Detik kesepuluh.
Imriz
meletakkan pensil ke atas meja. Dia menggeliat. Jam di tangannya dilirik. Hanya
satu jam lagi sebelum waktu makan tengahari. Dia tidak sabar mahu menatap wajah
manis Zamia. Dia ingin menatap wajah itu pada setiap saat nafasnya. Memang
benarlah yang dia sudah gila bayang.
Dia
melayari laman sosial dan menaip nama Zamia Izaiqa. Pencariannya berhasil. Foto
yang berlatarbelakangkan USM itu membuatkan Imriz tersenyum sendiri. Dia merenung
keindahan ciptaan Yang Maha Esa itu dengan penuh minat. Senyuman Zamia benar-benar
memikat hati Imriz.
“Hai,
tersengih sorang-sorang nampak? Kau skodeng siapa tu Riz?” Sapa Harun, rakan
sepejabatnya. Lelaki berkumis nipis itu berminat mahu tahu apa yang sedang
dilakukan oleh Imriz.
“Sibuklah
kau ni Run!” Tempelak Imriz.
Harun
mencebik sambil matanya mencuri pandang ke skrin komputer di atas meja rakannya
itu. Siapakah gadis putih melepak yang berselendang merah jambu itu?
“Awek
kau ke? Cunnye..” Puji Harun. Dia menggosok-gosok kumis nipisnya.
“Bukanlah.”
Ujar Imriz acuh tidak acuh. Lelaki kepoh itu bukannya boleh dilayan sangat. Harun
menarik kerusi lalu melabuhkan duduk di sebelah Imriz.
“Kau
jangan nak tipu akulah Riz. Kau sembunyi dari aku ye? Awek cun macam ni, kau
patut tunjuk pada seluruh dunia.” Harun mula merepek yang bukan-bukan. Imriz
menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Ini
bukan awek akulah. Kau takde kerja ke? Banyak betul masa lapang kau?” Sindir
Imriz lalu menutup komputernya. Malas dia mahu melayan Harun. Semakin dilayan semakin
menjadi-jadi pula merepeknya.
“Yelah
yelah! Aku pergilah ni. Tapi kau kena jemput aku bila kau kahwin nanti.” Sempat
lagi lelaki itu merepek. Penat dia mahu melayan kerenah Harun.
Sotong
masak pedas yang sedang menggelegak di atas dapur membuatkan Danish lapar. Hanya
tiga puluh minit lagi sebelum Imriz makan tengahari di situ.
“Sedapnya
bau…Lapar perut saya…” Bisik Danish ke telinga isterinya.
“Sabarlah
dulu. Dah tak lama lagi makan tengahari.” Ain memujuk lembut.
“Mia mana?” Danish melilau mencari kelibat
adiknya yang tiada di situ.
“Dalam
bilik.” Balas Ain.
Danish
mengangguk. Selalunya Zamia akan membantu Ain memasak. Mungkin dia penat
agaknya…
Zamia
merebahkan tubuhnya ke atas katil. Badannya terasa lesu. Peristiwa yang
hampir-hampir meragut nyawanya tadi kembali mengganggu fikirannya.
Dia
tertanya-tanya berapakah usia pohon tersebut. Pasti ia berusia ratusan tahun.
Pokok itu gondol dan boleh merbahayakan sesiapa sahaja yang melintas di
bawahnya. Patutkah pokok itu ditebang sahaja?
Dia
meluruskan tubuhnya di atas katil sambil memandang ke luar jendela yang terkuak.
Langsir menari-nari ditiup angin. Angin bayu yang datangnya dari arah laut mendinginkan
tubuhnya. Kelopak matanya terasa berat. Dia menguap lalu terlena di atas katil.
Hanyut dibawa arus mimpi.
“Mia…Bangun
Mia.” Zamia perlahan-lahan membuka matanya. Danish sedang tersenyum ke arahnya.
Zamia terpisat-pisat.
“Abang Riz dah sampai..” Ujar Danish lembut
lalu beredar keluar.
Imriz
yang sudah bersedia di meja makan sabar menanti kemunculan Zamia. Lauk-pauk yang
terhidang di atas meja membuatkan perutnya berkeroncong.
“Budu
mana?” Soal Danish pada isterinya. Imriz tergelak mendengar pertanyaan
rakannya. Nampaknya Danish sudah ketagih dengan budu.
“Saya
lupa…” Balas Ain dan bergegas menuang budu ke dalam mangkuk kecil. Dia sering
terlupa tentang makanan kegemaran terbaru suaminya itu. Pasti lelaki itu akan membebel
apabila tiada budu di atas meja makan.
“Aii,
suka makan budu nampak?” Sindir Imriz. Danish menarik mangkuk budu mendekatinya
dan Imriz.
“Ni
semua salah kaulah..” Danish mencebik.
“Kenapa
salah aku pulak?” Soal Imriz tidak puas hati. Danish mengerling ke arah Imriz
dengan sinis.
“Kaulah
yang memperkenalkan budu kat aku. Sekarang ni aku tak boleh makan kalau takde
budu. Ni semua kau punya pasallah!” Gurau Danish sambil membuat muka garang.
Imriz
ketawa terbahak-bahak. Dia merenung budu yang bercampur dengan cili padi dan
limau nipis. Siapa yang tidak akan tergoda dengan makanan tradisional rakyat
pantai timur itu?
“Maaf,
lambat..” Zamia memohon maaf di atas kelambatannya.
Suara
Zamia pantas menyentuh sanubari Imriz.
Zamia
perlahan-lahan mengambil posisinya di meja makan. Dia duduk berhadapan dengan
Imriz dan lebih banyak menyembunyikan wajahnya dari renungan lelaki itu.
“Sebelum
pukul dua ni kau dah kena balik office, makanlah..” Danish mempelawa.
Mata
Imriz seringkali mencuri pandang ke wajah Zamia. Gadis itu seolah-olah sengaja menyembunyikan
wajahnya. Dia lebih banyak menundukkan wajahnya. Imriz hampa. Tiada jalankah untuk
dia mencuri hati gadis itu?
“Sedap
tak bini aku masak?” Tanya Danish secara tiba-tiba.
Imriz
yang sedang mengelamun tersentak. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya ke Danish
dan Ain.
“Sedap
betul Ain masak. Patutlah Danny makin gemuk.” Dia mengusik Danish. Ain tergelak.
“Mana
ada gemuk. Ni dikatakan badan fit.” Balas
Danish sambil tersengih macam kerang busuk. Imriz mencebik.
“Umur
muda lagi tapi dah body builder kat situ.” Imriz menghalakan jari telunjuknya
ke perut Danish yang sedikit buncit itu.
Danish
menggosok-gosok perutnya. Imriz memang benar-benar mengacau daun. Badan sasa
begini dikatakan buncit, bebelnya dalam hati.
“Makan
boleh sebarang makan, cakap jangan sebarang cakap.. Aku lesing kang…”
Imriz
ketawa berdekah-dekah. Wajah Danish yang merah padam itu kelihatan lucu sekali.
Padan muka lelaki itu, selalunya dia sahaja yang kena buli.
“Awak
masak sedap-sedap ni nak suruh saya gemuk ye?” Danish menyoal isterinya. Ain tidak
memberi sebarang respon. Dia tenang mengunyah sotong masak pedas.
“Kau
tak boleh salahkan Ain, Danny…Salah kau sendiri sebab makan tak ingat dunia.”
Imriz semakin galak mengusik Danish.
“Budu
ni punya pasallah ni!” Danish tiba-tiba menyalahkan budu yang tidak bersalah. Kemudian
dia mencicah sehiris timun ke dalam budu dan mengunyahnya penuh selera.
“Jus
oren ais ni adik aku yang buat. Sedap kan?” Danish menyoal nakal. Kini tiba gilirannya
pula untuk mengusik Imriz.
Imriz
mengangguk setuju dengan kata-kata lelaki itu. Jus oren buatan tangan Zamia
memang menyegarkan tekaknya.
“Kau
suka kan?” Usik Danish.
Imriz
mengetap bibir lalu menjeling tajam ke arah Danish. Kemudian dia merenung wajah
Zamia, pipi gadis itu kemerah-kemerahan. Adakah gurauan Danish sebentar tadi keterlaluan?
“Mia
jangan kecil hati dengan gurauan bodoh abang Mia tadi. Dia memang kurang bijak
sikit kalau bergurau-senda ni.” Imriz berkata pada Zamia.
Zamia
mengangkat wajahnya, dia mengukir senyuman. Hati gadis itu digeletek kelucuan
dengan kata-kata Imriz. Bahagia Imriz melihat senyuman itu.
“Masa
kat Tokyo dulu, Danny ni suka betul melepak kat pantai time musim panas.” Ujar
Imriz sambil mengerling ke arah Danish. Rakannya itu selamba sahaja. Tenang
sahaja air mukanya.
“Bukan
aku sorang, kau pun melepak kat situ jugak..” Danish membidas.
“Tapi
kau yang ajak aku.” Imriz mengelak dengan baik sekali. Ain dan Zamia terlopong.
Apa yang sedang dibualkan oleh dua orang lelaki itu?
“Alhamdulillah
saya dah kenyang Ain...Sedap awak masak.” Imriz memuji. Ain berasa segan dengan
pujian tersebut.
“Dengan
aku, kau tak nak berterima kasih ke?” Danish tidak habis-habis mengusik
rakannya itu.
Imriz
mencuci tangan yang kotor dan bingkas bangun dari kerusi. Malas dia mahu melayan
usikan Danish. Jika usik-mengusik itu berlarutan, tujuh hari tujuh malam pun
belum tentu habis.
“Bila
kau balik KL?” Tanya Imriz sambil melabuhkan punggung ke atas sofa di ruang
tamu.
“Lusa
ni aku dengan Ain balik.”
Imriz
mengerut kening mendengar jawapan Danish. Bagaimana pula dengan Zamia?
“Adik
aku tak balik. Dia nak duduk sini lama sikit.” Jelas Danish menjawab kata hati
Imriz sebentar tadi.
Kemudian
lelaki itu melemparkan senyuman nakal. “Sukalah tu…”
Imriz
berdehem dua tiga kali. Pasti Danish akan menggunakan peluang itu untuk terus
mengusiknya. Khuatir jika didengari oleh Zamia nanti.
“Kau
tak bimbang ke dia duduk sini sorang-sorang?”
Pertanyaan
Imriz itu membuatkan Danish mengeluh. Dia mengatur duduknya. Wajah Imriz
ditenung sejenak.
“Aku
bimbang jugak dengan keselamatan dia kat sini Riz. Tapi dia degil tak nak balik
sekali dengan kitorang. Kau faham-faham ajelah si Mia tu, degilnya bukan main.”
Bebel Danish. Imriz tersenyum pahit.
“Aku
boleh tolong tengok-tengokkan dia Danny.” Tutur Imriz secara spontan. Kemudian
dia tersipu malu dengan kata-katanya sendiri. Danish mencebik.
“Boleh
ke? Jangan-jangan kau skodeng adik aku nanti tak?” Danish meneruskan agenda mengusiknya.
Imriz apa lagi, panik semacam. Mukanya kemerah-merahan. Danish menahan tawa
melihat reaksi terlampau Imriz itu.
“Yang
kau panik ni kenapa? Betullah tu..Kau memang nak skodeng dia kan?”
Seketika
kemudian tawa Danish berderai. Imriz hanya mampu memekakkan telinganya. Sakit
hati pun ada dengan rakannya itu.
“Kau
ingat aku macam kau ke? Suka skodeng awek-awek Jepun berjemur kat tepi pantai…”
Imriz menyindir pedas.
Teringat
lagi dia bagaimana rakannya itu sering mengajaknya melepak di tepi pantai semasa
musim panas. Kenakalan Danish itu kadang-kadang menggeletek pangkal hatinya. Hendak
dilarang pun tiada gunanya.
“Ala…Cuci
mata katakan..” Bisik Danish sambil memerhatikan kelibat isterinya yang sedang
sibuk mengemas di dapur.
“Hmm..Aku
balik office dulu.” Imriz bingkas bangun lalu berjalan ke dapur untuk menyapa
dua wanita itu. Matanya merenung Zamia yang sedang sibuk mencuci pinggan
mangkuk di sinki.
“Ain,
Mia..Saya balik office dulu…” Sapanya mesra.
Ain
mengangguk dan tersenyum. Zamia memandang ke arahnya sekilas dan mengukir
senyuman tawar.
Sampai
sahaja di pejabat, Imriz merenung fail-fail yang bersusun di atas meja.
Semuanya harus disiapkan. Seraut wajah manis milik Zamia mengintai di balik
tabir ingatannya. Sedikit sebanyak tekanan kerja dirasakan berkurangan. Dia
tersenyum sendiri.
Harun
yang diberi gelaran ‘mat kepoh’ oleh rakan-rakan sepejabatnya terkocoh-kocoh
mendekati Imriz. Banyak cerita yang ingin dikoreknya daripada Imriz.
“Kau
lunch kat mana tadi? Takde pun aku tengok kau kat kedai mamak tu?” Harun
menyibuk. Imriz mencapai fail berwarna biru lalu memulakan kerjanya. Dia tidak
menjawab pertanyaan Harun. Daripada duk melayan lelaki kepoh itu, baik dia menyiapkan
kerjanya yang bertimbun itu.
“Mesti
kau lunch dengan awek kau kan?”
Pertanyaan
Harun tidak dijawab. Dia begitu fokus dengan tugasnya.
“Yang
tadi ke?” Soal Harun tidak berputus asa.
Imriz
terus memekakkan telinganya. Harun yang suka menyibuk hal peribadinya itu dibiarkan
bercakap sendiri. Malas dia mahu ambil peduli.
“Kau
bagitaulah aku Riz, aku pun nak tumpang bahagia untuk kau jugak.”
Imriz
mengetap bibir mendengar celoteh si mamat penyibuk itu. Konsentrasinya terganggu
disebabkan Harun.
“Ye,
aku lunch dengan awek aku tadi. Puas hati?” Bohong Imriz. Selagi dia tidak
berbohong begitu, sampai bila-bila Harun akan mengganggu ketenteraman hidupnya
di pejabat. Bingung dia memikirkan Harun yang suka menyibuk itu.
“Aku
dah agak dah!” Harun bertempik.
“Dah
dah..Aku banyak kerja ni.” Usir Imriz secara berhemah. Lelaki berkumis nipis
itu terus beredar tanpa banyak soal. Imriz menarik nafas lega.