Home Novel Cinta Selagi Aku Masih Ada
Selagi Aku Masih Ada
Mya Effa
17/7/2013 01:56:21
100,040
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Prolog

MALAM kian merangkak sepi. Aku keluar dari bilik air sambil mengirai-ngirai rambutku yang basah. Terasa tubuhku begitu segar dan nyaman setelah beberapa minit bersiraman dengan air suam-suam kuku.

Kakiku terus melangkah ke tepi tingkap. Jendela kaca itu kukuak perlahan. Sepantas kilat angin malam menerobos masuk, mendinginkan suasana kamarku. Aku hanya berdiri di situ, membiarkan sang bayu meniup tubuhku yang hanya dibaluti rob mandi. Suamiku masih belum pulang dari pejabatnya. Katanya dia terpaksa membuat kerja overtime untuk mengemaskinikan akaun bulanan setelah tiba hujung bulan. Namun aku masih setia menanti kepulangannya dengan penuh sabar dan debaran di dada.

Kedinginan malam kian menggamit. Seketika kupejamkan mata rapat, cuba menghilangkan segala kekusutan yang kualami sejak dari siang tadi. Hatiku cukup kacau setelah mendengar perkhabaran dari Doktor Hazim, seorang pakar perbidanan dan sakit puan siang tadi. Sungguh tidak kusangka, begitu hebat sekali dugaan Tuhan terhadap diriku pada kali ini.

“Setelah pemeriksaan demi pemeriksaan yang saya dah jalankan ke atas puan, saya dapati ada ketumbuhan tumor pada pangkal rahim puan. Dan setelah diteliti, saya dapati tumor itu adalah sel kanser.” Penerangan doktor itu masih terngiang-ngiang di gegendang telingaku ini. Aku menjadi kalut. Cemas, risau, gerun, semuanya bercampur-baur. Seperti yang telah diketahui umum, penyakit itu merupakan pembunuh nombor dua kaum wanita selepas kanser payudara.

“Apa? Di pangkal rahim saya ada kanser?” soalku seakan tidak percaya. Doktor Hazim mengangguk. Aku menggeleng laju. Seluruh tubuhku menggigil ketakutan.

“Tidak, doktor. Tak mungkin!” bentakku dalam suara yang agak terkawal. Doktor Hazim menghelakan nafas berat.

“Saya faham, puan. Puan sukar hendak menerima berita ini. Malah menurut pengalaman saya sebelum ini, ramai wanita yang menghidapi kanser seperti puan pada mulanya sukar hendak mempercayai yang sel itu sedang aktif di dalam tubuh mereka,” terangnya menenangkanku. Aku mengeluh. Terlalu berat untuk aku menerima berita yang menakutkan ini.

Aku melangkah perlahan menuju ke katil. Airmataku mulai menitis keluar. Rasa sedih dan takut silih berganti. Sebaik kepalaku dipaling ke tepi, serta-merta pandangan mataku bertembung dengan sebuah bingkai gambar yang terhias cantik di sisi katil. Pantas kucapai bingkai gambar tersebut. Semakin sayu hatiku menatap gambar tersebut. Oh, mama… hatiku merintih. Sama sekali tidak kusangka yang aku akan mewarisi penyakit yang pernah dideritainya di suatu ketika dahulu. Dan penyakit itu jugalah yang telah meragut nyawanya di saat dia melahirkan adikku. Fikiranku melayang, mengenangkan kisah silam yang sentiasa segar di dalam kotak ingatanku.

Masih kuingat lagi, ketika itu usiaku baru menjangkau tujuh tahun. Di suatu malam, aku terjaga dari lena sebaik terdengar suasana riuh dari arah ruang tamu rumah kami. Aku bangkit, lalu dengan perlahan kubuka pintu bilikku. Satu demi satu langkahku diatur menuruni anak tangga. Aku ingin melihat, apa yang sedang berlaku di bawah.

“Imah, tolong tengokkan rumah. Esok kalau Aween tanya ke mana kami, katakan kami di hospital,” kedengaran suara ayah memberi pesanan kepada Kak Imah, pembantu rumah kami.

“Baik, encik.”

Baru kutahu, sudah tiba masanya untuk mama melahirkan kandungan keduanya itu. Dari dalam kulihat ayah tergesa-gesa keluar menuju ke anjung kereta. Pantas aku berlari mengejarnya dari belakang.

“Aween! Aween, nak pergi mana?” laung Kak Imah seraya mengejarku.

“Ayah, ayah! Aween nak ikut,” jeritku. Langkah ayah terhenti, lalu menoleh ke belakang mengadapku. Aku memandang ayah dengan penuh berharap. Ayah pula merenungku dengan pandangan yang sayu.

Aku melihat mama yang sudah pun berada di dalam kereta. Wajah mama yang berkerut menahan sakit itu tampak pucat sekali.

“Aween nak ikut, ayah,” pintaku lagi. Ayah lalu melangkah menghampiriku. Dia menyangkung, melawan panahan mataku. Kepalaku diusapnya dengan penuh kasih.

“Tak boleh, sayang. Aween tak boleh ikut. Ayah cuma nak hantar mama ke hospital aja. Bukannya ke mana pun. Kesian mama sakit,” pujuknya lembut.

“Alah, Aween nak ikut jugak,” aku tetap berdegil. Ayah menggelengkan kepala.

“Tak boleh. Aween tak boleh ikut. Esokkan Aween sekolah?”

“Tak payah pergi sekolah!” kataku tegas. Ayah merenungku.

“Aween, ayah tak suka anak ayah ponteng sekolah,” tegas ayah.

“Alah, nanti cakaplah kat cikgu yang Aween tengok mama kat hospital,” rengekku. Ayah menghelakan sebuah keluahan yang berat.

“Aween, dengar cakap ayah. Aween tak payah ikut. Jangan ingkar,” tegas ayah lagi. Aku terdiam. Seketika airmata berlinangan keluar dari tubir mataku. Melihat aku mulai tersedu, ayah segera memelukku.

“Aween, ayah janji. Esok ayah jemput Aween balik sekolah. Lepas tu kita ke hospital tengok mama, ya sayang?” pujuk ayah.

“Ayah janji?”

“Ya, ayah janji. Dah, pergi masuk tidur. Dah lewat sangat ni. Esok Aween nak ke sekolah.” Pelukan ayah terlerai. Aku menghantar pemergian ayah dan mama dengan ekoran mata yang sayu.

Keesokannya, sebaik waktu persekolahan tamat, aku berkejar ke luar pintu pagar sekolah. Kulihat ayah sudah pun menungguku. Aku berlari mendapatkannya. Sebaik enjin dihidupkan, kereta yang dipandu ayah terus meluncur membelah jalanraya.

“Ayah, mama macam mana?” soalku. Ayah menghelakan nafas berat. Matanya masih tertacap di tengah jalanraya.

“Aween, kita pergi makan dulu, ya?” ayah mengubah topik.

“Tak nak. Aween tak nak makan. Aween nak tengok mama,” rengekku.

“Aween tak lapar?” soal ayah. Aku menggeleng.

“Ayah, mama macam mana? Dapat baby apa?” soalku lagi. Sekali lagi ayah mengeluh. “Aween dapat adik lelaki,” kata ayah. Aku tersenyum gembira.

“Eee… bestnya. Esok boleh Aween main dengan adik, kan ayah?” aku bersuara riang. Ayah memandangku tanpa reaksi. Wajahnya tidak menunjukkan riak ceria. Aku memandangnya kehairanan.

Sambil memimpin tanganku, ayah bergegas mendapatkan doktor yang baru keluar dari Unit Pembedahan itu.

How’s my wife, doc?” soal ayah agak cemas. Aku memandang kedua lelaki di hadapanku dalam keadaan yang terpinga-pinga. Doktor muda itu membuka cermin mata bingkai tebalnya seraya menggosok-gosok matanya.

Doctor, what’s wrong with my wife?” soal ayah agak keras. Doktor itu mengeluh berat. Kulihat ayah begitu kalut memandangnya.

I’m so sorry, Encik Kamaruddin. Kami dah cuba berusaha, tetapi kami gagal untuk menyelamatkan isteri encik. Saya suggest baik encik masuk dan berjumpa dengannya. Ajar dia mengucap. Dia sedang nazak,” tutur doktor itu dengan penuh berhati-hati.

Dadaku berdegup kencang sebaik mendengar perkhabaran itu. Kulihat nafas ayah turut berombak. Dengan pantas dia berlari masuk ke dalam unit tersebut. Aku menurutinya dari belakang. Ya ALLAH, Ya Tuhanku… sesungguhnya Kau berikanlah kekuatan ke atas diriku untuk menghadapi ujianMu ini. Tabahkanlah hati ayah serta seluruh kaum keluargaku.

Hatiku dirundun pilu melihat ayah menggenggam erat tangan lesu mama. Airmataku sudah tidak dapat ditahan lagi dari terus mengalir.

“Azean,” dengan perlahan ayah memanggil mama. “Maafkan segala salah dan silap abang, Yan. Abang jugak maafkan Yan walaupun Yan tak pernah melakukan dosa terhadap abang. Abang halalkan segala-galanya,” tutur ayah sebak. Dan dengan teliti ayah mengucap dua kalimah syahadah ke telinga mama. Begitu sukar sekali mama menyebutnya. Ayah terus mengajarnya tanpa berputus asa.

“Lailahaillallah…” akhirnya terucap juga kalimah itu dari bibir lesu mama walaupun agak payah. Akhirnya, mama pergi jua dijemput Ilahi.

Innalillahhiwainnailaihirajiun... Aku tersedu di sisi jenazah mama. Dengan perlahan, ayah menutupi seluruh jasad mama dengan kain putih yang menyelimuti separuh dari tubuh arwah. Pantas ayah menyambar tubuhku. Aku menangis teresak-esak di dalam dakapan ayah. Kini, aku mulai sedar yang aku telah kehilangan mama buat selama-lamanya. Hanya pada ayah sajalah tempat aku menumpang kasih. Sesungguhnya, aku redha dengan ketentuan ini. Aku akan sentiasa merindui kasih sayang dan belaianmu, mama…

 

Next: Bab1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mya Effa