Home Novel Cinta Selagi Aku Masih Ada
Selagi Aku Masih Ada
Mya Effa
17/7/2013 01:56:21
100,046
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11
BAS PERSIARAN yang membawa kami pulang ke Kuala Lumpur mulai merangkak perlahan dan seterusnya meluncur membelah jalan meninggalkan Pekan Maran. Kali ini, giliran Farhana pula yang menduduki berhampiran cermin tingkap. Aku menyandar keletihan. Mataku pula terasa sukar untuk di pejamkan.

Beberapa minit di dalam perjalanan. Suasana di dalam bas masih lagi bising dengan suara hingar-bingar para peserta yang menyerlahkan keseronokan mereka pada perkhemahan kali ini. Farhana yang duduk di sebelahku sudahpun lena diulit mimpi. Wajahnya tampak keletihan. Di kala itu juga, mataku mulai memberat. Sesekali aku tersengguk-sengguk menahan kantuk.

Aku melirik ke arah tempat duduk yang terletak di hadapan sebelah kiriku. Merenung jejaka yang hanya dapat dilihat pada pandangan sisi sahaja. Begitu asyik dia mengangguk-angguk kecil kepalanya sambil telinganya disumbat oleh earphone iPodnya. Tahulah aku yang dia sedang menghayati rentak lagu yang berkumandang di iPodnya itu. Aku mengeluh berat. Terasa diri ini dibebani rasa bersalah yang teramat, kerana melayannya dengan kasar serta mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaannya. Tentu dia sudah serik hendak mendekatiku lagi. Ah, bukankah itu yang aku mahukan? Namun begitu, sungguhpun dendamku cukup mendalam terhadapnya, hati kecilku ini tetap dapat merasakan erti sebuah perikemanusiaan. Rasa bersalah dan simpati begitu menguasai diri ini. Sebagai seorang manusia yang prihatin dan memiliki sifat penyayang sesama insan, aku tidak sepatutnya menyeksa perasaan seseorang seperti itu. Dan aku mengeluh berat buat kesekian kalinya.

Ah, semakin aku memandangnya, semakin aku dihimpit rasa bersalah. Lantas kualihkan pandanganku ke hadapan. Di kala itu juga, mataku yang sudah tersedia mengatuk menjadi semakin berat. Dan akhirnya aku terlena jua…

*****

KAMI tiba di ibu negara tepat jam sembilan malam. Turun saja dari bas, terus aku membantu mereka mengeluarkan barang-barang dari perut bas. Sesekali mataku menjenguk ke arah jalanraya, menanti kedatangan Shazzy untuk menjemputku pulang. Namun hampa. Bayangan keretanya tidak juga kelihatan. Aku mengeluh berat.

“Shazzy tak sampai lagi?” soal Hakimi sambil membantuku menarik sebuah beg yang agak padat dan berat. Aku menggeleng.

Selesai operasi memunggah barang. Kulihat jam di pergelangan tanganku, hampir pukul sepuluh malam. Para peserta juga ramai yang sudah beransur pulang. Seketika aku mengeluh. Nak buat panggilan, telefon bimbitku pula tiada.

“Dia belum sampai lagi?” sapa satu suara. Aku menoleh. Ah, Abang Que rupanya. Aku menggeleng kecil.

“Belum, bang,” ujarku sunggul.

“Dah telefon dia?” soal Hakimi yang tiba-tiba muncul di sisi Abang Que. Aku menggeleng lagi.

“Aku tak bawak telefon.”

“Nah, pakai telefon abang.” Abang Que menghulurkan telefon bimbitnya kepadaku. Aku menyambutnya lalu mendail nombor yang sememangnya sudah lama melekat di dalam kepalaku ini. Seketika aku mengeluh lagi. Panggilanku tidak dijawabnya. Aku mencuba lagi, namun masih hampa.

“Kenapa?” soal Abang Que.

“Dia tak angkat, bang. Hmm… Aween risau. Takut berlaku sesuatu,” ucapku gusar. Hatiku mulai berdetak hebat. Aku khuatir sesuatu yang tak diingini akan berlaku ke atas diri Shazzy ketika dalam perjalanan ke sini.

“Jangan fikir yang bukan-bukan, Aween,” ucap Abang Que, menenangkanku.

“Abang Que, Kimi, aku balik dulu ya…” Tiba-tiba muncul Azhari menyapa Abang Que dan Hakimi. Mereka saling bersalaman.

“Okey, Azhari. Terima kasih banyak-banyak dengan penyertaan kali ni. Lepas ni boleh join lagi projek-projek kami yang akan datang,” ucap Abang Que.

“InsyaALLAH, bang. Aween, aku balik dulu. Assalamualaikum,” ucapnya. Kami menjawab salamnya serentak. Aku tersenyum kecil. Kuhantar langkah Azhari dengan pandangan mataku. Dia terus maju ke hadapan tanpa sedikit pun menoleh ke belakang memandangku. Masihkan dia berjauh hati denganku?

Setelah kelibat Azhari hilang dari pandangan, aku cuba mendail lagi nombor Shazzy. Namun, sebaik aku hendak menekan butang hujau, tiba-tiba telefon tersebut menerima pesanan ringkas dan aku pula tanpa sengaja tertekan butang hijau tersebut. Tertera teks pesanan ringkas tersebut di skrin telefon milik Abang Que. Dadaku berdetak hebat sebaik membaca khidmat pesanan ringkas tersebut.

‘Bro, tlg anta Aween blk. Sori aku x blh dtg jmpt dia, t’paksa nyusahkn ko. Ade prob skt. Sok aku nk jmpa ko. Byk benda aku nk citer kt ko nih. Tlg jgn bgth Aween ape2 klu dia tanya, k. Plzz…’

Aku menarik nafas dalam menahan sebak. Masalah apa yang dihadapi oleh Shazzy? Kenapa mesti mahu merahsiakannya dari pengetahuanku? Hatiku merintih pilu. Sampai hati Shazzy membelakangi aku.

“Dapat call dia?” pertanyaan Abang Que secara tiba-tiba itu menyentakkanku. Pantas aku menggeleng.

“Tak. Hmm… abang, ni ada mesej. Sorry, Aween tertekan. Tapi jangan risau, Aween tak baca pun,” bohongku. Aku tak mahu nanti Shazzy menuduh Abang Que tak amanah pula. Abang Que hanya tersenyum lalu menyambut telefon bimbitnya itu dari tanganku.

Aku meninggalkan Abang Que di situ. Kudekati Farhana yang sibuk memasukkan begnya ke boot kereta milik Abang Dino.

“Aween, tak sampai lagi cik abang kau tu?” soal Farhana.

“Dia tak datang kot. Dah pukul berapa ni, tak sampai-sampai lagi.”

“Dah cuba call?” soal Abang Dino pula. Aku mengangguk lemah.

“Dah, tapi tak berangkat. Hmm… Aween nak tumpang abang jugak boleh?” soalku. “Marilah, abang hantar Aween balik.” Kedengaran suara Abang Que dari belakang, mempelawaku.

“Eh, tak apalah bang. Aween nak balik dengan Abang Dino. Lagipun, takkan Aween nak naik kereta berdua dengan abang. Nanti kalau Shazzy dapat tahu, susahlah. Abang takkan tak kenal dengan kawan baik abang tu,” aku berbasa-basi.

“Janganlah cakap macam tu, tak baik. Kami dah lama berkawan, Aween. Dia takkan syak abang. Aween jangan risau. Kita tak berdua. Kak Nad pun balik sekali dengan abang. Lagipun nanti kesian pulak kat Abang Dino, terpaksa berkejar ke sana-sini nak hantar Anne, Kimi, lepas tu nak hantar Aween lagi. Penat.”

“Betul cakap Abang Que tu, Aween. Kau tumpang Abang Que aja, ya,” Farhana menyampuk.

Aku mengeluh berat. Kalau nak diikutkan hati, aku tak mahu menumpang Abang Que sebaik terbaca mesej Shazzy tadi. Sakit hati aku kerana dia cuba menyembunyikan sesuatu dari pengetahuanku. Terasa diri ini bagaikan orang asing!

“Dah, jom!” Abang Que bersuara. Aku tak dapat mengelak lagi sebaik sahaja Abang Que mengambil beg pakaianku dan memasukkannya ke dalam boot keretanya. Aku masih lagi terpacak di situ dengan perasaan bingung.

“Aween, tunggu apa lagi tu? Mari masuk!” pekik Kak Nad. Dalam keterpaksaan, aku mengatur langkah perlahan menuju ke kereta milik Abang Que lalu memboloskan diri ke dalamnya.

Dalam perjalanan ke rumahku, aku lebih senang berdiam diri. Perasaanku ketika ini bercampur-baur, ditambah dengan rasa letih dan penat. Rasa sayang dan rinduku terhadap lelaki itu sepanjang tiga hari ini kini bertukar menjadi marah dan sedih. Aku kesal dengan sikap Shazzy yang sudah mulai suka berahsia denganku. Tidakkah dia tahu betapa seksanya aku menanggung beban rindu selama kami berjauhan? Tidakkah dia tahu betapa berkobar-kobarnya perasaanku untuk pulang ke ibukota hanya untuk bertemu dan melepaskan rasa rindu yang tebuku di dada ini? Tidakkah dia rasa rindu dan ingin bertemu denganku? Tidakkah dia rasakan semua itu? Aku berperang sendiri dengan pelbagai persoalan yang timbul di benak ini. Sepanjang perjalanan, aku hanya memejamkan mataku, berpura-pura tidur. Tak berminat hendak berbual-bual dengan Abang Que dan Kak Nad.

“Okey, Aween. Dah sampai.” Mataku terbuka luas sebaik Abang Que bersuara mengejutkanku. Abang Que turun dari kereta dan membuka boot keretanya untuk mengeluarkan beg pakaianku.

“Terima kasih, Abang Que. Buat susahkan abang aja,” ucapku. Jejaka itu hanya tersenyum bersama gelengan kecil.

“Tak jadi masalah, Ween.”

“Agaknya, Shaz tahu tak yang Aween balik dengan abang ni?” soalku pura-pura.

“Jangan risau. Nanti abang mesej dia. Okay, sis. See you,” ucapnya. Aku bersalaman dengan Kak Nad sebelum kereta yang dipandu Abang Que berlalu meninggalkanku di situ.

*****

DI DALAM bilik air, aku menangis sepuas-puasnya mengenangkan apa yang telah berlaku. Rasa kesal, sedih dan marah bercampur-baur. Kubiarkan tubuhku disimbahi air hangat itu bagi menenangkan perasaanku yang sedang bercelaru kini. Sebaik aku meletakkan beg pakaianku ke lantai sebentar tadi, aku terus mencapai telefon bimbitku yang terdampar di atas katil lalu mendail nombor Shazzy. Lima kali aku cuba hubunginya namun satu pun panggilanku tidak dijawabnya. Aku menjadi geram. Hampir-hampir aku membaling telefon kecilku itu bagi melepaskan rasa amarah yang membara ini. Airmata hangatku kian deras mengalir, sehangat air shower suam-suam kuku yang mengalir membasahi seluruh tubuhku.

Seketika aku terjelapuk ke lantai, bersama rasa sebak yang terus menyerbu. Terhenjut-henjut tubuhku menahan tangis. Sungguh tidak kuduga, lain yang kuharapkan, namun lain pula yang jadi. Shazzy tidak sepatutnya bertindak sebegitu terhadapku. Dia tidak seharusnya bersikap tetutup denganku. Sebagai teman wanita yang setia, aku berhak tahu apa yang sedang dihadapinya. Apa gunanya aku sebagai kekasihnya kalau dia enggan berkongsi masalah denganku?

Setelah satu jam bersiraman di dalam bilik air, barulah aku keluar. Segera kupasang air condition bagi mendinginkan suasana yang hangat ini. Sebaik mengenakan sehelai t-shirt tanpa lengan serta sehelai boxer, terus kurebahkan tubuh ke katil. Mataku hanya tertumpu ke arah siling yang kosong. Di kala itu, tiada apa yang ada di dalam kepalaku melainkan Shazzy. Aku asyik teringatkan dia. Aku kecewa kerana tidak dapat menatap wajahnya dalam beberapa hari ini. Shaz, aku rindu… Hatiku merintih sayu.

Tanpa kusedari, jam sudahpun menunjukkan ke angka dua pagi. Baru aku teringatkan sesuatu. Lantas kupetik suis radio, memutarkan ke frequency 104.7. Sudah lama aku tidak menghayati lagu-lagu sentimental yang berkumandang menerusi rancangan ‘Getaran Jiwa Best 104’. Mataku terpejam rapat. Cuba melupakan seketika akan kekusutan yang kuhadapi ini. Sesekali telingaku menangkap celoteh deejay yang bertugas.

“Kiriman SMS yang seterusnya, datangnya dari Khairul Azhari Ramli dari Subang Jaya, menujukan ucapan beliau buat Khairul Azween Kamaruddin yang berbunyi… ‘Maafkan daku kerana kisah silam yang melukakan itu. Namun ketahuilah dikau, yang aku terlalu menyayangi dirimu dan setia cintaku padamu juga takkan pudar dari dulu, kini dan selamanya…’.” Kata-kata deejay tersebut benar-benar membuatkan aku terpana. Segera aku menguatkan sedikit suara radio tersebut.

“Semoga gadis yang bernama Khairul Azween ini juga sedang mendengar rancangan Best 104 sekarang ini. Dan terimalah lagu yang dituju, ‘Cukup Sekali’ dari Jay Jay,” sambung deejay itu lagi. Segera aku mendekatkan cuping telingaku pada radio.


Di saat kulahirkan kekesalan
Sengaja kau mengambil kesempatan
Mengungkit perbuatan dan keterlanjuran
Kau ulang bercerita tentang hati luka
Membuat ku rasa berdosa

Kuhayati bait-bait lagu itu dengan rasa sayu dan syahdu. Liriknya seolah-olah menceritakan kembali detik-detik perpisahan dan juga saat-saat pertemuan semula antara aku dan Azhari. Benar-benar menyentuh naluri dan perasaanku. Seketika aku rasa terbuai dengan lagu yang ditujukan itu.

Demi masa depan yang kita mimpikan
Hapuskanlah kenangan yang mengusik perasaan
Tiap kali memandangmu tak terhingga kesalku
Maafkan aku sayang menodai kepercayaanmu

Air hangat yang tadinya sudahpun berhenti mengalir akhirnya mencurah kembali dari tubir mataku. Kali ini, bukan lagi airmata kesedihan dan kekecewaan lantaran sikap Shazzy, tetapi kerana rasa terharu dengan apa yang kudengari ini. Namun, hatiku masih ragu-ragu. Benarkah Azhari masih menyintaiku? Adakah dia benar-benar menyesali akan apa yang telah dilakukannya terhadapku dulu? Ah, aku buntu. Benar-benar buntu. Kadang-kala aku kurang memahami akan permainan yang dimainkan oleh insan yang bergelar lelaki ini.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mya Effa