Home Novel Cinta Selagi Aku Masih Ada
Selagi Aku Masih Ada
Mya Effa
17/7/2013 01:56:21
100,022
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

SEPANJANG perjalanan kami ke negeri jelapang padi itu, aku hanya membisu seribu bahasa. Tiada sebarang bicara antara kami. Azhari kulihat begitu tenang memandu di sebelah. Aku merenungnya lama. Dia tetap dengan gaya terbarunya. Berkemeja T hitam lengan pendek, sehingga menampakkan lengannya yang berotot. Kemudian pada jeans denim biru gelap yang dipakainya. Sedikit besar saiznya. Rambutnya yang berceracak kilat serta cermin mata gelap yang tersangkut di wajahnya.

Seketika aku menelan air liur, melihat gayannya yang begitu mempesonakanku. Masih terserlah kekacakannya. Tiada lagi rambut lurus terbelah tengah seperti yang tercatat di dalam diari kenanganku. Dia jauh lebih bergaya kini. Fesyen yang dikenakan benar-benar mengikuti arus kemodenan masa kini. Tumpuannya masih lagi di hadapan, pada lebuhraya yang terbentang luas.

Lantas kupalingkan wajahku ke hadapan. Seketika aku mengeluarkan cermin mata hitamku dari tas tangan lalu kukenakan pada wajahku bagi menghalang silau mentari dari memanah mataku. Suasana yang hening hanya ditemani alunan muzik yang berkumandang di radio.

“Kenapa diam aja dari tadi?” soalnya memecah kesunyian. Aku tergamam. Lantas kupalingkan semula wajahku memandangnya. Dia memandang sekilas ke arahku. Namun, cermin mata gelap yang dipakainya menghalangku dari melihat panahan matanya. “Entah, tak tahu nak cakap apa. Tak ada topik yang menarik,” ujarku perlahan.

“Cakap ajalah, apa-apa pun. Boringlah,” keluhnya. Aku mengerutkan dahi.

“Hei, kau tu sepatutnya tumpukan perhatian kau kat jalanraya. Karang, buatnya terjadi sesuatu perkara yang tak diingini, tak sampai hajat ibu kau nak berkenalan dengan aku,” ujarku memerli.

“Hisy, janganlah cakap benda-benda yang tak elok macam tu,” katanya. Aku tersengih. Sebenarnya, bukan apa. Aku rasa sedikit gentar apabila hendak berjumpa dengan keluarga Azhari. Tak tahu bagaimana penerimaan mereka apabila Azhari membawa bekas kekasihnya ini pulang ke rumah.

“Siapa lagi yang ada kat rumah selain dari ibu Ari?” soalku. Dia memandangku sekilas. “Tak ada sesiapa. Cuma ada ibu sorang. Kakak dah berumahtangga. Abang pulak kerja kat Penang. Adik Ari dua-dua duduk asrama,” ujarnya. Tiba-tiba terdetik akan sesuatu di fikiranku. Azhari sudah tiada bapakah? Rasa berat pula hendak tanya.

“Err… bapak Ari?” soalku teragak-agak. Azhari menggeleng.

“Ibu dengan abah dah lama bercerai. Sejak dari tu, abah terus balik ke negara asalnya dan terus menatap di sana. Dah lama sangat dia tak datang jenguk kami adik-beradik kat sini,” jawabnya tanpa berselindung. Aku mengangguk.

“Abah Ari orang mana?” soalku lagi.

“Abah orang Thailand,” jawabnya. Aku mengangguk lagi. Hmm… kisahnya. Patutlah muka dia tak tumpah seperti orang Thailand.

“Kiranya, Ari ni berdarah campurlah ni?” ujarku. Dia mengangguk bersama senyuman di bibir.

“Adik-beradik Ari ada berapa orang? Dulu Ari ada beritahu, tapi Aween dah lupa,” kataku lagi. Dia tersenyum lagi.

“Lima orang. Ari anak yang tengah. Yang sulung, kakak. Kak Long dah berumahtangga. Yang nombor dua, abang. Yang bawah Ari, adik lelaki. Sekarang ni, masih lagi study kat USM. Dan yang bongsu, adik perempuan. Masih lagi dalam tingkatan empat, Sekolah Teknik Manjung, Perak. Cukup? Ada lagi nak tanya?” soalnya memerli. Aku ketawa. Habis semua kisah adik-beradiknya diceritakan kepadaku.

“Kesian ibu tinggal sorang-sorang. Adik-beradik Ari semua kat belah Utara. Cuma Ari sorang aja yang tercampak kat KL,” ujarku. Dia ketawa.

“Alah, tiap-tiap hujung minggu adik-adik dengan abang Ari balik jenguk ibu. Lagipun, rumah yang ibu tinggal tu, betul-betul berhadapan dengan rumah tok. Tak adalah dia sunyi,” katanya lagi.

“Ibu tak kerja?” soalku lagi. Dia mengangguk.

“Kerja. Ibu usahakan sebuah nursery. Memang dari dulu dia minat pokok-pokok bunga ni,” jawabnya.

“Jadi, kita ni balik rumah yang mana satu? Yang kat Alor Setar atau yang kat Sungai Petani?” soalku. Dia ketawa kecil.

“Mestilah yang kat Sungai Petani tu. Dah ibu tinggal kat situ. Kat Alor Setar tu cuma ada Kak Long, abang ipar dengan anak-anak buah Ari aja.”

Suasana sepi menyelubungi kami lagi. Rasanya sudah habis topik yang hendak dibualkan. Aku mulai tenggelam dengan keasyikanku sendiri. Alunan muzik pop rock yang berkumandang menerusi CD lagu ‘Rock Dulu-Dulu’ benar-benar melekakanku. Sesekali, Azhari akan menghentak-hentak stereng dengan jemarinya, mengikuti rentak-rentak lagu yang berkumandang dan sesekali juga mulutnya akan turut menyanyikan lagu ‘Cinta dan Airmata’ itu. Hatiku terbuai mendengar suaranya yang begitu menusuk kalbu. Kucuba memejam mataku, menikmati alunan suaranya. Tanpa sedari diriku telah dibawa ke alam mimpi.

Aku hanya tersedar apabila kereta yang dipandu Azhari berhenti. Terkebil-kebil mataku memandang suasana di luar. Rupanya dia berhenti di kawasan rehat R&R.

“Kat mana ni?” soalku sambil menggosok-gosok mataku yang agak kabur.

“Kita berhenti rehat dulu. Aween lapar tak? Kita makan dulu, ya,” ucapnya lembut. Aku terpaksa bersetuju dengan cadangannya itu, memandangkan perutku yang mulai berbunyi meminta untuk diisi. Aku menolak pintu keretanya lalu keluar.

Azhari menghampiriku. Cermin mata hitam yang masih tersangkut di wajahnya ditanggalkan lalu disangkutkan ke kemeja T round necknya. Aku sekadar memerhatikannya bersama senyuman di bibir. Suka aku melihatnya berbuat begitu. Kami berjalan seiring menuju ke kafeteria. Aku hanya memesan nasi campur berlauk sambal ayam dengan sayur bayam. Seperti sudah tersedia maklum, Azhari memesan teh ais untukku. Aku terharu, kerana dia masih mengingati akan apa yang aku gemari. Sedangkan aku, langsung lupa akan apa yang dia suka dan apa yang dia tidak suka.

Sepanjang berada di situ, kami hanya berdiam diri sambil menikmati hidangan masing-masing. Sengaja aku tidak mahu mengganggunya. Biarlah dia berehat setelah penat memandu dari Kuala Lumpur sejak pagi tadi.

“Lepas ni, kita sembahyang Zuhur dulu. Lepas tu, baru kita gerak,” tuturnya memecah kesunyian antara kami. Aku sekadar mengangguk, mengiakan cadangannya itu. Sedangkan, aku sebenarnya sedang bercuti sembahyang sekarang ni. Ah, biarkanlah dia sembahyang seorang diri. Pandai-pandailah aku nak cover nanti. Hatiku berbisik perlahan.

Kami meneruskan perjalanan. Sesekali terdetik rasa kasihanku terhadapnya yang tentunya keletihan kerana terpaksa memandu jauh. Kalaulah aku tahu jalan, mahu sahaja aku mengambil alih tugasnya itu. Namun, memandangkan aku tidak biasa memandu ke bahagian Utara, kubatalkan sahaja hasratku itu. Buatnya tersesat, lagi haru-biru dijadinya.

*****

AKU sama sekali tidak menyedari bila masanya aku terlelap dan hanya terjaga sebaik terasa seseorang menyentuh telapak tanganku.

“Aween, bangun sayang. Kita dah sampai.” Dalam keadaan yang mamai, aku masih dapat mendengar setiap butir bicaranya itu. Sayang? Aku menjadi janggal apabila dia memanggilku dengan panggilan itu. Dan sekali lagi aku terpisat-pisat menggosok mataku yang kabur.

Seketika, aku menyedari yang dia sudahpun keluar dari kereta itu. Aku agak tersentak apabila pintu kereta di bahagian tempat dudukku dibuka. Aku memandangnya terpinga-pinga. Dia tersenyum. Aku membalas senyumannya lalu memboloskan diri, keluar dari kereta itu. Mataku begitu asyik memerhatikan rumah yang serdehana besar di hadapan. Rumah yang dibuat separuh batu dan separuh kayu itu cukup unik dan memukau. Senibinanya begitu mempesonakan walaupun masih terserlah akan rekabentuk rumah asli masyarakat Melayu.

“Inilah rumah Ari. Tak besar mana pun. Kecil aja. Harap-harap, Aween selesalah. Alah, lagipun Aween tentu dah biasa duduk kat rumah kampung, kan?” ujarnya, mematikan lamunanku. Aku tersenyum bersama anggukan.

Pandanganku beralih pula pada lanskap yang menghiasi laman rumah itu. Cukup mempesonakan. Sejuk mata memandang.

“Siapa yang rajin buat lanskap sekeliling rumah ni?” soalku. Ketika itu kami sedang mengeluarkan beg pakaian kami dari boot kereta.

“Siapa lagi, ibulah,” jawab Azhari.

“Wah, rajinnya ibu,” pujiku.

“Tapi, tak semua dia yang buat. Ibu manalah larat buat semua ni. Ada jugak yang dibuat oleh kami adik-beradik,” ujarnya. Aku mengangguk. Mataku terus menjamah setiap ruang laman yang menghijau itu. Seperti berada di dalam sebuah taman tropika. Selain pokok-pokok bunga, terdapat juga tanaman herba seperti serai, sireh, pandan, lidah buaya dan sebagainya. Malah terdapat juga sebuah air terjun buatan yang membuatkan suasana laman itu menjadi lebih hidup dengan suasana alam semulajadi.

“Ibu!” kedengaran Azhari menjerit sambil memandang ke arah pintu rumah tersebut. Aku mengekori pandangan matanya itu. Dan aku menjadi kaku tatkala melihat seorang wanita yang berusia di sekitar pertengahan abad itu. Namun begitu, dia tetap kelihatan anggun dengan baju kurung Kedah yang dipakainya bersama solekan tipis di wajah. Rambutnya pula disanggul tinggi. Wajahnya turut dihiasi dengan segaris senyuman. Hatiku yang tadinya agak gundah, kini menjadi tenang tatkala melihat senyuman yang terukir di bibir wanita yang bergelar ibu itu.

Azhari melangkah menghampiri ibunya. Tangan si ibu disalam dan dicium dengan penuh mesra. Tanpa teragak-agak, aku turut mengatur langkah menuju ke tangga di mana tempat wanita itu berdiri.

“Ibu, inilah Aween. Kawan yang selalu Ari dok ceritakan tu. Aween, ni ibu,” Azhari memperkenalkan kami. Lantas kuhulurkan tanganku untuk bersalam dengan ibu. Ibu menyambutnya dengan mesra sekali.

“Apa khabar, makcik?” sapaku ramah.

“Ibu baik, alhamdulillah. Aween pulak macam mana? Sihat? Penat tak, jalan jauh?” soalnya lembut. Ah, rasa damainya hati ini tatkala mendengar suara lembut itu. Malahan juga, dia turut menggelar dirinya ‘ibu’ kepadaku walaupun kami baru sahaja berkenalan!

“Sihat, alhamdulillah. Taklah penat mana pun, sebab Aween dah biasa jalan jauh macam ni. Tapi, rasa-rasanya Ari lagi penat, sebab dia yang drive dari pagi tadi,” ujarku mesra. Ibu tersenyum lagi seraya mengerling ke arah Azhari.

“Dahlah tu. Mai la naik atas,” pelawa ibu. Kami mengatur langkah menaiki anak tangga konkrit di muka pintu itu.

“Beg Aween ni nak letak kat mana?” soalku kepada Azhari. Dia merenungku sejenak. “Err… letak kat tepi tu dulu. Nanti Ari tunjukkan biliknya. Malam ni, Aween tumpang tidur kat Alia, ya.”

“Duduklah dulu. Penat,” ujarnya seraya menghenyakkan tubuhnya ke sofa kayu yang terdapat di situ. Aku pula, tanpa berfikir panjang terus melabuhkan punggung di sofa berkenaan. Seketika aku membelek-belek sofa kayu itu. Setahu aku, sofa ini sudah terlalu lama. Di pasaran pun sudah tidak ada lagi. Zaman sekarang ini, rasanya sudah jarang orang memakai sofa lama seperti ini. Sofa yang diperbuat daripada kayu dan kemudian disambung-sambungkan dengan mengikat buluh-buluh halus. Kusyennya pula berbentuk segi empat tepat.

Aku terus memandang suasana di dalam rumah itu. Agak ringkas hiasan dalamannya. Di hadapan ini terdapat sebuah rak buluh yang menempatkan sebuah televisyen berserta sebuah DVD player. Juga terdapat beberapa bingkai gambar yang mengabadikan potret keluarga barangkali, dan juga beberapa buah piala. Aku masih memerhatikan sekeliling. Pandanganku terhenti pada sebuah bilik yang terdapat set sofa kulit rekaan moden di dalamnya.

“Yang itu bilik tetamu,” ujar Azhari menyentakkanku. Segera aku mengalihkan pandangan ke arahnya. Segaris senyuman terukir di bibirnya. Ah, memang dari dulu sehingga kini, bibir itu tidak pernah lokek dengan senyuman. Samalah seperti ibunya. Bak kata pepatah, ibu borek, anak rintik.

“Aween, jom Ari tunjukkan bilik,” ajaknya. Aku mengangguk. Kami bangun dari sofa itu lalu mencapai beg pakaian masing-masing. Aku mengekorinya dari belakang. Langkahku terhenti apabila dia berhenti di hadapan sebuah pintu yang ditutupi oleh sehelai tirai. Dedaun pintu dibukanya.

“Inilah, bilik Ari. Masuklah,” pelawanya. Aku mengerutkan dahi. Begitu selamba dia mengajakku masuk ke biliknya. Dia ketawa kecil melihatku terpinga-pinga.

“Janganlah takut. Tak ada apa-apa. Jomlah. Atau tak sudi? Yalah, bilik bujang. Bersepah,” tuturnya merendah diri.

“Aween tak cakap macam tu pun!” ujarku bersahaja.

“Jomlah,” sekali lagi dia mengajakku. Apalagi yang harus kubuat melainkan akur dengan pelawaannya itu. Sebaik aku menjejakkan kakiku di dalamnya, mataku seakan terpukau. Bagaikan tak percaya dengan apa yang kulihat. Sama sekali aku tidak menyangka yang Azhari seorang yang pengemas. Biliknya cukup ringkas dengan sebuah katil bersaiz queen, sebuah almari pakaian, sebuah meja solek dan sebuah rak yang menempatkan buku-buku pelajarannya. Di sisi katilnya terdapat sebuah meja kecil yang menempatkan sebuah mini hi-fi. Di atas katilnya terbaring sebuah gitar tong. Hmm… tak sangka pula aku yang Azhari turut gemar bermain alat muzik itu.

Mataku masih melilau memandang suasana bilik yang kelihatan kemas dan bersih itu. Cukup tenang dengan dinding papan, bertingkap kaca. Cahaya matahari yang masuk menerobos ke dalam bilik ini, cukup membuatkan suasana bilik ini begitu santai dan damai. Sedang aku memerhati dinding papan yang bercat hijau pastel itu, tiba-tiba aku terkedu tatkala terlihat sebuah bingkai gambar yang agak besar saiznya, tersangkut kemas di dinding. Tanpa dipinta, aku mengatur langkah perlahan, menghampiri dinding yang menempatkan bingkai gambar tersebut. Kuteliti potret yang menghiasi bingkai itu. Gambar Azhari sedang duduk di sebelah seorang gadis, sambil tangannya memaut mesra bahu gadis tersebut. Apa yang lebih membuatkan aku tidak percaya, gadis yang terdapat di dalam potret itu adalah diriku sendiri. Ketika itu, aku masih dengan gaya keperempuananku. Rambutku yang ketika itu begitu panjang mengurai, hanya diikat separuh ke belakang dan dipinkan dengan klip rambut di kiri dan kanan. Seketika aku mengusap-usap rerambutku yang kini sudahpun dipotong pendek paras tengkuk. Bak kata Farhana, ala-ala Amy Mastura seperti dalam drama ‘Impian’.

Ah, itu semua hanyalah kenangan. Itu adalah diriku yang lama. Ketika itu, hidupku masih lagi diibaratkan seperti lalang, yang hanya tahu mengikut ke mana sahaja sang angin bertiup. Berbeza dengan aku kini, yang semakin tegas dan sudah mempunyai prinsip dan falsafah hidupku sendiri.

“Gambar tu memang sentiasa berada di situ sejak dulu lagi. Sejak kita masih lagi dalam hubungan. Tak pernah Ari turunkannya walaupun setelah Aween pergi meninggalkan Ari. Dia tetap setia tergantung di situ. Macam mana setianya gambar itu di situ, begitu jugalah setianya kasih dan cinta Ari kepada Aween,” tuturnya lemah. Aku menjadi kaku mendengar kata-kata yang lahir di bibirnya itu. Ikhlaskah dia mengucapkannya? Benarkah cinta dan kasihnya masih setia menjadi milikku? Persoalan-persoalan yang sukar kujawab. Bagiku, kata-kata yang lahir di bibir tidak cukup membuktikan kesetiaan seseorang.

Tanpa kusedari, kedua belah bahuku dipautnya. Aku tersentak lalu menepis lembut tangannya yang melingkari bahuku.

“Jangan, Ari. Tak elok. Karang kalau ibu nampak, apa pulak katanya nanti,” tegasku. Dia agak terkesima melihat tindakanku itu.

“Maaf, Aween. Err… jomlah. Ari tunjukkan bilik,” ucapnya gagap seraya berlalu, melangkah keluar. Aku hanya memerhatikan langkahnya dengan ekoran mataku bersama helaan nafas yang berat.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mya Effa