Home Novel Cinta Selagi Aku Masih Ada
Selagi Aku Masih Ada
Mya Effa
17/7/2013 01:56:21
100,054
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3
RASA bosan yang teramat pada hari itu telah membawa aku terus ke Pertama Complex. Aku sendiri tidak tahu kenapa tiba-tiba tergerak hatiku ini hendak ke sini. Aku ke ruang legar kompleks tersebut menuju ke kaunter KKM yang telah membuka keahlian barunya dua hari lepas. Kelihatan Farhana dan beberapa orang ahli jawatankuasa kelab sedang bertugas di kaunter tersebut.

“Hei, Aween! Dari mana ni?” sapa Abang Reza kepadaku.

“Dari rumah. Bosan betul, tu yang ke sini, nak menyibukkan diri,” ujarku.

So, apa macam hari ni? Dapat banyak ahli baru?” soalku lalu melangkah menghampiri kaunter.

“Hmm… adalah dalam lima belas orang. Tak ramailah hari ni,” rungut Farhana.

“Alah, relaxlah, Anne. Lima belas orang kira banyaklah tu. Kaunter pun buka sampai hujung minggu ni, kan? Banyak masa lagi,” kataku meyakinkannya.

Whatever. Janji, cukup hujung minggu ni, at least seratus tiga puluh orang ahli baru yang mesti join. Itu target Abang Que,” ujar Farhana lagi. Aku tergelak, teringatkan Presiden Kelab yang hanya dikenali sebagai Abang Que yang begitu bersemangat untuk mengumpul lebih banyak ahli-ahli baru kali ini.

Aku mencapai sebuah buku berkulit tebal yang mencatatkan nama-nama ahli yang baru mendaftar sepanjang kaunter kelab ini dibuka. Hmm… dari hari pertama sampai ke saat ini, sudah empat puluh orang ahli baru yang membuat pendaftaran. Bolehlah tahan! Hatiku menggetus.

“Aku rasa, akan sampai target untuk seratus tiga puluh orang ahli baru tu. Mungkin kita mampu dapat lebih dari tu. Cuba kau tengok, bilangan ahli yang telah mendaftar sewaktu kita buka kaunter di PKNS Shah Alam minggu lepas. Kat situ aja kita berjaya meraih tiga puluh empat orang ahli. Campur dengan empat puluh orang ni, dah tujuh puluh empat orang. Maknanya lagi lima puluh enam orang lagi. Ah, mesti boleh sampai target tu. Percayalah cakap aku,” ujarku panjang-lebar, meyakinkan Farhana. Gadis itu hanya mencebir bersama anggukan.

Namun, pandanganku tiba-tiba terhenti pada satu nama yang tersenarai. Hampir tersembul biji mataku tatkala menatap nama yang tercatat itu.

‘Khairul Azhari Bin Ramli’

Biar betul! Pastikah aku yang ini adalah ‘dia’, atau aku tersilap orang? Mungkin juga orang lain? Ah, bercelaru fikiranku ini. Pantas kusapa lengan Farhana yang sedang berkata-kata sesuatu dengan Abang Dino.

“Anne, sini kejap,” lengannya kutarik.

“Apa dia?” soal Farhana.

“Ni, budak ni. Bila dia daftar? Kau ingat lagi tak, muka dia macam mana?” soalku sambil menunjuk-nunjukkan kepada Farhana akan nama itu. Farhana meneliti nama yang tercatat itu sambil mengerutkan dahi.

“Oh, budak ni. Baru tadi dia daftar. Wei, handsome gila budak ni! Macam Shahz Jaszle. Fuh! Bisa angau aku, beb,” terang Farhana bersungguh. Aku mengerutkan dahi. Cuba membandingkan wajah pelakon kacak itu dengan wajah Azhari. Seingat aku, tak ada pula persamaan rupa mereka. Orang lain agaknya? Hatiku berkata.

“Kau tahu, mulanya masa aku promote kat dia pasal kelab ni, dia buat tak tahu aja. Sombong betul! Tapi aku tak putus asa, aku promote punya promote. Last-last, dia tertarik jugak bila aku tujukkan gambar-gambar semasa kita beraktiviti kat dalam album ni.” Aku memandang Farhana lama. Pantas kucapai album yang dimaksudkan Farhana lalu kutatap gambar-gambar yang terkandung di dalamnya. Tenyata gambar-gambarku memang ada didalamnya. Banyaknya memang tak terbilang.

“Lepas dia tengok aja gambar-gambar ni, terus dia keluarkan duit nak bayar deposit. Aku pun hulurkanlah borang keahlian ni kat dia,” Farhana terus bercerita. Lantas kututup semula album tersebut dengan perasaan yang sebal. Kalaulah betul orang yang dimaksudkan itu Khairul Azhari yang pernah kukenali dulu… ah, entahlah. Tak berani aku nak buat sebarang andaian.

“Dahlah, aku chow dulu,” ujarku dan terus berlalu dari kaunter itu.

“Kau nak ke mana, Ween?” laung Farhana. Aku menjungkitkan bahu.

“Ikut gerak kakilah,” jawabku.

Aku terus menyusuri sepanjang Jalan TAR sehinggalah ke Jalan Masjid India. Kekerapanku berpeleseran di sini menyebabkan aku rasa tiada apa yang menariknya di sini. Perutku pula sudahpun mulai berokestra, meminta untuk diisi. Baru kusedar, yang aku tidak menjamah apa-apa sejak dari pagi. Cuma harapkan sarapanku yang hanya sekeping roti yang disapu mentega dengan sekole milo panas. Aku hanya membeli satu set makanan yang berupa sebiji croissant, pastri dan secawan cuppuchino dari gerai ‘Kopi Satu’ yang terletak di luar pusat membeli-belah Semua House. Kemudian aku terus melangkah di sepanjang kaki lima kedai-kedai di Jalan TAR tersebut sambil fikiranku ligat berputar, memikirkan tempat yang sesuai untuk aku berhenti rehat.

Tiba-tiba terlintas di fikiranku akan satu tempat. Ya, tempat itu agak sesuai. Pantas aku mengaturkan langkah menuju ke tempat tersebut. Aku menjadi kaku sebaik berdiri di tempat tersebut. Mataku merenung Kompleks Pernas Sogo yang tersergam di hadapan. Seketika aku memandang ke bawah. Di sinilah tempatnya dulu, di mana aku mulai mengenali erti sebuah cinta. Ya, di sini, di tempat aku sedang berdiri ini. Tempat yang pernah menjadi saksi tersimpulnya ikatan kasih antara aku dengan Azhari suatu ketika dulu.

Ah, kenapa aku ke sini? Bukankah aku telah berjanji untuk melupakan segala kenangan yang melukakan itu? Kenapa perlu kuingati semua itu? Bukankah aku kini sedang diuliti kebahagiaan bersama Shazzy? Kenapa mesti Azhari juga yang kukenangkan? Sedangkan lelaki itu sudah menjadi sebahagian dari sejarah silamku. Ingin sahaja aku berlalu dari situ, meninggalkan segala kenangan antara aku dan Azhari yang mampu membuatkan hatiku terguris lagi. Biarkanlah ia menjadi satu kesan sejarah dalam hidupku. Namun, atas desakan perutku yang kian rancak berbunyi ini membuatkan aku berhenti di situ untuk berehat.

Sambil duduk bersantai di kawasan lapang itu, aku mengeluarkan pastri yang kubeli sebentar tadi lalu menjamahnya. Air cuppuchino yang agak suam-suam itu kuteguk sedikit. Topi jenama Polo yang kupakai di kepala sedikit melindungi wajahku dari dipanah sinar mentari yang terik tengahari itu.

“Hai, cik adik. Takkan makan kat tangga aja, kot? Tempat lain kan banyak?” Seorang ‘Mat Rock’ yang melalui tempat tersebut menegur tanpa sedikitpun menoleh ke arahku. Aku mencebik. Ah, biarlah! Suka hati akulah nak makan kat mana sekalipun. Bukannya aku kacau kau. Yang kau sibuk tu pasal apa! Hatiku menggerutu. Aku sedar, memang tak manis dipandang orang apabila seorang gadis sepertiku ini melepak di kaki lima kompleks membeli-belah sambil makan. Namun, aku tak ambil pusing dengan semua itu. Biarkanlah apa orang nak kata sekalipun, aku tak hairan. Janji aku tak kacau orang. Aku ada caraku sendiri. Biarlah slumber macam mana sekalipun, aku cukup bahagia dan gembira dengan kehidupanku sendiri.

Setelah selesai mengalas perut, aku menggumpal pembungkus kertas tersebut dan terus bangun dari tempat itu. Aku memaling ke belakang. Niat di hati hendak singgah ke Sogo sebentar sambil menjamu mata. Tambahan ketika itu, sedang diadakan jualan murah. Sebaik aku memaling ke belakang, tubuhku seakan kaku. Seluruh urat-sarafku menggeletar. Jantungku berdetak hebat. Bagaikan sukar hendak mempercayai akan apa yang kulihat di hadapan mataku ini. Lidahku menjadi kelu tiba-tiba.

Jejaka itu terus memandangku dari atas ke bawah. Begitu juga denganku. Dari hujung rambutnya yang berceracak kasar dan berwarna sedikit keperangan itu, kemudian ke wajahnya yang sudah ditumbuhi janggut sejemput sehingga melindungi dagunya yang runcing dan terbelah, susuk tubuhnya yang segak, pakaian yang membaluti tubuhnya serta kasut yang tersarung di kakinya. Cukup bergaya dengan t-shirt round neck putih yang agak sendat sehingga menampakkan susuk tubuhnya yang sasa, sepasang jeans biru tua yang agak geloboh ala-ala seluar hip-hop, serta sepasang sport shoes hitam jenama Nike. Di poket seluar jeansnya tersangkut seutas rantai besi yang mungkin menyambungkan beg duitnya di dalam poket serta beg sandang yang tersangkut di bahu belakangnya. Fuh, stylo habis! Pujiku dalam hati.

Kurenung wajahnya lama dengan perasaan gentar dan berkecamuk. Ingin memastikan lagi akan kesahihan bahawa dialah jejaka itu. Benarkah dia? Tetapi mengapa begini jadinya? Penampilannya kini amat berlainan sekali. Sejak bila pula dia sudah pandai mengubah gayanya? Dia bukanlah lelaki yang pernah kukenali dulu, jauh sekali jejaka yang kucintai sepenuh hati. Dia telah banyak berubah. Wajah dan gayanya yang sering bertandang ke dalam kotak memoriku bukanlah seperti ini. Sememangnya dia sudah jauh berubah. Penampilan yang ditonjolkannya kini telah menimbusi keseluruh dirinya yang sebenarnya.

Nafasku kian kencang. Rasa kurang selesa apabila direnung sebegitu. Bibir masing-masing seakan ingin berkata-kata, namun kelu.

“Khairul Azween,” ujarnya lembut. Aku memandangnya bersama kerutan di dahi. Mengapa aku memandangnya begitu, aku sendiri tidak pasti. Namun apa yang pasti, suaranya masih lagi seperti dulu. Masih tidak berubah. Bila kuamati, wajahnya yang tenang itu masih lagi sama seperti dulu walaupun penampilannya sudahpun berubah secara total.

*****

KHAIRUL AZHARI. Bagaikan sebuah pita rakaman, fikiranku ligat berputar, mengingatkan kembali kisah silam antara aku dan dia. Di tambah dengan tempat yang kami berdiri ini, lebih menjelaskan lagi detik-detik indah itu. Kenapa begitu pantas dan cekap sekali ingatanku ini terkenangkan sejarah silam yang sudah sekian lama kulupakan itu? Dalam sekelip mata segala-galanya terlayar di minda tanpa henti.

Mataku terus memandang tepat ke arah jejaka di hadapanku ini. Ya, dialah insan yang pernah bertakhta di hatiku suatu masa dahulu. Memang tak silap lagi. Dialah gerangan insan yang amat kusayangi dan kurindui satu ketika dulu sehingga menjadi igauanku saban malam. Aku sama sekali tidak pernah terfikir untuk bertemu dengannya semula, walaupun sekadar terlihat dari jauh. Sesungguhnya telah aku buang insan ini jauh-jauh. Jauh dari hidupku. Namun siapa sangka, pertemuan ini berlaku juga. Malah, di tempat ini, yang pernah menjadi lembah di mana kasih kami dibajai. Rasa mahu lari saja dari situ. Tetapi entah mengapa, aku merasakan diriku seolah digam di situ.

“Ari,” akhirnya suaraku yang tersekat di kerongkong terluah juga. Ah, nama itu juga yang kusebutkan. Dia tersenyum. Mungkin gembira kerana aku masih mengingati dirinya. “Aween apa khabar? Sihat?” soalnya ramah.

“Macam yang kau nampak,” jawabku acuh tak acuh. Dia tersenyum lagi.

“Tak sangka dapat bertemu dengan Aween semula. Hmm… padanlah. Memang betul kata Syam. Aween sekarang ni dah lain. Semakin rugged. Sejak bila dah mula jadi minah rockers ni?” Pedas sekali soalannya itu. Aku ketawa sinis. Dia katanya aku ni minah rockers? Ceh! Pandai kata orang dah berubah. Yang dia tu, macamlah tak berubah. Nasib baik aku masih boleh kenal dia. Kalaulah aku langsung tak kenalkan dia tadi, nak aja aku cabut, tak mahu pedulikannya. Hatiku mengomel.

“Memang tak sangka pun. Aku pun tak terfikir dapat tengok muka kau lagi. Dan aku memang dah berubah. Tak sangka pulak aku, yang kau masih boleh cam muka aku ni. Ingatkan bila aku dah tampil macam ni, tak ada orang yang boleh perasankan aku,” aku bersuara selamba. Malah, sengaja aku mengeraskan suaraku seperti perempuan brutal.

Dia memandangku dengan pandangan yang berkerut. “Kenapa Aween cakap macam tu? Sampai hati Aween cakap macam tu kat Ari,” ujarnya sedikit sayu. Aku mencebikkan bibir.

“Aween masih marahkan Ari?” soalnya lagi. Dia terus merenungku. Ah, sungguh aku tak tahan dengan renungan tajamnya itu. Lantas aku mengambil keputusan untuk pergi meninggalkannya di situ. Tak sanggup hendak melayaninya secara berlebihan.

“Aween, tunggu dulu!” dia bersuara keras. Namun, aku teruskan jua langkahku.

“Aween!” panggilnya lagi. Aku memalingkan tubuh menghadapnya seketika dan terus melangkah pantas meninggalkannya.

“Aween, Aween tak jawab soalan Ari lagi,” laungnya. Aku menoleh seketika. Namun langkahku tetap juga kuteruskan dengan cara mengundur.

“Kau tak perlu tahu! Apa guna kau nak tahu sekarang!” laungku pula.

“Aween, harap-harap lepas ni kita akan berjumpa lagi,” jeritnya.

“Harapnya tidak! Kita tak mungkin dapat berjumpa lagi!” jeritku pula.

“Kita pasti akan jumpa! Aku jamin!” dia terus menjerit.

“Argh!” aku merengus kuat buat kesekian kalinya. Keras dan kasar. Aku terus menoleh ke depan tanpa memandangnya lagi.

Aku terperasan, semua mata tertumpu ke arah kami berdua. Ada yang pandang sinis dan ada juga yang ketawa. Pasti insiden itu tadi mencuit perasaan mereka. Namun, aku langsung tidak menghiraukan mereka semua. Pedulikan apa orang nak kata. Memang dah begitu caraku. Aku akan lakukan apa sahaja yang aku suka dan aku fikir wajar asalkan aku tidak mengganggu ketenteraman dan menyinggung perasaan orang lain. Itu falsafah hidupku.

*****

SUASANA kamar beraduku hanya diterangi lampu rock salt yang suram. Alunan muzik sentimental yang berkumandang di radio begitu mendamaikan jiwaku ini. Ditambah dengan bau minyak pati lavender yang kubakar di dalam bekas aromaterapi lebih menjadikan suasana kamar ini bertambah santai dan tenang. Aku termenung sambil bersandar di kepala katil. Fikiranku terus dilanda resah semenjak bertemu semula dengan Azhari siang tadi. Aku mengeluh berat. Kenapa mesti ada lagi pertemuan ini?

Entah mengapa, wajah Shazzy langsung tidak menyinggah walau seketika di ruang fikiranku ini. Sebaliknya, wajah Azhari pula yang bertandang. Ah, kacau! Keluhku lagi. Kata-katanya siang tadi menambahkan kerunsingan kepalaku.

“Kita pasti akan jumpa! Aku jamin!” Jeritannya siang tadi benar-benar merisaukanku. Ditambah dengan kenyataan yang kuperolehi dari kaunter Kelab Kembara Muda siang tadi, bahawa ada seorang ahli yang baru mendaftar bernama Khairul Azhari bin Ramli. Bertambah terganggulah fikiranku.

Aduh, serabut kepala otak aku ni! Rasa nak menjerit pun ada. Kenapalah dia masih lagi mahu menggangguku? Sedangkan dia sendiri sudah tersedia maklum yang aku tak mahu ada apa-apa hubungan lagi dengannya hatta sebagai kawan sekalipun. Malah, aku tak mahu lihat pun wajahnya walau untuk seketika cuma. Terluka, sakit hati dan benci. Semuanya sudah bercampur-baur. Malah, api dendam turut kian marak menyala sebaik terlihat wajahnya di hadapanku tadi.

Kalau hendak diikutkan perasaanku ini, mahu saja aku tampar mukanya itu dan terus memberi amaran kepadanya agar tidak mengganggu hidupku lagi. Cukuplah sekali dia memberi harapan kosong kepadaku suatu ketika dulu. Disebabkan harapannya yang ibarat hangat-hangat tahi ayam itu dululah, aku hampir kecundang di dalam pelajaranku. Mujurlah aku cepat bertindak meninggalkan kolej itu dan terus melupakan segala kelukaan yang ditinggalkannya. Kini dia muncul kembali tanpa dipinta. Luka yang sudah sekian lama sembuh terguris lagi dan terus berdarah kembali. Apa yang harus kulakukan sekarang ini? Perlukah aku bertindak bersemuka dengannya?

Namun begitu, aku sudah nekad. Walau apa sekalipun, biarlah aku sendiri yang akan bertindak. Aku takkan gunakan orang lain sebagai perantaraan lebih-lebih lagi Shazzy. Malah, aku tak mahu Shazzy terlibat langsung dalam masalah yang melanda kami. Biarlah aku yang akan menyelesaikannya sendiri. Kalau bukan dengan cara aman, dengan cara keras akan aku gunakan bagi mengajar si Azhari yang tak faham bahasa itu. Lelaki seperti itu memang tak layak dilayan secara lembut. Aku tak mahu dipandang lemah lagi. Aku mahu dia mengenali diriku sebagai seorang wanita yang tegas dan berani. Ya, aku akan buktikan kepadanya!

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mya Effa