Home Novel Seram/Misteri MEREMANG
Detik kesembilan

Detik kesembilan.

Hanya tinggal beberapa hari sahaja sebelum Danish dan Ain bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Danish yang berkhidmat sebagai jurutera di sebuah syarikat terkemuka di ibu negara akan kembali berkhidmat selepas ini. Begitu juga dengan isterinya yang bertugas sebagai pembantu jurutera di bawah syarikat yang sama. Zamia pula lebih senang bercuti panjang selepas tamat pengajiannya di universiti. Pemergian Azriq membuatkan dia mengambil keputusan untuk menenangkan jiwa yang sedang kacau terlebih dahulu.

Sesekali Imriz akan menjengukkan mukanya ke banglo biru untuk minum petang dan makan malam. Hatinya merindui Zamia. Dia bertekad untuk mencuri hati gadis manis itu.

Zamia menghidangkan pinggan ke atas meja makan. Sudah tibanya waktu makan malam. Dia dan kakak iparnya sibuk di dapur menyediakan juadah untuk makan malam itu.

“Alhamdulillah, dah takde benda pelik berlaku kan kak?” Tanya Zamia sambil tangannya ligat menyenduk nasi ke dalam mangkuk besar. Ain yang sedang menggoreng ayam sekadar tersenyum dan menganggukkan kepalanya.

Semenjak dua menjak ini, mereka berdua tidak diganggu oleh makhluk yang dilaknat oleh Allah itu. Banglo biru yang sebelum ini menyeramkan akhirnya menjadi kediaman yang normal.

Hati Ain yang sentiasa gelisah sebelum ini bertukar tenang. Banglo biru tidak lagi suram seperti sebelum ini. Puncanya mereka sendiripun tidak pasti namun apa yang penting ialah kedamaian sudah mulai terasa di situ.

“Bulu roma akak meremang lagi tak?” Zamia membesarkan matanya ke arah kakak iparnya. Ain mahu tergelak melihat mata galak milik adik iparnya itu. Dia gembira kerana semangat Zamia yang hilang kini kembali sedikit demi sedikit. Mungkin benar kampung itu mampu memberi ketenangan pada Zamia.

“Alhamdulillah tak. Akak rasa lebih tenang dari sebelum ni. Mungkin berkat doa kita berdua?” Balas Ain sambil menguntum senyuman manis. Dia menghidangkan ayam yang sudah digoreng ke atas meja.

“Alhamdulillah. Mia pun sama..”

Kemudian, keduanya beriringan ke meja makan.

“Abang, jom makan.” Zamia mencuit bahu Danish yang sedang asyik menonton berita di televisyen.

Lelaki itu pantas berlalu ke dapur untuk mengisi perut yang berkeroncong. Aroma sayur masak lemak yang dimasak oleh isterinya benar-benar membangkitkan selera makannya. Televisyen pula dibiarkan terpasang di ruang tamu.

Danish menyuapkan nasi ke mulutnya. Sayur masak lemak membangkitkan lagi seleranya malam itu.

“Dah lama tak makan sayur masak lemak...” Ujar Zamia perlahan.

Ain dan Danish berpandangan sesama sendiri.

“Akak tau Mia suka makan sayur lemak, sebab tu akak sengaja masak.” Ain mengaut sayur lemak dan meletakkannya ke dalam pinggan adik iparnya.

“Terima kasih kak. Beruntung abang Danny sebab dapat isteri macam kak Ain ni..” Pandai pula Zamia mengambil hati kakak iparnya. Ain tersipu-sipu.

Danish mengerut kening. Seperti ada sesuatu yang kurang di atas meja. “Budu mana?” Soalnya. Ain terlupa menghidangkan makanan tradisional orang pantai timur itu.

Sejak kali pertama suaminya menjamah budu, lelaki itu seolah-olah ketagih dengan makanan tersebut dan pasti akan menikmatinya setiapkali waktu makan.

“Saya terlupa.” Ain bingkas bangun. Dia bergegas menuang budu ke dalam piring.


Imriz sibuk menaip di komputer riba miliknya. Banyak kerja yang harus disiapkan. Sesekali dia menghirup air kopi panas yang dibancuhnya sebentar tadi.

“Sakit otak aku!” Bentaknya. Kepalanya berdenyut-denyut akibat terlalu lama menghadap skrin komputer.

Dia berhenti menaip buat seketika. Badannya disandarkan ke kerusi kayu. Dia mengurut kepala yang berdenyut. Alangkah indahnya jika ada isteri yang boleh mengurut kepalanya ketika itu..

“Apa agaknya dia tengah buat sekarang ni…” Bibir Imriz berbunga senyuman bahagia apabila mengenangkan Zamia Izaiqa.

Imriz tersentak apabila jendela tiba-tiba terkuak luas. Tiada angin tiada ribut, bagaimana jendela yang berkunci itu boleh terbuka sendiri? Imriz menutup dan mengunci jendela tersebut sekali lagi.

Dia menyambung kerjanya yang tergendala.

“Tok tok tok…” Kali ini pintu utama pula yang diketuk oleh seseorang. Imriz bergegas membuka pintu.

Namun begitu, tiada sesiapapun yang berada di luar. Purnama yang terapung di langit malam itu dipandang sepi. Bintang tidak bersinar pada malam itu. Kabus mula menyelubungi malam. Suasana bertukar suram.

Angin mula menderu perlahan, daun pintu bergerak-gerak di sapa sang angin. Imriz yang hanya memakai singlet putih dan berkain pelikat itu pantas menutup pintu.

“Nak hujan lagi…” Bisiknya.


Banglo biru ceria sekali dengan celoteh Danish yang suka mengusik isteri dan adiknya..

“Mia tengok abang makin tembamlah..” Zamia mengusik abangnya. Danish menunduk dan merenung perutnya yang sedikit buncit.

“Kak Ain ni pandai sangat masak. Mana tak gemuk abang jadinya?” Danish mengerling manja ke arah isteri yang duduk di sebelahnya. Wanita itu selamba sahaja.

“Bukan kerana masakan saya tapi kerana budu.” Jawapan Ain membuatkan suaminya ketawa terbahak-bahak. Ada benarnya kata-kata Ain itu.

“Berselera betul Mia tengok abang makan budu tu. Menambah-nambah nasi..” Usik Zamia lagi. Danish memeluk bahu isteri yang sedang mengupas kulit limau manis.

“Nak buat macamana Mia, dah datuk nenek korang orang sini kan? Mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi…” Ujar Ain sambil mengukir senyuman manis. Limau yang sudah dikupas disusun ke dalam pinggan kaca.

“Saya nak call Riz.. Nak ajak dia makan tengahari dengan kita esok.” Danish beredar untuk menghubungi rakan karibnya.

Zamia mengunyah limau dengan perlahan-lahan. Dia bingung memikirkan Imriz. Lelaki itu selalu merenungnya setiapkali pandangan mereka bertaut. Dia melepaskan keluhan berat.

“Kenapa Mia?” Tanya Ain cemas. Zamia tersenyum pahit.

“Takde apalah kak…” Bohongnya.

Ain meletakkan limau yang belum berkupas ke atas meja. Lama dia merenung muka adik iparnya itu. Kening gadis itu bergerak-gerak sahaja, pasti dia sedang memikirkan sesuatu. Arwah Azriq lagi?

“Pasal mimpi tu lagi ke?” Bisik Ain.

“Eh, bukanlah kak. Bukan pasal tu.” Zamia menggeleng-gelengkan kepalanya.

Ain tidak puas hati. Dia ingin tahu apa yang sedang mengganggu perasaan adik iparnya ketika itu.

“Mia boleh percayakan akak. Akak sudi jadi pendengar kalau Mia ada sesuatu nak diluahkan.” Ujar Ain tenang lalu kembali mengupas kulit limau dengan jemarinya. Zamia memandang Ain sejenak. Haruskah dia meluahkan apa yang sedang terbuku di hatinya kala itu? Tetapi dia segan…

“Pasal abang Imriz.” Akhirnya Zamia meluahkan apa yang cuba disembunyikan. Ain pantas mengangkat wajahnya dan memandang ke arah Zamia.

“Kenapa dengan dia?” Ain berminat ingin tahu.

“Mia seganlah nak bagitau akak..” Zamia tersengih sumbing.

“Sebab dia suka pada Mia?” Teka Ain secara serkap jarang. Dia juga perasan dengan renungan penuh minat sahabat baik suaminya itu. Siapa yang tidak terpaut pada Zamia, orangnya manis sekali.

“Tak kot.” Perlahan sahaja suara Zamia membalas tekaan kakak iparnya.

“Apa Mia rasa?” Soal Ain sambil mengangkat bulu keningnya. Dia ingin mendengar pendapat gadis itu tentang Imriz si jejaka bermata redup.

Wajah manis itu berlegar-legar dalam fikiran Zamia.

“Mia belum sedia lagi kak..” Sayu sekali suara Zamia menuturkan kata-kata tersebut. Air mata yang hampir kering kini bergenang semula. Berkaca pandangannya.

Ain terkedu.

“Akak faham. Akak pasti Imriz pun tak akan paksa Mia...” Dia cuba menenangkan Zamia yang sedang pilu.

Zamia cuba menahan sebak di dada. Tidak mahu air matanya gugur lagi. Dia bertekad untuk menjadi seorang wanita yang tabah. Dia tidak mahu menjadi wanita yang lemah.

“Hanya Allah yang tahu apa akan jadi pada Mia lepas ni kak..” Zamia berkata tenang. Jasad dan rohnya milik Yang Maha Esa. Dia tiada hak untuk menentukan perjalanan takdir hidupnya.


“Kau ni memang sengaja buat aku geramlah Danny.” Imriz mengomel di hujung talian. Danish ketawa berdekah-dekah. Suka benar dia mengusik sahabatnya itu. Sehari tidak menyakat orang memang tidak sempurna hidupnya.

“Alah, aku jemput kau datang esok sebab nak bagi kau laluanlah Riz. Kau kan syok gila dekat adik aku tu…” Danish menguis-nguis krim muka milik isterinya di atas meja solek dengan hujung jari telunjuknya.

“Tapi kalau dah selalu sangat susah jugak Danny. Nanti Mia fikir aku ni menggatal tak tentu pasal pulak..”

Sekali lagi tawa Danish berderai. Ain dan Zamia yang berada di ruang tamu hanya menahan telinga.

“Itu bukan menggatal namanya Riz, itu strategi mengorat namanya. Kau patut berterima kasih kat aku sebab baik hati nak tolong kau.”

Imriz tersengih mendengar kata-kata abang kepada gadis yang diminatinya itu.

“Yelah yelah, terima kasih.. Kau ni ikhlas ke nak tolong aku? Macam tak boleh dipercayai aje…” Usik Imriz dengan suara selamba.

“Kau ingat senang ke nak mengorat adik aku tu? Mia tu degil..” Balas Danish bijak.

Imriz terkesima. Dia merenung skrin komputernya sejenak. Kertas kerja yang sedang ditaip langsung tidak menarik perhatiannya.

“Betul ke?”

“Betul.. Sebab tulah aku tawarkan pertolongan ni, nak bagi laluan kat kau. Esok jangan lupa datang makan tengahari kat rumah aku. Time lunch tu kau datanglah, lagipun office kau tak jauh dari kampung ni kan?” Tanya Danish bersemangat. Dia gembira jika Imriz mahu mendekati adiknya. Sekurang-kurangnya ada lelaki baik dan beriman yang dapat membantunya menjaga Zamia kelak.

“Tapi aku serba salahlah Danny..” Berkerut-kerut dahi lelaki berusia dua puluh lima tahun itu.

Danish memahami perasaan Imriz. Pasti sahabatnya itu berasa segan untuk selalu datang bertandang ke banglo biru. Khuatir jika Zamia akan menganggapnya sebagai lelaki tidak malu.

“Kau tak payah fikir banyak Riz. Esok kau datang aje.” Danish meyakinkan sahabatnya. Imriz menggaru kepala yang tidak gatal.

“Okay..” Balasnya ringkas. Senyuman pahit pantas terukir di bibirnya.

Danish tersenyum puas. Dia mesti menolong Imriz untuk mendekati adiknya. Dia tidak mahu Zamia selamanya dihantui memori bersama arwah Azriq. Adiknya berhak merasai bahagia sekali lagi. Gadis itu masih muda, perjalanan hidupnya masih panjang.

Imriz mematikan talian. Dia mengeluh.

“Bual apa?” Sapa Danish tiba-tiba. Dia melabuhkan duduknya di tempat yang sama seperti tadi.

“Takde apa. Awak dah call Riz?” Tanya Ain. Lelaki itu mengangguk.

“Dia akan datang ke sini untuk lunch esok. Awak dengan Mia masak sedap-sedap ye..” Pinta Danish, matanya terpaku pada skrin televisyen.

Wajah Zamia berubah serta-merta. Entah mengapa dia berasa tidak selesa apabila nama Imriz disebut-sebut. Dia mencuri pandang ke wajah abangnya, ternyata ada riak senang pada wajah itu. Zamia mengeluh.

“Mia masuk bilik dulu.” Dia bingkas bangun dari sofa dan beredar ke bilik tidurnya.

Zamia berdiri di hadapan jendela yang terbuka. Angin bayu berpuput lembut menyapa kulit mukanya. Dia membuang pandangannya jauh-jauh ke tengah lautan yang bergelora. Gelora itu seperti gelora di hatinya ketika itu..

Air matanya gugur lagi. Dia teresak-esak sendirian sambil membelai wajah Azriq yang terletak di balik bingkai kaca.


Café Cahaya Gemilang, USM - 2011.

“Tak lama lagi kita akan bertunang.. Saya tak sabar nak jadi suami awak.” Azriq berkata dengan senyuman meleret.

“Bertunang pun belum lagi, dah nak jadi suami saya… Gatallah tu.” Usik Zamia sambil menyuap aiskrim ke dalam mulut.

Azriq mencebik. Wajah Zamia direnung penuh perasaan.


Bingkai gambar diletak kembali ke atas meja dan dia kembali membuang pandangannya ke lautan yang luas terbentang.


Hari baru membuka tirainya. Pagi itu mentari bersinar terang di kaki langit. Danish mengambil kesempatan itu untuk mencuci keretanya yang kotor. Manakala Ain dan Zamia pula mengambil kesempatan itu untuk menjemur pakaian yang tidak sempat dijemur semalam.

“Mia, tolong ambikkan abang kain pengelap tu.” Danish menunjuk ke arah sehelai kain lusuh yang tergantung di sudut anjung banglo. Zamia pantas mencapai kain lusuh tersebut dan menyerahkannya pada Danish.

“Saya nak beli barang sikit untuk makan tengahari ni.” Ain mendekati suaminya.

“Lepas ni kita pergi ye sayang?” Balas Danish nakal. Dia mencuit hidung mancung isterinya.

“Mia nak ikut?” Ain mempelawa. Zamia menggelengkan kepalanya.

Semasa ketiadaan abang dan kakak iparnya, Zamia sibuk mengemas ruang tamu. Permaidani yang berdebu dibersihkan menggunakan pembersih vakum. Dia terbatuk-batuk tersedut debu yang berterbangan.

Dia beralih ke dapur pula. Dia membersihkan dapur gas yang berminyak. Pokok gergasi tiba-tiba menarik perhatiannya. Dia merenung batang pokok tersebut dengan penuh minat.

“Besarnya pokok ni.” Gumamnya.

Zamia menjengulkan kepalanya keluar jendela dapur untuk melihat pokok itu dengan lebih dekat. Ketika dia asyik memerhatikan pokok itu, tiba-tiba sebatang rantingnya gugur dan terpacak ke bumi. Hampir-hampir mengenai kepala gadis itu.

Zamia terkedu. Dadanya berdebar-debar. Jika dia tidak sempat mengelak dari panahan ranting tajam itu, nyawanya pasti akan berakhir pada masa itu juga.

“Ya Allah…” Zamia meraup muka yang pucat. Bergetar seluruh tubuhnya.

Ain yang baru melangkah masuk ke dapur meluru mendapatkan adik iparnya yang terduduk di atas lantai.

“Kenapa Mia?” Soalnya panik. Jemari Zamia dingin seperti ais. Zamia menelan liur. Kemudian dia memandang Ain.

“Mia tengah tengok pokok besar tu, then ranting dia tiba-tiba jatuh. Sikit lagi terkena kepala Mia.” Jelas Zamia gugup.

Ain bergegas ke luar dapur. Dia beristighfar panjang apabila melihat ranting kayu yang terpacak di atas tanah itu.

“Kenapa ni?” Tanya Danish. Dia tercongok di muka dapur dengan kening yang berkerut. Dilihatnya Zamia sedang duduk di atas lantai manakala Ain pula sedang terhendap-hendap di jendela dapur.

“Tadi..” Belum sempat Ain menceritakan hal yang sebenar, Zamia pantas memotong kata-kata wanita itu.

“Takde apa-apalah. Cuma rehat kejap, letih sangat.” Bohongnya.

Ain sekadar mendiamkan diri. Dia pasti Zamia tidak mahu abangnya bimbang.

“Hmm..Janganlah kerja kuat sangat. Lepas masak, rehat-rehatlah.” Nasihat Danish lalu beredar dari situ.

“Maafkan Mia sebab potong percakapan kak Ain tadi. Bukan apa, Mia tak nak abang risau..” Jelas Zamia bersungguh-sungguh. Khuatir jika dia telah mengguris perasaan kakak iparnya.

Penjelasan tersebut disambut dengan senyuman di bibir Ain. “Akak tau.”

Dia memegang bahu Zamia. “Jom masak..”

Previous: Detik kelapan

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman