JAM tangan
Alex tepat menunjukkan jam 12.45 tengahari, di mana-mana sahaja kelihatan
pengunjung daripada pelbagai usia gembira menghayati keindahan alam semulajadi,
hasil seni karangkraf dan mengimbau kembali kisah romantik drama yang popular
tahun 2002 untuk memadu kasih di Pulau Nami.
“Romantis sungguh Joonsang dan Yu-jin di
dalam drama Winter Sonata.” Rania
leka melihat setiap foto yang diambil daripada sedutan drama itu. Galeri Winter Sonata merupakan galeri yang
mesti dikunjungi oleh peminat drama tersebut. Sebuah poster besar yang
berlatarbelakangkan kedua pelakon utama itu disediakan untuk peminat bergambar
bersama.
“Alex, tolong ambilkan gambar saya
bersama pasangan romantis ni.” tanpa membantah Alex bersedia dengan lensa
kamera.
“Rania, di depan tu kedai makan halal
yang menjual Dosirak.” Alex menunjukkan kepada Rania sebaik sahaja mereka
sampai di bangunan Baplex Hall.
“Perut saya dah lapar. Jom kita pergi
makan.” Rania bersetuju dengan cadangan Alex. Kedai makan itu tidak besar namun
menyediakan meja dan kerusi sama ada di dalam atau luar kedai.
“Kamu mahu duduk di mana?” soal Alex
kepada Rania yang asyik memandang gelagat pelanggan kedai di situ.
“Kita duduk di dalam sahaja. Di luar ni
agak sejuk.” Rania segera duduk di sebuah meja yang berhampiran dengan kaunter.
“Selain Dosirak, kamu mahu makan apa?”
soal Alex yang duduk setentang dengan Rania. Kamera diletakkan di atas meja
makan.
“Saya mahu pankek kimchi.”
“Saya pergi ambil order.” Alex segera bangun dan menuju ke kaunter yang disediakan.
Pekerja kedai agak sibuk memenuhi keperluan pelanggan yang datang silih
berganti. Suasana agak bising dengan pelbagai karenah, ada yang sibuk
menguruskan kehendak anak-anak, ada yang asyik menikmati makanan yang dipesan
dan ada yang sedang menunggu.
Alex tiba dengan dua buah cawan yang
berisi air putih. Ianya disediakan oleh pihak kedai dan pelanggan perlu
mengambilnya sendiri.
“Ini air untuk kamu, tentu kamu sudah
haus.” pelawa Alex.
“Terima kasih.” balas Rania sambil
mengambil sesuatu daripada beg sandangnya.
“Banana
milk?” spontan sahaja Alex bertutur sebaik sahaja melihat Rania
mengeluarkan botol itu.
“Ada satu sahaja yang saya bawa. Kamu
mahu rasa?” Alex mengelengkan kepala. Rania memasukkan straw. Air itu diminum dengan penuh nikmat.
“Banana
milk ni sangat sedap. Kawan saya kata
kalau pergi ke Korea jangan lupa beli banana
milk kerana rasanya yang sedap. Kalau boleh saya mahu bawa balik ke
Malaysia.” gelak Rania. Banana milk
mempunyai banyak perisa seperti strawberi dan oren. Bentuknya seperti botol air
vitagen namun besar dan gemuk sedikit.
“Wah, Dosirak sudah tiba!” ujar Rania
teruja. Namun ada sesuatu yang pelik di samping hidangan.
“Mari saya tunjukkan bagaimana mahu
menikmati Dosirak. Kamu perlu memakai kedua-dua glove khas yang disediakan. Dan kemudian goncang dengan kuat supaya
nasi dapat bersatu dengan kimchi dan telur!” Alex terus mengoncangkan bekas tin
nasi. Rania tidak tahan menahan ketawanya.
“Patutlah dipanggil nasi goncang atau
nasi kocak! Perlu buat begitu!” gelak Rania. Segera dicapai kamera lalu diambil
gambar Alex dengan Dosirak.
“Saya mahu buat juga!” tangannya
disarungkan dengan glove dan kemudian
digoncangkan.
“Kamu goncang tak kuat. Mari saya
buatkan.” segera Alex mengambil bekas tin nasi tadi lalu digoncang kuat.
“Dosirak sudah sedia dimakan.” Alex
memberikan semula kepada Rania sejurus selesai mengoncangnya. Bekas makanan itu
dibuka perlahan. Kelihatan nasi putih bercampur telur separuh masak dan kimchi.
“Emm.. sedap! Cuma kimchi ni agak kuat
masamnya. Pankek ni pun sedap dan saiznya besar. Saya mahu tunjukkan sesuatu
dari Malaysia.” Rania meletakkan chopstik dan mencari sesuatu di dalam beg
sandangnya.
“Surprise!
Serunding dari Malaysia!”
“Serunding?” balas Alex dengan kehairanan.
“Ini adalah makanan tradisional.
Serunding diperbuat daripada daging dan dimasak lama sehingga kering supaya
tahan lama. Cuba kamu rasa.” pelawa Rania sambil meletakkan sedikit serunding di
makanan Alex.
“Emm… sedap! Ada rasa sedikit pedas dan
rempah-ratus . Saya suka!” komen Alex sebaik sahaja mencubanya. Rania gembira
mendengar maklum balas daripada Alex akan makanan Malaysia.
“Kamu pandai masak?” soalan Alex
membuatkan Rania hampir tersedak.
“Bolehlah sedikit, tapi tidak sepandai
chef!” gelak Rania. Alex tersenyum mendengarnya.
“Kenapa kamu tanya?” soal Rania ingin
tahu.
“Saja tanya. Kamu masih bertenaga lagi
untuk berjalan?” Alex mengalihkan topik perbualan.
“Saya okay selepas makan Dosirak dan banana milk. Tapi sebelum kita sambung
semula bersiar-siar saya mahu solat dulu. Saya diberitahu bahawa dekat kawasan
ini ada tempat solat untuk orang muslim.” ujar Rania sambil melihat ke arah
luar kedai.
“Oh, saya ada nampak tadi. Tempat tu di
sebelah kedai ni. Kamu seorang penganut Islam yang patuh pada ajaran agama.
Saya kagum dengan kamu.”
“Sebagai orang Islam, kami diwajibkan
menunaikan solat walaupun sedang bermusafir.”
“Kali ni saya belanja kamu makan. Tunggu
sebentar ya.” Alex berlalu menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran. Rania
hanya memerhatikan Alex dengan rasa senang dilayan begitu. Alangkah bahagianya
jika Alex ni orang Islam, moga ALLAH beri hidayah Islam kepada Alex doa Rania
dalam diam.
Alex menunggu Rania di depan bangunan
yang menempatkan musolla. Tangannya mula menyentuh skrin telefon pintarnya. Dia
melihat semula foto Rania sepanjang 2 hari yang lepas. Rania ternyata cantik
dan mempunyai senyuman yang manis membuatkan hati lelakinya berdebar. Senyuman
tidak lekang dari bibirnya tatkala menatap foto Rania. Sedang dia asyik melihat
satu persatu gambar yang diambil secara curi-curi, bahunya ditepuk oleh
seseorang. Alex segera menoleh.
“Excuse
me, musolla?” soal seorang lelaki berbangsa Indonesia kepadanya. Alex terus
menunjukkan arah tempat mussolla. Sejurus lelaki itu mengucapkan terima kasih
dan beredar hatinya terdetik, jika dia menyukai dan ingin memiliki Rania ada
satu masalah utama yang perlu dihadapi iaitu perbezaan agama. Melihat cara dan
ketaatan Rania pada agama Islam pasti dia merupakan seorang penganut yang patuh
pada ajaran Islam. Sebelum ini, ada juga rakan-rakan muslimnya yang bercerita
akan agama Islam namun telinganya sekadar mendengar tidak lebih dari itu.
Namun, kehadiran dan sejak pertemuannya dengan Rania membuatkan dia ingin
mengetahui apa yang istimewanya Islam di kaca mata Rania.
“Jauh mengelamun!” Alex tersentak.
Hampir sahaja dia mahu terjatuh dari bangku yang didudukinya.
“Rania! Kamu buat saya terkejut!” balas
Alex. Mukanya merah menahan rasa marah.
“Saya sudah panggil nama kamu, namun
tiada reaksi. Apa yang kamu menungkan?” ujar Rania ingin tahu. Dari tingkat
atas dia dapat melihat Alex yang merenung jauh seperti ada masalah.
“Maaf, saya tidak dengar langsung. Kamu
sudah solat?” soal Alex berdiri dan membetulkan baju kot sejuknya.
“Sudah, terima kasih masih setia
menunggu di sini.” Rania ketawa menampakkan sebaris gigi putih yang tersusun
cantik.
“Kamu tidak menjawab soalan saya tadi.”
Rania mengingatkan kembali. Alex mengerutkan dahi, “Soalan apa ya?” balasnya
bersahaja.
“Apa yang kamu menungkan tadi? Ada
masalah ke?” ujar Rania dengan penuh minat.
“Ooh… saya sedang memikirkan hadiah apa
yang sesuai untuk diberikan kepada kamu.” Alex memberikan alasan yang lain. Dia
tidak mahu Rania mengetahui perkara sebenar tentang apa yang bermain difikirannya sekarang.
“Hadiah?... Untuk saya?” Rania seolah
ingin melompat tinggi semasa Alex menyebut tentang hadiah. Ianya perkara yang
paling disukai dalam hidupnya.
“Ya, hadiah untuk kamu. Pasti kamu suka kan?”
duga Alex membuatkan Rania bertambah teruja. Belum sempat Rania berkata lagi
Alex sudah maju ke depan meninggalkan kawasan restoran. Terkedek-kedek Rania
mengekori dari belakang.
“Apa yang berwarna putih tu?” tunjuk
Rania di sebuah kolam kecil yang mempunyai jambatan kayu. Kakinya tidak berasa
sakit lagi, langkah kakinya semakin laju.
“Itu adalah baki ais yang masih membeku.
Sebelum musim bunga adalah musim sejuk, bertuah kamu dapat melihatnya. Kamu
pernah bermain salji?” tanya Alex membuatkan Rania mengelengkan kepala
perlahan.
“Di Korea ada tempat yang kamu masih
boleh nikmati suasana sejuk dan bersalji walaupun sekarang sedang musim bunga.
Kalau kamu berminat, di gunung Soorak masih ada salji. Tapi perjalanannya agak
jauh dari Seoul. Hampir 4 jam menuju ke sana jika menaiki bas.” jelas Alex
membuatkan Rania bertambah ralat bila mendengar tempat itu jauh. Dia mempunyai
keinginan untuk bermain salji sekiranya berpeluang namun memandang dia hanya
mengembara seorang diri maka niatnya dibatalkan. Rania mahu berseronok bermain
salji dengan Zaidah kawan baiknya.
“Mungkin lain kali sahaja saya pergi.
Sebelum meninggalkan Pulau Nami, saya mahu membeli sedikit cenderahati.” luah
Rania.
Mata mereka tertumpu kepada seekor tupai
tanah yang asyik leka makan chestnut
yang jatuh daripada pokok. Kelincahan tupai itu menarik minat beberapa
pengunjung untuk merakamkan video dan mengambil gambar.
“Cantiknya deretan pokok metasequoia depan tu.
Alex, bantu saya ambil gambar.” pinta Rania. Di situ merupakan tempat tumpuan
pengunjung mengambil gambar kerana pemandangan yang sungguh cantik dan
menghijau. Wajah-wajah ceria jelas kelihatan di situ, memang sifat manusia
semulajadi dijadikan untuk suka kepada sesuatu yang cantik dan indah.
Tiba-tiba,
“Mari saya ambilkan gambar kamu berdua.” Seorang lelaki Korea menawarkan
bantuan untuk mengambil gambar mereka berdua. Alex dan Rania terkejut dengan
pelawaan tu, tanpa berlengah lagi Alex menyerahkan kamera kepada lelaki itu.
Dia segera bersedia di sebelah Rania.
“Maeu
joseumnida!” ujar
lelaki itu sebaik sahaja selesai mengambil gambar. Hampir serentak Alex dan
Rania menganggukkan kepala tanda mengucapkan terima kasih.
“Apa yang
lelaki tu kata?” soal Rania ingin tahu kerana lelaki itu menggunakan bahasa
Korea.
“Dia kata
kita perlu cepat kawin!” jawab Alex dengan senyuman lebar. Wajahnya merona
merah. Rania terus ketawa besar mendengar jawapan itu.
“Pandai uncle tu buat lawak. Macam-macam
perangai orang ni.” Rania masih tertawa.
“Maksud maeu joseumnida adalah
bagus sekali. Di sinikan ramai pasangan kekasih, mungkin uncle itu fikir kita pun dalam fasa itu.” Alex turut tertawa
girang.
Rania
bergegas mengajak Alex ke kedai cenderahati sebaik sahaja terpandang papan arah
kedai itu. Hampir 20 minit, mereka menghabiskan masa di situ melihat dan
membelek cenderahati yang berkenan di hati untuk dibeli.
“Banyaknya
kamu beli fridge magnet. Mesti kawan kamu
ramai!” Alex membuat telahan rambang setelah melihat hampir 10 fridge magnet yang dibeli oleh Rania.
“Betul tu,
ada kawan saya yang kirim suruh belikan. Saya tunaikan hajat mereka.” Rania
membayar harga barang yang dibeli dan mereka terus beredar dari situ.
“Kita
tidak perlu berjalan di seluruh Pulau Nami ni, nanti pengsan dibuatnya. Kita
ikut laluan ini dan menuju semula ke jeti.” nasihat Alex. Rania mengangguk
setuju, sudah hampir 5 jam mereka berada di Pulau Nami. Di sekitar mereka
berdiri megah pohon-pohon menghijau menunjukkan Pulau Nami dijaga rapi. Para pengunjung tidak dibenarkan memetik atau
merosakkan tumbuhan yang ada di situ dan haiwan seperti anjing pun tidak
dibenarkan dibawa bersama.
Sepanjang
mereka berjalan di laluan yang berhampiran Sungai Han, mereka terserempak
dengan sekumpulan kanak-kanak yang datang bersama dengan guru. Rania tertarik
kerana kanak-kanak itu patuh berbaris 2 barisan.
“Kamu
sukakan kanak-kanak?” Alex menyoal sebaik sahaja melihat keceriaan di wajah
Rania yang melihat kumpulan kanak-kanak itu.
“Mestilah
suka. Saya tiada adik kecil.” jawab Rania sambil memandang Sungai Han.
“Saya anak
tunggal.” luah Alex perlahan. Dia curi-curi memandang Rania, mahu melihat
reaksi wanita itu. Hatinya mula terdetik untuk meluahkan perasaan sayang kepada
Rania kerana bimbang tidak dapat berjumpa lagi. Dia menarik nafas dalam-dalam
dan kemudian dilepaskan.
“Kamu
tiada rasa takut bila seorang diri sahaja di Seoul?” soalan Alex membuatkan
Rania pantas menoleh. Kenapa pula soalan itu yang terkeluar daripada mulutnya
sedangkan Alex ingin Rania mengetahui akan isi hatinya.
“Tiada apa
yang perlu ditakutkan. Saya yakin, Tuhan sentiasa bersama dan melindungi saya.”
tenang Rania menjawab.
“Keyakinan kamu tinggi terhadap Tuhan.” Alex
kagum dengan jawapan Rania.
“Agama
Islam menitik beratkan kepercayaan tauhid bahawa ALLAH Maha Besar dan Maha
Mengetahui tentang semua perkara yang berlaku di alam ini termasuk daun yang
gugur ke tanah.” petah Rania menjelaskan.
Alex hanya
mengiyakan sahaja. Soal hati yang mahu ditanya, lain pula jadinya. Dia tidak
puas hati, Rania perlu diberitahu akan isi hatinya. Walaupun usia perkenalan
mereka sangat singkat, namun Alex telah dilamun cinta dan sayang gara-gara
penangan Rania!.
“Cantiknya
belon-belon putih digantung di atas pokok!” teriak Rania membuatkan Alex turut
menoleh. Pulau Nami bukan sahaja ada mitos kisah drama Winter Sonata, namun
dipamerkan juga hasil seni daripada pengiat seni daripada negara Indonesia,
China, Thailand dan beberapa negara lagi. Rania kagum dan berasa bangga kerana
hasil seni rakyat Malaysia iaitu Yusuf Gajah turut ada di situ.
Alex berusaha
mengumpulkan semula semangat untuk memaklumkan kepada Rania, “Kalau saya tanya
kamu satu soalan boleh tak?”
“Banyak
soalan pun tidak mengapa.” balas Rania acuh tak acuh. Dia memfokus lensa kamera
ke arah kumpulan kanak-kanak tadi. Cekap dia mengunakan kamera yang sudah
berbakti sejak 2 tahun yang lalu.
“Sebenarnya
saya suka…” ayat itu tidak habis diluahkan tatkala seorang kanak-kanak daripada
kumpulan tadi datang memberikan mereka buah limau seorang satu biji.
“Kamsa
hamnida (Terima kasih).” serentak mereka mengucapkan. Rania segera menyuruh Alex
membantunya mengambil gambar dengan kumpulan kanak-kanak
yang berusia 6 hingga 7 tahun.
“Harumnya
bau buah limau ni! Tak sangka dapat hadiah!” Rania tersenyum lebar. Alex
mengelengkan kepala melihat reaksi Rania yang seperti kanak-kanak mendapat
gula-gula.
“Kita
semakin sampai di jeti! Cepat juga kita berjalan, tidak sedar langsung.” Rania
memasukkan kamera kesayangannya di dalam beg sandang.
“Selepas
ni, kita terus pergi ke Namsan Tower
ya. Kamu tidak perlu balik ke guesthouse.”
pinta Alex.
“Boleh
juga tapi kamu ikut sekali?” soal Rania memohon kepastian. Dalam hatinya
berkata, hampir seharian Alex menemani aku di sini tanpa jemu. Sungguh bertuah
wanita yang berjaya menawan hati lelaki seperti Alex. Tidak mungkin Alex
menyukai dirinya kerana mereka berlainan agama dan bangsa. Pasti haru-biru
jadinya jika mereka berdua saling menyintai. Orang lain bawa balik cenderahati,
tapi aku pula bawa balik lelaki Korea ke Malaysia. Mustahil, perkara ini tidak
akan terjadi!