USAI
solat subuh, Rania segera mengemaskan barang-barangnya. Rakan sebiliknya sudah
keluar seawal 6.30 pagi yang lalu menuju ke Everland yang terletak di
Yongin-si, Gyeonggi-do. Tangannya laju memasukkan dokumen dan barang yang mahu
dibawa bersama untuk melawat istana Gyeongbokgung.
“Eh,
mana pula passport aku?” Rania baru
sedar passport nya tiada di dalam
beg. Hatinya mula berdebar-debar. Itu dokumen yang paling penting, kalau hilang
mati lah aku tidak boleh balik ke Malaysia. Macam mana boleh hilang dan aku
tidak sedar langsung. Dia terduduk di atas katil, nafasnya di tarik dalam.
“Tak
boleh jadi ni. Aku kena fikir baik-baik di mana aku letakkan.” Matanya dipejam
rapat cuba berfikiran tenang dan mengingati semula di mana kali terakhir dia
letakkan passport nya.
“Hah!
Apartment Yoonah!” Rania mula
teringat kali terakhir dia meletakkan passport
di atas meja kecil di bilik yang didudukinya.
Ya, dia pasti passport itu
tertinggal di apartment Yoonah. Dia
perlu bergegas ke apartment Yoonah
untuk mengambil semula passport nya.
Beg sandang terus dicapai, lalu dia terus keluar dari bilik guesthouse.
Seketika
kemudian, Rania terpacak di pintu apartment
Yoonah. Tangannya segera menekan loceng pintu. Syukur dia masih ingat lagi
lokasi apartment Yoonah. Dalam diam
dia berdoa, Yoonah masih belum keluar dan passport
nya ada di sini. Tidak sampai 1 minit, wajah bersih Yoonah muncul di depannya.
“Annyong hasimnika? (Apa khabar?)” ucap
Rania dengan membongkokkan sedikit badannya sebaik sahaja Yoonah membuka pintu apartmentnya.
“Cal cineyo (Baik-baik saja).” balas
Yoonah sambil tersenyum manis. Rania dipelawa masuk. Mata Rania tertancap
melihat sepasang kasut lelaki di bahagian tempat letak kasut. Namun dia tidak
endahkan lalu membuka kasutnya dengan cermat.
“Maaf
menganggu awak di awal pagi ini. Sebenarnya saya mencari passport. Saya agak mungkin tertinggal di bilik yang saya menginap
tempohari.” jelas Rania kepada Yoonah yang kelihatan baru bangun tidur.
“Rania,
awak duduk di sini dulu. Biar saya yang cari dan ambilkan.” pinta Yoonah. Mendengar
hasrat Rania, terus Yoonah masuk ke bilik yang pernah diduduki oleh Rania. Dalam
fikirannya sudah berjalan satu perancangan yang perlu dilaksanakan. Inilah masa
yang sangat sesuai. Yoonah tersenyum sendirian.
Sambil
duduk di sofa, Rania membelek majalah hiburan dalam bahasa Korea. Ada beberapa
aktor dan penyanyi yang dikenali ada di dalam majalah itu. Tidak sampai 5
minit, Yoonah muncul semula dengan passport
di tangannya. Rania segera bangun melihat passportnya ada dengan Yoonah.
“Ini
passport awak. Simpan baik-baik ya.”
nasihat Yoonah kepada Rania.
“Alhamdulillah,
sudah jumpa semula passport saya. Kamsa hamnida (Terima kasih).” ucap
Rania sambil mencium passport antarabangsanya.
“Selepas
ini awak mahu ke mana?” soal Yoonah melabuhkan punggungnya di sebelah Rania.
“Istana Gyeongbokgung.”jawab Rania pendek.
“Semalam awak
ke mana?” soal Yoonah buat-buat tidak tahu cerita sebenar.
“Pulau Nami
dan Namsan Tower.”
“Rania
seorang sahaja ke sana?”
“Tidak,
saya dan Alex. Kebetulan Alex datang dan mahu menemani saya bersiar-siar di
Pulau Nami dan Namsan Tower.” jawab
Rania. Banyak pula soalan daripada Yoonah pagi ni.
“Alex
memang seorang pemuda yang baik melayan pelancong seperti awak. Oh ya, awak
tahu kan yang Alex adalah boyfriend saya.
Pasti Alex tidak beritahu.” Yoonah tergelak kecil membuatkan hati Rania
tiba-tiba sakit. Panas telinganya.
“A’ah, tak.
Alex tidak beritahu saya tentang hal itu. Jangan risau, saya dan Alex tiada
hubungan istimewa. Kami sekadar teman dari 2 negara sahaja.” jawab Rania dengan
tenang. Dalam fikirannya mula berputar-putar, dan wajah Alex mula terbayang.
Tidak sangka Alex dan Yoonah ni sepasang kekasih. Patutlah Alex suruh aku
menumpang menginap di apartment
Yoonah. Rupa-rupanya mereka mempunyai hubungan istimewa. Dasar lelaki playboy! Layan dan mengayat aku bagai
lidah tiada tulang. Semuanya ikhlas konon!. Bencinya aku dengan Alex!. Aku
sudah dapat agak apabila dia mahu bagi aku rantai mahal. Mahu pikat aku lagi
sedangkan sudah ada kekasih.
“Rania,
awak okay ke? Wajah awak nampak pucat.” ujar Yoonah dengan nada simpati.
Tangannya mula menyentuh tapak tangan Rania. Mahu mengetahui suhu badan Rania
sama ada sihat atau sebaliknya.
“Mungkin
saya letih dan tidak cukup rehat. Itu sebab wajah saya pucat.” Rania memberi
alasan. Mood pagi telah lenyap dan
hilang sebaik sahaja mendengar pengakuan Yoonah tentang Alex. Terasa mendung
berarak di dalam hatinya.
“Awak kena
jaga kesihatan. Jika tidak nanti awak akan jatuh sakit.” nasihat Yoonah
prihatin akan dirinya.
“Saya akan
jaga diri. Baiklah saya mahu pergi. Terima kasih atas passport.” jawab Rania lemah.
“Sama-sama.
Harap awak akan gembira di sini. Jika ada masalah boleh hubungi saya.” ujar
Yoonah bersungguh. Bahu Rania ditepuk mesra.
Tiba-tiba,
kelibat Alex muncul di ruang tamu tanpa berbaju. Rambutnya basah. “Rania? Kamu buat
apa di sini!” ujar Alex dengan nada tinggi. Dia sungguh terkejut melihat Rania
berada di apartment Yoonah pagi ini.
Mata Rania
membulat besar. Adakah dia bermimpi? Alex di rumah Yoonah dengan keadaan
begitu. Biar betul aku lihat Alex di sini! Sungguh tidak percaya dengan lelaki
seperti Alex sanggup meluahkan rasa sayang padanya sedangkan ada hubungan
dengan Yoonah.
Suasana
agak tegang ketika itu. Yoonah segera menuju ke arah Alex dan memeluk erat
tubuh Alex. Walaupun Alex menolak, namun Yoonah tetap berbuat demikian. Sakit
mata Rania melihat insiden yang tidak diduga itu.
“Rania
datang mahu ambil passport nya yang
tertinggal di dalam bilik.” ujar Yoonah memberi penjelasan. Yoonah seolah-olah cuba
meredakan keadaan yang agak panas antara Alex dan Rania.
“Yoonah,
saya mahu balik. Jumpa lagi.” ujar Rania dengan nada tegas. Kakinya laju melangkah
ke arah pintu. Melihat itu, Alex segera melepaskan pelukan Yoonah dan berlari
ke arah Rania.
“Rania,
tunggu! Dengar dulu penjelasan saya!” jerit Alex.
Rania hanya
memekakkan telinga. Wajah Alex langsung tidak dipandang. Marah sungguh dia
dengan perangai Alex yang berpura-pura tiada kekasih tapi sebaliknya. Dasar
lelaki playboy yang suka ambil
kesempatan! Aku benci Alex!.
“Rania!!”
Alex sempat memegang lengan Rania dengan erat.
“Rania,
dengar dulu penjelasan saya. Saya sayangkan kamu. Percaya lah.” ujar Alex
dengan termengah-mengah. Wajah Rania dipandang tepat.
“Lepaskan
tangan saya! Kamu lelaki yang tidak boleh dipercayai. Saya benci kamu!” jerit
Rania dengan nada yang tinggi. Dengan tenaga yang kuat, Rania meleraikan
tangannya daripada dipegang oleh Alex.
“Rania!!”
jerit Alex. Pintu ditutup kuat. Kelibat Rania hilang daripada pandangannya.
Alex meraup wajahnya perlahan. Sesuatu yang berharga telah hilang.
Lemah-longlai dibuatnya. Apa yang telah berlaku sebentar tadi benar-benar
membuatkan Alex hilang semangat.
Di
kejauhan, Yoonah melihat insiden tadi dengan sebuah senyuman yang lebar. Sangat
berpuas hati kerana Rania sendiri telah melihat Alex curang dan tidak
dipercayai. Rancangannya berjaya dilaksanakan tanpa ada halangan. Ingin sahaja
dia menepuk tangan tanda meraih kejayaaan.
“Kenapa tidak
beritahu yang Rania datang?” soal Alex kepada Yoonah yang mula mengemaskan
bekas minuman di meja. Yoonah mendongak, “Aku sendiri pun tidak tahu. Tiba-tiba
saja dia muncul. Kenapa?” balas Yoonah endah tak endah.
“Aah… Rania
sudah salah faham dengan aku.” dengus Alex kuat. Dia segera masuk ke dalam
bilik untuk menukar pakaian. Penjelasan perlu diberikan kepada Rania. Dia pasti
Rania sudah salah faham dan berfikir bukan-bukan akan dirinya. Malam tadi dia
mabuk teruk. Yoonah yang membawanya balik ke apartment walaupun sudah ditegah berbuat demikian. Kenapa lah aku
minum sampai mabuk. Selepas itu aku tidak sedarkan diri. Aku pasti tiada apa-apa yang
berlaku antara aku dan Yoonah malam tadi. Kepalanya masih lagi sakit penangan
minuman alkohol.
Sementara
itu, Rania melangkah panjang menuju ke stesen subway. Matanya mula bertakung dengan air mata. Perasannya
benar-benar sakit umpama ditikam dengan benda tajam. Perit sekali!. Sebaik
sahaja dia ternampak bangku segera dia melabuhkan punggungnya di situ. Matanya
lurus memandang ke hadapan, dia tidak mengendahkan orang ramai yang lalu-lalang
di hadapannya. Tidak sangka Alex sanggup berbuat demikian. Bermalam di apartment Yoonah dan mereka sebenarnya
kekasih. Kenapa lah aku lembab sangat untuk mengetahuinya dari awal. Kalau aku
tahu sudah tentu aku tidak akan bersiar-siar dengan Alex selama 3 hari!. Wajahnya
diraup perlahan. Air matanya di seka dengan tisu.
“Sekejap…
kenapa lah aku menangis kerana Alex, dia bukan kekasih aku pun. Entah-entah
dalam tidak sedar aku menyayangi Alex. Gila! Macam mana boleh jadi seperti ini.
Alex memang suka pada aku. Dan aku pula tidak tahu perasaan sebenar aku, namun
setelah melihat kejadian tadi aku berasa sakit hati dan cemburu yang amat.”
Rania mengelengkan kepalanya sendiri cuba menafikan apa yang bermain di
fikirannya.
“Baik,
tidak kira aku jatuh cinta dengan Alex atau sebagainya yang penting sekarang
Alex itu playboy dan lelaki curang. Aku sudah tidak boleh mempercayainya lagi.
Noktah.” Rania bermonolog sendirian. Kakinya di pandang sepi, lain yang aku nak
lain pula aku dapat bila datang ke apartment
Yoonah. Tuhan nak tunjukkan sesuatu pada aku siapa sebenarnya Alex. Pasti ada hikmah di
sebalik semua ini berlaku. Dia perlu segera beredar dari situ bimbang Alex akan
mencarinya.
Train subway muncul di depannya, kakinya melangkah lemah. Dia menuju ke istana
Gyeongbokgung. Dalam masa 10 minit,
Rania sudah tiba ke stesen Gyeongbokgung. Aura
istana mula kelihatan kerna sebaik sahaja dia melangkah keluar terpapar Seoul Metro Art Centre yang kelihatan seperti
Balai Seni Lukis Negara. Cantik sungguh hiasan dan karya seninya namun Rania
tidak lagi teruja untuk meneruskan perjalanannya.
“Aku tidak
boleh jadi bodoh. Kecewa dan menangis hanya untuk lelaki playboy macam Alex! Aku harus sedar dan bangun dari rasa kecewa.
Mesti berani hadapi kenyataan.” Rania bermonolog sendirian.
“Aargh…”
jerit Rania sebaik sahaja bahunya dilanggar oleh seorang wanita Korea.
“Sorry.” ujar wanita itu. Dia menyentuh
bahu Rania sekiranya ada yang tercedera.
“Its okay.” balas Rania dengan senyuman
kelat. Ini semua salah aku sendiri duduk di tengah-tengah laluan orang
lalu-lalang. Rania segera mencari tempat duduk untuk menenangkan perasaan sakit
hatinya yang masih lagi tidak hilang.
“Hah,
Alex!” Kelibat Alex di hadapannya membuatkan Rania kaku seketika. Matanya tepat
memandang ke wajah itu. Namun, Alex buat tidak kenal dengan Rania yang berada
di depannya. Sebentar kemudian seorang wanita Korea datang memaut lengan Alex
dan mereka melangkah ke arah istana Gyeongbokgung.
“Laa… itu
bukan Alex tapi lelaki lain yang wajahnya hampir sama. Badan lelaki itu agak
berisi berbanding dengan Alex kurus dan tinggi lampai. Fuh! Lega bukan Alex
yang sebenar.” bisik hatinya.
Entah-entah
Alex akan mencari aku di sini. Semalam aku sudah beritahu dia perancangan mahu
datang ke istana Gyeongbokgung. Tidak boleh jadi ni, aku mesti segera beredar
dari sini. Tak pasal-pasal dia datang mahu jumpa aku. Mesti Alex akan datang,
aku yakin dia akan ke mari. Tanpa berlengah, Rania terus menaiki subway yang muncul tepat pada masanya.
Di dalam subway yang bergerak pantas, Rania
sempat berfikir untuk terus ke Namdaemun
Market iaitu tempat shopping yang
popular di kalangan pelancong seperti dirinya. Agendanya di Seoul perlu
diteruskan walau apa pun yang berlaku.
Sementara
itu, Alex sudah siap memakai baju dan segera keluar daripada apartment Yoonah. Dalam fikirannya, dia
mahu mencari Rania secepat yang mungkin. Lokasi istana Gyeongbokgung dituju.
Dia pasti Rania akan datang ke situ kerna semalam sudah diberitahu. Harap
sangat Rania masih ada lagi di sana. Subway
dinaiki, hatinya sangat tidak tenteram. Dia sungguh cemas dan lemas dengan apa
yang telah berlaku. Adakah Rania akan mendengar penjelasannya lalu percaya dan memaafkannya.
Aah… macam-macam persoalan yang timbul di minda sedarnya. “Cepatlah train ni sampai ke istana Gyeongbokgung.”
getus hati lelakinya.
Sepuluh
minit kemudian, Alex tiba di stesen Gyeongbokgung. Dia melangkah panjang, mahu berjumpa
dengan Rania wanita yang disayangi. Aah.. mana satu yang harus aku tuju. Muzium
King
Sejong atau istana
Gyeongbokgung, Alex buntu untuk
membuat keputusan. Di situ ada 2 tempat yang harus dilawati oleh pelancong.
Sekarang ini, Alex tidak tahu Rania sudah berada di muzium King
Sejong atau di istana
Gyeongbokgung. Rambutnya diraup perlahan. Dia benar-benar tidak boleh berfikir,
Alex takut kehilangan Rania. Sungguh! Alex menarik nafas panjang. Sekarang ni
waktu melawat dan pelancong agak ramai yang datang pasti ianya sukar untuk
menjejaki Rania.
Muzium King
Sejong atau
istana Gyeongbokgung, mana dulu lokasi yang aku mahu tuju. Alex mengaru-garu kepalanya. Matanya meliar melihat sekeliling. Tidak sampai 1 minit, Alex sudah membuat keputusan, muzium King Sejong akan
dituju terlebih dahulu dalam misi mencari Rania. Sebaik sahaja Alex memasuki
muzium matanya merayau mencari kelibat Rania. Sekejap ke kiri dan sekejap ke
kanan. Dia terus menuju ke bahagian depan tatkala terlihat kelibat gadis
bertudung biru yang sedang asyik menulis Hanguel
alphabet iaitu tulisan Korea. Gadis itu hanya menundukkan kepala, tekun
menulis namanya sendiri di atas sehelai kertas.
“Rania?”
sapa Alex perlahan kepada gadis itu, serta-merta gadis itu mendongakkan kepala
dan terkejut.
“Sorry, wrong person.” jawab gadis itu
dengan senyuman. Aargh… salah orang rupanya. Bukan Rania!
“Sorry.” ujar Alex perlahan dan
menundukkan kepalanya sedikit tanda mohon maaf. Wajahnya merona merah menahan
rasa malu. Alex meneruskan langkahnya di sekeliling muzium, di depannya ada The
Story of King Sejong Exhibition Hall yang seluas 3,200
meter persegi yang dibahagikan kepada 9 seksyen iaitu bahagian artistik,
militant, politik dan sebagainya. Di mana lagi aku mahu mencari. Alex terfikir tidak mustahil
Rania sedang menikmati filem pendek 4D Admiral
Yi Sunshin di Multimedia Auditorium yang disediakan di situ. Alex membuat
keputusan untuk tunggu di pintu keluar auditorium. Tangannya laju sahaja
menyentuh telefon pintar. Dia mahu menyemak sekiranya ada sebarang SMS daripada
Rania. Namun hampa, tidak sebarang berita daripada Rania.
Setelah
15 minit berlalu dan wajah Rania tiada kelihatan, Alex mengikut gerak hatinya
menuju ke istana Gyeongbokgung yang terletak
500 meter sahaja daripada muzium itu. Usai membayar harga tiket KRW3,000 mata
Alex memandang seluas pandangan sebaik sahaja berada di kawasan istana Gyeongbokgung
yang dikhabarkan seluas 10,000 meter per
segi atau lebih kurang 50 kali luas padang bola! Agak mustahil untuk ketemu
Rania. Istana Gyeongbokgung merupakan istana terbesar antara 5 istana
tradisional utama di Korea Selatan.
“Apa
lah malang nasibku hari ini. Rania nampak aku di apartment Yoonah dalam keadaan yang mengaibkan. Mesti Rania fikir
yang aku bersama Yoonah malam tadi dan menganggap aku lelaki curang! Kalau lah
aku boleh mengundurkan masa.” keluh Alex sendirian.
Dia
melangkah masuk ke kawasan istana, kelihatan ramai pelancong daripada pelbagai
bangsa yang datang ke situ. Ada kumpulan-kumpulan pelancong yang mengikuti
ketua kumpulan dengan mengibarkan bendera pakej perlancongan mereka. Matanya
pantas mencari gadis yang bertudung biru di mana-mana sahaja dia melangkah.
Agak jarang mahu jumpa kumpulan atau orang perseorangan yang bertudung seperti
Rania.
Alex
mula memasuki kawasan balairong utama istana yang tidak membenarkan pengunjung
masuk. Para pengunjung hanya dibenarkan melihat daripada luar sahaja. “Takkan lah Rania mahu melawat tempat
ini. Aku mesti cari Rania di kedai cenderahati. Rania mesti akan singgah membeli fridge magnet.” Selama 3 hari dia
bersama Rania, dia perasan yang Rania suka kan fridge magnet bagi setiap tempat yang dikunjungi.
Sebaik
sahaja Alex menjejakkan kaki di kedai cenderahati, dia terus bertanyakan kepada
gadis yang bertugas di situ. Namun, semuanya hampa kerana mereka tidak perasan
sangat pengunjung yang membeli cenderahati kerana bilangan mereka yang ramai
dan pelbagai bangsa. Alex terduduk dan menung seketika. Nafasnya
tercunggap-cunggap. Kakinya sakit.
“Oh,
Rania di mana kah kamu berada? Jangan jauhkan diri kamu dari aku.” bisik hati
lelakinya.
Alex tidak
berputus asa, dia menuju Gyeonghoeru
Pavillion iaitu bangunan Gyeonghoeru yang terletak di atas pulau
buatan manusia dan dikelilingi tasik. Sangat indah! Matanya menangkap kelibat
seorang gadis yang bertudung sedang membelakanginya. Gadis itu asyik mengambil
gambar dengan menggunakan kamera DSLR. Rania! Alex pasti itu gadis yang di
cari. Dia berlari anak ke arah gadis itu.
“Rania!”
teriak Alex membuatkan semua orang di situ memandangnya dengan pandangan aneh
dan terkejut. Gadis itu turut menoleh. Wajah Alex merona merah dan panas, gadis
itu bukan Rania yang di cari tetapi gadis lain. Dia segera memalingkan muka dan
berlalu dari situ dengan muka yang tebal kerana silap orang.
Alex terus mara ke bahagian
pintu gerbang utama istana sebaik sahaja mendengar pengumuman bahawa sebentar
lagi akan diadakan Royal Guard Changing Ceremony. Dia
berharap Rania akan hadir ke situ untuk menyaksikan perarakan pengawal diraja
Dinasti Joseon yang ditugaskan menjaga pintu Gwanghwamun.
Pengunjung berlari
anak ke situ termasuk dirinya. Orang lain berlari mahu melihat perarakan diraja
tapi aku pula mahu mencari orang. Alex meninjau dan melihat sekeliling akan
kelibat Rania namun sehingga selesai perarakan wajah Rania tidak juga muncul.
Suasana kembali normal berbanding sebentar tadi yang agak bising dengan
keterujaan pengunjung. Pasti pengunjung gembira kerna dapat melihat pengawal istana yang berkostum warna-warni persis
pengawal istana di zaman dinasti Joseon.
“Mana lagi aku mahu cari
Rania.” luah Alex perlahan. Alex terus berjalan dan kali ini dia nekad untuk bertanya kepada staf yang bertugas
di Sumunjang Costume Experience yang
menyediakan perkhidmatan percuma kepada sesiapa sahaja yang ingin mencuba pakaian
rasmi pengawal diraja atau hanbok. Istilah hanbok merujuk kepada pakaian tradisional rakyat Korea.
Wanita yang bertugas
tadi hanya mengelengkan kepala sebaik sahaja Alex menunjukkan gambar Rania di
dalam telefon pintarnya. “Adakah Rania tidak datang ke
sini? Atau aku sahaja yang tidak ketemu Rania?.” Wajah hansome nya di raup perlahan. Hatinya gelisah. Fikirannya buntu. Pengunjung lain
teruja sungguh dengan memakai kostum tradisional, sedang kan aku berasa
sedih. Rania sayangku, di manakah dikau? Sungguh, aku bersalah dengan gadis yang bernama Rania!