Home Novel Seram/Misteri MEREMANG
Detik ketiga belas

Detik ketiga belas.

Kediaman encik Zahari dan Puan Hatila, 2013.

Majlis pertunangan Zamia dan Azriq sedang berlangsung dengan meriah sekali. Sanak-saudara yang dekat dan jauh semuanya datang berkunjung untuk melihat Zamia yang manis bak seorang puteri pada hari itu.

Zamia yang mengenakan busana muslimah berwarna emas tersenyum manis ke arah sanak-saudara dan rakan-taulan yang berebut-rebut merakamkan gambarnya. Azriq yang berdiri tidak jauh dari gadis itu tersenyum melihat kemanisan wajah tunangnya.

“Okay, Azriq dengan Zamia pulak bergambar sama-sama.” Jurugambar profesional yang diupah untuk merakamkan detik-detik bersejarah pada hari itu memberi arahannya. Azriq bersila di sebelah Zamia dan keduanya mengukir senyuman manis sambil memandang ke arah jurugambar tersebut.

Pihak lelaki berbalas dulang hantaran dengan pihak perempuan. Kecoh sekali mulut para tetamu ketika buah epal hijau tergolek jatuh dari dulang hantaran.

“Tak sabar nak duduk rumah nilah tu…”Usik remaja lelaki berusia lapan belas tahun diiringi gelak tawa para tetamu lain.

“Dia tak mahu berpisah dari Azriq agaknya.” Encik Zahari berseloroh. Sekali lagi tawa para tetamu berderai.

“Jemputlah makan di luar.” Pelawa Puan Hatila setelah majlis pertunangan selesai.

Para tetamu berpusu-pusu keluar dari kediaman mewah tersebut untuk mengisi perut yang berkeroncong. Pelbagai juadah enak sudah tersedia di luar.

“Cantiknya awak hari ni.” Puji Azriq. Matanya tidak lekang merenung wajah Zamia.

Zamia tersipu, kulit wajahnya kemerah-merahan. Azriq memang pandai mengambil hatinya.

“Awak pun apa kurangnya, handsome…” Zamia membalas pujian tersebut dan mata keduanya bertaut mesra.

“Jangan pandang lama-lama..Nanti cair mekap kat muka Mia tu.” Suara Danish pantas mematikan renungan manja di antara merpati dua sejoli itu. Si pengusik sudah datang. Ain Shakina, tunangan abangnya turut berada di situ.

“Abang Danny, tak perasan pulak.” Azriq bersalaman dengan bakal abang iparnya. Dia tersipu-sipu.

“Mana nak perasan, dah ada puteri gunung ledang kat depan mata..” Danish mengusik lagi. Zamia mencebik. Abang longnya ini, kalau bab usik-mengusik memang nombor satu.

“Abang pun apa kurangnya, puteri Hang Li Po tak lama lagi akan jadi isteri abang.” Azriq membalas usikan itu seraya mengerling ke arah Ain.

Ain merapati Zamia yang manis berselendang berwarna emas. Dia memegang tangan bakal adik iparnya sambil merenung Zamia dengan kagum.

“Cantik betul adik akak ni. Jealous akak tau.” Wanita itu bergurau. Zamia tersipu malu.

“Bila kak Ain balik?” Tanya Zamia. Setahunya bakal kakak iparnya itu sedang berada di Dubai iaitu kampung halaman sebelah ibunya.

“Semalam.” Ain membalas ringkas.

“Menyusahkan kak Ain datang je..” Ujar Zamia kesal. Pasti bakal kakak iparnya itu masih letih setelah menaiki kapal terbang selama berjam-jam.


“Mia…” Zamia tersentak. Dia melirik jam di dinding, sudah menginjak ke pukul dua belas tengahari. Rupa-rupanya dia terlena di atas sofa.

Dia bangun dan bersandar ke sofa. Mata yang masih mengantuk digosok-gosok perlahan. Tidak lama lagi akan masuknya waktu zuhur. Dia berlalu ke bilik mandi untuk mencuci muka yang sembab.

Sementara itu, hujan masih lebat membasahi bumi di luar.

Ketika melintasi dapur, mata Zamia terpaku pada langsir yang terbuai-buai ditiup angin. Dia terlupa untuk menutup jendela sebelum terlena tadi namun pokok gergasi di luar jendela itu lebih menarik perhatiannya. Hatinya tertarik untuk melihat pokok itu dengan lebih dekat.

Dia mencapai sekaki payung yang tersandar di tepi pintu utama banglo dan mula bergerak perlahan-lahan ke belakang banglo tersebut. Semak-samun yang tingginya hingga ke paras lutut membataskan pergerakan gadis itu.

“Besarnya pokok ni.” Gumamnya.

Dia pantas mendongak apabila mendengar bunyi aneh dari atas pokok itu. Ranting-ranting kering pokok itu bergerak-gerak ditiup angin. Zamia pantas beredar dari situ kerana khuatir ranting tajam akan jatuh menghunus ke bumi seperti sebelum ini.

Zamia mengunci pintu utama dan melabuhkan punggungnya ke sofa. Pakaiannya lenjun dibasahi hujan. Dia memikirkan tentang pokok gergasi yang dirasakan aneh dan penuh misteri itu. Seolah-olah ada sesuatu yang tersembunyi di situ.

Menyedari waktu zuhur akan tiba tidak lama lagi, gadis itu bingkas bangun dari sofa dan beredar ke bilik tidurnya. Baju yang lenjun segera diganti dengan baju yang kering.

Sejadah dibentangkan ke atas lantai. Dia yang sudah siap berkain telekung duduk bersimpuh di atas sejadah sementara menanti masuknya waktu zuhur. Sementara menanti, otaknya memikirkan bermacam-macam hal.

“Allahuakbar…Allahuakbar…” Kedengaran sayup-sayup bunyi azan berkumandang dari masjid yang berdekatan sekaligus mematikan lamunan Zamia.


Danish meraup muka selepas mengucapkan salam. Dia duduk bersila di dalam masjid dengan wajah yang keruh. Dia masih memikirkan Zamia. Bagaimanakah keadaan adiknya di sana?

Ain yang baru selesai solat menanti kemunculan suaminya di perkarangan masjid. Cuaca hari itu baik-baik sahaja, cerah dan bersinar.

“Saya nak call Mia kejap.” Ujar Danish sejurus keluar dari masjid.

Telefon bimbit Zamia berbunyi-bunyi namun gadis itu tidak menjawab panggilan. Hati Danish semakin gelisah. Dia menghubungi Zamia buat kali kedua namun ia tetap tidak berjawab.

“Dia tengah solat kot..” Ain cuba menenangkan hati suami yang gelisah.

Lelaki itu menghubungi adiknya buat kali yang ketiga dan akhirnya ia dijawab oleh gadis itu.

“Sorry Mia tengah solat tadi. Abang dekat mana ni?” Soal Zamia ceria di hujung talian. Akhirnya Danish mampu menarik nafas lega.

“Abang dengan kak Ain ada dekat masjid ni. Kalau abang dah sampai, abang inform Mia. Mia okay ke kat sana?” Pertanyaan Danish mengundang rasa lucu di hati Zamia. Abangnya itu terlalu bimbang dengan keselamatan dirinya padahal dia sudah besar panjang dan sudah cukup pandai menjaga diri sendiri.

“Alhamdulillah, Mia okay..” Balasnya.

Seketika kemudian, bunyi ketukan pada pintu utama menarik perhatian Zamia. Seseorang sedang memanggil-manggil namanya di luar.

“Abang janganlah bimbang pasal Mia. Kalau dah sampai nanti call Mia ye? Assalamualaikum..” Ujar Zamia lalu mematikan talian telefon. Danish terpinga-pinga. Adiknya seperti tergesa-gesa mahu menamatkan perbualan mereka.

“Kenapa?” Soal Ain apabila melihat suaminya yang resah semacam.

Danish merenung skrin telefon bimbitnya dengan kening yang berkerut-kerut. Pertanyaan Ain tidak dijawab.

“Waalaikumsalam…” Bisik Danish.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman