya banjir melanda KL. Itu semua alasan mahu datang lewat. Macam mana mahu maju ke hadapan.” Dato Kamil membebel kepada Selina.

Hanya gelengan kepala Selina tunjukkan kepada majikannya. Hampir 5 tahun dia bekerja di Hotel Princess sebagai setiausaha kepada Dato Kamil, CEO hotel berkenaan.

“Sudah, saya tidak mahu membuang masa lagi. Beritahu saya jadual kerja hari ini.” kata Dato Kamil kepada Selina. Dia terus menuju ke ruang pejabatnya.

Sepasang mata dari tadi asyik memandang dan memasang telinga perbualan antara Dato Kamil dan Selina.

“Fuhh… lega Selina tidak cari aku!” bisik Zaidah sendirian.

“Hah, buat apa tu? Mengendap macam nenek kebayan!” suara Asraf dari belakang membuatkan Zaidah terkejut.

“Hei, kalau tidak ganggu aku boleh tak?” marah Zaidah kepada Asraf yang memegang secawan kopi. Aroma kopi jelas dapat dihidu oleh hidung Zaidah.

Baju kurung berbunga halus dirapikan sebaik sahaja Asraf berada dekat dengannya. Asraf hanya tersengih dan menjongketkan bahunya.

“Jangan nak senyum-senyum ya!” kata Zaidah dengan nada keras. Tas tangannya diletakkan di dalam laci besi yang disediakan oleh Hotel Princess kepada staf bahagian pentadbiran.

“La… aku senyum pun kena marah. Senyum itu satu sedekah cik puan Zaidah!” perli Asraf kepada Zaidah yang muda setahun daripadanya.

“Ya, senyuman itu satu sedekah. Tapi aku tidak suka dengan senyuman kau tu, faham!” balas Zaidah dengan mata yang membulat. Pantas sahaja tangannya menekan punat CPU komputer yang diletakkan di bawah mejanya.

“Tidak suka dengan senyuman aku konon! Kalau TUHAN nak terbalikkan, senyuman ini yang akan kau nanti-nantikan.” Asraf berkata perlahan.

“Apa kau cakap? Aku tak dengarlah. Ulang semula.” kata Zaidah yang sibuk membuka fail staf.

“Tak dengar lagi bagus. Kalau kau dengar, nanti kau jadi zombie!” kata Asraf dengan ketawa besar. Zaidah hanya mengelengkan kepala mendengar penjelasan daripada mulut Asraf.

“Sudahlah, malas aku mahu layan cakap dengan kau ni!” balas Zaidah dengan tegas. Matanya mula fokus kepada skrin di depan matanya. Email peribadinya segera diakses. Dia mencari email yang datang daripada Rania, kawan baiknya di Hotel Princess.

“Tak ada email daripada Rania pun.” bisik hatinya. Dengan segera, laci dibuka dan tas tangannya diambil. Sebuah telefon bimbit dikeluarkan. Tangannya asyik menyemak SMS yang masuk sejak semalam sehingga ke saat ini.

Bunyi kasut Selina membuatkan Zaidah segera menoleh ke arahnya. Wajah Selina seperti singa yang kelaparan datang mara tanpa ada sebarang amaran.

“Hah! Mana menghilangnya Rania, kawan baik dunia akhirat kau tu?” tempelak Selina dengan suara yang tinggi.

Panas telinga Zaidah mendengar ucapan daripada Selina. Dia hanya menjongketkan bahu.

“Buat tidak tahu konon, Rania pasti sudah beritahu kau akan perancangannya hari ini kan?” duga Selina dengan kakinya bersilang di sebelah Zaidah.

“Memanglah kami berkawan baik dunia akhirat, tapi tak semuanya mahu dikongsikan. Faham tak?” balas Zaidah dengan suara yang tinggi.

“Eh, marah nampak. Aku kena ambil tahu dan perlu tahu akan semua perkara yang berkaitan dengan Rania. Ingat tu!” Selina melemparkan sebuah fail tepat dihadapan Zaidah.

Darah muda Zaidah mula naik, dia bingkas bangun daripada kerusinya. Wajah Selina dipandang dengan renungan yang tajam seperti ayam betina yang mahu melindungi anaknya daripada diganggu.

“Wo… wo… sabar wahai wanita-wanita yang cantik jelita. Cuba bincang dan cakap elok-elok. Sedap sikit telinga ini mendengarnya. Suara kamu berdua ni, sampai ke tandas pun boleh dengar. Malulah sikit pada orang lain. Kita di pejabat bukannya di pusat membeli-belah!” Asraf datang menghampiri mereka berdua.

Selina terus angkat kaki bila Asraf mula masuk campur akan urusannya dengan Zaidah.

“Sila duduk cik puan Zaidah, bagi marah itu reda sikit.” nasihat Asraf kepada Zaidah yang mula hilang kawalan emosi.

“Terima kasih Asraf.” balas Zaidah perlahan.

“Sama-sama sayangku Zaidah. Nanti kita sarapan pagi sama-sama ya.” kata Asraf sambil mengenyitkan matanya ke arah Zaidah.

“Mulalah tu, meroyan pagi-pagi ni. Aku sudah beli nasi lemak bungkus masa mahu datang ke pejabat. Jadi, hari ini kau terpaksa keluar seorang.” balas Zaidah dengan senyuman nakal.

“Kau beli sebungkus saja, kenapa tak beli lebih. Malaslah aku nak keluar kalau tidak berteman. Di luar sana banyak gadis yang mahu mengoda aku.” Asraf membebel.

“Kau tak bagi duit atau pesan pada aku suruh beli lebih.” balas Zaidah acuh tak acuh.

“Sampai hati kau tidak ingatkan aku!” rajuk Asraf. Bibirnya terjuih.

“Banyak benda lain yang aku kena ingat tau! Kau makan biskut pun sedap. Dalam pantri banyak tin biskut cuma pilih mana yang berkenan di mulut.”

“Jemulah aku asyik makan biskut. Pagi biskut, tengahari biskut, petang biskut dan malam pun biskut. Lama-lama nanti aku jadi biskut pula!”

Kring… kring… kring…

Telefon di atas meja terus dicapai oleh Zaidah dengan cermat.

“Hello dan selamat pagi. Hotel Princess, boleh saya bantu?” lunak suara Zaidah ketika itu.

“Rania ada?” suara lelaki yang tidak pernah didengarinya.

“Rania di bahagian marketing. Pagi ini beliau belum masuk pejabat. Boleh saya bantu tuan?” soal Zaidah dengan rasa musykil dengan pemanggil itu.

“Tidak apa. Jika Rania ada suruh dia telefon kawan lama dia, Fareed. Maklumkan kepada dia, urusan urgent!” kata pemanggil itu lagi.

“Baik. Saya akan sampaikan pesanan itu nanti. Ada apa-apa lagi yang saya boleh bantu?” soal Zaidah dengan sopan.

“Itu sahaja. Terima kasih.” Tut..

Zaidah meletakkan ganggang telefon itu dengan perlahan. Otaknya mula berputar laju. “Siapa Fareed ni? Kawan lama Rania? Macam mana dia tahu Rania bekerja di sini?” banyak persoalan yang timbul di fikiran Zaidah. Hanya dengan sebuah panggilan telefon, banyak perkara baru yang didengarinya.

“Termenung ke laut mana tu?” usik Asraf yang berdiri di sebelahnya.

“Laut Mati!” ringkas Zaidah menjawab.

“Eh, tak elok sebut pasal mati.” bisik Asraf.

“Aku cakap tentang Laut Mati yang terletak di Jordan tu. Bukan pasal mati!” balas Zaidah dengan rasa geram.

“Oh, iya ke? Kalau Laut Mati yang tinggi dengan kandungan garam tu, aku pun tahu.” Asraf ketawa kecil.

“Malas aku mahu layan!” tempelak Zaidah. Tangannya mula mengetuk papan kekunci komputer. Dia mula menyusun ayat untuk diberikan kepada Rania yang berada di Korea ketika itu.

Assalammualaikum kawanku yang baik hati,

Apa khabar? Kenapa tidak balas email atau SMS aku. Pagi ini, ribut melanda pejabat. Dato Kamil cari kau. Perasan pula dia yang kau tidak ada, kuat sungguh ingatan Dato Kamil tu. Sehingga ke saat ini, pemergian kau ke Korea masih lagi selamat aku pertahankan daripada bocor! Ha…ha…ha… Macam mana kau di sana, semuanya okay kan?. Dapat email ini terus SMS aku tau. Jumpa lagi dan jaga diri.

Bye.

Selesai sudah misi Zaidah menghantar email kepada Rania. Dalam hatinya tidak berhenti berdoa agar email itu diterima dan dibaca oleh Rania. Jauh di sudut hatinya, Zaidah berasa kesal kerana tidak dapat menemani Rania mengembara di Korea. Perancangan TUHAN amat teratur, di saat akhir dia tidak dapat pergi kerana masalah asma yang dihadapinya. Maafkan aku Rania!

Previous: Bab 02 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez