Home Novel Seram/Misteri MEREMANG
Detik keenam

Detik keenam.

Selepas subuh, Zamia dan Ain sibuk menyediakan sarapan pagi di dapur. Menu pagi itu ringkas sahaja iaitu nasi goreng belacan dan seteko air milo panas. Sementara menunggu Danish, Zamia dan Ain sempat mengemas apa yang patut. Habis periuk belanga yang berkarat disental sehingga bersih.

Danish yang baru masuk ke dapur tersenyum melihat kerajinan dua insan yang amat disayanginya itu.

“Rajin betul. Habis periuk belanga zaman Hang Tuah awak-awak sental ye?” Danish mengusik nakal. Kagum betul dia apabila melihat segala karat yang menempel di badan periuk belanga itu hilang. Berkilauan macam baru dibeli dari kedai.

“Jom makan. Perut abang dah berkeroncong ni.” Ajaknya.

Ain pantas menyenduk nasi goreng belacan ke dalam pinggan suaminya manakala Zamia pula bertugas sebagai ‘pengurus minuman’ pada pagi itu.

“Sapa yang goreng ni?” Soal Danish sambil tangannya ligat menyuap nasi goreng ke dalam mulut. Zamia tersenyum lalu mengerling ke arah kakak iparnya.

“Hmm, pandai isteri abang masak.” Puji lelaki itu.

Ain berasa segan apabila dipuji begitu di hadapan adik iparnya. Tawa suaminya berderai. “Dahlah menyental tu. Mari makan.”


Langit pada hari itu mendung sahaja. Pasti hujan akan mencurah turun seperti malam semalam. Zamia bersimpuh di atas lantai sambil melipat pakaian yang berselerak dalam beg pakaiannya. Dia tidak sempat mengemas pakaian dan barangan peribadinya kerana terlalu letih. Bingkai yang berisi gambar pertunangannya dengan Azriq di letak atas meja solek.

Jemarinya mengelus anak rambut yang terjuntai di dahi. Tingkap yang terbuka membenarkan bayu menerjah masuk ke dalam bilik. Tenang dan nyaman sekali. Sesekali bunyi ombak memecah pantai menarik perhatiannya.

Malam tadi dia tidur lena. Tiada igauan buruk mengganggu alam mimpinya. Sedikit sebanyak jiwa yang resah menjadi tenang. Dia berdoa supaya bayangan-bayangan itu tidak akan datang menghantuinya lagi.

Pakaian yang telah dilipat disusun ke dalam almari.

“Mia, ibu call..”

Zamia menoleh. Abangnya sedang berdiri di pintu bilik dengan telefon bimbit di tangannya. Dia bergegas menjawab panggilan itu.

“Assalamualaikum bu.”

Danish segera beredar dari situ kerana mahu memberi privasi pada Zamia dan ibu mereka. Pasti banyak sekali yang ingin ibu mereka tanyakan pada adik perempuannya itu.

“Waalaikumsalam…Mia dah makan?” Puan Hatila bertanya. Bimbang jika Zamia masih tidak mahu makan. Dibuat anaknya itu pengsan sekali lagi...Hatinya dimamah kebimbangan.

“Dah bu.” Zamia membalas tenang.

Puan Hatila menghenyakkan punggungnya ke sofa dengan wajah lega. Encik Zahari yang sedang menonton televisyen tidak diambil peduli.

“Baguslah kalau macam tu. Senang hati ibu mendengarnya. Ha, macamana dengan banglo biru? Seronok duduk kat sana?”

Tangan Puan Hatila merayap ke pasu bunga yang terletak di sebelah sofa pula. Dia membelek kelopak bunga plastik itu dengan penuh minat.

“Alhamdulillah bu, seronok..” Balas Zamia. Kemudian dia membuang pandangannya ke luar jendela. Saujana mata memandang.

“Banglo tu peninggalan arwah nenek. Ibu tak sangka pulak banglo tu masih elok.”

“Elok lagi bu. Ada orang tolong jagakan. Cuma semak-samun ni je yang perlu ditebas.” Jelas Zamia.

Pahit senyumannya melihat semak-samun yang merimbun di kiri kanan banglo tersebut. Sudah lima tahun tok wan meninggal dunia. Tiba-tiba kerinduannya pada orang tua itu datang membuak-buak.

“Suruh abang kamu upah orang tebaskan. Jangan dibiarkan panjang, bahaya.” Nasihat Puan Hatila.

Sesekali mata Encik Zahari melirik ke arah isterinya yang sedang berbual di telefon. Kemudian dia menonton televisyen semula.

“Baik bu.”


Ain yang sedang menyapu halaman banglo tersenyum pada Danish yang sedang duduk di anjung.

“Jauh ke rumah Imriz?” Ain bertanya ingin tahu.

Danish bangkit dari duduknya lalu berjalan mendekati isterinya.

“Takdelah jauh mana. Dalam 10 minit je..” Balas Danish dengan mata yang meliar ke belakang banglo.

“Saya nak pergi supermarket. Banyak barang yang takde ni.” Ain berkata dan menyandarkan batang penyapu ke tiang anjung banglo.

Danish merenung ke wajah Ain. Geram dia melihat pipi mulus milik isterinya itu.

“Petang ni kita pergi. Then kita singgah rumah Riz kejap.”

Ain mengangguk. Kemudian lengan suaminya dipeluk manja.

“Ni kan honeymoon kita. Bila nak bawak saya dengan Mia jalan-jalan? Boringlah duduk kat rumah aje.” Manja sahaja suara Ain di telinga Danish.

Danish mengucup pipi Ain penuh kasih.

“In shaa Allah nanti...” Mulut Danish merayap mahu mengucup bibir Ain pula namun ditegah oleh isterinya.

“Mia ada kat dalam.” Bisik Ain sambil tersipu malu.


Zamia mematikan talian selepas menamatkan perbualan dengan ibunya. Pandangannya terpaku pada lautan yang berada di luar. Bunyi deruan ombak membuatkan hatinya bagaikan dibuai-buai. Awan kelabu yang berarak di kaki langit hanya dipandang sepi.

“Subhanallah...” Damai terasa di hati ketika menikmati keindahan ciptaan Maha Pencipta. Kesyukurannya pada Yang Maha Esa melimpah ruah.

Danish meninjau keadaan dinding di luar bilik tidur adiknya. Dia mahu melihat sendiri kesan cakaran yang didengarnya semalam. Zamia yang asyik merenung keindahan ciptaan Allah itu mengukir senyuman tawar ketika melihat Danish di situ.

“Hmm…” Hanya itu yang terungkap dari mulut Danish.

Dinding itu bersih sahaja. Langsung tidak terusik. Mungkin bunyi cakaran yang didengarnya tidak meninggalkan kesan pada dinding tersebut. Mungkin juga tiada sesiapapun yang mencakar dinding itu.

“Abang tolong carikan orang tebas semak-samun ni..” Zamia berkata secara tiba-tiba.

Danish pantas mengangkat wajah dan pandangannya meliar ke kawasan sekitar. Ternyata kawasan itu semak benar. Merbahaya jika dibiarkan panjang.

“Nanti abang suruh Imriz carikan orang tebas semak-samun ni.” Balasnya lalu bersandar ke dinding.

“Petang ni kita ke supermarket. Kak Ain nak beli barang sikit.”

Zamia tidak memberi apa-apa respon terhadap apa yang dikatakan oleh abangnya itu.

“Lepas tu kita pergi rumah Imriz.” Ujar Danish lagi.

Zamia terus membisu.

“Mia dengar tak ni?” Danish menoleh dan merenung wajah bujur sirih itu. Gadis itu langsung tidak menumpukan perhatian terhadap apa yang dikatakannya sebentar tadi.

Zamia mengangguk.

“Mia rindulah pada tok wan.” Ujar Zamia secara tiba-tiba. Danish mengerut kening. Mengapa tok wan tiba-tiba disebut oleh Zamia?

“Abang pun.” Sahut Danish sambil menguntum senyuman pahit. Wajah tok wan memenuhi ruangan mindanya. Arwah nenek mereka itu seorang yang baik hati dan menyenangkan.

“Banglo ni tok aki bina untuk tok wan. Dah empat puluh tahun usia banglo ni.” Danish menerangkan asal-usul banglo yang sedang mereka duduki itu.

“Tok wan meninggal sebab sakit apa?”

Soalan Zamia menerbitkan rasa tidak senang di hati abangnya. Setiap tahun pasti Zamia akan bertanyakan soalan yang sama. Puan Hatila dan Encik Zahari melarangnya memberitahu perkara yang sebenar pada Zamia. Khuatir jika adiknya akan turut terkena tempiasnya nanti.

“Dah nak pukul empat ni. Bersiaplah...” Danish bijak menukar topik perbualan.

Zamia merenung Danish tidak berkelip. “Nak pegi mana?”

Danish menggeleng kepala dan mengeluh.. “La..Kan kita nak pergi supermarket, kak Ain nak beli barang sikit. Lepas tu kita singgah kat rumah abang Imriz sekejap.”

Zamia mengangguk-angguk. Bila masa pula Danish mengajaknya ke supermarket? Tanpa banyak bicara, dia menutup jendela dan menguncinya kemas.


Imriz berbaring di kerusi sambil merenung ke bumbung rumahnya. Fikirannya menerawang jauh mengenangkan Zamia Izaiqa. Perasaannya untuk mengenali gadis manis itu semakin menekan ulu hati. Bagaimana caranya untuk menambat hati Zamia?

Dari berbaring, dia duduk pula. Dia memikirkan cara untuk mendekati Zamia. Dia yang baru kehilangan insan tersayang pasti sukar untuk menerima lelaki lain dalam hidupnya.

“Zamia..” Dia mengomel.

Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyelak rambut yang menutupi sebahagian dahinya. Haruskah dia meminta pertolongan Danish? Ah, pasti rakannya itu akan mengejeknya. Imriz serba-salah. Danish orang yang paling sesuai untuk membantunya mengenali Zamia dengan lebih mendalam lagi.


Ain menyarungkan selendang berwarna kuning muda. Bedak kompak di sapu tipis ke wajah dan bibirnya pula di oles dengan gincu berwarna merah jambu muda. Ringkas sahaja namun tetap menyerlahkan kelembutan pada raut wajahnya.

Danish memanaskan enjin kereta. Dia menyandarkan belakangnya ke kerusi pemandu sementara menanti isteri dan adiknya.

Mata Zamia terpaku pada gambar pertunangannya dengan Azriq. Jemarinya menyentuh wajah yang berlesung pipit itu dengan senyuman pahit di bibir. Sendu mula menggigit-gigit tangkai hatinya.

“Mia, jom.” Ain sedang menantinya di luar bilik. Zamia sempat melirik ke cermin sebelum berlalu keluar.


Bingkai gambar itu tiba-tiba rebah di atas meja. Terlungkup seolah dijatuhkan oleh seseorang. Kemudian ia bergerak perlahan merapati hujung meja solek dan berderai jatuh ke lantai.

Mulut itu menyeringai menyerlahkan giginya yang berseranggah.


Danish memperlahankan radio apabila isteri dan adiknya berjalan mendekati kereta.

“Dah kunci pintu?” Soal Danish sambil mencuri pandang ke pintu utama banglo.

“Dah.” Balas Ain selamba.

Zamia menyandarkan tubuhnya ke kerusi penumpang. Langit kelabu direnung lama.

“Awak nak beli apa?” Soal Danish yang mengundur keretanya ke belakang. Ain mengambil kertas kecil yang diselitkan dalam beg tangannya lantas meneliti kertas senarai tersebut.

“Barang-barang dapur..” Balas Ain. Kalau diikutkan hati suaminya, lelaki itu lebih senang membeli lauk-pauk di kedai sahaja kerana tidak mahu menyusahkannya.

“Saya boleh beli lauk kat kedai...” Ayat selamba Danish membuatkan Ain mencebik.

“Membazirlah..Baik masak sendiri dari beli kat luar.” Ujar Ain berhemah.

Danish mengiyakan kata-kata isterinya. Dia malas mahu bertengkar pasal barang-barang dapur. Lagipun sebagai lelaki, manalah dia ambil kisah sangat tentang semua itu.

Zamia tidak mahu masuk campur hal suami isteri itu. Dia melayani fikirannya sambil menikmati suasana petang di luar.

Ain teruja melihat harga barangan dapur yang berpatutan. Murah dan menjimatkan. Bertentangan sekali dengan Kuala Lumpur, semuanya mahal. Danish bertindak sebagai pembantu isterinya petang itu. Sepasang tangannya cekap menggerakkan troli ke sana-sini.

“Belikan saya pencuci muka.” Arah Danish pada isterinya ketika melintasi sudut produk penjagaan kulit muka lelaki.

“Kan masih banyak lagi?” Bantah Ain.

Akhirnya dia mencapai pencuci muka tersebut. Bukan apa, kalau-kalau pencuci muka suaminya itu memang benar sudah kehabisan. Tidak pasal-pasal dia yang akan dileteri nanti.


Zamia leka memerhatikan barangan yang tersusun di atas rak. Dia tidak pasti mahu membeli apa. Akhirnya dia mencapai sepeket coklat untuk dimakan ketika menonton televisyen malam kelak. Kemudian, matanya tertarik dengan aiskrim vanilla yang tersusun dalam peti sejuk.


Universiti Sains Malaysia,2011.

“Suapkan saya.” Azriq menganga mulutnya ke arah Zamia yang sedang menikmati aiskrim vanilla.

“Makanlah sendiri..” Zamia mencebik.

“Sampai hati...” Rajuk lelaki itu lalu memalingkan wajahnya. Zamia tergelak. Hai, merajuk pula dia.

“Thank you...” Ucap Azriq manja setelah Zamia menyuapkannya aiskrim tersebut.

Zamia tersentak apabila bahunya dilanggar seseorang. Rupa-rupanya dia sedang menghalang laluan orang ramai yang turut berbelanja di situ.


“Mia mana?” Danish cemas. Dia menoleh ke kiri dan kanan, ke hadapan dan belakang namun kelibat Zamia tiada di situ.

Ain yang sedang membelek sayur-sayuran tergamam. “Bukan tadi dia dengan kita ke?”

Danish menggeleng-geleng.

“Cuba awak call dia.” Arah Ain. Danish menghubungi adiknya dengan muka yang cemas. Ke mana pula Zamia menghilang? Buat seketika dia terlupa bahawa Zamia sudah dewasa dan bukan lagi anak kecil yang harus dijaga rapi.

Zamia menjawab panggilan.

“Mia kat mana ni?” Danish menyoal cemas.

“Mia dekat depan, dekat kaunter pembayaran.” Zamia berkata tenang di hujung talian. Danish menarik nafas lega.

“Mia kat mana?” Ain merenung bulat ke arah suaminya.


Zamia membimbit beg plastik berisi coklat yang baru dibelinya ke suatu sudut di luar supermarket tersebut. Beberapa minit kemudian, Danish dan Ain keluar dari supermarket dan ketiga-tiganya berlalu ke kereta yang diparkir tidak jauh dari situ.

Danish memandu kereta dengan hati-hati. Jalanraya yang agak licin membataskan pergerakan keretanya.

“Riz dah tau ke yang kita nak ke rumah dia ni?” Ain mengajukan soalan cepumas pada suaminya. Danish menggeleng dan tersengih.

“Kalau dia takde kat rumah macamana? Ish, awak ni!” Ain membebel. Zamia yang duduk di belakang sekadar tersenyum pahit.

Danish mencuit dagu isteri dan ketawa nakal. “Saya akan pecah masuk rumah dia.”

Ain mengeluh. Ada-ada ajelah!.

“In shaa Allah dia ada.” Zamia berkata tiba-tiba.

“Ada orang bagitau, dia ada dekat rumah sekarang ni.” Zamia menyambung. Yakin benar bunyinya.

Danish dan Ain terdiam. Keduanya terkelu. Apa yang Zamia katakan? Siapa yang Zamia maksudkan? Siapa yang memberitahunya tentang Imriz?

“Mia gurau ajelah.” Akhirnya Zamia menjawab segala persoalan yang timbul di benak fikiran abang dan kakak iparnya.

Ingatkan apa tadi! Sejurus kemudian suami isteri itu tergelak. Pandai juga Zamia bergurau.

Di kejauhan kediaman Imriz sudah kelihatan. Rumah desa itu sudah bertutup pintu dan tingkapnya. Danish memarkir kereta di perkarangan rumah rakannya.

Previous: Detik kelima

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman