FAREED memandang potret Rania dengan penuh kasih sayang. Wajah Rania tetap cantik
seperti dua tahun yang lalu. Jiwanya membara ingin sekali berjumpa semula
dengan Rania. Bagasinya belum dikemaskan lagi. Badannya masih sakit-sakit dan
mengalami jet lag.
“Kenapa
Rania tidak datang menjemputnya di airport?”
bisik hatinya. Fareed telah memberitahu awal kepada Rania akan jadual
ketibaannya di Kuala Lumpur.
“Telefon
bimbitnya tidak dijawab. Rania masih marahkan lagi akan dirinya yang jarang
mengirimkan khabar berita. Moga ianya hanya sangkaan.” Fareed bermonolog
sendirian.
Sebuah
hadiah yang berbalut cantik dengan kertas berwarna emas telah dibeli khas buat
Rania. Walaupun pada saat akhir Fareed membelinya, namun dia pasti Rania akan
menyukainya.
Tuk…
tuk… tuk… Pintu bilik Fareed diketuk perlahan.
Seraut
wajah ayu dan mendamaikan, muncul dengan sebuah senyuman.
“Fareed,
ibu sudah sediakan sarapan. Kalau sudah siap, turun ke bawah.” ujar Puan Munnah
kepada anak lelaki tunggalnya.
“Sekejap
lagi Fareed turun. Fareed mahu keluarkan sedikit barang.” luah Fareed.
“Kamu
masih pening lagi?” soal Puan Munnah.
“Ya,
masih ada. Insya-Allah, dalam seminggu ni akan baik. Mak jangan risau ya.
Ianya perkara normal bagi mereka yang mengalami perubahan masa dan cuaca.”
“Kalau
masih tidak elok, kita ke kninik saja.”
“Tak
perlu, sekejap je simptom jet lag ni
mak.”
“Sebelum
lupa, ini ada hadiah untuk ibu. Fareed beli di UK.” Satu bungkusan berbalut kertas
berwarna biru diserahkan kepada ibunya.
“Harap
ibu suka dengan hadiah yang Fareed beli.” luah Fareed sambil tersenyum.
“Pasti
ibu suka. Kenapa membazir? Kamukan masih belum bekerja lagi.”
“Ini
duit yang Fareed simpan hasil bekerja part time semasa cuti semester.”
“Pilihan Fareed tidak pernah mengecewakan ibu.” tangannya lembut mengusap rambut Fareed.
“Dua
tahun tidak berjumpa, Fareed nampak kurus.”
“Mana
ada kurus, berat Fareed bertambahlah ibu. Cuba lihat pipi Fareed ni, sudah makin
tembam. Hah, cuba ibu pegang.” Fareed mengambil kedua tangan ibunya lalu
diletakkan di pipinya.
Ibu
hanya tersenyum melihat gelagat Fareed.
“Naik
sikit saja.” usik ibu.
“Sudah,
ibu mahu turun. Bubur special ibu
sudah buatkan khas untuk kepulangan Fareed.”
“Terima
kasih ibu. Di sana, tidak ada sesiapa pun yang dapat menandingi kesedapan bubur
special yang ibu buat.”
“Mahu
bodek ibu ya. Cepat turun, cepat boleh makan bubur.”
“Sayang
ibu.” Fareed terus memeluk ibunya dengan erat. Matanya dipejamkan. Sungguh Fareed
amat merindui ibunya. Masa dua tahun dirasakan amat lama. Dalam diam, Fareed
memasang niat akan membalas segala jasa dan menjaga ibunya sehingga ke akhir
hayat. Terima kasih TUHAN!
SOFA
lembut telah menenggelamkan punggung Dato Kamil. Matanya asyik membelek laporan
bulanan Hotel Princess dengan
khusyuk. Sekali-sekala dia membetulkan cermin matanya dengan perlahan.
“Selina,
masuk sekejap.” ujar Dato Kamil setelah menekan butang intercom di pejabatnya.
“Baik,
Dato.” jawab Selina ringkas.
Setelah
kelibat Selina di depan matanya, Dato Kamil terus meletakkan laporan tadi di
atas meja.
“Siapa
yang sediakan laporan ini?” soal Dato Kamil dengan wajah yang serius.
“Saya
yang sediakan. Kenapa Dato? Ada kesilapan ke?” jawab Selina dengan
tergagap-gagap.
“Betul
ke kamu yang sediakan?”
“Betul
Dato. Setiap bulan saya yang siapkan laporan ini.”
“Bahagian
marketing sediakan juga ke?” Dato
Kamil terus memandang tepat ke wajah Selina.
“Ada,
ehh… tidak.”
“Eish…
cuba kamu jawab ada atau tidak. Tergagap-gagap pula petang ni.” suara Dato
Kamil mula tinggi.
“Tidak.
Hanya saya yang dapatkan maklumat dan siapkan laporan ini sehingga siap.” jawab
Selina tenang.
“Bagus
laporan bulan ini. Saya suka!” puji Dato Kamil dengan senyuman di bibirnya.
“Terima
kasih Dato.”
“Sudah,
kamu boleh sambung kerja. Petang ini saya tiada di pejabat. Saya baru sahaja
menerima panggilan telefon daripada Datuk Anuar untuk keluar bersama.”
“Baik,
saya maklum.” Selina memohon diri untuk beredar dari situ.
Sebaik
sahaja keluar, Selina tersenyum sumbing dan berjalan dengan penuh angkuh.
Lenggok badannya memikat sesiapa sahaja yang memandangnya.
“Tengok,
gaya Selina jalan persis model di atas pentas. Fuhh…” bisik Asraf kepada Zaidah
yang tekun membuat kerja.
“Hai,
takkanlah hari ini baru nampak gaya model berjalan. Selina tu, sudah bekerja
hampir lima tahun di hotel ni. Aku sudah masak dengan gaya berjalan ala model
kekwat tu.” mulut Zaidah mencebek. Matanya sempat menjeling ke arah Selina.
“Betullah
cakap kau tu, tapi petang ni gaya berjalan dia lain macam saja. Hah, cuba kau
tengok betul-betul. Besarkan sikit mata kau tu.”
“Tak
perlu nak besarkan mata aku. Dari sini aku sudah nampaklah.”
“Marah
pulak, kau kalau marah aku suka nengok. Cantik, muka kau akan jadi merah. Macam
udang kena panggang.” usik Asraf.
“Hentikan
semua tu. Aku banyak kerja mahu siapkan. Jangan nak ganggu aku pulak.” cantas
Zaidah sambil membetulkan postur tubuh badannya di kerusi.
“Aku
mengantuk, bila masuk waktu petang aku mula menguap-guap.”
“Kalau
sudah mengantuk, pergilah tidur.” balas Zaidah dengan mata yang sengaja
dibulatkan.
“Gila
kau mahu aku tidur waktu ni. Sekarang, masih dalam waktu bekerja. Aku masih
tahu lagi tanggungjawab dan amanah yang aku bawa dalam hotel ni.” bebel Asraf
membuatkan Zaidah tersenyum nipis.
“Hum…
hum…” batuk Selina membuatkan mereka berdua berpaling serentak.
“Rancak
berbual, tidak ada kerja ke?” ujar Selina dengan renungan yang tajam kepada
mereka berdua.
“Kami
berbual biasa. Tentang kerja.” kata Asraf tanpa disuruh.
“Aku
tengok dari jauh, sibuk sungguh kamu berdua berbual sampaikan aku sampai di
sini kamu berdua tidak perasan.” tempelak Selina.
“Kami
perasan cuma tidak mahu menegur, almaklumlah kami sedang sibuk buat kerja.” ujar
Zaidah sambil memandang wajah Asraf di sisinya.
“Kata
orang Melayu kaya dengan budi bahasa dan sopan santunnya. Kenapa tidak
praktikkan?” soal Selina dengan raut wajah tidak puas hati dengan jawapan
Zaidah.
“Telefon
berbunyi tu, baik kau jawab.” tiba-tiba Asraf menarik perhatian Selina untuk
beredar dari situ.
“Jaga
kamu berdua!” Selina terus berlari-lari anak ke meja kerjanya. Asraf dan Zaidah
hanya tersenyum melihat telatah Selina.
JAM
tangan Rania tepat menunjukkan jam 3.00 petang waktu Korea. Walaupun cahaya
matahari nampak terik namun Rania tetap berasa angina sejuk ditubuhnya.
“Kamu
tidak lapar ke?” tiba-tiba Alex menyoal Rania yang asyik melihat orang ramai
yang kelihatan gembira.
“Lapar!
Sudah jam 3.00 petang.”
“Saya
fikir kamu mahu tidur sahaja di sini.” usik Alex membuatkan Rania segera
menoleh ke arah wajah tampan di depannya.
“Kalau
dibenarkan saya mahu tidur di sini bersama bunga-bunga cherry yang indah lagi cantik!”
“Betul
ke ni?”
“Betullah.
Saya serius!” Rania membulatkan matanya.
“Cuaca
malam sangat sejuk. Tidak sesuai untuk kamu mahu bermalam di sini.” nasihat
Alex.
“Saya
pakailah baju sejuk, sarung tangan dan scarf
yang kamu berikan kepada saya.”
“Itu
tidak cukup. Sejuk malam boleh membuatkan kamu jatuh sakit!”
“Kamu
sangat prihatin dengan saya. Terharu dibuatnya!” Rania memuji Alex yang
sentiasa ramah dengan para pelancong di situ.
“Bahasa
Melayu kamu agak baik. Kamu belajar di mana?” soalan Rania membuatkan Alex
tersenyum.
“Semasa
di universiti, saya mengambil subjek bahasa antarabangsa. Saya amat berminat
dengan bahasa Melayu. Cuma di sini pensyarah saya berasal dari Indonesia.”
jelas Alex.
“Oh
patutlah kamu pandai berbahasa Melayu.”
“Berapa
lama lagi kamu mahu berada di sini?” soal Alex cemas.
“Kenapa?
Kita sudah mahu beredar ke?”
“Ya,
saya kesian pada kamu yang masih belum makan tengahari.”
“Saya
sudah hampir selesai mengambil gambar. Cuma tidak ada gambar kita berdua
sebagai kenang-kenangan nanti.”
“Ya,
gambar berdua. Pasti kamu akan ingat pada saya setelah kamu pulang ke Kuala
Lumpur.”
Alex
segera menahan seorang wanita berbangsa Korea untuk membantu mereka mengambil
gambar.
“Cheese”
wanita itu bersuara.
Alex
dan Rania segera menyebut cheese. Setelah selesai, Alex dan Rania mengucapkan
terima kasih. Wanita itu menunjukkan isyarat bagus kepada mereka berdua dan
berkata sesuatu dengan Alex dalam bahasa Korea.
Alex
hanya menundukkan kepala tanda hormat dan tersenyum lebar. Dia segera
menghampiri Rania yang terpinga-pinga ingin mengetahui.
“Apa
yang wanita itu kata?” desak Rania kepada Alex yang bersiap-siap untuk
meninggalkan tapak festival.
“Dia
kata, saya bertuah dapat calon isteri yang cantik dan amat sepadan.” ujar Alex
tersipu-sipu.
“Hah,
calon isteri? Pasti wanita itu bergurau!” Rania ketawa besar.
“Kita
kelihatan seperti sepasang kekasih?” usik Alex membuatkan Rania mengelengkan
kepala.
“Tidak,
kamu pasti sudah ada girlfriend!
Wajah kamu yang kacak lagi bergaya semua wanita sukakan lelaki seperti kamu.”
“Betul
tak?” teka Rania.
Alex
hanya tersenyum. Rania mengemaskan barangnya dengan cermat.
“Selepas
ini kita mahu ke mana?” soal Rania.
“Kita
pergi makan dan kemudian cari hostel
untuk penginapan kamu.”
“Bagus!”
jawab Rania.
“Saya
ada permintaan, apa kata kita pergi ke Seoul
Central Mosque di Itaewon. Saya mahu solat dan di sana juga ada banyak
kedai makanan muslim.”
“Cadangan
yang terbaik! Saya boleh temankan kamu ke sana.”
“Kamu
tidak kisah?” Rania inginkan kepastian daripada Alex.
“Saya
cepat menyesuaikan diri dengan mana-mana situasi. Jangan lupa yang saya pernah
mempunyai kawan yang beragama Islam dan datang daripada Indonesia dan
Singapura.” jelas Alex membuatkan Rania tersenyum lebar.
Dua
puluh minit kemudian, mereka berdua tiba di kawasan Itaewon yang terkenal
dengan kawasan muslim dan kewujudan Seoul
Central Mosque yang popular di
kalangan pelancong muslim di Korea Selatan.
“Saya
baca dalam salah sebuah blog, kita akan berjalan dalam 500 meter dan masjid itu
terletak di atas bukit.” terang Rania kepada Alex yang sibuk melihat peta menerusi
telefon pintarnya.
Alex
mengangguk perlahan. “Kita hampir sampai. Depan sana ada simpang, kita belok ke
arah kiri.”
“Wah,
banyaknya buah strawberi! Besar dan nampak segar.” ungkap Rania sebaik sahaja
melalui jalan di situ.
“Strawberi
Korea ini banyak dari bulan Januari sehingga Mei. Rakyat Korea amat suka dengan
strawberi kerana manis dan segar. Kamu patut beli dan rasanya!” pujuk Alex.
“Saya
akan beli dan mahu makan banyak-banyak. Saya pecinta strawberi!” Rania menelan
air liurnya.
“Balik
nanti kita beli ya.”
“Setiap
tahun ada festival khas untuk strawberi iaitu Nonsan Strawberry Festival yang
terletak di Nonsan.” Alex memberitahu Rania yang leka mengambir gambar
sepanjang perjalanan mereka.
“Pasti menarik festival
tu kan? Banyak tempat yang menarik di Korea Selatan ni. Saya pasti akan datang
lagi ke Korea.”
“Kamu hanya bercuti
hari ini kan?”
“Ya, hanya hari ini
saya bercuti. Kenapa bertanya, kamu mahu saya bercuti dan temankan kamu
berjalan-jalan?” soal Alex.
Rania mengelengkan
kepala. “Bukan, saya hanya bertanya sahaja. Ingin tahu, itu saja.” selamba sahaja
Rania menjawab.
“Saya menganggu
perjalanan kamu ke?” Alex menyoal seperti tidak puas hati dengan penjelasan
Rania.
“Eh, tidak! Kamu amat
membantu saya. Hanya TUHAN sahaja yang dapat membalas jasa baik kamu.”
“Jika kamu mahu
membalas jasa saya. Boleh belanja saya makan tengahari?” usik Alex.
“Tentu saja boleh.
Memang saya ada niat untuk belanja kamu makan.” spontan Rania menjawab.
“Hati-hati Rania!” Alex
mengingatkan Rania yang tidak memberikan perhatian ke arah hadapan. Rania masih
leka melihat, membelek dan mengambil gambar.
Tanpa disedari,
sebuah motorsikal yang dipandu laju muncul dari arah hadapan mereka. Alex yang
menyedari terus berteriak.
“Rania!!!” Suara kuat
Alex membuatkan Rania segera menoleh dan tergamam dengan kehadiran motorsikal
laju itu.
“Aargh!!!” jerit
Rania.