Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 22 - PDSS
DATO’ KAMIL meneliti dokumen ditangannya satu per satu. Dibaca dengan tenang dan berhati-hati dengan apa yang tertera di atas helaian putih.

“Ini sahaja?” soal Dato Kamil kepada Haikal. Rania hanya menelan air liur apabila mendengar soalan pendek daripada Dato Kamil.

“Iya Dato’, team kami hanya menumpukan perhatian kepada 1 projek mega untuk tahun ini supaya dapat memberikan impak yang tinggi kepada Hotel Princess.” jawab Haikal dengan yakin.

“Projek diskaun kepada mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan di sini. Kita akan buat proposal kepada sepasang artis popular yang dijangkakan akan melangsungkan perkahwinan hujung bulan September nanti.” ujar Rania.

Dia memberikan penjelasan lanjut kepada Dato Kamil yang lagi tadi tidak seperti kurang bersetuju dengan idea daripada team marketing.

“Artis tu confirm ke mahu berkahwin. Jangan last minute ditunda ke tarikh lain. Faham sahaja dunia mereka yang sibuk dan terikat dengan jadual pengambaraan.” Dato’ Kamil mempersoalkan kesediaan artis yang dimaksudkan oleh Rania.

“Saya sendiri sudah berbincang dan memaklumkan kepada artis ini akan pakej perkahwinan yang kita tawarkan kepada mereka. Sehingga ke hari ini mereka sangat tertarik dan bersetuju dengan apa yang kita tawarkan.” ujar Haikal teruja bila bercerita perkahwinan selebriti popular Malaysia.

“Jika mereka sudah bersetuju, buat segera perjanjian supaya tiada pihak lain yang menawarkan pakej perkahwinan kepada mereka.” Arah Dato’ Kamil, riak wajahnya seolah dia sangat suka dengan projek itu.

“Saya mahu menambah sedikit, berita baiknya sebuah stesen TV akan membuat rakaman juga untuk majlis perkahwinan mereka ini. Ini banyak membantu aktiviti promosi Hotel Princess kepada dunia luar akan kelebihan mengadakan majlis perkahwinan di sini.” Haikal berkata dengan senyuman yang lebar. Penyiaran daripada stesen TV popular di Malaysia amat ditunggu oleh team marketing. Sebelum ini pihak Hotel Princess ada juga berurusan dengan produksi stesen TV yang lain.

“Bagus, itu saya amat suka!” jawab Dato Kamil teruja. Dia ketawa besar.

“Ini semua adalah idea daripada Rania.” Tiba-tiba Haikal sengaja memberitahu Dato Kamil akan idea asal projek ini. Terus Dato Kamil berhenti ketawa dan tepat memandang wajah Rania di depannya.

“Idea Rania? Oh.. saya fikir idea Haikal.” ujar Dato Kamil teragak-agak.

Rania hanya menundukkan kepala.

“Idea ini tak akan berhasil jika tiada percambahan fikiran daripada Encik Haikal dan team marketing. Saya akan berusaha keras memastikan projek ini dilaksanakan dengan sukses.” ujar Rania bersungguh.

Dato Kamil hanya mendiamkan diri, tidak memberikan kata pujian kepada Rania.

“Projek ini tidak seperti yang saya harapkan. Sebenarnya saya memerlukan satu projek yang benar-benar boleh mendatangkan keuntungan yang besar kepada pihak hotel. Kamu semua tahu, Hotel Princess perlu lebih agresif dalam marketing supaya tidak ketinggalan dengan pesaing hotel yang lain. Di Kuala Lumpur ini sahaja, banyak hotel yang bertaraf 5 bintang dan bersifat international.

“Saya serahkan projek ini kepada team marketing untuk dilaksanakan dengan baik. Pastikan semuanya berjalan lancar. Saya tidak mahu sebarang masalah atau kecacatan wujud semasa projek ini berlangsung.” kata dua Dato Kamil membuatkan Haikal dan Rania mengangguk serentak.

“Saya mahu keluar. Haikal, nanti awak emelkan kepada saya proposal yang lengkap.” ujar Dato’ Kamil. Dia terus bangun daripada kerusi di bilik mesyuarat Hotel Princess yang berada di tingkat yang sama dengan pejabat Dato’ Kamil.

“Baik, Dato’. Saya akan emelkan.” jawab Haikal akur dengan arahan daripada majikannya.

“Kenapa dengan Dato’ Kamil? Macam tidak puas hati dengan I.” soal Rania sebaik sahaja Dato’ Kamil hilang daripada pandangannya mereka.

Haikal sudah boleh menganggak apa yang Rania fikirkan sebentar tadi.

“Dato’ Kamil memang macam tu. You pun tahu kan yang perangai Dato yang anginnya tidak boleh dijangka. Jangan fikir yang bukan-bukan.” pujuk Haikal kepada Rania yang ternyata wajahnya kelihatan tidak puas hati.

“Sebelum ini okay saja I nengok. Tapi sejak I balik daripada Korea, layanan Dato’ dengan I sudah berubah. I ada buat salah ke?” soal Rania kepada Encik Haikal.

Rania memang perasan yang Dato’ Kamil sudah tidak melayannya dengan mesra seperti sebelum ini. Riak wajah Dato’ Kamil tidak dapat menutup perasaan tidak puas hati dengan Rania.

Stop it. Kan I sudah kata yang Dato’ Kamil perangainya macam tu. Mungkin you saja yang tak perasan.” Haikal mula berdalih dan menafikan perasan Rania. Dia sendiri terkilan dengan sikap Dato’ Kamil yang kurang senang berurusan dengan Rania semenjak akhir ini.

“Sudah, jom kita bincang dengan team marketing untuk langkah seterusnya. I mahu siapkan cepat proposal yang Dato’ Kamil minta tadi.”

Rania hanya menganggukkan kepala tanda faham. Haikal terus bingkas bangun dan meninggalkan Rania seorang diri di situ. Hati Rania mula terbit rasa bimbang dengan layanan Dato’ Kamil.




ALEX tenang setelah membaca 5 helai ayat terjemahan daripada alquran mini milik Rania. Kali ini dia membaca surah Ar-Rahman yang mengandungi 78 ayat. Dia menguap panjang, tangannya di angkat ke atas lalu mengeliat. SMS daripada Yoonah tidak dibaca sebaliknya dia membiarkan sahaja. Pertemuan Alex dengan Hendry Liu petang tadi benar-benar membuatkan dia berfikir mendalam akan hal Rania. Hendry Liu adalah rakan baiknya semasa belajar di Seoul National University.

“Alex, kamu hebatlah. Sudah ada kafe milik sendiri. Aku masih bekerja di perusahaan automobil.” Hendry Liu mengeluh.

Alex hanya tersenyum.

“Ya, tidak lah hebat sangat.” Alex merendah diri.

“Tak mengaku. Aku suka dengan dekorasi kafe kau ni. Cantik dan menenangkan.” puji Hendry Liu. Matanya melihat keadaan sekeliling kafe milik Alex.

“Terima kasih. Itu semua mengikut citarasa aku.” jawab Alex turut melihat keadaan sekeliling kafe yang sudah beroperasi 4 tahun.

“Sedaplah coffee latte ini.” puji Hendry Liu lagi. Dia terus meneguk coffee latte dengan penuh nikmat.

Alex hanya tersenyum.

“Macam mana kau dengan Yoonah? Bila kau mahu kawin dengan dia?” soalan Hendry Liu membuatkan Alex tersenyum.

“Kami sudah putus hubungan sejak 1 tahunlalu.” jawab Alex.

“Putus? Tapi mengapa? Aku lihat kau berdua sungguh sesuai. Yoonah cantik, sesuai sangat dengan citarasa kau tu.” soal Hendry Liu kehairanan. Dia kenal dengan Yoonah semasa Alex perkenalkan di sebuah parti kawan mereka 1 tahun lalu.

“Entah, kami sudah tidak serasi. Jadi, aku ambil keputusan untuk berpisah saja. Sekarang ni kami hanya berkawan biasa.” jawab Alex malas. Dia tidak mahu bercerita lebih tentang Yoonah di depan Hendry Liu. Hubungan mereka telah berlalu dan tidak perlu diingatkan kembali.

“Begitu saja?” soal Hendry Liu lagi.

“Iya, putus hubungan. Aku tidak mahu hipokrit dengan Yoonah. Bila aku rasa sudah tidak sesuai lagi maka aku ambil keputusan berpisah. Kau ni banyak tanya tentang Yoonah, kau ada hati dengan dia ke?” usik Alex membuatkan Hendry Liu tergelak besar.

“Ya, aku memang suka dengan Yoonah. Tapi, aku lihat Yoonah memang hanya suka dengan kau saja. Jadi, aku tidak tahu aku ada harapan atau tidak.” jawab Hendry Liu lemah seperti orang putus asa.

“Kau belum cuba lagi tapi sudah menyerah kalah. Kau hubungi Yoonah, pasti dia suka.” Alex mencadangkan kepada Hendry Liu yang tidak kurang handsome di mata lelakinya.

“Kau ajaklah Yoonah sertai dinner aku. Nanti aku hubungi kau bila tarikh yang aku lapang.” Hendry Liu meneguk lagi saki baki coffee latte.

“Aku akan bantu kau. Jangan risau.” usik Alex sambil tersenyum.

“Sekarang ni kau sedang bercinta dengan siapa? Kau kan lelaki handsome sejak di zaman universiti, beritahu lah aku siapa gadis tu?” soal Hendry Liu ingin tahu.

“Kalau aku beritahu, pasti kau terkejut.” luah Alex kepada Hendry Liu yang sebaya dengan dirinya.

“Siapa gadis bertuah tu?”

“Rania.” jawab Alex perlahan.

Berkerut dahi Hendry Liu mendengar nama itu disebut oleh Alex.

“Rania? Siapa tu?” soal Hendry Liu pelik bila nama gadis itu disebut.

“Kan aku sudah kata, kau akan terkejut. Rania gadis dari Malaysia.” Tenang sahaja Alex bertutur.

Mata Hendry Liu membulat besar.

“Malaysia? Macam mana kau boleh kenal dia? Beritahu aku, tak sabar aku mahu tahu.” Hendry Liu teruja mendengarnya.

“Ya, negara Malaysia. Aku tolong Rania semasa dia tiada tempat penginapan. Dia melancong seorang diri di Korea.”

“Rania melancong? Bila masa pula kau bercinta dengannya. Peliklah aku dengan kisah cinta kau ni.” Hendry Liu gelak sakan.

“Aku jatuh cinta dengan Rania sejak pertama kali aku bertemu dengan dia.” Alex teruja apabila bercerita tentang kisah gadis yang bernama Rania.

“Kemudian?” soal Hendry Liu ingin tahu lagi.

“Kemudian aku menemani Rania selama 3 haribersiar-siar di Seoul. Indahnya saat itu.” Alex tersenyum sipu.

“Sekarang ini Rania di mana? Seoul atau di Malaysia?” soal Hendry Liu lagi.

“Malaysia.” ujar Alex lemah.

“Betul ke kau dengan Rania bercinta? Mana foto Rania aku mahu lihat.” Hendry Liu ingin juga melihat gadis yang berjaya menambat hati kawan baiknya.

“Aku cakap benar. Takkanlah aku mahu bohong dengan kau. Sekejap, foto Rania ada dalam telefon aku.” Alex terus mengeluarkan telefon pintarnya. Dia menghulurkan telefon pintar kepada Hendry Liu yang tidak sabar untuk melihatnya.

Sebaik sahaja, Hendry Liu melihat foto Rania. Hendry Liu memandang tepat ke wajah Alex.

“Kenapa kau lihat aku macam tu?” perli Alex kepada Hendry Liu yang seolah baru melihat sesuatu yang mengerunkan.

“Rania gadis muslim?” soal Hendry Liu ingin tahu. Melihat cara pakaian Rania, Hendry Liu sudah dapat mengagak yang gadis yang dimaksudkan adalah seorang penganut Islam.

“Ya, Rania adalah gadis muslim yang berasal dari Malaysia. Rania sungguh cantik kan?” soal Alex sambil mengambil semula telefon pintarnya daripada tangan Hendry Liu.

“Ya, aku setuju dengan kau bahawa Rania seorang gadis yang cantik. Tapi…”

“Tapi mengapa?” soal Alex cemas bila Hendry Liu berkata demikian.

“Rania penganut agama Islam dan kau sendiri penganut agama Kristian. Kau sedar kan?” soal Hendry Liu membuatkan Alex tersandar di kerusi. Soalan yang sama pernah diajukan oleh Yoonah sebelum ini iaitu perbezaan agama dan bangsa.

“Ya, aku tahu kami berbeza fahaman agama dan bangsa. Tapi aku cintakan Rania. Itu aku pasti.” ujar Alex membuatkan Hendry Liu mengelengkan kepala melihat kelakuan Alex di depannya.

“Kau sudah bersedia untuk tukar agama atau sebaliknya? soalan itu membuatkan Alex duduk tegak semula.

“Itu masalah kecil. Aku akan uruskan kemudian. Yang lebih penting sekarang adalah bagaimana aku mahu mencari dan menghubungi Rania di Kuala Lumpur. Sudah sebulan Rania meninggalkan aku tanpa sebarang berita.” Alex mengeluh berat.

“Rania tidak hubungi kau langsung! Tapi tadi kau kata yang kau bercinta dengan Rania. Tak faham lah aku dengan cerita cinta kau ni.” ujar Hendry Liu seperti sudah mengalah awal untuk terus mengetahui kisah cinta Alex.

“Aku memang mencintai Rania tapi aku tidak pasti lagi Rania mencintai aku atau sebaliknya.” jawab Alex dengan nada kecewa.

“Kau bercinta di satu pihak sahaja. Rania sendiri tidak melafazkan cintanya kepada kau. Okay, baru aku faham cerita cinta kau ni. Apa yang menarik sangat Rania ni sampaikan kau boleh jatuh cinta dengan dia. Tak faham lah aku.” Perli Hendry Liu. Namun, dalam diam dia mengakui akan kecantikan fizikal yang dimiliki oleh Rania. Memang memenuhi citarasa Alex yang suka kepada gadis yang cantik.

“Alex, kau order kan aku satu coffee latte lagi. Tak puas aku minum. Panjang sangat kisah cinta kau ni.”

“Okay, aku order kan.” Alex terus mengamit pelayan kafe untuk mengambil coffee latte untuk Hendry Liu.

“Susah aku mahu ceritakan kepada kau. Dengan Yoonah pun aku susah mahu terangkan.” Alex memulakan penerangan yang membuatkan dia jatuh cinta dengan Rania.

“Yoonah pun tahu kisah cinta kau ni?” Hendry Liu menyampuk. Alex menganggukkan kepala.

“Ya, Yoonah tahu dan kenal dengan Rania. Aku suruh Rania menginap sementara di apartment Yoonah.” jawab Alex.

“Oh patut lah.”

“Aku suka akan personaliti Rania yang berbeza dengan gadis yang aku temui sebelum ini. Dia lemah lembut, bijak dan aku suka melihat dia ketawa.” Alex tersenyum lagi sebaik sahaja nama Rania disebut. Alex masih ingat lagi Rania ketawa sakan semasa mereka bersiar-siar di Seoul.

“Sekarang ini kau mahu buat apa?” soal Hendry Liu ingin tahu strategi Alex dalam mencari Rania.

“Aku mahu mencari Rania di Kuala Lumpur. Kau boleh bantu aku?” soal Alex penuh berharap kepada Hendry Liu.

“Aku?” soal Hendry Liu seperti tidak percaya.

“Aku sendiri tidak pernah datang ke Kuala Lumpur. Kawan pun aku tidak ada di sana. Macam mana aku mahu bantu kau mencari Rania.” jawab Hendry Liu dengan jujur.

“Kau bantu lah aku. Sekarang ni bayangan Rania sentiasa menghantui aku. Jujur aku kata kan yang aku tidak boleh melupakan Rania walaupun sudah sebulan berlalu.” Alex mengusap rambutnya perlahan.

“Ini kes berat. Aku tidak sangka kau bercinta dengan seorang gadis yang berlainan agama, bangsa dan negara. Kemudian kau tidak dapat hubungi Rania. Pada pendapat aku, kau jangan marah kalau aku cakap supaya kau lupakan saja Rania. Baru sebulan sahaja kau berpisah dengan Rania. Biar masa yang menentukan. Aku percaya kau dapat melupakan Rania sebulan dua lagi.” Tenang sahaja Hendry Liu bertutur. Matanya tidak lepas daripada melihat riak wajah Alex.

“Kau pun sama seperti Yoonah. Menyuruh aku melupakan Rania.” bentak Alex membuatkan Hendry Liu terkejut.

“Aku sokong Yoonah, kau sebenarnya sunyi sejak berpisah dengan Yoonah. Rania hanya muncul sekejap dalam hidup kau. Lagipun Rania sendiri belum tentu menerima cinta kau. Cuba kau fikirkan dengan baik. Jangan terburu-buru atau mengikut emosi cinta kau tu. Aku nasihatkan kau supaya bercuti supaya dapat melupakan gadis Malaysia tu. Kau sekarang ni nampak semakin kurus.” Hendry Liu memberi nasihat kepada Alex.

“Kau dan Yoonah tetap tidak memahami aku. Tak apa, aku akan berusaha sendiri untuk mencari jalan mencari Rania. Soal Rania menerima cinta aku atau tidak itu perkara kedua. Aku mahu bertemu dengan dia dan menjelaskan perkara yang sebenarnya berlaku antara aku dengan Yoonah.” jawab Alex optimis.

“Aku cuma memberikan nasihat. Kau mahu terima atau tidak, itu terpulang kepada kau Alex. Cuma aku berharap sangat yang kau tidak mengabaikan kesihatan tubuh badan kau disebabkan sibuk mahu mencari Rania.” ujar Hendry Liu prihatin.

Firasat Hendry Liu kuat mengatakan yang Alex kesunyian. Hendry Liu sendiri tidak bersetuju dengan cinta Alex kepada Rania yang berlainan bangsa dan agama. Bagi dirinya Alex masih boleh bertemu cinta dengan gadis Korea yang banyak di luar sana. Alex tidak perlu menyusahkan diri daripada mencari cinta Rania yang jauh dari mata.

“Okay, aku akan fikirkan kata-kata kau. Terima kasih sudi bersembang dengan aku di kafe. Hal tentang Yoonah itu aku akan usahakan supaya kau berjaya menawan hatinya.” Alex menepuk bahu Hendry Liu dengan mesra.

“Kau kalau mahu berbual panjang dengan aku, call saja aku. Kita boleh keluar sama-sama.” pelawa Hendry Liu.

Alex tersenyum sendirian.

Matanya tepat memandang sebuah kotak rantai leher yang tidak diterima oleh Rania. Apa khabar Rania di Kuala Lumpur? Masih ingat kah dia akan diriku di sini. Tangannya segera mengambil rantai tersebut dan dibelek-belek perlahan. Pasti Rania kelihatan cantik jika rantai ini dipakai dileher. Alex mengucup rantai itu. Wajah Rania mula terbayang di hadapannya. Sungguh dia rindu untuk bertemu dengan sang kekasih hati.

Previous: Bab 21 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez