Home Novel Cinta Selagi Aku Masih Ada
Selagi Aku Masih Ada
Mya Effa
17/7/2013 01:56:21
100,020
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

BEBERAPA hari selepas itu, aku menerima panggilan dari seseorang yang tidak disangka-sangkakan olehku. Abang Que. Apahal pula dia menelefonku? Adakah hendak bertanyakan tentang kelab? Tanpa membuang masa, aku menekan butang hijau untuk menjawabnya.

“Helo, assalamualaikum,” ucapku perlahan.

“Waalaikumussalam, Aween. Abang Que ni,” dia bersuara.

“Hmm… abang. Ada apa? Ada barang yang hilang lagi ke?” soalku.

“Eh, tak… tak. Ini tak ada kena-mengena dengan kelab. Cuma abang nak tanya, malam ni Aween free tak?” soalnya. Aku mengerutkan dahi. Kaget.

“Rasanya, tak ada apa-apa. Kenapa, bang?” soalku.

“Ada hal sikit,” katanya.

“Hal berkenaan dengan apa? Penting sangat ke?” soalku bertubi-tubi.

“Adalah. Penting sangat-sangat.” Aku mengetapkan bibir. Kalau tak ada kena-mengena dengan kelab, hal apa pulak ni? Hatiku bertanya.

“Berkenaan dengan apa? Apa yang penting sangat ni, bang?” soalku lagi, tidak sabar. Kedengaran Abang Que mengeluh berat di hujung talian sana.

“Aween, hal ni penting sangat. Berkenaan Aween, bukannya abang. Malam nanti, Aween akan tahu. Jangan risau, abang dah suruh Anne jemput Aween di rumah. Sekurang-kurangnya, Aween ada kawan. Taklah keseorangan nanti,” terangnya satu-persatu. Aku mengeluh berat.

“Hal apa ni, bang? Abang ni buat Aween suspen aja, tau,” rungutku.

“Aween, Aween akan tahu nanti. Bersabarlah. Apa-apa hal pun, semuanya akan terjawab malam ni, okey,” pujuknya.

Aku terdiam. Semuanya akan terjawab? Apa maksud Abang Que? Ah, malas hendak kuasaknya dengan persoalan itu lagi. Apa-apa hal sekalipun, aku akan tahu juga nanti. Tak lama, cuma malam ini sahaja. Bersabar sahajalah.

“Hmm… yalah. Pukul berapa Anne datang?” soalku.

“Itu abang tak pasti. Tapi abang dah pesan kepada Anne supaya sampai di tempat yang dah ditetapkan tepat jam sembilan malam,” ujarnya.

“Hmm… okeylah. Jumpa malam nanti. Bye, asslamualaikum.”

“Waalaikumussalam,” ucapnya. Lantas kumatikan talian. Kuusap dahiku berkali-kali. Fikiranku terus diasak dengan persoalan tentang hal yang bakal dibincangkan malam ini. “Hal ini tak ada kena-mengena dengan kelab. Hal ini penting sangat, untuk Aween, bukan untuk abang.” Kata-kata Abang Que itu terngiang-ngiang ke telingaku.

*****

MALAM ITU, seperti yang dijanjikan, Farhana sampai di hadapan rumahku tepat jam lapan setengah malam. Aku hanya mengenakan sehelai blouse merah jambu serta seluar jeans denim biru lusuh.

“Kau tahu tak, apa hal yang Abang Que nak cakap kat aku ni?” soalku kepada Farhana. Dia menjungkitkan bahu.

“Entah.”

“Betul kau tak tahu?” soalku lagi. Farhana memandang sekilas ke arahku. Lantas dia mencapai telapak tanganku, diramasnya mesra. Aku makin keliru.

“Aween, kau akan tahu nanti. Sabar ya,” pujuknya lembut. Di kala itu terasa dadaku ini berdetak kencang. Seluruh urat sendiku menggigil. Terasa seperti ada sesuatu yang tak kena. Seolah-olah hal yang hendak disampaikan itu adalah berita buruk yang mengerikan. Tapi, benarkah?

Kereta Proton Satria yang dipandu Farhana terpakir di sebuah tempat letak kereta. Kami berjalan menuju ke sebuah restoran mamak di situ. Di situ, Abang Que sudahpun menunggu. “Hai, Abang Que. Dah lama tunggu?” sapa Farhana. Abang Que mendongak seraya tersenyum. Aku membalas senyumannya. Kami mengambil tempat bertentangan dengannya. “Hmm… mana dia? Tak sampai lagi?” soal Farhana kepada Abang Que. Aku memandang Farhana dengan rasa hairan. Siapa lagi seorang?

“Kejap lagi dia sampai. Abang dah call dia tadi. Dia tengah on the way,” jawab Abang Que, mengelirukanku.

“Siapa?” soalku bingung. Mereka saling berpandangan. Seketika pandangan mereka beralih kepadaku.

“Shazzy,” jawab Abang Que. Hatiku berdebar-debar sebaik nama itu kedengaran. Shazzy? “Hai, semua,” sapa satu suara. Dan semakin berdebar dadaku sebaik kedengaran suara itu. Rasa kaku hendak menoleh ke belakang.

“Hai, Shaz. Duduklah,” pelawa Abang Que. Shazzy mengambil tempat di sebelah Abang Que, bertentangan denganku. Seketika mata kami saling bertemu. Tiada bicara antara kami. Masing-masing membisu seribu bahasa. Jadi, hal yang dimaksudkan oleh Abang Que tadi bukan sahaja berkenaan denganku, malah dia juga. Hal kami berdua rupanya. Patutlah aku berdebar-debar sejak dari tadi.

Abang Que berdehem sekali dua. Semua mata tertumpu kepadanya. Aku bagaikan tak sabar hendak menunggu kata-kata yang bakal keluar dari mulut Abang Que. Seketika matanya tertumpu kepadaku. Lama dia merenungku begitu. Dia kelihatan agak serba salah untuk bersuara.

“Aween, sebenarnya inilah hal yang Abang Que maksudkan tadi. Pasal hubungan Aween dengan Shazzy,” dia bermukadimah. Hubunganku dengan Shazzy? Kenapa dengan hubungan kami? Hal apa yang hendak diperkatakan ini?

“Sebenarnya, Aween. Ada satu masalah besar yang patut Aween tahu. Berkenaan dengan Shazzy. Bila hal ni ada kaitan dengan Shazzy, secara tak langsung Aween pun turut terlibat, sebab Aween kekasih Shazzy,” sambung Abang Que lagi.

“Apa semua ni, Abang Que? Hal apa? Kenapa tak strait to the point aja? Tak payah nak berkias-kias,” tegasku. Di kala itu, entah mengapa terasa debaran jantungku kian kencang. Sekencang angin monsun yang bertiup di Laut China Selatan di musim tengkujuh.

Abang Que mengalihkan pandangannya ke arah Shazzy di sebelah. Shazzy pula kelihatan gemuruh. Jelas tergambar rasa takut dan gugup pada wajahnya.

“Aku rasa, elok kau aja yang jelaskan kepadanya, Shaz. Ini masalah kau orang berdua. Aku dan Anne tak sepatutnya mencampuri urusan kau orang ni. Kami cuma boleh membantu untuk memudahkan kau orang menyelesaikan kes ni,” tutur Abang Que lembut kepada sahabatnya itu. Ah, semakin bingung aku dibuatnya. Hal apa ni? Soal hatiku lagi. Adakah Shazzy hendak melamarku tetapi malu hendak bersuara? Tak mungkin, sebab Shazzy seorang yang suka berterus-terang dan tak pernah ada rasa malu.

Terasa seluruh tangan dan kakiku menggeletar. Telapak kakiku terasa kebas kesejukan. Perasaanku pula, tak perlu cakaplah. Bercampur-baur.

Pandanganku beralih ke arah Shazzy yang berada di hadapanku. Dia masih seperti tadi. Terkebil-kebil matanya menahan perasaan. Dia masih kelihatan seperti tadi. Abang Que memaut bahunya, lalu menepuk-nepuk sebagai pemberi semangat. Manakala Farhana pula mencapai telapak tanganku, lalu diramasnya. Serasakan tanganku yang kedinginan ketika itu menjadi sedikit hangat dengan genggaman itu.

“Shaz, cakaplah. Kau tak perlu takut. Kalau kau terus berdiam macam ni, sampai bila-bila pun hal ni takkan selesai. Aween kena tahu. Kalau bukan sekarang sekalipun, lambat-laun dia tetap akan tahu jugak tentang hal kau ni. Rasanya lebih baik kau cakap sekarang. Sementara masih belum jauh ni, adalah lebih baik untuk kau beritahu dia. Aku takut nanti keadaan akan menjadi bertambah parah. Cakaplah, Shaz,” Abang Que memujuk Shazzy. Seketika, pandangan mata Abang Que beralih semula ke arahku.

“Aween, kami harap Aween bawa bersabar. Kuatkan iman dan semangat Aween dan cuba terima takdir ni dengan hati yang terbuka,” tutur Abang Que lembut. Ah, semakin kencang debaran hatiku ini. Adakah Shazzy ingin mengakhiri hubungan ini?

Shazzy tertunduk. Abang Que masih memaut bahunya erat. Seketika dia meramas-ramas bahu sahabatnya itu.

“Shaz,” Abang Que bersuara perlahan. Mereka berpandangan. Seketika kemudian, pandangan Shazzy beralih semula ke arahku. Dia menghelakan nafasnya berat. Matanya dipejamnya rapat sebelum bibirnya mula menyusun kata-kata.

“Aween,” katanya. Lembut intonasinya. Kelihatan bibirnya bergetaran. Aku memandangnya dalam keadaan yang berkecamuk. Masih sabar menunggu tutur kata seterusnya. “Maafkan I. Bukan niat I selama ni untuk melukakan you. Tapi…” kata-katanya tergantung di situ. Namun aku dapat merasakan kelainan pada tutur katanya kali ini.

“Apa semua ni, Shaz? Apa yang dah berlaku sebenarnya ni?” soalku perlahan, cuba mengawal kocakan emosi yang melanda.

I sayangkan you. I sayang sangat kat you, Aween. I really do love you,” ucapnya penuh sayu.

I tak mahu dengar semua tu, Shaz. I cuma nak tahu kenapa I dibawa ke sini? Apa yang you cuba nak sampaikan? That’s all!” tegasku. Genggaman tangan Farhana semakin kejap, menyuruhku agar mengawal perasaanku ketika itu.

“Berterus-teranglah, Shaz. Jangan nak berselindung apa-apa. Please,” rayuku. Dia mengeluh lagi. Begitu berat. Seberat beban masalah yang ditanggunginya ketika ini.

Aween, I… I… I’m married.” Aku kaget mendengar pengakuannya itu. Terasa kaku seluruh anggota badanku ini. Bagaikan melayang nyawaku ini dibawa pergi malaikat maut. Aku mulai menggigil. Habis menggeletar seluruh tubuhku. Apa benarkah dengan apa yang kudengarkan ini? Shaz, tolonglah bercakap benar, Shaz. Jangan tipu I. Please, Shaz. Katakanlah yang itu semua tipu belaka, please… Kata-kata itu hanya mampu bergema di hatiku.

You lie!” herdikku separuh menjerit. Dia mulai tak tentu arah. Masih tergambar rasa ketakutan di wajahnya. Bibirnya turut pucat dan menggeletar.

I tak bohong, sayang. I’m so sorry, dear. I didn’t mean to hurt you. I terpaksa, sayang. I terpaksa bernikah. But, trust me. I don’t love her at all…

Shut up!” Pantas Farhana memaut tubuhku, mengisyaratkan agar aku bertenang dan cuba menyedarkanku bahawa kami sedang berada di tempat awam.

Aku beristighfar berkali-kali. Kuurut dadaku yang tadinya berombak kencang. Kepalaku yang ketika itu kian memberat turut kuusap lembut. Sesungguhnya pengakuan Shazzy itu tadi benar-benar merobek perasaanku. Tanpa dipinta, aku terus mencapai beg tanganku dan terus bangun. Sebaik aku hendak melangkah pergi, dia turut bangkit lantas memegang kejap kedua belah lenganku.

“Sayang, please wait. Let me explain to you,” pujuknya. Segera kutempis tanganya kasar.

Don’t touch me!” kataku dalam nada yang sebak. Namun airmataku masih juga tidak mahu keluar. Terasa keringnya kelopak mata ini.

“Sayang, please,” rayunya lagi seraya memegang erat bahuku. Dan aku terus merentap kuat. Serasakan dirinya tak layak untuk memegangku.

Let me go, damn you idiot!” jerkahku. Semua mata mulai tertumpu ke arah kami. Aku tidak peduli kepada mata-mata yang memandang. Rasa malu sudah ditenggelami dengan rasa sedih, kecewa, marah dan pelbagai lagi. Pegangannya masih kejap.

“Lepaskan I!” Dan dengan spontan, sebiji penumbuk kuhayunkan ke pipinya. Aku hanya tersedar dan tergamam apabila tangaku sendiri terasa sengal dan berdenyut-denyut akibat dari tumbukan padu yang mengenai wajah kacaknya itu. Kali ini, barulah pautan tangannya di bahuku terlepas. Wajahnya terpaling ke tepi. Cermin mata yang tersangku di atas kepalanya turut tercampak ke bawah. Aku mendesis kesakitan sambil menggoncang-goncang tanganku menahan sakit. Di kala itu juga setitis airmata yang tadinya begitu degil mulai mengalir menerjuni pipiku. Menangis bukan kerana kecewa, tetapi kerana sakit. Sakit tangan, sakit hati, sakit dada, sakit kepala, segala-galanya sakit.

Dia mengusap pipinya berkali-kali. Kulihat airmatanya turut bertakung di tubir matanya. Ah, tak sanggup rasanya hendak menghadap mukanya lagi. Harapkan muka aja kacak, tetapi penipu! Pantas aku berlari meninggalkannya. Di kala itu juga kedengaran namaku dipanggilnya berkali-kali.

“Sayang, please come back. We need to talk,” jeritnya. Namun aku tetap meneruskan langkahku. Sesungguhnya tak ada apa lagi yang harus kudengar darinya. Tak perlu untuk dia menerangkan apa-apa kepadaku. Dia sudah berkahwin. Sudah ada isteri. Sudah ada tanggungjawab. Secara tak langsung, ikatan antara aku dan dia sudah terurai. Antara aku dan dia sudah tak ada apa-apa lagi. Jadi tak perlu lagi untuk kami berbincangkan. Tak perlu lagi untuk kami fikirkan tentang hubungan cinta yang kami tersimpul selama dua tahun lebih ini. Malah tak perlu lagi kami memikirkan masa depan yang hanya menjadi impian kami suatu ketika dulu. Tak perlu lagi semua itu. Tak perlu!

*****

DI DALAM kereta, aku menangis teresak-esak. Farhana yang begitu tenang memandu di sebelah turut kelihatan hiba. Seketika aku menggelengkan wajah dan tertunduk. Kuusap dahiku lembut. Sudah berkali-kali aku menarik tisu di atas dashboard untuk mengelap airmata yang kian galak merembes.

“Sabarlah, Ween. Ini semua dugaan. Aku pun sama sekali tak menyangka ini semua boleh berlaku ke atas kau dan Shaz,” ucapnya lembut.

“Sudah! Jangan kau sebutkan lagi nama tu. Aku benci mendengarnya. Aku benci! Benci! Benci…!” jeritku dengan penuh perasaan. Nyaring memenuhi ruang kereta itu.

Melihat aku begitu, pantas Farhana memberhentikan keretanya di bahu jalan. Seketika dia menarik tubuhku ke dalam dakapannya. Bahuku diusapnya berkali-kali bagi meredakan gelodak perasaanku yang kian menggila itu. Aku menangis mengongoi dalam pelukan sahabatku itu.

“Anne, aku tak percaya semua ni, Anne. Aku tak percaya semua ni boleh berlaku. Kenapa dia sanggup melukakan perasaan aku? Sampai hati dia, Anne. Sampai hati dia…”

“Sabar, Aween. Banyakkan mengucap. Walau apapun, kau mesti terima hakikat ni. Aku tahu, kau terlalu sayang dan cintakan dia. Tapi, dah tertulis yang dia tu bukan jodoh kau. Kau harus terima takdir ni dengan redha, Ween. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ni, kita tak tahu. Bersabarlah, Ween,” pujuknya bersungguh. Aku masih teresak-esak di dadanya.

“Apa lebihnya perempuan tu, Anne. Dan apa kurangnya aku? Kenapa dia langsung tak hargai hubungan yang dah terjalin selama dua tahun lebih ni? Kenapa dia langsung tak mahu hargai kasih suci aku kepadanya? Adakah kerana aku ni hidup serba kekurangan, tak berharta mewah sepertinya, maka sebab itu dia tinggalkan aku dan memilih perempuan tu?” luahku sayu.

“Jangan cakap macam tu, Aween. Aku yakin bukan kerana itu maka Shazzy terus meninggalkan kau. Kalau betul pun kerana harta, mungkin orang tuanya, tapi bukannya dia. Kalau dia tu seorang yang pandang pada harta dan darjat seseorang, dia takkan menagih cinta kau dulu, Ween. Dan hubungan kau orang takkan bertahan lama seperti ini. Aween, aku yakin semua ni ada hikmahnya. ALLAH dah tentukan jodoh seseorang sejak azali lagi. Kalau dia bukan jodoh kau, mungkin dia bukan yang terbaik buat kau. Kau seorang yang baik, Ween. Aku pasti, orang yang baik, pasangannya tentu dari golongan yang baik jugak. Percayalah cakap aku, Aween,” begitu panjang sekali nasihatnya kepadaku.

Suasana menjadi hening seketika. Farhana terus terdiam tanpa suara dan membiarkan aku menangis sepuas-puasnya di dalam dakapannya.

“Betul ke dia dah kahwin, Anne?” soalku tiba-tiba memecah kesunyian malam itu. Aku masih tidak percaya dengan pengakuan yang dibuat Shazzy sebentar tadi. Farhana membisu. Rambutku diusapnya lembut.

“Kalau betul dia dah kahwin, siapa isterinya, Anne?” soalku lagi. Farhana masih membatu tanpa suara.

Come on, Anne. Say something,” pintaku.

“Aku tak tahu, Ween. Aku tak kenal pun siapa isterinya itu. Tapi menurut Abang Que, budak perempuan tu kawan lamanya dan dia juga salah seorang dari ahli KKM. Aween, daripada apa yang aku dengar dari Abang Que siang tadi, memang salah Shazzy. Memang salah dia semua ini berlaku. Kalau tak ada angin, masakan pokok boleh bergoyang. Kalau dia tak ke rumah perempuan tu, tentu perkara ini takkan berlaku. Tapi, apa boleh buat. Semuanya dah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Menyesal seribu kali pun tak guna. Semuanya dah tersurat,” tutur Farhana perlahan.

Aku membisu. Dari kisah yang diceritakan oleh Farhana itu, aku bagaikan sudah dapat mengagak, siapa gerangan perempuan yang telah berjaya menakluki Shazzy secara keseluruhannya itu.

“Tapi baguslah kau orang tak jadi bersama. Sekurang-kurangnya, dengan apa yang telah berlaku ni, kau dah dapat tahu siapa Shazzy sebenarnya. Maka syukurlah kau orang ditakdirkan berpisah sekarang ni,” pujuk Farhana lagi. Aku yang masih menyembamkan wajah ke dadanya hanya terdiam kaku.

Tidak lama kemudian, aku mengangkat semula wajahku. Kutatap wajah Farhana dengan pandangan yang sayu. Jelas terpancar rasa hiba pada wajah bujur sireh di hadapanku itu.

“Anne,” ujarku perlahan. Lantas kugenggam telapak tangannya erat. Dia turut membalas genggaman tanganku itu.

“Kau boleh tolong aku tak?” soalku perlahan. Dadaku masih terhenjut-henjut menahan sebak.

“Tolong apa?”

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mya Effa