Detik ketiga.
Bunyi
kompang kedengaran meriah menyelubungi kawasan perumahan elit itu. Jiran
tetangga berpusu-pusu menuju ke kediaman milik keluarga Encik Zahari dan Puan
Hatila untuk menghadiri majlis perkahwinan anak sulung mereka.
Dari
jauh kelihatan suami isteri itu sibuk benar melayan para tetamu yang membanjiri
perkarangan rumah mereka. Sesekali derai tawa diselangi tangisan anak kecil
memeriahi majlis tersebut.
Mentari
bersinar terang menerangi kaki langit pada hari itu.
Sebuah
kereta pacuan empat roda diparkir di seberang jalanraya kediaman Encik Zahari.
Kemudian, seorang lelaki sebaya Danish terkocoh-kocoh keluar dari kereta dengan
sekotak hadiah di tangannya.
“Assalamualaikum
pakcik, makcik.” Sapanya mesra sambil bersalaman dengan Encik Zahari.
Tangan
orang tua itu menepuk-nepuk belakang lelaki sebaya anak sulungnya itu dengan
mesra. Terpancar riak gembira di wajah Encik Zahari dan Puan Hatila ketika menyambut
kedatangan lelaki yang bernama Imriz itu.
“Pergilah
ke atas. Danny ada dalam bilik dia.”
Puan Hatila berkata mesra.
Imriz
mengangguk dan beredar ke dalam kediaman tersebut untuk bertemu dengan raja
sehari yang merupakan sahabat baiknya ketika mereka sama-sama menuntut di Tokyo,
Jepun selama lima tahun.
Matanya
nakal mengintai Danish yang berada di dalam bilik. Namun apa yang paling menarik
perhatiannya ialah Zamia Izaiqa.
Gadis
itu sedang duduk menghadap abangnya yang sedang bersiap untuk menjadi raja
sehari. Lama dia meratah kemanisan wajah itu tetapi wajahnya kelihatan cengkung dan hanya senyuman nipis sahaja yang terukir di bibirnya.
“Masuklah,
Danny ada kat dalam.” Imriz hampir-hampir terdorong ke hadapan apabila disapa
oleh Puan Hatila yang entah bila berada di situ.
Dengan
segan, dia melangkah masuk ke dalam bilik.
“Riz!
Bila sampai?” Danish menyambut mesra kehadiran Imriz.
“Baru
aje.” Balas Imriz dan meletakkan kotak hadiah yang sedang dipegangnya ke atas
meja.
Kemudian,
matanya tertancap kembali pada Zamia yang sedang sibuk menyusun dulang-dulang
hantaran di atas katil pengantin. Gadis itu langsung tidak memandang ke
arahnya.
Danish
yang menyedari hal itu menguntum senyuman nakal.
“Riz,
aku kenalkan ni Zamia. My one and only sister.”
Imriz
mengangguk dengan sepasang matanya yang tidak habis-habis merenung ke arah Zamia.
Hatinya berdebar-debar tatkala melihat gadis manis itu.
“Mia,
ni Imriz. Bestfriend abang.” Danish memperkenalkan Imriz pada adiknya.
Zamia
mengangkat wajah dan mengukir senyuman tawar ke arah lelaki berbaju melayu biru
muda itu. Seketika kemudian, dia kembali menyusun dulang-dulang hantaran di
atas katil. Dia tiada semangat untuk berkenalan dengan sesiapapun pada masa
itu.
Bunyi
kompang kedengaran memeriahkan majlis sekali lagi apabila rombongan pengantin
perempuan sampai. Ain kelihatan anggun sekali dalam persalinan tradisional
melayu berwarna emas.
Tangan
Zamia mengipas perlahan pengantin perempuan sambil sesekali melemparkan
senyuman pada para tetamu yang hadir pada hari itu. Perit hatinya hanya Dia
yang tahu. Sepatutnya hari itu juga merupakan hari bersejarahnya bersama arwah
Azriq. Pasti mereka berdua kelihatan indah sekali mengenakan persalinan
tradisional melayu berwarna hijau epal. Sedaya-upaya dia cuba menahan sendu di
hati.
Imriz
yang bertindak sebagai pengapit pengantin lelaki pada hari itu kadangkala
melirik ke arah Zamia yang kelihatan sugul dan tidak bermaya. Dia tahu betapa
hancurnya perasaan gadis itu pada ketika itu.
Malam
mula melabuhkan tabirnya. Bintang-bintang bersinar terang di kaki langit.
Majlis
perkahwinan Danish Faqhim dan Ain Shakina berjalan dengan meriah dan lancar.
Encik Zahari dan Puan Hatila memanjatkan kesyukuran mereka pada Yang Maha Esa.
Danish sibuk sekali menyelia kerja-kerja membersih di perkarangan rumah
manakala Ain pula sibuk membantu mengemas dapur yang berselerak.
“Ain
berehatlah. Ibu boleh buat semua ni.”
Ain
menggelengkan kepala. Dia tidak senang berehat jika ibu mertuanya sibuk
berkemas di dapur.
Puan
Hatila melilau mencari Danish.
“Danny
ada kat luar bu.” Ain tersenyum.
Zamia
yang turut berada di dapur sekadar mendiamkan diri. Tangannya ligat mengemas
pinggan mangkuk yang sudah bercuci ke dalam kabinet dapur.
“Mia…”
Suara
itu lagi. Seluruh tubuhnya menggeletar. Peluh dingin merecik di dahi. Adakah
dia sedang berhalusinasi lagi?
Dia
bangkit dan kemudian rebah tidak sedarkan diri.
Bayu
yang bertiup terasa dingin memamah hingga ke tulang hitam. Dia menggigil
kesejukan. Dia membuka kelopak mata dan suasana gelita membaluti dunianya. Dia
tergagau-gagau mencari arah seperti orang buta.
“Mia.
Ikut saya...Kita ke tempat yang indah.”
Jemarinya
dipegang oleh seseorang. Zamia tersenyum kerana suara itu milik Azriq.
“Banglo
biru?” Ujarnya tatkala melihat bangunan berwarna biru yang tiba-tiba muncul dalam
kegelapan. Kemudian dia beralih ke Azriq pula. Dia kaget apabila melihat tiada
Azriq di situ. Yang ada hanyalah dunia yang hitam pekat.
“Mia..”
Dia menoleh ke kiri dan ke kanan namun Azriq tiada di situ.
“Mia..”
Kini
dirinya berada dalam banglo biru. Sejak bila dia berada di situ?
Bunyi
derapan kaki di atas kepala menariknya untuk melihat apa yang sedang berlaku.
Dia mendongak ke siling. Azriq sedang mengilas kepalanya yang putus di celah
ketiak dengan mulut yang menyeringai, berlendir hitam pekat.
“Argh!...”
Zamia
membuka kelopak mata dengan dada yang berombak kencang.
“Apa
dah jadi?” Zamia bertanya cemas apabila menyedari dirinya kini sedang terbaring
di sofa di ruang tamu. Wajah Encik Zahari, Puan Hatila, Ain dan Danish direnung
seorang demi seorang.
Puan
Hatila membelai kepala Zamia penuh kasih.
“Tadi
Mia pengsan kat dapur.” Akhirnya Danish memberi jawapan kepada soalannya.
Zamia
cuba mengawal nafasnya yang turun naik.
“Badan
Mia lemah sebab dah beberapa hari tak makan.” Ain menyatakan kebimbangannya.
Kemudian dia bangkit dan berlalu ke dapur. Dia menatang dulang berisi nasi
bubur yang telah dimasaknya ketika adik iparnya pengsan tidak sedarkan diri.
Zamia
merenung nasi bubur itu dengan pandangan kosong.
“Dah
berapa lama Mia pengsan?” Dia bertanya.
“Dekat
satu jam.” Balas Danish.
Zamia
melepaskan sebuah keluhan berat. Entah mengapa hatinya sungguh kesal dengan
kejadian tersebut. Dia berasa bersalah kerana telah menyusahkan ahli
keluarganya.
Puan
Hatila mengambil mangkuk nasi bubur dengan harapan anak gadisnya itu mahu makan
walaupun sedikit.
“Makanlah
sikit ye sayang?” Sudu disuakan ke mulut Zamia.
Tidak
mahu menyusahkan hati keluarganya dengan lebih teruk, akhirnya dia menjamah
sedikit bubur itu. Terukir senyuman lega di bibir ahli keluarganya.
Jarum
jam bergerak lalu mati di nombor dua belas tengah malam. Suasana hening di luar
menambahkan rasa tidak tenang di hati Zamia. Entah mengapa igauan buruk yang
dialami ketika tidak sedarkan diri tadi terus berlegar-legar menghantui mindanya.
Pintu jendela yang sedikit terkuak membuatkan langsir terbuai-buai di hembus
bayu.
Dia
berusaha memejamkan mata namun wajah Azriq pasti akan memenuhi dunia gelapnya.
Wajah yang berlesung pipit itu amat menakutkan. Mengapa bayangan arwah selalu muncul
dalam keadaan begitu? Hati Zamia
tertanya-tanya.
“Ada
benda yang awak tak pernah bagitau saya ke?” Bisiknya sendiri.
Dalam
kesamaran malam, Zamia bangkit untuk menutup pintu jendela yang terkuak. Hanya
cahaya purnama sahaja yang menerangi kegelapan bilik tidurnya.
Pelbagai
persoalan yang timbul menyesakkan hatinya. Ada apa dengan Azriq? Apakah yang sebenarnya
ingin disampaikan oleh arwah? Adakah ada rahsia gelap yang arwah tidak pernah berkongsi
dengannya?
Kelopak
matanya dipejamkan dan nafasnya dihela dalam-dalam…Ingin mencari kekuatan diri
untuk menghadapi semua itu.
Mata
Ain masih tidak boleh dipejamkan. Entah mengapa kelopak matanya itu degil
sekali pada malam itu. Dia mengerling ke arah suami yang sudah lena di sebelahnya.
Cemburu pula hatinya melihat lelaki itu yang sudah lama dibuai mimpi.
Dia
membuang pandangannya ke luar jendela. Bulu romanya tiba-tiba meremang dan
seluruh tubuhnya terasa dingin. Perasaan aneh itu kembali menghantui dirinya.
Ain pantas mematikan perasaan tersebut dengan beristighfar panjang. Perasaan
seperti itu tidak boleh dilayan sangat, fikirnya.
Ain
turun perlahan-lahan dari katil dan berjingkit-jingkit menuju ke pintu bilik.
Tangannya memulas tombol pintu dengan hati-hati kerana tidak mahu mengganggu
lena Danish. Pasti banyak benar soalan yang akan diajukan kepadanya jika
suaminya itu terjaga.
Dia
mengatur langkah perlahan-lahan ke tingkat bawah untuk membasahkan tekaknya
yang terasa kering. Lagipun sudah menjadi kebiasaannya mencari air minuman pada
malam-malam buta begitu.
“Alhamdulillah..”
Ucapnya penuh syukur setelah meneguk segelas air kosong dingin.
Langkahnya
diatur kembali ke bilik tidur namun dia terpana apabila melihat bilik tidur
adik iparnya yang terang-benderang. Belum tidur lagikah dia?
Pintu
bilik Zamia dirapati, daun pintu bilik tersebut diketuk perlahan-lahan. Jika
adik iparnya itu masih belum tidur, boleh juga diajak berbual.
“Masuklah
kak.” Kedengaran suara Zamia mempelawanya masuk dari dalam bilik. Dengan
senyuman yang terukir di bibir, dia pantas memulas tombol pintu bilik tersebut.
Namun
apa yang dilihatnya berbeza sama sekali. Bilik tidur itu gelap sahaja. Zamia
pula sedang berbaring di atas katil. Ain mengerut kening dan jantungnya mula
berdegup kencang. Dia merapati sesusuk tubuh yang sedang lena di atas katil.
Lama dia merenung wajah Zamia yang cengkung itu. Sudah tidurkah dia? Soalnya
berkali-kali tanpa mengejutkan lena gadis itu.
“Kak
Ain ke tu?” Soalan yang terpancul dari mulut Zamia mengejutkan kakak iparnya
yang sedang berteka-teki dengan dirinya sendiri.
“Maaf
Mia. Akak ganggu lena Mia ke?” Ain cuba menyembunyikan debaran di hati.
Zamia
terpisat-pisat. Dia baru sahaja terlena selama beberapa minit.
“Takdelah
kak. Akak buat apa kat sini?”
Ain
melabuhkan punggung ke atas katil sambil matanya melingas ke sekeliling bilik tidur
tersebut. Seolah ada yang sedang memerhatikan mereka.
“Kak?”
Zamia memanggil lagi.
Ain
menarik nafas dalam-dalam. Mungkin aku terlalu banyak bersangka yang
bukan-bukan... Berbunga senyuman mengejek di bibirnya.
“Eh?”
Keningnya berkerut seribu apabila menyedari yang Zamia sudah tiada di situ.
Cadar katil itu kemas sahaja, seperti Zamia tidak pernah berbaring di situ.
Mata
Ain kembali rakus memerhatikan seluruh sudut dalam bilik tersebut. Ke mana adik
iparnya menghilang? Jantungnya kembali berdegup laju, menghentam tulang
dadanya.
“Mia…”
Suara parau milik seorang lelaki tiba-tiba berkumandang. Ain cemas. Baju tidur
yang sedang dipakainya habis basah lenjun.
“Mia…”
Suara itu menyeru-nyeru nama adik iparnya. Semakin lama semakin melemaskan Ain.
“Kak…”
Pandangan
Ain terkunci pada sesusuk tubuh yang sedang berdiri di sisi jendela yang
tiba-tiba terkuak sendiri. Semangatnya seolah terbang melayang tatkala melihat Zamia
yang sedang memegang kepala Azriq yang telah terpisah dari tubuhnya.
“Aaah!!!”
Danish
menampar-nampar lembut pipi isterinya yang sedang mengigau di atas katil. Ain tersentak
dari mimpi dengan dahi yang berpeluh-peluh. Seketika kemudian dia merenung
tepat ke wajah suami.
Berbunga
senyuman di bibir lelaki itu.
“Awak
mengigau. Mesti tak cuci kaki masa tidur ni kan?” Usik Danish sambil tersenyum
manja ke arah isterinya.
Ain
menggeleng-geleng. Lidahnya seolah kelu untuk berkata-kata.
“Dah
pukul berapa ni?” Dia bertanya.
“Dah
masuk waktu subuh. Bangunlah, kita solat sama-sama..” Balas Danish seraya
membentangkan sejadah ke atas lantai.
Ain
meraup muka yang melekit dek peluh. Dia bangkit dari katil dan pergi ke bilik
air untuk mengambil wuduk.
“Al-Fatihah…”
Zamia menadah tangannya dan menghadiahkan doa buat arwah Azriq di alam sana.
Dan
seperti biasa, cecair jernih pasti akan tumpah membasahi kain telekungnya.
Betapa dia merindui lelaki itu. Walaupun yang diterimanya hanyalah
igauan-igauan buruk namun cinta dan kasih sayangnya buat Azriq tidak pernah
luntur.
“Aamiin..”