Home Novel Cinta Selagi Aku Masih Ada
Selagi Aku Masih Ada
Mya Effa
17/7/2013 01:56:21
100,053
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9
TAPAK perkhemahan kami terletak berhampiran dengan kolam air terjun. Namun, untuk ke kolam tersebut, kami terpaksa melalui sebuah curam yang agak kecil sebelum tiba di tebing kolam air terjun. Semua peserta begitu sibuk memasang khemah masing-masing. Setiap satu khemah harus dikongsi tiga orang. Aku seperti biasa akan berkongsi khemah dengan Farhana dan Kak Min. Tetapi, kadang-kala di waktu malam, Kak Nad akan menumpang tidur di khemah kami.

Selesai memasang khemah, kami terus mengeluarkan alat-alat kelengkapan peribadi masing-masing untuk membersihkan diri. Kak Nad mendahului kami untuk menuruni curam tersebut. Diikuti dengan Farhana. Aku mencangkung di tebing curam itu terlebih dahulu sebelum melompat ke bawah. Kak Nad dan Farhana membantu memegang kedua-dua belah tanganku sewaktu aku hendak terjun ke bawah agar aku tidak terjatuh. Sementara Kak Min pula memantau dari belakang. Sebaik tiba di bawah, aku dan Kak Nad membantu Kak Min pula untuk turun dari curam tersebut.

Setelah membersihkan diri, kami solat Zuhur berjemaah. Para peserta telah diberi kebebasan untuk membuat sebarang aktiviti. Namun, ramai yang mengambil kesempatan untuk merehatkan diri. Kami yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa projek terpaksa menjalankan tugas masing-masing. Aku, Farhana dan Kak Nad hanya membantu Kak Min yang selaku ketua biro makanan menyediakan makan tengahari untuk para peserta. Manakala kaum-kaum lelaki yang terdiri daripada Abang Que, Abang Reza, Abang Dino dan Hakimi pula saling bekerjasama membina ‘lapangan’. ‘Lapangan’ merupakan satu tempat yang berfungsi sebagai tempat berkumpul untuk para peserta. Ianya hanya dialas dan dibumbungi oleh dua lembar kanvas. Biasanya, lapangan itu digunakan untuk para peserta berkumpul untuk makan, membuat aktiviti berkumpulan, mengadakan malam kebudayaan dan sebagainya.

Selepas makan tengahari, setiap peserta diminta membasuh pinggan yang telah digunakan. Kemudian, kami diminta untuk berkumpul di ‘lapangan’ untuk memulakan agenda yang telah dirancang untuk hari ini. Kami memulakan agenda kami dengan sesi pengenalan diri memandangkan ramai peserta projek kali ini terdiri daripada ahli-ahli baru. Sesi perkenalan diri ini dimulakan dengan ahli-ahli baru dan kemudian diikuti dengan ahli-ahli lama pula.

Setelah tamat sesi itu, kesemua peserta diminta berkumpul mengikut kumpulan. Kami diminta untuk bekenalan antara satu sama lain di dalam kumpulan masing-masing. Selain itu, kami diminta untuk menamakan serta menetapkan ketua kumpulan masing-masing. Sepanjang sesi itu, aku cuba berlagak biasa dan menganggap Azhari tidak wujud di antara kami. Kucuba membuang jauh wajah itu biarpun dia begitu hampir denganku.

Petang itu, kami telah diberi aktiviti bebas tetapi secara berkumpulan. Memandangkan pada malam itu merupakan giliran kumpulan satu untuk menyediakan hidangan makan malam, kami mengambil keputusan untuk berbincang akan menu yang akan kami hidangkan malam ini.

*****

USAI SOLAT ASAR, kami memulakan operasi kami. Setiap ahli kumpulan diberi tugasan seperti membasuh beras, memotong bawang dan kentang, menghidupkan api dapur dan sebagainya. Aku dan dua orang lagi ahli kumpulan diberi tugas untuk mengupas kentang dan menghiris bawang. Aku tersenyum kambing melihat Uzair, salah seorang ahli baru yang turut membantuku menghiris bawang. Naik berair matanya menahan pedih akibat racikan bawang merah itu. Berbeza dengan seorang lagi jejaka yang hanya dikenali sebagai Mizan. Walaupun dia berpangkat junior padaku, tetapi atas kesungguhnannya mengaktifkan diri di dalam kelab ini setahun yang lalu membuatkan dia sudah terbiasa dengan kerja-kerja dapur seperti ini.

Seketika aku mendongak, memandang Hakimi dan Azhari yang sedang bertungkus-lumus menghidupkan dapur gas. Aku tersenyum sendirian melihat kedua-dua jejaka yang kian akrab itu. Terdetik rasa simpati di hatiku melihat Azhari, jejaka yang pernah kusayangi suatu ketika dahulu. Namun kini, bukan lagi sayang malah aku terlalu membenci dirinya. Aku menghelakan nafas perlahan. Dari rasa simpati terus bertukar menjadi rasa bersalah. Bersalah kerana terlalu berkasar dan emosional terhadapnya semenjak kami bertemu kembali. Tak munasabah rasanya aku menghukum Azhari dengan sebegitu rupa hanya kerana kesalahannya melukakan hatiku dulu. Tapi, apakan daya. Segalanya dahpun berlaku. Terlajak perahu boleh diundur, tetapi kalau terlajak kata, tak boleh diundur kembali. Perlukah aku minta maaf? Argh! Tak perlu rasanya. Biarlah dia rasa terhukum sekarang kerana pernah melukakan sekeping hati milik seorang gadis di suatu masa dulu.

Dan lamunanku mati tatkala terdengar desisan yang kian jelas. Segera aku mengerling ke wajah Uzair. Matanya sudahpun merah dan berair. Timbul rasa kasihanku terhadap anak muda ini, lantas aku mengarahkannya untuk berhenti.

“Tak apalah, Uzair. Berhentilah dulu. Pergi cuci muka tu. Kesian pulak akak tengok awak ni,” ujarku seraya ketawa kecil.

“Eh, tak apalah Kak Aween,” katanya membantah.

“Tak apa, pergi cuci muka tu dulu. Lepas tu, datang sini balik tolong kupas kentang pulak,” arahku. Akhirnya dia akur. Aku tersenyum memandang Mizan sebaik Uzair berlalu pergi. Kami menggeleng kecil.

Merah senja mulai menebarkan diri di dada langit. Tugasan kami menyediakan hidangan makan malam hampir selesai. Masuk waktu Maghrib, segala-galanya selesai. Aku menghelakan nafas lega. Nasib baik sempat siap sebelum hari gelap. Kalau tidak, tentu lebih menyukarkan lagi tugasan kami. Tambahan pula, bukannya senang untuk menyediakan hidangan seramai tiga puluh lebih kepala. Kena pandai bajet. Kalau terlebih, tak apa. Buatnya kalau terkurang, macam manalah gamaknya nanti?

Kami menikmati makan malam kami selepas usainya solat Isya’. Dua buah periuk besar yang berisi nasi dan lauk sudahpun kami letak di atas para buluh yang dijadikan kaunter makanan. Masing-masing beratur untuk mengambil makanan dan seterusnya ke lapangan untuk menikmati hidangan beramai-ramai.

Dan pada malam itu, sekali lagi kami diberi aktiviti bebas. Namun sebelum itu, kami diminta berkumpul di lapangan untuk diberi taklimat.

“Okey, malam ni, seperti biasa setiap kumpulan harus menjalankan tugas untuk menjaga kawasan perkhemahan kita ni. Bermula jam dua belas tengah malam sampailah pukul enam pagi, waktu Subuh,” Abang Que bermukadimah.

“Bermula jam dua belas sehingga jam dua pagi, giliran kumpulan tiga. Dari pukul dua sampai ke pukul empat, giliran kumpulan dua dan akhir sekali kumpulan satu pada jam empat pagi sampai Subuh. Memandangkan kumpulan satu merupakan kumpulan terakhir, saya minta salah seorang wakil dari kumpulan satu untuk melaungkan azan Subuh,” sambungnya lagi.

“Ada apa-apa pertanyaan?” soal Abang Que kepada semua. Tiada sebarang pertanyaan dari para peserta. Seterusnya, setiap seorang dari kami akan diberikan ‘kata laluan’. ‘Kata laluan’ itu haruslah disebarkan dengan cara berbisik. Fungsinya adalah sebagai password demi menjaga keselamatan diri dan juga harta-benda yang ada di kawasan tapak perkhemahan.

Aku dan Farhana mulai menyusup ke dalam khemah untuk tidur. Kami menggunakan beg jinjit yang padat sebagai alas kepala kami.

“Kau bawak alarm clock tak, Anne?” soalku kepada Farhana.

“Tak,” jawab Farhana ringkas.

“Habis tu, macam mana kau nak bangun untuk berjaga nanti?” soalku lagi.

“Aku dah pesan kat Kak Min, suruh dia kejutkan aku bila shift kumpulan dia dah habis nanti,” katanya. Aku mengangguk.

“Anne, kau pun nanti tolong gerakkan aku lepas habis shift kau, tau!” pasanku kepadanya.

“Hmm… yalah,” ujar Farhana, menyenangkanku. Aku tersenyum.

Terasa mataku begitu berat untuk dipejam. Namun badanku terasa amat letih sekali. Entah mengapa begitu degil sekali mataku ini untuk lelap.

“Aween,” sapa Farhana perlahan. Aku mengerutkan dahi. Rupanya dia juga belum tidur. Segera aku menoleh ke sebelah, memandangnya.

“Apa?” soalku.

“Kau tak tidur lagi ke?” Aku menggeleng dengan pertanyaannya itu.

“Belum lagi. Rasa tak boleh tidur pulak,” jawabku.

“Boleh aku katakan sesuatu?” soal Farhana lagi.

“Hmm… apa dia?” soalku kembali.

“Kau tak marah?” Aku mengeluh.

“Kau tak cakap lagi, macam mana aku nak marah, Cik Anne oi! Apa dia, cakaplah? InsyaALLAH, kalau benda tu baik, aku taklah nak melenting,” kataku.

“Aku rasa kau tak patut layan Azhari macam tu,” ujarnya perlahan. Hmm… memang aku dah agak. Tentu hal Azhari yang hendak dibangkitkannya.

“Layan macam mana?” soalku berbasa-basi.

“Kau ni, kura-kura dalam perahulah pulak. Cara kau layan dia tu, kasar sangatlah, Ween. Aku rasa kau tak patut buat dia macam tu.”

“Kenapa pulak? Aku rasa memang dia patut dihukum macam tu. Takkan kau tak ingat, Anne? Masa awal-awal aku kenal kau. Betapa parahnya aku ketika itu. Dan kaulah yang menjadi penawar serta memulihkan kelukaanku ketika itu setelah aku meceritakan segala-galanya kat kau. Kau telah mengembalikan semula semangatku yang kian hilang sehinggalah aku berjaya menjadi seorang graduan seperti sekarang. Takkan kau lupa semua tu, Anne?”

Farhana mengeluh berat. Nafasnya dilehakan perlahan. “Aku tahu kau masih terluka dengan apa yang pernah dilakukannya dulu. Tapi, hukuman kau tu terlalu berat dengan kesalahannya itu. Aween, terus-terang aku katakan, sebelum aku mengenali Azhari, memang aku terlalu benci terhadapnya setelah mengetahui apa yang telah dilakukannya terhadap kau. Malah, boleh dikatakan saban hari aku mengutuknya sendirian dalam hati kerana tergamak melakukan semua tu terhadap kau. Tapi, bila aku bersua muka dengannya dan mulai kenal hati budinya, baru aku sedar yang dia tu taklah sebusuk yang aku sangkakan selama ni,” tutur Farhana lembut.

“Aku rasa dia dah menyesal kerana mengecewakan kau dulu, Aween. Aku tengok dia benar-benar nak berbaik semula dengan kau. Tapi kau pulak terus membenci dirinya. Aku rasa, itu tak adil, Ween,” sambungnya lagi. Aku ketawa sinis.

“Aku tak adil? Jadi, kau rasa apa yang pernah dibuatnya kat aku dulu tu adillah, ya?” protesku.

“Tak, aku tak kata macam tu. Ya, mungkin dia tersilap langkah dulu, meninggalkan kau dan terus bersama budak hingusan tu. Tapi kau harus sedar, tak ada manusia yang sempurna dalam dunia ni. Semuanya melakukan kesilapan. Kadang-kala, kesilapan yang tak disengajakan seperti inilah yang biasanya akan mematangkan fikiran manusia. Aku cadangkan kau, supaya berbaik semula dengan dia. Jangan kau terus seksa dia macam ni. Berilah dia peluang untuk dia memperbetulkan kesilapannya tu. Aku dah tak sanggup nak tengok kau terus membencinya. Aku percaya, kau lebih mengenali dirinya. Tentu dia seorang yang baik, bukan? Takkanlah hanya kerana kesalahannya melukakan perasaan kau dulu membuatkan kau bertindak menyeksaanya sebegini rupa? Itu satu tindakan yang kejam, Ween,” lebih panjang khutbahnya.

“Lagi satu, kau tak rasa ke bahaya yang bakal kau temui kalau kau terus bersikap macam ni? Tentu ramai yang akan rasa pelik. Tadi Kak Min dah tanya aku, kenapa kau angin semacam dengan si Azhari tu. Nasib baik aku tak terlepas cerita. Aku cuma kata yang aku tak tahu aja,” sambungnya lagi.

Aku terdiam mendengar kata-kata Farhana itu, yang berupa satu nasihat dari seorang sahabat sejati. Aku menghelakan nafas berat sebelum mengusun kata-kataku.

“Macam mana aku nak beri dia peluang, Anne? Takkan aku nak tinggalkan Shazzy dan pergi semula kepadanya yang pernah mengecewakan aku dulu? Aku rasa itu lagi tak adil,” ujarku.

“Aku tak suruh kau tinggalkan Shazzy. Maksud aku, apalah salahnya kau berkawan dengannya? Itu dah cukup memadai. Cubalah kau kenang balik segala kebaikan yang pernah dilakukannya terhadap kau semasa kau orang masih lagi sedang hangat bercinta dulu. Jangan asyik nak ingat yang buruk aja. Aku percaya, yang baik itu, banyaknya lebih berganda kalau nak dibandingkan dengan yang buruk tu, kan?” ujar Farhana lagi. Dan sekali lagi aku terdiam, memikirkan kebenarannya.

“Fikirlah baik-baik, Ween. Aku selaku kawan cuma mampu memberi nasihat. Keputusannya tetap di tangan kau,” Farhana menyambung kata-katanya.

“InsyaALLAH, aku akan cuba. Tapi, mungkin mengambil masa yang lama, bukan secara mendadak,” ujarku perlahan.

Suasana menjadi sepi semula. Dan dikala itu juga, terasa mataku kian kelam dan akhirnya aku terlena juga.

*****

“AWEEN! Aween, bangun! Dah pukul empat,” terasa tubuhku digoncang. Aku mengeliat kecil. Mataku terasa amat berat sekali untuk dibuka. Malas pula rasanya hendak berjaga. Tanpa sedar aku merebahkan kepalaku semula untuk menyambung tidur.

“Woi, bangunlah Kak Cik oi!” kejut Farhana lagi. Aku bangkit semula sambil menggosok-gosok mataku yang masih separuh pejam.

“Anne, aku malaslah nak berjaga. Mengantuk. Kalau tak jaga tak boleh?” soalku dalam keadaan mamai.

“Ewah, ewah… banyak comel muka kau! Orang lain sanggup bangun berjaga, kau pulak sedap-sedap nak tidur sepanjang masa. Tak boleh! Tak adil namanya. Kau kena pergi jugak!” tegas Farhana.

“Alah, aku mengantuklah,” rungutku.

“Wei, makcik! Aku tadi pun mengantuk jugak. Tapi terpaksa bangun nak jalankan tugas. Yang kau pulak bukan main sedap lagi tidur. Dan sekarang ni, giliran aku pulak yang sambung tidur dan kau pulak kena berjaga. Dah, chow keluar! Aku nak tidur,” arah Farhana. Aku memuncungkan bibir. Malas. Farhana telahpun merebahkan diri menyambung lenanya. Di sebelahku, kelihatan Kak Nad dan Kak Min yang sedang enak tidur. Entah bila mereka menyusup masuk, aku sendiri tidak sedar.

Aku keluar dari dalam khemah dalam keadaan terpisat-pisat. Kusarung sneakers ke kaki bagi melindungi dari terpijak sebarang benda yang bahaya. Maklumlah, hari masih gelap, mana nak nampak sebarang bahaya yang terdapat di tanah. Tubuhku turut kusarungkan dengan sweater bagi meredakan rasa dingin pagi. Sebaik aku berdiri, tiba-tiba sebuah cahaya menyuluh mukaku. Aku mengecilkan mata menahan silau.

“Siapa tu?” soalku

“Kimi!”

“Janganlah suluh kat muka aku. Silaulah!” marahku.

Sorry.” Seketika kemudian, Hakimi pun berlalu pergi. Suasana tapak perkhemahan agak gelap. Hanya diterangi lampu-lampu suluh dan juga unggun api. Gemersik bunyian cengkerik dan burung hantu saling bersahut-sahutan, menghasilkan sebuah irama yang cukup tenang pada malam itu. Aku melangkah menghampiri kawasan lapang yang menempatkan unggun api. Kelihatan beberapa orang peserta sedang duduk melepak berhampiran dengannya. Juga kedengaran beberapa suara garau menyanyi berlatarkan bunyi petikan gitar. Begitu mendayu sekali.

Aku melangkah ke para buluh yang menempatkan makanan dan juga barang-barang dapur. Kusuluh ke segenap ruang para itu dengan lampu picit. Memandangkan lampu gasoline sudahpun dimatikan, terpaksalah aku membawa lampu suluh sendiri. Sebiji kole plastik kucapai lalu menuang air teh yang masih panas. Aku membuka tudung periuk. Ada maggi goreng. Siapalah yang buat ni? Rajin betul. Getus hatiku. Aku membuka tin yang berisi roti biskut lalu mengeluarkannya sekeping. Waktu-waktu begini kalau pekena air teh panas dan biskut kering memang nikmat.

Aku beredar dari para makanan menuju ke satu tempat yang agak jauh dari orang lain. Namun, masih jelas kelihatan cahaya unggun api yang begitu marak menyala. Kulabuhkan punggungku pada sebiji batu yang agak besar saiznya sambil menikmati roti biskut yang dicecah dengan air teh panas itu. Emmm…sedapnya! Sambil itu, mataku tak putus-putus memandang ke arah cahaya unggun api di hadapan. Sayup-sayup kedengaran suara mereka menyanyi bersama petikan gitar. Cukup membuai.

“Hai. Kenapa duduk kat sini?” sapa satu suara. Aku sedikit terkejut. Pantas kutoleh ke sebelah. Azhari sudahpun mengambil tempat bersebelahan denganku tanpa meminta izin dariku terlebih dahulu.

“Saja, nak duduk jauh sikit dari orang lain. Nak cari ketenangan,” ujarku lembut dan selamba. Dia ketawa kecil.

So, Ari mengacaulah ni?’ soalnya. Aku menggeleng perlahan.

“Taklah,” jawabku ringkas.

“Minum?” pelawaku. Dia menggeleng perlahan.

No, thanks.”

Sesungguhnya, aku mulai menyedari akan kebenaran kata-kata Farhana sebentar tadi. Aku sedar akan kesilapanku kerana terlalu memusuhi dirinya, sedangkan hakikatnya tidak ada sebab untuk aku terus memusuhinya hanya kerana peristiwa lama itu. Tetapi, mampukah aku lakukannya?

Suasana menjadi sepi. Tiada bicara antara aku dan dia. Aku pula begitu nikmat meneguk air teh panas yang masih berbaki.

“Aween, Ari nak cakap sesuatu,” ujarnya setelah lama membatukan diri. Aku terdiam. Kalau nak diikutkan hati, aku tak mahu dengar apa-apa lagi darinya. Aku tak mahu dia mengungkit kembali cerita lama yang bisa mengguris perasaan ini. Namun, kata-kata Farhana sebentar tadi bagaikan terngiang-ngiang di telingaku ini. Bagaikan menghalang untuk aku terus bertindak mengikut kata hati.

“Ari nak apa lagi?” soalku dengan intonasi yang cukup lembut.

“Ari mahukan Aween semula.” Kata-katanya itu benar-benar membuatkan aku terpana seketika. Benarkah apa yang kudengarkan ini? Sedarkah dia akan apa yang dituturkannya itu?

“Ari, bukankah hubungan kita ni dah lama berakhir? Apa lagi yang kau nak harapkan dari aku?” tuturku perlahan.

“Ari tak pernah pun mengakhiri hubungan kita. Aween sendiri yang putuskan agar kita berpisah,” tegasnya. Aku ketawa sinis seraya menggeleng.

“Tapi kau yang menjadi punca supaya aku memutuskannya,” balasku. Dia merengus lemah.

Sepi lagi. Tiada lagi bicara antara kami. Kucuba menahan rasa gundah di hati ini, kerana kisah lama itu telahpun diungkit kembali. Dan sekali lagi luka yang hampir sembuh kembali berdarah.

“Ari, tolonglah jangan diungkit lagi kisah tu. Aku dah lama melupakannya. Tolonglah, Ari. Jangan guriskan lagi luka yang dah sembuh ni. Aku dah tak sanggup untuk menahan rasa pedih di hati ni,” rayuku perlahan.

“Boleh. Dengan syarat Aween kena terima Ari semula,” ujarnya seakan mengugut. Ya ALLAH, gilakah apa dia ni? Meminta sesuatu yang tak munasabah.

“Kau sedar tak apa yang kau cakapkan ni?” soalku sebak.

“Aku sedar, Aween. Aku masih dalam keadaan waras. Aku sedar apa yang aku buat dan apa yang kuucapkan,” tegasnya.

“Ya ALLAH,” keluhku berat sambil menelangkupkan wajah dengan kedua belah tapak tanganku.

“Kita mulakan semula,” pintanya. Argh, semakin bingung aku dibuatnya. Kenapalah lelaki ini sukar hendak memahami akan diriku?

“Tak boleh, Ri. Tak boleh!” tegasku pula. Ah, dia ni! Bila aku berlembut, makin naik lemak pula! Karang kalau aku jadi agresif balik karang, jangan terkejut bila pipi tu berbirat dek penampar lima jariku ini!

“Kenapa tidak? Adakah sebab lelaki tu, maka kau tolak cinta aku ke tepi?” soalnya lebih tegas. Aku tersenyum sinis. Ah! Cinta. Kenapa dia mesti menyoal aku? Sedangkan jawapan itu ada pada dirinya sendiri!

Excuse me. Nama dia Shazzy! Tolong respectsikit boyfriend aku. Jangan nak biadap!” aku bersuara keras. Kesabaranku mulai menipis. Harap-harap janganlah dia nak teruskan lagi. Bisa meletup aku dibuatnya nanti.

Okay, fine. Shazzy. Pasal Shazzy ke Aween tak nak terima Ari lagi?” soalnya lagi. Aku mengeluh lagi. Kenapalah dia terus hendak menekan aku?

“Kenapa mesti risaukan Shazzy? Dia tu bukannya suami Aween.” Tersirap darahku mendengar ucapannya itu.

“Ari, antara kita dah tak ada apa-apa. Cubalah belajar terima hakikat. Kalau aku boleh lakukannya, kenapa tidak kau?” soalku geram.

“Senanglah Aween cakap. Sebab Aween yang memutuskan hubungan kita dulu,” ujarnya keras. Aduh, balik-balik itu yang diungkitkannya! Dia tetap mahu meletakkan kesalahan itu ke bahuku. Sedangkan hakikatnya segala-gala yang berlaku ini berpunca darinya juga. “Tapi Ari sedar tak, apa puncanya Aween berbuat begitu? Tak ingat lagi ke pasal Hardija? Takkan begitu mudah sekali Ari lupakan semua tu?” aku hampir menempiknya. Mujurlah aku dapat mengawal suaraku. Dan mujur jugalah tempat kami itu agak jauh dari orang lain. Tak ada sesiapa yang dapat mendengarnya.

Azhari mengeluh lagi. Dia kelihatan bingung. Kedua belah tangannya meramas-ramas rambutnya yang kasar berceracak itu. Aku menggeleng kecil melihatnya yang bagaikan orang sasau itu.

“Aween terlalu menuduh. Aween suka dengar cakap orang. Ari kesal sangat sebab Aween lebih percayakan kata-kata orang dari Ari sendiri,” keluhnya.

“Ya, memang aku dengar cakap-cakap orang. Mulanya aku tak percaya. Tapi bila aku sendiri yang nampak, aku sendiri yang dengar perbualan kau orang, takkan aku masih tak percaya? Sejak kau kenal dengan Hardija, tiap-tiap hari kau lambat masuk ke kelas. Bila aku tanya kau ke mana, kau jawab pergi sarapan dengan kawan kat kafe. Sampailah suatu hari aku sendiri ternampak kau dengan Hardija berdua di kafe. Siap bersuap-suap lagi! Dan suatu hari aku pernah dengar perbualan kau dengan Hardija kat belakang fakulti. Hardija suruh kau tinggalkan aku. Lepas tu kau jawab yang kau akan tinggalkan aku dan pergi kepadanya, tetapi ambil masa sedikit. Betul tak?” Dia memandangku dengan pandangan yang sukar kemengertikan. Dahinya tampak berkerut. Kuhelakan nafasku berat. Aku sendiri tidak sedar, bila masakah aku mulai tersedu. Yang pasti, setiap kali aku mengungkit kembali kisah itu, aku pasti tidak dapat menahan sebak. Sakit, pedih dan ngilu. Semuanya begitu menusuk di dada ini.

“Ari tahu tak, betapa hancur dan luluhnya hati ini bila terdengar perbualan Ari dengan Hardija waktu tu? Rasa macam nak tercabut aja nyawa ni dari badan. Sukar untuk aku percaya dengan apa yang aku dengar. Tak sangka kerana budak hingusan tu kau sanggup mengkhianati hubungan kita!” luahku geram, diselangi esakan halus.

Ternyata Azhari begitu terkejut. Melopong dia memandangku, seperti kurang percaya dengan apa yang telah didengarinya sebentar tadi.

“Kenapa diam? Terkejut? Tak percaya? Atau kau masih nak menafikan dan terus menyalahkan aku di atas apa yang berlaku?” soalku bertubi-tubi dalam sebak, namun sinis. Aku ketawa mengejek. Airmataku yang bagaikan tidak dapat ditahan mengalir keluar lagi, mencurah-curah dari tubir mataku. Dia pula beristighfar panjang.

“Aku tak sanggup nak tengok kau orang berdua berkepit ke hulu, ke hilir di depan mata aku. Aku sakit hati melihat kau orang berdua membina kebahagiaan kau orang di atas kelukaan aku. Aku tak sanggup nak hadapi semua tu. Maka sebab itulah aku bertindak untuk berhenti dari belajar kat kolej tu. Aku takut prestasiku akan merundun jatuh. Yalah, aku ni tak pandai macam kau orang, pelajar Anugerah Dekan,” sambungku lagi memerli.

“Sekarang kau dah tahu duduk perkara sebenar, kan? Jadi janganlah kau terus-terusan nak menyalahkan aku dalam hal ni. Sedangkan hakikatnya dah terlalu jelas dan nyata di depan mata, yang kau adalah punca segala-galanya. Kalau kau tak menggatal layan perempuan tu dulu, semua ni takkan berlaku. Jangan-jangan, kita dah terlalu bahagia sekarang ni. Tapi tak tahulah kalau kau memang dah bosan dengan aku dan ada pasang niat nak cari yang lain,” kataku lagi berbaur sinis.

“Aween, maafkan aku. Okey, aku mengaku aku silap. Aku tak sepatutnya mensia-siakan kau dulu. Aku tak sepatutnya mendampingi Hardija. Baru aku sedar, betapa bodohnya aku melukakan hati seorang gadis yang berjiwa mulia seperti kau,” luahnya sebak. Aku mengetapkan bibir, menahan rasa hiba yang kian mencengkam. Airmata yang mengalir bagaikan tidak kenal erti berhenti.

“Kau sudi memaafkan aku?” soalnya. Aku menghelakan nafas perlahan.

“Aku boleh memaafkan kau. Tapi, untuk kembali semula ke pangkuan kau, itu satu perkara yang mustahil,” jawabku.

“Kenapa pulak?” soalnya lagi. Ah, dia benar-benar tak faham atau buat-buat tak faham? Hatiku merungut sendiri.

“Aku dah ada teman lelaki, Ari,” tegasku agak geram. Dia terdiam lagi. Kuseka perlahan airmata yang masih tersisa di pipi.

Dan sepi terus menyelubungi kami. Air teh yang sudahpun sejuk kuteguk sehingga habis.

“Kenapa cari aku semula? Kenapa tak cari aja perempuan tu?” soalku lagi. Agak pedas dan sinis.

“Buat apa Ari nak cari perempuan yang tak pernah nak hargai diri Ari?” balasnya pula. Aku mengerling ke sebelah.

“Kenapa?” soalku lagi. Dia menghelakan nafas berat.

“Cerita lama, Aween. Zaman cinta remaja. Cinta budak hingusan.” Aku ketawa kecil. Sinis. “Jadi bila kau datang semula pada aku, kau fikir dengan begitu mudah aku dapat terima kau semula? Setelah kau khianati cinta dan kasih sayang aku dulu?” Dia terdiam dan terus menyepi tanpa jawapan.

Alunan suara nyanyian mereka yang sedang duduk berhampiran dengan unggun api masih lagi kedengaran. Malah, kian mendayu di pagi yang sunyi ini. Aku tersenyum melihat mereka yang tampak seronok dan ceria sekali. Hati yang lara tadi menjadi sedikit tenang melihat situasi itu.

“Tapi, kita masih boleh mulakan lagi, kan?” dia bersuara lagi. Ya ALLAH, rasa macam nak menjerit aja! Ingatkan bila dah senyap maknanya faham. Rupanya tidak. Kenapalah dia ni tak faham-faham bahasa? Terus nak mengasak aku dengan permintaan gilanya itu. Bodoh!

“Azhari!” gertakku marah. Dia ketawa.

“Jangan salah faham, Azween. Maksud aku, mulakan sebagai seorang kawan,” ujarnya. Aku memandangnya tajam. Tak puas hati dengan caranya mengenakan aku. Dia masih ketawa melihat reaksiku itu. Aku turut tidak dapat menahan diri dan akhirnya ketawa sama. Seketika aku menghulurkan tangan kepadanya. Tawanya terhenti. Terpinga-pinga dia memandangku. Dan dalam keadaan teragak-agak, dia menyambut huluran tanganku.

“Hai, saya Khairul Azween. Panggil saya Aween. Salam perkenalan,” ujarku selamba. Dia tersenyum.

“Saya Khairul Azhari. Salam perkenalan,” balasnya. Aku tersenyum namun hambar. Tiada riak mesra.

Aku bingkas bangun. Sebaik aku hendak memulakan langkah, sekali lagi dia memanggilku.

“Nak ke mana? Takkan nak pergi kot? Duduklah dulu, kita berborak panjang. Banyak lagi cerita yang Ari tak tahu tentang Aween tau,” ujarnya. Langkahku mati. Segera aku memaling ke arahnya. Dia tersenyum. Aduh, manisnya senyuman itu. Ya, senyuman yang pernah membuatkan hatiku tenang dan sering dilanda asmara. Namun, itu cerita dulu. Tetapi kini, adakah senyuman itu masih mampu membuatkan aku berperasaan sebegitu? Ah, entahlah. Tanpa kusedari, bibirku turut mengukirkan senyuman buatnya.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mya Effa