Home Novel Cinta Selagi Aku Masih Ada
Selagi Aku Masih Ada
Mya Effa
17/7/2013 01:56:21
100,034
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

USAI solat Subuh, aku terus ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi untuk ayah. Biasanya, ayah hanya mengambil semangkuk oats dicampur kismis, sekeping roti dan secawan Nescafe panas sebelum ke tempat kerjanya. Sementara menunggu air yang sedang dijerang, aku ke ruang tamu untuk mengemas apa yang patut. Suratkhabar dan majalah yang bersepah di atas meja kopi kususun rapi. Kubelek-belek surat-surat yang terdapat di situ. Aku mengeluh berat. Tak ada satu pun surat untuk panggilan temuduga.

Sebaik kedengaran cerek berbunyi menandakan air sudah mendidih, terus aku berlari ke dapur semula. Aku membancuh seteko air Nescafe O kegemaran ayah. Tidak lama kemudian, sarapan sudahpun siap terhidang di atas meja makan. Ayah turun tidak lama selepas itu.

“Ayah,” sapaku. Ayah tersenyum lalu mengambil tempat di meja makan. Manakala aku pula menolong ayah menuangkan air Nescafenya ke dalam cawan.

“Jom, minum sekali,” ayah mempelawaku. Aku mengangguk.

Sure,” jawabku. Aku bergegas ke dapur untuk mengambil sebiji cawan lagi.

“Masih tak terima apa-apa temuduga?” soal ayah memulakan topik pada pagi itu. Aku menggeleng laju.

“Belum lagi, ayah.” Aku mengambil tempat bertentangan dengannya.

“Dah lama sangat Aween duduk rumah tak buat apa-apa. Risau ayah, sampai sekarang Aween tak dapat kerja. Padahal Aween dah habis belajar berbulan-bulan. Ayah tak mahu Aween terus macam ni, duduk rumah goyang kaki, lepas tu asyik buat aktiviti lasak aja. Bukannya bagi pulangan pun kalau buat kerja-kerja tu. Lagi terpaksa keluarkan duit, adalah,” omel ayah panjang. Ah, bosannya! Pagi-pagi lagi dah kena bebel.

“Alah, ayah. Bukannya Aween tak pernah cuba cari kerja. Dah banyak resume yang Aween hantar kat bank-bank, company-company besar. Cuma belum dipanggil untuk temuduga aja. Janganlah risau sangat. InsyaALLAH, ada rezeki nanti. Cuma lambat atau cepatnya aja,” bidasku pula.

“Yang pasal aktiviti-aktiviti tu cuma untuk memenuhi masa lapang aja. Kalau asyik terperuk kat rumah, boringlah ayah. Sebab tu Aween aktifkan diri Aween kat kelab tu,” sambungku. Ayah memandangku sambil menjamah bubur oatsnya.

“Suka hati Aweenlah. Janji Aween kena pandai jaga diri. Ingat, Aween tu perempuan. Kena jaga tatatertib, adab sopan, kehormatan diri. Tambahan kita ni orang Melayu, orang Islam. Mesti berpegang pada adat dan agama. Lagipun, Aweenlah satu-satunya anak perempuan yang ayah ada. Kalau sesuatu perkara yang tak elok berlaku pada Aween, ayah jugak yang akan menanggung susah,” panjang sekali nasihat ayah itu. Aku mengangguk laju.

“Yalah, ayah. Aween ingat semua tu,” ujarku meyakinkan ayah. Serasakan, sudah banyak kali ayah mengingatkanku tentang hal ini.

“Okey, ayah pergi dulu. Kalau Aween nak keluar ke mana-mana, just call ayah atau mesej aja in case kalau ayah meeting,” pesan ayah.

Yes, sir! As your wish,” kataku sambil mentabik ke arahnya. Ayah ketawa kecil lalu mengusap kepalaku. Tangan ayah kusalam dan kucium seperti selalu.

Sebaik kereta ayah meluncur pergi, terus aku mengemas meja makan. Selesai membereskan dapur, aku bergegas ke bilik. Bersiap untuk berjogging. Beginilah rutin harianku sebaik tamat pengajian. Kadang-kala, aku akan ke gymnasium milik Shazzy. Namun hari ini, rasa malas pula hendak ke sana. Masih mahu melayan rajukku. Tunggu sehingga dia memujukku hari ini, barulah aku boleh ke sana!

*****

PULANG dari berjogging, barulah aku membersihkan diri. Dalam pada itu, fikiranku ligat berputar, memikirkan aktiviti apa yang boleh kubuat sepanjang hari ini. Sambil aku menyikat rambutku yang basah, tiba-tiba kedengaran telefon bimbitku berbunyi. Aku tersenyum meleret. Pantas kucapai telefonku yang terletak di meja sisi katil. Punat hijau kutekan. “Helo, Shaz,” ucapku.

Hello, sweetheart. Kat mana tu?” romantis sekali suara Shazzy, menyapa gegendang telingaku. Ah, sejuk rasa hati ini.

“Kat rumahlah. Kat mana lagi. You masih kat PJ lagi ke?” soalku.

“Taklah. I dah kat gym ni. Saja I balik cepat, takut you datang sini cari I,” jawabnya manja.

“Hari ni I tak ke sanalah, sayang. Takut nanti you tak ada, pergi melawat Fariz. Karang tak pasal-pasal you cemburu, tuduh I ada affair dengan pekerja you tu. Bukannya I tak tahu perangai you tu, cemburu tak bertempat,” cebikku. Dia ketawa.

“Sayang, for your information, Fariz dah keluar semalam.” Aku mencebir. Dah keluar rupanya mamat tu! Getus hatiku.

Sungguh, memang itulah sikap Shazzy yang kurang menyenangkanku sejak kami menjalinkan hubungan cinta. Cemburu buta. Tapi, kata orang cemburu tu tandanya sayang. Sebab itulah aku akan sentiasa berhati-hati melakukan sesuatu agar tidak menimbulkan sebarang curiga di hati Shazzy.

“Shaz,” panggilku lembut.

Yeah?” dia bersuara. Oh, dia masih di talian.

I boringlah hari ni, Shaz. Tak tahu nak buat apa. Any idea?” soalku manja.

“Hmm… well, kita keluar somewhere hari ni?” cadangnya.

“Ke mana?” soalku.

You nak ke mana?” soalnya pula kepadaku. Eh, dia yang ajak aku keluar, alih-alih tanya aku balik ke mana aku nak pergi? Hisy, tak faham betul aku dengan pakwe aku sorang ni, tau! Gerutu hatiku.

I nak ke syurga. Boleh you bawa I ke sana?” selorohku. Dia ketawa.

“Isk! Syurga lagi? Boleh, janji kita mati bersama,” katanya pula.

“Tak nak. I belum lagi nak mati. I tak puas hidup,” kataku pula. Dan sekali lagi dia ketawa. Aku turut sama ketawa. Terhibur dengan lawak jenaka masing-masing.

Honey, what are you talking about? Kalau you nak sangat ke syurga, I tak boleh nak bawak. Hanya Tuhan aja yang boleh bawak you ke sana, okey!” ujarnya bersama tawa yang berbaki.

I’m just kidding, sayang. Okeylah, I ingat I tak nak ke mana-manalah hari ni. Just stay at home, tengok TV or anything,” putusku akhirnya. Entah mengapa rasa malas pula hendak ke mana-mana hari ini.

You tak nak jumpa dengan I hari ni?” soalnya sayu. Aku ketawa. Lawak dengan suaranya itu. Mengada-ngada betul!

“Kalau I nak jumpa you, I sendiri akan ke gymnasium, okey?” pujukku.

Why not we have our lunch together?” cadangnya tiba-tiba. Aku mengetapkan bibir. Berfikir sejenak.

Hmm… okay! I pergi sanananti,” kataku bersetuju dengan cadangannya itu.

“Eh, tak payahlah you nak susah-susah datang sini. Biar I jemput you di rumah, okey?” tegasnya.

No, no… it’s okay for me. Tunggu I kat sana. Bye sayang, I love you,” ucapku penuh romantis.

I love you too.” Talian kumatikan.

Segera kurebahkan tubuh ke katil sambil melayani perasaan asyikku. Ah, Shazzy… Jejaka yang kedua bertakhta di hatiku selepas Azhari. Aku tersenyum sendirian. Lagu ‘Jangan Ada Dusta di Antara Kita’ dendangan Broery Marantika dan Dewi Yull yang kedengaran di corong radio begitu membuai perasaanku ini. Sesekali mulutku turut sama mengikuti lirik-lirik lagu yang cukup mendalam maksudnya itu. Aku tersenyum sendirian, mengenangkan detik-detik pertemuan kami yang akhirnya melahirkan bibit-bibit cinta.

Segalanya bermula apabila Farhana telah mengajakku untuk menyertai KKM (Kelab Kembara Muda), sebuah kelab yang ditubuhkan untuk para belia yang meminati aktiviti-aktiviti mencabar. Di situ, aku berkenalan dengan Shazzy. Pada mulanya, aku sangkakan Shazzy bukanlah orang Melayu memandangkan rupa parasnya yang tak ubah seperti lelaki berbangsa India. Sangkaanku silap, apabila dia memberitahuku bahawa dia berdarah campuran Melayu-India. Wajahnya banyak mewarisi wajah bapanya yang berbangsa India. Sungguhpun begitu, dia tetap menarik pada pandanganku. Wajahnya kacak seperti pelakon Bollywood, seorang yang trendy, pandai bergaya dan memiliki senyuman yang cukup memikat.

Setiap kali kelab tersebut mengadakan aktiviti, dia pasti akan ada bersama. Malah, belum pernah sekalipun aku lihat dia tidak mengikuti sebarang aktiviti yang diadakan oleh kelab tersebut. Aku pula, sering mengikuti Farhana yang sudah agak lama aktif dalam kelab tersebut. Akibat terlalu kerap kami bertemu setiap kali menyertai aktiviti kelab, hubungan persahabatan kami menjadi lebih rapat dan akhirnya dia sendiri yang datang kepadaku dan meluahkan perasaannya terhadapku.

Pada mulanya, agak berat untuk aku menerimanya. Takut akan terluka lagi seperti yang pernah kualami ketika bersama Azhari dulu. Namun pepatah Melayu pernah berkata, sekeras-keras kerak nasi, apabila dicurah air berkali-kali akan lembut jua. Akhirnya aku menerima kehadirannya sebagai kekasih tatkala melihat kesungguhannya menawan hatiku. Aku terkulai juga di dalam dakapan cintanya. Dan hubungan kami terus berjalan lancar sehingga kini. Aku bersyukur kerana ikatan kasih ini tetap kukuh biarpun sudah hampir dua tahun kami menyimpulkannya.

Malah, sejak aku mengenalinya, dia memang mempunyai cita-cita untuk membuka perniagaannya sendiri. Atas minatnya dalam bidang sukan dan rekreasi serta cita-citanya yang ingin menjadi seorang ahli perniagaan itu, maka tertubuhlah ‘Mellanium Fitness Centre’, sebuah gymnasium yang telah menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk mereka yang gemar bersenam dan mementingkan kesihatan tubuh. Aku cukup bangga dengan kebolehannya membuka perniagaan sendiri di usia yang terlalu muda, walaupun perniagaannya itu hanyalah secara kecil-kecilan sahaja.

Namun, sikap mudah cemburunya itu yang membuatkan aku cukup tidak selesa sepanjang perhubungan kami. Sudah banyak kali kami bergaduh gara-gara sikapnya yang terlalu mudah mempercayai kata-kata orang lain dan suka membuat tuduhan tanpa usul periksa. Tetapi itu cuma untuk seketika kerana kami akan berbaik setelah perasaan masing-masing sejuk semula. Dan hubungan itu terus berjalan lancar seperti biasa. Aku tidak terlalu ambil hati dengan sikapnya itu, kerana aku tahu dia terlalu menyayangiku. Dia takut aku akan berpaling kepada lelaki lain dan seterusnya meninggalkan dirinya. Dia takut kehilanganku walaupun sudah berkali-kali aku meyakinkannya yang aku bukanlah perempuan jenis itu.

“Jangan confident sangat, Aween. Perasaan manusia ni mudah aja berubah dalam sekelip mata.” Itulah antara kata-katanya yang sering kudengar setiap kali aku mempertahankan diriku. Terasa, memanglah terasa. Seolah-olah dia tidak meyakini kesetiaanku terhadapnya. Namun itu tidak melunturkan kasih sayangku terhadapnya. Aku akan buktikan kepadanya yang aku seorang yang setia dalam percintaan. Aku akan buktikannya. Itu janjiku…

*****

AKU menahan sebuah teksi dan terus mengarahkan pemandunya untuk ke Damansara Utama. Sesekali aku mengerling ke arah jam di pergelangan tangan. Masih terlalu awal. Aku hanya terdiam sambil memerhatikan suasana lebuhraya yang tidak begitu sesak.

“Nak turun kat mana, dik?” soal pemandu teksi tersebut. Aku tersentak dari lamunan dan terus memandang ke depan.

“Ah, turunkan saya dekat depan seven eleven ya, pakcik,” ujarku. Pemandu itu mengangguk.

Tidak lama kemudian, teksi itu pun berhenti, betul-betul di hadapan seven eleven Damansara Utama. Segera aku mengeluarkan beg duitku dari dalam beg silang.

“Berapa, pakcik?” soalku. Dia menundingkan ibu jarinya ke meter teksi.

“Sembilan ringgit tujuh puluh sen, dik,” ujarnya lembut. Aku mengeluarkan sehelai note sepuluh ringgit lalu kuserahkan kepadanya.

“Nah, pakcik. Sorrylah, saya tak ada duit kecil. Tak apalah, pakcik simpan aja lebihnya, ya,” kataku lalu membuka pintu teksi tersebut.

“Terima kasih, dik,” ucap pemandu itu ramah. Aku mengangguk sambil tersenyum. “Sama-sama.”

Aku terus melangkah ke blok di mana letaknya gymnasium milik Shazzy. Pintu gym kutarik keluar. Seorang anak muda yang sedang bertugas di kaunter tersenyum. Aku membalas senyumannya.

“Hai, Kak Azween,” ucapnya ramah.

“Hai,” balasku.

“Bos ada kat atas,” ujarnya sambil menunjuk-nunjuk jari ke atas. Aku mengangguk dan terus menaiki tangga ke aras dua, di mana letaknya pejabat urusan. Dengan perlahan kuketuk pintu bilik yang tertera nama ‘Shazmie Abd. Ghani’ itu.

Come in,” kedengaran suara buah hatiku dari dalam. Aku tersenyum. Pintu kayu itu kutolak ke dalam.

“Hai, sayang,” ucapku lembut. Dia yang sedang sibuk dengan kertas kerjanya di atas meja segera mendongak.

“Hai,” riang sekali suaranya. Pintu pejabat kututup semula lalu melangkah ke mejanya. Kerusi di hadapannya kutarik lalu kulabuhkan punggungku di situ.

“Sibuk?” soalku.

Not really. Awalnya you sampai?” soalnya pula. Aku ketawa kecil.

“Memang saja I keluar awal tadi, takut jam. Nanti kesian pulak you tertunggu-tunggu,” jawabku.

Aku bingkas bangun dan mengambil tempat di sofa berdekatan. Aku tidak mahu mengganggunya. Biarkan dia menyiapkan kerjanya dahulu. Kulihat dia begitu kusyuk dengan kerjanya. Namun sesekali dia akan menoleh memandangku lalu melemparkan senyuman lebarnya, memperlihatkan barisan giginya yang putih tersusun rapi. Ah, dia memang pandai menggoda!

You datang dengan apa tadi?” soalnya sambil menulis sesuatu.

“Macam biasalah, dengan teksi,” jawabku. Dia tersenyum mendengar penjelasanku itu bersama gelengan kecil.

“Itulah, I nak jemput, you tak nak. Kan dah membazir duit you nak bayar tambang?” dia mengomel. Aku mencebik.

“Alah, itu pulak yang you risaukan. Small matterlah, dear,” ucapku. Tetapi memang betul pun kata-katanya itu. Setiap kali hendak ke sini, pasti sekurang-kurangnya sepuluh ringgit duit aku ‘kopak’ untuk bayar tambang teksi. Maklumlah, memang dah tak ada pengangkutan lain lagi di kawasan rumahku itu selain dari teksi. Bas memanglah ada, tapi tak mengikuti laluan ke sini.

“Sayang, kita keluar lambat sikit, ya. I nak habiskan kerja I ni dulu. Kalau you boring, turunlah kat bawah tu, do something yang boleh hilangkan kebosanan you tu,” ujarnya. Aku menjeling.

“Ada apa kat bawah tu?” soalku acuh tak acuh.

“Kan macam-macam ada kat bawah tu? Boleh exercise,” katanya. Aku ketawa meleret. “Time-time macam ni nak exercise? You ni merepek apa, Shaz? Tak apalah, I tunggu you kat sini aja. Karang kalau I turun, you gosipkan I dengan budak you tu pulak,” kataku sinis. Dia menjeling tanpa kata.

Teringat aku akan kejadian itu, di mana suatu hari, aku telah dituduhnya mengadakan hubungan dengan Bob, seorang budak lepasan SPM yang bekerja sementara di kaunter bawah sana. Tak masuk akal langsung! Ketika itu, aku datang ke sini untuk membuat senaman pagi. Kebetulan pula, Shazzy tiada kerana dia ke ibukota untuk menguruskan hal pembelian treatmill. Dan ketika dia pulang dari berurusan tersebut, dia ternampak aku sedang berbual dengan Bob. Padahal ketika itu, tak ada apa yang kubualkan dengan anak muda itu. Aku cuma ingin bertanyakan pukul berapakah Shazzy akan sampai ke sini biasanya. Tiba-tiba terus dia meluru masuk dan marah-marah. Aku dan Bob yang menjadi mangsa. Disebabkan perkara itu, tercetuslah satu pergaduhan antara kami yang mengambil masa seminggu lamanya. Selama seminggu aku mogok, tidak menghubungi Shazzy kerana merajuk. Akhirnya, Shazzy sendiri yang menelefonku dan meminta maaf. Selepas itu, kami berbaik semula.

*****

SHAZZY telah membawaku ke A&W di One Utama. Kami hanya memesan Conny Dog, Moza Burger, dua gelas besar float dan juga sekeping waffle. Aku mentertawakannya sewaktu dia menyuakan Moza Burgernya ke mulut.

“Kenapa you ketawa?” soalnya pelik.

“Tak adalah. I pelik tengok you tu. Selalu kat McD, kan dah biasa makan burger? Kat sini pun nak order burger jugak? Sesekali tu cubalah pesan something different pulak,” ujarku. Dia tersenyum.

“Oh, pasal tu ke you gelak? Well, I dah selalu sangat makan kat sini. Dah boring makan hotdog tu. Sebab tu I order burger pulak,” jawabnya. Aku menjungkitkan kening.

You selalu ke sini? I tak tahupun? Dengan siapa?” soalku bertubi-tubi.

“Tengoklah. Kekadang tu dengan kawan, kekadang seorang diri. Hari ni dengan you pulak,” katanya. Aku mengangguk.

Sepi terus menyelubungi kami selepas itu. Masing-masing begitu leka menjamah makanan masing-masing.

You masih belum dapat kerja?” soalnya tiba-tiba. Aku memandangnya sambil menggeleng. Hatiku mengeluh. Pagi tadi, ayah bangkitkan soal kerja. Kali ini, Shazzy pula. Semua mahukan aku bekerja. Padaku, tak salah kalau hendak bercuti panjang dan berehat di rumah setelah bertahun lamanya menghempas-pulaskan otak belajar.

“Belum. Kenapa you tanya?” soalku pula. Dia menyedut sedikit root beernya.

“Tak adalah. Sejak you habis study ni, I tengok you tak buat apa-apa. Just stay at home, lepak. Harapkan bila kelab buat aktiviti, baru you bergerak. Tak rasa boring?”

Boring tu boringlah jugak. Tapi nak buat macam mana? Bukannya I tak pernah cari kerja. Cuma tunggu untuk dipanggil interview aja. Ada rezeki nanti I kerjalah. Kenapa, you tak suka tengok I menganggur kat rumah?”

Dia ketawa lalu mengeluarkan sekotak rokok dari poket seluarnya. Ditariknya keluar sebatang lalu dicucuhnya rokok tersebut dengan highlighter yang telah dinyalakan apinya. Begitu rakus dia menyedut rod tembakau tersebut lalu menghembus keluar asap yang cukup menusuk ke rongga hidungku. Aku merengus melihatnya. Kata nak jaga kesihatan tubuh, tapi merokok. Jaga kesihatan apakah namanya itu?

No, it’s not like that. Well, apa kata I offer youtolong I?” cadangnya. Aku memandangnya dengan pandangan yang berkerut. Nak suruh aku kerja kat gymnasiumnya itu?

“Macam mana, okey tak?” soalnya lagi sambil menyedut rod tembakau itu. Aku menghelakan nafas berat.

You nak I kerja dengan you?” Aku ketawa sinis.

“Sayang, you tahukan yang I ni berpelajaran tinggi. Kalau you nak beri I kerja sekalipun, biarlah yang bersesuaian dengan kelulusan I. Janganlah nak offer kerja yang setakat taraf SPM,” kataku bersungguh. Bukan nak sombong atau bongkak, tetapi maksudku, biarlah kerja yang ditawarkan kepadaku itu berbaloi dengan usaha kerasku untuk memiliki segulung ijazah selama beberapa tahun ini.

“Kenapa, you fikir kerja yang I nak tawarkan ni, terlalu rendah tarafnya dan tak bersesuaian dengan qualify yang you ada? Sayang, I tahu dan I faham kehendak you tu, nak kerja bertaraf office, kan?” Aku mengangguk mendengar kata-katanya itu.

I bukan nak suruh you jadi cashier atau bar tender. I nak you tolong buatkan akaun untuk I. Kira profit and loss setiap bulan, duit keluar masuk, okey tak?” sambungnya. Aku terdiam, berfikir sejenak. Bagus juga, daripada aku buang masa, lebih baik aku praktikkan apa yang pernah kupelajari buat sementara waktu ini.

“Hmm… okey jugak,” putusku.

“Nanti I bayar you,” ucapnya.

“Berapa you nak bayar I?” soalku.

“Eh, kalau ya pun buatlah kerja tu dulu…”

“Hei, mana boleh macam tu. I nak jugak tahu berapa upah I. Nanti bila kerja dah selesai, bayaran yang you bayar tak setimpal dengan kerja yang I buat,” ujarku berbaur usikan. Dia ketawa.

“Wow, demandnya! Mengalahkan orang kerja full time pulak!” Giliranku pula yang ketawa.

“Berapa you nak?” soalnya kepadaku pula.

I main-main ajalah, Shaz! You ni serius sangat. I tak kisah berapa you nak bayar I. I ikhlas tolong you. Sepatutnya I berterima kasih kat you sebab beri I peluang ni,” omelku panjang. Kami ketawa serentak.

“Assalamualaikum.” Aku tersentak mendengar seseorang memberi salam. Segera kuangkat wajah bersama kerutan di dahi. Kurenung wajah di hadapanku ini. Macam biasa kulihat lelaki ini. Bisik hatiku.

“Waalaikumussalam,” aku dan Shazzy menjawab serentak.

“Azween ke?” soal pemuda itu. Aku mengangguk.

“Ingat aku lagi?” soalnya. Aku mengecilkan mataku. Cuba mengingati sesuatu.

“Hafsyam ke?” soalku. Dia mengangguk. Hafsyam merupakan sahabat lamaku. Kami pernah belajar dalam kursus yang sama ketika aku dalam pengajian di peringkat diploma. Aku merenungnya lama. Raut wajahnya masih seperti dulu. Cuma gaya dan penampilannya sahaja yang sudah agak berlainan. Lebih dewasa.

“Hei, kau rupanya, Syam? Have a sit,” pelawaku. Dia mengangguk lalu mengambil tempat bersebelahan dengan Shazzy.

“Err… Shaz, ni I kenalkan Hafsyam. My collegemate dulu sebelum I future kat UiTM. Syam, kenalkan ni Shazzy,” aku memperkenalkan mereka. Mereka bersalaman. Aku masih kelu. Tak tahu hendak memperkenalkan Shazzy sebagai apa. Takkan nak kenalkan sebagai kekasih baru pula? Nampak sangat yang aku sengaja mahu menunjuk. Ah, biarkanlah dia dengan telahannya sendiri.

So, kau buat apa sekarang ni?” soalku memulakan perbualan.

Well, aku sekarang kerja di bawah family aku. Tapi, dalam proses nak mulakan business sendiri,” jawabnya. Aku membeliakkan mata.

“Nak buat business sendiri? Wow, interesting! Business apa?” soalku seolah berminat untuk tahu.

“Syarikat periklanan. Tapi, aku tak buat seorang. Secara perkongsian,” jawabnya. Aku mengangguk.

“Hmm… baguslah tu. Dengan siapa, adik-beradik kau jugak?” soalku lagi. Dia menggeleng. “No, dengan kawan,” jawabnya.

“Kawan? Siapa, girlfriend?” usikku. Dia tergelak.

“Taklah. Dengan Azhari,” jawabnya. Terkedu aku mendengar nama itu. Aku memandang Hafsyam dengan pandangan yang membundar. Ah, kenapa tiba-tiba nama itu yang disebutkannya? Nama yang sudah lama terpadam bersih dari ingatanku semenjak kehadiran Shazzy. Baru kuingat. Hafsyam merupakan sahabat karib kepada bekas kekasihku itu. Aku mengutuk diriku dalam hati, bagaimana aku boleh lupa akan hal itu? “Oh, kau orang masih lagi berhubung ke?” soalku dengan suara yang sedikit tenggelam. Hafsyam mengangguk.

Suasana sepi seketika. Aku sekadar mengacau minumanku dengan straw, bagi meredakan rasa gundah yang tiba-tiba hadir.

So, how is he now?” soalku, cuba mengorek. Hafsyam tersenyum penuh makna.

“Kenapa tanya?” soalnya pula, seolah-olah mahu memperangkapku. Tapi, aku takkan terjerat kerana Shazzy kini ada bersama denganku. Aku menjeling.

“Saja nak tahu. Kenapa, tak boleh ke?” soalku berbasa-basi. Hafsyam ketawa sambil menggeleng-geleng.

“Eh, tak adalah. Boleh aja kalau kau nak tanya. Hmm… dia okey. Masih single and available,” ujar Hafsyam. Sekali lagi aku mengerutkan dahi. Single and available?

“Apa cerita dia dengan budak junior tu?” Tanpa sedar aku telah terlebih-lebih tanya. Harap-harap Hafsyam tidak memikirkan apa-apa. Jejaka itu menggeleng. Apa maksudnya dengan gelengan itu? Ah, malaslah nak tanya lagi. Buat apa nak tahu? Tak penting pun. Hatiku berbisik.

“Kau pulak, apa cerita sekarang? Masih solo?” soal Hafsyam. Pantas aku memuncungkan bibirku ke arah Shazzy. Hafsyam menoleh ke sebelah.

Oh, he is your boy?” soal Hafsyam. Aku mengangguk. Begitu juga dengan Shazzy. Hafsyam mulai menggelabah.

Sorrylah, Shazzy. I tak tahu you berdua ni couple. Si Azween ni pun tak cakap apa-apa kat I. So, I mengganggu ke ni?” soal Hafsyam kepada Shazzy.

“Eh, tak. Tak apa, Ifaham, kawan lama tak jumpa,” ujar Shazzy ramah sambil menepuk-nepuk bahu Hafsyam. Aku memandang Shazzy pelik. Tak cemburukah dia?

So kau pulak buat apa sekarang ni?” soal Hafsyam kepadaku setelah berborak dengan Shazzy buat seketika.

“Aku dah nak dekat tiga bulan habis degree. Sekarang ni cuma duduk rumah ajalah jadi penganggur terhormat. Tapi Shazzy baru aja offer aku untuk jadi part time account assistantnya,” jawabku. Hafsyam menjungkitkan kening.

Wow, menariknya. Kerja bawah boyfriend sendiri,” ucapnya.

“Kerja sambilan aja, Syam. Setakat tolong dia buat akaun untuk perniagaannya. Tengoklah, esok bila dah kahwin boleh jadi business partner pulak, tak gitu sayang?” lancang sekali mulutku berkata. Sengaja aku berkata begitu. Sesekali aku mengerling ke arah Shazzy. Ternyata dia turut terkedu mendengar kata-kata spontan yang lahir di bibirku sebentar tadi.

“Eloklah kalau macam tu. Manalah tahu, business makin lama makin maju sampai jadi sebuah syarikat yang besar, cerah masa depan anak-cucu esok,” tokok Hafsyam.

Kami terus berbual panjang sehinggalah Hafsyam sendiri meminta diri. Aku sekadar mengangguk. Dia bersalaman dengan Shazzy.

“Nanti bila nak buat nasi minyak, jangan lupa jemput,” ucap Hafsyam kepada Shazzy. Aku ketawa mendengar kata-katanya itu. Begitu juga dengan Shazzy.

“InsyaALLAH,” jawab Shazzy.

“Okey, Azween. See you,” ucap Hafsyam.

“Tak nak sampaikan salam kat Ari?” soalnya. Aku menggeleng. Dia tersenyum seolah memerli.

Sure ke ni?” soalnya buat kesekian kalinya. Aku mengangguk. Hafsyam akhirnya berlalu dari situ.

Shazzy masih merenungku dengan mata yang tajam. Ah, dia cemburu lagikah? Getus hatiku. “Tadi I dengar ada orang tu sebut pasal kahwin,” ujar Shazzy tiba-tiba. Aku memandangnya. Dia tersenyum. Aku membalas senyumannya itu lalu tertunduk malu.

“Ha’ah… I pun ada jugak terdengar. Siapa, ya?” sendaku. Shazzy tergelak.

“Sayang, bila kita dah kahwin esok, I akan kembangkan lagi business I tu. I ingat nak buka beberapa lagi cawangan. I akan jadikan you sebagai business partner I. Kita sama-sama majukan perniagaan keluarga kita demi masa depan anak-anak kita,” ujarnya tiba-tiba. Aku tersenyum simpul. Rasa senang hati. Sungguh besar harapan dan cita-cita Shazzy itu.
Previous: Bab1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mya Effa