Home Novel Cinta Selagi Aku Masih Ada
Selagi Aku Masih Ada
Mya Effa
17/7/2013 01:56:21
100,035
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab1

ANGIN petang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Cukup nyaman dan mengasyikkan. Sambil duduk di bangku marmar yang terletak di taman mini Kolej Cempaka, aku dan Farhana berbual mesra.

“Penat?” tegur Farhana, melihat aku yang hanya tersandar lesu. Aku mengangguk lemah. “Mestilah penat. Dahlah semalam, sepanjang pagi kita beratur lama kat luar Dewan Sri Budiman. Majlis Konvo pulak bukan main lama lagi!” rungutku. Farhana tersenyum. “Tau tak apa. Dahlah beratur bukan main lama lagi. Kat dalam dewan pulak, naik sakit sendi aku ni duduk lama-lama. Sejuk pulak tu. Tapi naik ke pentas nak ambil ijazah, punyalah sekejap!” Farhana mengomel panjang.

“Habis tu, kau nak buat apa duduk lama-lama kat atas pentas tu? Nak tenung muka Pro-Canselor tu sampai mata kau juling?” Farhana ketawa mendengar aku berseloroh. “Tak adalah sampai macam tu!”

Majlis Konvokesyen yang berlangsung semalam benar-benar buat tubuh kami lesu hingga ke hari ini. Tengahari semalam, setelah tamatnya Istiadat Konvokesyen sesi pagi, aku menghabiskan masaku untuk bersama dengan keluargaku. Tak cukup dengan bergambar, kami turut melawat gerai-gerai bunga serta booth-booth studio gambar yang terdapat di Dataran Menara SAAS. Pagi tadi pula, sebelum memulangkan jubah graduan, aku serta rakan-rakan yang lain telah mengadakan sesi bergambar outdoor di sekitar UiTM. Naik lenguh kakiku mendaki bukit untuk ke Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin setelah selesai sesi bergambar di Dataran Tunku Fauziah.

Setelah selesai urusan memulangkan jubah dan menuntut skrol, kami terpaksa pulang ke kolej untuk mengemas barang-barang kami kerana petang itu juga kami terpaksa mengosongkan asrama.

“Aku akan rindukan Kolej Cempaka,” ujar Farhana sambil mendongak ke arah tingkap bilik kami yang terletak di Blok Cempaka 4, tingkat paling atas.

“Aku pun,” ucapku pula.

“Yalah, kita tinggal kat blok ni sejak di semester satu lagi. Ini bermakna, dah empat tahun kita jadi penghuni setia Blok Cempaka 4 ni.”

Kami terus merenung bangunan asrama yang kelihatan agak usang itu. Suatu ketika dulu, aku dan rakan-rakan sekuliahku yang lain pernah merungut kerana ditempatkan di asrama yang dikatakan antara asrama yang tertua di universiti. Namun, demi pengajian serta cita-cita kami untuk memiliki segulung ijazah, kami terpaksa buangkan segala tanggapan buruk mengenai kolej tersebut. Kami cuba berusaha untuk menyesuaikan diri dengan suasana asrama usang itu. Ah, mula-mula memanglah macam ni. Itu tak suka, ini tak suka. Nanti bila dah lama duduk sini dan dah dapat menyesuaikan diri, mesti rasa sayang nak tinggalkan asrama ini. Aku cuba memotivasikan diriku sendiri.

Tepat sekali apa yang aku fikirkan ketika itu. Setelah empat tahun kami menghuni blok ini, rasa berat pula hati ini untuk meninggalkannya. Namun apakan daya, perjuangan kami sudah sampai ke penghujungnya. Malah kami juga sudah berjaya memiliki ijazah setelah tamatnya majlis konvo semalam. Aku mengeluh berat. Banyak kenangan yang tercatat di sini sepanjang pengajianku di UiTM ini.

“Apa rancangan kau lepas ni?” soalku kepada Farhana yang masih leka merenung ke arah tingkap bilik kami.

“Entahlah, Aween!” jawabnya sambil menjungkitkan bahu.

“Kau?” soalnya kembali.

“Aku memang sejak lepas exam hari tu nak kerja. Aku dah apply SPA, aku dah hantar beberapa salinan resume kat firma-firma audit dan bank-bank. Tapi sampai sekarang pun tak ada apa-apa feedback dari mereka,” jawabku lemah.

“Belum ada rezekilah tu. InsyaAllah, kalau ada kekosongan, mereka akan panggil,” ucap Farhana.

“Kau pulak macam mana? Takkan tak nak cuba?”

“Entahlah, Aween. Hati aku ni masih sakit pasal hal hari tu.”

“Hal apa?”

“Hal yang kita kena tipu tulah!” ucapnya geram.

“Laa… kau masih fikirkan pasal tu lagi ke? Takkan pasal hal kena tipu dengan ajen tu pun kau terus tak ada semangat nak cari kerja?”

“Bukan tak ada semangat. Cuma aku masih kecewa. Bodohnya! Macam manalah kita boleh kena tipu?”

“Biasalah tu, Anne. Kita ni fresh graduate. Sedikit-sebanyak pengalaman macam tu pasti kita akan rasa. Aku yakin, Anne. Bukan kita aja, tapi ramai lagi graduan-graduan macam kita ni yang jadi mangsa penipuan agensi penipu macam tu.”

Sememangnya, pengalaman kami ditipu oleh ajen pencari kerja dua bulan yang lalu telah membuka mata kami supaya sentiasa peka dan berhati-hati dalam menempuhi cabaran dan liku-liku perjalanan hidup kami.

“Kita bernasib baik, Anne. Mereka hanya tipu duit kita sebanyak RM150. Kau tahu tak, ramai yang kena lebih banyak dari tu?”

“RM150 tu banyak tau! Lebih-lebih lagi untuk kita yang tak bekerja ni.”

“Memanglah RM150 tu banyak. Tapi cuba kau fikir, ramai yang rugi lebih dari tu. Kau kenal Diana?”

“Diana? Diana yang sama kelas dengan kita semasa semester satu dan dua tu?” soal Farhana kembali. Aku mengangguk.

“Hmm… kenapa dengan dia?”

“Tiga bulan lepas, dia bayar kat agensi pekerjaan sebanyak RM280. Tapi sampai sekarang kerja yang dijanjikan tak jugak dapat-dapat.”

“Kesian dia!”

“Kau tengok, ada orang yang nasib lebih tak baik dari kita. Tapi Alhamdulillah, berkat kesabarannya selama ni, tak lama lagi dia akan memulakan kerja di sebuah syarikat kontraktor,” ucapku panjang.

“Dah rezeki dia, Aween.”

“Anne, rezeki akan berpihak kat kita kalau kita banyak berusaha dan berdoa macam yang kita lakukan semasa belajar dulu. Rezeki takkan datang dengan sendiri tanpa usaha,” nasihatku lagi.

“Yalah, Cik Khairul Azween oi! Tu, prince charming kau dah datang tu!” Farhana memuncungkan mulutnya ke arah kawasan pakir kereta. Berderau darahku sebaik melihat seorang jejaka berkulit gelap keluar dari Proton Gen-2 sambil membawa sejambang bunga.

“Hmm… dah sampai pun dia!” ujarku sebal. Dalam hati aku nekad untuk mogok dan tak mahu bercakap dengan lelaki itu. Biar dia rasa betapa sakitnya hati aku ini apabila janjinya dimungkiri.

Aku mengangkat punggungku dari bangku yang kududuki. “Aku pergi dulu,” ucapku lalu menghulurkan tangan ke arah Farhana. Dia menyambut huluran tanganku.

“Jumpa lagi. Kalau ada apa-apa nanti, jangan lupa contact aku!” Aku tersenyum.

Sure, honey!

“Senyum sikit! Janganlah nak masam macam cuka getah!” omel Farhana. Aku mencebir. “Sibuk!”

*****

SAMBIL menarik bagasi, aku mengatur langkah ke arah di mana di mana lelaki itu sedang berdiri menungguku. Bibirnya terukir segaris senyuman sebaik melihat aku kian menghampirinya. Senyuman yang menampakkan sebaris giginya yang tersusun rapi benar-benar membuatkan jiwaku bergetar. Namun ia masih belum mampu untuk memujuk hatiku yang sedang rajuk.

“Hai, sayang!” ucap Shazzy lembut. Aku tersenyum kelat, seperti tidak ikhlas.

“Hai!” balasku dingin. Dia menghulurkan jambangan bunga itu tadi kepadaku. Aku menyambutnya dengan hati yang mekar. Ah, siapa yang tak suka bila kekasih hati menghadiahkan bunga?

Sorry, I tak dapat datang semalam,” ucapnya. Kupandang wajah Shazzy dengan jeligan yang tajam.

“Kenapa tak datang?” soalku agak keras.

I ada hal. Emergency! So, I tak boleh datang sini untuk meraikan hari bersejarah tu bersama you,” terangnya. Aku mengeluh berat.

“Dah tu, kenapa tak beritahu? Kalau tak boleh call sekalipun, kenapa tak mesej? At least beritahulah I. Ni, buat I tertunggu-tunggu,” rungutku. Aku baru bercadang hendak menemukan ayah dengan Shazzy. Nasib baik aku tak janji apa-apa dengan ayah dari awal lagi. Kalau tidak, entah apalah pandangan ayah terhadap Shazzy apabila ‘bakal menantunya’ ini tak tepati janji.

Sorry! I tak terfikir. Lagipun semalam adalah waktu you dengan family, so I tak nak kacau.” Aku mencebir.

“Yalah tu! I baru nak temukan you dengan ayah, tau!” Shazzy hanya tersengih.

“Lain kalikan boleh?”

Bagasiku ditariknya ke belakang kereta lalu dimasukkannya ke dalam boot. Sementara itu aku pula membuka pintu kereta lalu memboloskan diri ke dalamnya.

“Kita nak ke mana ni?” soalku kepadanya sebaik dia bergegas masuk ke dalam kereta. “Anywhere. You nak pergi mana? Shopping? Movie?” Aku ketawa.

To my paradise!” ucapku bersahaja.

Your paradise? Not our paradise?” soalnya nakal.

“Syurga kita belum wujud lagi. Sekarang ni, I nak balik ke syurga I. Di sana, ayahanda tercinta dah menunggu!” Kali ini giliran Shazzy pula ketawa.

“Oh, okey! Hmm… cakaplah nak balik rumah!” Kereta yang dipandu Shazzy meluncur meninggalkan perkarangan Kolej Cempaka. Sempat aku melambaikan tangan ke arah Farhana yang masih menanti kedatangan abangnya.

“Kita pergi makan dulu? I laparlah. Tadi tengahari I tak lunch,” ujarnya sambil matanya tertumpu ke arah jalanraya.

You hantar I balik dulu. Lepas tu you nak pergi mana pun, you pergilah!” Aku masih dengan rajukku.

“Tapi I lapar sangat sekarang ni. Pagi tadi I cuma makan roti bakar dengan black coffee aja…” ucapnya, cuba meraih simpati dariku.

“Salah youlah! Siapa suruh tak makan tengahari tadi?”

“Kenapa marah sangat ni? Takkan pasal I tak datang ke majlis konvo semalam you nak merajuk sampai macam ni sekali?” soalnya.

“Macam mana I tak bengang? You dah janji nak datang!”

“Kan I dah cakap, I ada hal kecemasan? Tak boleh nak elak…”

You boleh inform I, kan? Sekurang-kurangnya tak adalah I tertunggu-tunggu! Ini tidak. I cuba call you pun tak dapat. Mana you pergi semalam?”

I hantar Fariz ke hospital. Semalam tiba-tiba dia pengsan sewaktu exercise. I terpaksa off handsetsemasa di hospital,” terangnya. Aku mencebir. Alasan!

“Habis tu, takkan tak boleh beritahu I lepas balik dari hospital?”

“Sayang, urusan I dengan pihak hospital selesai lewat malam tadi. I tak call you sebab I takut you dah tidur, nanti mengganggu. I tahu, mesti you letih lepas majlis konvo semalam, kan?” Aku terdiam lagi.

*****

MALAM ITU, selepas solat Maghrib, aku hanya bercadang untuk berehat sahaja di dalam bilik. Sebaik mengenakan rob tidur ke tubuh, aku ke rak buku. Sebuah novel yang masih belum dibaca kusambar. Plastik pembalutnya kubuka. Radio yang terletak di meja sisi katil turut kubuka. Lagu-lagu pop yang berkumandang di stesen radio HITZ.FM kedengaran di segenap ruang. Pantas kuubah frequencynya, ke stesen radio HotFM.

Kalau dulu, aku selalu mendengar lagu-lagu Inggeris di HITZ.FM atau MIX.FM. Tetapi semenjak tinggal di asrama, rakan-rakan sebilikku sering mendengar HotFM atau radio ERA. Kini aku sudah dapat menerima dan mulai meminati lagu-lagu Melayu yang berkumandang di stesen radio berkenaan. Rasa terhibur apabila mendengar lagu-lagu Melayu yang sedang top masa kini.

Sedang aku leka dengan duniaku sendiri, tiba-tiba kedengaran telefon bimbitku berbunyi. Dengan malas aku mencapainya namun seketika kemudian kucampakkan semula telefonku itu sebaik melihat nama yang tertera di skrin kecil itu. Kubiarkan ia berbunyi lama sehinggalah ia berhenti dengan sendirinya. Namun seketika kemudian, telefon kecil itu berdering lagi. Nak tak nak terpaksa aku menjawab panggilannya.

“Helo, sayang. Merajuk lagi ke?” soalnya lembut. Aku menghelakan nafas berat. Ah, lelaki. Memang pandai memujuk hati wanita.

“Tak,” jawabku, berbohong.

“Betul ke ni? Tapi kenapa suara tu dingin semacam aja?” Ah, bisa cair aku dibuatnya. “Tak adalah. Nak rajuk apanya. Dah memang you ada hal sampai tak ada masa nak datang semalam. Terima ajalah,” kataku menyindir.

“Hah, tengok tu. Dari gaya cakap dah tahu dah.”

You tak pergi melawat Fariz ke?” soalku. Tanpa sedar aku memerlinya.

“Tadi siang dah melawat. Lagipun sekarang ni bukannya waktu melawat,” jawabnya. Seketika kedengaran dia mengeluh.

“Sayang, I minta maaf. Bukan niat I nak mengecewakan you,” dia terus memujuk.

Aku terdiam. Tiada idea untuk membidas kata-katanya. Tak dinafikan yang dia seorang majikan yang cukup prihatin dan sentiasa mengambil berat tentang pekerja-pekerjanya. Cuma aku sahaja yang kurang faham akan situasinya itu. Memang salahku kerana terlalu menurutkan perasaan. Tetapi aku tak puas hati kerana dia tidak memaklumkan kepadaku dan membiarkan aku menunggu kedatangannya semalam.

“Shaz,” hanya itu yang mampu kusebut. Dan setiap kali namanya meniti di bibir ini, terasa cukup tenang perasaan ini.

“Ya? Ada apa-apa yang you nak cakap?” soalnya cuba berdiplomasi. Aku mengeluh berat.

“Tak ada apalah.”

I call you ni, just nak minta maaf pasal hal semalam. I tahu, silap I sebab tak inform you awal-awal,” katanya pula.

I faham. Kalau tak ada apa lagi, okeylah. Bye. Assalamualaikum,” ucapku untuk mengakhiri perbualan itu.

“Sayang, I minta maaf.” Entah kali keberapa dia memohon maaf dariku.

“Ya, I maafkan you.”

Thanks. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Pantas kumatikan talian bersama sebuah keluhan yang berat.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mya Effa